You are on page 1of 21

“PEMUPUKAN MASYARAKAT PELBAGAI KAUM YANG HARMONIS:

ISU DAN REAKSI DALAM ERA MALAYSIA BAHARU”

PENGENALAN
Negara kita, Malaysia amat bertuah dan unik kerana memiliki kekayaan pelbagai budaya,
agama, kepercayaan, bahasa pertuturan serta amalan adat yang berbeza antara kumpulan etniknya.
Penduduk rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum yang utama iaitu Melayu, Cina dan India di
samping kaum-kaum lain yang tergolong dalam kumpulan etnik minoriti. Masyarakat majmuk
sangat sinonim dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan pelbagai kaum serta kita
mempunyai lebih kurang 80 kaum di seluruh Malaysia. Menurut Kamus Dewan, konsep
masyarakat membawa maksud kumpulan manusia yang menetap bersama-sama disuatu tempat
dengan mengikut aturan dan cara tertentu dan masyarakat ini pula terdiri daripada beberapa kaum
atau bangsa. Oleh itu, gabungan kedua-dua istilah masyarakat majmuk membawa maksud `satu
kumpulan manusia yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa telah membentuk satu kesatuaan,
khususnya dalam aspek politik, sosial dan ekonomi di sesuatu tempat bagi membentuk satu
kumpulan yang bersatu padu’.

Manakala, menurut pendapat Furnivall, beliau mengatakan bahawa masyarakat majmuk


muncul akibat daripada dasar-dasar penjajah yang menggalakkan penghijrahan penduduk
mengikut keperluan ekonomi mereka yang telah mengakibatkan wujudnya kelompok-kelompok
yang pelbagai ragam dalam satu unit politik. Kelompok-kelompok ini bercampuran antara satu
sama lain. Namun begitu, setiap kumpulan etnik tersebut tidak bergantung antara kaum lain dan
amat berpegang kuat kepada agama, bahasa, budaya, idea-idea dan cara hidup yang tersendiri.
Mereka masih kekal berbepang teguh pada ajaran agama, bangsa dan kepercayaan hidup masing-
masing.

Kehadiran pelbagai kaum pada asasnya telah bermula semasa era kegemilangan zaman Melaka
melalui proses perdagangan yang dijalankan pada masa tersebut. Walau bagaimanapun, kehadiran
mereka ini tidak dapat digerak menyusuri istilah masyarakat majmuk. Penggunaan istilah
masyarakat majmuk itu sendiri hanya bermula pada penghujung abad ke-18 dengan adanya
peranan pihak British. Malaysia yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu pada suatu ketika
dahulu telah dijajah oleh tiga negara yang berbeza iaitu Portugis, Belanda, British dan Jepun.
Masalah integrasi antara kaum merupakan fenomena biasa dalam kalangan negara yang
pernah dijajah oleh kuasa asing. Dasar “pecah dan perintah” yang menjadi polisi British di Tanah
Melayu menyebabkan masyarakat berbilang kaum hidup dalam keterasingan. Kesan perlaksanaan
dasar ini mempropagandakan idea bangsa sebagai suatu yang semula jadi dan asas perbezaan
kemanusiaan (Gomez1999:84).Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) melahirkan
masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri tertentu.

Kewujudan pengkhususan ekonomi dan pengasingan tempat tinggal dalam kalangan


kumpulan-kumpulan etnik bukan sahaja mengurangkan peluang-peluang perhubungan antara
kumpulan etnik tetapi memperkuatkan lagi prasangka etnik, stereotaip dan etnosentrisme dalam
kalangan anggota-anggota kumpulan etnik. Pengasingan tempat tinggal mengikut garis kumpulan
etnik ini membolehkan anggota tiap-tiap kumpulan memelihara Privasi dalam kumpulan daripada
kumpulan lain (Sanusi 1981).

Selepas merdeka, sebahagian besar masyarakat Malaysia masih mempunyai wawasan


bersepah (fragmented vision) berasaskan kepada perjuangan kaum dan etnik sempit yang boleh
menggugat perpaduan dan kesejahteraan hubungan antara kaum (Abdul Rahim 2001: 184).
Perkauman masih kuat mempengaruhi pemikiran, sikap dan nilai, tuntutan, aspirasi dan
persaingan, prejudis, stereotaip dan diskriminasi dalam segala aspek antara kaum di Malaysia
(Chandra Muzaffar 1996). Kesemua unsur ini menyumbang kepada tercetusnya masalah dan
konflik antara etnik. Namun begitu, keunikan, kekayaan dan kepelbagaian ini turut menjadi mercu
tanda kejayaan negara dalam pengurusan hubungan etnik yang mementingkan aspek toleransi,
budi pekerti dan kerjasama.

