You are on page 1of 14

HUBUNGAN ANTARA UMARA’ DAN ULAMA DI BAWAH PEMERINTAHAN

DULI-DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR

Disediakan oleh :
Ustaz Ahmad Zaki bin Hj. Arshad
Ketua Penolong Pengarah Dakwah,
Jabatan Agama Islam Selangor.

Abstrak Latar Belakang Pengumpulan Maklumat

Pengumpulan maklumat dalam tulisan ini adalah sebagai suatu usaha yang kecil bagi
tujuan perbentangan dalam Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008, sempena 60 tahun
(1948 -2008) tertubuhnya Jabatan Agama Islam Selangor. Usaha penyusunan tulisan ini
adalah berdasarkan bahan yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor yang
bertajuk ; Kemajuan Pentadbiran Islam di Selangor yang diterbitkan dalam tahun
2005. Manakala di dalam menyelusuri sejarah perkembangan Islam sebelum tertubuhnya
Jabatan Agama Islam secara rasmi, penyusunan tulisan ini kebanyakan diambil daripada
penulisan Hj. Wan Mohd. Saghir Abdullah. Sesungguhnya banyak sekali sumbangan
beliau di dalam mengumpul bahan-bahan sejarah yang berkaitan peranan Istana Selangor
di dalam memperkukuhkan ajaran Islam serta penyebarannya ke seluruh Selangor.

Ajaran agama Islam yang kita warisi hari ini adalah sebahagiannya hasil kesinambungan
apa yang telah diusahakan oleh orang yang terdahulu. Enam puluh tahun berlalu, Islam
terus kukuh dan maju sesuai dengan ajarannya yang syumul dan menepati kehendak
zaman. Semoga tempoh enam puluh tahun mendatang akan membawa kepada kemajuan
yang lebih gemilang kepada umat Islam sesuai dengan ajaran Islam yang sentiasa relevan
dengan apa apa jua zaman. Melalui kajian beliau, Istana adalah merupakan penyumbang
utama kepada perkembangan dan kemajuan Islam khususnya di Selangor. Catitan sejarah
mendapati bahawa Zaman Pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah adalah
bermulanya era kegemilangan Islam di negeri ini. Pengumpulan maklumat dalam tulisan
ini menyentuh tentang usaha gigih yang dilakukan oleh Baginda Sultan tersebut.

Sultan Sebagai Ketua Agama

Sultan atau raja dalam negara Malaysia telah dinobat sebagai Ketua Agama Islam
sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (2), (3) dan (5).
Dalam konteks sistem pentadbiran Islam di negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor
adalah Ketua Agama Islam Selangor selaras dengan bab 1 Perkara XLVIII Bahagian
Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

1
Sebagai Ketua Agama sebagaimana termaktub dalam undang-undang, Duli Yang Maha
Mulia berperanan mengawal selia hal ehwal agama dan bagi penubuhan satu Majlis
Agama Islam (Council of Religion) untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha
Mulia dalam semua perkara yang berhubungan dengan Agama Negeri.

Imbasan Sejarah

Dalam lipatan sejarah, raja dan istana merintis jalan dan ruang untuk Islam bertapak di
bumi bertuah Darul Ehsan. Kewujudan Kesultanan Bugis di Kuala Selangor membuka
lembaran yang cukup bermakna terhadap sejarah perkembangan Islam di negeri
Selangor. Peninggalan sejarah di Kota Melawati, Kuala Selangor, yang tersohor sebagai
pusat pemerintahan kerajaan Bugis ketika itu, merakamkan undang-undang Islam supaya
dirujuk sebagai undang-undang negeri.

Institusi raja mengiktiraf peri pentingnya golongan ulama sebagai sumber rujukan dan
pencetus pandangan dalam hal-hal agama dan hukum. Ketelusan pihak istana dalam
memartabatkan Islam dicerminkan oleh Almarhum Sultan Muhamad (1826-1857) yang
merupakan Sultan Selangor ke-3 apabila Baginda melantik Sahibul-fadhilah Syeikh
Abdul Ghani, seorang ulama berasal dari Bema, Sumatera sebagai Kadi Selangor.

Undang-undang Islam diperkemaskan lagi dengan usaha Almarhum Sultan Abdul Samad
apabila Baginda pada 1875, memberi laluan untuk diwujudkan sebuah institusi yang
mengendalikan hal-hal perkahwinan, penceraian dan kesalahan-kesalahan yang
melanggar undang-undang Islam. Peranan Sultan dalam memelihara martabat Islam
didukung dengan pengistiytiharan Almarhum Sultan Abdul Samad sebagai Ketua Agama
Islam oleh Ruler in Council pada 5 September 1879.

Panji-panji Islam kian tertegak di bawah naungan pemerintahan Al-Marhum Sultan


Ala’uddin Suleiman Shah (1898-1938). Baginda mengorak langkah yang lebih jauh
dengan terbinanya sekolah-sekolah agama, syarikat-syarikat Islam serta kegiatan dakwah
Islamiah seperti ceramah dan kelas-kelas agama mendapat restu yang tidak berbelah bagi
daripada Baginda. Selain itu, Baginda juga turut mengarang beberapa buah buku agama.

