You are on page 1of 12

PEMBANGUNAN PUSAT SEHENTI INOVASI (ONE-STOP

INNOVATION CENTER-OSIC) SEBAGAI HUB-LITERASI


PENDIDIKAN DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS BAHASA MELAYU

Norfadhilah Nasrudin, Phd1, Roslina Suratnu, Phd2, Mohd Afifi Bahurudin Setambah,
Phd3 & Haslinda Mohamad Saad4
1234
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap keperluan membangunkan Pusat Sehenti Inovasi
(OSIC)) sebagai Hub-Literasi Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
(IPGKBM). Seramai 274 orang dalam kalangan pelajar dan pensyarah IPGKBM telah dipilih
sebagai sampel kajian. Dapatan kajian menunjukkan 98.5% responden telah bersetuju bahawa
OSIC perlu dibangunkan. Empat peranan utama OSIC telah dapat dikenal pasti, iaitu sebagai
pusat penyimpanan BBM, sebagai pusat perkongsian ilmu, sebagai pusat penyimpanan produk
inovasi, sebagai pusat penataran atau penyebarluasan inovasi. Antara produk yang diperlukan
oleh pelajar di OSIC ialah bahan pengajaran dan pembelajaran, sistem dan prosedur, kaedah
dan cara bekerja, dasar dan polisi, serta produk inovasi teknologi. Secara keseluruhan tiga
bentuk utama bahan yang diperlukan oleh pelajar ialah bahan maujud, manual penggunaan
dan bahan multimedia. Peningkatan kecekapan pengurusan inovasi, peningkatan kualiti
penyebarluasan dan perkongsian ilmu, peningkatan penghasilan produk inovasi, peningkatan
kesedaran warga IPGKBM dan komuniti sekitar terhadap keperluan inovasi, pencetus idea
yang kreatif dan inovatif dalam kalangan warga IPKBM dan komuniti sekitar, peningkatan
kualiti dan produktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran serta penggalak budaya
penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga IPGKBM merupakan keberkesanan yang
menjadi aspirasi pusat sehenti yang bakal diwujudkan dalam sistem pendidikan bagi
merealisasikan dasar pendidikan nasional.

Kata kunci: budaya inovasi, produk inovasi, kreatif dan inovatif.

Pengenalan
Kesedaran tentang kepentingan pemikiran kreatif dalam kurikulum sekolah di Malaysia telah
wujud sejak tahun 1980-an lagi. Penerapan elemen kreativiti dan inovasi dalam kurikulum
persekolahan pemikiran kreatif telah disebatikan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) melalui aspek Kemahiran
Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK). Seterusnya dipertingkatkan lagi menerusi
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM) melalui penggunaan Model Kreativiti Terarah dan penyediaan soalan peperiksaan
mengikut Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) (Chew & Ahmad Rizal, 2016).

Malah menjelang tahun 2017, KSSR dan KBSM telah disemak semula bagi mengimbangi set
ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya pemikiran kreatif, inovatif penyelesaian masalah
serta kepimpinan. Kurikulum akan lebih berpusatkan murid dan penekanan lebih kepada
penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek dan pentaksiran sepenuhnya menjurus kepada
bentuk KBAT bagi menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan mampu mengaplikasikan
pengetahuan dalam situasi yang berbeza (KPM, 2013). Kesemua ini adalah usaha untuk
melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran kreatif dan inovatif.

