You are on page 1of 17

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM

DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA


PETISYEN NO: 31-499 TAHUN 2011

DALAM HARTA PUSAKA MENDIANG TAN HOK LOW


(No. KP: 74313003/6404-10-6945)

PENGHAKIMAN
(Permohonan oleh Lee Heng Yau, Penjaga Ad Litem untuk kanak-kanak,
Tan Ping Quan dan Tan Ping Ren)

A. Latar belakang

1. Penghakiman ini adalah berkenaan dengan pentadbiran harta pusaka


Mendiang Tan Hock Low (Mendiang).

2. Mendiang telah meninggal dunia pada 2.1.2003 tanpa wasiat.

3. Mendiang mempunyai seorang isteri yang telah didaftarkan di bawah


Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976
(AMU), Puan Lee Heng Moy (Puan Lee). Puan Lee mempunyai 4 orang
anak, iaitu -

(1) Tan Chee Chin;

(2) Tan Ee Ling;

(3) Tan Ping Quan (TPQ); dan

(4) Tan Ping Ren (TPR).

1
4. Mendiang mempunyai dua isteri yang tidak didaftarkan di bawah AMU (2
Isteri Tambahan) dan mempunyai 5 orang anak dengan 2 Isteri
Tambahan. Secara keseluruhannya, Mendiang ada 9 orang anak
dengan Puan Lee dan 2 Isteri Tambahan.

5. Encik Lee Heng Yau (Pemohon) ialah bapa saudara kepada TPQ dan
TPR. Pada 25.11.2011, Mahkamah ini telah melantik Pemohon sebagai
Penjaga Ad Litem TPQ dan TPR.

6. Terdapat banyak kes terdahulu mengenai harta pusaka Mendiang yang


menjurus kepada satu perintah persetujuan bertarikh 29.7.2011 yang
direkodkan di Mahkamah Rayuan [Perintah Persetujuan (MR)].
Mengikut Perintah Persetujuan (MR), antara lain -

(1) kesemua 9 anak Mendiang, termasuk TPQ dan TPR, berhak untuk
menerima peratusan tertentu daripada harta pusaka Mendiang -
perenggan-perenggan (b) dan (c) Perintah Persetujuan (MR); dan

(2) tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang tertera dalam Perintah


Persetujuan (MR), Pacific Trustee Bhd. (PTB) dilantik sebagai
pentadbir harta pusaka Mendiang (Pentadbir). Saya menekankan
dua syarat pelantikan PTB sebagai Pentadbir yang berikut -

(a) PTB “diwajibkan hanya untuk menjalankan tugas mereka


berdasarkan undang-undang yang sedia ada dan menurut
terma-terma dan syarat-syarat yang dicatatkan dalam [Perintah
Persetujuan (MR)]” [Perenggan (f) Perintah Persetujuan
(MR)];

2
(b) PTB bertanggungjawab untuk menentusahkan harta Mendiang
[Perenggan (i) Perintah Persetujuan (MR)]; dan

(c) PTB sebagai Pentadbir akan menyediakan dan memberikan


sesalinan laporan setiap bulan berkenaan dengan kerja
pentadbiran harta pusaka Mendiang kepada semua pihak
kepada Perintah Persetujuan (MR) [Perenggan (j) Perintah
Persetujuan (MR)].

7. Pada 28.8.2013, Mahkamah ini telah melantik PTB sebagai Pentadbir


(Perintah Pelantikan PTB).

B. Permohonan ini

8. Pemohon telah memfailkan permohonan ini untuk perintah-perintah yang


berikut:

(1) PTB dikehendaki untuk memperoleh segala harta Mendiang untuk


disenaraikan sebagai harta pusaka Mendiang bagi tujuan
pentadbiran harta pusaka Mendiang oleh PTB [Pohonan (i)];

(2) PTB hendaklah menyediakan laporan bertulis berkenaan dengan


segala harta pusaka Mendiang (Laporan Bertulis) dalam tempoh
satu bulan dari tarikh perintah Mahkamah ini [Pohonan (ii)]; dan

(3) kos permohonan ini ditanggung oleh PTB.

