You are on page 1of 22

BAB 2

SISTEM MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL


SEBAGAI ASAS PEMBINAAN NEGARA

OBJEKTIF BAB

Setelah anda mengikuti bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Memahami struktur masyarakat Melayu tradisional.
2. Menghuraikan sistem poltik, ekonomi dan sosial masyarakat
Melayu tradisional.
3. Mengenal pasti nilai-nilai murni dalam sistem masyarakat
Melayu tradisional yang dijadikan asas dalam pembinaan negara.

2.1 PENGENALAN

Apabila membicara atau menggambarkan perihal sistem masyarakat


Melayu tradisional (selepas ini ditulis masyarakat Melayu tradisi atau
MMT sahaja), ia merupakan satu perbincangan pensejarahan atau
kehidupan kemasyarakatan yang tidak boleh dipisahkan dari merujuk
kepada zaman Kesultanan Melayu Melaka (KMM). Titik tolak permulaan
pada zaman ini kerana telah wujudnya sebuah kerajaan yang dapat
membentuk sebuah masyarakat Melayu yang mempunyai sistem dan
strukturnya tersendiri. Apa yang lebih dipentingkan lagi ialah keupayaan
sesetengah dari sistem dan struktur tersebut telah dapat dikekalkan dan
diterima pakai sehingga ke hari ini. Sama ada MMT sebelum dari zaman
KMM sudahpun mempunyai tradisi-tradisinya, perbincangan ini tidaklah
memberikan tumpuan kepada persoalan itu kerana telah banyak
diperbincangkan1 oleh sarjana dan di luar skop penulisan modul ini.

MMT merupakan satu istilah. Pendefinisiannya haruslah merujuk kepada


definisi siapa itu orang Melayu dan zaman tradisi yang diwakilinya.2
Secara umumnya, MMT boleh ditakrifkan sebagai satu gambaran orang
Melayu yang mengamalkan sesuatu adat-istiadat (kebiasaan) yang telah
sebati dan kekal secara turun temurun dalam kehidupan mereka. Ini
memberi erti bahawa mereka tidak begitu terpengaruh dengan perubahan
dan suasana sekeliling. Dalam erti kata lain, perubahan diterima dengan
penyesuaian keadaan setempat. Dengan ini unsur-unsur tradisi dari segi
politik, ekonomi dan sosial yang ada pada masyarakat Melayu dapat
dikekalkan sepanjang zaman.

17
SOALAN DALAM TEKS 2.1

1. Kenapakah KMM menjadi titik mula bagi


membincangkan MMT?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.2 KONSEP-KONSEP PENTING

1. Sistem

Kamus Dewan mendefinisikan ‘sistem’ sebagai “cara atau kaedah yang


teratur dan tersusun baik-baik (yang biasanya dijadikan pegangan) untuk
melakukan sesuatu”.3

2. Struktur

Struktur merupakan pola-pola atau corak (patern) yang wujud secara


relatif di antara elemen-elemen yang terdapat dalam struktur itu. Elemen-
elemen tersebut ialah kelompok, institusi, hierarki, dan norma-normanya.

3. Ke -RAJA -an

Dalam MMT, Ke-Raja-an menggambarkan sebuah pemerintahan atau


sebuah kerajaan yang memerintah, bukannya konsep negeri atau negara
sebagaimana pengertian hari ini. Ia juga sering dipanggil Ke-Sultan-an.
Ke-RAJA-an juga membawa maksud kekuasaan Raja ke atas
pemerintahannya yang berpusat. Raja itu Kuasa atau kata-kata Raja itu
ialah undang-undang. Dengan kata lain, Raja berkuasa mutlak. Maka
pada masa itu sesebuah kerajaan akan dikenali seperti Kerajaan Melayu
Melaka atau Kesultanan Melayu Melaka4, Aceh, Kedah, Patani, Perak,
Pahang, Brunei dan lain-lainnya.

4. Melayu

Gambaran tentang siapakah orang Melayu, ciri-ciri dan sifat-sifatnya


pada masa itu telahpun ditulis dengan panjang lebar oleh pengarang
seperti Sir Frank Swettenham, Sir Hugh Clifford, Richard Winstedt dan
lain-lainnya (Lihat huraian mereka seperti dalam senarai bacaan). Apa
yang diistilahkan sebagai Melayu dalam perbincangan ini ialah dari segi
lokasinya iaitu orang Melayu di Semenanjung Malaysia sebagai mewakili
sebahagian besar Melayu di Alam Melayu.
18
SOALAN DALAM TEKS 2.2

1. Apakah anda telah memahami konsep-konsep yang


diper-bincangkan?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.3 PENEMPATAN

1. Lokasi

Sesebuah Kerajaan Melayu digambarkan bermula dengan sebuah


penempatan di kuala atau di tepi sungai yang mempunyai ciri-ciri asas
seperti ada nilai strategik (pertahanan), berpotensi berkembang (politik
dan wilayah) dan mempunyai kemudahan jalan laluan (ekonomi dan
perdagangan). Sebagai contoh, Kerajaan Melayu Melaka dibuka di Kuala
Sungai Melaka yang mempunyai sebuah bukit di sebelah kanan mudik
(Bukit China dan bukit Kota A Famosa) yang amat sesuai untuk
dijadikan Pos Pemerhati. Di sepanjang sungainya wujud satu lembahan
yang sesuai dijadikan kawasan penempatan penduduk dan juga untuk
aktiviti pertanian. Manakala di kuala sungainya yang dalam dan dilindungi
oleh pulau-pulau kecil, menjadikan ia terhalang dari tiupan angin
kencang. Ini membolehkan Kuala Sungai Melaka amat sesuai untuk
dijadikan sebuah pelabuhan yang boleh menguasai laluan di Selat Melaka
dan juga laluan darat di kawasan pedalamannya. Faktor-faktor ini
kemudiannya telah menjadikan nama Kerajaan Melayu Melaka terkenal
ke seluruh dunia.

