You are on page 1of 6

AMALAN DAN KAEDAH PENGELUARAN FATWA OLEH JAWATANKUASA FATWA

NEGERI PERAK: ANALISIS AWAL

PRACTICE AND METHODOLOGY OF ISSUING FATWA BY THE FATWA COMMITTEE OF


PERAK: PRE-ANALYSIS

Hisan bin Abdul Halim ii, Azman Ab Rahmani, Abdul Manan bin Ismailiii

i Prof Madya Dr., Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM), azman@usim.edu.my
ii Pelajar Sarjana, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
hisanabdulhalim@gmail.com
iii Dr., Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
manan@usim.edu.my

Abstrak

Proses pengeluaran fatwa di sesebuah negeri mempunyai peruntukan dalam enakmen negeri yang
menjelaskan tentang tatacara pengeluaran fatwa. Persoalan timbul berkaitan wujudnya kepatuhan
mahupun perbezaan dari segi amalan dan kaedah pengeluaran fatwa di Perak. Justeru, objektif kajian
ini adalah untuk mengenal pasti bentuk amalan dan kaedah pengeluaran fatwa, proses pewartaan
serta bentuk sighah fatwa di negeri Perak. Hasil kajian mendapati terdapat beberapa perbezaan dari
segi amalan dan kaedah pengeluaran fatwa jika dibandingkan dengan yang tertulis di dalam Enakmen.
Meskipun peruntukan hanya mengambil Qaul Muktamad Mazhab Syafie sebagai qaul yang diikuti,
namun amalan yang digunakan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri Perak dalam menentukan keputusan
fatwa ialah dengan merujuk kepada semua qaul Mazhab Syafie sama ada muktamad mahupun
sebaliknya terlebih dahulu sebelum mengikut kepada qaul muktamad Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Implikasi kajian ini ialah Jawatankuasa Negeri Perak perlu mewujudkan satu standard berkaitan
pengeluaran fatwa secara khusus dan terperinci supaya fatwa yang diputuskan bersesuaian dengan
masa, tempat dan keadaan. Kajian lanjutan boleh dilakukan untuk mengenal pasti standard yang
sesuai untuk diaplikasikan di negeri Perak.

Kata kunci: Amalan, Kaedah, Mazhab Syafie, Fatwa, Perak.

Abstract

Proses pengeluaran fatwa di sesebuah negeri mempunyai peruntukan dalam enakmen negeri yang
menjelaskan tentang tatacara pengeluaran fatwa. Persoalan timbul berkaitan wujudnya kepatuhan
mahupun perbezaan dari segi amalan dan kaedah pengeluaran fatwa di Perak. Justeru, objektif kajian
ini adalah untuk mengenal pasti bentuk amalan dan kaedah pengeluaran fatwa, proses pewartaan
serta bentuk sighah fatwa di negeri Perak. Hasil kajian mendapati terdapat beberapa perbezaan dari
segi amalan dan kaedah pengeluaran fatwa jika dibandingkan dengan yang tertulis di dalam Enakmen.
Meskipun peruntukan hanya mengambil Qaul Muktamad Mazhab Syafie sebagai qaul yang diikuti,
namun amalan yang digunakan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri Perak dalam menentukan keputusan
fatwa ialah dengan merujuk kepada semua qaul Mazhab Syafie sama ada muktamad mahupun
sebaliknya terlebih dahulu sebelum mengikut kepada qaul muktamad Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Implikasi kajian ini ialah Jawatankuasa Negeri Perak perlu mewujudkan satu standard berkaitan
pengeluaran fatwa secara khusus dan terperinci supaya fatwa yang diputuskan bersesuaian dengan
masa, tempat dan keadaan. Kajian lanjutan boleh dilakukan untuk mengenal pasti standard yang
sesuai untuk diaplikasikan di negeri Perak.

Kata kunci: Practice, Methodology, Syafie sect, Fatwa, Perak.


