You are on page 1of 12

MENGAPA JENAYAH BERLAKU

Pengangguran
Dari kajian pihak Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, seramai 49.17%
(rujuk jadual 2) orang-orang yang ditangkap tidak mempunyai pekerjaan.
Mengikut penelitian pelakuan jenayah mengikut 5 peringkat umur iaitu
kurang 18 tahun, 19-30 tahun, 31-40 tahun, 41-50 tahun dan 51 tahun ke
atas, dapati 55.47% pelakuan jenayah indeks dilakukan oleh golongan pada
peringkat umur 19-30 tahun (rujuk jadual 3). Pada dasarnya kegagalan
penduduk pada kumpulan produktif ini diserapkan ke dalam sektor
pekerjaan merupakan punca kepada peningkatan perlakuan jenayah
indeks kerana golongan ini yang teramai mengalami pengangguran. Oleh
kerana ekonomi negara berasaskan ekonomi liberal dan kapitalis, ianya
cenderung menerima kesan masalah dunia. Disebabkan pengangguran
dan keperluan yang mendesak di bandar menyebabkan seseorang
melakukan jenayah untuk memenuhi tuntutan kehidupan.

Peningkatan Kos sara hidup


Kepesatan perbandaran membawa pelbagai perubahan dan kemajuan ke
atas sesebuah negara atau wilayah, seperti peningkatan taraf hidup
penduduk kesan daripada perubahan dan pertumbuhan ekonomi yang
pesat. Namun demikian pada masa yang sama perbandaran yang begitu
pesat akan menimbulkan kesan ke atas peningkatan kos sara hidup di
bandar yang terpaksa dihadapi dan tidak dapat dielakkan serta
membebankan masyarakat bandar. Peningkatan kos sara hidup turut
memberi kesan kepada kemerosotan taraf sosial keluarga. Hal ini memaksa
kedua ibubapa bekerja bagi menampung kos perbelanjaan yang semakin
meningkat di bandar sehingga kurangnya perhatian kepada anak yang
akhirnya memudahkan anak-anak terdedah kepada gejala sosial.

Perbandaran
Seiring dengan kepesatan perbandaran, wujud pelbagai masalah di bandar
seperti perlakuan jenayah. Penumpuan pembangunan sosial dan ekonomi di
bandar menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan pembangunan di
bandar. Akibatnya timbul masalah penghijrahan penduduk dari kawasan
sekitar bandar atau dari luar bandar ke bandar. Penghijrahan penduduk
penduduk ini akan meningkatkan jumlah penduduk di bandar melalui
peningkatan kadar kelahiran. Situasi ini akan memberi tekanan ke atas
kapasiti penyerapan gunatenaga, kesesakan serta persaingan kemudahan
asas di bandar. Selain itu, kebanyakan yang berhijrah adalah golongan
miskin dan menganggur. Desakan hidup serta ketidakmampuan memenuhi
matlamat keperluan hidup menyebabkan golongan ini terlibat dalam
kegiatan jenayah.

Sikap Masyarakat yang individualistik


Hubungan keluarga dan kejiranan yang renggang di kalangan penduduk
dan sikap penduduk yang tinggal di kawasan perumahan yang
individualistik. Jika kita lihat keadaan jenayah di kampung, kenapakah kadar
jenayah di kampung adalah rendah berbanding dengan kawasan bandar,
ini adalah kerana sikap perpaduan dan saling bantu-membantu masih
wujud di kalangan mereka tetapi berlainan di bandar terutamanya di
kawasan elit, tahap individualistik begitu tinggi. Ini dengan dengan
sendirinya mengecilkan ruang interaksi untuk membina satu jambatan
kemasyarakatan. Tahap mengambil tahu antara satu dengan lain berada
pada tahap yang rendah. Suatu masa dulu telah diwujudkan Rukun
Tetangga di taman-taman perumahan tetapi kini kewujudan Rukun
Tetangga seperti tidak wujud lagi. Pada hal ini adalah satu mekanisme untuk
meningkatkan keakraban seterusnya mengambil tahu apa yang berlaku
dalam lingkaran masyarakat.