Melalui rangkaian penempatan di tepi sungai mahupun di tepi pantai


yang kemudiannya berkembang ke pedalaman telah dapat membentuk
kelompok penempatan yang lebih meluas atau penempatan baru.
Penempatan-penempatan ini akhirnya membentuk satu kelompok
pemerintahan. Biasanya kelompok pemerintahan ini tidak akan
berkembang maju sehinggalah ia didatangi oleh seorang Raja atau Sultan
yang akan memberikan pemerintahannya. Inilah yang telah dibuktikan
oleh sejarah mengenai kewujudan sistem pemerintahan di Melaka, Kedah
atau Perak misalnya. Di Kuala Sungai Melaka digambarkan telah
mempunyai perkampungan nelayan sebelum Parameswara berhasrat
membuka sebuah kerajaan di situ. Begitu juga dengan Perak yang telah
mempunyai pemerintah atau ketua-ketua tempatan di hulu, hilir, darat
dan baruhnya sebelum ketibaan Sultan pertama yang menubuhkan
Kerajaan Melayu Perak.5
19
Sebuah penempatan yang paling asas, dikenali sebagai kampung atau
nama tradisinya dusun. Ia diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil
ketua kampung atau tok empat atau penghulu. Biasanya sebuah kampung
didiami oleh sebuah keluarga besar ataupun oleh beberapa buah keluarga
yang menjadi peneroka awal. Biasanya kampung dibuka (diterokai)
kerana mempunyai potensi menjadi sebuah kawasan sawah padi
(bendang) dan dusun buah-buahan (pertanian), di samping menjadi
tempat perlindungan daripada bencana peperangan, melarikan diri
daripada penindasan atau serangan wabak penyakit berjangkit. Ada juga
kadangkala sesuatu tempat yang telah dijadikan tempat persinggahan
bermalam (sementara) bagi laluan darat kemudiannya diterokai menjadi
sebuah perkampungan yang baru. Biasanya ia mempunyai kriteria di atas,
iaitu mudah sumber air untuk tujuan pertanian.

Bagi sebuah penempatan MMT yang telah berkembang, ia mempunyai


kawasan tempat tinggal (rumah-rumah) di tepi sungai. Rumah-rumah ini
biasanya memanjang mengikut arah hulu sungai dan di sekelilingnya di
tanam dengan pokok kelapa dan pokok buah-buahan kekal (dusun)
seperti durian, langsat, cempedak, petai, nangka, manggis, rambai dan
sebagainya yang mengikut keutamaan dan kesesuaian setempat. Di atas
atau pedalaman dari kawasan ini dijadikan kawasan tanaman kontan dari
jenis sayur-sayuran seperti ubi dan labu, jagung, tebu, dan pisang. Pada
masa awal penerokaan, ditanam padi huma atau padi bukit yang dibuat
serentak dengan tanaman kontan. Kawasan inilah juga kemudiannya
menjadi tempat awal penanaman getah setelah kedatangan penjajah.
Kawasan tanaman padi (sawah atau bendang) pula tidak jauh dari sini, di
kawasan yang biasanya ada anak bukit dan anak sungai kecil yang
membentuk kawasan paya yang luas dan mempunyai tahap kesuburan
yang tinggi. Inilah kawasan yang dijadikan sawah semasa musim hujan
dan dijadikan tempat makan binatang ternakan seperti kambing, lembu
atau kerbau pada musim panas.6

2. Kegiatan Kemasyarakatan

Bagi kegiatan bermasyarakat seharian, masjid atau surau dan pasar-pasar


sehari (atau dalam istilah masyarakat di Sabah dipanggil Tamu dan bagi
masyarakat di utara Kedah dan Perlis dikenali dengan Nat) menjadi
tempat berkumpul masyarakat. Masjid atau surau menjadi tempat
mengerjakan ibadah khusus (kegiatan keagamaan) dan pendidikan, serta
dijadikan tempat berkumpul bagi membincangkan hal-hal
kemasyarakatan. Sebab itulah kita dapat melihat sehingga ke hari ini,
ruang-ruang yang terdapat di sesebuah masjid itu mestilah mengandungi
ruang sembahyang, bahagian anjung untuk tempat berbicara (tempat
bersembang atau berlabun) yang terpisah dari ruang sembahyang dan

20
tempat mengambil air sembahyang (kolah dan telaga jika tempatnya jauh
dari sungai). Ketiga-tiga ruang ini biasanya berada dalam satu bangunan
utama masjid atau surau bagi memudahkan pergerakan.

Kegiatan di masjid bermula dengan mengambil air sembahyang, berhenti


di ruang berbicara dan masuk ke dalam bagi menunaikan sembahyang
(solat). Ataupun masuk ke ruang berbicara kemudiannya baru mengambil
air sembahyang di ruang yang hanya bersebelahan sahaja, lepas itu
barulah bersembahyang. Manakala di luar bangunan utama ini akan
didirikan tempat memasak dan tempat bermayang bagi menjalankan
kerja-kerja masakan terutamanya untuk kegiatan bulan puasa dan hari-
hari perayaan kebesaran agama. Sayugia diingatkan bahawa susunan
ruang bangunan sebegini bagi menyesuaikan dengan keadaan setempat
dan semasa. Syarat bagi mendirikan masjid bagi sesebuah kariah mestilah
pemastautin lelaki balighnya melebihi 40 orang. Dengan itu tidak semua
kampung mempunyai masjid. Beberapa buah kampung yang
dikumpulkan menjadi mukim, disitulah yang akan didirikan masjid—
biasanya di kampung yang ketuanya berjawatan lebih kanan dan
kampung itu merupakan kampung asal lagi utama. Oleh yang demikian,
tempat-tempat atau ruang yang dinyatakan di atas amatlah diperlukan
oleh para jemaah yang datang dari kampung sekitar dengan cara berjalan
kaki ataupun berperahu menggunakannya sebelum menunaikan
sembahyang. Lebih-lebih lagi bagi menunaikan sembahyang Jumaat.
Kegiatan pendidikan dibuat pada pagi Jumaat sehinggalah sampai waktu
sembahyang yang dijalankan oleh guru-guru agama dari mukim lain
ataupun imam-imam tempatan.

