You are on page 1of 8

Transformasi Kampung Morten dari perkampungan tradisional kepada tarikan pusat

pelancongan di Melaka, 1923- 2000

Pendahuluan

Pembukaan sesebuah kawasan sama ada di bandar, desa atau kampung mempunyai nilai
sejarahnya yang tersendiri. Perubahan yang berlaku seiring dengan peredaran zaman
mempengaruhi ciri-ciri asal yang diwarisi secara turun temurun di sesebuah kawasan yang
didiami oleh sekelompok individu. Namun tidak bagi sebuah kampung di Melaka iaitu Kampung
Morten yang masih mengekalkan identiti secara warisan sehingga menjadi tarikan pelancongan
sejak tahun 1980-an. Berdasarkan kepada latar belakang Kampung Morten sebelum diiktiraf
sebagai sebuah kawasan perkampungan warisan, ia dianggap sebagai muzium hidup
memandangkan ramai penduduknya masih lagi mengamalkan cara hidup yang tidak banyak
berubah dan juga masih mengekalkan keunikan reka bentuk rumah tradisional Melayu Melaka
sama seperti keadaan asal ketika kampung tersebut dibangunkan sekitar tahun 1920-an.1
Keunikan dan nilai-nilai sejarah yang dimiliki menyebabkan Kampung Morten ini telah
diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun
1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong. 2
Justeru, kajian ini akan memfokuskan kepada perubahan Kampung Morten daripada sebuah
perkampungan tradisional kepada tarikan pusat pelancongan serta aspek-aspek perubahan
yang mempengaruhi pengiktirafannya sebagai sebuah pusat pelancongan di Melaka.

Permasalahan Kajian

Kajian ini menganalisis transformasi Kampung Morten dari sebuah perkampungan tradisional
kepada pusat tarikan pelancongan di Melaka. Pengkaji memilih Kampung Morten kerana
keunikan dan keistimewaan identitinya yang masih mengekalkan ciri-ciri Melayu tradisional
walaupun telah diwarisi hampir satu abad sejak awal penubuhannya pada tahun 1920-an.
Tambahan lagi, kajian ini dijalankan berikutan lokasi Kampung Morten yang terletak di pinggir
bandar adalah unik. Hal ini kerana kampung ini merupakan satu-satunya perkampungan
tradisional Melayu yang terletak di bandar Melaka. Justeru, kampung ini menjadi tumpuan
pelancong yang datang dari seantero dunia. Selain itu, pemilihan tema perubahan Kampung
Morten sebagai pusat pelancongan adalah kerana pelancongan merupakan sektor yang agak
1
Rosniza Aznie CR, Nor Amirah M., Rosmiza MZ, Novel L., ‘Pengurusan Kampung Tradisional di Kampung Morten
Melaka, Journal of Social Sciences and Humanities, Bil. 1, 2016, hlm. 101
2
Ibid., hlm. 101
penting terhadap pembangunan negara. Tambahan lagi, dapatan kajian menunjukkan
kebanyakan pelancong memilih Melaka sebagai destinasi percutian kerana terdapat banyak
khazanah warisan nasional dan pelbagai tapak sejarah di negeri tersebut. Bukan itu sahaja,
kajian ini juga dipilih kerana pengkaji merupakan seorang penuntut di salah sebuah institusi
perguruan di bandar Melaka. Dengan itu, pengkaji mempunyai minat yang mendalam untuk
mengkaji transformasi Kampung Morten sebagai salah sebuah tarikan pelancongan di Melaka.
Oleh itu, kajian ini akan memfokuskan sejauhmana identiti dan ciri-ciri warisan Melayu di
Kampung Morten telah membantu pengiktirafannya sebagai sebuah tarikan pusat pelancongan.

