You are on page 1of 8

TUGASAN 1:

1. Konsep hubungan etnik dari perspektif ekonomi, politik, dan sosial serta peranan
perlembagaan sebagai untuk membina jati diri bangsa dalam konteks masyarakat
pluralistik.

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk


pelbagai bangsa dan kepercayaan. Namun, pernah kah kita terfikir bagaimana boleh wujud
masyarakat majmuk di Malaysia? Masyarakat majmuk wujud semasa kita di bawah
penjajahan British. Revolusi industri menyebabkan wujudnya pelbagai kaum di Malaysia. Hal
ini kerana, Tanah Melayu yang berpotensi dalam industri perlombongan dan perusahaan
getah telah menyebabkan pihak British membawa pendatang asing daripada China dan
India. Semasa penjajahan British, telah wujudnya satu dasar yang dinamakan dasar pecah
perintah yang telah dibuat oleh pihak British untuk kaum imigran dan penduduk bumiputera.
Dasar pecah perintah ini telah mendatangkan banyak impak besar kepada Tanah Melayu
daripada pelbagai aspek pada masa itu dan kesannya boleh dilihat sampailah sekarang.

Semasa penjajahan British, konsep stereotaip hubungan etnik wujud dalam


perspektif ekonomi apabila bermulanya dasar pecah perintah oleh British. Setiap kaum
dipecahkan di mana majoriti etnik Melayu terdiri daripada petani dan nelayan tinggal di
kawasan perkampungan, etnik Cina terlibat dalam sektor perniagaan dan perlombongan,
manakala sebilangan besar etnik India merupakan buruh di estet. Kegiatan ekonomi yang
berbeza telah mewujudkan jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Hal ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekonomi antara kaum yang
mendorong setiap kaum saling mencemburui satu sama lain. Konsep stereotaip ini
menyebabkan timbulnya persaingan ekonomi tidak sihat di mana setiap kaum tidak mahu
satu kaum yang lain lebih berjaya dan menonjol daripada mereka. Menurut Joseph Stiglitz,
bekas Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia (1997-2000), hubungan etnik yang harmonis menjadi
teras kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia (Mohd Sohaimi Esa,
Dayu Sansalu & Budi Anto Mohd Tamring, 2012). Namun, British telah menyekat
pertumbuhan ekonomi dan kestabilan ekonomi Tanah Melayu pada masa itu. Dasar pecah
perintah yang dilaksanakan oleh British mempunyai agenda yang tersendiri supaya mereka
boleh menguasai ekonomi Tanah Melayu.

Konsep masyarakat majmuk dalam konsep hubungan etnik dalam perspektif sosial
bermula apabila masyarakat Cina dan India masuk ke Tanah Melayu dengan ramai pada
awal abad ke-20. Hal ini telah mengubah corak dan sistem sosial alam Melayu ketika itu.
Kewujudan masyarakat majmuk ini telah mendatangkan kesan negatif dan kesan positif
kepada persekitaran sosial di Tanah Melayu. Kesan negatif yang jelas ialah kedatangan
imigran Cina dan India yang terlalu ramai telah menimbulkan fenomena asing dalam
masyarakat tempatan menyebabkan berlakunya masalah sosial. Pertubuhan kongsi gelap
berorientasikan negara masing-masing telah wujud menyebabkan suasana harmoni di
Tanah Melayu terjejas dan aktiviti kongsi gelap berleluasa. Selain itu, kegiatan pelacuran
dan penagihan candu juga menjadi semakin teruk. Namun, kesan positif pula wujudnya
masyarakat heterogenous yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India dan
berlakunya asimilasi bangsa di mana lahirnya sub-kategori penduduk berdarah campuran.
Kemasukan imigran luar semasa penjajahan British mewujudkan masyarakat pelbagai
kaum, ras, etnik dan bangsa yang dikenali sebagai masyarakat majmuk di Tanah Melayu.