Ini diakui oleh ramai pengkaji bahawa institusi pendidikan merupakan tempat terpenting untuk
menyuburkan bakat dan kebolehan kreatif pelajar (Mohd Azhar, 2005; Cropley, 2001; Buzan,
2002; Amabile & Hennessey,1992). Institusi sekolah merupakan tempat untuk memupuk alam
kreativiti dalam kalangan kanak-kanak semenjak zaman prasekolah lagi (Amabile &
Hennessey,1992). Manakala universiti pula adalah persekitaran yang amat signifikan bagi
merealisasikan bakat dan kemahiran kreativiti mahasiswa (Cropley, 2001). Namun, persekitaran
yang kondusif dan pendidik yang berpengetahuan serta berkemahiran kreatif dalam pengajaran
dan pembelajaran penting untuk menggalakkan pelajar berkreativiti. Begitu juga faktor ilmu
pengetahuan, gaya berfikir, personaliti dan motivasi sangat mempengaruhi kreativiti pelajar
(Yahaya & Noor Sharliana, 2011). Strategi pengajaran dan pembelajaran yang memberi
tumpuan kepada cara penyampaian pemikiran kreatif dan kritis bermula daripada
perancangannya lagi perlu dititikberatkan bagi mengembangkan budaya kreatif dan inovatif
dalam kalangan pelajar.

Oleh itu, kajian ini merupakan satu kajian keperluan untuk meninjau tahap keperluan
membangunkan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC) sebagai Hub-Literasi Pendidikan di Institut
Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM).

Latar Belakang Kajian

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) secara khususnya telah diberi
mandat untuk memartabatkan pendidikan Bahasa Melayu (BM) melalui Pelan Hala Tuju
Pendidikan Bahasa Melayu bagi tempoh 2016 hingga 2025. Dasar Memartabatkan Bahasa
Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) telah diperkenalkan sejak tahun 2010.
Antara elemen yang diberi penekanan oleh dasar ini ialah pemartabatan BM. Perkara ini dapat
dicapai melalui misi meningkatkan kualiti guru itu sendiri (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2010). Rentetan itu, IPGKBM telah diinstitusikan untuk menerajui khazanah ilmu BM melalui
penyelidikan dan inovasi.

Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk membudayakan inovasi dalam kalangan guru-guru
pelatih, pensyarah dan pihak pengurusan IPGKBM. Bermula dari tahun 2016 sehingga
sekarang, beberapa siri bengkel pembangunan bahan inovasi telah dianjurkan untuk memberi
pendedahan kepada mereka. Beberapa orang pakar inovasi dalam kalangan pensyarah dari
IPGK yang berhampiran telah dijemput untuk bersama-sama mengendalikan bengkel-bengkel
ini. Hasilnya, inovasi telah mula menjadi budaya dalam kalangan warga IPGKBM terutama
guru pelatih. Selain dipertandingkan di peringkat dalaman, hasil inovasi guru pelatih ini turut
dipertandingkan ke peringkat zon, kebangsaan dan antarabangsa. Kini, IPGKBM mula
mengorak langkah untuk mengumpulkan semua hasil inovasi guru pelatih ini seterusnya
merancang untuk membuat penyebarluasan dan pengkormesialan bahan-bahan inovasi tersebut.
Bagi memenuhi tujuan tersebut, Pusat Sehenti Inovasi (OSIC) telah dicadangkan untuk
dibangunkan sebagai Hub-Literasi Pendidikan di IPGKBM.

Oleh itu, hasil kajian ini diharapkan dapat menentukan sejauh mana keperluan kepada
pembangunan OSIC sebagai Hub-Literasi Pendidikan di IPGKBM. Pembangunan OSIC ini
juga diharapkan dapat meningkatkan lagi kualiti dan profesionalisme guru BM.
Objektif Kajian

Kajian ini mempunyai empat objektif utama, iaitu:


1. Mengenal pasti tahap keperluan pembangunan Pusat Sehenti Inovasi.
2. Menyenaraikan peranan Pusat Sehenti Inovasi.
3. Meninjau produk inovasi dan bentuk-bentuk produk inovasi yang perlu ada di Pusat
Sehenti Inovasi.
4. Mengenal pasti keberkesanan Pusat Sehenti Inovasi di IPGKBM, jika diwujudkan.