PENDAHULUAN

Sejarah Islam membuktikan bahawa tugas mengeluarkan fatwa merupakan suatu tugas yang amat
penting. Sewaktu hayat Rasulullah s.a.w, segala jenis permasalahan akan dirujuk terus kepada Baginda
yang kemudiannya akan memutuskan atau menyelesaikan permasalahan tersebut dengan bantuan
wahyu Allah SWT. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa tugas mengeluarkan fatwa pada masa tersebut
belum begitu meluas. Manakala pada era sabahat, sekiranya berlaku permasalahan di kalangan
masyarakat, mereka akan berijtihad dengan merujuk kepada al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w
terlebih dahulu sebelum memutuskan sesuatu hukum.1
Atas dasar peredaran masa dan keadaan, umat Islam semakin jauh dari agama dan kesan
kejahilan itu telah mewujudkan kemelut di antara masyarat tentang agama. Segala masalah yang timbul
ini mendorong para ulama bersepakat dalam mengeluarkan fatwa bagi menyelesaikan masalah yang
tidak pernah timbul sewaktu pemerintahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta tidak terdapat dalam
al-Quran serta hadith. Oleh itu, fatwa ini dilihat sebagai salah satu mekanisme utama bagi menjelaskan
lagi hukum syarak dan penyebaran ajaran Islam yang merangkumi aspek akidah dan syariat.
Imam Ibn Qayyim menganggap bahawa seorang mufti adalah sebagai pemberi khabar tentang
ketentuan hukum Allah s.w.t dalam satu-satu perkara melalui ijtihad dan fatwanya. Dalam mukadimah
kitabnya, I’lam a-Muwaqqiin an-Rabbil ‘Alamin, beliau berkata, “Apabila tandatangan seorang raja dan
persetujuannya tentang sesuatu memiliki keistimewaan dan kemuliaan yang tidak dinafikan, apatah lagi
tandatangan dan persetujuan Rab al-‘Alamin, penguasa langit dan bumi.2
Ini membuktikan betapa pentingnya kewujudan institusi fatwa di sesebuah negeri kerana ia
merupakan badan berautoriti dalam menjawab segala persoalan agama yang timbul di kalangan
masyarakat. Fatwa bukan sahaja menjadi pembimbing kepada rakyat dan masyarakat, malah juga
panduan kepada pemerintah.
Sungguhpun tatacara pengeluaran fatwa telah diperuntukkan melalui enakmen, namun
terdapat perbezaan di antara peruntukan undang-undang tersebut dengan amalan. Oleh yang demikian
tajuk ini cuba untuk mengenalpasti amalan dan kaedah pengeluaran fatwa di negeri Perak melalui
perbandingan peruntukan di dalam enakmen dengan data yang diperoleh menerusi kaedah temubual
bersama Peserta Kajian seterusnya memberikan beberapa cadangan untuk memperkasa dan
penambahbaikan proses pengeluaran fatwa di negeri Perak.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini berbentuk kualitatif yang merujuk kepada metod kajian yang menggunakan data selain
daripada angka atau bilangan, sebaliknya ia menggunakan fakta, maklumat, ulasan, pernyataan,
maksud, konsep, ciri-ciri, simbol, persepsi dan seumpamanya (Idris Awang,2001).
Kajian ini dilakukan menggunakankan kaedah temubual separa berstruktur (semi structured
interviews) yang mana soalan yang dikemukakan kepada Peserta Kajian (PK) disusun dan ditentukan
tetapi PK diberi kelonggaran semasa memberi jawapan dan ia boleh dikembangkan mengikut budi
bicara penemubual dan PK (Othman Lebar,2007). Temubual ini telah memilih 5 orang PK yang dipilih
secara sampel bertujuan (purposive sampling) bersama Sohibus Samahah Tan Sri Mufti negeri Perak
serta beberapa ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa negeri Perak yang mempunyai kaitan langsung dengan
kaedah dan pengamalan pengeluaran fatwa di negeri Perak.
KOD NAMA JAWATAN
M7 SS Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria Mufti Negeri Perak
JFA1 Tuan Haji Mohd Suaid Din Ahli Jawatankuasa Fatwa
Negeri Perak
JFA2 Ustaz Kamaruddin bin Adam Setiausaha
Jawatankuasa Fatwa
Negeri Perak
JFA3 Tuan Haji As’ad bin Awang Ahli Jawatankuasa Fatwa
Negeri Perak
JFA4 Dr. Ahmad Husni bin Haji Hasan Ahli Jawatankuasa Fatwa
Negeri Perak
Jadual 1.0 Demografi Peserta Kajian

1
Ibn ‘Abidin. 1325H. Majmu’ah Rasa’il Ibn Abidin. Juzuk 1. t.c. Beirut: t.p., hlm. 10. Louis Ma’luf. 1952. Al-Munjid.
Cetakan 19. Beirut: t.p., hlm. 598.
2 Shamsuddin Abi Abdullah Muhammad bin Abi Bakar al-Ma’ruf Ibn Qayyim al-Jauziyyah. 1955. I’lam al-Muwaqqiin

an-Rabbil ‘Alamin. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah. Jilid 1, Hal 2.


