You are on page 1of 5

Laporan Refleksi Pengajaran Makro Matematik

Pengenalan

Pada 15 Ogos 2012 yang lepas, bersamaan dengan Hari Ketiga saya menjalankan Pengalaman
Berasaskan Sekolah (PBS) yang ke-empat (Rabu), saya telah menjalankan pengajaran makro mengenai
topik “Masa” terhadap 23 orang murid-murid Tahun 4 Bestari di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama.

Pengajaran makro ini dijalankan bertujuan untuk memenuhi kehendak tugasan kursus Perancangan dan
Pengajaran Matematik (MTE 3107) di samping memberikan peluang kepada saya untuk merasai
bagaimanakah persediaan dan perasaan apabila saya menjalankan praktikum pada semester depan
kelak. Pengajaran makro yang dijalankan selama satu jam (60 minit) tersebut dijalankan di bawah
seliaan seorang guru Matematik yang berpengalaman 22 tahun di sekolah tersebut, iaitu Puan Fauziah
Haji Abu Bakar.

Walaupun terdapat banyak gangguan dan kekangan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut,
namun bersyukur kepada Tuhan kerana saya telah berjaya melaksanakan pengajaran tersebut dengan
lancar. Terdapat banyak perkara yang telah saya pelajari sepanjang merancang dan melaksanakan
pengajaran makro ini. Oleh itu, refleksi ini akan membincangkan pengalaman perancangan dan
pembelajaran, kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan, kelebihan, masalah, dan kelemahan yang
telah dikenalpasti, serta cadangan-cadangan penambahbaikan untuk pengajaran makro atau pengajaran
yang seterusnya.

Pengalaman Perancangan dan Pembelajaran

Selepas kumpulan kami menerima kertas tugasan ini pada 30 Julai 2012, kami telah duduk bersama di
perpustakaan institut untuk membincangkan topik dan tahun manakah yang hendak kami ajar. Kami
menggunakan masa yang agak panjang untuk menentukan topik yang hendak diajar kerana kami sedar
bahawa setiap topik mempunyai kesukaran dan cabaran yang tersendiri apabila menjalankan
pengajaran makro kelak. Setelah lama berbincang, akhirnya kami bulat hati memutuskan bahawa kami
akan mengajar topik “masa” bagi Tahun 4. Keputusan ini diambil memandangkan kami berpendapat
bahawa topik ini lebih menarik dan senang diajar berbanding dengan topik-topik yang lain. Malah, kami
yakin bahawa kami mampu menyediakan bahan bantuan mengajar (BBM) dan lembaran kerja yang
menarik bagi topik ini.

Lantas, kami pun mula mengenalpasti hasil pembelajaran yang hendak kami capai pada akhir unit
pembelajaran kelak. Kami sedar bahawa adalah mustahil bagi seseorang guru untuk mengajar terlalu
banyak kandungan pembelajaran pada masa satu jam ini. Oleh itu, kami hanya menetapkan satu hasil
pembelajaran bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH) pada kali ini, iaitu “memahami, membaca, dan
menulis masa dalam unit jam dan minit”.
Sepanjang merancang RPH ini, kami juga menghadapi kesukaran untuk menentukan kaedah dan teknik
pengajaran yang mahu kami gunakan semasa mengajar kelak. Namun, dengan mengambil kira kelebihan
dan kelemahan yang dapat kami kenal pasti terhadap semua teknik dan kaedah yang sedia ada, serta
kesesuaiannya terhadap topik ini, akhirnya kami bertekad untuk menggunakan gabungan beberapa jenis
kaedah agar pengajaran kami lebih berfleksibel dan menarik.

Akhir sekali, kami juga meluangkan masa untuk memikirkan bahan bantuan mengajar dan lembaran
kerja. Salah satu sebab kami memilih topik ini juga disebabkan kami merasakan bahawa ia memiliki
bahan bantuan mengajar yang sangat senang diperoleh, iaitu jam. Selepas menyediakan lembaran kerja,
maka kami bersedia untuk menjalankan pengajaran makro.

Kaedah dan Teknik Pengajaran

Terdapat beberapa jenis kaedah dan teknik pengajaran yang telah saya guna pakai semasa menjalankan
pengajaran makro yang lepas. Antaranya ialah pembelajaran koperatif. Menurut Tai (2000),
pembelajaran koperatif didefinisikan sebagai sekumpulan murid belajar dalam kumpulan kecil secara
bekerjasama bagi mencapai matlamat pendidikan yang dikongsi bersama. Pembelajaran sebegini
dikatakan mampu menggalakkan murid mengambil bahagian dalam P&P secara aktif di samping dapat
meningkatkan keberkesanan pembelajaran sesuatu pelajaran. Oleh itu, sebelum saya memulakan
pengajaran makro saya pada hari tersebut, saya telah membahagikan murid-murid Tahun 4 Bestari
kepada 5 kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada 4-5 orang murid.

