You are on page 1of 7

http://jurnalperadabanipm.blogspot.my/2008/08/jurnal-peradaban-melayu_72.

html

Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5, Tahun 2007

Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu

Siti Khariah Mohd Zubir


Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pengenalan
Apabila memperkatakan bahasa dan Kesusasteraan Melayu, akan mengajak kita bersedia bersepadu tenaga
membina, memupuk dan mengembangkannya. A. Aziz Deraman (2006: 4) dipetik daripada kertas kerja yang
bertajuk Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020 menyatakan bahawa
kegemilangan, bukan sahaja terserlah di kalangan 200 juta orang umat berbahasa Melayu di rantau ini,
bahkan dalam perspektif yang lebih luas meletakkannya di pentas dunia. Bahasa pada makhluk yang bernama
manusia merupakan unsur yang menjadi ciri penting bagi sifat kemanusiaan manusia sejak munculnya
manusia di dunia, iaitu Nabi Adam a.s.

Awang Sariyan (206: 5) memetik daripada kata-kata Abdullah Yusuf Ali (1983: 24) menyatakan bahawa Nabi
Adam a.s. sebagai manusia pertama yang diciptakan Allah s.w.t. telah diberikan ilmu bahasa oleh Allah
dalam bentuk pengenalan tentang nama sekelian kejadian alam. Namun itu, bukan sekadar kata-kata yang
merujuk kepada bentuk konkrit kejadian alam, bahkan tersirat di dalam keterangan tentang sifat dan kualiti
setiap kejadian itu.

Mohd Yusof Haji Othman (206: 31) pula menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan daripada
amalan hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh daripada itu, bahasa ialah
pembina budaya dan pandangan alam seseorang. Seseorang yang mengabaikan bahasanya, bermakna ia
mengabaikan budaya hidup diri dan masyarakatnya. Seseorang yang mengagungkan bahasa juga harus
mengagungkan budaya atau sastera bangsanya. Lebih tinggi taraf kebahasan yang digunakan dalam
kehidupan lebih tinggi nilai kebudayan atau sasteranya dan lebih besar pula sumbangan yang dapat
diberikannya untuk membangunkan diri, keluarga dan negara.

Bahasa Melayu mempunyai nilai sastera, budaya dan agama yang tinggi. Semangat dan nilai yang terdapat
dalam bahasa Melayu boleh menjadi pendorong yang kuat kepada pengamalnya untuk menggerakkan
perkembangan ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu, sastera dan budaya akan hidup bersama untuk
membangunkan masyarakat. Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) menjelaskan bahawa kebitaraan bahasa
Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan
kedudukannya sebagi bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran
agama besar di dunia dan bahasa sastera. Oleh itu, bahasa dan sastera tidak boleh dipisahkan.

Peranan Bahasa
Bahasa Melayu adalah bahasa negara. Ianya berfungsi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, maka
statusnya menjadi amat penting sebagai bahasa pengantar system pendidikan kebangsaan. Fungsi bahasa
Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan
perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Lebih tiga dekad telah berlalu,
sejak 1971 dan pelbagai kajian telah dibuat terhadap kesan sistem pendidikan tersebut. Hasil yang diperoleh
agak membanggakan. Bahasa Melayu terbukti dapat menjadi bahasa pengantar pendidikan-setanding dengan
bahasa-bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu telah berjaya diangkat dan bertindak sebagai bahasa ilmu.
Bahasa Melayu digunakan di peringkat sekolah rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian
di peringkat tinggi. Di Malaysia mulai tahun 1983 semua institusi pengajian tinggi awam menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar, sesudah 13 tahun Dasar Bahasa Kebangsan ditegaskan semula dalam Sistem
Pendidikan Kebangsan.