Ungkapan yang cukup popular dan sering didengar selepas keputusan Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14) ialah “Malaysia Baharu’. Secara umumnya, ungkapan ini dikaitkan dengan
kedudukan landskap politik baru di negara ini yang menyaksikan buat pertama kalinya Barisan
Nasional (BN) gagal membentuk Kerajaan Persekutuan dan Malaysia ditadbir oleh pasukan baharu
yang dikenali sebagai Pakatan Harapan(PH). Memang tidak dapat dinafikan bahawa tahap
perpaduan kaum di negara kita terus tidak menentu dan adakalanya cukup mencemaskan. Politik
perkauman yang mewarnai kehidupan masyarakat Malaysia sejak merdeka lagi meletakkan setiap
kaum di negara ini dalam ruang lingkup parti yang berasaskan kaum masing-masing.
Walaupun kita bangga dengan status sebagai sebuah negara majmuk yang hebat, tetapi pada
hakikatnya isu perkauman tetap terus menjadi duri dalam daging. Hubungan etnik wajar
dimantapkan dari semasa ke semasa agar mencapai satu tahap integrasi yang lebih bersepadu.

Rukun Negara dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberi amaran yang keras kepada pemimpin dan rakyat
Malaysia untuk bersatu padu agar dapat hidup bersama-sama dengan aman dan damai. Rukun
Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 selepas Peristiwa 13 Mei 1969 membuktikan pihak
kerajaan menyedari bahawa penumpuan pembangunan negara sebelum itu terlalu menitikberatkan
aspek fizikal. Peristiwa 13 Mei 1969 ternyata memberi kesan yang mendalam kepada semua pihak.
Keamanan serta kesejahteraan masyarakat perlu dipelihara agar kepentingan setiap kaum sentiasa
dilindungi.

Sejak kemerdekaan sehingga hari ini kerajaan mula berusaha ke arah mengisi kekosongan
dalam kehidupan masyarakat di Malaysia supaya dapat membina satu bangsa Malaysia yang
bersatu padu dan membangkitkan semangat cintakan tanah air. Pada pendapat saya, penggubalan
Rukun Negara jelas memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman antara kaum dan
mempertingkatkan lagi perpaduan kaum di Malaysia. Setelah Rukun Negara digubalkan, ia telah
disampaikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda melalui pendidikan dan media
massa. Pelajar-pelajar di sekolah juga dipastikan boleh menghafal lima prinsip Rukun Negara dan
berikrar untuk mematuhinya sebelum memulakan aktiviti pelajaran harian dan semasa
perhimpunan mingguan. Rukun Negara juga boleh dipaparkan di pelbagai medium seperti di muka
belakang buku latihan sekolah, poster di dinding pejabat dan juga di tembok bangunan awam dan
swasta. Pada pendapat saya, Rukun Negara seharusnya dilihat pada perspektif yang lebih luas dan
perlu dijadikan teras utama untuk pembinaan modal insan yang seimbang. Rukun Negara juga
merupakan satu ideologi yang penting kerana ia merangkumi aspek penting kehidupan seseorang
insan dalam masyarakat terutama dari segi perpaduan, keadilan, demokrasi dan kebebasan .
Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Sejak awal kemerdekaan lagi tolak ansur telah wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia
dengan adanya kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum dan termaktub dalam
perlembagaan negara. Dalam usaha menjamin kelangsungan perpaduan nasional, kerajaan juga
telah merangka pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi garis panduan dalam
usaha membentuk satu bangsa yang bersatu dan mempunyai identiti negara, serta dapat mencirikan
keperibadian bangsa Malaysia yang unik dan unggul. Kemudian, dasar tersebut telah digubal
berlandaskan kepada perakuan yang telah dibuat melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang
diadakan pada 1971. Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri
kedua iaitu Tun Haji Abdul Razak.

Antara tiga prinsip utama dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah budaya kebangsaan
Malaysia mestilah berasaskan kepada budaya peribumi, elemen-elemen daripada budaya lain yang
sesuai juga wajar dimasukkan ke dalam budaya kebangsaan dan Islam merupakan elemen penting
dalam kebudayaan kebangsaan. Sesungguhnya, dasar-dasar kerajaan yang bukan bersifat ekonomi
inilah yang berjaya seimbangkan dasar-dasar kerajaan lain dalam memastikan pembangunan
negara dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Dalam konteks tersebut, saya juga ingin
menegaskan kenyataan sejak kebelakangan ini negara kita menghadapi pelbagai cabaran terhadap
pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis.

Seterusnya, konsep penerimaan dalam kalangan rakyat Malaysia juga masih kurang.
Konsep penerimaan yang dirujuk di sini ialah budaya biasa, iaitu merujuk kepada unsur-unsur
budaya amalan biasa merentasi sempadan etnik. Misalnya, penerimaan bahasa Melayu bukan
sahaja sebagai elemen integrasi tetapi juga kepada pembinaan budaya yang sama. Selain daripada
itu, program-program kerajaan yang telah dijalankan turut kurang menunjukkan penerimaan
bahasa Melayu sebagai budaya rasmi negara Malaysia. Sesetengah program kerajaan sebelum ini
turut menggunakan singkatan perkataan bahasa Inggeris atau penggabungan kata bahasa Melayu
dan bahasa Inggeris seperti ‘IM 4U’, ‘Rakan Cop’ dan ‘UTC. Contoh-contoh ini menunjukkan
bahawa kerajaan Malaysia juga mempinggirkan penggunaan bahasa Melayu. Saya juga ingin
menyatakan kesilapan seperti ini tidak sepaptutnya diulang semula dalam pelaksanaan kerajaan
era baharu Malaysia demi menjamin pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis.
Konsep penerimaan bahasa rasmi negara ini perlu wujud dalam diri setiap warganegara
Malaysia untuk menjamin pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis di Malaysia.
Namun saya menerima realitinya, iaitu penerimaan identiti kebudayaan kebangsaan dalam
kalangan rakyat Malaysia masih berada dalam tahap yang tidak memuaskan. Selagi konsep
penerimaan tidak boleh diterima oleh setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum atau agama,
realitinya kebudayaan kebangsaan itu hanya wujud sebagai satu dasar kerajaan sahaja. Kerajaan
Malaysia boleh terus mengadakan kerjasama dengan pihak –pihak swasta serta melancarkan
program-program baharu yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia.

