You are on page 1of 10

Cabaran dan Peranan Bahasa Kebangsaan dalam Pembinaan Peradaban

Malaysia (sub-tema: 15)1

Siti Nor Azhani Mohd Tohar (azhanitohar@gmail.com)


Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia
Selangor

Adlina Ab Halim (adlina@putra.upm.edu.my)


Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia
Selangor

Abstrak

Keperluan mempunyai bahasa merupakan salah satu ciri asas dalam pembinaan sesebuah peradaban. Bagi
negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bahasa daripada pelbagai etnik yang ada, keperluan untuk
berkongsi satu bahasa yang sama adalah penting kerana pembinaan sesebuah tamadun sukar untuk
direalisasikan sekiranya wujud kepelbagaian elemen di dalamnya. Justeru, Perlembagaan Malaysia Perkara
152 (1) telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu adalah sebagai bahasa Kebangsaan di Malaysia yang
berperanan besar untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia multi etnik. Walau bagaimanapun, masih wujud
cabaran-cabaran yang perlu ditempuh untuk memartabatkan bahasa Kebangsaan ini ke dalam hati seluruh
rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan membincangkan peranan dan cabaran bahasa
Kebangsaan dalam menyatukan masyarakat multi etnik seterusnya penyatuan yang harmoni ini akan dapat
membina sebuah peradaban yang unik dan gemilang.

Kata kunci: Bahasa Melayu, bahasa Kebangsaan, peradaban, perpaduan, semangat kekitaan.

Pengenalan

Perlembagaan Malaysia Perkara 152(1) telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu


adalah bahasa Kebangsaan negara Malaysia yang perlu dipegang dan dihayati oleh setiap
kaumnya yang terdiri daripada pelbagai etnik yang mempunyai bahasa ibunda masing-
masing selain daripada bahasa Melayu. Bahasa yang merupakan alat terpenting dalam
medium komunikasi menjadi perkara asas untuk sebuah negara multietnik seperti Malaysia
mewujudkan interaksi yang harmoni dalam kalangan seluruh kaum di Malaysia, seterusnya
dapat membina perpaduan dalam membangunkan negara secara bersama yang dapat
memberi impak kepada peradaban Malaysia.

1
Kertas kerja telah dibentangkan di Fourth PPSPP International Conference 2013. 19 Mac 2013. UKM.
Walaupun, usaha untuk memartabatkan bahasa Kebangsaan sering berdepan dengan
pelbagai cabaran terutamanya dasar dan polisi kerajaan terhadap usaha untuk
memartabatkan bahasa kebangsaan ini. Selain itu, cabaran globalisasi yang mengangkat
bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia serta sikap memperkecilkan potensi bahasa
kebangsaan itu sendiri juga dilihat sebagai cabaran dalam memartabatkan bahasa
kebangsaan.
Justeru, peranan dan cabaran ini perlu diketengahkan bagi menimbulkan kesedaran tentang
kepentingan memartabatkan bahasa Kebangsaan bagi membina peradaban Malaysia secara
bersama dan seimbang.

Peranan Bahasa Kebangsaan

Peranan bahasa kebangsaan dapat dilihat dari pelbagai perspektif antara sebagai
pembentukan identiti kewarganegaraan dan perpaduan antara kaum multietnik. Bahasa
kebangsaan juga berperanan penting dalam bidang pendidikan sebagai bahasa pengantar
ilmu dan mekanisma kemajuan negara. Justeru, bahagian ini akan mengupas setiap peranan
bahasa kebangsaan seperti yang telah dinyatakan.