Perkembangan sejarah peradaban manusia cukup penting dan perlu diberi perhatian kerana kewujudan
sesebuah Negara bergantung pada kekuatan bahasa yang membina peradabnnya. Menurut A. Aziz Deraman
(206: 288) kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Kebangsaan ialah
pemersatu dan alat komunikasi rakyat yang sangat utama. Rancangan Malaysia Ke-9 telah menetapkan
agenda nasional yang mesti didukung dengan cita-cita pembangunan tamadun dan modal insan Malaysia,
sesuatu keseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah sebagaimana harapan asal daripada
matlamat kewujudan sesebuah kebudayan kebangsan Malaysia.

Peranan bahasa Melayu yang lain ialah digunapakai sebagai beberapa undang-undang dan digunakan juga
dalam peraturan-peraturan pejabat. Dengan demikian, ternyatalah bahawa Malaysia mempunyai Dasar
Bahasa Negara. Secara ringkas undang-undang Malaysia menetapkan tiga undang-undang yang berkaitan
dengan bahasa. Pertama, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsan bagi negara Malaysia. Kedua, bahasa
Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun,
Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketiga, rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar
atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Sesebuah Negara tentulah memerlukan satu bahasa negara yang menjadi alat bagi semua tujuan
pembangunan dan citra keperidian nusa. Peranan bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara sebagaimana
yang ditakrifkan daripada kehendak undang-undang bermakna bahasa Melayu menjadi bahaasa kebangsaan,
bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan, bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan
falsafah, bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri, bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi.

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi
semua maksud rasmi kerajaan, memenuhi fungsi komunikasi perkhidmatan awam, yakni komunikasi dalam
jabatan dan antara sesama jabatan sektor awam, antara jabatan sektor awam dengan sektor swasta dan
korporat atau sebaliknya dan komunikasi antara jabatan sektor awam dengan orang awam atau sebaliknya.
Kita juga harus melihat peranan utama dan peranan komunikatif bahasa kebangsaan kerana sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa Melayu ditakrifkan mempunyai peranan utama, yang antara lainnya menjadi lambang
atau citra Malaysia. Ia dibuktikan dengan penggunaannya di tempat awam, penggunaan nama khas dan
melalui media massa berstatus negara, menjadi wahana pemersatuan warganegara dan rakyatnya dengan
konsep satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu menjadi
wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara kelompok masyarakat penutur bahasa dan kegunaan
umum antara individu berlainan etnik. Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa dan budaya yang
menggerakkan perkembangan Kesusasteran Melayu di rantau ini. Bahasa dan sastera tidak boleh
dikesampingkan kerana ianya umpama irama dan lagu, sekiranya salah satu daripadanya tiada maka yang
satu lagi akan pincang.

Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai alat komunikasi antara kerajaan dengan orang ramai,
antara sektor awam dengan swasta dan korporat. Begitu juga sektor swasta dan korporat dengan pelanggan
dalam negeri atau sebaliknya. Bahasa Melayu tidak ketinggalan digunakan dalam penyampaian maklumat
bagi segala bentuk iklan, nama khas, pengumuman, arahan dan seumpamanya dipamerkan di tempat awam
atau di khalayak ramai atau siaran melalui media massa. A. Aziz Deraman (2006) dalam kertas kerjanya
bertajuk Kebudayaan, Pendidikan dan Bahasa Melayu menyatakan bahawa bahasa Melayu sudah mengambil
tempat yang sewajarnya dan dimartabatkan sebagai bahasa nasional Negara-negara serumpun selepas
kemerdekaan Indonesia (1945), Malaysia (1957) dan Berunai Darussalam (1984). Bahasa Melayu berjaya
dalam banyak lapangan kehidupan sebagi bahasa ilmu, alat komunikasi dan pemersatuan rakyat. Dalam
tempuh relatifnya singkat, baik di Malaysia atau Indonesia, bahasa Melayu dengan cepat mengambil alih
bahasa Inggeris atau bahasa Belanda sebagi alat pemersatu bangsa dan bahasa yang begitu terbuka
berkembang maju mengikut keperluan negara.