Tinjauan Kajian Lepas

Berdasarkan pembacaan tentang kajian terdahulu, tidak terlalu banyak sejarah berkenaan
modenisasi Kampung Morten dapat ditemui. Walaupun begitu, masih terdapat beberapa kajian
sedia ada yang memfokuskan tema seperti sejarah asal usul, sosioekonomi, seni bina rumah
warisan dan pengurusan Kampung Morten sebagai perkampungan tradisional. Semua
penulisan ini lebih menumpukan kepada keunikan dan identiti Kampung Morten yang diwarisi
melewati beberapa zaman dan generasi. Contohnya, sejarah lisan yang dihasilkan oleh Hafeza
Mat Jusoh & Anis Burhan berkaitan seni bina rumah warisan yang masih mengekalkan ciri-ciri
seni bina Melayu seperti rekaan dan koleksi yang terdapat di rumah tradisional Villa Sentosa,
The Living Museum.3 Di samping itu, ada juga kajian yang menyentuh tema sejarah asal-usul,
kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat dan seni bina rumah tradisional Melayu di
Kampung Morten.4 Penulisan ini menyentuh secara keseluruhan ciri-ciri kampung tradisional di
Kampung Morten yang memperlihatkan identiti Melayu berdasarkan aspek-aspek yang
dibincangkan.

Seterusnya, terdapat penulisan yang membincangkan tema pengurusan Kampung


Morten sebagai sebuah perkampungan tradisional yang perlu dipelihara di Melaka. 5 Kajian ini
menumpukan pengurusan kampung tradisional yang dijalankan terhadap penduduk setempat
melibatkan pemilik di setiap rumah kediaman yang terdapat di Kampung Morten. Kajian ini juga
memperlihatkan langkah-langkah pengurusan kampung tradisional di Kampung Morten bagi
memelihara kelangsungan binaan rumah tradisional di Melaka. Selain itu, terdapat juga kajian

3
Hafeza Mat Jusoh & Anis Burhan, Transkripsi Temubual Bersama Tokoh Haji Ibrahim Bin Haji Hashim Mengenai
Sejarah, Rekaan dan Koleksi Yang Terdapat di Rumah Tradisional Villa Sentosa, The Living Museum, (Fakulti
Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara, Selangor, 2015)
4
Baharuddin Yusoff et. al., Warisan Kampung Morten, Melaka (Melaka: Pusat Sumber JKMM dan Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Melaka, 2012
5
Rosniza Aznie CR, Nor Amirah M., Rosmiza MZ, Novel L., ‘Pengurusan Kampung Tradisional di Kampung Morten
Melaka’, Journal of Social Sciences and Humanities, Bil. 1 (2016), 97-106.
khusus berkaitan pembangunan pelancongan lestari di Melaka menurut perspektif pelancong. 6
Walaubagaimanapun, kajian tersebut tidak membincangkan secara mendalam dan holistik
perubahan Kampung Morten daripada sebuah perkampungan tradisional sehingga mendapat
pengiktirafan sebagai pusat tarikan pelancongan di Melaka. Sebaliknya, kajian tersebut
menyentuh pandangan pelancong tentang penjagaan bangunan warisan sejarah di kawasan
sekitar Alor Gajah, Bandar Melaka dan Ayer Keroh.7 Di samping itu, ada juga penulisan yang
memfokuskan tema seni bina rumah tradisional di Melaka termasuklah di Kampung Morten.8
Kajian ini hanya membincangkan pemeliharaan identiti rumah-rumah tradisional Melaka dari
aspek seni bina.

Penulisan-penulisan tersebut membuktikan bahawa terdapat kajian-kajian ilmiah tentang


pembangunan warisan-warisan sejarah di Melaka yang diiktiraf sebagai tapak pelancongan
tetapi penulisan dari sudut sejarah berkaitan aspek-aspek perubahan yang mempengaruhi
pengiktirafan Kampung Morten dari sebuah kampung tradisional kepada pusat tarikan
pelancongan tidak dilakukan oleh para sarjana. Justeru, kajian ini akan mengisi kekosongan
tersebut dengan menumpukan kepada aspek-aspek perubahan yang mengiktiraf Kampung
Morten sebagai tumpuan destinasi pelancongan di Melaka.

Objektif Kajian

1) Menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi pengiktirafan Kampung Morten sebagai


tarikan pusat pelancongan.