2
Sultan Sulaiman: Sultan Yang Mengasihi Ulama

Di antara sekian ramai sultan di dunia Melayu terdapat beberapa orang sultan yang
terlibat secara langsung dalam aktiviti Islam. Ada yang mengasihi ulama, bahkan ada
yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama Islam, ada juga yang
menghasilkan karangan berupa risalah atau pun kitab. Sultan Sulaiman, Sultan Selangor
Darul Ehsan dapatlah dikategorikan seorang sultan yang mengasihi ulama. Mengenai ini
dapat dibaca dalam riwayat Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syaikhul Islam Selangor,
dalam Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 22 Mac 2004, Seksyen 3, hlm 9.

Nama lengkap Sultan ‘Ala’eddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul
Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim Syah bin Raja Lumu (Sultan Salehuddin
Syah, Sultan Selangor yang pertama) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda Riau yang
kedua). Sultan Sulaiman lahir 19 Rabi’u Akhir 1282H/11 September 1865M, mangkat
pada 30 Muharam 1357H/31 Mac 1938M. Baginda Sultan Sulaiman adalah merupakan
Sultan Selangor yang ke-5, yang bertahta tahun 1898 M-1938M, memerintah dalam masa
lebih kurang 40 tahun.

Keterlibatan Aktiviti Islam

Diundang oleh atas rasa kewajipan dan tanggungjawab menyebar dan mempertingkatkan
pengetahuan Islam di kerajaan Selangor, Sultan Sulaiman telah mendatangkan beberapa
orang ulama besar dalam kerajaan yang diperintahnya. Di antara ulama yang paling dekat
dengannya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin ‘Abdur Rahman al-Fathani.

Sultan Sulaiman sangat mesra dan kasih kepada Tengku Mahmud Zuhdi bin ‘Abdur
Rahman al-Fathani hinggalah ketika beliau satu ketika pergi ke luar negeri (terutama ke
London) ulama yang berasal dari Patani itu ikut bersama-sama dalam rombongan beliau.
Peristiwa ini adalah mencerminkan bahawa Sultan Sulaiman berusaha sedemikian rupa
menggabungkan kerjasama, kesepaduan dan keserasian antara umara’ dan ulama’
sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah S.A.W.

Dalam penyebaran Islam di negeri lain, selain Selangor, Sultan Sulaiman juga
mempunyai rasa tanggungjawab. Sebagai bukti walaupun baginda kasih terhadap Tengku
Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, namun kerana masyarakat Jambi

3
sangat memerlukan ulama, baginda merestui keberangkatan Tengku Muhammad dari
Klang ke Jambi.

Sebagai bukti bahawa sultan Sulaiman mementingkan pembangunan keislaman beliau


juga membina sebuah masjid yang diberi nama dengan nama baginda ialah Masjid
‘Alauddin di Kuala Langat, Selangor. Di masjid ini terdapat bukti baginda pernah
menyampaikan khutbah. Ini adalah sebagai tanda bahawa baginda adalah seorang sultan
yang mampu dan aktif dalam kegiatan-kegiatan Islam.

Penulisan

Baginda Sultan Suliaman bukan sahaja mampu menyampaikan bicara ceramah, bahkan
sangat aktif di bidang penulisan hingga mampu menghasilkan beberapa buah kitab
agama, antaranya:

1. Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman, diselesaikan 1337H/1919M. Cetakan


ketiga, Mathba’ah New Klang Press, Klang 15 Jamadil Akhir 1349H/1930M.
Kandungan setelah “Pendahuluan” oleh baginda sendiri terdapat “Peringatan” dan
“Nasihat” oleh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani. Di antara
pandangan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, “Terlihatlah hamba yang dhaif atas
kitab ini, Pohon Ugama, karangan bagi Yang Maha Mulia Sultan Selangor
Maulana al-Mu’azzam Sir ‘Alauddin Suliaman Syah…. Maka patut dijadikan
pelajaran kanak-kanak yang mubtadi pada tiap-tiap sekolah ugama supaya
berkekalan manfaatnya istimewa pula…”. Kandungan yang menjadi topik
perbahasan keseluruhan ialah mengenai ‘aqidah. Pada halaman 25 terdapat
gambar baginda sedang duduk di atas mimbar Masjid ‘Alauddin dalam rangka
membaca khutbah.