Bagi kampung-kampung yang tidak mempunyai masjid, surau akan


memainkan peranan. Susunan ruangnya adalah lebih mudah dengan
hanya ada ruang sembahyang dan tempat membasuh kaki di tepi tangga
untuk naik ke surau. Biasanya surau ini terletak di tepi sungai dan
berhampiran dengan rumah ketua kampung. Selain dari belajar sesama
sendiri dengan imam di kampung, imam dari masjid atau guru agama
tempatan juga akan datang mengajar pada malam-malam tertentu dalam
setiap bulan. Biasanya imam ini akan bermalam di kampung tersebut bagi
membolehkannya mengajar kaum wanita (ibu) pada sebelah petang dan
mengajar kaum bapa pula pada waktu antara Maghrib dengan Isya’. Bagi
kanak-kanak dan orang dewasa, mereka hanya belajar (istilah masa itu
mengaji) al-Quran dan fardu ain di rumah imam atau orang kampung yang
berkebolehan seperti bilal, (biasanya dipanggil pak lebai) siak, atau di
rumah keluarga induk yang berilmu dan berkebolehan mengajar al-
Quran.7

21
Manakala pasar pula menjadi tempat berjual beli (perniagaan) dan
bertukar-tukar barangan. Dalam keadaan masyarakat yang mengamalkan
kehidupan yang mudah atau secukup hidup, proses berjual beli tetap juga
berlaku. Ini kerana tidak semua masyarakat dapat menyediakan
keperluannya sendiri. Ada yang perlu didapati dari orang lain atau
daripada tempat lain. Maka akan berlakulah pertukaran barang atau
proses jual-beli. Proses ini tidaklah berlaku setiap hari kerana faktor jalan
laluan, pengangkutan dan masa bagi mengumpulkan barang-barang
tersebut. Tempat bagi bertukar barangan dan jual-beli ini ialah pasar
sehari di tempat-tempat tertentu yang biasanya di kuala sungai atau anak
sungai yang mudah mempertemukan orang ramai. Penduduk setempat
membawa hasil pertanian dan ternakan yang boleh ditukar atau dijual,
manakala pedagang dari luar (dalam konteks ini masih orang Melayu
tetapi datang dari luar kawasan-mukim atau daerah) membawa barang
dagangan mereka. Setelah berlaku pertukaran barang atau berjual beli,
mereka balik semula ke destinasi masing-masing. Bagi penduduk
setempat masa pergi dan balik selalu dilakukan beramai-ramai dengan
perahu, rakit ataupun berjalan kaki. Di sini juga berlakunya proses
asimilasi dan permuafakatan setempat.

Pergerakan terpaksa dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan


kerana faktor pengangkutan dan juga kerana masalah keselamatan.
Walaupun pada umumnya hampir setiap keluarga mempunyai perahu
sebagai alat pengangkutan, tetapi dengan cara bergerak beramai-ramai
akan lebih menjaminkan keselamatan dari ancaman binatang buas, karam
dalam sungai ataupun dirompak di tengah perjalanan. Pergerakan
sebegini juga akan lebih mempereratkan lagi silaturrahim sesama mereka
dengan adanya semangat tolong menolong dan saling membantu. Maka
kelihatanlah masyarakat berada dalam suasana bermuafakat kerana amat
berpegang kepada adat dan agama sebagaimana digambarkan oleh
ungkapan “hukum bersendikan adat, adat bertiangkan agama”. Dalam
erti kata lain, adat dan agama telah dapat menyatu dan memperatkan
perhubungan dan pergaulan dalam MMT.

3. Faktor Penyatuan

Dalam konteks bernegara seperti hari ini, MMT tidak dapat


memperlihatkan gambaran suasana sedemikian. Ini kerana konsep negara
dan bangsa dalam sebuah kerajaan Melayu tidak begitu jelas. Rakyat
sering mengaku menjadi “rakyat jelata” atau “orang”, seperti rakyat
Sultan Kedah atau orang Perak (oghang Peghak). Walaupun begitu,
penyatuan yang boleh memberikan persamaan kepada semua MMT di
seluruh pelusuk Alam Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu dan
perkembangan sasteranya yang sama, corak kehidupan sederhana yang
penuh dengan budi bahasa dan susur budayanya, agama Islam yang

22
menjadi anutan dan pegangan serta pemilikan ke atas tanah adalah hak-
milik Raja (tidak ada pemilikan kekal kecuali atas anugerah). Oleh yang
demikian, dalam MMT tidak ada batas sempadan kekal (tetap) yang
bertanda, yang akan memisahkan antara sesama penduduk tetapi hanya
ada perakuan kawasan dan tanda kesetiaan. Kekuatan sesebuah kerajaan
diukur pada bilangan (ramai) penduduk yang memperakui kekuasaan
pemerintahan dengan memberi kesetiaan, bukannya kepada keluasan
kawasan secara mutlak.

SOALAN DALAM TEKS 2.3

1. Secara ringkas, nyatakan perihal penempatan dalam


mencorak MMT.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.4 PENDUDUK

MMT boleh diklasifikasikan kepada dua kelas,iaitu pemerintah dan


rakyat. Golongan pemerintah terdiri daripada Raja/Sultan, kerabat
terdekat, pembesar istana dan pembesar tempatan. Golongan rakyat pula
terdiri daripada rakyat bebas dan golongan hamba. Mereka ini tinggal di
sepanjang tepi sungai yang sesuai dan di tepi laut dengan membentuk
sebuah penempatan yang berkembang menjadi mukim, daerah/jajahan
dan negeri (dalam istilah hari ini). Penempatan juga berkembang ke
pedalaman (darat), iaitu ke hulu lembahan sungai yang berakhir ke kaki
bukit.

Kedudukan atau lokasi sesuatu penempatan akan mencorak bentuk jenis


pekerjaan penduduknya. Pada asalnya merupakan satu bentuk pekerjaan
untuk keperluan asas seharian sahaja. Akhirnya pekerjaan asas ini
menjadi pekerjaan utama yang berupaya mengeluarkan hasil keluaran
tempatan. Pada umumnya penduduk mengusahakan kawasan pertanian
bagi menghasilkan keperluan makanan sendiri. Jika ada lebihan akan
digunakan sebagai keperluan pertukaran ataupun simpanan semasa
kecemasan. Di samping itu dilakukan juga usaha-usaha mencari hasil
bumi dan galian, hasil hutan atau hasil laut secara sambilan berselang seli
dengan kerja utama pertanian. Bagi yang kerja utamanya ke laut, mereka
akan beralih ke kerja galian dan hutan semasa musim tengkujuh. Ataupun
mereka akan pergi ke pulau-pulau yang mempunyai gua untuk
mengeluarkan hasil sarang burung atau hasil lainnya seperti baja.