Dari sudut lain pula, pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bukanlah mudah, bukan
sahaja kerana konsepnya yang abstrak, tetapi juga kerana kewujudan pelbagai golongan, terutama
kaum bukan Melayu yang meragui dan mempertikaikannya. Kewujudan pelbagai kaum di
Malaysia melambatkan proses merealisasikan pembentukan kebudayaan kebangsaan. Secara tidak
langsung, pelbagai kumpulan dan pertubuhan menentang dasar tersebut yang mempunyai agenda
untuk menegakkan budaya dan bahasa etnik berkenaan. Mereka enggan berkorban dan
berkompromi. Bukan sahaja soal seni, tarian dan budaya yang membabitkan, tetapi juga yang
membabitkan bahasa. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila gelombang globalisasi semakin
hebat. Pembentukan kebudayaan kebangsaan kadangkala begitu hangat sehingga menimbulkan
konflik tajam dalam masyarakat Malaysia. Di sinilah tergugatnya perpaduan rakyat di negara kita.
Setiap rakyat Malaysia wajar menghormati dan menerima adat, kepercayaan serta amalan kaum
lain agar dapat mewujudkan suasana hidup yang aman dan damai.
Cabaran-cabaran untuk mengekalkan perpaduan dan pemupukan masyarakat pelbagai kaum
yang harmonis.

Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu politik perkauman boleh menimbulkan
perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil
tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan,
pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik, pastinya,
ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Isu ini ditambah lagi dengan
usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi Malaysian Malaysia bagi mendapatkan hak
yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini.Sekali pandang ianya merupakan suatu isu
yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan kontrak sosial yang dibuat sebelum negara
ini mencapai kemerdekaan.

Sejak zaman penjajahan lagi, di Malaysia masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa
penjajahan British. Mereka menjalankan dasar “divide and rule” iaitu dasar pecah dan perintah
agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara pada masa tersebut. Rakyat Malaysia
terpaksa menerima kenyataan dasar penjajah yang sama telah memisahkan kaum-kaum utama
negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Misalnya, masyarakat Melayu
mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar bandar iaitu di kampung-kampung.
Manakala, penduduk cina ditempatkan di lombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana
aktiviti perlombongan dan perdagangan telah dijalankan oleh mereka. Tidak ketinggalan
masyarakat india pula ditempatkan di ladang-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah
menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan etnik semakin terhad dan menjadi
bertambah renggang.

Jika dikupas dari segi ekonomi perkara yang paling nyata ialah perbezaan dari segi pekerjaan
di mana perbezaan ini telah mula-mula diwujudkan oleh pihak British melalui dasar pecah dan
perintah seperti mana dinyatakan sebelum ini. Masalah ini telah mewujudkan perasaan curiga dan
telah mewujudkan jurang ekonomi antara kaum-kaum terbabit. Akibat daripada dasar yang dicipta
oleh British itu, kesannya masih lagi dapat dilihat sampai sekarang di mana sektor perniagaan
masih lagi didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di ladang-
ladang.
Perbezaan pekerjaan ini telah membataskan interaksi sosial antara mereka kerana masa
banyak diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik
yang sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum yang
sama sahaja. Kesannya adalah di mana perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi semakin
kuat dan menebal di antara kaum yang terbabit.

Campur tangan kuasa luar juga boleh melunturkan perpaduan di negara ini. Beberapa individu
yang dikenalpasti sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Amerika Syarikat dan
Australia dalam usaha mendapatkan sokongan dan dokongan terhadap permasalahan yang mereka
hadapi. Kehadiran beberapa pemimpin dari luar ini boleh dianggap cuba mencampuri urusan
negara ini kerana cuba mempertikaikan isu hubungan sesama jenis dan hak golongan lesbian, gay
dan transgender di negara ini.Segelintir anggota masyarakat juga mengaitkan isu di atas sebagai
isu hak asasi manusia di negara ini. Isu LGBT juga kini mendapat perhatian daripada ramai orang
dan terdapat juga beberapa pihak yang menjadikan isu ini sebagai isu hak asasi maka ianya
mendapat sokongan sebahagian daripada anggota masyarakat. Pada pandangan saya, setiap
perkara atau aktiviti yang tidak berasaskan ajaran agama patut dielakkan sebelum menjadi serius.
Hal ini kerana perbuatan yang tidak bermoral jelas akan merosakkan pemikiran generasi muda
kini.
Isu penyalahgunaan media massa.

