You are on page 1of 4

TUN ABDUL GHAFAR BABA: PEJUANG NASIB MASYARAKAT MELAYU (1967-1990)

1.1. PENDAHULUAN

Tun Abdul Ghafar Baba merupakan salah seorang tokoh negarawan yang telah
memberi banyak sumbangan kepada kemajuan agama, bangsa dan negara. Beliau adalah
seorang pemimpin yang terkenal dengan sikap kesungguhan, kecekalan dan keberanian
dalam membela nasib rakyat khususnya kepada orang Melayu. Kesungguhan beliau untuk
memperjuangkan nasib orang Melayu dapat dilihat apabila beliau telah melibatkan diri dalam
Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1939 ketika usianya masih muda iaitu semasa
berumur 14 tahun. Pada tahun 1945 pula, beliau menyertai Persatuan Kesatuan Melayu Muda
(PKMM), iaitu sebuah parti berhaluan kiri. Beliau menyertai persatuan tersebut kerana yakin
dengan peranan PKMM bagi membela nasib orang Melayu. Setelah PKMM diharamkan pada
tahun 1948, beliau tidak lagi terlibat dalam bidang politik dan hanya fokus kepada
pembelajarannya sebagai guru pelatih di Sultan Idris Training College (SITC) dan seterusnya
memulakan kerjayanya sebagai seorang guru. Berikutan semangat nasionalisme beliau yang
tinggi dan minat terhadap dunia politik menyebabkan beliau menyertai UMNO. Bermula dari
situlah pendakian beliau dari seorang ahli UMNO yang biasa kepada memegang jawatan yang
besar seperti Ketua Menteri Melaka, Pengerusi MARA dan FAMA, Menteri Pembangunan Luar
Bandar serta Timbalan Perdana Menteri. Melalui penglibatan beliau dalam politik, pelbagai
perkara telah dilaksanakan oleh beliau bagi memajukan nasib orang Melayu. Justeru, kajian
ini akan mengenalpasti sumbangan-sumbangan Tun Ghafar Baba kepada orang Melayu
sepanjang penglibatannya dalam arena politik.

1.2. PERMASALAHAN KAJIAN

Terdapat banyak kajian terdahulu yang membicarakan mengenai sejarah penglibatan


Tun Ghafar Baba dalam bidang politik dan sumbangan beliau kepada negara Malaysia.
Namun begitu, kajian mengenai sumbangan beliau yang khusus kepada masyarakat Melayu
agak kurang. Oleh itu, tajuk ini amat menarik untuk dikaji dan dapat menambahkan
pengetahuan kepada individu, masyarakat dan negara. Dapatan kajian ini bukan sahaja dapat
meningkatkan pengetahuan tentang sejarah tokoh negara malahan dapat memperkayakan
koleksi sejarah tentang tokoh-tokoh negara serta skop yang kurang diketahui lagi. Pengkaji
berharap melalui dapatan kajian ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada
pengetahuan sejarah negara.
1.3. OBJEKTIF KAJIAN

Tun Ghafar Baba telah banyak berjasa dan memberi sumbangannya kepada kemajuan
bangsa dan negara. Kajian ini bertujuan untuk meneliti sumbangan dan peranan Tun Ghafar
Baba khususnya dalam memajukan masyarakat Melayu.

Bagi menghasilkan penulisan ilmiah ini, pengkaji menetapkan dua objektif kajian iaitu:
a. Mengenalpasti usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Tun Ghafar Baba dari tahun
1967 hingga 1990.
b. Meninjau keberkesanan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Tun Ghafar Baba
dalam memajukan masyarakat Melayu dari tahun 19697 hingga tahun 1990.
1.4. HIPOTESIS KAJIAN
Berdasarkan objektif kajian sebelum ini, pengkaji membuat beberapa hipotesis
ataupun andaian yang berkaitan dengan kajian. Antara hipotesis kajian ialah:
a. Penglibatan Tun Ghafar Baba dalam bidang politik mempunyai pengaruh kepada
sumbangan beliau dalam memajukan nasib orang Melayu.
b. Sumbangan yang dilakukan oleh Tun Ghafar Baba berjaya dalam memajukan
orang Melayu.
1.5. SKOP KAJIAN

Kajian ini terbatas kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh Tun Ghafar Baba dalam
memajukan masyarakat Melayu sahaja. Tempoh masa ditetapkan dari tahun 1967 hingga
tahun 1990 iaitu semasa beliau menjawat jawatan sebagai Pengerusi MARA dan FAMA (1967-
1971), Menteri Pembangunan Luar Bandar sehinggalah beliau menjadi Timbalan Perdana
Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar sewaktu Tun Mahathir menjadi
Perdana Menteri.