23
Secara keseluruhannya, penduduk mempunyai satu sistem kehidupan
yang sederhana dengan ekonomi sara diri dan bertukar barangan
perniagaan yang dijalankan sesama sendiri antara penduduk di tepi pantai
dengan di tepi sungai dan lembahannya. Orang tengah (pengantara)
dalam perniagaan ialah pemerintah dan pemimpin tempatan. Perniagaan
diperluaskan dengan kawasan jiran tetangga melalui jalan darat atau laut.
Perkembangan dalam kehidupan juga kemudiannya menjadikan
sebahagian kecil penduduk menjadi pedagang-pedagang sehingga ke
peringkat antarabangsa (dunia luar).8

SOALAN DALAM TEKS 2.4

1. Senaraikan klasifikasi MMT bersama-sama dengan


pecahannya.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.4.1 Pemerintah

Secara umum, susun-lapis golongan pemerintah dari kedudukan


tertingginya ialah Raja atau Sultan. Diikuti oleh kerabat terdekat yang
terdiri dari kalangan isteri-isteri, ibu-ibu, anak-anak, adik beradik dan
bapa serta emak saudara bersama anak-anak mereka. Kelompok ini
dibantu oleh pembesar istana yang diketuai oleh Bendahara, diikuti oleh
Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari, Ketua Hulubalang
(Hulubalang Besar) dan lain-lain Orang Besar Istana. Satu lagi kelompok
pemerintah yang penting ialah Pembesar Tempatan yang diistilahkan
sebagai Orang Besar Empat Lipatan dengan gelarannya Orang Besar
Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar
Tiga Puluh Dua, Dato’ Penghulu dan Ketua Kampong. Mereka
menjalankan tugas di mana penempatan mereka didirikan berasaskan
kedudukan dan statusnya dalam hierarki pemerintahan.

2.4.2 Rakyat

Kalangan rakyat terbahagi kepada rakyat bebas dan golongan hamba.


Rakyat bebas terdiri daripada kalangan orang kaya (berharta), ahli agama,
orang yang ada kepandaian yang dikenali sebagai utas, tukang atau pandai
dalam bidang membuat senjata, emas, perahu, rumah, pemuzik atau ahli
Nobat dan kerja perbomohan serta mengurut. Rakyat jelata juga terdiri

24
daripada kalangan peniaga dan pedagang, dan orang biasa yang menjadi
petani, penternak atau nelayan. Kelompok rakyat jelata ini boleh
menaikkan taraf mereka dengan kehendak pemerintah kerana telah
membuat jasa dan bakti atau melalui perkahwinan. Maka wujudlah di
kalangan mereka ini Orang Bernama, Berjasa atau Bergelar.

Bagi kalangan hamba pula, mereka menjadi sedemikian kerana warisan


dari keturunan, berhutang, hukuman, tawanan atau kerana kemahuan
sendiri untuk menghambakan diri atas sebab dan alasan tertentu.9

2.5 MASYARAKAT SETEMPAT

Masyarakat Melayu meliputi satu rumpun suku-kaum yang besar. Jika di


lihat dari segi kawasan penempatannya, ia meliputi dari kawasan Champa
di Indo-China sampai ke kepulauan Madagaskar di Afrika. Namun apa
yang diperbincangkan di sini hanyalah kepada suku-kaum yang ada di
Semenanjung Malaysia sahaja. Mereka itu boleh dibahagikan kepada tiga
kelompok utama. Pertama ialah orang Melayu yang berasal di sini (tanpa
mengambil kira lagi pandangan yang mengatakan mereka ini juga asalnya
datang dari sebelah utara). Kedua ialah orang Melayu mendatang dari
Sumatera terdiri daripada orang Aceh, Pasai, Minangkabau, Riau,
Mendeleng dan Rawa; dari Kalimantan, terdiri daripada orang Banjar;
dari Jawa terdiri daripada orang Jawa dan Sunda; dan orang Bugis pula
dari Sulawesi. Dari sebelah utara pula ialah kalangan masyarakat Patani
dan Siam yang membentuk masyarakat Sam-Sam, iaitu satu kelompok
masyarakat yang mengakui sebagai orang Siam tetapi mengamalkan adat
istiadat, cara kehidupan dan agama orang Melayu, kecuali masih
berbahasa Siam lama (Selatan). Manakala kelompok ketiga ialah orang
luar yang telah membentuk satu lagi kelompok baru masyarakat Melayu.
Mereka ialah daripada kalangan orang Arab dan India Muslim yang telah
mengasimilasikan kehidupan dengan orang Melayu. Proses ini adalah
melalui perkahwinan antara mereka yang kebanyakannya pendakwah
Islam dan juga pedagang-pedagang dengan anak perempuan golongan
pemerintah dan orang besar. Perkembangan ini telah membentuk satu
lagi kelompok Melayu yang dikenali sebagai Melayu keturunan Arab dan
juga Jawi Pekan atau Orang Peranakan (Anak Mami). Sebahagian mereka
tinggal dalam kelompok sendiri dan ramai yang tinggal bersama
kelompok besar Melayu.10

25
SOALAN DALAM TEKS 2.5

1. Huraikan kelompok-kelompok yang terdapat


dalam MMT.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.6 BIDANG PEKERJAAN DAN HASIL KELUARAN

Pekerjaan utama MMT banyak dipengaruhi oleh tempat tinggal mereka.