Selain daripada itu, media massa juga salah satu cabaran yang utama dalam pembentukan
masyarakat harmonis di Malaysia. Media massa pula dapat dibahagikan kepada dua iaitu media
cetak serta media elektronik. Kedua-dua media menjadi penghalang kepada kerajaan Malaysia
untuk merealisasikan matlamat dalam pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis.
Media cetak dan elektronik pada masa kini tidak mencerminkan kebudayaan Malaysia malah lebih
kepada kebudayaan negara-negara lain.

Seterusnya, memang rakyat Malaysia sudah biasa mendengar serta membaca berita ataupun
maklumat yang mempertikaikan soal-soal perkauman, agama atau bangsa. Misalnya, kini
perkataan racist menjadi topik hangat yang diperkatakan dalam kalangan rakyat Malaysia
terutamanya di laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp. Masalah ini menjadi lebih serius
apabila segelintir masyarakat yang memandang rendah mahupun hina agama, bangsa serta amalan
sesuatu kaum lain. Perkara seperti ini tidak sepatutna berlaku di mana-mana tempat kerana sudah
tentu ianya turut menjejaskan identiti, nama baik sesuatu agama, bangsa dan negara. Seseorang
individu yang menghormati didikan agama akan berusaha mempertingkatkan nama baik agama,
bangsa dan negara dengan cara yang positif tanpa meibatkan diri dalam mana-mana aktiviti tidak
bermoral yang akan menjatuhkan maruah diri, agama, bangsa dan juga negara.

Penyalahgunaan media sosial telah mula menular sejak akhir-akhir ini. Pihak kerajaan pula
perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak ataupun individu yang menyebarkan
pelbagai isu-isu sensitif terutamanya di laman sosial. Hal ini kerana masyarakat mudah
terpengaruh dengan gejala negatif ini yang mampu mengugat ketenteraman negara. Pihak kerajaan
tidak sepatutnya berat sebelah ataupun bersikap bias semasa mengenakan tindakan terhadap
individu yang mengugat perpaduan negara. Pihak berkuasa wajar mengambil tindakan segera
terhadap pihak yang sengaja menyebarkan soal-soal sensitif atau merumitkan lagi isu perkauman.
Tindakan tersebut sudah tentu akan menjadi pengajaran kepada individu yang tidak
bertanggungjawab.
Dari sudut lain pula, ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam mengawasi setiap gerak
geri anaknya. Mereka hendaklah didik anaknya supaya belajar menghormati jiran ataupun kawan
sebaya yang berlainan kaum. Saya juga ingin menesgakan kenyataan, apabila kanak-kanak mula
belajar hidup mesra dengan masyarakat setempat yang berbeza kaum sudah tentu golongan muda
tidak akan melakukan perkara-perkara yang mengugat perpaduan kaum di Malaysia. Golongan
muda sepatutnya mempunyai perasaan cinta akan negara dan sentiasa menghormati masyarakat
sekelilingyan tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Cabaran lain dalam menentukan pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis ialah
budaya popular. Menurut Ahmat Adam (2000), budaya popular merujuk kepada ciptaan yang
dihasilkan sebagai objek kebudayaan bertujuan untuk pasaran. Budaya ini juga boleh dilihat
sebagai hiburan untuk orang ramai yang dihasilkan oleh teknologi sedia ada. Industri filem, iklan,
rancangan televisyen, majalah, perubahan dalam genre muzik, trend dan fesyen boleh
dikategorikan sebagai budaya popular. Perkembangan budaya popular ini menyebabkan ramai
generasi muda mula melupakan budaya kebangsaan negara kita. Mereka terikut-ikut dengan
budaya popular ini yang bertentangan dengan budaya kebangsaan kita. Budaya K-Pop yang
merebak dalam kalangan remaja Malaysia kini adalah salah satu contoh terbaik penyebaran budaya
popular yang semakin meningkat di negara kita. Hal ini berlaku apabila media massa memuliakan
budaya luar dan lupa budaya tempatan. Drama Korea juga telah menjadi hit dalam kalangan rakyat
Malaysia kerana mudah ditonton di stesen-stesen televisyen tempatan.

Pada masa kini, budaya Korea telah perlahan-lahan mendapat populariti dan penerimaan di
negara ini. Hal ini jika tidak dikawal akan menyebabkan budaya kebangsaan negara hilang dalam
kalangan generasi muda, kerana golongan remaja yang begitu mudah meniru dan menerima unsur-
unsur budaya luar ini. Program-program atan filem yang tidak sesuai dengan budaya kita wajar
ditapis dan dikawal oleh pihak bekuasa. Lebih-lebih lagi, maklumat-maklumat yang dipaparkan
dalam media cetak dan elektronik penuh dengan sifat hedonis, provokasi, fitnah, keganasan dan
jenaka tidak terkawal. Perkara ini perlu dikawal dan dipantau supaya budaya negara kita tidak
terjejas. Manakala dalam era globalisasi ini, budaya tidak bersifat statik. Pada pandangan saya,
masyarakat Malaysia perlu melihat budaya dengan minda yang lebih terbuka dan bersedia untuk
berubah.
Melalui ledakan teknologi maklumat dan komunikasi begitu mudah untuk pengaruh luar
masuk dan meresap ke dalam jiwa masyarakat. Generasi muda dilihat sebagai kelompok yang
mudah untuk menerima dan dipengaruhi oleh keadaan ini. Bukan sahaja pengaruh budaya Barat
tetapi pengaruh budaya daripada negara-negara Asia, khususnya Korea telah meresap dan
mempengaruhi jiwa anak muda kita. Hal ini menyebabkan sifat menghargai kebudayaan
kebangsaan akan hilang dalam jiwa remaja negara kita. Oleh itu, beberapa pihak termasuk media
baharu perlu memainkan peranan dalam memupuk perasaan cinta akan negara ini kerana ia boleh
mempengaruhi pemikiran, tingkah laku, watak atau menyuntik persefahaman masyarakat untuk
menentukan pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis.