Bahasa Melayu juga berpengaruh dan berperanan yang besar dalam memupuk kesenian bangsa dengan
penghayatan dan penyertaan yang menyeluruh. Tamadun silam seperti yang pernah dilalui oleh orang Yunani-
Romawi, tamadun Islam, tamadun India dan tamadun Cina banyak mengekalkan fikiran dan perasan kesenian
bangsanya melalui bahasa. Peranan kesusasteraan, yakni persuratan dan penulisan, terletak di sini. Bahasa
memupuk resam, nilai dan norma sesuatu bangsa. Dalam situasi politik-ekonomi dan sosial yang berubah,
bahasa tetap mampu mengisi keperluan sesebuah tamadun.

Peranan Sastera
Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957. Matlamatnya untuk
membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian,
kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan
tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Dengan adanya pendidikan
Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan
karya sastera dan menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu.

Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini
amat bertepatan dengan konsep membina modal insan yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita
tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika
bertindak atau mengambil keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang
sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, berjati
diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan
manusia yang hilang pertimbangan ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral
sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan manyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai
sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera.
Di peringkat sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan sebagi satu cabang ilmu dan senjata yang
dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas
kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah,
rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan
penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan.

Selain itu, sastera juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanh ilmu dan persuratan bahasa Melayu
wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajarn. Dengan cara ini, proses
pembentukan jati diri dan cinta akan khazanah negara dapat diatur, dilentur, dibentuk dengan sebaik-baik
mungkin. Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama dasar
pentadbiran negara.

Shahnon Ahmad (1997: 25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang
berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya
kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan
keindahan dan cinta akan kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera
sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang
tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas,
di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati
dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah
berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997: 41) menjelaskan bahawa
peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh
mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama kita hanya akan
lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan
kaya dan istimewa.

Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu


Dari segi sejarah sumbangan Kerajaan Inggeris dalam bidang bahasa dan sastera dapat dikesan melalui
kegiatan Pejabat Karang Mengarang yang diasaskan oleh O.T. Dussek dan Zaaba di Maktab Perguruan Sultan
Idris (MPSI), Tanjong Malim pada tahun 1924. Pejabat ini telah dibiayai oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat dan
Negeri-Negeri Bersekutu melalui peruntukan MPSI. Tujuan utama pejabat ini untuk mengeluarkan sebanyak
mungkin buku-buku sekolah dan mengeluarkan bahan-bahan bacaan yang berunsur sastera untuk masyarakat
Melayu amnya. Karya-karya dari Barat diterjemah di samping menerbitkan karya asli hasil daripada Peraduan
Karang Mengarang anjuran Pejabat Pelajaran, umpamanya Cincin Rahsia, Pahlawan Berkaki Kayu, Hidup
Bujang dan Cerita Rekaan.

Sumbangan Pejabat Karang Mengarang dalam bidang bahasa dan sastera terbatas kepada anak-anak sekolah
dan guru-guru sekolah Melayu. Buku-buku untuk bacaan umum, seperti cerita mata-mata gelap dan
pengembaraan, sedikit sebanyak berjaya memperkenalkan karya popular dari Barat kepada masyarakat
Melayu dan membuka mata mereka kepada hasil kesusasteraan dunia yang berbeza daripada hikayat-hikayat
lama yang diwarisi daripada datuk nenek mereka. Kesedaran terhadap hal ini penting dalam proses
meningkatkan pengetahuan orang Melayu untuk mengekalkan kesinambungan tradisi bangsanya.

Bahasa dan sastera umpama irama dan lagu, kedua-duanya saling perlu memerlukan di antara satu sama
lain. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mula bergerak seiring jalan apabila Jepun mengambil alih
tampuk pemerintahan sama ada di Tanah Melayu ataupun di Singapura. Kekalahan Kerajaan Inggeris dan
kekejaman pemerintahan Jepun telah menyalakan semangat kebangsaan. Mestipun tempuhnya amat singkat,
namun zaman itu telah berhasil mendorong dan mendesak orang Melayu melancarkan perjuangan politik ke
arah kemerdekaan sama ada melalui parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan yang bersifat bahasa,
kesusasteraan dan kebudayaan.