Persoalan Kajian

Kajian ini dilaksanakan bagi menjawab persoalan kajian berikut:


1. Apakah tahap keperluan Pusat Sehenti Inovasi?
2. Apakah peranan Pusat Sehenti Inovasi?
3. Apakah produk inovasi yang perlu ada di Pusat Sehenti Inovasi?
4. Apakah bentuk-bentuk produk inovasi yang perlu ada di Pusat Sehenti Inovasi?
5. Apakah pandangan sampel tentang keberkesanan Pusat Sehenti Inovasi di IPGKBM,
sekiranya diwujudkan?

Kerangka Konsep Kajian

Tahap
Keperluan
Pusat Sehenti
Inovasi

Pelajar Peranan Tahap


Pensyarah Produk Keberkesanan
Bentuk

Rajah 1: Kerangka Konsep Kajian

Kajian ini ialah kajian tinjauan keperluan membangunkan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC) di
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM). Witkin (1997) menyatakan
bahawa analisis keperluan merupakan suatu kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti
jurang antara kemajuan keadaan semasa dengan sasaran. Mc Killip (1997) pula berpendapat
bahawa analisis keperluan merupakan suatu usaha untuk menilai sesebuah kumpulan tertentu
yang menghadapi masalah dan perlu kepada penyelesaian. Maka, kerangka konsep kajian telah
dibina berdasarkan objektif kajian (Rajah 1).
Terdapat tiga konstruk utama, iaitu konstruk sampel kajian, konstruk tahap keperluan pusat
sehenti inovasi dan konstruk tahap keberkesanan. Konstruk sampel kajian merujuk kepada
pembolehubah bebas terdiri daripada pelajar dan pensyarah yang dikaji. Manakala, konstruk
tahap keperluan mewujudkan pusat sehenti inovasi merujuk kepada peranannya, jenis produk
inovasi dan bentuk-bentuk inovasi yang perlu ada di pusat sehenti tersebut. Selanjutnya,
konstruk tahap keberkesanan merujuk kepada persepsi sampel kajian terhadap keberkesanan
pusat sehenti inovasi, sekiranya diwujudkan, terhadap sistem latihan dan pendidikan di
IPGKBM.

Literatur Kajian

Kreativiti merupakan suatu kebolehan berfikir dan bertindak yang tidak berasaskan logik biasa
kerana logik bersifat penilaian (judgemental). Tetapi itu tidak bermakna kreativiti tidak
memerlukan pemikiran kreatiff dan analitis. Kreativiti tahap tinggi amat memerlukan pemikiran
logik-kritis kerana idea yang asli belum tentu boleh berjaya jika ia dipasarkan (Mohd Azhar,
2004). Secara umumnya, kreativiti merujuk kepada proses pemikiran yang mendorong kepada
penghasilan idea yang berguna sama ada oleh individu mahupun secara berkumpulan. Kreativiti
juga melibatkan proses keseluruhan yang mana idea dihasilkan, dibangunkan dan diubah
menjadi nilai. Ia menggabungkan inovasi dan keusahawanan. Ia juga melibatkan penggabungan
antara seni dalam melahirkan idea baharu dan juga disiplin dalam membentuk dan
membangunkan idea tersebut kepada sesuatu yang bernilai.

Kreativiti juga ditafsirkan sebagai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan


sesuatu idea baharu dan asli. Manakala inovasi pula adalah sesuatu yang baharu diperkenalkan
seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baharu (Kamus Dewan Edisi keempat, 2005).
Kreativiti lebih kepada membabitkan pemikiran, idea dan gagasan baharu. Manakala inovasi
pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea yang sedia ada
sehingga memberi nilai tambah baharu yang boleh diguna pakai dan dimanfaatkan serta boleh
dijadikan sebagai produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan (Zaini, 2010).

