You are on page 1of 18

MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Pemuliharaan bangunan lama merupakan suatu perkara yang baru bagi sesetangah

masyarakat Malaysia dewasa ini. Di Bandar-bandar lama seperti Georgetown, Melaka,

Taiping, Kota Bharu, Kuching dan Kuala Lumpur, pelbagai usaha pemuliharaan

bangunan telah diambil oleh pihak awam dan swasta bagi mempastikan bangunan-

bangunan lama yang mempunyai warisan sejarah, seni bina dan budaya dapat dipelihara

dan dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

Di Georgetown, Pulau Pinang, terdapat beberapa buah bangunan lama yang telah

dipulihara dengan baik. Salah sebuah bangunan yang telah dipulihara ialah Masjid

Melayu Lebuh Acheh di Lebuh Acheh yang dibina pada 1808. Terletak berdekatan

dengan beberapa buah bangunan bersejarah di kawasan warisan di tengah Bandar

Georgetown seperti Rumah Syed Al-Attas dan To’Kong Khoo Kongsi, Masjid Melayu

Lebuh Acheh ini memepunyai warisan sejarah dan seni bina yang tinggi terutamanya di

zaman kegemilangan serta kebangkitan Islam di Pulau Pinang pada awal abad ke 19.

-6-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Gambar menunjukkan pelan lokasi Masjid Melayu Lebuh Acheh

Latarbelakang Pengasas - Tengku Syed Hussain Al-Aidid

Sejarah Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada 1792 apabila Tengku Syed

Hussain Al-Aidid iaitu seorang kerabat diraja Acheh, Sumatera, Indonesia telah

membuka sebuah kawasan perkampungan masyarakat Islam seluas 66,000 kaki persegi di

Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang. Tengku Syed Hussain Al-Aidid adalah

seorang pedagang Acheh yang kaya dan berjaya ketika Pulau Pinang baru dibuka oleh

Kapten Sir Francis Light pada akhir abad ke 18. dengan kekayaan yang dimilikinya,

Tengku Syed Hussain Al-Aidid dengan kerjasama kaum keluarga dan pengikutnya telah

membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Acheh dengan mendirikan

sebuah masjid, menara, rumah kediaman, deratan rumah kedai, Madrasah Al-Quran dan

pejabat perdagangan.

-7-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Hasil usahanya ini secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah pusat pengajian

agama Islam dan pusat perdagangan antarabangsa yang bukan sahaja terkenal pada ketika

itu tetapi yang terulung dan terawal di Pulau Pinang. Bilangan penduduk dan masyarakat

di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah berkembang pesat dengan

kedatangannya ramai pedagang-pedagang baru dari negeri-negeri di Tanah Melayu,

Tanah Arab dan India. Selepas kematian Tengku Syed Hussain Al-Aidid pada

pertengahan abad ke 19, perkampungan ini terus berkembang maju dan telah mencapai

tahap kegemilangannya sehingga akhir ke abad 19 dan awal abad ke 20. Beliau telah

disemadikan di sebuah makam yang terletak di bersebelahan Masjid Melayu Lebuh

Acheh. Di kawasan makam ini juga terdapatnya beberapa kubur ahli keluarga Tengku

Syed Hussain Al-Aidid.

Gambar menunjukkan makam Tengku Syed Hussain Al-Aidid

-8-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Perdagangan Dan Pusat Pengajian Islam

Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menyaksikan pelbagai jenis

perdagangan termasuk perniagaan rempah ratus, bazaar pakaian dan barangan kemas,

percetakan kitab agama Islam, pengurusan haji dan kedai-kedai makanan. Suatu ketika

dahulu, perkampungan ini telah dikenali sebagai “Jeddah Kedua” di rantau ini. Ini adalah

kerana di kawasan inilah ratusan bakal-bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand

berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah.