C. Persoalan-persoalan untuk diputuskan oleh Mahkamah ini

9. Permohonan ini menimbulkan empat isu yang berikut:

3
(1) sama ada PTB mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang
terhadap benefisiari-benefisiari harta pusaka Mendiang (Benefisiari-
benefisiari);

(2) adakah Pemohon diestop oleh Perintah Persetujuan (MR) daripada


memfailkan permohonan ini?;

(3) sama ada Mahkamah ini boleh membuat perintah agar PTB
memperoleh segala harta Mendiang bagi tujuan pentadbiran harta
pusaka Mendiang oleh PTB; dan

(4) bolehkah Mahkamah ini memerintahkan PTB untuk menyediakan


Laporan Bertulis dalam tempoh satu bulan dari tarikh perintah
Mahkamah ini?

D. Sama ada PTB mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang


terhadap Benefisiari-benefisiari

10. Saya berpendapat bahawa PTB mempunyai tanggungjawab terhadap


Benefisiari-benefisiari sebagai Pentadbir untuk melakukan segala yang
munasabah untuk memperoleh segala harta Mendiang untuk ditadbirkan
oleh PTB. Pendapat saya adalah berlandaskan alasan-alasan yang
berikut:

(1) Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (APP) belum diterjemahkan


secara sahih kepada Bahasa Malaysia (BM). Seksyen 31 APP
memperuntukkan seperti berikut dalam Bahasa Inggeris (BI) -

4
“Result of grant of administration
31. Every person to whom administration of the estate of
a deceased person is granted shall, subject to the limitations
contained in the grant, have the same rights and liabilities and be
accountable in like manner as if he were the executor of the
deceased.”

(penekanan ditambah).

Menurut s 31 APP, pentadbir-pentadbir harta pusaka mempunyai


hak dan tanggungan yang sama seperti wasi-wasi (executors);

(2) PTB ialah sebuah syarikat amanah (trust company) di bawah Akta
Syarikat Amanah 1949 (ASA). ASA belum diterjemahkan secara
sahih kepada BM. Mengikut s 24 ASA (dalam BI) -

“Personal liability of officers


24. Where a trust company holds the office of executor,
administrator or trustee, every person employed by the company to
discharge any of the duties of the office shall, in respect of the duties
entrusted to him, be personally responsible to the Court and be
subject to the process of the Court, as though he had been
personally appointed to that office.”

(penekanan ditambah).

5
Berdasarkan s 24 ASA, semua pekerja sebuah syarikat
amanah yang telah dilantik oleh Mahkamah untuk mentadbir
harta pusaka hendaklah mempunyai tanggungjawab peribadi
(personal responsibility) kepada Mahkamah dan adalah
tertakluk kepada proses Mahkamah seolah-olah pekerja
pekerja tersebut telah dilantik secara peribadi sebagai
pentadbir harta pusaka tersebut; dan

(3) dalam satu rayuan dari Australia, Commissioner of Stamp Duties


v Livingston [1964] 3 All ER 692, di 696 (Kes Livingston),
Viscount Radcliffe telah membuat keputusan yang berikut di
Mahkamah Majlis Privi (Privy Council) (dalam BI) -

“When Mrs Coulson died she had the interest of a residuary legatee in
his testator's unadministered estate. The nature of that interest has
been conclusively defined by decisions of long established authority,
and its definition no doubt depends on the peculiar status which the
law accorded to an executor for the purposes of carrying out his duties
of administration. There were special rules which long prevailed about
the devolution of freehold land and its liability for the debts of a
deceased, but subject to the working of these rules whatever property
came to the executor virtute officii came to him in full ownershp,
without distinction between legal and equitable interests. The
whole property was his. He held it for the purpose of carrying out
the functions and duties of administration, not for his own
benefit; and these duties would be enforced on him by the Court
of Chancery, if application had to be made for that purpose by a
creditor or beneficiary interested in the estate. Certainly,
therefore, he was in a fiduciary position with regard to the assets
that came to him in the right of his office, and for certain
purposes and in some aspects he was treated by the court as a