Kehadiran Warga Asing dan Pendatang Tanpa Izin


Mengikut Freedom House, sehingga 30 September 2006, terdapat 1.9 juta
orang pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia. Kementerian
Sumber Manusia pula menyatakan pekerja asing yang bekerja secara sah ini
sebahagian besar berasal dari Indonesia (64%), Nepal (10%), India (7%),
Burma (5%), Vietnam (5%), Bangladesh (3%), Pakistan dan Filipina (1%) serta
Negara lain termasuk China (4%). Pada masa yang sama dianggarkan lebih
daripada 2 juta orang pekerja asing yang bekerja secara haram dan
dikategori sebagai PATI.
Tidak dinafikan kehadiran warga asing ini akan membawa bersama budaya
negatif dari negara asal dan mempengaruhi cara hidup dan budaya
mereka ketika berada di negara orang. Kanak-kanak PATI yang terabai
tanpa penjagaan kedua ibubapa juga boleh menyumbang kepada
penglibatan mereka dalam jenayah.Ambil saja contoh kehidupan kanak-
kanak PATI yang boleh ditemui di Pasar Besar Kota Kinabalu, Sabah,
mereka terdedah dengan gejala yang kurang sihat seperti menghidu gam,
menghisap rokok, mencuri dan bergaduh. Apakah kesan jangka panjang
terhadap kanak-kanak PATI yang dibiar terus terlibat dengan aktiviti kurang
sihat ini? Bukan tuduhan, tetapi peningkatan kadar jenayah dalam kalangan
pendatang asing tentu saja berkait rapat dengan proses hidup pendatang
asing ini semasa mereka kanak-kanak. Malah secara tidak langsung juga
tingkah laku negatif kanak-kanak PATI boleh mempengaruhi kanak-kanak
warga tempatan disekelilingnya. Mengikut perangkaan tangkapan kes
jenayah terhadap warga asing seramai 25% atau 361 yang terlibat dalam
kes jenayah yang dilaporkan di negeri Sabah bagi tempoh Januari hingga
Jun 2009. (Rujuk jadual 4)

Pengaruh dadah
Pengambilan dadah juga mempengaruhi penjenayah dan kebanyakan
dadah yang popular sekarang adalah jenis sintetik yang cara pembuatan
menggunakan bahan kimia yang tidak berkualiti. Rangsangan dadah ini
menyebabkan penggunanya hilang kawalan dan menjadi lebih berani.
Keberanian ini yang mendorong kepada perlakuan jenayah. Bagi penagih-
penagih tegar, mereka akan sentiasa memerlukan dadah dan untuk
mendapatkan bekalan yang berterusan, bagi penagih yang tidak
mempunyai sebarang pekerjaan dan datang dari keluarga yang miskin,
penagih ini rela melakukan jenayah asalkan giannya dapat dilepaskan.

Kurangnya didikan agama


Kurangnya didikan agama yang sepatutnya dipertekankan sejak dari kecil
lagi akan membentuk akhlak dan keperibadian yang mulia di kalangan
remaja. Ibubapa sepatutnya membimbing anak-anak dan menjadikan diri
mereka sebagai contoh.

Kelemahan Pengkuatkuasaan undang-undang dan sistem keadilan jenayah.


Sebagai manusia biasa, kita tidak lari dari membuat kesilapan dan tidak
dapat dinafikan bahawa di dalam setiap Jabatan terdapat kelemahan
dalam menguatkuasa undang-undang. Manusia sekarang semakin bijak,
dan pihak penguatkuasa perlu mendapat kerjasama daripada masyarakat
untuk mengetahui trend terkini atau modus operandi yang digunakan oleh
penjenayah bagi memastikan jenayah dapat dibendung. Kelemahan dalam
sistem keadilan jenayah perlu dikaji dari masa ke semasa selari dengan
perubahan era globalisasi. Selain itu, hukuman yang dijatuhkan ke atas
penjenayah yang telah disabitkan dengan sesuatu kesalahan jenayah,
perlulah lebih berat iaitu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan
dan bagi penjenayah tegar, pembebasan dengan jaminan mahkamah,
sementara menanti tarikh perbicaraan perlu dikaji semula kerana dari kajian
kebanyakan penjenayah yang dibebaskan atau yang keluar dari penjara
akan melakukan semula kesalahan yang sama.
Pengaruh negatif media massa
Tidak dapat disangkal bahawa keterbukaan dalam globalisasi dunia hari ini
merupakan salah satu penyebab berlakunya jenayah salah laku masyarakat
secara meluas.Internet begitu berpengaruh berbanding media lain karana
sifatnya yang dapat menerobos sempadan negara. Ia sukar ditapis, disekat
dan dihalang tidak seperti media lain. Bahan-bahan lucah dengan begitu
mudah memasuki negara. Siaran-siaran radio, TV dan video yang
mengandungi unsur-unsur ganas, budaya barat, tahyul dan seks bebas
akan mewujudkan suasana sekeliling yang semakin rosak dan tidak mustahil
remaja akan mencuba aksi-aksi ganas dan adegan yang memberahikan.
Akibatnya mereka terjeremus dengan perhubungan seks bebas, sumbang
mahram dan melakukan jenayah seperti mendatangkan cedera dan bunuh.