Bakal-bakal haji ini akan menaiki kapal laut yang telah disewa dari syarikat swasta

Inggeris, Mansfield & Co. di bawah jaminan Sheikh Zakaria Basheer. Tidak hairanlah

sekiranya terdapat banyak syarikat Jeddah Pilgrims Tiketing Agency yang beralamat di

No. 87, Lebuh Acheh. Setiap kali musim haji tiba, perkarangan dan persekitaran Masjid

Melayu Lebuh Acheh menjadi sibuk bukan sahaja dipenuhi oleh bakal-bakal haji yang

menunggu dokumen-dokumen haji mereka diproses tetapi juga dibanjiri oleh saudara-

mara dan sahabat-handai. Ini telah menyebabkan hampir kesemua rumah-rumah di

kawasan masjid ini telah disewakan kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, segala

urusan haji telah terhenti semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula pada 1949.

Dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia pada awal 1970’an,

perkhidmatan pengurusan haji di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah

dihentikan.

Selain daripada menjadi pusat perniagaan Melayu dan pusat haji, kawasan

perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi pusat pengajian agama Islam

yang terulung di Pulau Pinang. Sheikh Omar Basheer Al-Khalilee yang pernah tinggal di

-9-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh telah menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh

Acheh sebelum pertengahan abad ke 19 dan juga pernah mengajar agama Islam kepada

masyarakat tempatan. Selapas kematian Sheikh Omar Basheer, anaknya Sheikh Zakaria

telah mengambil-alih tugasnya sebagai pemimpin agama di kawasan tersebut. Sheikh

kemudiannya telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama. Pada 1888,

abangnya Sheikh Yahya telah dilantik sebagai Kadi Pulau Pinang yang pertama yang

mana beliau telah menjadikan rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh sebagai pejabat

kadinya. Kemudian pada 1917, Sheikh Zakaria menjadikan rumah kediamannya sebagai

Madrasah Al-Quran.

Gambar menunjukkan Masjid Melayu Lebuh Acheh masa kini.

-10-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Gambar menunjukkan seni bina Masjid Melayu Lebuh Acheh.

Warisan Seni Bina

Selain daripada aspek sejarah dan latar belakangnya yang menarik, perkampungan

Masjid Melayu Lebuh Acheh mempunyai warisan seni bina yang unik. Masjid Melayu

Lebuh Acheh yang dilengkapi dengan menara bersegi lapan, kolah wudhuk, tandas,

perigi, anjung (verandah) dan kawasan makam yang mencerminkan gabungan pengaruh

seni bina Moorish (seni bina yang berasal dari utara India), Cina dan Klasikal. Gaya dan

rekabentuk seni bina ini boleh dilihat pada arca atau gerbang di pintu masuk, kubah kecil

-11-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

di atas tembok bumbung (parapet), ukiran bertanduk di tetulang (roof ridges) bumbung

utama yang berbentuk Bumbung Lima, tingkap dan pintu kayu yang dilengkapi dengan

ukiran tembus kerawang di bahagian atas (fanlights), tiang klasikal, ukiran lepa (plaster

rendering) yang menarik di bahagian mehrab dan atas dinding, serta menara yang

berbentuk seakan pagoda Cina.

Manakala seni bina kebanyakan rumah kediaman di perkampungan Masjid Melayu

Lebuh Acheh mencerminkan rumah kayu tradisional Melayu yang berelemenkan tingkap

ram, tangga di pintu masuk utama, pintu berdaun dan ukiran tembus kerawang. Terdapat

juga beberapa buah rumah yang bercirikan rumah tradisional bandar yang menggunakan

bahan batu-bata di tingkat bawah dan kayu di tingkat atas.

Gambar menunjukkan menara Masjid Melayu Lebuh Acheh berbentuk segi lapan.

-12-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Selain daripada masjid dan rumah kediaman tradisional, deratan rumah kedai di Lebuh

Acheh juga mempunyai rekabentuk seni bina yang menarik. Terdapat 3 jenis rekabentuk

rumah kedai di sini iaitu :

i) Rekabentuk Tradisional

Rumah kedai yang mempunyai rekabentuk tradisional atau early permanent boleh

dilihat di rumah kedai beralamat No.77, 79 dan 81, Lebuh Acheh. Rumah kedai

ini tidak mempunyai lorong kaki lima di tingkat bawah manakala di tingkat atasnya

terdapat tingkap kayu berdaun.

