You are on page 1of 7

CABARAN WANITA BEKERJAYA DALAM MENGURUSKAN RUMAHTANGGA : SATU KAJIAN DALAM

KALANGAN STAF FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAAN

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh wanita bekerjaya di
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kolej Uniti dalam menguruskan rumah tangga. Ia juga bertujuan
mengenal pasti cara-cara untuk mengatasi cabaran wanita bekerjaya dalam menguruskan rumah
tangga. Satu set soal selidik yang mengandungi 51 item soalan telah diedarkan kepada 23 responden
daripada keseluruhan populasi 77 orang staf wanita. Data yang diperolehi telah dianalisis secara
deskriptif untuk mendapatkan nilai kekerapan, peratusan, dan min dengan menggunakan perisian
Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 14.0 for window. Nilai kepercayaan soal selidik ialah
α = 0.889. Nilai min bagi objektif pertama dan kedua iaitu ialah 2.78 dan 4.46. Data yang diperolehi
dijelaskan dalam bentuk jadual.Min keseluruhan ialah sebanyak 3.53. Kajian ini diakhiri dengan
beberapa cadangan daripada penyelidik kepada wanita yang bekerjaya agar dapat menyeimbangkan
antara kerjaya dan urusan rumah tangga dengan baik. Kajian lanjutan juga dicadangkan untuk
penyelidikan pada masa yang akan datang.
PENGENALAN

Dewasa ini, perkembangan ilmu pengetahuan semakin meningkat dan terus maju dari semasa ke
semasa. Perkembangan ilmu ini membawa kepada meluasnya pelbagai bidang tugas dan peranan
yang telah diceburi oleh setiap lapisan masyarakat tidak mengira status, jantina dan sebagainya.
Golongan wanita juga tidak terkecuali dalam menceburkan diri dalam bidang tugas ini. Penglibatan
golongan wanita pada hari ini menunjukkan pada dunia bahawa wanita adalah salah satu golongan
yang memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan dan kemajuan pada masa kini.
Golongan wanita pada zaman globalisasi telah mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam
kehidupan dan kerjaya masing-masing. Ini kerana penciptaan wanita itu amat hebat dan wanita
mempunyai keistimewaannya tersendiri. Oleh itu peranannya bukan sahaja di rumah sebagai ibu,
isteri malah peranannya sekarang lebih meluas sehingga merangkumi pelbagai aspek kehidupan
termasuk sosial, politik dan ekonomi. Semenjak kedatangan Islam, kedudukan wanita dipandang
tinggi oleh masyarakat berbanding dengan keadaan wanita pada zaman jahiliyyah. Ini kerana pada
zaman jahiliyyah mereka yang mempunyai anak perempuan akan terasa terhina dan masyarakat
pada zaman tersebut memandang rendah terhadap mereka. Kini, melalui dasar-dasar yang telah
dibawa oleh Islam, wanita tidak lagi diketepikan dan tidak lagi menjadi suatu penghinaan dan mereka
telah diberikan pelbagai peluang untuk memajukan kehidupan diri dan keluarga mereka dengan
segala kemudahan seperti peluang pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.
LATAR BELAKANG MASALAH

