You are on page 1of 9

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia telah mula diperkenalkan sejak tahun 1950-an.
Namun pada ketika itu pendidikan awal kanak-kanak hanya mampu diikuti oleh golongan
atasan dan berada sahaja. Bermula pada tahun 1960-an, barulah pendidikan awal kanak-
kanak berkembang secara menyeluruh termasuk kepada golongan yang kurang
berkemampuan. Hal ini kerana timbulnya kesedaran tentang kepentingan pendidikan awal
kanak-kanak dalam golongan mereka. Pendidikan awal kanak-kanak penting dan perlu
diberikan perhatian kerana 90% daripada perkembangan otak secara optimum berlaku
sebelum kanak-kanak mencapai umur lima tahun. Pandangan ini sesuai dengan pendapat
Piaget bahawa perkembangan kognitif pesat semasa peringkat deria motor, iaitu semenjak
kanak-kanak lahir hingga berumur dua tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak
mengembangkan pengetahuan asasnya tentang objek, sebab-sebab sesuatu, ruang dan masa.
Pengetahuan ini menjadi asas untuk perkembangan selanjutnya yang lebih sofistikated.

Biasanya kanak-kanak yang mengikuti program pendidikan awal kanak-kanak akan


lebih komited dalam pembelajaran mereka. Hal ini kerana kanak-kanak mudah untuk
menerima ilmu pengetahuan secara efektif ketika awal usia. Selain itu kanak-kanak yang
mengikuti pendidikan awal kanak-kanak adalah lebih bersedia untuk mengikuti pendidikan
formal di sekolah rendah dan menunjukkan pencapaian akademik yang lebih baik semasa di
tahun pertama persekolahan (Halim, 1989). Penyataan ini bersesuaian dengan kajian yang
dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama UNICEF (1980-1989)
yang mendapati bahawa kanak-kank yang mempunyai pengalaman pendidikan prasekolah
lebih bersedia untuk mengikuti pendidikan formal di sekolah rendah.

Pendidikan prasekolah di Malaysia berlandaskan kepada satu kurikulum iaitu


Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK, 2010). Kurikulum ini merupakan satu
dokumen rujukan yang penting kepada pengusaha dan pendidikan di peringkat awal kanak-
kanak supaya pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah berkesan dan mengikut saranan
yang ditetapkan.

KSPK digubal berkisarkan enam tunjang yang akan diteruskan pada sekolah rendah
dan sekolah menengah. Ia memberikan penekanan kepada standard kandungan dan standard
pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak berumur empat
hingga enam tahun. Standard kandungan dan standard pembelajaran berpaksikan
pengetahuan, kemahiran asas serta nilai dalam enam Tunjang Pembelajaran. Salah satu
Tunjang Pembelajaran yang terlibat adalah Tunjang Fizikal dan Estetika.

Di bawah Tunjang Fizikal dan Estetika terdapat dua perkara yang ditekankan iaitu
bidang perkembangan fizikal dan penjagaan kesihatan serta bidang kreativiti. Fokus utama
yang melibatkan bidang perkembangan fizikal dan penjagaan kesihatan adalah
perkembangan motor halus, perkembangan motor kasar, kesihatan fizikal, kesihatan
persekitaran dan juga keselamatan.

Perkembangan kanak-kanak adalah satu pengajian yang merangkumi segala aspek


pertumbuhan dan perubahan manusia dari detik persenyawaan hingga remaja (Rohani
Abdullah, 2001). Kemahiran motor halus merupakan sebuah elemen penting dalam
perkembangan fizikal kanak-kanak sejak mereka dilahirkan. Matlamat prasekolah atau
pendidikan awal kanak-kanak telah mengarispandukan kepentingan motor halus dalam
kandungan objektif prasekolah iaitu kanak-kanak boleh menguasai kemahiran motor halus
dan asas motor kasar. Hal ini jelas menunjukkan signifikan pendedahan kepada kemahiran
motor halus kanak-kanak supaya mereka mahir dan boleh bertindak lebih jauh ke hadapan.
Kemahiran-kemahiran inilah yang menjadi batu asas bagi kanak-kanak untuk memasuki
pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.