Mengejar kemewahan
Inginkan kesenangan hidup tanpa berusaha keras untuk mendapatkan
kemewahan telah mengakibatkan ramai di kalangan masyarakat
melakukan jenayah. Contohnya jenayah ragut, bagi penjenayah dan
sesiapa saja yang gemar melakukan kejahatan, ragut adalah kerja yang
paling mudah dan menguntungkan dalam sekelip mata. Apa tidaknya
dengan beberapa saat saja, dompet, telefon bimbit atau beg tangan akan
dilarikan oleh peragut.

Kurang kesedaran masyarakat dalam pencegahan jenayah


Dari kajian, kebanyakan kes jenayah yang melibatkan jenayah harta benda
dilakukan oleh penjenayah kerana dapatnya peluang. Masyarakat sendiri
yang telah menciptakan peluang ini dengan tidak mengambil langkah-
langkah keselamatan yang sepatutnya terhadap harta benda mereka.
Contohnya, kebanyakan kes pecah kereta berlaku kerana kecuaian
mangsa sendiri yang telah meninggalkan kenderaan mereka dalam
keadaan lupa dikunci atau mendedahkan harta-harta seperti beg tangan,
laptop, cermin mata dan sebagainya pada pandangan umum.

Faktor persekitaran
Kurangnya pencahayaan lampu di kawasan perumahan, taman dan jalan
serta lorong yang sempit dan keadaan pinggir rumah yang bersemak
memudahkan penjenayah untuk melakukan jenayah.Contohnya kes pecah
rumah, penjenayah akan jadikan kawasan seperti ini sebagai sasaran
mereka kerana perbuatan mereka akan terlindung dari penglihatan umum
dan memudahkan mereka untuk bersembunyi.
PENGLIBATAN REMAJA DALAM JENAYAH
Jenayah bukan soal mudah dan boleh dipandang remeh. Banyak faktor
boleh mengakibatkan berlakunya jenayah dan banyak kesan negatif yang
berlaku juga disebabkan oleh jenayah. Persoalannya sekarang siapa yang
melakukan jenayah ini? Jawapannya, pasti di kalangan masyarakat sendiri
dan siapakah mereka ini? Sudah tentu golongan ini pernah melalui zaman
kanak-kanak, remaja hinggalah dewasa. Kajian seterusnya perlu dibuat
terhadap faktor yang mempengaruhi berlakunya jenayah di kalangan
remaja.
Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini negara kita sering dikejutkan dengan
kejadian jenayah yang membabitkan golongan remaja. Contohnya kes
yang dilaporkan di Sandakan, Sabah, mayat bogel Siti Nadirah Budah yang
berusia lima tahun ditemui tertanam dalam paya dan suspek yang terlibat
berumur 17 tahun. Walaubagaimanapun, kes itu bukanlah kes yang
melibatkan remaja yang paling muda memandangkan pada tahun 2000,
seorang lagi budak lelaki berusia 12 tahun di dakwa di mahkamah
kerana merogol dan membunuh Nor Shuhada Burak yang baru berusia 6
tahun. Apakah yang mendorong golongan muda ini melakukan jenayah?
Nampaknya remaja semakin ganas serta berani melakukan pelbagai
perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-
undang negara. Mana perginya peranan ibubapa, pihak sekolah, rakan
sebaya dan media massa dalam mendidik golongan muda ini dan apakah
yang akan terjadi jika dibiarkan saja golongan ini tanpa bimbingan? Apa
pula yang akan berlaku kepada negara kita nanti kerana golongan muda
inilah yang akan menjadi teras kepada kepimpinan negara?