1. Kitab Melatih Kanak-Kanak laki-Laki Perempuan, Agama Islam 1, diselesaikan


di Istana Mahkota Puri, Klang 3 Zulhijjah 1348H. Dicetak oleh The Boon Hua
Press, Klang 1949H/1930M. Kandungan, di antara kalimat baginda yang bersajak
pada pendahuluan “,..pada perbicaraan ilmu tauhid pangkal agama Islam. Yang
sangat hampir fahamnya dan mengertinya bagi segala awam. Dicadangkan dia
bagi mereka yang berkehendak kemenangan lama. Daripada kanak-kanak yang
baru belajar di dalam sekolah agama…”. Pada halaman 27 terdapat satu judul
yang agak menarik, ialah “Nasihat Guru Pada Murid”. Mengenai ini baginda tulis
dalam bentuk puisi yang terdiri dari 22 bait empat-empat rangka.

4
2. Nasihat (Pemeliharaan Guru) melatih Kelakuan Perjalanan Adab kanak-kanak
Pelajaran Di Dalam Sekolah Melayu-Agama – Negeri Selangor Darul Ehsan
diselesaikan di Istana Mahkota, Klang 20 Muharam 1349H. Tidak tedapat nama
pencetak. Kandungan merupakan nasihat dan pelajaran akhlak untuk kanak-kanak
di antara kalimat baginda pada pendahuluan, “Bermula adalah peringatan yang
patut diajarkan bagi melatih kelakuan kanak-kanak itu membiasakan adab
perjalanan dan memelihara tubuh badan dengan perangai yang elok. Niscaya jadi
beradat yang demikian itu sampai kepada besar. Ketahui olehmu guru-guru yang
ada mengajar kanak-kanak “Agama Islam” di dalam sekolah-sekolah Melayu di
dalam negeri Selangor bersungguh-sungguh kamu melatih kanak-kanak itu
menunjukkan adab kelakuan dan perbuatan yang dikerjakannya pada tiap-tiap hari
supaya mereka itu bersifat baik. Maka tertegahlah jalan kejahatan dan
mendapatlah ia pada kebajikan…”. Karya ini juga telah disemak oleh Tengku
Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor. Kata pengakuan beliau
ditulis pada 30 Muharam 1349, di antara kalimatnya dipetik sebagai berikut,
“Telah hamba lihatkan ini kitab karangan Bawah Duli Yang Maha Mulia Maulana
as-Sulthan al-Muazham Sulaiman Syah… maka hamba dapat dalam sehalus-halus
nasihat dan seelok-elok pengajaran atas kadar kanak-kanak yang baharu belajar
yang diharapkan dengan dia sampai mereka itu kepada kesempurnan adab dan
mahasin al-akhlak. Dan berperangai mereka itu dengan dia seperti barang yang
disuruh oleh Allah dan Rasul…”

Ulama-Ulama di Selangor Ketika Pemerintahan Sultan Sulaiman

Di antara ulama yang berkhidmat dalam kerajaan Selangor Darul Ehsan ketika
pemerintahan Sultan Sulaiman yang dapat dirakamkan dalam kertas kerja ini
disenaraikan sebagai berikut:-

1. Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku ‘Abdur Rahman al-Fathani


2. Haji ‘Abdul Ghani bin Haji Othman
3. Sayid ‘Abdul ‘Aziz as-Syami al-Masri
4. Sayid Mahmud ‘Arif al-Bukhari
5. Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani
6. Haji Muhammad Nur (sebelum pindah ke Selangor menjadi Qadhi di Langkat)
7. Syeikh Haji ‘Abdul Ghani bin ‘Abdul Hamid al-Mandaili
8. Dan ramai lagi

Di antara ulama-ulama yang tersebut di atas yang dapat dibicarakan dalam kertas kerja
ini hanya 4 orang sahaja, iaitu :

5
1. Tengku Mahmud Zuhdi Al-Fathani

Ulama yang berasal dari Patani kelahiran Bangkok ini pernah ditulis dan dimuat dalam
Utusan Malaysia, Bahagian Agama, Isnin 22 mac 2004, Seksyen 3, hlm 9. Tanpa
perubahan dibicarakan kembali dalam kertas kerja yang dibentang pada hari ini. Nama
lengkap ; Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja
Datu al-Fathani al-Jawi. Ayahnya adalah Raja jambu, Patani yang ditangkap oleh Siam
dan ditempatkan di istana tersendiri di Ban Sim Dip, Bangkok. Ibunya bernama Kalsum
binti Haji Sa’ad berasal dari India. Tengku Mahmud Zuhdi lahir di Ban Sim Dip,
Bangkok tahun 1293H/1876M. Wafat di Makkah 6 Rabiul Awwal 1376H/10 Oktober
1956M.

Pendidikan

Walau pun sangat darurat dalam tahanan namun ayahnya sempat mengajar Tengku
Mahmud Zuhdi ilmu-ilmu asas tradisi Patani dan pengetahuan adab raja-raja Melayu.
Tengku Mahmud Zuhdi juga sempat belajar kepada Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-
Fathani di Tahit (pinggiran Bangkok). Dalam usia antara 8-9 tahun (1302H/1885M)
dengan keadaan sukar, Tengku Mahmud Zuhdi berhasil dikirim ke Makkah. Di Makkah
diserahkan sekalian urusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-
Fathani mendidiknya sendiri dan juga memasukkannya ke Maktab Shaulatiyah, yang
diasaskan oleh orang India. Dengan demikian Tengku Mahmud Zuhdi memperoleh dua
sistem tradisional pondok dan sistem persekolahan.