DAPATAN KAJIAN

Hasil analisis mendapati proses pengeluaran fatwa di Negeri Perak secara umumnya tersusun serta
mematuhi tatacara pengeluaran fatwa yang telah diperuntukkan oleh Enakmen, bahkan kepentingan
mengikut enakmen ini sangat ditekankan oleh Jawatankuasa Fatwa bagi mengelakkan polemik atau
konflik yang bakal terjadi. Fatwa-fatwa yang dikeluarkan pula adalah hasil daripada persoalan-
persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat ataupun melibatkan isu-isu kepentingan awam.
Bagi tujuan pemilihan isu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa, isu
tersebut akan dinilai dulu kedudukannya sama ada isu tersebut bersifat individu atau kepentingan
awam. Sekiranya isu tersebut hanya bersifat individu, maka ia boleh terus dijawab oleh mufti. Namun,
sekiranya ia melibatkan kepentingan awam, maka suatu kajian akan dijalankan terlebih dahulu dengan
melibatkan mereka yang berkepakaran dalam isu tersebut.
Keputusan-keputusan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perak adalah berdasarkan
kepada pendapat mazhab Syafie dan pendapat muktamad dalam tiga mazhab muktabar yang lain.
Jawatankuasa Fatwa menegaskan perkara ini adalah suatu keperluan yang mesti dipatuhi bagi tujuan
penyelarasan dan mengelakkan kecelaruan dalam masyarakat.
Kajian mendapati bahawa Jawatankuasa fatwa tidak menolak mazhab muktabar yang lain,
bahkan pendapat-pendapat mazhab lain turut digunapakai khususnya apabila melibatkan isu-isu yang
tidak terdapat perbahasannya dalam kitab-kitab fiqh Syafie ataupun isu tersebut dilihat lebih bertepatan
dengan maslahah semasa. Contohnya isu istibdal tanah waqaf, Jawatankuasa Fatwa mengambil
pendekatan menggunakan mazhab yang lain bagi merungkai kesulitan isu tersebut. Disamping itu, ia
turut menerima pakai pandangan ulama semasa seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawiyy bagi isu-isu yang
bersesuaian dengan uruf Negeri Perak. Namun begitu, dalam setiap perkara Jawatankuasa Fatwa
tetap akan mengutamakan pendapat-pendapat mazhab Syafie termasuk pendapat yang daif.
Penentuan fatwa di Perak perlu melalui prosedur iaitu sesuatu kenyataan hukum tidak akan
dianggap sebagai fatwa selagi ia tidak melalui mesyuarat Jawatankuasa Fatwa. Sekiranya pendapat
hukum tersebut dijawab bersendirian oleh mufti, maka ia hanya dianggap sebagai irsyad hukum dan
bukannya fatwa.
Manakala, sighah fatwa pula merupakan ringkasan kepada pernyataan hukum yang telah
diputuskan. Penulisan sighah fatwa di Perak biasanya dibuat oleh setiausaha Jawatankuasa Fatwa dan
akan disemak semula oleh Mufti. Ahli Jawatankuasa Fatwa turut terlibat secara tidak langsung dalam
mendrafkan sighah dalam isu tertentu. Setelah itu, sekiranya ia perlu diwartakan dan dikuatkuasakan,
maka Mufti akan merujuk kepada penasihat undang-undang bagi mendapatkan pandangan sighah
yang sesuai untuk tujuan itu. Setelah itu, sighah yang telah dibuat akan disahkan dalam mesyuarat ahli
Jawatankuasa Fatwa.
Berdasarkan penelitian yang dibuat, tidak terdapat satu garis panduan khusus atau tatacara
penulisan sighah di Perak. Maka Jawatankuasa Fatwa lebih merujuk kepada fatwa-fatwa yang
terdahulu dalam merangka sighah fatwa.