1.1 Usaha kerajaan negeri Melaka dalam memelihara dan memulihara Kampung Morten.

1.2 Pengiktirafan Kampung Morten sebagai tarikan pusat pelancongan.

2) Mengenalpasti identiti Kampung Morten dan warisan yang masih dikekalkan.

Hipotesis Kajian

1) Usaha kerajaan memelihara Kampung Morten menyebabkan pengiktirafan Kampung


Morten sebagai pusat pelancongan.
2) Warisan dan identiti Kampung Morten telah dihapuskan.

Skop dan Batasan Kajian


6
Er Ah Choy, Pembangunan pelancongan lestari di Melaka: Perspektif pelancong, Malaysian Journal of Society and
Space, Bil. 3, 2013, hlm. 12-23
7
Ibid., hlm. 12
8
Fadhlina Ahmad, ‘Gaya Rupa dan Perletakan Ornamen Senibina Pada Rumah Tradisional Bumbung Panjang
Melaka,’ (Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, 2016), 160.
Skop kajian ini adalah mengenai satu-satunya kampung yang terletak di tengah-tengah bandar
Melaka. Pengkaji memfokuskan kajian pada tahun 1923 sehingga 2000 kerana tempoh masa
tersebut merupakan permulaan sejarah pembukaan Kampung Morten sehingga berkembang
menjadi sebuah tarikan pusat pelancongan. Dalam tempoh masa ini juga, keunikan dan nilai-
nilai sejarah yang dimiliki menyebabkan Kampung Morten ini telah diwartakan di bawah
Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan
perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong. 9 Kajian ini berfokuskan kepada
transformasi Kampung Morten daripada perkampungan tradisional kepada tarikan pusat
pelancongan. Oleh itu, kajian ini dibataskan oleh kekurangan orang sumber yang hidup pada
fasa-fasa awal penubuhan Kampung Morten. Jadi, kajian ini menggunakan waris-waris
penduduk Kampung Morten yang masih hidup sebagai sumber maklumat. Seterusnya, skop
metodologi kajian dibataskan oleh kekurangan sumber pertama yang boleh didapati di institusi-
institusi kerajaan. Namun, kajian lapangan yang dilakukan membantu pengkaji mendapatkan
sumber-sumber yang lebih banyak.

Metodologi Kajian

Proses mendapatkan maklumat bagi menjalankan kajian ini adalah seperti kajian perpustakaan
dan kajian lapangan. Kajian perpustakaan telah dijalankan di beberapa institusi kerajaan seperti
Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Melaka, Jabatan Warisan Negara dan
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Selain itu, kajian perpustakaan turut dijalankan di
Perpustakaan Puteri IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka dan Arkib Negara Malaysia.
Maklumat yang diperolehi daripada kajian perpustakaan ini membantu menambah pengetahuan
pengkaji bagi mendapatkan idea-idea awal terutamanya dalam pemilihan tajuk yang
bersesuaian serta isi penulisan yang ingin dilaksanakan. Selain itu, kajian perpustakaan ini juga
membantu memberi gambaran secara menyeluruh terhadap fokus kajian yang ingin dikaji
seterusnya mengukuhkan lagi kajian lapangan yang dijalankan. Antara bahan sumber yang
diperoleh seperti buku, artikel sejarah, jurnal sejarah, cakera padat, tesis dan majalah.

Seterusnya, pengkaji turut menjalankan kajian lapangan di kawasan sekitar Kampung


Morten. Antara kawasan yang menjadi tumpuan pengkaji adalah di rumah Villa Sentosa,
Kampung Morten. Pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian dan temubual terhadap
penduduk yang mendiami kampung tersebut bagi mendapatkan maklumat tambahan
berkenaan isi kajian.

