You are on page 1of 6

Hukuman Rotan di sekolah (Karangan bahagian A) SPM

Hukuman Rotan di sekolah

Mutakhir ini, kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar semakin mencemaskan semua
pihak. Hampir setiap hari, media massa seperti televisyen dan akhbar melaporkan kes salah laku yang
melibatkan pelajar sekolah. Antaranya ialah gejala buli, vandalisme, ponteng sekolah, pergaduhan,
melawan atau memukul guru dan pelbagai kesalahan lain. Dalam usaha hendak membendung gejala
yang tidak sihat ini, pihak kementerian pelajaran telah mengambil langkah untuk melaksanakan semula
hukuman rotan di sekolah. Namun persoalannya, sejauh manakah hukuman rotan ini akan memberikan
impak yang baik memandangkan terdapat segelintir daripada ibu bapa yang tidak bersetuju dengan
pelaksanaannya?

Ghalibnya, pelaksanaan hukuman rotan dilihat berkesan sebagai langkah untuk menangani
masalah pelanggaran disiplin dalam kalangan pelajar. Sehingga kini, banyak pelajar yang berani
melakukan kesalahan kerana mereka sedar bahawa guru tidak mempunyai kuasa untuk menghukum
mereka dengan cara merotan. Jadi, ada antara mereka yang berani mencabar kuasa guru dan
melanggar peraturan sekolah. Oleh itu, hukuman rotan ini akan mendatangkan ketakutan kepada
pelajar lebih-lebih lagi jika dilaksanakan di khalayak ramai seperti semasa perhimpunan. Dengan itu,
pelajar akan takut dan sedar bahawa pihak sekolah serius terhadap masalah disiplin yang berlaku di
sekolah. Perasaan gerun dan sikap waspada ini akan menyebabkan pelajar lebih mematuhi peraturan
sekolah. Secara tidak langsung, kes disiplin di sekolah dapat dikurangkan dengan pelaksanaan
hukuman ini.

Bukan itu sahaja, hukuman rotan juga dapat memberi pengajaran kepada pelajar. Seperti kita
sedia maklum, hukuman rotan ini memang penting untuk menjinakkan pelajar yang degil dan keras
kepala. Hal ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelajar yang jahat dan nakal, malah tidak
mempedulikan teguran atau nasihat guru. Oleh yang demikian, mereka wajar dirotan kerana tindakan
ini akan menyebabkan mereka berasa malu dan takut serta serik untuk mengulangi perbuatan yang
melanggar peraturan sekolah. Tegasnya, hukuman rotan ini menjadi pelengkap kepada asuhan ibu
bapa dan peringatan kepada pelajar untuk menghormati guru serta mematuhi peraturan sekolah.

Selain itu, hukuman rotan juga dilihat mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih
selesa dan selamat. Hal ini kerana, kebanyak pelajar suka membuat bising, terutamanya dalam kelas
yang lemah. Sebagai akibatnya, proses pembelajaran akan terganggu. Pelajar yang lain tidak dapat
menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Sekiranya nasihat dan teguran secara lembut tidak
mendatang kesan, maka hukuman rotan ini dapat mengubah keadaan. Hal ini jelas apabila pelajar yang
nakal ini dirotan, keadaannya biasanya menjadi lebih terkawal. Suasana pengajaran dan pembelajaran
menjadi lebih kondusif dan efektif malah para pelajar dapat belajar dengan tenang.

Tuntasnya, saranan kementerian untuk melaksanakan semula hukuman rotan di sekolah


sebagai prakarsa untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar wajar disokong oleh
semua pihak. Ibu bapa tidak seharusnya cepat melatah dan terburu-buru membantah pelaksanaan
hukuman ini sebaliknya menilainya dari sudut yang positif. Namun, para guru diingatkan untuk bertindak
secara bijak agar tidak menyalahgunakan hukuman rotan ini dan bertepatan dengan tujuan
pelaksanaannya.
TAJUK : Hukuman Merotan Patut Dilaksanakan Semula Di Sekolah
FORMAT : Perbahasan/ pembangkang

Salam sejahtera Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana,
saudara saudari pencadang yang saya hormati, serta para hadirin sekalian.

Saya, sebagai pemidato pertama ingin mengemukakan hujah-hujah saya bagi


membangkang tajuk perbahasan pada pagi ini. Kami pihak pembangkang tetap
tidak bersetuju dengan pernyataan “Hukuman Merotan Perlu Dilaksanakan semula
bagi Mendisiplinkan Pelajar-pelajar.”