Antara faktor-faktor yang mempengaruhi berlakunya jenayah di kalangan


remaja ialah;

Institusi Keluarga
Seorang ahli antropologi, George Peter Murdock mentakrifkan bahawa
keluarga adalah satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung,
mempunyai kerjasama dalam kegiatan ekonomi dan menambah zuriat.
Faktor kepincangan keluarga dan taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga
akan mencorak kehidupan seorang kanak-kanak. Kegagalan ibubapa
sendiri untuk membetulkan kepincangan anak-anak mereka akan
menyebabkan anak-anak ini tidak lagi menghormati mereka. Menurut
James Becker, ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan
menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang
sempurna dan ini akan menjejaskan ketahanan diri remaja. Selain itu, dalam
dunia yang serba moden ini, masyarakat yang inginkan kemewahan akan
menjadi semakin individualistik dan materialistik. Masyarakat moden tidak
lagi menerima suratan takdir dan mereka percaya bahawa usaha mereka
boleh membawa kebaikan. Jika dibanding dengan masyarakat tradisional,
masyarakat moden mempunyai cita-cita tinggi, mereka mahukan prestij, gaji
tinggi dan barang-barang untuk kepuasan diri. Apabila kedua-dua ibubapa
keluar bekerja, anak- anak akan terbiar dan tidak mendapat perhatian
daripada ibubapa yang sibuk dengan kerja masing-masing. Dengan ini,
remaja akan membantah dengan cara tersendiri untuk mendapatkan
perhatian.
Terdapat kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang
tidak stabil dengan kerosakkan akhlak di kalangan anak-anak
muda.Kebanyakan remaja yang datang dari keluarga bermasalah
dengan taraf sosio ekonomi yang rendah adalah antara faktor utama
remaja terjebak dalam kancah masalah disiplin atau lebih teruk lagi jenayah.

Pihak Sekolah
Sekolah merupakan sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada
masyarakat. Sebagai organisasi formal, sekolah mempunyai struktur
kepimpinannya sendiri. Guru Besar bertanggungjawab memimpin guru-guru,
kakitangan am dan para pelajar. Peringkat paling asas ialah kepimpinan
guru dalam bilik darjah, aktiviti-aktiviti akademik serta kokurikulum. Kini, guru
tersepit dalam menghadapi karenah pelajar bermasalah yang datang
darpada pelbagai latar belakang dan corak pendidikan ibubapa. Seorang
murid warganegara Malaysia di kehendaki menerapkan nilai-nilai material
dan bukan ala material, di mana jika murid ini mengingkari nilai-nilai
berkenaan, maka berlakulah penyelewangan budaya. Sekarang kurikulum
pendidikan Malaysia mengutamakan penerapan nilai-nilai murni dalam
mata pelajaran untuk membina budaya masyarakat. Walaubagaimanapun
terdapat juga amalan-amalan budaya yang berbeza di kalangan
kumpulan-kumpulan di sekolah yang selalunya menganggap sekolah
sebagai sesuatu yang tidak penting dan mengamal budaya lepak, budaya
botak dan budak black metal. Kelahiran budaya ini ada hubungan dengan
cara kehidupan di luar dan jika tidak diatasi, pelajar ini akan mudah
terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat yang menjurus kepada
penglibatan jenayah.
Media massa / Internet
Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam
mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi
yang semakin canggih, golongan remaja mudah terdedah kepada banyak
maklumat termasuk bahan yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan
bahaya jika digunakan tanpa panduan daripada golongan dewasa.
Golongan remaja mudah meniru dan mengikut hal di sekeliling mereka.
Paparan adegan- adegan negatif dari filem barat yang banyak
memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin
cuba dengan mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat
dan sesetengah program televisyen. Selain dari cakera padat, bahan-bahan
pornografi juga mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan
oleh pihak berwajib. Oleh itu, ibubapa seharusnya membimbing dan
memberi tunjuk ajar supaya remaja ini mendapat panduan yang betul.
Rakan Sebaya
Pengaruh rakan sebaya merupakan sumber yang paling kuat dalam
mengubah nilai dan sikap seseorang apabila pengaruh keluarga
berkurangan pada peringkat lewat kanak-kanak. Kanak-kanak yang
berasal dari keluarga yang bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan
sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan
tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat dan
mereka akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan untuk menarik
perhatian orang lain.
Sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja
masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud
di dalam persekitaran. Remaja yang menganggur, pendidikan tidak
kesampaian atau keciciran lebih awal, kehidupan keluarga yang tidak
terurus dengan baik, kurang disiplin serta pengawalan diri, mudah
terpengaruh, asas pendidikan agama yang lemah, kurang rasa
tanggungjawab dan mengharap orang lain, banyak menimbulkan masalah
dan menjadi beban kepada ibubapa dan masyarakat umumnya.
Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”, oleh
yang demikian, adalah wajar bagi masyarakat dan pihak berkuasa untuk
mencari punca bagi mengatasi masalah jenayah ini. Sebagai penjaga
kepada anak-anak, ibubapa perlu lebih peka dan sentiasa mengambil berat
tentang masalah yang dihadapi oleh anaknya. Sedarlah bahawa peranan
ibubapa dan masyarakat adalah untuk membentuk anak-anak untuk
menjadi baik. Jika sifat baik ini dapat disemai sejak mereka kecil, sudah pasti
mereka akan bebas dari aktiviti-aktiviti yang tidak sihat kerana Polis hanya
pihak berkuasa, tetapi masyarakat pula adalah pembentuk nilai yang baik.
PENCEGAHAN JENAYAH
Jenayah boleh diumpamakan sebagai penyakit. Untuk menangani jenayah,
samalah seperti mencegah dan mengubati penyakit. Untuk mencegah dan
mengubati penyakit secara berkesan, terlebih dahulu perlulah dikenalpasti,
apakah jenis penyakit serta punca dan kemudian barulah dibuat kajian,
bagaimana untuk mencegah atau mengubatinya. Sebagai perbandingan,
memerangi jenayah umpama keinginan untuk memadamkan satu
kebakaran. Melalui kaedah memadamkan kebakaran, seseorang tidak
akan dapat memadamkan api sekiranya semburan alat air atau buih
daripada pemadam api itu ditujukan pada nyalaan api di bahagian atas.
Sebaliknya semburan itu mestilah dihalakan kepada punca nyalaan api
yang berada di bahagian bawah. Ini adalah kerana pada bahagian
bawahlah letaknya ‘punca’ kebakaran itu, manakala bahagian atas adalah
‘akibat’ kebakaran itu sahaja.