9
Rosniza Aznie CR, Nor Amirah M., Rosmiza MZ, Novel L., ‘Pengurusan Kampung Tradisional di Kampung Morten
Melaka’, Journal of Social Sciences and Humanities, Bil. 1 (2016), 97-106
Signifikan Kajian

Kajian ini penting bagi memperlihatkan transformasi Kampung Morten daripada sebuah
perkampungan tradisional kepada tarikan pusat pelancongan. Antara kepentingan kajian ini
dijalankan ialah:

i. Minat yang mendalam terhadap keunikan dan identiti Kampung Morten yang dapat
dikekalkan sehingga hari ini sehingga diiktiraf sebagai pusat pelancongan.
ii. Mengisi kekosongan bidang kajian sejarah berkaitan pembangunan warisan sejarah
negara yang menjadi kebanggaan sejak turun temurun.
iii. Membantu para penyelidik lain untuk menjalankan kajian berkaitan pembangunan
warisan negara di Melaka.

Pembahagian Bab:

Bab ini akan memberi tumpuan secara menyeluruh terhadap perubahan Kampung Morten
sebagai perkampungan tradisional kepada tarikan pusat pelancongan negara serta aspek-
aspek yang membawa kepada pengiktirafannya sebagai salah satu tapak warisan bersejarah di
Melaka.

Bab Satu: Latar belakang pembukaan Kampung Morten

Bab ini akan memperincikan asal usul Kampung Morten dan sejarah pembukaan Kampung
Morten yang diambil sempena nama Pesuruhjaya Tanah dan Hasil, J.F Morten pada tahun
1920-an.10 Pengkaji juga akan memfokuskan beberapa peristiwa yang melibatkan perpindahan
Kampung Morten daripada tapak asal kepada tapak baharu. Selain itu, akan difokuskan juga
beberapa nilai-nilai sejarah Melayu yang wujud di perkampungan tersebut.

Bab Dua: Sejarah perkembangan Kampung Morten

Bab ini akan menggalurkan perkembangan sosioekonomi yang berlaku dalam masyarakat
setempat di Kampung Morten bermula daripada pembukaannya sehingga diiktiraf sebagai
pusat pelancongan pada tahun 1988.11 Bab ini akan dibahagikan kepada tiga aspek iaitu aspek
ekonomi, sosial dan budaya Melayu yang diamalkan dalam kalangan penduduk Kampung
Morten. Dari aspek ekonomi, penduduk Kampung Morten memanfaatkan ciri-ciri fizikal dan

10
Baharuddin Yusoff et. al., Warisan Kampung Morten, Melaka (Melaka: Pusat Sumber JKMM dan Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Melaka, 2012.
11
Rosniza Aznie CR, Nor Amirah M., Rosmiza MZ, Novel L., ‘Pengurusan Kampung Tradisional di Kampung Morten
Melaka, Journal of Social Sciences and Humanities, Bil. 1, 2016, hlm. 101
kedudukan geografi bagi menjalankan kegiatan ekonomi.12 Dari segi sosial pula, penduduk
setempat menjalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemasyarakatan dan keramaian.
Contohnya, aktiviti kemasyarakatan melibatkan upacara kelahiran, majlis perkahwinan,
pengurusan jenazah dan pengebumian dilaksanakan secara gotong-royong.13 Seterusnya,
budaya Melayu yang diamalkan dalam masyarakat tempatan turut dibincangkan berdasarkan
aktiviti-aktiviti kebudayaan yang diamalkan. Dalam konteks ini, seni bina rumah tradisional
Melayu juga diambil kira sebagai warisan Melayu tradisional yang menjadi identiti Kampung
Morten. Secara keseluruhannya, bab ini menyentuh perkembangan kegiatan sosioekonomi di
Kampung Morten mengikut kronologi.

Bab Tiga: Faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan taraf dari kampung tradisional
kepada pusat pelancongan