Sebagai Identiti Kewarganegaraan

Identifikasi sesebuah peradaban boleh berdasarkan bahasa atau rumpun bahasanya


(Hashim Musa, 2005: 161). Ini kerana, bahasa merupakan salah satu ciri asas dalam
sesebuah peradaban (Wan Hashim Wan Teh 1997: 88-9). Oleh yang demikian, atas dasar
membina peradaban berlandaskan corak masyarakat multietnik yang mempunyai pelbagai
bahasa maka Malaysia telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang
perlu dikongsi bersama untuk mewujudkan jati diri dan identiti warganegaranya. Anggota
dalam masyarakat dapat disatupadukan menerusi perkongsian identiti dan nilai, serta
perasaan kebangsaan (Zahid Emby, 1997). Malahan, simbol yang paling banyak digunakan
untuk melambangkan kenegaraan adalah bahasa dan bahasa dilihat sebagai simbol utama
bagi identiti sesebuah kumpulan (Crystal, 1987).

Justeru, sebagai seorang warganegara, setiap individu perlu memartabatkan bahasa


Kebangsaan walaupun mereka mempunyai budaya tersendiri berasaskan identiti etnik
masing-masing. Ini kerana, semua rakyat adalah terikat oleh sistem kenegaraan yang
menjadi wadah kepada kewarganegaraan atau kerakyatan mereka (Zainal Kling, 2010: 4).
Pembentukan jati diri melalui bahasa merupakan elemen penting dalam pembinaan
tamadun Malaysia yang dapat terhasil daripada semangat mencintai negara dengan
penonjolan identiti sebagai warganegara. Identiti ini dapat dijadikan kayu pengukur untuk
melihat rasa kepunyaan seseorang individu terhadap negara yang didudukinya.
Sebagai Bahasa Perpaduan

Bahasa merupakan elemen asas dalam mewujudkan interaksi dalam komuniti. Hakikat
kehidupan dalam peradaban manusia, mereka perlu saling berinteraksi antara satu sama
lain bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Menurut Ibnu Khaldun (2009: 1-3)
peradaban adalah perbicaraan mengenai organisasi sosial manusia yang mana manusia
tidak boleh hidup secara bersendirian bagi memenuhi keperluan asas. Ini kerana, gabungan
daripada sekumpulan manusia yang dapat saling bantu-membantu dan tolong-menolong
bagi memenuhi keperluan asas sememangnya telah ditentukan Tuhan bahawa setiap
kejadian yang diciptaNYA memiliki pelbagai kemampuan masing-masing yang saling
memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, organisasi sosial adalah suatu keharusan bagi
manusia yang mana tanpanya, kewujudan manusia tidak akan sempurna. Malik bin Nabi
(dalam Ali Al-Quraisyiy, 1996: 91) turut menyatakan bahawa untuk menegakkan
peradaban mesti mempunyai tiga unsur iaitu; i) individu, ii) pemikiran, dan iii) hal yang
berbentuk kebendaan. Kemudian, beliau mengukuhkannya dengan unsur yang keempat
iaitu keterlibatan dalam hubungan sosial yang lahir daripada ketiga-tiga unsur tadi.

Oleh yang demikian, untuk mewujudkan hubungan sosial sesama manusia, keperluan
interaksi adalah penting dan bahasa yang saling difahami amat perlu bagi mewujudkan dan
melancarkan proses ini. Maka, inilah peranan bahasa Kebangsaan yang telah dimaktubkan
dalam Perlembagaan Malaysia bagi memudahkan proses penyatuan masyarakat multietnik
di Malaysia. Bahkan penetapan satu bahasa yang dapat difahami oleh semua rakyat
Malaysia multietnik yang terdiri daripada pelbagai bahasa ibunda adalah amat perlu. Ibnu
Khaldun sendiri ada menyatakan bahawa sesebuah kerajaan jarang sekali dapat ditegakkan
di tempat yang didiami oleh banyak suku dan kumpulan kerana ia akan melibatkan
pelbagai perbezaan dari segi pandangan dan keinginan (Ibnu Khaldun, 2009: 155).
Mengikut pandangan Ibnu Khaldun (2009), satu elemen daripada pelbagai elemen puak-
puak yang bercampur ini seharusnya lebih menonjol daripada yang lain demi untuk
menyatupadukan mereka dan mengikat mereka ke dalam elemen yang satu yang mana
semua kumpulan yang pelbagai itu akan berada di bawah naungan elemen yang lebih
berpengaruh. Ini kerana menurut beliau elemen-elemen apabila disatukan mengikut nisbah
yang sama, ia tidak akan terjadi percampuran. Satu elemen harus lebih menonjol daripada
yang lain-lainnya dan apabila ia melaksanakan kekuasaannya terhadap yang lain,
berlakulah suatu percampuran (Ibid, 157-8). Kenyataan ini selari dengan senario yang
dialami oleh negara Malaysia yang mana penetapan satu bahasa iaitu bahasa Melayu
sebagai bahasa Kebangsaan amat perlu bagi perpaduan antara semua kaum di Malaysia.