Tengku Mahmud Zuhdi adalah murid yang paling cemerlang di sekolah, oleh itu beliau
diminta mengajar di sekolah itu tahun 1895. Syeikh Ahmad al-Fathani mendesaknya
supaya Tengku Mahmud Zuhdi melanjutkan pelajarannya ke Mesir bersama-sama Syeikh
Muhammad Nur al-Fathani, Syeikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dan lain-lain tahun
1900. Di Mesir Tengku Mahmud Zuhdi hanya memperdalam pelbagai ilmu yang telah
dipelajari di Makkah, terutama ilmu falakiyah dan ilmu khat. Tahun 1905 Tengku
Mahmud Zuhdi lulus dari peperiksaan hasyimiyah (Syarif Husien) memperoleh
Syahadah al-Kubra dan memperoleh kebenaran mengajar di Majidil Haram Makkah.

Sungguh pun Tengku Mahmud Zuhdi telah mengajar di Maktab Saulatiyah dan Masjidil
Haram namun beliau sentiasa memperdalam ilmu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani
terutama ilmu sastera Arab. Tengku Mahmud Zuhdi juga menerima bai’ah al-Tariqat
Syathariyah dan Tariqat Syaziliyah dari Syeikh Wan ‘Ali Kutan al-Kalantani. Selain
pendidikan yang telah disebutkan, agak kebelakangan Tengku Mahmud Zuhdi juga
belajar kepada Syeikh Mukhtar ‘Atharid Bogor.

6
Hubungan Dengan Kerabat Diraja Selangor

Tengku Mahmud Zuhdi hijrah dari Makkah ke Jambi, Sumatera sampai di Jambi pada
hari Khamis 6 Rabiul Awwal 1344H/23 Oktober 1925M. Di sana mendirikan sekolah
Arab di tempat bernama Tahtul Yaman. Manakala Sultan Sulaiman mendengar ulama
tersebut berada di Jambi baginda sendiri datang ke Jambi mengajak Tengku Mahmud
Zuhdi supaya pindah ke Selangor.

Tengku Mahmud Zuhdi berangkat ke Klang tahun 1929, mula-mula sebagai Penasihat
Agama Selangor, selanjutnya dilantik menjadi Syaikhul Islam Setia Diraja Selangor. Di
Selangor Tengku Mahmud Zuhdi kahwin dengan Tengku Hajah Safiah puteri Sultan Abu
Samah dengan isterinya Tengku Kubis. Tengku Mahmud Zuhdi mengalami kahwin
beberapa kali, isterinya di Kelantan bernama Tengku Maryam. Kahwin di Kedah dua kali
dan di Patani sekali.

Anak Tengku Mahmud Zuhdi yang perempuan bernama Tengku Aminah (tidak jelas dari
isterinya yang mana) kahwin dengan Tengku Badli Syah (Tengku Laksamana Selangor)
ibni Sultan Hisyamuddin Alam Syah).

Murid-Muridnya

Di kalangan Diraja Selangor termasuk Sultan Sulaiman (mangkat 1937) putera baginda
Tengku Haji Ibrahim Syah (Tengku Sri Wangsa) adalah murid Tengku Mahmud Zuhdi.

Selain itu, Tengku Mahmud Zuhdi telah mencetuskan berdirinya madrasah di Klang
bernama Marta al-‘Ulum ad-Diniyah (1933-1945). Pada tahun 1945 terpaksa ditutup
kerana Perang Dunia ke –II. Setelah perang, madrasah tersebut dibuka kembali dengan
mudirnya Haji Abdul Ghani bin Haji Othman. Selanjutnya dipegang oleh Sayid ‘Abdul
Aziz as-Syami al-Masri namanya diganti dengan Darul ‘Ulumid Diniyah. Kemudian
setelah dipegang oleh Sayid Mahmud Arif Bukhari kembali kepada nama asalnya, iaitu
Marta al-‘Ulum ad-Diniyah.

Orang Arab berasal dari Makkah, seorang ulama besar yang pernah belajar kepada
Tengku Mahmud Zuhdi sewaktu di Klang, ialah Sayid Mahmud Arif al-Bukhari. Sangat
ramai para pentadbir Islam dalam Selangor murid Tengku Mahmud Zuhdi di antara
mereka Ustaz Ahmad Dahlan bin Abdul Mannan bekas Pembantu Pelajaran Agama di
Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Haji Abdul Jalil Safwan bin Haji Abdul Rahman
bekas Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Islam Selangor (PEGUAM) dan ramai lagi.