Penglibatan wanita terhadap bidang kerjaya telah menunjukkan bahawa wanita pada zaman kini
telah mengorak langkah menuju ke arah suatu perubahan yang berbeza berbanding wanita pada
zaman dahulu. Kini kedudukan wanita yang bekerjaya tidak hanya sekadar berada di rumah malah
mereka telah mencapai suatu pencapaian yang membanggakan semua pihak. Tapi sejauh mana
persediaan wanita bekerjaya ini dalam menempuhi cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh
mereka dalam memastikan peranannya dalam institusi kekeluargaan dan alam kerjayanya tidak
terjejas. Melalui cabaran-cabaran itulah yang menjadi penggerak untuk meneruskan apa yang telah
diceburi oleh mereka. Cabaran-cabaran ini telah menimbulkan pelbagai implikasi kepada diri mereka
dan orang yang berada di sekeliling mereka. Antaranya ialah kegagalan menjalankan tugas dan
tanggungjawab terhadap keluarga, pergaulan bebas di tempat kerja dan mereka terpaksa
menghadapi tanggapan negatif daripada golongan lelaki terhadap kebolehan wanita yang bekerja.
Secara umumnya cabaran yang terbesar ialah pengurusan masa antara dua perkara iaitu masa
terhadap keluarga dan kerjaya. Kesemua cabaran ini akan dapat diatasi dengan mengambil kira
segala apa yang telah digariskan oleh ajaran Islam berkaitan dengan etika dan garis panduan yang
perlu dipatuhi oleh wanita yang bekerjaya. Ini kerana Islam telah menetapkan yang terbaik kepada
umatnya. Sememangnya Islam tidak pernah melarang wanita itu melibatkan diri mereka dengan
pekerjaan. Pekerjaan merupakan satu ibadah kepada Allah SWT dan dalam menjalankan ibadah itu
Allah SWT tidak mengira sama ada lelaki atau wanita asalkan pekerjaan yang dilakukan itu
bertetapan dengan kehendak Islam dan tidak melanggar syariat yang digariskan bagi menjamin
keredaan-Nya dalam setiap apa yang dilakukan. Keberkatan dalam pekerjaan akan terserlah
sekiranya pekerjaan itu dilakukan ikhlas semata-mata kerana-Nya.
PERNYATAAN MASALAH

Melihat pada kemajuan semasa dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini, ramai
golongan wanita yang melibatkan diri dengan alam pekerjaan. Bagi wanita yang telah berkeluarga
misalnya, mungkin dengan cara melibatkan diri mereka dengan pekerjaan akan dapat meringankan
beban suami masing-masing dalam mencari nafkah dengan tujuan dapat memberikan keselesaan
kepada anak-anak mereka. Penglibatan wanita yang telah berumah tangga dalam bidang pekerjaan
telah mengundang pelbagai konflik dan cabaran yang terpaksa ditempuhinya. Cabaran ini dapat
dilihat apabila terdapat segelintir wanita yang mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga
mereka demi menjaga kepentingan kerjayanya sehingga secara tidak langsung telah menyebabkan
timbulnya krisis dalam menguruskan rumah tangga.

Dengan ini, amatlah wajar bagi penulis membuat kajian yang lebih terperinci tentang cabaran-
cabaran yang terpaksa dihadapi oleh wanita yang bekerjaya dalam menguruskan rumah tangga bagi
melihat sejauh manakah cabaran ini memberikan kesan kepada pengurusan dalam rumah tangga.
Selain itu juga, kajian ini juga dilakukan bagi mendapatkan langkah-langkah yang dapat membantu
wanita yang bekerjaya menghadapi cabaran yang terpaksa ditempuhinya.
Objektif kajian

Objektif yang ingin dicapai melalui kajian ini ialah:

1. Mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh wanita yang bekerjaya dalam menguruskan rumah
tangga.

2. Mengenal pasti cara-cara mengatasi cabaran yang dihadapi oleh wanita yang bekerja dalam
menguruskan rumah tangga.

Persoalan kajian

1. Apakah cabaran-cabaran yang dilalui oleh wanita bekerjaya dalam menguruskan rumah tangga.

2. Apakah cara-cara untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh wanita yang bekerjaya dalam
menguruskan rumah tangga.
METODOLOGI

Data primer kajian ini diperolehi melalui kaedah soal-selidik. Hal ini demikian kerana kos bagi soal

selidik ini adalah rendah dan kerangka sampelnya mudah dibentuk. Tambahan pula, yang pentingnya

ialah responden mempunyai privasi untuk menjawab soalan secara peribadi. Instrumen soal selidik

disesuaikan daripada soal selidik yang telah digunakan oleh kajian Geetha Subramaniam & Doris

