You are on page 1of 3

TAJUK: JENAYAH DALAM MASYRAKAT MODEN SUMBER: INTERNET Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden semakin membimbangkan

kerana jenayah mengancam keamanan, ketenteraman, dan kebahagiaan masyarakat dan negara. Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat dan negara boleh berlaku kerana kepincangan ekonomi. Sistem ekonomi yang tidak sihat dalam negara yang mengamalkan dasar ekonomi liberal dan kapitalis lebih cenderung melahirkan penjenayah ekonomi yang melakukan penipuan dan penyelewengan. Penjenayah ekonomi sukar dikesan kerana perniagaan dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang dibenarkan. Kemudahan dan sokongan sistem kredit membolehkan golongan peniaga yang tidak jujur mengambil kesempatan dan melakukan penyelewengan modal dan pinjaman. Bank yang lebih mengutamakan pengusaha dan golongan kaya menghadapi masalah penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh golongan ini. Kegawatan ekonomi membawa kesan yang buruk kepada pasaran saham. Kejatuhan nilai mata wang dan nilai saham serta meningkatnya jumlah golongan yang muflis memberi kesan kepada perkembangan jenayah dalam masyarakat. Meningkatnya masyarakat berhutang dan tidak mampu menyelesaikan beban hutang serta kegagalan dalam perniagaan mendekatkan golongan ini kepada jenayah. Kegawatan ekonomi juga menjadikan seseorang terdesak melakukan jenayah. Hilang pekerjaan dan keperluan hidup yang mendesak boleh menyebabkan seseorang terlibat dengan kegiatan jenayah seperti merompak, peras ugut, atau membunuh. Sistem dan faktor ekonomi boleh juga menyebabkan meningkatnya penjenayah kolar putih yang melakukan penyelewengan dan penipuan. Kejadian pecah amanah merupakan jenayah yang semakin mengancam kepentingan masyarakat dan negara. Rasuah boleh meruntuhkan ekonomi, pengurusan, dan keselamatan negara. Oleh itu, perkembangan ekonomi yang cekap, sihat, dan adil perlu diwujudkan bagi membersihkan segala bentuk gejala jenayah ekonomi. Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden juga berlaku kerana kemerosotan nilai murni dalam kehidupan individu dan masyarakat. Sikap mementingkan diri sendiri dan cemburu akan kesenangan dan kejayaan orang lain mendorong berlakunya perbuatan jenayah. Masyarakat semakin hilang kekuatan dan terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah kerana ketandusan nilai murni dan nilai moral. Jenayah yang berlaku dalam masyarakat mempunyai kaitan dengan penyakit dan masalah sosial yang dihadapi oleh individu dan masyarakat. Hal ini termasuklah amalan gaya hidup bebas, suka akan hiburan yang melampau, kenakalan dan kejahatan, berasa seronok

dengan kegiatan sensasi dan kejam, perlumbaan kereta atau motosikal haram, amalan seks bebas, pelacuran, dan perjudian. Fenomena yang berlaku ini mencerminkan masyarakat moden semakin jahiliah sifatnya. Bagi membendung berleluasanya jenayah nilai hidup yang harmoni, kesabaran, ketenangan, dan bertimbang rasa perlu dipupuk. Persekitaran sosial yang buruk dan tekanan hidup seperti kemiskinan, kemunduran, dan kegiatan antisosial, seperti gengsterisme, pengedaran dadah, dan pelacuran, boleh menyebabkan golongan muda, khususnya belia, melakukan pwlbagai bentuk salah laku, termasuk jenayah berat. Kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam merupakan kawasan yang berbahaya dan mempunyai rekod jenayah yang membimbangkan masyarakat setempat. Pengaruh media massa yang berunsur ganas dan bersifat destruktif sukar dibendung dalam era teknologi terkini. Malah, jenayah dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam kehidupan manusia moden. Jenayah merupakan produk sosial yang berkembang dalam sesuatu sistem dan persekitaran sosial masyarakat. Jika sistem dan persekitaran sosial yang wujud tidak sihat, gejala sosial akan mudah menular, dan akhirnya menjurus kepada peningkatan kadar jenayah yang tinggi dalam masyarakat tersebut. Sistem sosial yang menjadi punca berlakunya kepincangan masyarakat dewasa ini, bukan sahaja disebabkan oleh kelemahan institusi keluarga, malah unsur-unsur asing atau budaya kuning merupakan pemangkin kepada kebejatan moral, dan seterusnya memberi memberi impak yang negatif sehingga menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah yang berlaku dalam masyarakat yang terbabit. Struktur kelas sosial golongan bawahan yang luas memungkinkan gejala sosial semakin berleluasa. Keadaan ini akan mengancam keselamatan rakyat di negara kita. Persekitaran sosial yang buruk juga boleh menyebabkan berlakunya kemelut sosial yang menjadikan sesuatu kawasan tidak dapat menarik minat golongan pengusaha untuk memajukannya bagi kegiatan perniagaan, pelancongan, dan perusahaan. Kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dianggap mempunyai risiko yang menyebabkan kerugian dari segi pelaburan. Peningkatan kadar jenayah di negara membangun seperti Malaysia boleh juga dikaitkan dengan faktor imigrasi penduduk dan pendatang haram yang mendatangkan pelbagai masalah sosial, termasuk jenayah berat seperti membunuh dan merompak. Jumlah pendatang asing, khususnya pendatang haram dari negara jiran, seperti Indonesia, Filipina, dan Myanmar, semakin meningkat. Kemasukan pendatang tanpa izin menjadi beban sosial di negara kita. Pengaruh budaya negatif seperti pergaulan babas di tempat asal mereka akan menular dalam kalangan penduduk tempatan. Selain itu, mereka yang gagal dalam mencapai impian untuk membina kehidupan yang lebih baik di negara ini, mudah terjerumus ke kancah jenayah sehingga menyebabkan tindakan undang-undang terpaksa diambil terhadap mereka yang terbabit.

Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden berhubung kait dengan etika dan peraturan sosial. Dalam mewujudkan masyarakat yang beretika, langkah yang wajar ialah kerjasama daripada semua lapisan masyarakat itu sendiri. Masyarakat yang beretika mempunyai tanggungjawab sosial dan moral yang kukuh dalam membanteras pelbagai bentuk jenayah. Jika tidak, lunas etika yang lemah boleh menyebabkan wujudnya krisis dan dilema dalam masyarakat kerana kecenderungan pihak tertentu untuk melakukan jenayah pastilah sukar dibendung. Jenayah akan terus meningkat dan menjadi lebih kritikal sekiranya etika tidak menjadi tunjang pembinaan masyarakat dan negara. Masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan juga penting demi membanteras fenomena tersebut. Undang-undang memberi kuasa kepada pihak berwajib seperti polis dan pasukan keselamatan, untuk membantu dalam melindungi masyarakat dan negara daripada ancaman sebarang bentuk jenayah. Undang-undang perlu memberi lebih banyak kuasa kepada polis untuk melaksanakan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan rakyat. Pengukuhan kuasa juga membolehkan pihak yang berwajib ini bertindak dengan lebih tegas bagi mengatasi masalah jenayah, khususnya jenayah yang melibatkan pihak yang mempunyai pengaruh termasuk wang, kuasa, dan kedudukan yang tinggi. Kerjasama polis dan masyarakat setempat merupakan konsep pemuafakatan bijak yang berkesan dan sesuai dengan konsep membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah.

You might also like