PERBINCANGAN

Amalan dan Kaedah Pengeluaran Fatwa di Negeri Perak

Kaedah pengeluaran fatwa bagi setiap negeri telah tertulis dalam enakmen negeri masing-masing.
Walau bagaimanapun, peruntukan yang tertulis dalam enakmen-enakmen tersebut adalah bersifat
umum dan bukanlah secara terperinci. Enakmen berkaitan fatwa yang digunakan di negeri Perak ialah
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 (selepas ini dirujuk sebagai Enakmen bagi maksud
bab ini).
Menurut Seksyen 36 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak 2004 menyatakan:
“Tertakluk kepada seksyen 40, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia
Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang
dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan
yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontrovesi tentang atau yang berhubungan dengan
Hukum Syarak”.
Penyelidik mendapati terdapat tiga sebab yang membolehkan fatwa dikeluarkan iaitu:
i. Atas Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.
ii. Atas kehendak Jawatankuasa Fatwa.
iii. Persoalan daripada masyarakat awam.
Menurut PK (JFA2), amalan pengeluaran fatwa di Negeri Perak adalah seperti mana yang
termaktub dalam Enakmen iaitu fatwa yang dikeluarkan sememangnya datang daripada persoalan
masyarakat ataupun isu yang difikirkan perlu oleh Mufti.
Walaupun begitu, Mufti mesti membincangkan suatu fatwa yang hendak dikeluarkan bersama
ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri. Ini kerana Subseksyen (1), (2) dan (3) daripada Seksyen 37
menyebut:
“(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat sesuatu fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya apa-
apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan suatu kertas kerja
disediakan”.
“(2) Bilamana Jawatankuasa bercadang hendak membuat sesuatu fatwa, Mufti hendaklah memanggil
suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu”.
“(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama
Jawatankuasa Fatwa, memaklumkan Majlis tentang fatwa yang telah disediakan itu”.
Menurut seksyen di atas, ia menjelaskan, apabila hendak membincangkan sesuatu fatwa,
kertas kerja akan disediakan oleh pegawai dari bahagian Buhuth dan Istinbat sekiranya melibatkan isu
bersifat individu. Namun, sekiranya isu tersebut bersifat menyeluruh, maka satu kajian yang terperinci
akan dijalankan. PK (M7), (JFA2), (JFA3) dan (JFA4) menyatakan penyelidikan yang terperinci akan
dijalankan oleh Jawatankuasa Fatwa bersama ahli-ahli akademik khususnya daripada Kolej Universiti
Islam Sultan Azlan Shah.
Bagi tujuan membuat fatwa juga, ia perlulah dibuat dalam bentuk mesyuarat seperti yang
termaktub pada subseksyen (2). Ini kerana sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh mufti secara sendiri
tanpa keputusan mesyuarat adalah tidak dikira sebagai fatwa dari sudut perundangannya.
Seksyen 43 (1) menyebut:
“(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 37, atau memperakukan sesuatu pendapat
di bawah seksyen 42, Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad
(pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie”.
Seksyen ini menunjukkan secara jelas tentang amalan pengeluaran fatwa di Negeri Perak
perlulah mengikuti qaul muktamad mazhab Syafie. Pendapat muktamad dalam seksyen ini telah
diterjemahkan sebagai pendapat-pendapat yang diterima.
Dari segi amalan di Negeri Perak, pendapat mazhab Syafie yang diutamakan dalam
pengeluaran hukum-hakam fatwa. Pada pengamatan PK (JFA1), (JFA2), (JFA3) dan (JFA4),
Jawatankuasa Fatwa juga akan merujuk kepada qaul daif terlebih dahulu sekiranya tiada qaul
muktamad dalam mazhab Syafie sebelum berpindah kepada tiga mazhab muktabar yang lain.
Dalam penentuan definisi qaul muktamad mazhab Syafie di Negeri Perak, terdapat beberapa
pandangan dan definisi, antaranya:
i. Pendapat yang disepakati oleh jumhur Syafie (M7).
ii. Pendapat paling kuat dan rajih (JFA1).
iii. Pendapat paling kuat (JFA2).
iv. Pendapat paling sahih (JFA4).
Bagi penentuan qaul muktamad, ia ditentukan dengan merujuk kepada kitab turath mazhab
Syafie seperti al-Iqnac, selain merujuk sesetengah pendapat al-Qaradawiyy dan pendapat ashab
Syafie. Penentuan qaul muktamad juga ditentukan dengan merujuk kitab-kitab induk seperti al-Majmuc
karya imam al-Nawawiyy dan Icanat Talibin karya al-Dimyatiyy. Kitab al-Hawiyy juga dirujuk bagi
mendapatkan qaul muktamad mazhab Syafie.
Seksyen 43 (2) menyatakan:
“(2) Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie
suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa
bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali”.
Kesimpulan daripada seksyen di atas, Enakmen Negeri Perak membenarkan pengeluaran
fatwa keluar daripada pendapat muktamad mazhab Syafie dan berpindah kepada mazhab yang lain
iaitu Hanafiyy, Malikiyy dan Hambaliyy sekiranya pendapat muktamad Syafie tidak dapat
menyelesaikan masalah umat. Namun begitu, secara amalannya, Jawatankuasa Fatwa masih
mendahulukan pendapat-pendapat daif mazhab Syafie sebelum berpindah kepada mazhab yang lain.
Merujuk kepada seksyen yang sama, sekiranya tidak terdapat pandangan dalam qaul
muktamad dalam mazhab Syafie, Jawatakuasa Fatwa boleh mengikut tiga qaul muktamad dalam
mazhab muktabar yang lain. Jawatankuasa Fatwa boleh memilih sama ada untuk mengikut susunan
mazhab yang terdahulu iaitu Hanafiyy, Malikiyy dan Hanbaliyy atau melihat secara keseluruhan tanpa
mendahulukan mana-mana mazhab. Namun, menurut PK (JFA2), tertib itu merupakan qanun yang
termaktub dan perlu dipatuhi, dan amalan pengeluaran fatwa Perak adalah mengikut tertib tersebut.
Proses Pewartaan Fatwa di Negeri Perak