Murid Tengku Mahmud Zuhdi yang ada hubungan dengan golongan korporat pula,
seperti melalui muridnya bernama Haji Abdullah bin Faqih, ayah kepada Dato’ Haji
Shahrani, D.P.M.S, J.P, F.C.I.T, Group Excutive Chairman, Shahpadu Corporation Sdn.
Bhd. Dato’ Haji Shaharani Haji Abdullah adalah salah seorang usahawan yang berjaya
berasal dari Selangor dan beliau berminat terhadap khazanah dunia Melayu.

7
Karya-Karyanya

Tengku Mahmud Zuhdi dapat dikategorikan ulama dunia Melayu yang mampu
mengarang dalam dwi bahasa, bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antara karangannya
yang telah ditemui disenaraikan seperti berikut:-

1. Al-Faridatus Saniyah wal Khuthbatul Bahiyah diselesaikan hari Isnin, akhir


Muharam 1321H. Cetakan pertama Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah Makkah
1331H. Kata pujian oleh Syeikh Abdullah daud al-Fathani dan saudaranya Syeikh
Muhammad Nur Daudi al-Fathani. Kandungan mengenai khutbah Jumaat. Pada
halaman akhir terdapat puisi Syeikh Abdullah Daud Fathani dan puisi
pengarangnya. Kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

1. Janiyatus Tsamarat fi Ta’rifi Ba’dhil Kalimat, diselesaikan di Makkah, Subuh


Jumaat awal Rabiulawal 1325H. Cetakan pertama Mathba’ah al-Miriyah al-
Kainah, Makkah 1325H. Kandungan membicarakan nahu dalam bahasa Arab
merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah. Pada cetakan ini terdapat juga tentang
ilmu isti’arah karya gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

2. Syarh Tadrijis Sibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan di Makkah 1330H.


Cetakan pertama Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah 1332H. Pada
bahagian tepi dicetak juga matan ilmu tersebut yang disusun oleh gurunya Syeikh
Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kata pujian oleh Saiyid Abdullah bin
Saiyid Muhammad Shalil az-Zawawi (Mufti Makkah al-Mukarramah).
Kandungan membicarakan ilmu isti’arah (bahagian ilmu bayan) ditulis dalam
bahasa Arab merupakan syarah karya gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad
Zain al- Fathani.

3. Tsimarul Khutbah al-Mahbarah al-Minbariyah, diselesaikan Muharam 1335H.


Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyah. Kandungan kumpulan
khutbah dan terdapat berbagai-bagai amalan.

Keturunan

Anak Tengku Mahmud Zuhdi yang meninggalkan keturunan ada empat orang Haji
Muhammad, keturunan di Jambi, Sumatera, Haji Ahmad keturunan di Jambu, Patani,
Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aminah keturunan dua orang yang terakhir di
Selangor.

1. Tengku Muhammad Bin Tengku Mahmud Zuhdi Al-Fathani

Apabila bercerita tentang ulama ini maka sekurang-kurangnya akan menyentuh


hubungannya dengan Jambu di Patani, Makkah, Selangor dan Jambi. Terutama dua nama
yang hampir serupa iaitu”Jambu” dan “Jambi”. Hubungan kedua-dua kerajaan Jambu dan

8
kerajaan Jambi telah wujud sejak lama tetapi belum pernah diungkapkan oleh para
penulis. Sampai masa yang akhir penghujung abad ke 19 banyak terjadi perkahwinan
antara orang Jambu dan orang Jambi.

Nama lengkap Kiyai Haji Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku
Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Lahir
di Makkah 1323H/1905M. Wafat di Jakarta pada hari Ahad 5 Muharam 1397H/26
Disember 1976M. Mayatnya diterbangkan ke Jambi, dan dikebumikan di Jambi.

Pendidikan

Tengku Muhammad al-Fathani al- Jambi mendapat pendidikan Islam tiga sistem, iaitu
pendidikan Islam tradisional Patani, pendidikan Islam tradisional mengikut tatacara orang
Arab Makkah, dan pendidikan Islam persekolahan. Pendidikan Islam tradisional sistem
hafalan cara Patani dibimbing oleh ayahnya Tengku Mahmud Zuhdi sendiri dan beberapa
orang ulama Patani yang berada di Makkah pada zaman itu.

Sistem pendidikan Islam tradisonal Patani adalah secara hafalan matan sekaligus serentak
menghuraikan setiap perkataan dan baris kalimat dalam matan dengan cermat dan teliti.
Setiap perkataan ditimbang dengan timbangan sharaf, sedang kalimat dirujuk kepada
nahwu. Sistem pendidikan Islam tradisioanl Arab Makkah ialah penekanan hafalan Al-
Quran dan hadis tanpa huraian yang mendalam. Selain itu mendengar guru membaca
kitab terutama kitab-kitab hadis dengan bacaan cepat, tanpa terikat dengan tanda baca,
seperti koma atau pun titik. Sistem ini lebih mementingkan banyak jumlah kitab yang
ditamatkan dan mengambil berkat dari seseorang ulama.