Pusat Penerbitan Akhbar dan majalah yang penting pada waktu itu ialah di Singapura. Di sini berkumpulnya
tenaga-tenaga penulis muda yang bercita-cita tinggal untuk memajukan dan memodenkan bahasa dan
sastera Melayu agar sesuai dengan keperluan perkembangan fikiran, ilmu pengetahuan, pergolakan politik
sosial dan ekonomi. Shamsudin Othman (2006: 301) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk Hala Tuju Bahasa
dan Kesusasteraan Melayu Dalam Wahana Pendidikan Nasional, menyatakan bahawa hubungan bahasa
Melayu dengan Kesusasteraan Melayu wujud sejak ratusan tahun dahulu. Hubungan ini dibentuk melalui
media tulisan seperti yang terakam dalam ribuan nafkah karya kesusasteraan tradisional Melayu khususnya
yang dipelajari oleh Munsyi Abdullah Bin Abdul Kadir melalui Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan
Hikayat Abdullah pada pertengahan kurun ke-19. Warisan bahasa Melayu ialah yang dimantapkan dan
diperkayakan melalui proses yang disebut pensetaraan perkembangan ilmu dan kemajuan fikiran manusia
yang menuntut supaya bahasa Melayu memiliki kuasa mutlak linguistik dan korpus sastera tinggi untuk
dijadikan wahana kemajuan bangsa.

Ilmu sastera tidak boleh disampaikan melalui ragam bahasa rendah (bertaraf dialek atau kedaerahan). Oleh
itu, secara memahami, mempelajari dan mentelaah karya sastera memerlukan ilmu bantu, iaitu bahasa yang
merangkumi semantik, mantik, psikologi, linguistik dan sebagainya. Peranan bahasa dan sastera tidak boleh
dipisahkan umpama irama dan lagu. Literasi dalam sesuatu bahasa tulisan mempersiapkan atau menyediakan
seseorang itu untuk hidup dalam kebudayaan setempat, bukan sahaja untuk pandai membaca, menulis dan
mengira, tetapi juga untuk mengetahui sejarah masa silam yang tidak dialaminya, mengetahui cerita-cerita
rakyat yang turun temurun, memahami dan menghayati nilai dan norma. Selain itu, memahami perasaan
orang dan mencanai cara berbudi bahasa dan bertegur sapa. Seseorang yang tidak pernah membesar dalam
keluarga berbahasa Melayu dan dalam dunia kebudayaannya sejak kecil tentunya sukar untuk memahami
sebenarnya perasaan yang disebut sebagai besar hati, hati batu dan air tangan misalnya. Demikianlah
pentingnya bahasa yang merujuk kepada makna yang tersirat untuk memperkatakan sesuatu secara tidak
langsung. Begitu juga dengan sastera, perkembangannya di tangan bahasa.

Awang Sariyan (2006: 184) dalam kertas kerjanya bertajuk Penerapan Tatabahasa Dalam Karya Kreatif
menerangkan bahawa adanya hubungan antara ilmu bahasa dengan penghasilan karya kreatif. Sebagaimana
kita maklum bahasa ialah alat pengucapan atau sebagai alat penyampaian karya sastera. Biar dengan gaya
bahasa yang indah atau kaku, bahasa tetap dipergunakan sebagai alat untuk berkarya. Ilmu bahasa
sebenarnya mempunyai pertalian yang amat erat dengan penghasilan karya kreatif dan oleh sebab itu tidak
harus dianggap sebagai batu penghalang dalam usaha menonjolkan gaya bahasa yang indah. Penulis atau
sasterawan amat beruntung jika memiliki ilmu tersebut sebagai asas berkarya. Sebagai seorang penulis perlu
menguasai beberapa aspek bahasa seperti morfologi, sintaksis, fonologi dan semantik. Keempat-empat aspek
tersebut sebenarnya digunakan oleh para penulis setiap kali mereka berkarya. Secara ringkas, morfologi
ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan kata, sintaksis ialah bidang yang berhubung dengan
pembentukan ayat. Manakala fonologi pula ialah bidang yang berhubung dengan sistem bunyi sesuatu bahasa
dan yang akhir ialah semantik bidang yang berhubung dengan makna.