Panel hakim yang arif serta rakan-rakan seperjuangan sekalian,


Sebelum saya melanjutkan hujah-hujah saya, terlebih dahulu izinkan saya
menjelaskan tajuk perdebatan kita pada hari ini. “Hukuman merotan” merujuk
denda yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, iaitu menyebat pelajar-pelajar yang
melanggar peraturan sekolah. Antara salah laku yang dianggap melanggar
peraturan sekolah ialah merokok, ponteng, bergaduh, merosakkan harta benda
sekolah, dan pelbagai kesalahan yang lain. Lazimnya hukuman ini dijalankan
secara terbuka iaitu di hadapan pelajar-pelajar yang lain ketika perhimpunan
sekolah. Di samping itu terdapat juga hukuman merotan yang dijalankan secara
tertutup. Pada hemat saya, hukuman ini agak keterlaluan dan ketinggalan zaman.
Merotan pelajar-pelajar tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah disiplin
pelajar-pelajar. Pelajar yang di rotan pasti akan memberontak atau berdendam.
Seharusnya kita mengambil kira usia pelajar-pelajar tersebut. Dalam usia yang
begitu muda, mereka perlukan bimbingan bukannya hukuman. Kami barisan
pembangkang menganggap hukuman ini penuh dengan unsur kekejaman dan
keganasan. Mahukah saudara saudari dan rakan pencadang dirotan kerana
kesalahan-kesalahan seperti yang saya katakan tadi?

Barisan hakim yang bijaksana dan saudara saudari sekalian,


Hukuman merotan ini bukan sahaja menyakitkan malah memalukan dan
menakutkan para pelajar. Pelajar-pelajar yang dirotan pasti akan berasa malu
kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Mereka akan mengalami tekanan
perasaan yang kuat. Adakah mampu bagi seorang pelajar menanggung beban
perasaan seperti itu ? Saya pasti walaupun barisan pencadang tidak
menganggukkan kepala tetapi jauh di lubuk hati, mereka tetap bersetuju dengan
hujah saya ini. Ini kerana, peristiwa kena rotan pasti akan menghantui jiwa mereka
dalam jangka masa yang lama. Mereka yang tidak dapat menanggung perasaan
mungkin akan bertindak diluar dugaan kita. Akhbar tempatan pernah menyiarkan
berita tentang seorang pelajar di Melaka yang membunuh diri kerana pihak sekolah
memberitahu keluarganya yang dia dirotan. Mahukah kita mendengar tragedi
seperti ini berulang lagi? Janganlah saudara saudari menghalalkan hukuman ini di
sekolah-sekolah. Ingat saudara saudari, sekolah bukan tempat untuk menjatuhkan
hukuman. Sekolah ialah tempat pelajar-pelajar dididik dan dibimbing untuk
menjadi anggota masyarakat yang berguna. Oleh itu saya ingin menyanggah
dengan sekeras-kerasnya pandangan negatif pencadang yang pertama tadi.

Para hakim yang saya muliakan serta para hadirin sekalian,


Saya berpendapat bahawa hukuman merotan ini akan menimbulkan masalah yang
lebih serius. Kata pihak pencadang sebentar tadi, para pelajar yang dirotan pasti
akan insaf akan perbuatan mereka dan oleh itu akan berkelakuan baik sepanjang
masa. Namun, tidakkah saudara pencadang sedar bahawa terdapat juga
kemungkinanpara pelajar yang dirotan mungkin akan bertindak balas? Mereka
akan melakukan perkara-perkara yang lebih buruk.

Kereta guru akan menjadi sasaran. Ada kereta yang akan dicalarkan dan ada tayar
yang akan dibocorkan oleh mereka. Apabila keadaan ini berlaku, keharmonian
hubungan guru dengan murid akan menjadi tegang.