1.6. METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah kajian kualitatif. Pengkaji menggunakan beberapa


kaedah atau metodologi bagi mendapatkan maklumat dan membantu memahami pengkajian
yang dikaji. Kaedah yang digunakan termasuklah kajian perpustakaan. Pengkaji membuat
kajian dalam buku-buku, jurnal, buletin dan gambar yang berkaitan dengan ketokohan Tun
Ghafar Baba. Sumber ini diperolehi daripada Perpustakaan Awam Negeri Melaka,
Perpustakaan IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka, Arkib Melaka dan Arkib Negara.
Selain itu, pengkaji juga membuat kajian lapangan di beberapa institusi kerajaan negara
seperti di Galeri Memorial Tun Ghafar Baba di Peringgit, Melaka bagi mendapatkan sumber
maklumat. Pengkaji juga menggunakan sumber-sumber dari internet sebagai sumber alternatif
untuk mencari bahan mengenai ketokohan Tun Ghafar Baba. Teknik pengumpulan data yang
dinyatakan di atas menghasilkan catatan bertulis yang diharapkan mampu memberi dapatan
yang tepat dan benar dan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.

1.7. KAJIAN LITERATUR

Terdapat banyak kajian terdahulu yang membicarakan mengenai sejarah penglibatan


Tun Ghafar Baba dalam bidang politik dan sumbangan beliau kepada negara Malaysia.
Namun begitu, kajian mengenai sumbangan beliau yang khusus kepada orang Melayu agak
kurang. Penulisan oleh Zainun Abidin Baharum mengupas tentang perjalanan politik Tun
Ghafar Baba sebagai pejuang nasionalis Melayu yang ulung. Fokus penulisan Zainun Abidin
1
adalah dari aspek politik sahaja. Selain itu, terdapat satu lagi penulisan oleh Zainun Abidin
dan Junaidi Awang Besar yang mengenai Tun Ghafar Baba.2 Dalam penulisan tersebut
membincangkan mengenai sumbangan Tun Ghafar Baba kepada pembangunan sosio-
ekonomi Malaysia sewaktu beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka, Pengerusi MARA
dan FAMA. Penulisan tersebut tidak difokuskan kepada masyarakat Melayu tetapi lebih
kepada pembangunan negara.

Selain penulisan tersebut, Prof Dr Mohd Taib Osman, (1993) dalam penulisannya yang
bertajuk Ghafar Baba turut membincangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Tun Ghafar
Baba kepada masyarakat luar bandar3 seperti menyediakan kemudahan asas seperti air,
elektrik, kesihatan dan perubatan dan pelbagai lagi. Selain itu, penulisan beliau juga berfokus
kepada usaha yang dilakukan oleh Tun Ghafar Baba sewaktu menjadi Pengerusi MARA.
Semasa menjadi pengerusi MARA, selain daripada berusaha untuk membangunkan ekonomi
desa, Tun Ghafar Baba juga menyumbangkan tenaga untuk meningkatkan kadar orang
Melayu dan Bumiputera dalam bidang perindustrian. Antara usaha yang dilakukan oleh beliau
termasuklah memberi khidmat nasihat melalui program-program yang dianjurkan oleh MARA,
memberi pinjaman kepada peniaga-peniaga Melayu dan membina tapak-tapak perniagaan
untuk disewakan kepada peniaga Melayu.