ii) Rekabentuk Klasikal

Rumah kedai yang beralamat di No.83, 85 dan 87, Lebuh Acheh. Terdapat

pengaruh rekabentuk klasikal di fasad hadapan rumah kedai seperti tiang

Corinthian di tingkat bawah, pilaster, arca dan ukiran lepa di tingkat atas disamping

tingkap kayu dan kaca. Lorong kaki lima pula ada terdapat di rumah kedai jenis ini.

iii) Rekabentuk Straits Eclectic

Rumah kedai yang beralamat di No.47, 49, 51, 53, 53a dan 55, Lebuh Acheh.

Rekabentuk ini mempunyai ciri-ciri seni bina seperti lorong kaki lima, tiang

penyokong, dinding penghalang (party walls), tingkap kayu dan pengalir udara (air

wells).

-13-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Pemuliharaan Warisan

Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh yang suatu ketika dahulu begitu terkenal

dengan aktiviti-aktiviti keagamaan, perdagangan dan urusan hajinya kini hanya

mengekalkan aktiviti perniagaan dan percetakan buku-buku agama Islam termasuk Al-

Quran dan muqaddam. Begitu juga dengan fungsi masjid yang masih kekal sehingga kini.

Keadaan masjid yang sering dibocori hujan dan kawasan persekitarannya yang tidak

terurus sebelum ini telah menjadikan perkampungan ini sebagai tumpuan pelbagai pihak

untuk menjaga dan memulihara keadaan bangunan dan persekitarannya demi kepentingan

masyarakat dan warisan Pulau Pinang amnya.

Pada tahun 1995, sebanyak RM 2.2 juta telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan bagi

kerja-kerja pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh. Projek pemuliharaan masjid ini

telah mengambil masa selama 2 tahun yang bermula pada Jun 1995 dan berakhir pada

Jun 1997. Projek ini telah diletakkan di bawah penyelarasan sebuah Jawatankuasa

Pemandu Projek yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk :-

 Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pulau Pinang

 Majlis Agama Islam Pulau Pinang

 Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang

 Jabatan Muzium dan Antikuiti

 Universiti Sains Malaysia

 Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang

 Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh

-14-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Lampiran Gambar-Gambar Pemuliharaan

Gambar menunjukkan kerja-kerja pemuliharaan masjid sedang dijalankan.

Gambar menunjukkan kerja-kerja pemuliharaan masjid hampir siap.

-15-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Gambar menunjukkan kerja-kerja pemuliharaan masjid yang telah siap sepenuhnya.

Kerja-kerja pemuliharaan perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah

dijalankan dalam 2 fasa. Tujuan utama kerja-kerja pemuliharaan ini ialah untuk

memelihara dan membaiki warisan seni bina masjid tanpa memnjejaskan bentuk

mahupun keadaan asalnya. Sebelum kerja-kerja pemuliharaan dijalankan, keadaan masjid

dan persekitarannya telah direkodkan bagi tujuan dokumentasi. Struktur bangunan,

bumbung, siling dan system saliran air hujan telah dikaji dan dianalisis bagi

mengenalpasti punca masalah dan anggaran kos keseluruhan projek.

-16-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Fasa I

Melibatkan kerja-kerja pengantian bumbung masjid dan makam.

Antara kerja-kerja pemuliharaan yang terlibat adalah seperti berikut :-

 Membuka dan memindah bumbung sediada termasuk kepingan asbestos dan

bumbung logam. Kain kanvas telah disediakan untuk menutupi keseluruhan

bumbung yang telah dibuka agar tidak dimasuki air hujan.

 Mengenalpasti dan menggantikan sebarang struktur bumbung yang rosak seperti

keadaan rapuh atau dimakan anai-anai.

 Memasang bumbung genting tanah liat (roof clay tiles) dan system saliran air

hujan.

 Membaiki dan mengecat siling.

Fasa II

Melibatkan kerja-kerja pemuliharaan bangunan masjid termasuk siling, dinding, tiang,

pintu, tingkap, bilik air, kolam wudhuk, menara dan mimbar.