Sebagai Bahasa Pengantar Ilmu


Bahasa kebangsaan berperanan sebagai bahasa pengantar ilmu kerana penyampaian ilmu
dapat disampaikan dengan efisien apabila menggunakan bahasa yang digunakan dan
difahami oleh pelajar sejak dari kecil lagi. Apabila bahasa yang sememangnya telah
difahami digunakan dalam usaha penyampaian ilmu maka penerimaan ilmu tersebut lebih
mudah dan cepat. Pelajar tidak perlu mengambil masa lebih lama untuk mendalami ilmu
tersebut. Aktiviti pemindahan, penyampaian dan pembudayaan ilmu seharusnya mengikut
nilai dan acuan sendiri iaitu antaranya dengan menggunakan bahasa kebangsaan mereka
sendiri (Hashim Musa, 2005: 165; Jeniri Amir: 2009, 15). Terdapat satu laporan di internet
yang melaporkan tentang seorang pelajar Jepun yang mengatasi pelajar Amerika Syarikat
dari segi penguasaan ilmu sains dan matematik kerana, antara beberapa sebabnya, ilmu itu
diajarkan dalam bahasa Jepun, bahasa yang dimahiri oleh pelajar Jepun untuk
membolehkan mereka memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat
dalam bahasa mereka sendiri (Hassan Ahmad, 2009: 9). Ini membuktikan bahawa
penyampaian dan penerimaan ilmu dengan menggunakan bahasa kebangsaan sendiri
adalah lebih mudah dan berkesan seterusnya dapat menjana kekreatifan ilmu tersebut
dalam konteks budayanya sendiri. Pelajar akan bersifat sejagat, berkerjaya secara sejagat
sebagai warga dunia dalam wawasan, misi dan maklumat, tetapi menyedut kekuatan dari
budaya aslinya dan secara resiprokal memperkaya pula budaya aslinya daripada
kematangan sifat sejagatnya (Hashim Musa, 2005: 177).

Perkara ini amat perlu ditekankan terutamanya di peringkat institusi pengajian tinggi
kerana masih belum ada garis panduan khusus yang mewajibkan sistem pengajaran dan
pembelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi mengenai penggunaan bahasa
kebangsaan. Institusi pengajian tinggi awam sendiri dilihat masih belum sepenuhnya
memartabatkan bahasa kebangsaan dalam setiap program pengajian yang ditawarkan
apatah lagi institusi pengajian tinggi swasta yang dikawal selia tanpa sepenuhnya
pemantauan pihak kerajaan. Institusi pengajian tinggi terutamanya swasta (IPTS) lebih
memartabatkan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Manakala Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) juga nampaknya cenderung ke arah mendaulatkan bahasa Inggeris
apabila proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) diwajibkan menggunakan bahasa
Inggeris sepenuhnya (Ku Hasnita Ku Samsu, et. al., 2011: 170). Malahan, sesetengah
kumpulan pendidik dan pelajar menganggap penguasaan bahasa Melayu standard (tinggi)
tidak penting (Juriah Long, 2008: 6).

Apabila bahasa kebangsaan dimartabatkan sebagai bahasa pengantar ilmu maka seluruh
rakyat Malaysia sama ada golongan elit atau bukan elit dapat diberi peluang yang sama
untuk mempelajari sesuatu bidang ilmu tanpa ada halangan yang sukar dari sudut
penggunaan bahasa. Seterusnya ia memberi impak kepada pengagihan ekonomi yang sama
rata kerana keseluruhan modal-modal insan yang ada dapat digembleng untuk memajukan
negara secara menyeluruh.