Penjajahan British juga menyebabkan wujudnya konsep diskriminasi dari aspek


politik dalam konsep hubungan etnik. Diskriminasi merupakan manifestasi prasangka yang
wujud dalam kalangan kumpulan etnik dan mudah berlaku apabila wujud prejudis dan
stereotaip dalam sesebuah masyarakat. Konsep diskriminasi berlaku apabila setiap kaum
ingin menonjolkan identiti dan bersemangat perkauman untuk kepentingan satu kaum
sahaja. Misalnya pada tahun 1937, orang India menubuhkan persatuan India untuk
membaiki keadaan pekerja-pekerja India ke arah yang lebih baik. Selain itu, dasar penjajah
juga telah menyebabkan pembesar-pembesar Melayu terlepas untuk menguasai
perusahaan melombong bijih timah akibat keutamaan yang diberikan oleh British kepada
imigran luar. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat
Melayu yang menganggap mereka telah ditindas di negara sendiri. Semangat perkauman di
Tanah Melayu menjadi lebih teruk apabila terdapat parti-parti politik yang mengangkat
perbezaan dalam kalangan kaum seperti membangkitkan isu sensitif yang berkaitan dengan
bahasa, budaya, ekonomi dan hak-hak istimewa.

Kepelbagaian etnik telah membawa kepada pembentukan perlembagaan di


Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan panduan asas kepada
pelaksanaan sistem politik di Tanah Melayu dan berlandaskan kontrak sosial yang
dipersetujui bersama antara kaum. Perlembagaan Persekutuan Malaysia dibentuk
berasaskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan
1957. Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan perlembagaan bertulis yang
mengandungi 15 Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual. Perlembagaan ini merupakan
undang-undang tertinggi dan asas kepada pembentukan undang-undang lain di Malaysia.
Perlembagaan terbentuk berdasarkan manifestasi kesedaran penduduk pelbagai kaum
bersama mengikat jalinan kerjasama dan permuafakatan untuk membentuk Malaysia yang
merdeka. Perlembagaan juga menjadi asas pembentukan jati diri dalam kalangan
masyarakat pluralistik di mana orang Melayu bersetuju menerima kehadiran orang bukan
Melayu dengan memberikan taraf kerakyatan, manakala orang bukan Melayu bersetuju
terhadap hak-hak istimewa orang Melayu. Oleh sebab itu, perlembagaan memainkan
peranan penting untuk membina jati diri bangsa dalam konteks masyarakat pluralistik.

Antara peranan Perlembagaan Malaysia dalam pembinaan jati diri bangsa adalah
sebagai panduan asas untuk setiap kaum bagi menghormati budaya dan sensitiviti kaum
yang lain. Menurut Perkara 8 (1), semua warganegara Malaysia tanpa mengira kaum adalah
sama rata di sisi undang-undang. Perkara 11 juga menyatakan bahawa Islam merupakan
agama persekutuan di samping agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Oleh
itu, semua rakyat Malaysia haruslah menghormati adat dan kepercayaan kaum lain.
Contohnya, jika kaum India mempercayai lembu sebagai haiwan suci dalam agama mereka,
maka kaum lain haruslah menghormati perkara itu dan tidak mempersendakan kepercayaan
mereka. Sikap saling menghormati antara kaum penting untuk memastikan keharmonian
negara terjamin. Contohnya, peristiwa hitam yang melibatkan kematian anggota bomba
akibat rusuhan kaum di kuil Maha Mariamman pada November 2018 menunjukkan
kurangnya kefahaman isu sensitiviti antara kaum. Oleh itu, undang-undang yang telah
termaktub dalam perlembagaan Malaysia haruslah dipatuhi oleh rakyat Malaysia.

Menurut Hasnah Husin (2007), kewujudan perlembagaan bertujuan untuk


mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil. Pemerintahan yang adil mempengaruhi
pembinaan jati diri bangsa dalam masyarakat pluralistik. Jika pemerintahan dapat dijalankan
dengan adil, setiap kaum akan merasakan diri mereka tidak ditindas dan hak mereka
terpelihara. Perkara 10 dalam perlembagaan memperuntukkan kebebasan bercakap,
berhimpun dan menubuhkan persatuan kepada semua warganegara. Kebebasan bersuara
dihadkan dengan penubuhan Akta Hasutan 1970 bagi mengelakkan bangkitnya isu sensitif
antara kaum. Contohnya, peristiwa pada 13 Mei 1969 telah menjadi saksi kepada rusuhan
kaum yang teruk sehingga berlakunya kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Justeru itu, pemerintahan yang adil berasaskan pelaksanaan perlembagaan dapat
mengelakkan berlakunya persengketaan antara kaum di mana hak kesamarataan yang
telah dipersetujui bersama diiktiraf dalam masyarakat. Pemerintahan yang adil akan
membuatkan rakyat pelbagai kaum berpuas hati dan tidak timbul rasa cemburu serta
sekaligus dapat membina jati diri bangsa Malaysia yang kukuh dalam setiap diri masyarakat.