Oleh sebab Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani adalah salah seorang guru di Madrasah
Shaulatiyah maka anaknya Tengku Muhammad dimasukkan ke madrasah yang tersebut.
Madrasah Shaulatiyah adalah sebuah sekolah agama Islam di Makkah yang didirikan
oleh orang India, dan pada zaman itu adalah sekolah paling popular. Sistem
pendidikannya adalah merupakan gabungan persekolahan cara moden dan sistem
pendidikan Islam tradisional India. Dari semua yang telah diungkapkan di atas, dapatlah
dipastikan bahawa pada diri Tengku Muhammad tergabung pelbagai sistem pendidikan
Islam. Oleh itu cara mengajar dan berdakwah mempunyai karakter tersendiri.

Aktiviti

Tahun 1929 Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani pindah dari Jambi ke Selangor anaknya
Tengku Muhammad ikut sekali bersamanya. Selain membantu kerja-kerja ayahnya
berkhidmat kepada Sulatn Sulaiman, Sultan Selangor, Tengku Muhammad mendapat
pendidikan khusus dalam segala bidang sama ada kepentingan ukhrawi sekaligus juga
duniawi. Oleh itu Tengku Muhammad adalah seorang ulama yang faham liku-liku
pentadbiran.

9
Keturunan

Ustaz Wan Mohd. Saghir pernah datang ke Jambi menemui keluarga ini dua kali,
Disember 1985 dan tahun 1986. Beliau dilayani dengan baik oleh keluarga ini, beberapa
malam tidur di rumah Tengku Muhammad di Kampung Tahtul Yaman. Rumah tersebut
dihuni oleh anak beliau bernama Zakaria bin Tengku Muhammad. Kedatangan beliau
yang kedua di Jambi, Zakaria memperoleh seorang cucu dari anaknya yang perempuan.
Kalau tidak salah ingatan menantunya bernama Mirza. Ketika pasangan itu mendapat
anak, Mirza dan ayah mertuanya Zakaria minta supaya beliau memberi nama anak yang
dilahirkan itu. Selain Zakaria ada lagi seorang anak Tengku Muhammad juga sempat
berjumpa. Oleh sebab terburu-buru meneruskan perjalanan ke Jawa, beliau tidak sempat
member nama anak yang dilahirkan tersebut.

Penulisan

Walau pun hasil karya Tengku Muhammad tidak sebanyak karya ayahnya Tengku
Mahmud Zuhdi al-Fathani, namum dapat dicatat bahawa beliau termasuk golongan ulama
yang sempat menghasilkan karya yang menjadi tatapan dan mempengaruhi pemikiran
para muridnya. Di antara risalah untuk amalan dan pegangan peminat-peminat beliau
yang disebarkan ketika beliau ceramah ialah Munajat Sebelum Fajar, tarikh 14 Mei 1966,
I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah tarikh 10 Julai 1968, Al-Wasilah tarikh Makkah al-
Mukarramah 16 Muharram 1389H/3 April 1696M. dan lain-lain. Selain berupa risalah
yang tersebut terdapat beberapa buah berupa kitab yang diterbitkan oleh Al-Ahmadiah
Singapura tahun 1930-an. Yang berupa kitab yang dapat dikesan ialah ialah Badi’uz
Zhuhur.

Di antara pesanan Tengku Muhammad yang pendek tetapi mantap katanya, “Ingin
selamat, bersihkan diri dari maksiat. Ingin berjiwa luhur, munajatlah waktu sahur.”

2. Haji Muhammad Nur Qadhi Kerajaan Langkat

Dalam Persidangan Antarabangsa Melayu Kedua 15-20 Ogos 1989, Ustaz Wan Mohd.
Saghir diberikan kepercayaan oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara
Malaysia menulis nota biografi beberapa orang ulama dunia Melayu untuk dipamerkan
dalam persidangan itu. Dari sekian ramai pengunjung pameran salah seorang di antaranya
ialah seorang pemuda, cucu ulama yang dibicarakan ini. Pemuda ini telah menyerahkan
kepada beliau riwayat hidup ulama ini serta beberapa buah gambar yang dianggap
penting. Paparan riwayat ulama yang dibicarakan ini adalah merupakan gabungan catatan
tahun 1989 dan karangan yang diserahkan bulan Julai 2004. Pemuda tersebut bernama
Shahir bin Mohd Kamil bin Haji Muhammad Nur Ismail. Kepadanya diucapkan ribuan
terima kasih.

Apabila kita memmbicarakan ulama Langkat maka terlebih dahulu perlu dicatat bahawa
pada zaman yang sama ada dua orang ulama bernama Muhammad Nur Langkat. Yang

10
seorang sebagai Mufti Kerajaan langkat dan yang seorang menjadi Qadhi Kerajaan
Langkat. Kedua-duanya adalah ulama besar dan seperguruan di Makkah. Yang
diriwayatkan dalam artikel ini ialah yang menjadi Qadhi. Nama lengkapnya ialah Haji
Muhammad Nur bin Haji Ismail. Ayah dan ibunya berasal dari Minangkabau, Sumatera
Barat. Haji Muhammad Nur juga lahir di Mingkabau dalam tahun 1296H/1879M. Beliau
meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada hari Rabu 18 Zulhijjah
1362H/15 Disember 1943M dalam usia 65 tahun. Dikebumikan di Perkuburan Islam
Ampang Kuala Lumpur.