Isu Pendidikan

Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang
diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, Pelajaran Cina telah memberi kesedaran
kebangaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakan bahasa Cina sebagai
bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari negara China dan
berkiblatkan negara China. Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa
pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian
besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Kerajaan
sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul.
Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat.

Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa
pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan
kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum
merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di
samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik, berpelajaran Inggeris dan berpelajaran
vernakular yang tidak mempunyai pandangan dunia (world-view) yang sama. Pihak Inggeris tidak
memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tambahan pula, tidak ada satu dasar
pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Perkara yang penting bagi mereka
ialah memberi pelajaran kepada sebahagian rakyat untuk membolehkan mereka memenuhi
keperluan tenaga dan ekonomi.

Pada masa kini, perkara yang menjadi punca kesukaran dalam pemupukan masyarakat pelbagai
kaum yang harmonis ialah jarak sosial antara anggota masyarakat. Hal ini menyebabkan
kurangnya interaksi antara kaum. Majoriti murid-murid Melayu belajar di sekolah kebangsaan,
murid-murid India di sekolah jenis kebangsaan Tamil dan murid-murid Cina pula di sekolah jenis
kebangsaan Cina. Kurangnya interaksi ini berlarutan hingga sekolah menengah dan seterusnya di
universiti. Mayarakay Malaysia juga terpaksa menerima relitinya kebanyakkan universiti atau
pusat pengajian tinggi terutamanya swasta yang ditubuhkan mempunyai pelajar yang majoritinya
didominasi oleh satu-satu kaum.

Apabila sekolah berdasarkan kaum, soal bahasa menjadi isu penting. Bahasa Kebangsaan,
iaitu bahasa Melayu yang mempersatukan kaum tidak dikuasai dengan baik oleh bukan penutur
asli bahasa tersebut. Masing-masing menggunakan bahasa kaum masing-masing. Inilah yang
menghalang komunikasi antara kaum, sekali gus mengurangkan hubungan. Pelbagai usaha
dilakukan, misalnya mengadakan pertandingan yang melibatkan pelbagai kaum, dengan
menggunakan bahasa Kebangsaan. Kecenderungan anggota masyarakat untuk mengekalkan
identiti masing-masing dan keengganan untuk membuka dunia sosial kepada kaum lain juga
menjadi penghalang dalam usaha pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis.

Isu UEC

UEC adalah singkatan nama kepada Unified Examination Certificate. Di Malaysia, UEC
adalah ujian peperiksaan menengah yang ditadbir oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Zong). Sekolah menengah Cina setiap tahun menerima banyak pelajar daripada pelbagai
kaum dan agama termasuk pelajar Melayu dan juga India. Pelajar-pelajar cemerlang yang memiliki
UEC peringkat tinggi biasanya diterima masuk untuk melanjutkan lagi program ijazah Sarjana
Muda di banyak universiti terkemuka antarabangsa. Antara universiti yang menerima UEC sebagai
kelayakan asas untuk meneruskan pengajian adalah Oxford University, University of Cambridge,
Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking
University.
Walau bagaimanapun, di Malaysia, UEC belum diiktiraf untuk kemasukan ke institusi
pengajian tinggi awam (IPTA). Menyedari pentingnya pengiktrifan UEC, pada pilihanraya umum
ke-14 yang lalu, Pakatan Harapan berjanji untuk mengiktiraf UEC jika diberi mandat menjadi
kerajaan. Janji itu yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan adalah untuk menjadikan
UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA dengan syarat pemohon memiliki
kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

Sejak tahun 2004, UEC masih diterima untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta
di Malaysia. Mulai tahun 2010, UEC juga telah diterima untuk kemasukan ke program Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah
Kementerian Pendidikan. Setiap tahun, Sekolah Menengah Persendirian Cina turut bekerjasama
dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka untuk menganjurkan Pertandingan Forum Pelajar dengan
tujuan memperkasakan pembelajaran Baahasa Melayu. Hal ini jelas memainkan peranan besar
dalam usaha pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis.