Sebagai Mekanisma Kemajuan


Bahasa yang saling difahami oleh semua kaum dan juga oleh semua lapisan masyarakat
dalam sesebuah negara menjadi mekanisma penting dalam menjamin kemajuan yang
seimbang dan menyeluruh. Justeru, negara dapat dibangunkan dengan menggembleng
keseluruhan sumber daya tenaga manusia yang ada pada rakyatnya tanpa mengira bangsa
dan lapisan sosial. Penggemblengan yang menyeluruh ini membolehkan keuntungan
negara dikongsi secara bersama oleh seluruh rakyat di dalamnya tanpa perlu
mengharapkan kemahiran luar yang mana menyebabkan aliran wang keluar yang banyak.
Alangkah baik aliran keluar wang ini dinikmati oleh rakyatnya sendiri yang mana tenaga
mereka dapat digembleng untuk menjana ekonomi negara sendiri.

Usaha penggemblengan tenaga ini haruslah diasaskan dengan penggunaan bahasa


kebangsaan dalam semua sektor pekerjaan. Apabila bahasa kebangsaan dimartabatkan di
semua sektor pekerjaan bukan sahaja sektor kerajaan malahan turut digalakkan ke dalam
sektor-sektor swasta maka semua rakyat dapat diberikan peluang yang sama rata untuk
terlibat dalam sektor terbabit. Apabila peluang yang sama rata ini diberikan maka jurang
ekonomi antara etnik dan wilayah dapat dikurangkan.

Bahkan secara logiknya, adakah sebagai seorang warganegara Malaysia yang mempunyai
bahasa kebangsaan untuk digunakan bersama terpaksa bersaing pula untuk memahirkan
diri mereka dengan bahasa asing sedangkan mereka ingin bekerja di dalam negara yang
mempunyai bahasa kebangsaannya sendiri dan bukannya bekerja di luar negara.

Cabaran Memartabatkan Bahasa Kebangsaan

Walaupun bahasa kebangsaan diangkat sebagai simbol kenegaraan Malaysia namun masih
terdapat cabaran-cabaran yang harus ditempuh untuk memartabatkan bahasa kebangsaan
ini ke dalam hati seluruh rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan masih dilihat belum dapat
menjalankan peranannya secara menyeluruh disebabkan oleh beberapa cabaran yang perlu
dihadapi antaranya dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh Kerajaan masih belum dapat
mengangkat bahasa ini ke peringkat yang lebih tinggi. Kemudian cabaran globalisasi yang
berjaya mengangkat bahasa Inggeris ke hati seluruh masyarakat dunia. Seterusnya sikap
rakyat Malaysia sendiri yang sering memperlekehkan dan memandang rendah terhadap
kemampuan bahasa kebangsaan.

Dasar dan Polisi Negara

Kerajaan berperanan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui


pengukuhan dasar mengenainya. Dasar dan polisi harus dilaksanakan dengan lebih tegas
dalam memastikan bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan oleh seluruh rakyat Malaysia
yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bahasa serta lapisan masyarakat. Dasar bahasa
kebangsaan dalam bidang pendidikan perlu jelas dan kukuh agar sebarang perubahan yang
ingin dilaksanakan dapat dirujuk kembali kepada dasar yang telah termaktub. Namun
didapati, fasal 152(1) Perlembagaan Persekutuan adalah amat terbuka dan hal ini
menyebabkan status dan kedudukan bahasa di negara ini ditafsir secara berbeza (Haris,
1990:102-103). Ini kerana terdapat beberapa pihak yang cuba memperjuangkan bahasa
selain daripada bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan dengan hanya mengambil kira
pengecualian di fasal 152(1)(a) dan 152(1)(b) yang tidak melarang sesiapa untuk
menggunakan atau mengajar bahasa lain dan hak kerajaan Persekutuan dan hak Kerajaan
Negeri bagi meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa lain.