Bagi yang tinggal di tepi laut, mereka menjadi nelayan dan juga pedagang.
Manakala di tepi sungai dan pedalaman, menjadi petani atau istilah pada
masa itu ialah “buat bendang”. Namun begitu, oleh kerana kerja nelayan
dan buat bendang mengikut musim, maka mereka juga melakukan kerja
sampingan sementara menunggu tiba kembali musim kerja utama. Antara
kerja-kerja yang dilakukan dalam bidang pertanian ialah menanam padi.
Dalam masa yang sama atau secara bermusim mereka menanam lada,
buah pinang, sagu, cengkih, gambir, tebu, jagung, cutch dan sebagainya
mengikut tempat dan kesesuaian tanah. Mereka juga menjalankan kerja
penternakan seperti memelihara lembu, kerbau dan kambing, ayam itik
dan memproses kulit binatang ternakan. Pada masa sampingan, para
petani atau nelayan melakukan kerja-kerja mencari bahan galian seperti
bijih timah, habuk emas dan bijih besi. Manakala kerja di hutan juga
dilaksanakan seperti mencari kayu-kayan, rotan dan pewarna (dye), madu
lebah, lilin (wax), damar, kayu gaharu, cendana dan kasturi, memburu
gajah bagi kegunaan pengangkutan serta dijual gading dan giginya,
memburu harimau untuk kegunaan tulang dan kulitnya, memburu badak
bagi keperluan kepada sumbu atau gadingnya dan memburu rusa untuk
daging dan tanduknya. Bagi nelayan, mereka mempunyai satu lagi
pekerjaan tetap atau sampingan dengan mencari sarang burung di gua-
gua yang terdapat di kawasan pulau atau gua-gua di tepi pantai, membuat
jeruk telur ikan (fish maws), memproses sirip jerung, mencari dan
memproses tripang (gamat) atau dikenali sebagai sea slugs atau beach de mer,
menyelam tiram, membuat garam dan ikan masin.

26
SOALAN DALAM TEKS 2.6

1. Nyatakan secara jelas bidang pekerjaan yang


terdapat dalam MMT.

2. Nyatakan fungsi masjid kepada MMT

I. Sebagai tempat ibadah


II. Sebagai tempat perbincangan
III. Sebagai tempat menyambut perayaan
keagamaan
IV. Sebagai tempat pertemuan keluarga

A. I dan II
B. II dan III
C. I, II dan III
D. II, III dan IV

3. Berikan gambaran ringkas mengenai susun-atur


ruang dalam sebuah masjid.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.7 NILAI-NILAI MURNI MMT: SATU PENGAMATAN


KEMBALI

Keadaan penempatan, corak pekerjaan dan suasana pemerintahan MMT


telah membentuk satu corak masyarakat yang tersendiri. Mereka telah
menghasilkan satu nilai kehidupan yang tidak sama dengan masyarakat
lain. Perkara ini boleh di lihat melalui contoh-contoh di bawah.

2.7.1 Sistem Politik

Asas hubungan politik Melayu berteraskan kepada perjanjian dan


perakuan antara Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) dengan Sang Si
Perba (mewakili Raja atau Pemerintah). Perjanjian dan perakuan ini
berbunyi:

27
Demang Lebar Daun
“Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan
menjadi hamba ke bawah duli yang dipertuan, hendaklah
ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku, dan jika ia
berdosa, sebesar-sebesar dosanyapun, jangan difadilatkan,
dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya
dibunuh, itu pun jika berlaku pada hukum syara.”

Sang Si Perba
“Hendaklah pada akhir zaman kelak, anak cucu bapa
hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia
zalim dan jahat pekerti sekalipun.”

Demang Lebar Daun


“Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak-buah tuanku dahulu
mengubahkan ia, maka anak cucu patek pun
mengubahkannya.”

Sang Si Perba
“Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”11

Inilah perjanjian awal yang telah mengikat kesetiaan dan memberi


perlindungan di antara pemerintah dan rakyat dalam MMT. Ekoran dari
itu wujudlah beberapa konsep yang menjadi pengikat dan pengerat
hubungan antara kedua pihak, iaitu

1. Konsep Taat Setia dan Penaung

Konsep ini menerapkan nilai perhubungan antara pemerintah dengan


rakyat. Rakyat memberikan taat setia kepada pemerintah. Pemerintah
pula memberi perlindungan kepada rakyat melalui pemerintahan yang
adil dan saksama. Dalam erti kata lain, rakyat memperakui ketuanan
pemerintah dan pemerintah menjadi penaung dan pelindung kepada
rakyat.

2. Konsep Budi dan Anugerah

Rakyat memberi perkhidmatan kepada Raja (kerajaan), dan pemerintah


memberi anugerah kepada rakyat dengan pangkat, gelaran mahupun
tanah atau kawasan sebagai pegangan. Namun apa yang sering
digambarkan kepada kita penduduk hari ini ialah tentang kezaliman dan
penindasan serta pelbagai pekara buruk yang dilakukan oleh pemerintah
dan sebagai tindak balas adanya penderhakaan atau rakyat melarikan diri
dari pemerintahan yang zalim. Keadaan ini berpunca dari kedua-dua
pihak atau salah satunya kerana tidak lagi berpegang pada janji dan
perakuan yang dinyatakan di atas. Ia juga berpunca kerana tidak

28
mengikut beberapa kriteria dan garis panduan yang perlu diikuti dalam
membuat perlantikan raja atau pemerintah. Antara kriteria yang telah
digariskan ialah

Anak lelaki sulung


Berakal
Berilmu
Seboleh-bolehnya anak gahara
Mendapat sokongan para pembesar dan ketua-ketua
Dilantik dengan penuh adat istiadat12

Jadi, apabila sesatu kriteria di atas tidak dipatuhi dalam membuat


perlantikan seseorang Raja atau pemerintah, maka berlakulah
kepincangan dalam sistem pemerintahan tersebut. Misalnya, jika tidak
dipilih anak lelaki sulung untuk menjadi waris atau menaiki takhta, ia
mengakibatkan berlakunya rasa tidak puas hati di kalangan pewaris,
keluarga dan pengikutnya—boleh menimbulkan perasaan kecewa, marah
dan dendam. Sering kali ia akan berakhir dengan pemberontakan yang
mengakibatkan huru hara. Sayugia diingatkan perkara tidak puas hati ini
mudah timbul kerana sifat pemerintah pada masa itu bukanlah
mempunyai seorang isteri. Biasanya di kalangan isteri ini sering bersaing
untuk memastikan anak mereka akan menjadi waris takhta. Keadaan
menjadi bertambah sengit sekiranya isteri pertama hanya anak seorang
pembesar, adik atau kakak pembesar yang berpengaruh dan isteri kedua
pula berdarah raja. Banyak contoh dalam sejarah kerajaan Melayu yang
menggambarkan perihal perkara ini.