Pewartaan sesuatu isu fatwa adalah sangat penting kerana ia memberi kesan dari segi perundangan.
Di Malaysia, proses pewartaan itu dilakukan oleh setiap negeri dan fatwa yang diwartakan itu perlu
dipatuhi oleh masyarakat di negeri masing-masing. Kenyataan ini tertulis dalam Enakmen negeri
masing-masing.
Seksyen 37 (4) menyebut:
“(4) Jawatankuasa Fatwa boleh membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk
mendapatkan perkenan Baginda bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta”.
Seksyen 37 (5) ada tertulis:
“(5) Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan
dan ulasan daripada Jawatankuasa Fatwa jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat penjelasan dan
ulasan itu perlu”.
Seksyen 37 (6) pula menyebut:
“(6) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, Jawatankuasa Fatwa
hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan sesudah itu hendaklah menyebabkan
fatwa itu disiarkan dalam Warta”.
Fasal ini semua harus dibaca bersama dengan Seksyen 38 (1) bagi memahami maksud yang
ingin disampaikan dalam Enakmen ini.
Seksyen 38 (1) menyebut:
“(1) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang
berada di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi
kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia
dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan,
kepercayaan atau pendapat peribadi”.
Peruntukan ini mengandungi beberapa implikasi undang-undang selepas diwartakan, iaitu:
i. Fatwa itu menjadi sebahagian daripada ajaran agama Islam.
ii. Fatwa itu mengikat setiap orang Islam yang berada di Negeri Perak.

Fatwa yang akan diwartakan boleh ditentukan oleh beberapa perkara:


i. Sesuatu yang difikirkan perlu oleh Dato’ Mufti (JFA4).
ii. Keperluan mewartakannya untuk menjamin kesatuan ummat (JFA2) dan (JFA3).
iii. Pewartaan oleh arahan pemerintah dan tidak bercanggah dengan polisi kerajaan (JFA2) dan
(JFA4).
Bagi tujuan pewartaan, ia akan dibawa kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Bagi
Negeri Perak, pewartaan fatwa berkaitan dengan isu akidah adalah lebih banyak berbanding isu fiqh.
Ini adalah kerana demi menjaga perpaduan masyarakat dan isu akidah ini merupakan perkara usul
yang jika tidak diwartakan akan menyebabkan perpecahan. Namun, PK (JFA4), menyatakan
pewartaan dalam dua perkara ini adalah sama banyak.