6
trustee. Kay J in Re Marsden, Bowden v Layland, Gibbs v
Layland, said ([1881-85] All ER Rep 993 at p 996; (1884) 26 Ch D
783 at p 789):

“An executor is personally liable in equity for all


breaches of the ordinary trusts which, in courts of
equity, are considered to arise from his office.”

He is a trustee “in this sense”.

It may not be possible to state exhaustively what those trusts are


at any one moment. Essentially, they are trusts to preserve the
assets, to deal properly with them, and to apply them in a due
course of administration for the benefit of those interested
according to that course, creditors, the death duty authorities,
legatees of various sorts, and the residuary beneficiaries. They
might just as well have been termed “duties in respect of the
assets” as trusts.”

(penekanan ditambah).

Kes Livingston adalah mengenai tanggungjawab fidusiari (fiduciary)


seorang wasi dalam pentadbiran harta pusaka. Namun demikian,
saya berpendapat bahawa berdasarkan Kes Livingston, seorang
pentadbir harta pusaka, sama seperti seorang wasi, juga
mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap benefisiari harta
pusaka tersebut. Pendapat ini juga berlandaskan s 31 APP.

11. Keputusan di atas bahawa PTB mempunyai tanggungjawab di bawah


undang-undang terhadap Benefisiari-benefisiari disokong oleh perintah-
perintah yang berikut:

7
(1) Perenggan-perenggan (f) dan (i) Perintah Persetujuan (MR); dan

(2) Perintah Pelantikan PTB yang berbunyi seperti berikut, antara lain
(dalam BI) -

“BE IT KNOWN that at the date hereunder-written Letters of


Administration of all and singular the movable and immovable
property situate within the jurisdiction of ... deceased TAN HOK
LOW …

who died on 02 day JANUARY,2003

leaving property situate within the jurisdiction of the Court were


granted to [PTB] …

… having been first sworn well and faithfully to administer the


same, by paying the just debts of the deceased and distributing
the residue of his/her property according to law and to render a
just and true account of his/her administration whenever lawfully
required.”

(penekanan ditambah).

E. Adakah Perintah Persetujuan (MR) mengestopkan Pemohon


daripada memfailkan permohonan ini?

12. Peguam terpelajar PTB telah berhujah bahawa Pemohon adalah terikat
dengan Perintah Persetujuan (MR). Pertamanya, TPQ dan TPR bukan
pihak kepada Perintah Persetujuan (MR). Lebih penting lagi, tiada apa-
apa dalam Perintah Persetujuan (MR) yang mengestop Pemohon dan
Benefisiari-benefisiari daripada membuat permohonan ini.

8
13. Saya ingin menegaskan bahawa doktrin estoppel tidak boleh
menghalang penguatkuasaan statut yang telah diluluskan oleh Parlimen,
khususnya s 31 APP dan s 24 ASA. Kes Jambatan Merah Sdn Bhd
(Dalam Penggulungan) lwn Public Bank Bhd [2016] 1 CLJ 811, di
[78], telah membuat keputusan yang berikut (dalam BI):

“[78] In respect of the Defendant’s purported right to exercise


remedy as a chargee under s 271(1)(a) NLC, it is trite law that there can
be no application of the issue estoppel doctrine against the operation
of a statutory provision (in this case, the application of s 270(1)(a) NLC). I
cite the following cases:

(a) in Hotel Ambassador (M) Sdn Bhd v Seapower (M) Sdn Bhd [1991]
1 MLJ 404, at 407, Hashim Yeop Sani CJ (Malaya) held in the
Supreme Court as follows -

“On the question of issue estoppel we agree with the


learned judge that on the facts of this case the
appellants cannot invoke the doctrine of issue estoppel.
There can be no estoppel as against statutory
provisions.”