Selain itu, saya juga telah menggunakan kaedah bercerita semasa menjalankan pengajaran makro.
Kaedah ini digunakan sepanjang masa, apabila saya menjalankan fasa set induksi saya, iaitu
menyampaikan satu cerita bagaimana perkembangan jam dari masa dahulu hingga kini, Saya sedar
bahawa penggunaan kaedah bercerita dapat menarik minat murid di samping menggalakkan
penglibatan mereka semasa proses P&P.

Di samping itu, saya juga telah mengamalkan kaedah demonstrasi sepanjang mengajar di kelas 4 Bestari
tersebut. Menurut Noriati, Boon, dan Sharifah (2009), demonstrasi merupakan satu cara untuk melatih
murid memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur. Pada hari itu, saya diibaratkan
sebagai model hidup apabila saya mengajar murid-murid bagaimana untuk melukis waktu pada jam di
papan hitam dan juga bagaimana memusing anak jarum untuk menunjukkan waktu yang betul pada jam
dinding yang sebenar.

Malah, saya turut menggunakan pendekatan deduktif, iaitu pengajaran dari umum ke spesifik sepanjang
pengajaran makro ini. Contohnya, saya telah memberitahu murid-murid bahawa semasa membaca
waktu pada jam, kita perlu lihat dan membaca jarum jam terlebih dahulu, diikuti dengan jarum minit
sebelum kami melihat contoh-contoh soalan, kemudian murid mencuba sendiri dan menjawab soalan-
soalan yang terdapat pada lembaran kerja.
Kelebihan yang Dikenalpasti

Sepanjang menjalankan pengajaran makro di kelas 4 Bestari, saya sedar bahawa kumpulan kami telah
berjaya mecipta satu cerita yang sangat menarik untuk peringkat set induksi pengajaran kami. Hal ini
demikian kerana apabila saya menyampaikan cerita dan menampalkan kad-kad cerita pada papan
hitam, maklum balas murid-murid adalah begitu memberangsang. Semua murid juga mengambil
bahagian apabila saya mengemukakan soalan-soalan untuk dijawab oleh mereka. Keadaan ini
memberikan ikthibar kepada saya bahawa kita harus mempunyai satu set induksi yang menarik supaya
dapat terus menarik perhatian murid dan membolehkan proses P&P ini berjalan dengan lancar dan
berjaya.

Selain itu, saya berpendapat bahawa saya mempunyai keyakinan diri yang amat tinggi sepanjang
menjalankan pengajaran makro saya. Walaupun saya tidak pernah mengajar sebelum ini, namum saya
tetap bertindak seperti saya seorang guru yang sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan semasa
mengajar murid-murid 4 Bestari. Pada saya, keyakinan diri ini adalah amat penting kerana murid hanya
akan mendekati, menghormati, dan mencontohi tindakan gurunya apabila gurunya sentiasa
berkeyakinan dalam menjalankan semua tugasannya. Kesannya, pengajaran saya berjaya dan semua
murid membuat apa yang saya minta tanpa menimbulkan sebarang masalah disiplin.

Kefasihan dan kelancaran bahasa yang ada pada diri saya juga membantu saya menyempurnakan
pengajaran makro pada hari ini. Walaupun saya berhadapan dengan semua murid Melayu, namun saya
masih dapat menyampaikan segala kandungan pembelajaran saya dengan lancar tanpa sebarang
masalah ketidakfahaman bahasa.

Penggunaan bahan bantu mengajar, iaitu jam, dan juga lembaran kerja yang menarik juga membolehkan
murid mengekalkan minat dan motivasi mereka terhadap pelajaran dan menyebabkan mereka sentiasa
melibatkan diri secara aktif sepanjang proses P&P ini. Oleh itu, BBM dan juga lembaran kerja juga
memainkan peranan dalam pelaksanaan pengajaran makro yang berjaya dan berkesan.