Dalam ilmu bahasa, morfologi ialah ilmu tentang pembentukan kata. Dalam setiap bahasa, ada dua unit
morfologi, iaiatu morfen dan kata. Morfen pula terbahagi dua, iaitu morfen bebas dan morfen terikat.
Morfen bebas ialah morfen yang dapat berdiri sendiri. Morfen terikat pula ialah morfen yang tidak dapat
wujud sendiri dan hanya dapat berfungsi jika digabungkan dengan morfen bebas. Kata pula terbentuk
daripada satu morfen atau lebih. Kata yang terdiri darpada satu morfen sahaja dapatlah dianggap morfen
bebas, contohnya: pandang, besar, lari dan sebagainya. Contoh kata yang terdiri daripada lebih satu morfen
ialah memandang, berlari dan membesar dan sebagainya. Tiga proses bahasa yang berlaku dalam morfologi
ialah pengimbuhan, penggandaan dan penggabungan. Proses pengimbuhan menghasilkan kata terbitan.
Perhatikanlah bagaimana proses tersebut diterapkan dalam penulisan dengan meneliti contoh yang berikut:

Dia tersentak cemas apabila mendengar ratapan dan raungan yang melengking ngeri tiba-tiba. Serta merta,
matanya meliar mencari suara pengait yang sombong dan bongkak. Dipelupuh isterinya hingga bergulingan
dan akhirnya terhenti dilopak berhampiran kebun asparagus.
(Azmah Nordin, Syumul: 2004-2005)
Awalan meN digunakan oleh Azmah Nordin sebagai penanda kata kerja aktif mendengar. Tanpa awalan
tersebut, kata dengar menjadi kata kerja pasif untuk pelaku pertama dan kedua yang ternyata tidak boleh
digunakan untuk pelaku ketiga dia seperti dalam ayat di atas. Dengan menggunakan awalan meN pula, kata
kerja kait dapat dibentuk menjadi nama (pelaku), iaitu pengait. Akhirnya awalan di pada kata kerja
dipelupuh ialah bentuk kerja fasih yang terbit daripada kata pelupuh (mempelupuh).

Contoh penggandaan dan penggabungan dapat diperhatikan pada petikan di bawah ini:

Tiga orang kanak-kanak lagi dicampakkan oleh sebuah kenderaan yang entah datang dari mana. Tiba-tiba
saja pada suatu pagi mereka melihat ada sebuah van berwarna putih berhenti di luar pintu pagar. Sekejap
sahaja van itu terus berlalu menuju ke Lebuh Raya Timur Barat, cuba memecut dan terhinggut-hinggut di
atas jalan lori balak yang berlekuk-lekak. Di luar pintu pagar, tiga orang kanak-kanak yang comot terintai-
rintai hendak masuk. Pintu pagar pun dibuka. Semuanya tidak menangis. Bagaikan mereka sudah biasa
dengan keadaan begitu. (Fatimah Busu, Salam Maria: 388)

Dengan menerapkan kata ganda kanak-kanak, terhinggut-hinggut, berlekak-lekuk dan terintai-rintai, terhasil
satu kesinambungan antara frasa-frasa yang menjadi predikat, iaitu

memecut dan terhinggut-hinggut: jalan lori balak dan berlekak-lekuk, comot dan terintai-intai.