Begitu juga dengan sokongan para pembesar. Pembesar adalah “kaki dan
tangan” serta “mata dan telinga” Raja. Oleh itu kesetiaan dan sokongan
padu dari mereka dapat membantu melicinkan pemerintahan sesebuah
kerajaan. Dalam catatan “Sejarah Melayu” digambarkan Sultan Alauddin
Syah terpaksa melakukan penyamaran dengan berkawal dan meronda
bagi menangkap pencuri dan perompak kerana Datuk Temenggung tidak
menjalankan tugas dengan sempurna. Begitu juga dengan nasib yang
menimpa Raja Muhammad yang tidak dapat menjadi waris takhta KMM
setelah Bendahara Paduka Raja Tun Perak menyatakan: “…tetapi
janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini.” Penolakan ini terpaksa
diakuri oleh Sultan Mansor Syah dan menyerahkan Raja Muhammad
kepada Seri Bija Diraja untuk disuruh rajakan di Pahang.13

29
SOALAN DALAM TEKS 2.7

1. Apakah ciri-ciri yang harus terdapat pada seseorang


anak Raja sebelum layak dilantik menjadi pewaris
ataupun sultan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.7.2 Sistem Ekonomi

Pada asasnya MMT mengamalkan ekonomi sara diri. Namun kerana


tidak semua tempat boleh mengeluarkan semua hasil, maka pertukaran
barangan berlaku. Dalam MMT kurang mementingkan keuntungan yang
berlebihan tetapi lebih kepada perkhidmatan sosial (kemasyarakatan).
Dalam urusan jual belipun masih memperkirakan amalan sedekah jariah.
Ini sejajar dengan ajaran Islam yang menetapkan keuntungan perniagaan
sehingga tidak sampai ke peringkat menindas pengguna. Sering berlaku
memberi lebihan dari yang sepatutnya berdasarkan tukaran atau nilai
harga barang tersebut. Contoh yang dapat di lihat secara nyata sekarang
ini ialah penjualan kuih-muih dari rumah ke rumah, yang sering
diamalkan di kalangan masyarakat nelayan bukanlah semata-mata untuk
keuntungan jualan sahaja. Malahan lebih kepada memberi perkhidmatan
terhadap masyarakat setempat. Masyarakat pula sentiasa tertunggu-
tunggu kehadiran si penjual untuk membeli kuih-muihnya di samping
berkongsi pendapatan dengannya.

Apa yang lebih menarik lagi dalam MMT, semua bentuk perniagaan dan
perdagangan dilakukan sendiri oleh orang Melayu (penduduk tempatan).
Orang Melayu menjadi pembuat, penjual dan kemudian
memperdagangkannya. untuk pasaran luar berdasarkan tahap dan bidang
masing-masing. Misalnya, di sebuah penempatan, terdapat tukang besi
yang membuat pelbagai jenis alatan (senjata) yang boleh di gunakan
untuk keperluan pertanian ataupun untuk kegunaan persenjataan. Hasil
tangan (barangan) ini akan dibeli oleh penduduk setempat secara terus.
Bagi tujuan untuk dijual keluar, biasanya ada pihak lain (peraih atau orang
tengah) yang akan membeli dan menjualkannya di luar.

Demikian juga dengan penjualan hasil pertanian—seseorang petani yang


mempunyai lebihan padi atau beras akan menjualkannya kepada pembeli
dari kalangan penduduk kampung atau yang datang dari luar. Lepas itu
barulah beras ini diperdagangkan keluar seperti di kawasan pedalaman
yang kurang hasil padi atau di kawasan nelayan yang tidak mengerjakan

30
bendang. Ini adalah dalam konteks kawasan setempat dalam sebuah
kerajaan. Terdapat juga perdagangan yang melibatkan antara kerajaan
dengan kerajaan, misalnya Kerajaan Melayu Kedah terkenal dengan
keluasan sawah padinya. Mereka akan memperdagangkan beras ke
Kerajaan Melayu Perak di sebelah hulu atau di kawasan utaranya. Begitu
juga dengan Kerajaan Melayu Patani yang mengeluarkan hasil garam dan
ternakan lembu kerbau. Mereka juga akan memperdagangkan hasil
tersebut ke Perak ataupun Kedah dan ke tempat lainnya.

Catatan dari penulis-penulis sebelum ini telah menyatakan bahawa orang


Melayu juga merupakan pedagang dan pelaut terkenal. Mereka bukan
sahaja menjadi pedagang tempatan, pesisir pantai malahan sampai ke
peringkat antarabangsa. Meskipun pada zaman keagungan Melaka tidak
begitu digambarkan pedagang Melayu keluar dari Melaka, namun
hakikatnya, kenyataan telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu
dari sebelah utara di kawasan Segenting Kra, sebelah timur dari
Kepulauan Filipina dan Kepulauan Sulu serta dari bahagian selatan dari
Kepulauan Sulawesi telah pun berdagang dan menjual barangan mereka
di Melaka.14

Kenyataan menjadi semakin jelas apabila kejatuhan Kerajaan Melayu


Melaka telah membawa kepada perkembangan Kerajaan Aceh, Kedah,
Johor-Riau, Patani dan Brunei serta Sulu. Mereka ini telah melakukan
perdagangan keluar sampai ke India dan China. Selain dari bukti-bukti
melalui penulisan ilmiah, cerita-cerita rakyat dan perumpamaan yang
menjadi pegangan masyarakat Melayu mengenai perdagangan dan
perniagaan juga dapat membuktikan kenyataan di atas seperti:

“Saudagar buluh kasap, hujung hilang, pangkal lesap’’


“Larangan menjual jarum (besi) dan garam pada waktu
malam’’
“Cerita pengembaraan perniagaan seperti Awang Sulung
Merah Muda dan Nakhoda Si Tanggang”
“Cerita angan-angan Mat Jenin berniaga”16

Adakah masyarakat Melayu tradisional berjiwa korporat?

Rujuk rencana oleh Aripin Said “Jiwa Korporat Orang


Melayu” dalam Majalah Rakyat terbitan Bank Rakyat, Bil.
2, 1997, 18 – 19.