(emphasis added);

(b) Thomas CJ decided as follows in the Court of Appeal of the


Federated Malays States in Puran Singh v Kehar Singh [1939] 1
MLJ 71, at 75 -

“The main question argued at the appeal was that the


learned trial Judge having held that the registration of Kehar
Singh as proprietor of certain lands had been obtained by
means of an insufficient or void instrument, viz., an invalid
power of attorney, and that it was in consequence void under

9
section 42 (iii) of the Land Code, he was wrong in holding
that the plaintiff was estopped by his conduct from objecting
to the registration. In support of this contention he
cited Borrow's case (1880) 14 Ch D 432 in which it is stated
by Bacon, V.C., in the course of his judgment that:

"the doctrine of estoppel cannot be applied to


an Act of Parliament. Estoppel only applies to
a contract inter partes and it is not competent
to parties to a contract to estop themselves
or anybody else in the face of an Act of
Parliament."

This view is followed in the case of Abdul Aziz v


Kanthen Mallik 38 ILR Cal 512 515 in which at page 515
a long list of authorities has been set out. The Court
there decided that it was not prepared to accede to the
argument that the principle of estoppel overrides the
provisions of either section 78 of the Land Registration
Act or section 60 of the Bengal Tenancy Act. …

So far as this is an argument on the question of


estoppel it cannot in my opinion succeed, since it is
only another way of saying that acts of the parties inter
se can amount to an estoppel in respect of an
Enactment.”

(emphasis added); and

(c) in Re Salvage Engineers Ltd [1962] 1 28 MLJ 438, at 440, Ong J


(as he then was) held in the High Court -

10
“There can be no estoppel against the operation of a
statute.” ”

(penekanan ditambah).

14. Andai kata saya memutuskan bahawa Pemohon dan Benefisiari-


benefisiari diestop oleh Perintah Persetujuan (MR) daripada memohon
kepada Mahkamah mengenai perlanggaran tanggungjawab statutori dan
fidusiari PTB, ini akan menyebabkan suatu ketidakadilan kepada
Benefisiari-benefisiari.

F. Sama ada Mahkamah ini boleh memerintah PTB untuk memperoleh


segala harta Mendiang

15. Pemohon telah mengatakan (alleged) bahawa PTB telah lalai dalam
tanggungjawabnya untuk memperoleh harta-harta tertentu Mendiang
dalam pentadbiran harta pusaka Mendiang.

16. Mahkamah ini tidak boleh membenarkan Pohonan (i). Keputusan ini
adalah berdasarkan alasan-alasan yang berikut:

(1) kini PTB masih mentadbir harta pusaka Mendiang. PTB seharusnya
diberi peluang untuk menyempurnakan pentadbiran (complete the
administration) harta pusaka Mendiang dengan membahagikan
harta pusaka Mendiang kepada Benefisiari-benefisiari mengikut
Perintah Persetujuan (MR) (Penyempurnaan Pentadbiran).

Selepas Penyempurnaan Pentadbiran, andai kata PTB telah


melanggar tanggungjawab statutori dan fidusiarinya dengan gagal
memperoleh harta Mendiang untuk tujuan pentadbiran harta pusaka

11
Mendiang (Perlanggaran PTB), Pemohon dan/atau Benefisiari-
benefisiari masih berhak untuk menuntut segala ganti rugi dan/atau
pampasan daripada PTB untuk Perlanggaran PTB. Keputusan di
atas adalah bersandarkan penghakiman dalam Kes Livingstone, di
muka surat 696, seperti yang berikut -

“The assets as a whole were in the hands of the executor, his


property; and, until administration was complete, no one was in
a position to say what items of property would need to be
realised for the purposes of that administration or of what the
residue, when ascertained, would consist or what its value
would be. Even in modern economies, when the ready
marketability of many forms of property can almost be assumed,
valuation and realisation are very far from being
interchangeable terms.”