Kemahiran dalam motor halus merupakan kemahiran penting yang perlu dikuasai dari
peringkat tadika atau taska lagi. Kanak-kanak yang boleh menguasai kemahiran dalam
motor halus dengan baik berada dalam keadaan yang selesa berbanding kanak-kanak yang
belum menguasai kemahiran tersebut. Tidak dinafikan kanak-kanak boleh meningkatkan
kemahiran motor halus ketika di peringkat sekolah, namun dengan pelbagai kekangan serta
saiz kelas yang besar menjadikan ianya sesuatu yang agak mustahil. Ini adalah kerana
kebarangkalian untuk bimbingan diberikan adalah dilakukan dengan tidak sempurna. Ini
akan menyebabkan kanak-kanak yang lemah dalam kemahiran motor halus kemungkinan
akan berhadapan dengan kesusahan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di
peringkat tadika atau prasekolah ini kerana kemahiran motor halus adalah asas yang perlu
dikuasai dalam mempelajari pelbagai bidang pelajaran di peringkat tadika atau prasekolah.

1.2 Latar Belakang Kajian

Kajian ini dijalankan kerana masih terdapat kanak-kanak yang tidak dapat menggunakan
kemahiran motor halus mereka dengan baik. Kemahiran motor halus melibatkan otot-otot
kecil serta koordinasi mata. Kemahiran boleh ditingkatkan melalui pendedahan aktiviti yang
boleh merangsang kemahiran kanak-kanak. Namun kemahiran menggunting masih di tahap
kurang memuaskan. Kemahiran menggunting adalah kemahiran yang memerlukan
penumpuan kanak-kanak terhadap objek yang digunakan serta objek yang digunting.
Berpandukan kepada tahap perkembangan fizikal yang digariskan dalam buku Kurikulum
PERMATA Negara, kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun sudah mampu menggunting
bentuk-bentuk yang mudah, namun kanak-kanak masih dilihat sukar untuk mengaplikasikan
kemahiran ini yang sepatutnya telah mampu mereka lakukan di peringkat lebih awal ini
walaupun telah berumur 5 tahun.

Sebelum melangkah ke alam pendidikan yang tinggi kemahiran atau penguasaan


kemahiran motor halus merupakan antara salah satu kemahiran penting yang wajib dikuasai
oleh kanak-kanak. Penguasaan yang baik dalam menggunakan kemahiran motor halus
adalah penting dalam masyarakat kita yang menuju ke arah sesebuah negara maju, ini
kerana kanak-kanak yang sebegini lebih cepat dalam semua bidang pelajaran di peringkat
tadika atau prasekolah yang membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi dengan cepat dan cemerlang.

1.3 Penyataan Kajian

Matlamat utama pendidikan prasekolah adalah memastikan kanak-kanak untuk menguasai


kemahiran 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Keempat-empat kemahiran
ini perlu mereka kuasai sebelum mereka memasuki sekolah rendah iaitu semasa mereka
berumur empat hingga enam tahun. Menulis melibatkan kemahiran motor halus yang baik
dari peringkat awal lagi. Sesungguhnya, untuk merealisasikan matlamat ini bukan mudah
kerana proses pengajaran itu sendiri yang amat kompleks.

Menurut Arasoo (1989), terdapat dua faktor yang mengawal kemahiran motor iaitu
sikap atau persekitaran dan faktor genetik, termasuk perkembangan sistem saraf pusat dan
fungsi neurologikal. Kemahiran motor yang rendah pada sesetengah kanak-kanak adalah
disebabkan oleh kombinasi faktor-faktor yang disebutkan. Namun yang demikian,
kemahiran motor kanak-kanak ini boleh ditingkatkan melalui latihan yang bersesuaian.
Penyelidik ingin melihat sejauh manakah tahap kemahiran motor halus kanak-kanak dan
apakah sebab yang menjadi batu penghalang terhadap perkembangan kemahiran
menggunting ini.

Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan bagi melihat sejauh mana tahap
penguasaan kemahiran motor halus kanak-kanak 5 dan 6 tahun dalam menggunting. Kajian
ini dilakukan terhadap kanak-kanak di Tadika Al-Hannah di Bandar Mahkota Cheras bagi
melihat tahap kemahiran kanak-kanak tersebut sama ada telah menguasai atau belum
menguasai kemahiran menggunting.

Penyelidik berharap melalui kajian ini dapat memberi gambaran lebih jelas
mengenai tahap kemahiran motor halus kanak-kanak 5 dan 6 tahun dalam menggunting.
Seterusnya dapat membantu dalam membantu dalam merangka rancangan intevensi atau
pemulihan yang bersesuaian dengan tahap penguasaan kanak-kanak supaya sebarang
kekurangan kanak-kanak dapat diperbaiki.

1.4 Tujuan Kajian

Kajian ini secara amnya bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan kanak-kanak 5
dan 6 tahun dalam kemahiran motor halus ketika menggunting. Secara khususnya objektif
bagi kajian ini adalah seperti berikut:

i. Mengenal pasti tahap perkembangan kemahiran motor halus kanak-kanak


lima dan enam tahun iaitu kemahiran menggunting.
ii. Mengetahui faktor yang mempengaruhi masalah menggunting dalam
kalangan kanak-kanak.
iii. Memastikan adakah aktiviti yang dijalankan dapat membantu meningkatkan
kemahiran menggunting.

1.5 Persoalan Kajian

Dalam menjalankan kajian ini, beberapa persoalan kajian telah dikenalpasti berdasarkan
objektif yang hendak dicapai. Di antara persoalan kajian yang terjawab melalui kajian ini
adalah seperti berikut:

i. Adakah kanak lima dan enam tahun memiliki konsep dan asas memegang
gunting yang betul?
ii. Apakah faktor yang mempengaruhi kemahiran menggunting dalam
kalangan kanak-kanak terbatas?
iii. Bagaimanakah cara untuk meningkatkan penguasaan kemahiran
menggunting kanak-kanakdaripada lurus kepada bentuk-bentuk
kompleks?
1.6 Kepentingan Kajian

Hasil dapatan kajian ini diharapkan dapat menjadi suatu pengetahuan berguna kepada
penyelidik serta kepada semua pihak dan institusi yang terlibat dalam merangka langkah
susulan meningkatkan tahap kemahiran motor halus kanak-kanak agar lebih baik dengan
menyesuaikan teknik pengajaran dan pembelajaran serta modul yang digunakan apabila
mengajar kanak-kanak tersebut.

Kajian ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada mana-mana pihak yang
berminat untuk melaksanakan penyelidikan seterusnya.

Kajian seperti ini akan memberikan gambar yang lebih jelas mengenai tahap
keupayaan kemahiran motor halus dan motor kasar dalam kalangan kanak-kanak. Selaras
dengan matlamat dan objektif dalam pendidikan prasekolah untuk membolehkan murid
memperkembangkan keupayaan fizikal serta mempraktikkan amalan kesihatan dan
keselamatan yang betul (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003).

1.7 Batasan Kajian

Batasan kajian adalah batasan-batasan yang digariskan oleh pengkaji dalam kajian ini.
Kajian ini tertumpu kepada pengaruh di tadika sahaja dan tidak mengambil kira pengaruh
atau latarbelakang ibu bapa serta persekitaran di rumah kanak-kanak. Tidak dinafikan
bahawa latar belakang keluarga serta persekitaran di rumah turut mempengaruhi tahap
penguasaan kanak-kanak. Namun kajian ini lebih memfokuskan kepada bagaimana guru
serta pihak pengurusan tadika untuk menyediakan persekitaran dan pembelajaran yang
positif dan kondusif agar tahap penguasaan kanak-kanak dalam kemahiran menggunting
atau motor halus dapat ditingkatkan. Ini kerana hampir keseluruhan masa kanak-kanak
adalah dihabiskan di tadika berbanding di rumah.