Bab ini akan memfokuskan peranan pihak berkepentingan khususnya masyarakat setempat
dan pihak kerajaan dalam usaha mengekalkan identiti dan warisan kebanggaan negara.
Umumnya, Melaka merupakan tapak warisan dunia yang terkenal sejak berkurun lamanya.
Dalam konteks ini, kedudukan Kampung Morten yang strategik dan terletak di dalam bandar
mendorong kunjungan lebih ramai pelancong. Hal ini kerana kedudukannya yang terletak
berhadapan Sungai Melaka adalah unik dan menarik. Justeru, penduduk kampung memainkan
peranan penting dalam mempertahankan khazanah warisan tradisional yang diwarisi secara
turun temurun di Kampung Morten sebagai bahan sejarah yang akan dipertontonkan kepada
pelancong. Contohnya, Villa Sentosa merupakan salah satu rumah yang dibina sejak awal
penubuhan Kampung Morten. Sehingga kini, khazanah warisan yang dipelihara dengan baik di
rumah tersebut menarik lebih ramai pelancong ke Kampung Morten. Mengambil kira aktiviti
pelancongan yang dilaksanakan di Malaysia masa kini yang mesti dikaitkan dengan
pembangunan lestari, pelbagai usaha telah dijalankan untuk melestarikan produk pelancongan
negara.14 Justeru, bab ini akan menjelaskan sejauh mana peranan masyarakat setempat dan
usaha kerajaan dalam mempengaruhi perubahan taraf Kampung Morten daripada sebuah
kampung tradisional kepada tarikan pusat pelancongan. Bab ini juga akan memperlihatkan
faktor-faktor lain yang menyumbang kepada pengiktirafan Kampung Morten sebagai sebuah
pusat pelancongan secara tidak langsung.

Bab Empat: Modenisasi Kampung Morten dari segi pengekalan warisan dan identiti
12
Baharuddin Yusoff et. al., Warisan Kampung Morten, Melaka (Melaka: Pusat Sumber JKMM dan Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Melaka, 2012.
13
Ibid., hlm. 42
14
Ibid., hlm. 50
Bab ini akan menganalisis pengekalan identiti Kampung Morten walaupun telah berlaku
beberapa perubahan secara berperingkat ke arah mengiktiraf kampung tersebut sebagai
sebuah pusat pelancongan. Pengkaji juga akan membincangkan modenisasi yang berlaku di
Kampung Morten melalui aspek ekonomi, sosial dan pengurusan kampung tradisional. Secara
keseluruhannya, pengkaji akan menjelaskan perbezaan dahulu dan masa kini yang berlaku di
Kampung Morten walaupun masih mempertahankan ciri-ciri dan identitinya sebagai sebuah
perkampungan tradisional. Dalam konteks ini, pengkaji juga akan menyatakan kesan
pembangunan yang berlaku seiring dengan peredaran zaman terhadap identiti dan ciri-ciri
tradisional Kampung Morten.

Bab 5: Kesimpulan

Bab ini akan menggalurkan penilaian secara menyeluruh terhadap perubahan dan pengiktirafan
Kampung Morten daripada hanya sebuah perkampungan tradisional kepada tarikan pusat
pelancongan yang cukup disegani dari aspek identiti yang tersendiri.

Penutup

Pengkaji akan menyelidik skop persoalan kajian dan objektif kajian yang ditentukan.

BIBLIOGRAFI

Buku
Baharuddin Yusoff, Nasarudin Rahman, Rahman Safian, Zaidee Daut, Latifah Latiff & Hazzlan Sama ,
Warisan Kampung Morten, Melaka (Melaka: Pusat Sumber JKMM dan Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia, Melaka, 2012)

Dokumentasi

Hafeza Mat Jusoh & Anis Burhan, Transkripsi Temubual Bersama Tokoh Haji Ibrahim Bin Haji Hashim Mengenai
Sejarah, Rekaan dan Koleksi Yang Terdapat di Rumah Tradisional Villa Sentosa, The Living Museum, (Fakulti
Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara, Selangor, 2015).

Jurnal

Er Ah Choy, Pembangunan pelancongan lestari di Melaka: Perspektif pelancong, Malaysian Journal of


Society and Space, Bil. 3 (2013): hlm. 12-23.

Rosniza Aznie CR, Nor Amirah M., Rosmiza MZ, Novel L., ‘Pengurusan Kampung Tradisional di Kampung
Morten Melaka’, Journal of Social Sciences and Humanities, Bil. 1 (2016): 97-106.

Tesis

Fadhlina Ahmad, ‘Gaya Rupa dan Perletakan Ornamen Senibina Pada Rumah Tradisional Bumbung
Panjang Melaka,’ (Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia, Johor
Bahru, 2016), 160.

You might also like