Definisi Pencegahan Jenayah


Pencegahan jenayah ialah usaha yang mengandungi strategi dan
pendekatan secara reaktif dan proaktif untuk mencegah jenayah daripada
berlaku,menghapuskan peluang perlakuan jenayah, menghapuskan hasrat
untuk melakukan jenayah dan mendidik serta menyedarkan masyarakat
tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah.

Konsep Pencegahan Jenayah


Usaha awal yang dilakukan oleh masyarakat dan pihak berkuasa untuk
menghalang atau mewujudkan situasi yang tidak akan memberi ruang serta
peluang kepada jenayah untuk berlaku. Pencegahan jenayah merupakan
tindakan bersepadu dan berterusan yang melibatkan keseluruhan warga
Polis Diraja Malaysia dan masyarakat dalam mengatur strategi dan
tindakan pencegahan jenayah.

Pencegahan merangkumi kebolehan untuk menjangka kes-kes yang akan


berlaku bersesuaian dengan keadaan persekitaran dan trend jenayah masa
kini, pemerhatian terhadap tingkah laku masyarakat, menganalisa keadaan
dan tempat yang berisiko, bertindak mengurangkan peluang dan
mengambil tindakan-tindakan untuk mencegah jenayah daripada berlaku.
Pendekatan Pencegahan Jenayah Dari Sudut Masyarakat
Masyarakat memainkan peranan paling penting dalam membantu
mencegah atau mengurangkan jenayah dari berlaku. Dua pendekatan
yang perlu diambil oleh masyarakat dalam mencegah jenayah.

1 . Komitmen orang ramai dalam menjaga harta benda sendiri dan ini akan
mengurangkan peluang penjenayah untuk bertindak. Kajian dibuat
terhadap penjenayah, kebanyakkan mereka melakukan jenayah kerana
peluang yang dicipta oleh pemilik harta tersebut. Selain itu masyarakat
boleh memperketatkan lagi keselamatan sasaran dan melibatkan diri secara
aktif dalam kegiatan seperti RELA dan Jawatankuasa Keselamatan
Kampung (J3K).

