You are on page 1of 3

Tinjauan literatur

Mokhtar Hassan telah memperkenalkan definisi, konsep dan prinsip pendekatan pengurusan
dalam kesusasteraan Melayu. Kajian beliau berkaitan dengan Sejarah, Definisi, Konsep dan
Prinsip Pendekatan Pengurusan pada tahun 2022. Kajian ini dijalankan untuk
mengemukakan sejarah kemunculan pendekatan pengurusan yang diperkenalkan oleh
penulis; definisi, konsep dan prinsip-prinsip pendekatan pengurusan serta penerapan
terhadap karya-karya sastera. Mokhtar Hassan telah menggunakan kaedah kualitatif untuk
memperkenalkan pendekatan pengurusan dan mengukuhkan lagi pendekatan pengurusan
dalam bidang kesusasteraan Melayu. Hasil daripada kajian ini telah memperkenalkan satu
pendekatan baru dalam kritikan sastera. Dengan adanya pendekatan pengurusan dalam
kritikan sastera, bukan sahaja menjadikan dunia kritikan sastera lebih menarik, bahkan dapat
mendidik dan menyedarkan khalayak bahawa pentingnya pengurusan dalam membina
kehidupan manusia secara tersusun dan teratur.
Satu lagi kajian telah dilakukan dengan menggunakan pendekatan pengurusan.
Kajian ini telah dilakukan oleh Norhaiza Shuhaini dan Azhar Wahid yang mengkaji tentang
Pengurusan Daya Intelek Kanak-Kanak Melalui Rangsangan Imaginasi dalam Episod Cari
dan Simpan Berdasarkan Prinsip Kepimpinan. Objektif kajian ini ialah untuk menganalisis
bagaimana kanak-kanak menguruskan daya intelek dan imaginasi menerusi keupayaan
kepimpinan watak dalam alam maya untuk mengubah sikap negatif kanak-kanak menjadi
amalan positif dalam pengurusan kehidupan seharian. Kajian ini menggunakan kaedah
kualitatif yang berpandukan dua kaedah utama iaitu kaedah kepustakaan dan kaedah analisis
teks berdasarkan kepada pendekatan pendekatan pengurusan. Hasil dapatan kajian ini
menjelaskan dalam proses kanak-kanak mencari logik, mereka banyak menggunakan daya
intelek dan rangsang imaginasi bagi membentuk realiti dalam kehidupan dengan
memikirkan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selain itu, dapatan kajian ini
juga dapat memberikan sumbangan dari segi penambahan kajian-kajian berkaitan
dengan pengurusan kehidupan kanak-kanak.

Dapatan kajian
Kepimpinan di Sekolah
Konsep kepimpinan meliputi aspek pembelajaran bersama yang saling berkaitan dan
bermakna demi mencapai matlamat bertimbal balik dalam komuniti (Lambert, 2010).
Dalam pendidikan pula matlamat utamanya ialah untuk melahirkan model insan. Bagi guru
sastera SMK Slim matlamat mereka dalam pengurusan sastera adalah untuk memastikan
semua murid berjaya dan dapat mempraktikkan ilmu sastera dalam kehidupan mereka.
Untuk mencapai matlamat ini guru telah menggunakan prinsip kepimpinan di sekolah tidak
kira semasa sesi pengajaran dan pembelajaran atau di luar kelas. Kepimpinan yang
digunakan oleh guru dapat dilihat melalui jawapannya semasa temu bual seperti dalam
petikan transkripsi;
“sebagai guru sastera perlulah rajin dalam memastikan pelajar dapat menguasai mata pelajaran
sastera. Rajin dalam mencari maklumat. Kena ambil tahu bagaimana nak tarik minat pelajar.
Kerana sastera ini bukanlah satu mata pelajaran yang mudah. Hal ini kerana dalam sastera ini
kita mempelajari tentang bahasa. Kemudian, kita juga jangan mudah mengalah dalam mengajar
pelajar. Dalam kata mudahnya, tidak berputus asa dalam memastikan pelajar memahami dan
lulus dalam mata pelajaran sastera Melayu. Seterusnya, sentiasa bekerjasama dengan guru-guru
sastera yang lain dan merujuk kepada pentadbir untuk mengetahui keperluan dalam
kesusasteraan itu.” (Transkripsi temu bual)