Penulisan dan Bentuk Sighah Fatwa di Negeri Perak

Sighah fatwa adalah pernyataan, penulisan, keterangan, jawapan atau penjelasan tentang sesuatu
fatwa yang dikeluarkan. Penulisan sighah fatwa yang tepat dan jelas sangat penting untuk
diimplementasikan dalam perundangan. Setiap negeri di Malaysia mempunyai fatwanya yang tersendiri
dan ditulis dalam bentuk sighah yang tertentu.
Seksyen 37 (8) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 menyebut:
“(8) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi dan jawi, dan
nas fatwa itu hendaklah dalam tulisan jawi”.
Di negeri Perak, sighah fatwa terbahagi kepada dua (JFA2):
1. Sighah untuk tujuan irsyad hukum.
2. Sighah untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang.
Bagi tujuan ini, draf sighah akan disediakan oleh setiausaha Jawatankuasa Fatwa dan disemak
oleh Mufti. Namun, dalam beberapa isu tertentu, sighah juga dibuat atau disemak oleh ahli
Jawatankuasa Fatwa yang lain, tetapi ia hanyalah berbentuk umum. Setelah penyediaan draf oleh
setiausaha, ia akan disemak oleh penasihat undang-undang negeri bagi memastikan sighah yang
dikeluarkan bertepatan dengan perundangan untuk tujuan penguatkuasaan. Setelah itu, ia akan
dibentang semula kepada Jawatankuasa Fatwa untuk semakan dan pengesahan bagi memastikan
keabsahannya.
PENUTUP

Melalui temubual yang dijalankan, penyelidik mendapati sememangnya ada sedikit perbezaan di antara
kaedah yang diperuntukkan dalam enakmen dengan pengamalan ahli Jawatankuasa Fatwa negeri
Perak dalam proses pengeluaran fatwa. Walaupun ia menunjukkan penerimaan keluasan pandangan
dan pendapat, dengan menstruktur satu standard yang lebih terperinci dalam pengeluaran fatwa akan
membantu ahli Jawatankuasa Fatwa negeri sebagai rujukan supaya proses pengeluaran fatwa di negeri
Johor lebih teratur dan sistematik.
Penyelidik berpendapat sekiranya ada langkah pemerkasaan kemahiran di kalangan ahli
Jawatankuasa Fatwa negeri seperti mengadakan bengkel, seminar dan kursus proses pengeluaran
fatwa akan memberikan impak yang lebih baik kepada hasil pengeluaran fatwa di negeri Perak.
Cadangan penstrukturan standard pengeluaran fatwa bagi setiap qaul Mazhab Syafie untuk hukum
yang sedia ada dan standard pengeluaran hukum (usul fiqh) bagi isu-isu yang bersifat kontemporari
perlu dilaksanakan.

RUJUKAN

Buku
Ahmad Hidayat Buang, Penyediaan dan Pengeluaran Fatwa, Fatwa di Malaysia, Jabatan Syariah dan
Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2004, hlm. 97-116.
Ibn ‘Abidin. 1325H. Majmu’ah Rasa’il Ibn Abidin. Juzuk 1. t.c. Beirut: t.p., hlm. 10. Louis Ma’luf. 1952.
Al-Munjid. Cetakan 19. Beirut: t.p., hlm. 598.
Muis Hadi, “Rumitnya Proses Membuat Fatwa”, Dewan Masyarakat, Jilid 35, Bilangan 11, November
1997, hh. 18-20.
Shamsuddin Abi Abdullah Muhammad bin Abi Bakar al-Ma’ruf Ibn Qayyim al-Jauziyyah. 1955. I’lam al-
Muwaqqiin an-Rabbil ‘Alamin. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah. Jilid 1, Hal 2.

Jurnal
Idris Awang, Kaedah Penyelidikan: Suatu Sorotan, Intel Multimedia and Publication, Petaling Jaya,
2001.
Othman Lebar, Penyelidikan Kualitatif: Pengenalan kepada Teori dan Metod, Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Perak, 2007.

Akta
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004. (Seksyen 33 - 43)
Garis Panduan Tatacara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia, Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 2009.

Internet
http://www.e-fatwa.gov.my/soalanlazim.asp (diakses 7 October, 2015).

Temubual
Dr. Ahmad Husni bin Haji Hasan, ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Amalan dan Kaedah
Pengeluaran Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dan Kebangsaan.
Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak, Amalan dan Kaedah Pengeluaran
Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dan Kebangsaan.
Tuan Haji As’ad bin Awang, ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Amalan dan Kaedah Pengeluaran
Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dan Kebangsaan.
Tuan Haji Mohd Suaid Din, ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Amalan dan Kaedah Pengeluaran
Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dan Kebangsaan.
Ustaz Kamaruddin bin Adam, Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Amalan dan Kaedah
Pengeluaran Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dan Kebangsaan.

You might also like