2 . Tanggungjawab yang sah di sisi undang-undang melalui peruntukkan


Seksyen 11 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) yang mewajibkan tindakan orang
ramai untuk menolong Majistret, Jaksa Pendamai dan Polis dalam
menangkap atau menahan orang yang telah melepaskan diri dari
ditangkap, orang yang menganggu keamanan dan memberhentikan
rusuhan serta gaduh gempar.

3. Manakala Seksyen 13(1) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) memperuntukkan


orang ramai untuk memberi maklumat berhubung perkara-perkara seperti
yang dinyatakan di dalam Seksyen 13(1)(a) KPJ iaitu kesalahan-kesalahan
terhadap Negara, kesalahan-kesalahan terhadap ketenteraman awam,
kesalahan-kesalahan mengenai tubuh badan, penculikan, melarikan orang,
keabdian, kerja paksa, rogol, sumbang mahram, perbuatan luar tabii,
mencuri, pemerasan, rompak, khianat, pencerobohan jenayah dan pecah
rumah. Selain itu, peruntukkan Seksyen 13(1)(b) KPJ, orang ramai juga
diwajibkan untuk member maklumat berhubung hal kematian. Kegagalan
orang ramai untuk memberi maklumat ini kepada pihak Polis, merupakan
satu kesalahan dibawah Seksyen 176 Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan
hukuman penjara selama sebulan atau dengan denda boleh sampai
RM1,000.00 atau kedua-duanya sekali.

STRATEGI PENYELESAIAN
Pada umumnya jenayah seolah-olah berkisar hanya pada masalah sosial
dan keselamatan. Namun hakikatnya jenayah adalah masalah yang
berhubung rapat dengan soal pendidikan. Dalam konteks ini, jenayah
hanyalah umpama buah ‘busuk’ yang muncul di hujung ‘tangkai’,
sedangkan iasebenarnya sudah bermula lebih awal iaitu pada ‘akar’.
Selalunya fokus kita hanya terbatas untuk menangani ‘presenting problem’
yang bersifat luaran. Jarang kita mahu menyelam untuk mencari hakikat
atau ‘real problem’ yang bersifat dalaman. Akibatnya, jalan penyelesaian
yang kita pilih selalunya terfokus kepada soal-soal ‘kulit’ yang bersifat
hukuman, bukan lagi kepada soal isi yang bersifat pendidikan.

Oleh yang demikian pendekatan Pencegahan Jenayah haruslah dilihat dari


sudut penguatkuasaan undang-undang, kaunselling dan pendidikan yang
melibatkan pelbagai pihak seperti Jabatan-Jabatan Kerajaan, Pertubuhan
Bukan Kerajaan dan masyarakat sendiri, terutamanya ibubapa.

Penguatkuasaan undang-undang

1 . Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Seperti peruntukkan Seksyen 3(3) Akta Polis 1967, salah satu tugas utama
pihak Polis Diraja Malaysia ialah untuk mencegah dan mengesan jenayah.

2. Sistem Keadilan Jenayah


Sistem Keadilan Jenayah yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia,
Jabatan Peguam Negara, Mahkamah, Penjara (Rawatan / Pemulihan)
memainkan peranan yang penting dalam mencegah jenayah di
mana,pihak Polis akan mencegah dan mengesan jenayah, menangkap
serta mendakwa penjenayah. Jabatan Peguam Negara akan mengkaji
serta mengubal undang-undang selari dengan trend jenayah masa kini.
Pihak Mahkamah hendaklah memastikan setiap kes atau penjenayah yang
dituduh di mahkamah dibicara secepat mungkin agar kes tidak tertangguh
dengan lamanya. Hukuman yang dijatuhkan kepada penjenayah
hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Tugas pihak Penjara
pula ialah untuk menginsafkan serta menyedarkan banduan yang
dibebaskan setelah menjalani hukuman, agar mereka tidak akan terjebak
atau melakukan kesalahan jenayah lagi.