Kajian mengenai keadaan sosioekonomi orang Melayu telah dihasilkan oleh Hasnah
Husiin (2014)4 melalui penulisannya ‘Keadaan Sosioekonomi Masyarakat Melayu Sebelum
Tahun 1957’. Penulisannya mengisahkan bagaimana kehidupan orang Melayu sebelum
merdeka dan kegiatan yang mereka jalankan. Menurut beliau, sebelum merdeka, orang
Melayu hanya menjalankan kegiatan ekonomi sara diri dan ramai yang terlibat dalam sektor

1
Zainun Abidin Baharum, Abdullah Zakaria Ghazali, & Junaidi Awang Besar, “Tun Ghafar Baba : Pejuang
Nasionalis Melayu yang Kental dan Strategis” (2013): 16
2
Zainun Abidin Baharum, Junaidi Awang Besar, & Abdullah Zakaria Ghazali, “Dinamik Ikon dalam Pembentukan
Ruang Pembangunan : Sumbangan Tun Ghafar Baba kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia”, (2015):54
3
Prof Dr Mohd Taib Osman, Ghafar Baba (Kuala Lumpur: Gateway Publishing, 1993), hlm 172
4
Dr Hasnah Hussiin, “Keadaan Sosioekonomi Masyarakat Melayu Sebelum Tahun 1957”, Universiti Malaysia
Pahang (2014): 3
penanaman padi. Masyarakat Melayu pada masa itu juga mempunyai masalah hutang,
produktiviti yang rendah, masalah pemasaran dan undang-undang tanah yang masih kabur.
Peluang untuk masyarakat Melayu khususnya di luar bandar untuk maju dalam bidang
sosioekonomi sangat terbatas kerana dasar British, kekurangan infrastruktur, kekurangan
kesedaran serta kurangnya pendedahan terhadap pendidikan.

1.8. SIGNIFIKAN KAJIAN

Kajian ini penting untuk mengenalpasti sumbangan yang dilakukan oleh Tun Ghafar
Baba dalam memajukan masyarakat Melayu dalam lingkungan tahun 1967 sehingga 1990.
Antara kepentingan kajian ini ialah:

i. Minat yang mendalam tentang ketokohan Tun Ghafar Baba.


ii. Memperkayakan koleksi sejarah tentang sejarah tokoh-tokoh negara.
iii. Menjadi panduan dan rujukan kepada para pengkaji yang akan datang.

1.9. PEMBAHAGIAN BAB

Secara ringkasnya penulisan ini terbahagi kepada lima bab. Bab pertama menjelaskan
mengenai latar belakang Tun Ghafar Baba. Latar belakang yang dijelaskan termasuklah
pendidikan, keluarga serta bagaimana beliau boleh terlibat dalam bidang politik. Seterusnya,
dalam bab 2, penulisan akan berfokuskan kepada kehidupan masyarakat Melayu sebelum dan
selepas merdeka. Dalam bab ini, penulian akan berfokuskan tentang kegiatan ekonomi
masyarakat Melayu sebelum dan selepas merdeka. Bab 3 pula akan memfokuskan terhadap
sumbangan yang dibuat oleh Tun Ghafar Baba dalam memajukan masyarakat Melayu.
Sumbangan yang dinyatakan termasuklah semasa Tun Ghafar Baba menjawat jawatan Ketua
Menteri Melaka dan Pengerusi MARA. Bab 4 pula akan menganalisis kesan sumbangan Tun
Ghafar Baba kepada masyarakat Melayu dan melihat sejauhmanakah perubahan yang
berjaya dilaksanakan. Seterusnya dalam bab 5, kesimpulan akan dibuat mengenai kajian ini.
Kesimpulan dibuat secara keseluruhan dan dikaitkan dengan objektif penulisan.

1.10. PENUTUP

Diharapkan dengan kajian ini, pengkaji dapat mengkaji dan menyelidik perjalanan
hidup dan sumbangan Tun Ghafar Baba kepada masyarakat Melayu supaya dapat menjadi
bahan bacaan dan rujukan pada masa akan datang. Diharapkan generasi kini dan akan
datang dapat menjadikan beliau sebagai contoh untuk menjadi seorang pemimpin yang
berjaya.

You might also like