Selain itu, di pihak kerajaan pula mula mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris pada
tahun 1990-an sebagai respon kepada faktor globalisasi. Kerajaan telah membenarkan
bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar bagi kursus sains dan teknologi di
IPTA pada tahun 1993. Walaupun perubahan dasar bahasa ini ditentang oleh golongan
nasionalis Melayu, namun ia dipertahankan oleh golongan Melayu kelas menengah dan
atasan termasuk elit politik UMNO yang muncul akibat perlaksanaan DEB (Tan Yao Sua,
2010, 131). Mereka lebih mementingkan nilai utilirian dan ekonomi bahasa Inggeris
daripada nilai historical-psychological bahasa Melayu, apatah lagi dalam era globalisasi
yang memperlihatkan kemunculan bahasa Inggeris sebagai bahasa global yang amat
penting dikuasai untuk membangunkan negara (Lee, 1997 dalam Tan Yao Sua, 2010: 132).
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) Seksyen 17(1) pula telah memberi kuasa kepada Menteri
Pendidikan Malaysia untuk mengecualikan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai
pengantar pendidikan, telah memudah proses perubahan dasar bahasa ini (Hashim Musa,
2005: 212). Seterusnya perubahan yang lebih besar kepada dasar pendidikan negara
berlaku pada tahun 2003 apabila kerajaan telah melaksanakan dasar PPSMI di sekolah-
sekolah kebangsaan. Walaubagaimanapun dasar PPSMI ini telah dimansuhkan atas
desakan pelbagai pihak dan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di
peringkat sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun
2016 dan untuk sekolah menengah pada tahun 2021, kemudiannya dasar ini telah
digantikan dengan dasar Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan
Bahasa Inggeris (MBMMBI) (Utusan Online, 5 November 2011).

Ini menampakkan masih terdapat kelemahan dari segi dasar dan polisi kerajaan dalam
memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. Perubahan
dasar bahasa ini telah mewujudkan kontradiksi dalaman dalam sistem pendidikan negara
sehingga menjejaskan proses pembinaan negara bangsa (Tan Yao Sua, 2010: 121).

Globalisasi

Globalisasi didefinisikan sebagai keberhubungan aktiviti-aktiviti manusia secara global


dalam aspek pengaliran modal dan buruh, teknoologi dan kemahiran, pemikiran dan nilai,
gaya hidup dan cita rasa, yang merentasi sempadan negara dan bangsa (Hashim Musa,
2005: 209). Globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan menyebabkan manusia
dari seluruh dunia saling berinteraksi sama ada secara nyata atau maya. Oleh itu, bagi
memudahkan proses pengadaptasian kepada era globalisasi ini, pemerkasaan bahasa
Inggeris dianggap penting. Namun, keperluan kepada pemerkasaan bahasa Inggeris ini
dilihat dapat meminggirkan bahasa Kebangsaan yang mana bermula pada tahun 1990-an,
dasar bahasa dalam sistem pendidikan negara telah mengalami perubahan mendadak akibat
daripada tekanan globalisasi (Tan Yao Sua, 2010: 121).

Terdapat kecelaruan di dalam fikiran para elit pencinta bahasa Inggeris (Elit Englophile)
iaitu hakikat penimbaan dan penerokaan ilmu pengetahuan boleh dilakukan dalam bahasa
apa sekalipun, namun penyampaian dan pembudayaan ilmu pengetahuan kepada rakyat
jelata negara bangsa itu yang merupakan sumber daya tenaga manusianya seharusnya
dalam bahasa yang paling mudah difahami oleh rakyatnya (Hashim Musa, 2005: 211).
Negara Jepun misalnya, menggunakan bahasa mereka sendiri untuk mencapai kemajuan
yang menyeluruh kepada semua rakyatnya. Maka seluruh sumber daya tenaga rakyatnya
dapat digembleng untuk menjana ekonomi negara. Sains dan teknologi dihasilkan
berdasarkan ciri dan budaya termasuk bahasa mereka sendiri. Dengan ini, kemajuan sains
dan teknologi dapat dinikmati oleh seluruh rakyatnya. Mereka membuktikan bahawa faktor
globalisasi yang memartabatkan bahasa inggeris bukan penentu utama menjadi sebuah
negara maju di mata dunia. Untuk menjadi maju, kemajuan sains dan teknologi haruslah
bercirikan identiti negara mereka sendiri.