Kaunselling
Salah satu langkah pencegahan yang baik ialah melalui khidmat nasihat.
Kaunselling di peringkat sekolah atauIPT, memainkan perana penting
dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Di samping itu
kaunselling juga boleh dilaksanakan sebagai penunjuk arah kerjaya yang
patut dituju oleh remaja. Selain itu para guru kaunselor di sekolah-sekolah
juga boleh menganjurkan ‘Peer Kaunselling” di kalangan pelajar-pelajar. Ini
adalah jalan yang baik untuk membantu hubungan yang sihat di kalangan
remaja dan memupuk rasa tanggungjawab di antara satu sama lain.
Menurut kajian seperti dicatatkan dalam Cohen (1975) dan Phelps (1976),
remaja lebih mudah meluahkan masalah mereka di kalangan rakan sebaya
dengan mereka.
Oleh itu program ini bermanfaatkan jika dirancang dengan teliti dan
mengambil mereka yang berpengalaman dan mempunyai asas-asas
kaunselling remaja untuk menganjurkan dan memantapkan program
tersebut.

Selain itu, pihak-pihak NGO juga memainkan peranan yang penting dalam
memulihkan balik semangat mangsa-mangsa kes-kes penderaan, rogol dan
lain-lain kes jenayah. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan ialah
dengan memberi khidmat nasihat dan ceramah motivasi agar mangsa-
mangsa ini berupaya untuk keluar dari pompongan trauma yang dialami.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui program pemulihan dalam


komuniti dan pemulihan di Institusi dapat memberi peluang kepada para
penjenayah juvana untuk hidup bersama masyarakat tanpa menyisihkan
mereka dari aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Pendidikan
Jenayah adalah produk proses pendidikan yang tidak selesai dan ia adalah
pelakuan lahiriah yang bermula dari dalam diri, yang berkait soal kejiwaan,
perasaan dan pemikiran. Ia disebabkan oleh sifat-sifat dalaman yang
negatif. Misalnya rogol, bunuh, rompak adalah lahir daripada sifat-sifat buruk
dalam diri pelaku akibat daripada sikap tamak, buas, marah, hasad dengki,
kecewa dan rakus. Dengan ini jelaslah sifat-sifat buruk yang menjadi punca
berlakunya jenayah yang tidak dapat diatasi oleh penguatkuasaan undang-
undang semata-mata. Justeru undang-undang hanya boleh dikuatkuasakan
pada perlakuan-perlakuan lahiriah yang ‘telah’ berlaku, sedangkan sifat-sifat
buruk yang menjadi punca, tidak boleh diatasi sebelum ia diterjemahkan
dalam bentuk tindakan.

Jabatan Pelajaran
Melalui pendekatan akademik iaitu dengan menambahkan lagi aktiviti-
aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-
kurikulum di sekolah dan IPT. Ceramah-ceramah sivik yang menekankan
pengetahuan agama, kesedaran mengenai jenayah dan bahaya
pengambilan dadah akan memberi gari panduan kepada para pelajar
untuk bertindak. Sistem pendidikan merupakan wadah yang paling baik
untuk menetapkan nilai-nilai akhlak dan moral yang baik. Pendidikan moral
dapat memberi pengaruh sangat besar dalam mencorak sikap dan akhlak
seseorang yang akan mempengaruhi nilai-nilai sosialnya.

Masyarakat
Masyarakat memainkan peranan paling penting dalam membantu dalam
mencegah atau mengurangkan jenayah dari berlaku. Dua pendekatan
yang perlu diambil oleh masyarakat dalam pencegahan jenayah;

1. Komitmen orang ramai iaitu dengan mengurangkan peluang penjenayah,


memperketatkan keselamatan sasaran dan melibatkan diri dalam aktiviti
RELA dan Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK).

2. Aspirasi, harapan dan nilai satu-satu masyarakat dapat mempengaruhi


pembentukan personaliti remaja. Apabila nilai- nilai dan norma-norma
masyarakat sihat, remaja yang membesar dalam situasi ini turut menjadi
anggota masyarakat yang bertanggungjawab, berdedikasi, rajin berusaha
dan sedia berkorban untuk menolong orang lain.

Ibubapa
Ibubapa merupakan penentu pola-pola tingkah laku remaja. Ibubapa yang
sentiasa member dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang
tinggi (T. Marimuthu, 1990). Disiplin yang berterusan dan hubungan yang baik
antara ibubapa dengan remaja dapat meningkatkan motivasi di dalam
pelajaran. Keutuhan keluarga dapat menjamin kecemerlangan remaja
khususnya dalam alam pendidikan dan perkembangan personaliti. Cara
gaya keibubapaan atau cara asuhan dipercayai banyak mempengaruhi
personaliti remaja.

You might also like