Sintaksis merupakan satu lagi aspek bahasa. Sintaksis digunakan dalam penghasilan karya. Sintaksis
berhubung dengan pembentukan ayat. Dalam hierarki tatabahasa, sintaksis menduduki tempat tertinggi.
Ayat mengandungi fikiran yang lengkap. Perkara yang paling penting dalam sintaksis yang dapat membantu
penulis menggunakan bahasa yang baik, lancar dan berkesan ialah pola-pola ayat. Pola bererti acuan. Pola
atau acuan ayat terbentuk daripada dua unsur utama, iaitu subjek dan predikat. Dengan berpegang kepada
dasar ini, penulis tidak akan menghasilkan ayat-ayat yang tergantung. Pola ayat boleh dibahagikan kepada
ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait dan ayat bercampur. Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas subjek
dan predikatnya. Maksud subjek ayat itu tidak mempunyai penerangan atau tidak bergabung dengan subjek
lain dan predikatnya pun tidak berpenerangan, berpelengkap atau berklausa. Perhatikan beberapa contoh di
bawah ini:
i. Maria Zaitun/kelam kabut
(Fatimah Busu, Salam maria: 104)

ii. (tiba-tiba) Erika Bacia/tersentak


(Azmah Nordin, Syumul: 10)

iii. Siti Salina tersenyum


(A. Samad Said, Salina: 147)

Ayat-ayat di atas tergolong ke dalam ayat inti. Ayat-ayat inti ini dapat pula digunakan untuk mengelakkan
kebosanan orang membaca ayat yang panjang-panjang dan kompleks. Malahan ayat-ayat inti dapat juga
digunakan untuk maksud penekanan atau untuk mempercepatkan jalan cerita. Ayat transformasi pula
terbahagi kepada ayat transformasi satu dasar, ayat transformasi dua dasar dan ayat trasformasi berdasarkan
banyak. Dalam ayat transformasi satu dasar, para penulis dapat memanfaatkan ayat negatif, ayat berita
songsang, ayat tanya biasa, ayat tanya songsang, ayat berita pasif biasa, ayat berita pasif songsang, ayat
tanya pasif biasa, ayat tanya pasif songsang, ayat perintah aktif, ayat perintah pasif, ayat penggalan, ayat
penegas dan lain-lain lagi. Manakala ayat trasformasi dua dasar ada pula yang disebut ayat gabungan dan
ayat pancangan.

Awang Sariyan (2006: 184) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk Penerapan Tatabahasa Dalam Karya Kreatif
menyatakan penulis yang dapat menguasai pelbagai pola ayat amat beruntung. Kepelbagaian struktur ayat
merupakan satu cara yang paling penting untuk menimbulkan kesan kepada pembaca. Sesungguhnya hal
tersebut adalah suatu ujian kejayaan terhadap penulis dalam hal penggunaan bahasa.

Penerapan semantik dalam penghasilan karya juga tidak kurang pentingnya. Gaya bahasa semantik, dapat
membantu penulis dalam hal diksi, metafora, simili, hiperbola dan personifikasi. Diksi ialah pemilihan kata
yang betul atau tepat dan berkesan. Kesukaran untuk membuat pemilihan kata yang tepat timbul kerana
banyak sekali kata yang menunjukkan hal atau keadaan yang hampir sama tetapi konotasinya yang berlainan.
Misalnya, kata kacak, tampan, macho dan sebagainya masing-masing menunjukkan erti yang hampir-hampir
sama tetapi secara konotatif, masing-masing kata itu mempunyai erti yang lebih khusus. Contoh lain, kata
rumah, istana, mahligai, pondok dan teratak memanglah mempunyai erti yang sama, iaitu tempat kediaman,
maka itu ia dikatakan bersinonim. Tetapi masing-masing kata itu sebenarnya mempunyai erti khusus yang
tidak menunjukkan kata reference yang sama. Maka dalam hal seperti ini bersinonim tidak semestinya
mempunyai erti yang benar-benar sama.
Penggunaan metafora juga amat penting dalam penulisan kreatif. Metafora bolehlah ditakrifkan sebagai
ungkapan atau simpulan bahasa bermakna bandingan atau analogi. Metafora dapat berdiri sendiri sebagai
unit sendiri mengambil tempat dan fungsi sendiri dalam struktur sintaksis. Contoh:
i. berkepak putih di sayap zaman
(Ahmad Sarju, Sajak Burung-Burung Di Puncak Gunung)