Perlembagaan juga berperanan untuk menjamin keamanan dan kestabilan negara


untuk membina jati diri bangsa dalam masyarakat pluralistik. Menurut Mustafa Ishak (2006),
perlembagaan mempunyai peranan penting dalam memastikan keutuhan dan kestabilan
sesebuah negara. Kestabilan negara menjadi pedoman bagi pembentukan perpaduan
nasional. Apabila wujudnya perpaduan nasional, maka kesejahteraan masyarakat majmuk
akan terjamin. Contohnya, dalam sukan bola sepak misalnya, setiap rakyat haruslah
mengetepikan semangat perkauman dan bersatu padu menyokong pasukan negara. Selain
itu, semua rakyat Malaysia haruslah berusaha menggembleng tenaga agar penjajah asing
tidak akan berani untuk menceroboh negara dan mendatangkan kekacauan di Malaysia.
Contohnya, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013 dapat
dijadikan pengajaran di mana anggota polis yang dihantar telah berusaha sehabis daya
untuk mempertahankan negara sehingga terkorban. Oleh sebab itu, jika perpaduan mampu
dipupuk dalam diri setiap masyarakat sejak daripada awal perkara kecil sehingga perkara
besar, keamanan negara pasti akan terjamin. Hal ini juga dapat mengelakkan daripada
berulangnya peristiwa hitam 13 Mei yang menggugat keharmonian perpaduan negara.

2. Usaha kerajaan dan cabaran yang dihadapi dalam menangani masalah integrasi
nasional masyarakat Malaysia kini.

Integrasi nasional merupakan satu proses dinamik yang merapatkan


masyarakat antara negeri dan wilayah bagi membentuk satu bangsa Malaysia berteraskan
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara untuk meningkatkan semangat muhibah
demi keharmonian dan kesejahteraan negara. Menurut Prof. Madya Dr Zainal Abidin Ahmad
Mazlan Zulkifly (2006), integrasi nasional adalah satu proses yang menyepadukan pelbagai
kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama. Justeru itu, masalah integrasi
nasional akan menyebabkan perpaduan pelbagai kaum terjejas. Menurut Tun Abdul Razak
dalam ucapan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada April 2015, perpaduan adalah amat
penting kerana jika tidak ada perpaduan maka kita tidak akan menikmati keamanan dan jika
tiada keamanan maka tiada pembangunan dan prosperiti. Oleh itu, pelbagai usaha telah
dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani masalah integrasi nasional masyarakat
Malaysia kini. Selaras dengan kata-kata Salleh Lebar (1998), integrasi yang diterima atau
yang biasa dikehendaki ramai adalah satu proses yang cuba menyatupadukan masyarakat
majmuk atau pelbagai kaum dan mewujudkan pula pembentukan kebudayaan kebangsaaan
atau nasional yang tersendiri dalam kalangan mereka.

Antaranya, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan interaksi sosial dalam


masyarakat melalui pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan. Menurut Yani Yahaya
dan Mary Tan Swee Ee (2004), pembangunan sosial penting ke arah pembangunan dan
perpaduan negara dan dijalankan melalui penglibatan aktiviti sosial. Sebagai contoh,
penubuhan Rukun Tetangga oleh Tun Abdul Razak pada Ogos 1975 adalah untuk
memastikan keselamatan masyarakat pelbagai kaum terjamin. Kini, Rukun Tetangga
berkembang sebagai organisasi sukarela yang melaksanakan aktiviti dan perkhidmatan
untuk memupuk, meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan,
kesejahteraan dan kualiti hidup dalam kalangan masyarakat. Penubuhan organisasi lain
seperti Skuad Uniti, Mediator Komuniti, dan Anggota Skim Rondaan Sukarela juga
merupakan salah satu pendekatan untuk memupuk perpaduan kaum. Dalam pada itu,
kerajaan juga memupuk aktiviti yang dijalankan menerusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan
seperti memperkenalkan konsep rumah terbuka semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun
Baru Cina dan Deevapali. Contohnya, semasa perayaan Hari Raya Adilfitri, kaum lain
seperti India dan Cina juga turut meraikan bersama masyarakat Melayu dengan cara
berkunjung ke rumah mereka untuk sama-sama menikmati juadah dan mengeratkan
hubungan silaturahim. Hal ini dapat menggalakkan masyarakat pelbagai etnik untuk saling
berkunjung dan menyambut perayaan bersama-sama. Hubungan mesra masyarakat tanpa
mengira kaum dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyakat Malaysia. Di
samping itu, budaya kunjung-mengunjungi ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila
kurangnya syak wasangka antara kaum berbilang bangsa.