(penekanan ditambah); dan

(2) Perlanggaran PTB melibatkan sekurang-kurangnya dua persoalan


yang berikut (2 Persoalan) -

(a) adakah sesuatu harta yang tertentu (Harta tersebut) dipunyai di


sisi undang-undang dan ekuiti oleh Mendiang?; dan

(b) sama ada PTB telah melanggar tanggungjawab statutori dan


fidusiarinya dengan tidak memperoleh Harta tersebut sebagai
harta pusaka Mendiang.

12
2 Persoalan tidak boleh diputuskan melalui notis permohonan yang
difailkan oleh Pemohon. Ini ialah kerana Mahkamah ini tidak boleh
membuat apa-apa keputusan fakta mengenai apa-apa
percanggahan dalam afidavit-afidavit - sila lihat penghakiman dalam
kes Universal Trustee (M) Bhd lwn Lambang Pertama Sdn Bhd &
Yang Lain [2014] 5 AMR 57, di [16] dan [18]. Untuk memutuskan 2
Persoalan dengan adil, Pemohon dan/atau Benefisiari-benefisiari
seharusnya memfailkan suatu tindakan writ terhadap PTB selepas
Penyempurnaan Pentadbiran (Tindakan Baru) di mana Tindakan
Baru dapat dibicarakan dengan pengemukaan keterangan lisan dan
pemeriksaan balas saksi-saksi yang relevan.

17. Sebelum saya bincang mengenai Pohonan (ii), saya ingin menekankan
bahawa penolakan Pohonan (i) di atas, tidak mengestopkan Pemohon
dan Benefisiari-benefisiari daripada memfailkan Tindakan Baru di kala
masa hadapan (selepas Penyempurnaan Pentadbiran). Ini ialah kerana
2 Persoalan tidak diputuskan oleh saya dalam permohonan ini. Justeru
itu, tiada skop untuk pemakaian doktrin “issue estoppel” yang boleh
mengestop Pemohon dan Benefisiari-benefisiari daripada memfailkan
Tindakan Baru kelak.

G. Sama ada Mahkamah ini boleh memerintah PTB untuk menyediakan


Laporan Bertulis

18. Pertamanya, Perenggan (j) Perintah Persetujuan (MR) tidak terpakai


kepada Pemohon, TPQ dan TPR yang tidak merupakan pihak-pihak
kepada Perintah Persetujuan (MR).

13
19. Saya berpuas hati bahawa Pemohon berhak untuk memohon untuk
Pohonan (ii) kerana TPQ dan TPR merupakan dua daripada Benefisiari-
benefisiari. Oleh itu, Pemohon mempunyai locus standi untuk memohon
untuk Pohonan (ii).

20. Mahkamah membenarkan Pohonan (ii) kerana -

(1) Perintah Pelantikan PTB (to render a just and true account of his/her
administration whenever lawfully required) mengkehendaki PTB
untuk menyediakan Laporan Bertulis bila dikehendaki di sisi undang-
undang;

(2) dalam kes Musfirah Nabila Binti Musa lwn Radziah Binti Mohd
Nor & Yang Lain (Mahkamah Tinggi Shah Alam Saman Pemula No.
BA-24NCvC-1298-10/2018), di [25]-[27], saya telah menerima pakai
penghakiman Thomas Plumer MR dalam kes Inggeris, Pearse v
Green (1819) 37 ER 327, seperti berikut (dalam BI) -

“[25] The 1st Defendant as the sole trustee of This Trust has
a duty to keep clear and accurate accounts regarding the receipt
of all rent from the Half Share (Land) (Written Account) and to
provide the Written Account to the Plaintiff, the sole beneficiary of
This Trust. I cite the judgment of Thomas Plumer MR in Pearse v
Green (1819) 37 ER 327 as follows:

“It is the first duty of an accounting party, whether an


agent, a trustee, a receiver, or an executor, for in this
respect, as was remarked by the Lord
Chancellor in Lord Hardwicke v. Vernon (14 Ves. 500.
And see White v. Lincoln , 8 Ves. 363), they all stand in
the same situation, to be constantly ready with his
accounts.”