Sikap Masyarakat

Sekiranya sebelum ini, faktor-faktor luaran diketengahkan sebagai cabaran dalam


memartabatkan bahasa kebangsaan, namun sebenarnya apa yang lebih penting adalah sikap
warganegara Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini tidak kiralah daripada
sikap golongan elit dan bukan elit, dari pembuat dasar sehinggalah kepada rakyat jelata.
Bahasa kebangsaan dilihat sebagai bahasa yang tiada nilai komersil dan penggunaan
bahasa Inggeris lebih dilihat untuk membezakan taraf seseorang individu dengan individu
lain ini.

Malahan kaum Melayu sendiri kini dilihat lebih mengagungkan bahasa asing berbanding
bahasa ibunda mereka ini sendiri. Sesungguhnya, jika bukan kerana orang Melayu,
terutamanya elit politik Melayu yang menyokong perubahan dasar bahasa di negara ini,
memang sukar dasar satu bahasa untuk diubah dengan senang (Tan Yao Sua, 2010: 133).
Hal ini akan menyebabkan berlakunya “kebocoran bendung budaya” dalam kalangan orang
Melayu dan seterusnya mengalami krisis keyakinan diri dan hilangnya kreativiti untuk
mencipta produk intelektual (Jeniri Amir: 2009: 15).

Sikap terhadap memartabatkan bahasa kebangsaan ini telah diperkukuhkan lagi dengan
kajian-kajian lepas yang berkaitan antaranya kajian oleh Juriah Long (2010) di sekolah
menengah kebangsaan zon tengah Malaysia dengan menyimpulkan bahawa pelajar
daripada kaum bukan bumiputera belum menghayati dan mengamalkan penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan sepenuhnya dan mereka kurang mempunyai
nilai jati diri terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Kajian Nor Hashimah
Jalaluddin, et. al. (2010) juga telah dijalankan ke atas pelajar di 15 buah sekolah menengah
di seluruh Malaysia mendapati bahawa pelajar Melayu, Iban dan kaum-kaum lain
mempunyai sikap yang positif terhadap bahasa Melayu dibandingkan dengan pelajar Cina,
India dan Kadazan. Kajian oleh Mohd Noor Azli Ali Khan, et. al. (2011) pula menganalisis
praktis penggunaan bahasa Melayu dalam laporan tahunan bagi bagi 84 buah syarikat yang
tersenarai di Bursa Saham. Hasil kajian mendapati bahawa tahap penggunaan bahasa
Melayu bagi melaporkan maklumat kewangan dan perniagaan syarikat adalah rendah. Ini
menunjukkan bahawa bahasa Melayu belum lagi diterima sebagai bahasa perdagangan
yang utama di Malaysia.

Sehubungan itu, kajian-kajian ini membuktikan bahawa sikap untuk memartabatkan bahasa
kebangsaan masih di tahap yang rendah terutamanya dalam kalangan etnik bukan Melayu.
Namun kajian-kajian susulan harus dijalankan ke atas golongan belia dan di kawasan
bandar untuk melihat sikap mereka terhadap bahasa kebangsaan setelah mereka keluar dari
sistem pendidikan sekolah yang masih mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar.

Kesimpulan

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti mana termaktub dalam perkara 152(1)
Perlembagaan Malaysia haruslah diamalkan dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia
multi etnik sebagai lambang identiti kewarganegaraan bagi mempertingkatkan lagi jati diri
mereka terhadap negara. Malahan faktor utama penetapan dasar satu bahasa iaitu bahasa
kebangsaan adalah sebagai alat pemersatu bangsa multi etnik bagi menjamin perpaduan
seterusnya menjana kemajuan dalam membina peradaban Malaysia yang gemilang.