Namun, cabaran yang dihadapi dalam melancarkan pelaksanaan program


kemasyarakatan ini ialah dari segi nilai etnik. Proses kemasyarakatan menjadi terbatas
kerana masyarakat tidak terdedah kepada adat-adat dan kebudayaan etnik lain. Kurangnya
pengetahuan dalam budaya masyarakat kaum lain menyebabkan pembinaan hubungan
mesra antara kaum terhalang. Sikap sesetengah masyarakat yang enggan bekerjasama
dalam penyertaan program kemasyarakatan telah menutup minda mereka tentang kaum
lain. Contohnya, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 menunjukkan kurangnya penghayatan nilai
perpaduan kesan daripada tebalnya semangat perkauman antara masyarakat. Hal ini telah
menyekat terjalinnya hubungan baik antara kaum. Sikap pentingkan diri sendiri dan
menganggungkan budaya sendiri juga menjadi racun yang menyebabkan aktiviti sosial
antara kaum terbatas. Apabila program kemasyarakatan dan penubuhan organisasi
perpaduan tidak mendapat sokongan masyarakat, maka masalah integrasi nasional menjadi
semakin sukar untuk diatasi. Lebih mencabar lagi apabila setiap kumpuan etnik menjadikan
fahaman etnosentrisme sebagai pegangan dalam masyarakatnya.

Selain itu, usaha kerajaan untuk mengatasi masalah integrasi nasional melalui
sistem pendidikan ialah melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian
Pelajaran Malaysia 2006 – 2010. Salah satu fokus dalam PIPP ialah memperkasakan
Sekolah Kebangsaan (SK). Tujuan pelaksanaan program ini adalah supaya Sekolah
Kebangsaan dapat menjadi salah satu teras Rancangan Malaysia ke-9 di mana Sekolah
Kebangsaan dijadikan sebagai tempat mempuk perpaduan kaum dan pusat kecemerlangan
pendidikan dalam bidang akademik. Menurut Prof. Madya Dr Zainal Abidin Ahmad Mazlan
Zulkifly (2006), tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai kelemahan dan
ancaman yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Dasar memperkasakan Sekolah Kebangsaan bertujuan supaya SK kekal sebagai
pilihan utama masyarakat Malaysia pelbagai kaum. Hal ini kerana, dengan cara
memperkasakan Sekolah Kebangsaan, diharap rakyat Malaysia yang terdiri daripada
berbilang bangsa dapat memilih untuk menempatkan anak mereka di satu sekolah di mana
muridnya dapat berinteraksi dan bergaul dengan kaum yang lain sejak dari bangku sekolah
lagi. Apabila murid pelbagai kaum ditempatkan di satu sekolah yang sama, mereka dapat
belajar cara untuk menghormati perbezaan budaya dan agama sejak dari awal lagi.
Contohnya, susun atur rawak murid di dalam kelas tanpa mengikut sesuatu kaum dapat
mengeratkan lagi hubungan murid pelbagai kaum. Misalnya mereka dapat menjalankan
tugasan kumpulan bersama-sama dan memberikan pendapat masing-masing. Murid akan
belajar untuk berinteraksi dengan murid kaum lain dengan cara yang baik dan berhemah.
Penubuhan Kelab Rukun Negara di sekolah juga dapat meningkatkan pengetahuan,
pemahaman dan penghayatan warga sekolah terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara. Kelab
Rukun Negara ini berperanan menjalankan aktiviti yang boleh memupuk murid untuk
menghormati budaya dan adat resam kaum-kaum di Malaysia Hal ini dapat memupuk
integrasi dan menjalin perpaduan kaum sejak di peringkat persekolahan lagi. Melentur buluh
biarlah dari rebungnya.