Melalui transkripsi temu bual ini dapat dilihat bahawa matlamat pengurusan sastera di
sekolah ini ialah untuk memastikan pelajar dapat menguasai pembelajaran sastera. Bagi
mencapai matlamat ini guru perlu rajin mencari maklumat, mempunyai kemahiran dalam
menarik minat murid, jangan mudah berputus asa. Kesemua ini merupakan usaha yang
dilakukan oleh guru sebagai seorang pemimpin di dalam bilik darjah. Selari dengan prinsip
pengurusan di mana Jaafar Muhamad (1999 dalam Mokhtar Hassan) kepimpinan merupakan
seni atau proses mempengaruhi manusia yang berkaitan dengan tugas mereka, supaya
mereka rela bergiat dan berusaha mencapai matlamat organisasi. Selain itu, kepimpinan juga
sebagai aktiviti mempengaruhi orang agar mahu bekerjasama untuk mencapai beberapa
tujuan yang mereka inginkan (Norhaiza Shuhaini dan Azhar Wahid. 2020). Melalui temu
bual didapati guru berusaha untuk mencapai matlamat dengan bekerjasama dengan
pentadbir untuk mengetahui keperluan dalam pencapaian matlamat kesusasteraan Melayu di
sekolah.

Perbincangan
Secara umumnya gaya kepimpinan ini mempunyai tiga jenis iaitu gaya kepimpinan
autokratik, di mana pemimpin merupakan pemimpin yang menginginkan para anggotanya
untuk menurut perintah yang diarahkannya dan memimpin mengikut kebolehannya untuk
memberi atau menarik balik ganjaran kerja sebagai hukuman. Gaya yang seterusnya, ialah
gaya kepimpinan demokratik. Gaya kepimpinan ini meletakkan penglibatan stafnya dalam
membuat keputusan secara bersama-sama. Gaya kepimpinan yang ketiga ialah pemimpin
yang memberikan kebebasan sepenuhnya dalam membuat keputusan atau kerja. Gaya
kepimpinan ini dikenali sebagai kepimpinan Laissez-faire.
Berdasarkan hasil temu bual didapati bahawa pengurusan sastera di sekolah
menggunakan gaya kepimpinan demokratik. Informan telah menyatakan bahawa guru-guru
kesusasteraan akan bekerja sama dan akan merujuk kepada pihak pentadbir sekolah untuk
berbincang mengenai keperluan dalam Kesusasteraan Melayu. Perkara ini boleh ditafsirkan
bahawa sekolah ini akan membuat perbincangan bersama-sama untuk membuat keputusan
berkaitan dengan Kesusasteraan Melayu. Pemimpin di sekolah iaitu pengetua akan merujuk
kepada stafnya iaitu panitia Kesusasteraan Melayu sebelum membuat sesuatu keputusan
bagi menggalakkan kerja berpasukan dan penglibatan bersama. Oleh itu, boleh dikatakan
bahawa pengurusan SMK Slim ini menggunakan gaya kepimpinan demokrasi.
Kepimpinan dalam sesebuah organisasi ini penting dalam memastikan matlamat
tercapai. Menurut Mokhtar Hassan (2022) kejayaan seseorang pemimpin bergantung kepada
kejayaan ahli-ahlinya. Oleh itu, pemimpin harus mampu mempengaruhi pekerja-pekerjanya
atau ahli-ahlinya supaya bergerak melaksanakan tugas atau peranan masing-masing. Oleh
itu, seorang pemimpin perlulah mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin yang unggul.
Menurut Djoko Santosa (dalam Mokhtar Hassan. 2022) menyatakan pemimpin yang unggul
perlu mempunyai sifat-sifat seperti keyakinan, ketekunan, daya tahan dan keberanian.
Melalui hasil kajian ini pemimpin sekolah iaitu panitia Kesusasteraan Melayu mempunyai
sifat-sifat seorang pemimpin seperti berdaya tahan, yakin dan tekun serta berani. Sifat
berdaya tahan dapat dilihat apabila informan menyatakan bahawa sebagai seorang guru
sikap tidak mudah putus asa perlu ada dalam diri. Sifat ketekunan pula dapat dilihat apabila
informan menyatakan bahawa seorang guru perlu rajin dalam mencari maklumat.
Kesimpulannya seorang pemimpin akan mengaplikasikan gaya kepimpinan masing-
masing untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Perkara utama yang perlu
dipandang dalam diri seorang pemimpin ialah sifat-sifat keberkesanan dalam seorang
pemimpin. Antara sifat-sifat keberkesanan ini ialah, sifat ketekunan, daya tahan, berani, dan
yakin. Selain itu,pemimpin juga perlu mewujudkan personaliti yang baik, jujur, ikhlas,
berprofesional, ada matlamat dan senang berinteraksi dengan orang ramai.

Rujukan
Mokhtar Hassan. (2022). Sejarah, Definisi, Konsep dan Prinsip Pendekatan Pengurusan.
PENDETA Journal of Malay Language, Education and Literature. 13 (1). 1-10.
Norsaaliza Shuhaini & Azhar Wahid. (2020). Pengurusan Daya Intelek Kanak-Kanak
Melalui Rangsangan Imaginasi dalam Episod Cari dan Simpan Berdasarkan Prinsip
Kepimpinan. Jurnal Peradaban Melayu. 15. 38-52.

You might also like