Kajian ini melibatkan kanak-kanak yang terdiri 2 orang kanak-kanak daripada


lingkungan umur 5 tahun dan 2 orang kanak-kanak daripada lingkungan unur 6 tahun. Oleh
itu, keputusan kajian yang diperolehi adalah terhad kepada kanak-kanak yang dipilih sahaja
dan tidak dapat mewakili populasi yang lain.

Lokasi kajian ini hanyalah terhad kepada beberapa buah negeri sahaja iaitu Kuala
Lumpur, Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan di Terangganu.
Ini bermakna penyelidik perlu memilih satu negeri dan daerah yang mempunyai sekurang-
kurangnya empat pengkaji lain. Maka, kos sara hidup adalah terhad kepada hal-hal tertentu
dan keutamaan sahaja.

Kajian yang dijalankan ini agak terhad dari segi masa kerana masa yang
diperuntukkan untuk kajian ini adalah selama 16 minggu sahaja. Begitu juga kesesuaian
waktu yang diberikan kepada penyelidik kerana proses penyelidikan ini adalah pada akhir
tahun dan awal tahun. Penyelidik perlu memilih umur sampel kajian yang bersesuaian
dengan tempoh waktu yang diberikan kerana pastinya akan menghadapi kesukaran dalam
mengumpul maklumat yang lebih terperinci dan mendalam mengenai tahap penguasaan
kanak-kanak dalam kemahiran menggunting. Oleh yang demikian skop kajian ini hanya
melibatkan faktor-faktor di tadika sahaja seperti yang telah dinyatakan sebelumnya dan
mengambil kira pandangan yang dinyatakan oleh kanak-kanak mengenai pengalaman
mereka dalam menggunting.

1.8 Definisi Operasional

Dalam proses menjalankan kajian ini, terdapat beberapa istilah yang perlu difahami secara
menyeluruh dan jelas untuk menjayakan kajian ini. Pengertian istilah-istilah tersebut ialah :

Perkembangan Fizikal
Berdasarkan kamus dewan, fizikal didefinasikan sebagai bukan dengan badan, jasmani atau
bukan dengan kebendaan atau keadaan alam semula jadi. Menurut Rohani Abdullah (2001),
perkembangan fizikal menurut beliau merangkumi pertumbuhan fizikal iaitu perubahan saiz
badan dan kepala, kandungan badan, pertumbuhan gigi dan rangka tulang, kemahiran
pergerakan motor kasar dan motor halus serta pengawalan dominan tangan kanan atau kiri.

Kemahiran Motor Kasar

Pergerakan yang dihasilkan oleh otot-otot besar bahagian badan yang terbahagi kepada dua
iaitu lokomot dan bukan lokomotor.

Kemahiran Motor Halus

Kemahiran motor halus didefinasikan sebagai koordinasi pergerakan otot-otot kecil pada
sebahagian anggota badan iaitu keselarasan di antara jari-jari tangan dengan mata seperti
perlakuan menjentik, memegang, mengentel dan sebagainya.

Menggunting

Memotong dengan menggunakan gunting (Dewan Bahasa dan Pustaka)

Kanak-kanak

Kanak-kanak ditakrifkan sebgai semua individu yang berumur dari lingkungan 0 hingga 18
tahun.

1.9 Kesimpulan
Bab ini telah membincangkan secara terperinci mengenai latar belakang penyelidikan yang
berfokuskan kepada penyataan masalah yang menjadi pendorong kepada penyelidik
membuat kajian. Dalam bab ini juga telah dibincangkan oleh penyelidik penyataan objektif,
persoalan kajian, batasan kajian dan seterusnya definisi dan istilah yang berkaitan.

You might also like