Oleh yang demikian, segala cabaran harus ditangani secara bersama tidak kira dari
peringkat atasan sehingga ke peringkat bawahan, dari peringkat kerajaan seterusnya
kepada sikap rakyat jelata agar peradaban yang unggul dapat terbina dalam ruang lingkup
budaya tersendiri kerana ciri asas sebuah peradaban adalah bahasa mereka. Biasanya
sesuatu kelompok akan sentiasa sensitif terhadap cabaran, persaingan dan kelunturan yang
mungkin dihadapi oleh bahasa dan budaya mereka. Sesuatu kelompok akan menjadikan
pemuliharaan bahasa dan budaya sebagai satu agenda bersama, dan aspek inilah yang
menyebabkan mereka berasa bersatu (Zulkifley Hamid, 2012: 225).

Rujukan

Ali al-Quraisyiy (1996). Malik bin Nabi dan Pergolakan Sosial Jilid 1. Kuala Lumpur:
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Crsytal, D. (1987). Cambridge Encyclopedia of Language. Cambridge: Cambridge


University Press.
Haris Md. Jali (1990). Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &
Pustaka.

Hashim Musa (2005). Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi Globalisasi


Barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Hassan Ahmad (2009). Ke Luar Jendela. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Ibn Khaldun (2009). Mukadimah Ibn Khaldun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Jeniri Amir (2009). Bahasa, Negara dan Bangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &
Pustaka.

Juriah Long (2008). Pendidikan Bahasa Melayu: Antara Hasrat dengan Perlaksanaan.
Bangi: Penerbit UKM.

________________ (2010, 10-12 Disember 2010). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa


Perpaduan Bangsa Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan: Antara Hasrat & Realiti.
Kertas yang dibentangkan di Persidangan Nasional Paradigma Baru Perpaduan Bangsa,
Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.

Ku Hasnita Ku Samsu, Adlina Ab Halim, Lee Yok Fee, Sarvinder Kaur Sandhu & Mohd
Hafiz Sulaiman (2011, 9-10 November 2011). Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa:
Realiti atau Fantasi. Kertas Prosiding Seminar Antarabangsa Linguistik dan
Pembudayaan Bahasa Melayu VII (SALPBM VII), Fakulti Kejuruteraan, Universiti
Putra Malaysiaa.

Mohd Noor Azli Ali Khan, Norhayati Salleh & Shatira Mohd Zaini (2011, 14-15 Disember
2011). Penggunaan Bahasa Melayu dalam laporan Tahunan Medium Perpaduan
Nasional di Malaysia. Kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Kebangsaan
Perpaduan Nasional, Hotel Seri Pacific KL.

Nor Hashimah Jalaluddin, Junaini Kasdan & Zaharani Ahmad (2010). Sosiokognitif
Pelajar Remaja Terhadap Bahasa Melayu. GEMA Online Journal of Language Studies
10(3). Ms 67-87.

Utusan Online (5 November 2011). Pemansuhan PPSMI Kekal.

Tan Yao Sua (2010). Isu Bahasa, Etnik dan Pembinaan Negara Bangsa dalam Sistem
Pendidikan Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Wan Hashim Wan Teh (1997). Tamadun Melayu dan Pembinaan Tamadun Abad ke 21.
Dalam Ismail Hussein, Wan Hashim Wan Teh dan Ghazali Shafie. Tamadun Melayu
Menyongsang Abad kedua puluh satu. Bangi: Penerbit UKM.

Zahid Emby (1997). Rukun Negara. Dalam Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan
(Ed.), Kenegaraan Malaysia. Selangor.
Zainal Kling (2010, 11-12 Disember 2010). Kerangka Konsep untuk Paradigma Baru
Perpaduan Nasional. Kertas Prosiding Persidangan Nasional Paradigma Baru Perpaduan
Bangsa, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.

Zulkifley Hamid (2012). Keupayaan Berbahasa Melayu dalam Kerangka Satu Malaysia.
E-Bangi Journal, 7(1). Pp 224-234.

You might also like