Dalam konteks UEC, bukan semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Cina. Kedua-dua
Bahasa Cina dan Inggeris merupakan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik, Sains
(Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan. Buku teks Sekolah Menengah
Persendirian Cina pula telah disediakan untuk mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran
kebangsaan. Contohnya, buku teks sejarah mengandungi 57% Sejarah Malaysia dan 43% Sejarah
Dunia. Kurikulum pula dirancang dengan tujuan memupuk semangat nasionalisme Malaysia,
memperkasakan keharmonian dan persefahaman kaum di Malaysia. Rakyat Malaysia wajar sedar
Isu UEC merupakan isu pendidikan dan iannya bukan isu politik mahupun isu perkauman. Saya
juga harap setiap warganegara Malaysia dapat menerima realiti bahawa kepelbagaian dan
perbezaan budaya, bahasa dan agama tidak harus menjadi masalah, sebaliknya dapat kita raikan
bersama dalam semangat muhibah demi menjamin masa depan yang cemerlang.
Isu ICERD

Setelah Malaysia mendapat sinar baharu dalam soal politik salah satu isu hangat yang
dibicarakan oleh pelbagai jenis lapisan masyarakat Malaysia ialah isu berkaitan ICERD. Isu yang
berkaitan cadangan Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan
Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hangat dibicarakan pelbagai pihak, terutama yang
mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera dan hal ini turut membimbangkan semua
masyarakat.

Ramai pihak yang mempunyai tanggapan salah terhadap isu ini dan punca utama kumpulan
yang membantah ICERD ialah mereka khuatir pengesahan Malaysia ke atas konvensyen
berkenaan membawa implikasi negatif kepada keadaan demografi rakyat negara ini terutamanya
Bumiputera dan Melayu kerana berpendapat, penduduk asal tidak lagi akan dilindungi
keistimewaan seperti diperuntukkan dalam kontrak sosial. Mereka yang lantang menyuarakan
bantahan terdiri daripada pelbagai pertubuhan politik dan juga beberapa pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Secara amnya, ICERD dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965
dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969, namun sehingga hari ini, Malaysia antara 15 negara
yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel. Hujah bagi membantah cadangan itu
kerana definisi dan skop ICERD dilihat bertentangan serta bercanggah dengan Perkara 153
Perlembagaan yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan
istimewa orang Melayu dan penduduk asal Malaysia atau Bumiputera, juga yang biasanya
dianggap sebahagian daripada kontrak sosial.

Pihak-pihak yang membantah ICERD juga turut bekerjasama antara satu sama bagi
menyediakan satu memorandum bantahan yang telah diserahkan kepada Timbalan Menteri di JPM
(Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik di bangunan Parlimen.
Gerakan mengumpul bantahan itu dijayakan dengan adanya sokongan daripada beberapa NGO,
termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Memorandum tersebut mengandungi gesaan agar
kerajaan berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai ICERD, tidak sesekali
menggugat hak orang Bumiputera serta Melayu dan tidak sesekali mencabar kedaulatan raja serta
Perlembagaan Malaysia.

Walaupun Menteri di di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Waytha Moorthy


menegaskan pengesahan ICERD oleh Malaysia akan dipastikan tidak menjejaskan Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan, ia tetap gagal menghadirkan kelegaan dalam kalangan golongan yang
membantah. Dalam koteks tersebut, penegasan mengenai perkara itu diulangi oleh Perdana
Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir bin Mohamad yang memberi jaminan ICERD hanya akan
ditandatangani selepas kerajaan berunding dengan semua kaum di Malaysia. Perdana Menteri juga
menegaskan lagi masyarakat di negara ini yang hidup dalam keadaan majmuk amat sensitif kepada
perkara tertentu, sekali gus memerlukan langkah libat bagi mendapat persetujuan berhubung
konvensyen berkenaan, sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad. Jaminan Perdana
Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir melegakan kerana memang sewajarnya cadangan yang sensitif
seperti isu ICERD perlu dirujuk untuk mendapatkan pandangan rakyat Malaysia terlebih dahulu,
selain dipastikan ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, iaitu undang-undang
tertinggi yang sudah lama menyatukan rakyat kita.

Saya juga setuju dengan kenyatan memandangkan ICERD begitu bahaya terhadap
keharmonian negara, wajarlah kerajaan Malaysia mengambil langkah menutup segala ruang untuk
ICERD dibangkitkan di Kabinet mahupun Parlimen dengan memaktubkannya sebagai keputusan
Parlimen agar perkara sensitif ini tidak boleh dibangkitkan lagi, meskipun berlaku pertukaran
kuasa ataupun rombakan Kabinet pada masa hadapan. Perpaduan negara yang jitu juga dapat
membina sebuah masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor
rasa bersama dan kekitaan yang lahir dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan
khianat akan terlebur begitu sahaja jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling
menghormati yang dipupuk sejak kita kecil lagi.
Isu Sekolah Tahfiz

Cadangan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin kepada Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup sekolah tahfiz disifatkan terlalu
radikal dan isu ini juga turut akan mengancam kesejahteraan negara dan kestabilan politik negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengatakan pendapat Zainuddin Maidin terlalu radikal.
Saya juga setuju dengan pendapat beliau di mana para ibu bapa memiliki hak masing-masing untuk
memilih sekolah mana yang mereka rasa baik untuk anaknya. Kementerian Pendidikan pula
akan memperbaiki sistem pelajar tahfiz supaya mereka seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