Inovasi perlu bagi menghasilkan sesuatu produk baharu yang lebih baik di samping produk dan
perkhidmatan yang sedia ada. Inovasi adalah perubahan cara berfikir untuk mendapatkan hasil
yang lebih baik dari semasa ke semasa. Ia meliputi pelbagai bidang termasuk bidang pengajaran
dan pembelajaran, teknologi, sistem, prosedur kerja, kaedah bekerja, dasar dan polisi. Inovasi
bukan terhad untuk golongan profesional, namun lebih meluas sehingga ke masyarakat pelbagai
taraf sosial sama ada di bandar mahupun di pendalaman. Inovasi berupaya meningkatkan kualiti
hidup masyarakat, mampu mempercepatkan proses dan sistem. Inovasi juga boleh
mempermudahkan pemahaman serta menambahkan keselesaan seseorang. Malah inovasi juga
boleh menjana pendapatan.

Inovasi perlu menjadi budaya, iaitu kesediaan untuk berubah dan mencuba perkara yang baharu
dalam semua aspek kehidupan dengan tujuan untuk mencapai kemakmuran, kedamaian,
kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian melalui penyelesaian secara kreatif. Pengamalan
budaya inovasi yang tinggi mampu menjamin kejayaan sesebuah organisasi. Penyelidikan,
program pembangunan serta penglibatan semua pihak penting bagi memastikan sesebuah
organisasi dapat terus berinovasi dan bersaing dalam dunia global ini. Pengalaman kejayaan
menghasilkan inovasi perlu dijadikan contoh dan model sandaran sebagai satu platform untuk
menggalakkan lagi budaya berinovasi.
Persekitaran dan budaya kerja di dalam organisasi seharusnya mendorong menyemarakkan
budaya inovasi dan kreativiti. Ia perlu bermula daripada pucuk pimpinan atasan (Roffe, 1999;
Rhoades & Eisenberger 2002). Galakan dan sokongan yang padu daripada pihak pentadbir pasti
akan menyuburkan lagi budaya inovasi sesebuah organisasi. Pembudayaan inovasi dan kreativiti
ini tidak terhad kepada sesuatu kelompok masyarakat sahaja, sebaliknya ia perlu difahami dan
diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing
(Zaini, 2010). Hasil-hasil inovasi pula perlu disebarluaskan agar manfaatnya boleh dikongsi
bersama. Pengkormesialan hasil-hasil inovasi di negara ini sepautnya ditingkatkan setanding
dengan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Finland, Jerman, Britain dan Jepun (Teece,
2010; Temel, Mention & Torkkeli, 2013; Zuraidah & Shamsuri, 2014).
Dunia kini telah memasuki fasa baru yang lebih mencabar, iaitu fasa keempat (4.0) revolusi
perindustrian. Revolusi Industri 4.0 akan berdasarkan kepada sembilan tonggak; robot automasi,
simulasi, integrasi sistem, Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan,
pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar serta integrasi sistem
menegak dan melintang. Melalui revolusi keempat inilah munculnya teknologi ‘cyber-physical’
seperti ‘robotics’ dan ‘artificial intelligence’. Salah satu faktor penting untuk organisasi
bertahan dan berjaya dalam persekitaran sedemikian adalah melalui inovasi. Ini kerana Inovasi
merupakan hasil daripada pemikiran kreatif, menjadi penanda aras yang menuntut kepada
keupayaan penciptaan produk yang bersifat baharu, unik dan bermanfaat.

Bagi menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 ini maka literasi kreativiti dan inovasi
perlu diperhebatkan dalam kalangan warga pendidik agar mereka menjadi lebih kreatif dan
berinovatif pada masa hadapan. Warga pendidik seharusnya lebih berdaya usaha, kompeten,
fleksibel dan berpengetahuan serta menguasai keperluan-keperluan baharu dalam dunia
kepintaran buatan, siber fizikal dan robotik. Tanpa berbekalkan kemahiran, pengetahuan dan
sikap seperti mana keperluan dalam Revolusi Industri 4.0 agak sukar warga pendidik untuk
menghasilkan idea dan inovasi baharu sesuai dengan kehendak stakeholders (Mohd Azhar et
al., 2017).