Pendidikan

Haji Muhammad Nur mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri Ismail al-
Minankabawi. Bahawa ayahnya itu adalah termasuk salah seorang pembesar di Kerajaan
Langkat. Setelah banyak memperoleh ilmu dari ayah dan ulama-ulama di Langkat, Haji
Muhammad Nur dikirim ke Makkah untuk lebih mendalami pelbagai bidang ilmu. Haji
Muhammad Nur belajar di Makkah sekitar 10 tahun. Walaupun para ulama yang menjadi
gurunya telah banyak kali disebut dalam tulisan-tulisan Ustaz Wan Mohd. Saghir yang
terdahulu, di sini dikekalkan kerana ditulis oleh Shahir bin Mohd Kamil, cucu Haji
Muhammad Nur dari hasil penyelidikannya. Ulama-ulama yang disebut oleh Shahir bin
Mohd Kamil guru kepada datuknya itu ialah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, Syeikh
Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syeikh
Wan Ali Kutan, Syeikh Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Usman Sarawak.

Setelah menyebut barisan ulama yang berasal dari dunia Melayu Shahir bin Mohd Kamil
menyebut pula para ulama Arab yang pernah menjadi guru kepada Haji Muhammad Nur
Langkat mereka ialah Syeikh Muhammad Said Babshail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh
Muhammad bin Yusuf Khaiyath, Syeikh Umar Bajunid dan Syeikh Muhammad Sa’id al-
Yamani. Haji Muhammad Nur Langkat ketika di Makkah juga menerima amalan Tariqat
Naqsyabandiah. Diriwayatkan juga bahawa sejak berada di Makkah hingga ke akhir
hayatnya Haji Muhammad Nur Langkat berkekalan mengamalkan selawat dan seluruh
wirid yang termaktub dalam Lum’atul Aurad karya Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman
Kutan al-Kalantani.

Shahir bin Mohd Kamil juga menyebut nama para sahabat Syeikh Muhammad Nur bin
Ismail Langkat ketika di Makkah ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Hasan Maksum
Deli, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli Bukit Tinggi, Dr. Abdul Karim Amrullah (ayah Prof.
Hamka) Kiyai Haji Hasyim Asy’ari (datuk kepada Gus Dur, bekas Presiden Indonesia),
Tok Kenali , Tok Kelaba, Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada Datuk Seri Abdullah
Ahamad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sekarang), Syeikh Wan Sulaiman (Syeikhul
Islam Kedah) dan sekalian ulama Melayu yang menuntut di Masjidil Haram pada akhir
kurun ke 19 dan awal kurun ke 20.

11
3. Abdul Ghani Al-Mandaili Al-Khalidi, Khalifah Naqsyabandiyah Al-
Khalidiyah

Syeikh Haji Abdul Ghani Abdul Hamid al- Mandaili al-Khalidi an-Naqsyabandi berasal
dari Kampung Cu Badak, Mandailing Sumatera Utara kemudian pindah ke Selangor.

Penulisan

1. ‘Aqidatul Iman, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Negeri Klang Kuala


Lumpur hari Isnin jam 4.00 17 Rabiul awal 1232H. Kandungan membicarakan
aqidah, fiqh yang fardhu ain dan tasawuf secara ringkas. Dicantumkan juga Ratib
al-Haddad dan salawat atas Nabi s.a.w. Dicetak dengan huruf batu (litografi).
Nama pencetak dan tarikh tidak dinyatakan. Catatan : Pengarang memberikan
iklan ; “Dan barangsiapa berhajat akan ini kitab boleh datang di rumah kita di
Pinang Baik atau di rumah Haji Muhammad Tyaiyib di Batu adanya.” Sesudah
ditutup pada halaman 23 di atas terdapat lagi 5 halaman sebagai tambahan
tersebutlah pengarang menyebut nama lengkapnya dengan tambahan “al-Khalidi
an-Naqsyabandi” berasal dari Cu Badak Mandailing.

1. Kitab Syair Nasihat, diselesaikan di Kampong Pinang Baik, Silayang Muqim Batu
Kuala Lumpur, Selangor pada 17 Rejab 1342H. Kandungan untaian syair dalam
bahasa Melayu merupakan nasihat pengarang supaya berpegang teguh kepada
agama Islam. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah 50 Minto Road
Singapura 1342H.