31
2.7.3 Sistem Sosial

Kehidupan penduduk sentiasa dalam suasana bermasyarakat. Ibarat satu


tubuh badan, yang antara satu sama lain sentiasa saling membantu dan
memerlukan. Asas pekerjaan ialah bergotong royong dan bekerjasama.
Tidak banyak memperlihatkan sikap individualistik. Pemilihan jodoh
dijadikan contoh perbincangan ini. Ia bermula dengan permuafakatan
seluruh keluarga dengan dibantu oleh jiran tetangga yang sebahagian
besarnya terdiri dari kalangan keluarga juga. Setelah mendapat kata
sepakat, baru dibuat risikan untuk meminang yang berakhir dengan
pertunangan. Setelah sampai tempoh atau cukup masa yang dijanjikan,
majlis pernikahan dilangsungkan dengan mengadakan kenduri kendara
secara yang termampu. Perbelanjaan perkahwinan biasanya ditanggung
oleh keluarga dengan muafakat seluruh penduduk sama ada di pihak
pengantin lelaki apatah lagi perempuan. Semua kerja dibuat secara
bergotong royong tanpa mengharapkan sebarang upah atau ganjaran.
Penduduk bersama keluarga meraikan majlis ini sampai ke akhir. Dalam
istilah setempatnya dikatakan “sehingga selesai memulangkan pinggan mangkuk
dan kawah belanga”. Ia disusuli kemudiannya dengan menziarahi keluarga
dan orang kampung. Sekali lagi pengantin ini dirai dan diberi hadiah atau
buah tangan sebagai tanda kenangan dari kaum keluarga mengikut kadar
kemampuan masing-masing. Peristiwa ini berlaku dikedua-dua belah
pihak lelaki dan perempuan. Ini memberikan satu gambaran tentang
tanggungjawab bersama ahli keluarga dan juga masyarakat kepada pihak
yang akan membentuk keluarga yang akhirnya menjadi ahli kepada
masyarakat tersebut juga.

Bagi kerja-kerja pertanian, semua dibuat secara gotong royong. Ia


bermula dari proses membuka hutan sehinggalah mendapatkan hasil.
Teknologi direka cipta sendiri seperti membuat baji untuk menebang
pokok serta membelah kayu. Memasang pelita dan unggun api digunakan
untuk meluruskan taliair dan dan batas sawah atau bendang. Membuat
lesung bagi mengisar padi dan sebagainya. Banyak lagi contoh-contoh
teknologi MMT yang telah direka cipta dan digunakan seperti panduan
arah angin, persenjataan dan alat pertukangan, alat memasak dan tenunan
hatta kepada pembinaan kapal layar untuk perdagangan.

Konsep gotong royong ini amat penting kerana masyarakat tidak mampu
melaksanakan sebarang kerja secara bersendirian. Mengambil contoh
bagi membuka sebuah kawasan sawah padi misalnya pengusahaan sawah
padi dikendalikan oleh seluruh penduduk kampung kerana melibatkan
kerja menebas dan menebang pokok, membakar atau memerun, menggali
parit dan taliair, membuat batas atau ban bagi takungan air mahupun
untuk tujuan sempadan antara tuan punya, ataupun bagi membina pagar
dari ancaman babi hutan atau menghalang ternakan memakan pokok

32
padi. Melalui konsep kerjasama, bukan sahaja saling membantu, malahan
dapat menyelaraskan kerja. Taliair dan parit tidak boleh dibuat
bersendirian kerana melibatkan luas dan kedalaman yang berbeza dari
sebelah hulu ke hilir. Begitu juga dengan batas atau ban yang hendak
dibina harus mengambil kira kedudukannya agar tidak memasuki ke
bahagian orang lain. Menuai padi juga mesti bersama-sama supaya dapat
mengelakkan dari terkeluar dari musim panas. Ini kerana padi yang telah
dituai harus dijemurkan pada panas matahari supaya mudah semasa
memprosesnya menjadi beras. Jika musim hujan tiba, sedangkan kerja
mengambil buah padi belum selesai, maka kerugian besarlah petani
tersebut dari segi hasilnya. Oleh yang demikian, istilah “muafakat membawa
berkat” telah jadi pengikat perhubungan dalam MMT.

Tanda-tanda muafakat seterusnya dapat di lihat dalam aktivti keagamaan.


Jika pada peringkat permulaan ada digambarkan perihal keadaan masjid
dan surau, perbincangan ini cuba memaparkan kerjasama masyarakat
semasa mengerjakan ibadah puasa dan menyambut hari raya. Semua
pihak, tua-muda, kecil-besar, lelaki-perempuan terlibat sama dalam ibadat
puasa dan menyambut hari raya tersebut. Misalnya menghadapi waktu
berbuka puasa, memadai dengan membuat sejenis kuih dan menghantar
kepada keluarga sekeliling, tuan rumah tersebut akan mendapat balasan.
Dengan ini akan dapatlah berbuka dengan beberapa jenis kuih meskipun
hanya membuat sejenis sahaja. Demikian juga dengan lauk-pauknya.

Suasana diteruskan pada hari raya. Selain menziarahi kubur pada sebelah
paginya beramai-ramai, kunjung mengunjung ke rumah saudara mara
dilakukan dalam masa beberapa hari. Peraturan adatnya pihak yang muda
akan mengunjung keluarga yang lebih tua dari segi usia atau
kedudukannya dalam keluarga atas sifatnya sebagai bapa atau datuk
saudara (pupu). Semua ini berlaku kerana kuatnya ikatan kekeluargaan
dan juga berpegang pada adat serta mengikut ajaran keagamaan.