14
(emphasis added).

[26] Pearse is an English case on the rules of Equity. Pursuant


to s 3(1)(a) of the Civil Law Act 1956, Malaysian courts may apply
Pearse as part of our case law regarding trusts and in particular, the
duties owe by trustees to their beneficiaries.

[27] Based on Pearse, this court orders the 1st Defendant to


provide a Written Account to the Plaintiff as a consequence of the
court’s order in ending This Trust.”

(penekanan ditambah).

Kes Pearse adalah berkenaan dengan, antara lain, seorang wasi.


Berdasarkan s 31 APP, tanggungjawab seorang pentadbir adalah
sama dengan tanggungjawab seorang wasi. Justeru itu, Kes Pearse
boleh diterima pakai untuk pentadbir-pentadbir harta pusaka;

(3) PTB telah dilantik sebagai Pentadbir sejak 28.8.2013. PTB telah
mentadbir harta pusaka Mendiang untuk tempoh masa yang
melebihi 6 tahun. Oleh kerana PTB belum menyempurnakan
pentadbiran harta pusaka Mendiang, Mahkamah ini membenarkan
Pohonan (ii) agar Pemohon dapat tahu tentang keadaan terkini
pentadbiran harta pusaka Mendiang; dan

(4) Pohonan (ii) dibenarkan untuk membolehkan Pemohon, TPQ dan


TPR untuk membuat pertimbangan masak-masak (informed
decision) sama ada Tindakan Baru harus difailkan (selepas
Penyempurnaan Pentadbiran) atau pun tidak.

15
H. Kos permohonan ini

21. Saya menjalankan kuasa budi bicara saya untuk memberi separuh kos
permohonan ini (Kos Separuh) kepada Pemohon kerana hanya
Pohonan (ii) dibenarkan manakala Pohonan (i) ditolak.

22. Memandangkan bahawa permohonan ini membabitkan empat persoalan


yang bukan mudah, saya menaksirkan Kos Separuh sebanyak
RM8,000.00 (Jumlah Kos).

23. Jumlah Kos haruslah dibayar oleh PTB kepada Pemohon daripada harta
pusaka Mendiang kerana pada tahap ini, tiada bukti bahawa PTB telah
melanggar tanggungjawab statutori dan fidusiarinya. Dalam kata lain,
tiada alasan kenapa PTB harus menanggung sendiri Jumlah Kos.

I. Keputusan Mahkamah

24. Berlandaskan alasan-alasan di atas, saya membuat keputusan yang


berikut:

(1) Pohonan (i) ditolak;

(2) Pohonan (ii) dibenarkan; dan

16
(3) Jumlah Kos dibayar oleh PTB kepada Pemohon daripada harta
pusaka Mendiang dan faedah sebanyak 5% setahun dikenakan ke
atas Jumlah Kos dari tarikh keputusan ini hingga tarikh pembayaran
penuh Jumlah Kos.

WONG KIAN KHEONG


Hakim
Mahkamah Tinggi Malaya
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

TARIKH: 18 OKTOBER 2019

Peguam Pemohon: Encik Zulkepli Bin Omar


(Tetuan Lainah Yaacob & Zulkepli)

Peguam Pacific Trustee Bhd.: Puan Vilasini A/P Chandrasekaran &


Puan Sumathi A/P N. Govindasamy
(Tetuan Sumathi & Associates)

17

You might also like