Padmini Selvaratnam pada tahun 2010 terhadap 175 sample di Lembah Kelang. Sampel kajian ini

adalah terdiri daripada tenaga buruh wanita yang bekerja secara fleksibel tanpa mengira keturunan,

agama, status perkahwinan dan tahap pendidikan. Responden yang berkaitan diminta untuk mengisi

set borang soal selidik yang terdiri daripada lima bahagian dengan keseluruhannya mengandungi

soalan-soalan berkaitan dengan isu kajian yang dijalankan. Jadi, data-data soal selidik yang telah

dipungut ini akan dimasukkan dalam perisian komputer, iaitu melalui sistem “Statistical Package For

Social Science” (SPSS) dan dianalisis dengan menggunakan analisis kualitatif dan kuantitatif. Segala

keputusan kajian kemudian diterjemahkan dalam bentuk jadual bagi memudahkan penganalisisan

dilaksanakan. Data primer daripada soal selidik yang dibuat terbahagi kepada lima bahagian. Antara

isi kandungan soal selidik ini meliputi Bahagian A: Maklumat peribadi responden, Bahagian B: Latar

Belakang Pekerjaan Fleksibel, Bahagian C: Faktor pendorong wanita dalam pekerjaan fleksibel,

Bahagian D: Cabaran pembahagian masa oleh golongan wanita dalam pekerjaan fleksibel dan

Bahagian E: Masalah yang dihadapi oleh golongan wanita dalam pekerjaan fleksibel.
KESIMPULAN

Walaupun wanita memang dikenali empunyai pelbagai tugas pada satu masa (multi-tasking) , hanya

beberapa tahun kebelakangan itu, banyak pihak mula menyedari akan kepentingan penglibatan guna

tenaga wanita dalam ekonomi. Sumbangan wanita mula diiktiraf dan wanita diberikan pendidikan

formal malah wanita juga diberi kepercayaan untuk memegang jawatan lebih tinggi dalam sesuatu

pekerjaan. Kini, wanita terus maju dalam kerjaya sehingga mampu menyaingi pekerja lelaki dalam

apa-apa jua bidang, mahupun dalam bentuk pekerjaan yang berlainan daripada biasa seperti

pekerjaan fleksibel. Namun begitu, penglibatan wanita dalam sektor ekonomi juga telah membawa

kepada keregangan hubungan kekeluargaan serta kewujudan masalah-masalah lain dalam kehidupan

mereka. Oleh itu, guna tenaga wanita harus lebih bijak mengatur langkah dalam kehidupan kerjaya

supaya dapat menyeimbangkan kerjaya dan keluarga. Lantaran itu, pasaran kini banyak menerapkan

pekerja wanita fleksibel dalam menimbangkan tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh

wanita di samping dapat mengurangkan kos output. Sungguhpun fleksibiliti di tempat kerja tidak

bererti individu yang bekerja boleh memilih keadaan pekerjaannya yang hanya sesuai dengan

keperluan masing-masing, tetapi individu seharusnya mempunyai kebebasan untuk meninggal dari

parameter kerja yang tradisional. Corak kerja alternatif ini mungkin akan mengurangkan produktiviti

kerja tetapi fleksibiliti daripada peraturan kerja alternatif ini akan menghasilkan keluarga sihat dan

keluarga penyayang selaras dengan Wawasan 2020. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memainkan

peranan penting bagi mengatasi cabaran dan masalah yang dihadapi di samping memantapkan

kualiti pekerja wanita di Malaysia lagi. Didapati peranan pihak-pihak tersebut terutamanya pihak

kerajaan boleh memberi kesan kepada peningkatan kualiti dan guna tenaga wanita di negara ini. Bagi

memastikan langkah-langkah yang dijalankan lebih efektif, pihak-pihak berkenaan seharusnya saling

berganding bahu untuk memajukan guna tenaga wanita fleksibel di Malaysia lagi. Semoga kaum

wanita lebih mantap dan hebat dalam menghadapi persaingan dengan kaum lelaki di dalam semua

bidang pekerjaan khususnya bidang pekerjaan fleksibel pada masa akan datang.

You might also like