Sistem pendidikan berasaskan agama Islam di Malaysia dah bermula sejak dulu lagi. Pada
mulanya ia bermula secara tak formal iaitu dengan belajar di rumah imam atau guru. Tapi sistem
ni mula berkembang dan lahirlah institusi pondok. Setiap pondok pula ada kurikulum mereka
sendiri berdasarkan budi bicara tok guru masing-masing. Maahad Tahfiz atau dikenali sebagai
Tahfiz al-Quran pertama diasaskan pada tahun 1966. Ia diberi nama sebagai Maahad Tahfiz al-
Quran wal Qiraat dan telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman. Sekolah
ini mula beroperasi di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Seterusnya, setiap negeri telah membuka Maahad Tahfiz masing-masing dengan Kelantan
menjadi negeri yang pertama yang memulakan sekolah Tahfiz. Apabila penerimaan masyarakat
terhadap institusi tahfiz ni mula berkembang, muncul pula maahad tahfiz persendirian (swasta).
Maahad tahfiz swasta pertama yang ditubuhkan adalah Raudhatul Tahfiz al-Quran (sekarang
Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat) di Jeram, Selangor.

Pada masa kini, sebenarnya kebanyakan sekolah tahfiz swasta digalakkan untuk mendaftar
dengan jabatan agama negeri masing-masing, untuk memudahkan pihak berkuasa membuat
pemantauan, bantuan dan cadangan. Namun begitu, ramai sekolah tahfiz yang belum berdaftar lagi
di bawah pihak kerajaan dan hal ini merumitkan lagi situasi isu penutupan sekolah tahfiz. Setiap
sekolah tahfiz swasta ini juga menawarkan sistem pendidikan tersendiri dan kokurikulum yang
pelbagai, terbahagi kepada sistem moden dan tradisional. Pendidikan tahfiz secara moden
mempunyai struktur pengurusan, kurikulum dan kemudahan yang tersusun, manakala secara
tradisional pula kurang tersusun seperti yang moden.
Tahfiz moden selalunya diuruskan oleh kerajaan pusat atau negeri seperti Darul Quran yang
diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Selalunya sekolah tahfiz milik
kerajaan mempunyai bangunan mereka sendiri, berbeza dengan tahfiz swasta yang dibina atas
tanah sendiri, disewa atau diwakafkan. Syarat untuk masuk ke sekolah tahfiz swasta agak lebih
mudah berbanding sekolah tahfiz kerajaan. Sekolah agama ini terletak di bawah kuasa Majlis
Agama Islam sesebuah negeri. Punca lain sekolah tahfiz ini perlu ditutup adalah kerana sekolah-
sekolah tahfiz tidak mempunyai kemudahan dan pegawai yang mencukupi dalam pengurusan
bidang pendidikan. Maka sekolah agama rakyat bergantung sepenuhnya kepada ‘kebolehan,
kekuatan dan kemampuan’ pemilik masing-masing. Justeru, sejak merdeka hingga sekarang
sekolah agama hidup bagaikan anak tiri tidak berbapa. Namun, jumlahnya di semua negeri tetap
bertambah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, terdapat 941
maahad tahfiz swasta dengan keseluruhan 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah
Tahfiz Malaysia”. Daripada jumlah itu “hanya 612 yang berdaftar dengan pihak berkuasa negeri
dan Kementerian Pendidikan”. (Utusan Malaysia 20 September 2017) Dalam kolum Al-Bayan,
Mohd. Radzi Mohd, Zain (Utusan Malaysia 27 Oktober 2017) menyebut sebanyak 1,238 pusat
tahfiz di seluruh negara. Tetapi hanya 73 berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri atau
Jakim.” Perbezaan angka ini menunjukkan sebenarnya tidak ada negeri yang betul-betul
mengambil berat menguruskan pusat tahfiz meskipun itu adalah tanggungjawab mereka. Lebih-
lebih lagi, melihat kecenderungan ibu bapa sekarang jumlah sekolah dan pelajar tahfiz
kemungkinan akan bertambah pesat, sedangkan sebenarnya masa depan untuk ratusan ribu anak
muda ini sangat terbatas. Pihak kerajaan hendaklah menerima cadangan rakyat terlebih dahulu
sebelum mengambil sebarang tindakan. Pusat didikan seperti ini wajar dilengakpi dengan
kemudahan asas untuk belajar dalam suasana yang sihat.
Isu mengedar Bible.

Baru-baru ini, isu penyebaran Bible kepada murid sekolah yang beragama Islam di Pulau
Pinang hangar diperkatakan dalam kalangan penduduk tempatan. Isu ini jelas menimbulkan
konflik perkauman dan ramai pihak turut mempertikaikan hal ini. Isu ini mendapat liputan yang
meluas namun yang malangnya terdapat suara orang Islam sendiri seumpama Menteri Agama yang
menganggap ianya isu remeh apabila memberikan ulasan bahawa edaran Bible itu hanyalah
daripada NGO bukannya gereja.