Antara kerja-kerja pemuliharaan yang terlibat adalah seperti berikut :-

 Mencuci sebarang kotoran dan lumut di permukaan dinding masjid dan menara.

 Membaiki dan mengganti mana-man bahagian tingkap dan pintu yang rosak.

 Membaiki tempat wudhuk, anjung, perigi dan membina tandas baru.

 Mengikis cat lama di permukaan dinding dan tiang masjid, menara dan mimbar.

 Melepa semula bahagian dinding dan tiang yang rosak.

 Mengecat masjid dan menara berdasarkan warna-warna asal iaitu kuning langsat,

biru muda, hijau dan putih.

-17-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Seramai 86 orang pekerja tempatan dan asing telah terlibat secara berperingkat dalam

kerja-kerja pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh termasuk 11 orang bagi membaiki

bumbung, 2 orang memasang siling, 11 orang mengecat, 22 orang memecah dan melepa

dinding, 8 orang mengukir lepaan bunga dan kepala tiang, 9 orang membina tandas baru,

6 orang memasang jubin lantai, 8 orang membaikpulih menara dan 9 orang kontraktor

binaan. Projek ini juga melibatkan 2 orang pakar pemuliharaan dari Perancis yang telah

membantu memberi nasihat dan tunjuk ajar mengenai kaedah dan teknik menjalankan

kerja-kerja pemuliharaan. Ini adalah penting kerana pendekatan bagi menjalankan kerja-

kerja pemuliharaan amat berbeza jika dibandingkan dengan kerja-kerja membina

bangunan moden.

Kerja-kerja pemuliharaan melibatkan kaedah dan teknik tertentu yang memerlukan

tahap kepakaran, pengalaman dan ketekunan yang tinggi. Oleh yang demikian, beberapa

siri perbincangan teknikal dan latihan kemahiran sering diadakan di kawasan tapak di

antara pakar pemuliharaan Perancis dengan pasukan kerja projek termasuk pengurus

projek, arkitek, jurutera dan pihak kontraktor. Selain daripada itu, beberapa perjumpaan

di antara pasukan kerja projek dengan penduduk tempatan, pihak Badan Warisan Masjid

Melayu Lebuh Acheh dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang kerap diadakan bagi

membincangkan perkembangan dan isu-isu yang melibatkan kepentingan masyarakat

setempat seperti pengurusan masjid, impak sosial dan ekonomi.

Projek pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh merupakan suatu projek perintis

baikpulih kawasan sejarah di Georgetown, Pulau Pinang. Semasa kerja-kerja

pemuliharaan dilaksanakan, Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi tumpuan ramai

-18-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

pelawat dari dalam dan luar negera. Antara pelawat yang berkunjung ke Masjid Melayu

Lebuh Acheh semasa kerja-kerja pemuliharaan dijalankan termasuk :-

 Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Menteri Pulau Pinang

 Tan Sri Dato’ Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara

 Dato’ Tengku Alaudin Tengku Abd. Majid, Timbalan Ketua Setiausaha,

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan

 Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden Badan Warisan Malaysia

 Dato’ Kee Phaik Cheen, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan,

Kesenian dan Hal Ehwal Wanita Pulau Pinang

 Haerve De Charatte, Menteri Luar Perancis

 Edouard Braine, Duta Perancis ke Malaysia

 Profesor Dr. Syamsuddin Mahmud, Gabenor Acheh, Sumatera, Indonesia

 Wayne Mathews, Menteri Kerja Raya Australia Selatan.

Projek pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah mendapat liputan yang agak

meluas di dalam media masa tempatan kerana ia merupakan satu projek rujukan kepada

banyak pihak khususnya di Pulau Pinang. Walaupun projek ini telah mengharungi

pelbagai masalah termasuk masalah teknikal dan sosial, pihak pasukan kerja projek

termasuk kontraktor, pengurus projek, arkitek, jurutera dan pakar pemuliharaan Perancis

telah berjaya mengatasinya dengan semangat persefahaman dan bekerjasama yang tinggi.

Banyak pengalaman dan pengetahuan baru telah ditimba oleh mereka.