2. Terjemah Nazham Aqidah ‘Awwam dan Syair Nasihat diselesaikan di kampung


Pinang Baik Silayang, Mukim Batu Kuala Lumpur, Selangor pada 17 Rejab
1342H. Kandungan terjemahan Aqidah ‘Awwam yang diberi gantungan
maknanya dalam bahasa Melayu dan disertakan dengan syair Melayu yang terdiri
banyak bait dan ilmi raksi. Dicetak oleh haji Abdullah bin Muhammad Nuruddin
ar-Rawi/Rawa 59 Achen Street, Penang 13 Jumadil Awwal 1345H.

Usaha Istana Berterusan

Semangat terhadap pemeliharaan dan penyuburan Islam terus diwarisi oleh putera
baginda, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj (1938-1942,1945-1960). Di
bawah pemerintahan Baginda, negeri Selangor membuka lipatan sejarah baru apabila
tertubuhnya satu badan khas bagi mentadbir agama Islam. Di samping itu, Baginda turut
menitahkan supaya digubal satu undang-undang khas mentadbir undang-undang Islam di
negeri Selangor.

Keprihatinan Baginda terhadap tahap akidah dan akhlak di kalangan rakyat yang terdedah
dengan pengaruh komunis ketika itu, mendorong baginda menubuhkan Jabatan Hal
Ehwal Islam pada tahun 1948. Kesungguhan Baginda dalam menjamin kedaulatan Islam
di negeri Selangor terserlah melalui keikhlasan Baginda untuk membuka ruang
menempatkan Jabatan Hal Ehwal Islam di Istana Kota Klang sebagai sebahagian dari

12
pusat pentadbiran Islam di samping perbelanjaan ke atas badan berkenaan dibiayai
daripada peruntukan diraja.

Baginda juga telah mengurniakan sumbangan untuk pembinaan masjid-masjid iaitu


Masjid Alam Shah, Pudu, Kuala Lumpur dan Masjid Jamek Jamaiyah, Morib, Kuala
Langat. Di samping itu, Baginda turut mewakafkan Istana Jama’ah, Kampung Jawa untuk
dijadikan Kolej Islam Malaya, Klang. Baginda mangkat pada tahun 1960.

Usaha memartabatkan Islam terus dilakukan oleh anak-anak Baginda iaitu Almarhum
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (1960-2001) yang memerintah dalam era
negeri Selangor mengorak langkah maju dari segi pembangunan pesat, sesuai dengan
kedudukan negeri Selangor sebagai pusat Negara, pintu masuk pelaburan dan masyarakat
antarabangsa serta peranan yang semakin terserlah dalam Pertubuhan Negara-negara
Islam (OIC).

Kepesatan pembangunan yang disertai dengan kehendak rakyat untuk diberi lebih banyak
lagi opsyen Islam dalam urusan Negara, seperti ekonomi, sosial pendidikan dan
teknologi, menyaksikan penubuhan mekanisme-mekanisme Islam, bank Islam, takaful
Islam, pajak gadai Islam, institusi kekeluargaan Islam serta sistem kebajikan. Negeri
Selangor sering dalam era ini, sama ada menjadi tapak penyuburan opsyen-opsyen Islam
ini atau menyertai antara negeri-negeri perintis untuk memajukan pendekatan-pendekatan
Islam ini untuk semua rakyat jelata.

Kesimpulan

Pengumpulan maklumat yang dinukilkan hanyalah sebahagian kecil yang sempat diambil
oleh penyusun. Apa yang disampaikan hanyalah sebahagian dari usaha gigih dan
gabungan besar yang telah dimainkan oleh pihak istana dalam memertabatkan Islam di
Selangor. Enam puluh tahun sebelum tertubuhnya Jabatan Agama Islam Selangor (1948),
peranan yang dimainkan oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah (1898-1938) telah menjadi
asas yang kukuh dalam memartabatkan Islam di Selangor. Usaha Baginda dalam
penggabungan tenaga umara’ dan ulama’ telah berjaya meletakkan Islam sebagai ugama
yang unggul yang menjadi kesayangan ummah. Demikian juga selepas kemangkatan
Baginda, Istana terus berperanan dalam mengembangkan Islam. Banyak peninggalan
istana yang menjadi bukti betapa Islam telah menjadi dokongan yang utama dan
diperkembangkan dalam pelbagai sektor sama ada pendidikan, perdagangan, adat istiadat

13
budaya dan lain-lain. Mudah-mudahan usaha yang telah ditinggalkan itu akan diteruskan
oleh generasi kini dan akan datang agar Islam akan terus berkembang sejajar dengan
tuntutan ajarannya untuk semua aspek kehidupan dan rahmat keseluruh alam.

Laman sesawang JAIS terkini.

Sumber Rujukan :

Kemajuan Pentadbiran Islam di Negeri Selangor; Terbitan Majlis Agama Islam


Selangor, 2005.

Prosiding Multaqa Istana Alaeddin Bandar; Terbitan Kolej Universiti Islam


Antarabangsa Selangor, 2006.

Balai Kesenian Islam Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.

14

You might also like