Lebih buruk lagi mereka akan bertindak liar merosakkan harta benda sekolah,
umpamanya membakar harta benda sekolah atau lebih buruk lagi, membakar
sekolah. Mahukah kita melihat pelajar-pelajar kita bertindak liar seperti ini? Apa
yang pasti, hubungan guru-guru dengan para pelajar akan menjadi renggang.
Perasaan hormat mereka terhadap para guru akan hilang. Guru-guru pula akan
membenci pelajar-pelajar yang berkenaan. Sesungguhnya tiada manusia yang suka
dirinya dizalimi walaupun dia bersalah. Hubungan renggang antara guru-guru
dengan pelajar-pelajar pasti akan menjejaskan aktiviti pembelajaran dan
pengajaran. Pelajar-pelajar yang terbabit pasti akan hilang minat untuk belajar.
Akibatnya prestasi mereka dalam pelajaran pasti akan merosot. Inilah harga yang
perlu dibayar oleh sistem pendidikan kita sekiranya hukuman merotan
dilaksanakan di sekolah-sekolah.. Menyedari hakikat ini, saya dan rakan-rakan
pembangkang tetap menyelar pandangan pihak yang saya anggap ‘selangkah ke
belakang’.

Tuan-tuan hakim yang saya hormati serta rakan-rakan sekalian,


Dalam zaman yang serba canggih ini saya berpendapat hukuman ini sudah
ketinggalan zaman. Di negara-negara maju yang lain, hukuman ini sudah lama
dilenyapkan. Saya tidak mahu menyalahkan pihak pencadang yang mungkin
terlalu asyik belajar sambil mentelaah buku teks sehingga lupa membaca akhbar
dan majalah. Kita harus mempraktikkan kaedah yang lebih saintifik dan
berperikemanusiaan. Beberapa sesi kaunseling yang berkesan pasti akan dapat
menyedarkan para pelajar yang bersalah akan kesalahan yang dilakukan oleh
mereka. Sebelum kita mengenakan hukuman, kita perlu membuat penyiasatan yang
terperinci. Latar belakang para pelajar yang berkenaan perlu diambil
kira. Menghukum dengan sewenang-wenangnya akan meninggalkan implikasi
buruk yang sukar dilupakan. Anak-anak zaman sekarang tidak sepatutnya
didedahkan dengan unsur-unsur keganasan. Para guru perlu mengkaji punca-punca
berlakunya perbuatan-perbuatan yang melanggar disiplin sekolah. Menangani
masalah disiplin secara bersopan dan berhemah pasti akan membuahkan hasil yang
positif. Pelajar-pelajar perlu dinasihati dan dibimbing dengan sebaik mungkin. Kita
harus menerima hakikat bahawa fikiran mereka masih belum matang dan mereka
memerlukan tunjuk ajar. Merotan mereka hanya akan melenyapkan keyakinan
mereka terhadap guru-guru. Oleh yang demikian saya sekali lagi menegaskan
bahawa hukuman merotan hanya akan mencederakan pelajar-pelajar dari segi
fizikal dan emosional. Hakikatnya, hukuman ini tidak harus dilaksanakan di
sekolah-sekolah pada masa kini.

Hadirin sekalian,
Oleh sebab masa tidak mengizinkan saya untuk berhujah lebih lanjut maka saya
mohon untuk berundur diri seketika namun rakan seperjuangan saya pasti akan
menyambung hujah-hujah kami. Walau bagaimanapun, saya tetap menegaskan,
hukuman merotan tidak patut dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi mendisiplinkan
pelajar-pelajar.

Sekian, terima kasih.


CONTOH USUL BAHAS ALA PARLIMEN (PM'S MOTION
ADDRESS)
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat sejahtera dan selamat petang

Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan


Pegawai-pegawai Persidangan
Yang Berhormat kerajaan dan Yang Berhormat Pembangkang

Selaku Perdana Menteri, izinkan saya membentangkan usul “Rancangan Realiti Televisyen mampu
melahirkan Masyarakat Madani”. Saya percaya bahawa selepas perbahasan sidang dewan yang mulia ini,
usul ini bakal diluluskan.

Tuan Yang Dipertua, dan sidang dewan yang dimuliakan,

Rancangan Realiti Televisyen bermaksud program atau siaran televisyen bersifat interaktif yang dijayakan
sebilangan peserta yang telah melalui proses saringan dan tapisan yang tertentu. Rancangan realiti
mempunyai fokus tertentu seperti pencarian bakat hiburan popular dan alternatif, ilmu, interaksi sosial,
sukan, dan lain-lain. Masyarakat madani ialah suatu sistem sosial yang mementingkan ketertiban,
kerukunan dan pematuhan terhadap keperluan hidup yang sejahtera. “Mampu melahirkan” membawa
maksud kebolehan atau prospek pembentukan, pembinaan, dan penyempurnaan sesuatu hasrat. Pendek
kata, usul kerajaan kali ini secara mudah bererti bahawa siaran interaktif televisyen yang memungkinkan
harapan terbentuknya sebuah masyarakat yang serba sejahtera.

