You are on page 1of 2

MEMORANDUM

Kepada : Yang Dipertua Majlis Perbandaran Indah Jaya

Daripada : Persatuan Penduduk Taman Chantek, Bandar Indah Jaya

Bantahan Terhadap Tindakan Pengusaha Pusat-pusat Hiburan


yang Beroperasi sehingga Lewat Malam di Chantek

1. Pendahuluan

Bandar Indah Jaya merupakan sebuah bandar yang amat pesat membangun.
Bandar ini bukan sahaja menjadi pusat perniagaan dan pendidikan, terutamanya
institusi pendidikan swasta, tetapi juga menjadi pusat pelbagai jenis perkhidmatan
yang salah satu daripadanya ialah perkhidmatan hiburan. Kemajuan ini memang
banyak kebaikannya kepada kami, penduduk Taman Chantek. Walau bagaimanapun,
wujud suatugejala yang amat membimbangkan kami, iaitu kegiatan pengusaha pusat-
pusat hiburan, seperti pusat snuker, pub, dan kafe yang beroperasi sehingga lewat
malam di premis masing-masing. Mereka ketara tidak mematuhi arahan kerajaan
negeri agar menghentikan operasi selewat-lewatnya pada pukul 1.00 pagi.

2. Penyataan Kekesalan

2.1 Langkah pengusaha pusat-pusat hiburan tersebut telah menimbulkan kebisingan


yang teruk kepada kami. Pusat-pusat tersebut dikunjungi oleh pelanggan yang ramai
yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan umur mereka adalah lingkungan 18-30
tahun. Kebisingan bukan sahaja disebabkan oleh bunyi muzik yang kuat di pub dan
kafe, tetapi juga bunyi hilai ketawa pengunjung yang sesetengahnya mabuk. Mereka
bergurau senda dan kadang-kadang bertempik apabila ada sesuatu yang
menggembirakan mereka tanpa mempedulikan ketenteraman orang lain. Kami boleh
bertolak ansur sekiranya kejadian seperti itu berlaku sebelum jam 12.00 malam, tetapi
apabila kebisingan tidak dapat dikawal sehingga jam 4.00 pagi, kami berasa amat
terganggu.

2.2 Masalah kesesakan juga mengganggu kami. Kami tidak mengetahui dari mana
datangnya para pengunjung, tetapi yang nyata jumlah mereka ramai. Mereka mula
mengunjungi pusat-pusat tersebut seawal jam 8.00 malam dan kehadiran mereka
menyebabkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di pusat bandar. Mereka juga
meletakkan kenderaan mereka di kawasan perumahan sehingga kadang-kadang
mengganggu kami untuk keluar masuk ke kawasan kediaman kami. Sesetengah
penduduk yang memiliki kenderaan lebih daripada dua buah, begitu bermasalah untuk
mendapatkan parkir selepas jam 10.00 malam. Pengunjung nampaknya langsung tidak
mempedulikan keselesaan penduduk setempat. Apabila ditegur, mereka memberikan
reaksi yang tidak menyenangkan.

2.3 Untuk makluman pihak tuan, langkah pengusaha pusat hiburan melanjutkan
tempoh operasi sedemikian panjang juga boleh mengundang masalah jenayah dan
maksiat. Tidak mustahil jika pusat tersebut menjadi sarang penjenayah untuk
berkumpul dan berhibur. Mereka mungkin melakukan kegiatan mengedar dadah,
memeras ugut, dan menyamun di pusat sedemikian. Selain itu, gejala maksiat juga
mungkin berlaku, khususnya minum minuman keras, mengambil pil khayal, dan
melakukan aktiviti pelacuran. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di tempat
seperti itu memang membuka ruang yang luas kepada berlakunya gejala yang
dinyatakan itu. Hal ini juga boleh membawa impak yang buruk kepada penduduk
setempat.

2.4 Seterusnya, jika kegiatan mereka itu tidak dibendung, maka ini boleh
mendatangkan imej buruk kepada pihak berkuasa. Kegagalan menangani masalah ini
memberikan gambaran bahawa pihak berkuasa tidak tegas dalam melaksanakan
undang-undang yang ditetapkan. Jika gejala seperti ini gagal ditangani, ada
kemungkinan masalah lain yang lebih serius juga gagal dibanteras. Itulah antara
kemungkinan tanggapan orang ramai terhadap pihak berkuasa tempatan. Selain itu,
imej buruk itu juga boleh menakutkan orang luar untuk datang ke bandar ini, malah
sekarang pun, sudah terdapat pihak tertentu yang telah melabelkan kawasan kediaman
kami sebagai kawasan yang tidak selamat untuk dikunjungi.

3.0 Usul

Yang berikut adalah usul bagi menangani masalah tersebut.

3.1 Pihak berkuasa hendaklah memantau pusat-pusat tersebut, tersebut, terutamanya


selepas jam 12.00 malam dan serbuan mengejut hendaklah dibuat agar segala
perbuatan yang membahayakan dapat dikesan dan diatasi dengan segera. Kita tidak
mahu golongan remaja kita terutamanya, terjebak dalam gejala negatif yang bukan
sahaja merugikan diri mereka malah juga negara. Kita juga tidak mahu pihak
pengusaha pusat hiburan tersebut mengaut keuntungan dengan mengetepikan undang-
undang dan menafikan hak orang lain untuk beristirahat dengan tenteram di rumah
mereka sendiri.

4.0 Penutup
Kami amat berharap agar pihak tuan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap
bantahan kami ini. Kami berharap agar pihak tuan melakukan pemeriksaan yang
sewajarnya untuk memastikan bahawa bantahan kami berasas. Kami penduduk
Taman Chantek akan memberikan apa-apa juga bentuk kerjasama yang diperlukan.
Yang penting bagi kami, walaupun kemajuan berkembang pesat di bandar ini, tetapi
nilai hidup timur yang sekian lama diamalkan dapat terus dikekalkan.

……………………………….
(TOMMY FERDINAND)
Pengerusi
Persatuan Penduduk Taman Chantek, Bandar Indah Jaya
Tarikh: 24 Ogos 2021

You might also like