SOALAN DALAM TEKS 2.8

1. Apakah corak kerja bergotong royong masih relevan


dengan kehidupan sekarang? Beri ulasan anda.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

33
2.8 KESIMPULAN

Gambaran murni yang menjadi amalan kehidupan MMT sebahagiannya


masih diamal sehingga ke hari ini. Nilai-nilai murni ini telah berjaya
meletakkan orang Melayu kepada satu tahap kehidupan yang menjadi
sebutan kepada dunia melalui kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka dan
kemudiannya diteruskan oleh kerajaan Melayu lain. Kegemilangan ini
mula lenyap setelah kerajaan Melayu dicerobohi oleh penjajahan barat
secara terus yang mengamalkan dasar “pecah dan perintah” mereka. Apa
yang menjadi persoalan sekarang ialah sejauh manakah kesungguhan
menghidup dan mengamalkan kembali nilai-nilai murni MMT setelah
negara ini mencapai semula kemerdekaannya. Amatlah mendukacitakan
lagi apabila adanya usaha-usaha untuk mempertidakkan kepentingan dan
tingginya nilai-nilai murni orang Melayu yang pernah wujud satu ketika
dahulu di negara ini. Sama-samalah kita menilaikan diri kita sendiri, di
manakah kedudukan kita dalam menghayati kehidupan sebagai seorang
Melayu khususnya, dan amnya kita sebagai rakyat Malaysia yang
berteraskan kebudayaan Melayu. Jawapannya ada pada diri kita sendiri.
Sesuatu bangsa itu akan lenyap jika tidak dapat mengenal lagi sejarah,
tradisi budaya dan adat-istiadat serta agamanya sendiri.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

Pilih jawapan yang paling tepat.

1. Apakah faktor pembukaan sesebuah petempatan?

I Kerana potensi hasilnya


II Mencari perlindungan peperangan
III Mengelak diri daripada pernindasan
IV Penghijrahan

A. I dan II
B. I, II dan III
C. II, III dan IV
D. I, II, III dan IV

2. Apakah pentingnya kerajaan Melayu mempunyai kuasa berpusat?

A. Memudahkan kawalan pada hierarki pemerintahan


B. Senang bagi rakyat untuk mengadap
C. Mudah bagi pembesar mengutip cukai
D. Mudah dalam mempertahankan kerajaan

34
3. Dalam MMT terdapat dua golongan pembesar. Siapakah
antaranya pembesar tempatan?

A. Laksamana
B. Penghulu bendahari
C. Penghulu
D. Panglima besar

4. Terdapat beberapa ciri yang telah mengubah nilai-nilai murni


yang menjadi amalan MMT KECUALI

A. Perpindahan
B. Perkahwinan
C. Pendidikan
D. Kematangan

5. Susun aktiviti MMT ketika menyambut hari raya puasa.

I Berpuasa sepanjang bulan.


II Menyambut malam tujuh likur.
III Takbir dan tahmid dimalam hari raya.
IV Sembahyang hari raya.

A. I dan II
B. II, III dan IV
C. I, II dan III
D. I, II ,III dan IV

Soalan Struktur:

6. Kenapakah sungai menjadi penting kepada masyarakat Melayu


tradisi?
(a) ____________________________________________
(b) ____________________________________________
(c) ____________________________________________
(d) ____________________________________________

Soalan Esei:

7. Masyarakat Melayu dikatakan baru dalam dunia perniagaan. Ia


hanya muncul setelah wujudnya DEB. Bincangkan kenyataan ini.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

35
JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 2.1

1. - Kesultanan melayu Melaka (KMM) merupakan kerajaan


Melayu yang mula-mula sekali dapat membentuk masyarakat
yang bersistem dan berstruktur.
- Sistem dan struktur yang wujud dapat dikekalkan dan
diamalkan sehingga hari ini, terutamnya berkaitan dengan
keagamaan Islam.

SDT 2.2

2. Pemahaman terhadap konsep amat penting kerana ia menjadi


panduan kepada pemahaman anda kepada perbincangan
seterusnya.

SDT 2.3

1. - Penempatan MMT memanjang mengikut tebing sungai atau


pei laut yang sesuai dijadikan kawasan tempat tinggal.
- Sesebuah penempatan mesti mengambil kira:
 kawasan pertanian
- kawasan dibuat rumah
- kawasan dusun buah-buahan
- kawasan tanaman kontan
- mempunyai kawasan yang sesuai untuk tanaman padi
sawah
 bagi kawasan nelayan:
- kawasan untuk dibuat rumah
- kawasan tanaman kelapa dan tanaman kontan
- terlindung dari tiupan angin

SDT 2.4

1. MMT dibahagikan kepada kepada dua kelas, iaitu pemerintah dan


rakyat
 Golongan pemerintah:
- Raja/Sultan
- Kerabat Terdekat

36
- Pembesar Istana
- Pembesar Tempatan
 Golongan rakyat:
- Rakyat biasa
- Hamba

SDT 2.5

1. Kelompok-kelompok dalam MMMT:


- Melayu tempatan
- Melayu mendatang
- Kelompok baru masyarakat Melayu

SDT 2.6

1. Pekerjaan utama MMT:


- petani atau lebih dikenali sebagai bendang
- nelayan
- pedagang
- kerja sampingan yang tetap mengikut penempatan
- mencari hasil galian
- memproses hasil hutan, laut dan mencari sarang burung
- kerja-kerja pertanian kontan
- memburu binatang

2. D

3. Sila rujuk muka surat 21.

SDT 2.7

1. Ciri-ciri yang perlu ada pada anak raja untuk menjadi


pewaris/sultan:
- anak lelaki sulung
- berakal (lebih kepada nilai budi pekerti dan tingkah laku
- berilmu (agama dan kepahlawanan)
- anak gahara
- sokongan pembesar

SDT 2.8

1. Anda boleh bersetuju atau tidak dengan soalan ini.

37
Jika relevan: antara isi perbincangan anda perlu menyentuh tentang
perkara berikut:

- Konsep gotong royong tidak jauh bezanya dengan konsep TQM


yang diamalkan oleh banyak pihak dewasa ini. Kenapa kita
mengadaptasikan TQM sedangkan kita sudah ada konsep
sendiri?
- Mengabaikan semangat gotong-royong, menjadikan konsep
kejiranan atau rukun tetangga di kawasan perumahan
menghadapi banyak masalah.
- Masyarakat semakin hilang identiti apabila budayanya sendiri
diabaikan. Bandingkan sahaja kemeriahan dan serinya majlis
kenduri perkahwinan di kampung yang masih mengamalkan
gotong-royong dengan tempat yang menggunakan khidmat
syarikat ‘catering.’

Jika tidak relevan, anda perlu beri hujah yang bernas.

38

You might also like