Masalah dan Kelemahan yang Dikenalpasti

Pada hari pertama saya pergi ke sekolah tersebut untuk PBS, saya dimaklumkan bahawa kelas yang
bakal saya ajar tersebut tidak mempunyai kemudahan ICT. Ini bermakna saya tidak dapat menggunakan
perisian power point untuk menyampaikan cerita saya pada set induksi dan kandungan pembelajaran
saya. Kesannya, saya terpaksa memikirkan alternatif yang lain, iaitu menggunakan kad-kad untuk
menyampaikan cerita saya, dan menggunakan kad-kad manila dan juga papan hitam untuk
menyampaikan kandungan pembelajaran saya.

Semasa menjalankan pengajaran makro, saya mendapati bahawa saya menghadapi masalah untuk
menyempurnakan apa yang telah dirancangkan untuk setiap langkah. Contohnya, pada peringkat set
induksi, saya mendapati saya telah menggunakan masa yang terlampau panjang, iaitu kira-kira 10 minit
untuk menyempurnakannya. Ini menyebabkan saya harus mempercepat segala langkah pembelajaran
saya dan mengurangkan sesetengah langkah pengajaran saya. Saya menjadi semakin cemas dan
terburu-buru apabila saya mendapati saya telah melebihi masa pengajaran saya.

Selepas pengajaran, saya mendapati bahawa kumpulan kami telah memasukkan terlalu banyak langkah
pengajaran dalam satu-satu peringkat fasa. Walaupun pada awalnya secara teori, kami rasa langkah ini
tidak banyak, namun, apabila kami melaksanakannya, kami menghadapi masalah kekurangan masa.
Maka kami sedar bahawa penguasaan masa untuk setiap langkah merupakan salah satu aspek yang
perlu kami jaga dan tambah baik selepas ini.

Walaupun saya dapat melaksanakan pengajaran makro saya dengan berjaya, tetapi saya mendapati
bahawa murid-murid seakan-akan tertekan semasa saya mengajar. Selepas melihat semula proses
pengajaran makro saya, saya mendapati bahawa unsur humor atau kecindaan masih kurang dalam diri
saya. Saya juga mendapati bahawa saya agak serius dan tidak senyum, dan ini mungkin menyebabkan
murid-murid beranggapan bahawa saya ialah seorang guru yang garang dan tegas.

Cadangan Penambahbaikan

Saya berpendapat bahawa pengajaran makro saya akan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna
sekiranya saya dapat menggunakan kemudahan ICT yang sesuai untuk menyampaikan pengajaran saya.
Hal ini demikian kerana saya mampu membuatkan kandungan penyampaian saya lebih menarik dan
kelihatan lebih canggih. Contohnya, saya dapat menayangkan video semasa mengajar atau
menggunakan animasi untuk menyampaikan cerita saya. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa
sebagai seorang guru, kita perlu menyesuaikan diri dengan semua keadaan yang dihadapi dan
seterusnya memikirnya alternatif untuk menyelesaikannya.

Selain itu, saya sedar bahawa RPH yang akan kami hasilkan pada masa yang akan datang tidak harus
terlalu padat dengan langkah pengajaran dan aktiviti. Hal ini demikian kerana kita perlu mengambil kira
masalah-masalah yang mungkin akan timbul dengan tiba-tiba dalam bilik darjah dan mengambil masa
untuk menyelesaikannya. Selain itu, kita juga perlu mengambil kira penerimaan murid terhadap
pengajaran kita sambil menjangkaan respon murid. Tiada gunanya sekiranya kita menetapkan terlalu
banyak hasil pembelajaran, tetapi murid tidak dapat menguasai apa-apa pun pada akhir pembelajaran.
Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati semasa merancang RPH dan membuat persediaan yang lebih rapi
semasa menyediakan pengajaran saya kelak.

Malah, adalah lebih baik sekiranya saya mendapatkan komen atau refleksi tentang pengajaran daripada
murid pada akhir kelas, sama ada secara bertulis atau lisan. Melalui cara ini, saya akan dapat lebih
mudah melihat kelemahan yang ada pada perspektif murid dan membaikinya.

Akhir sekali, saya sedar bahawa membuat persediaan awal yang rapi adalah perlu dan mustahak agar
dapat menguasai penggunaan masa dalam kelas dengan lebih baik. Semasa membuat persediaan awal
yang lebih rapi, saya dapat menjalankan rehearsal dan memastikan bahawa saya dapat menyampaikan
semua kandungan pengajaran saya pada masa yang telah ditetapkan.
Penutup

Kesimpulannya, saya mempelajari banyak perkara yang tidak dapat saya pelajari dalam kuliah daripada
pengajaran makro ini. Ini memberikan keyakinan kepada saya bahawa saya akan dapat menunjukkan
prestasi yang cemerlang apabila saya menjalankan praktikum semester depan kelak.

You might also like