ii. sambil membina jambatan kasih (Zaitun Ajmain, Sajak Erti Persahabatan)

iii. Ada lagi yang lebih pahit daripada itu, Kataku, cuba menyingkap tirai
sejarah yang tersembunyi 1001 rahsia. (Hasidah Bisan, Cerpen Pesona: 58)

iv. Di sinilah desa kelahiran, padang perjuangan yang mengajarnya erti kehidupan
sejak dibesarkan hingga ditinggalkan ibu bapanya.
(Osman Ayob, Cerpen Detik Yang Tergugat: 77)

Selain itu, gaya bahasa yang digunakan oleh pengkarya ialah simili. Simili didefinisikan sebagai perbandingan
sesuatu objek dengan sesuatu objek dengan menggunkan kata sebagai, umpama, seperti, laksana dan
sebagainya. Contoh:

i. Merompak kemanusiaan seperti dihalalkan


(Borhan Md Zain, Sajak Bila Matahari Berlabuh)

ii. Bagai kilat senja memecah sinar


(Ahmad Sarju, Sajak Burung-Burung Di Puncak Gunung)

iii. Bunyi injin menderu-deru bagai angin kencang yang boleh mengoncangkan tangkai- tangkai padi
(Osman Ayob, Cerpen Detik Yang Tergugat: 73)

Personifikasi juga merupakan salah satu gaya bahasa yang banyak digunakan dalam penulisan kreatif.
Personifikasi ialah gaya bahasa yang memberikan sifat kemanusiaan kepada objek-objek bukan manusia.
Contoh:

i. Jan berasa sangat bosan pada pagi itu, udara di luar cukup sejuk. Tambahan pula Wind Child menggigit
kulit. Rakan-rakan lain, penghuni rumah orang tua yang kebanyakkannya perempuan telah keluar menyertai
acara Walden Walkers di side walk sekitar kawasan Walden Place. (Abdullah Tahir, Cerpen penantian di
Walden Place:40)

ii. Lalu dengan cepat ia merayu (Jasni Mat Lani, Sajak Sebatang Pohon.)

Penutup
Apabila berbicara tentang bahasa dan Kesusasteran Melayu akan mengajak kita bersedia berpadu tenaga
membina, memupuk dan mengembangkannya. Oleh itu, peranan bahasa dan sastera, umpama irama dan
lagu. Kata sepakat antara bahasa dan sastera akan mampu menunjukkan fikiran, kreativiti dan aktiviti.
Bahasa ialah alat komunikasi utama dan asas pembinaan sesebuah tamadun. Tamadun menjadi kekal dan
bertahn melalui tradisi ilmu. Jadi bahasa Melayu dan Kesusasteran Melayu berperanan membawa dan
menggerakkan kehidupan kebudayan bangsanya meliputi akal fikiran dan daya ciptaan dalam segala tuntutan
dan keperluan. Bahasa Melayu sudah sedia mampu dan oleh sebab itu mesti digerakkan untuk mengisi fikiran
dan pemikiran dalam bidang pencapaian ilmu pengetahuan tinggi, kesusasteraan, falsafah dan imej warisan
tamadun.
Bibliografi
Abdullah Yusof Ali, 1983. The Holy Quran, Text Translation and Commentaries. Lahore: Sy. Muhammad Ashraf.

A. Aziz Deraman, 2006. Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020 dlm. Sastera
Kebangsan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2006. Persuratan dan Peradaban Nasional Abad Ke-21: Gagasan dan Krangka Strategi Untuk
Peradaban Melayudlm.Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2006. Penerapan Tata Bahasa Dalam Karya Kreatif dlm. Sastera Kebangsaan Isu dan
Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hamdani, 2006. Sastera Kebangsaan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusof Haji Othman, 2006. Persuratan dan Peradaban Nasional Penjana Sains dan Teknologi
dlm.Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsudin Othman, 2006. Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dlm. Persuratan dan Peradaban
Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like