Dengan terlaksananya projek pemuliharaan masjid ini, maka adalah diharapkan agar

kesemua bangunan yang terdapat di perkampung Masjid Melayu Lebuh Acheh ini dapat

-19-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

dipulihara dengan baik sekaligus mengembalikan imej dan suasana kegemilangannya

suatu ketika dahulu. Projek ini sekurang-kurangnya telah dapat mencetuskan sikap

keprihatinan pihak awam amnya dan masyarakat tempatan di Pulau Pinang khasnya

terhadap penjagaan dan pemuliharaan bangunan dan kelangsungan khazanah warisan

negara.

-20-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Rumusan

Fenomena pemuliharaan bangunan dan monumen adalah suatu yang baru dan

mungkin asing bagi sesetengah masyarakat Malaysia dewasa ini. Walaubagaimanapun,

segala usaha-usaha pemuliharaan bangunan dan monumen lama yang dilakukan oleh

pihak-pihak penguasa tempatan, Jabatan Muzium dan badan-badan warisan patut diberi

sokongan yang padu. Ini adalah kerana pemuliharaan bangunan dan monumen lama dapat

dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara melaui aspek-aspek kebudayaan, pelancongan

dan pendidikan.

Sehubungan itu, segala program pendidikan dan promosi pelancongan negara

merupakan pendekatan yang amat penting ke arah meningkatkan lagi tahap kefahaman

dan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap pemuliharaan bangunan dan monumen

lama di dalam aspek mengenal warisan tinggalan bangsa supaya dapat dikekalkan.

Selain daripada itu, ia amat penting di dalam pembentukan minda generasi muda

terutamanya kearah penghayatan warisan khazanah negara. Diharap, generasi muda akan

lebih menghargai dan peka kepada perkembangan sejarah negara. Ini akan membentuk

sebuah masyarakat yang sensitif dan mempunyai semangat cintakan negara. Di samping

itu, penting untuk generasi masa kini menyedari bahawa bangunan bersejarah ini

mempunyai nilai yang tinggi. Semoga ia dapat membuatkan mereka berusaha untuk

memelihara bangunan ini supaya kekal sepanjang zaman.

-21-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Rujukan

INTERNET : 1. http//ms.wikipedia.org

2. My Metro

BUKU ILMIAH : The Architectural Heritage Of The Malay World

(The Traditional Mosque)

SUMBER LAIN : Majalah – Heritage Asia

-22-
MASJID MELAYU LEBUH ACHEH

Bagaimanakah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah dapat


memupuk semangat warisan bangsa dalam kalangan rakyat Malaysia ?

Dari segi definisinya, pemuliharaan bangunan bersejarah bererti memelihara dan

membaiki harta dan warisan lama yang mempunyai nilai-nilai seni bina dan sejarah

melalui kerja-kerja penyenggaraan dan pembaharuan. Proses ini bertujuan untuk

melanjutkan usia atau keadaan sesebuah bangunan lama, monumen atau sebarang harta

warisan negara.

Pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah patut diberi penekanan yang

khusus oleh berbagai pihak kerajaan dan agensi swasta termasuk penguasa tempatan,

Jabatan Muzium, Arkib Negara, agensi pelancongan dan pemaju agar kepentingannya

dapat dimanafaatkan oleh orang ramai khususnya rakyat Malaysia serta berbangga

dengan sejarah negara.

Pemuliharaan bangunan bersejarah amat penting di dalam pembentukan minda

generasi muda negara terutamanya kearah penghayatan warisan dan khazanah negara.

Bangunan bersejarah merupakan aset negara yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu

generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan ini, generasi muda akan lebih

menghargai dan peka kepada perkembangan sejarah negara. Ini akan membentuk sebuah

masyarakat yang sensitif terhadap mempertahankan dan menjaga maruah bangsa dan

negara.

Selain daripada itu, bangunan bersejarah juga boleh memainkan peranan yang penting

di dalam pendidikan masyarakat Malaysia khususnya para pelajar dan penyelidik.

Berbagai ilmu yang boleh dipelajari dari memahami dan mengkaji bangunan bersejarah

agar kesinambungan warisan negara dapat dikekalkan.

-23-

You might also like