Namun,usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya sekolah-sekolah di Malaysia masih


lagi berpegang kepada kepentingan kaum masing-masing. Sistem pendidikan yang
berasingan juga merupakan cabaran bagi menangani masalah integrasi nasional dalam
kalangan masyarakat Malaysia kini. Keadaan ini disebabkan interaksi sesama mereka
hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama sahaja walaupun kurikulum adalah sama di
semua jenis sekolah. Dalam pada itu, sekolah-sekolah jenis kebangsaan masih
menempatkan pelajar-pelajar yang terdiri daripada kaum yang sama dalam satu sekolah
mengurangkan peluang pelajar untuk berinteraksi dengan pelajar daripada kaum lain.
Semangat kekitaan dalam kalangan pelajar menjadi sukar untuk dipupuk dan menjadi
penghalang kepada perpaduan. Selain itu, polarisasi dalam kalangan pelajar juga
merupakan masalah dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun interaksi kaum pada
peringkat awal persekolahan seperti tadika perpaduan adalah baik, namun keterasingan di
peringkat sekolah rendah dan menengah serta institusi tinggi masih lagi wujud. Persekitaran
pendidikan seperti ini juga menjadi cabaran dalam mengatasi masalah integrasi nasional di
Malaysia.
Usaha kerajaan untuk menangani masalah integrasi nasional yang seterusnya ialah
melalui amalan bersukan. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan sebagai
tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Misalnya, di
peringkat sekolah, setiap sekolah pasti akan mengadakan Kejohanan Olahraga Tahunan
yang melibatkan semua murid berbilang kaum. Pembahagian kumpulan rumah sukan
secara rawak tanpa mengikut kaum dapat mengeratkan hubungan kekitaan antara murid
dan juga guru di mana mereka masing-masing bersorak memberi sokongan kepada atlet
rumah sukan masing-masing tanpa mengira bangsa. Amalan sukan seperti pelaksanaan
Dasar 1 Murid 1 Sukan, Kejohanan Peringkat MSSM, Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan
Olimpik juga merupakan medium utama yang boleh mengukuhkan perpaduan kaum dan
sekali gus mengatasi masalah integrasi nasional. Sukan Olimpik yang diwakili oleh atlet
yang terdiri daripada pelbagai bangsa merupakan satu kebanggaan kepada rakyat Malaysia
apabila mereka mampu mengharumkan nama negara di persada dunia. Contohnya, apabila
Dato Lee Chong Wei, Pandelela Rinong dan Nur Suryani Mohd Taibi melangkah ke
gelanggang perlawanan, sokongan padu warga Malaysia adalah perkara paling penting
untuk menguatkan semangat mereka. Oleh itu, sukan merupakan jambatan perpaduan
kaum di Malaysia kerana sukan mempunyai nilai murni yang melahirkan generasi sihat
fizikal, rohani dan mampu mengukuhkan kesejahteraan kaum.

Namun, cabaran yang dihadapi dalam amalan sukan untuk memupuk perpaduan
antara kaum ialah memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu
kaum sahaja. Contohnya, permainan bola keranjang negara misalnya mampu diwakili oleh
pelbagai kaum di Malaysia sebagai satu pasukan dan bukan hanya di monopoli oleh kaum
Cina sahaja. Apabila sesuatu sukan hanya dimonopoli oleh kaum tertentu sahaja, ini akan
menjadi penghalang untuk mengeratkan semangat kesukanan kaum pelbagai bangsa di
mana satu pasukan itu hanya mengandungi satu kaum sahaja. Penyokong juga pastinya
terdiri daripada kaum yang sama menyokong pasukan tersebut. Jika dibandingkan dengan
sukan yang mempunyai pelbagai kaum sebagai satu pasukan, semangat kekitaan dapat
dipupuk dengan mudah. Hal ini kerana, satu pasukan itu akan bekerjasama dan berusaha
untuk menang tanpa mengira kaum dalam ahli pasukan mereka.

Konklusinya, sejak pertama kali British menjejak kaki di Tanah Melayu, mereka
mempunyai agenda mereka yang tersendiri di mana mereka hanya menginginkan kekayaan
sumber di Tanah Melayu. British menggunakan banyak helah untuk mencapai impian
mereka. Kesan penjajahan British yang paling ketara dan boleh dilihat sampai sekarang
adalah wujudnya masyarakat majmuk pelbagai bangsa di Malaysia. Oleh itu, sebagai rakyat
Malaysia, kita haruslah memainkan peranan untuk menjaga ketenteraman dan perpaduan
negara agar negara Malaysia boleh membangun seiring dengan negara maju yang lain.
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi mengekalkan perpaduan antara
masyarakat. Semuanya bergantung kepada masyarakat itu sendiri sama ada ingin menjadi
rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri ataupun sebaliknya. Memetik kata-kata Perdana
Menteri Tun Dr. Mahathir “manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat
menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan”.

You might also like