Malah edaran yang dibuat kepada penganut Islam adalah secara tidak sengaja. Alasan tersebut
seolah-olah tiada keprihatinan mengenai keseriusan dalam hal penyebaran agama selain Islam
tanpa pengawalan. Di samping itu, edaran Bible yang berlaku di hadapan sebuah sekolah adalah
jelas tindakan secara terbuka dan penyebaran secara rawak ini menunjukkan seolah-olah agenda
tersembunyi yang sengaja mencabar sensitiviti umat Islam.

Rakyat Malaysi perlu lebih memahami soal kekebasan beragama yang termaktub dalam
Perlembangaan Malaysia. Hal ini kerana dalam konteks kebebasan beragama yang termaktub
dalam Perlembangaan Malaysia membolehkan agama lain bebas diamalkan namun kebebasan
yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama
mereka kepada penganut agama Islam lain di negara ini. Setiap etnik perlu menghormati
kedudukan Islam sebagai agama tertinggi dalam negara.

Perlembagaan Malaysia telah menjadi garis panduan kehidupan rakyat selama ini dan ia perlu
diteruskan seperti biasa. Semu pihak berkuasa dan rakyat hendaklah bekerjasama antara satu sama
lain dalam usaha pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis. Pihak kerajaan pula perlu
sentiasa memastikan tiada pihak yang dengan sengaja mempertikai ataupun mencabuli apa yang
terkandung dalam Perlembagaan. Justeru itu, segala usaha untuk mencetuskan provokasi dengan
menyentuh isu-isu sensitif perlu dipatahkan segera sebelum menjadi virus yang sukar dikawal
kelak.
Langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan pemupukan masyarakat pelbagai kaum
yang harmonis.

Konsep Perpaduan harus diperluaskan melalui acara-acara peringkat setempat supaya


perpaduan kaum benar-benar wujud dan bukan semata-mata dalam acara-acara formal saja seperti
tradisi rumah terbuka kebangsaan ini bukan saja untuk Hari Raya tetapi juga untuk lima perayaan
utama lain iaitu Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan dan Hari Gawai. Integrasi
ialah suatu proses yang sangat kompleks. Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi
darjah kedekatan bermula dengan hubungan terpisah iaitu segregasi sehinggalah hubungan
berbentuk sebati iaitu amalgamasi. Perhubungan yang lebih rapat antara wilayah dapat mewuju
dkanintegrasi dalam bidang politik dan nilai. Perhubungan ini seterusnya mampu mengurangkan
konflik dan mengutamakan persefahaman serta mewujudkan perasaan harmonis antara pelbagai
etnik di Malaysia.

Pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis dapat dipupuk melalui aktiviti
kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang
dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama
lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini.
Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya
bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat
perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan
seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan
aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti
kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu
ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang
bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama
KESIMPULAN

Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di Malaysia kita haruslah dikekalkan demi
menjamin keselamatan negara agar kemerdekaan yang kita kecapi terus berkekalan. Perpaduan
dalam kalangan pelbagai etnik di negara ini juga dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara
daripada ancaman luar dan dalam negara. Pemupukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis
adalah untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13
mei 1969.Kesan daripada rusuhan kaum tersebut rakyat Malaysia dapat lihat pengajarannya betapa
ramai masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah.

Oleh itu, perpaduan antara kaum amat diperlukan agar memastikan kejadian yang sama tidak
akan berulang pada masa akan datang. Dalam nada yang sama kita juga akan dapat mengekalkan
kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh semua anggota masyarakat
yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi nilainya. Pendek kata,
keharmonian negara mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah air dan
sanggup berkorban untuk negara kita. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan
melahirkan kekuatan dalam mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar
seterusnya memelihara kedaulatan negara dan terus mengekalkan kemerdekaan negara. Harapan
rakyat ialah Malaysia Baharu akan terus menghormati dan mempertahankan Perlembagaan
Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
RUJUKAN

A. Aziz Deraman. (1994). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai
(M) Sdn Bhd.

Abdul Rahman Embong. 2006. Pembangunan insan dalam agenda pembangunan negara. Kertas
Plenari Seminar Kebangsaan “Psikologi Pembangunan Komuniti ISM-UKM-Pendekatan
Psikologi Dalam Pemerkasaan Pembangunan Komuniti”, Kuala Lumpur, 20-21 Disember.

Chandra Muzaffar. 2007. Mewujudkan sebuah masyarakat berintegriti. Dalam. Anis Yusal et.al
(Editor), Integriti Politik di Malaysia: ke arah kefahaman yang lebih sempurna, hlm. 133-161.
Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia.

Ding Choo Ming. 2005. Perpadaun Kaum dan Toleransi Agama di Malaysia. Pemikir, Julai-
September: 15-36.

Lee Yok Fee & Sarjit S. Gill. 2008. Rukun Negara Teras Pembinaan Modal Insan: Satu Komentar.
Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities, Vol. 16 (1) Mar: 107-113.

Nik Safiah Karim et al. (2015). Tatabahasa Dewan : Golongan Kata. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Ting Chew Peh. 1986. Masalah Perkauman dan Perpaduan. Kuala Lumpur: Buku Kreatif.

Tunku Abdul Rahman. 1969. May 13: Before & After. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Press.

Shamsul Amri Baharuddin (Ketua Editor). 2007. Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Penerbit
UiTM.
LAMPIRAN

You might also like