Saya, ___________________________ telah menjelaskan definisi konsep usul persidangan sebentar tadi.
Pihak kerajaan akan tampil dengan hujah-hujah sekukuh Gunung Everest yang teramat sukar digugat oleh
pihak pembangkang. Seribu langkah bermula dengan satu langkah. Strategi kerajaan yang pertama bakal
dimulai dengan hujah utama Perdana Menteri. Menteri Kedua, Yang Berhormat Dato’ Seri
________________________ akan meneguhkan kes kerajaan dengan menolak definisi Yang Berhormat
Ketua Pembangkang yang pasti tertumpu kepada sisi gelap sesuatu kebaikan, sebaliknya mengukuhkan
definisi usul kerajaan. Beliau seterusnya akan membidas hujah Ketua Pembangkang, dan kemudian
menampilkan dua hujah bagi memperteguh kes kerajaan. Saya tidak nafikan bahawa pembangkang kedua
akan menolak dan menyembunyikan kebenaran kes kerajaan, namun hujah yang pastinya bersifat gelas
separuh kosong itu mudah diruntuhkan, dan kes pembangkang berantakan dan punah ranah bagaikan puing-
puing debu yang dibawa taufan Nargis oleh Yang Berhormat Menteri Ketiga. Dalam sesi penggulungan,
kerajaan akan memastikan hujah pembangkang hancur luluh sama sekali, manakala kebenaran usul
kerajaan mendapat sokongan padu sidang dewan yang mulia.

Yang Dipertua dan sidang dewan yang dimuliakan,

Hujah utama kerajaan ialah pembentukan jati diri dalam kalangan peserta rancangan realiti dan para
penonton yang menjadi pengundi. Para peserta perlu menyiapkan diri mengikut tema tertentu dengan
menerapkan elemen kreativiti dan komitmen dalam persembahan demi untuk memancing perhatian dan
memenangi sebanyak mungkin undian. Di pihak pengundi yang menjangkau segenap pelosok negara, pada
akhirnya akan memenangkan peserta yang benar-benar memiliki bakat dan ciri pemenang sejati, setelah
mengambil kira ulasan juri profesional usai persembahan setiap seorang peserta. Jelaslah bahawa peserta
mesti menampilkan aksi yang terbaik, unik dan memukau. Keyakinan diri dan daya saing akan jadi taruhan.
Para pengundi yang menjadi hakim perlu menjadi jauhari yang mengenal maknikam. Dalam jangka masa
panjang, faktor emosi yang mungkin mempengaruhi pola undian akan berada pada skala yang kecil sahaja.
Sebagai contoh, Mawi sebagai produk Akademi Fantasia berjaya mendekatkan masyarakat Malaysia kepada
hiburan yang santai tetapi sarat mesej. Begitu juga rancangan realiti televisyen yang lain seperti Akademi
al-Quran, Akademi Nasyid, Gadis Melayu, Mencari Menantu, Pesona Nona dan sebagainya yang memupuk
jati diri dalam kalangan peserta dan penonton yang menjadi pengundi. Ini belum termasuk pihak penganjur
yang berhempas pulas menyajikan format, dan konsep rancangan realiti televisyen yang diterima, serta
mempunyai sejumlah besar pengikut yang setia. Jelaslah bahawa konsep rancangan televisyen kita
memiliki acuan sendiri, dan tidak sama sekali meniru rancangan realiti televisyen Barat yang menjurus
kepada budaya hedonisme dan hawa nafsu. Pihak kerajaan memberi jaminan bahawa apa-apa jua
kelemahan dan kekurangan yang mungkin cuba diuar-uarkan oleh pihak pembangkang tidak berupaya
menghapuskan gemerlap kebaikan rancangan realiti televisyen yang menyumbang ke arah pembentukan
masyarakat madani yang sama-sama kita impikan.

Tuan Yang Dipertua dan sidang dewan yang dimuliakan,

Masyarakat madani yang serba sejahtera bertunjangkan jati diri. Sebab itu, saya ingin menegaskan buat
kesekian kalinya bahawa rancangan realiti telivisyen mampu melahirkan masyarakat madani.

Saya, Perdana Menteri Malaysia mohon mengusulkan.

You might also like