Justeru, kewujudan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC) sebagai Hub-Literasi Pendidikan mampu
memberi manfaat kepada individu, organisasi atau masyarakat. Tujuan utama inovasi harus
lebih jauh untuk membantu mewujudkan masa depan cemerlang dan gemilang yang mana
masyarakat dapat menikmati kualiti lebih baik pada masa hadapan. Oleh itu, IPGKBM perlu
memantapkan keberkesanan dan kecekapan sistem inovasi untuk terus bergerak pantas sebagai
Pusat Kecemerlangan Bahasa. Pemantapan ini termasuklah menjadikan IPGKBM sebagai Pusat
Rujukan dan Pembangunan Inovasi. Melalui OSIC, IPGKBM akan membuat perkongsian ilmu
berkaitan inovasi terhadap warga setempat termasuk menjadi pusat penandarasan,
penyebarluasan dan pengkormesial hasil-hasil inovasi.

Metodologi Kajian

Kajian ini bertujuan meneroka tahap keperluan pembangunan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)
sebagai Hub-Literasi Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu.
Berdasarkan tujuan kajian tersebut, maka reka bentuk kajian tinjauan telah dipilih. Reka bentuk
ini bertepatan dengan tujuan kajian, iaitu meneroka atau meninjau sesuatu elemen (Chua, 2006).
Kajian ini merupakan satu kajian deskriptif dengan mengumpulkan data kuantitatif melalui soal
selidik menggunakan skala Likert, lima poin. Semua data dikumpulkan menggunakan google
form secara dalam talian (online).
Populasi Kajian

Menurut Krejcie dan Morgan (1970), bilangan sampel ditentukan berasaskan bilangan populasi.
Maka penyelidik mampu menentukan bilangan sampel yang sesuai. Perkara ini penting agar
dapatan dapat digeneralisasikan kepada seluruh populasi kajian, iaitu warga kampus. Populasi
kajian meliputi kesemua pelajar semester 5 dan semester 7 serta pensyarah (N=605). Seramai
274 warga kampus telah dipilih daripada populasi tersebut sebagai sampel kajian. Bilangan ini
telah memadai untuk tujuan generalisasi kerana telah mencapai tahap ketepuan bilangan sampel
(Krejcie & Morgan, 1970). Bagi kajian ini, penyelidik telah menggunakan teknik persampelan
bertujuan kerana penyelidik hanya ingin mencapai objektif kajian dan menjawab persoalan
kajian yang dibina.

Kajian Rintis

Soal selidik telah ditadbir secara dalam talian dengan menggunakan google form bagi
mendapatkan data kajian rintis. Analisis rintis dilaksanakan terhadap 41 orang sampel kajian
untuk mendapatkan kebolehpercayaan instrumen yang bakal digunakan dalam kajian sebenar.
Nilai alpha cronbach (α) bagi keseluruhan soal selidik adalah tinggi (α = 0.98). Secara
keseluruhan, instrumen yang digunakan dalam kajian rintis menunjukkan pekali
kebolehpercayaan (Cronbach Alpha) yang tinggi dan boleh diterima (Pallant, 2016).

Dapatan Kajian

Dapatan kajian menunjukkan majoriti sampel kajian (n=274) adalah terdiri daripada lelaki
(26%) dan perempuan (74%). Kebanyakan sampel kajian pernah (60%) melaksanakan inovasi.
Malah, sampel kajian pernah memenangi anugerah sama ada di peringkat kampus (28.5%),
peringkat kebangsaan (10.1%) dan peringkat antarabangsa (12%). Namun, seramai 49.4 peratus
tidak pernah melaksanakan inovasi (Jadual 1).

Jadual 1: Profil Sampel Kajian

Jantina: Peratus (%)

Lelaki 26
Perempuan 74

Pernah melaksanakan inovasi:


Ya 60
Tidak 40

Peringkat Anugerah Dicapai:


Kampus 28.5
Kebangsaan 10.1
Antarabangsa 12.0
Tidak pernah 49.4

Persoalan Kajian 1: Apakah tahap keperluan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)?

Berdasarkan Jadual 2, majoriti sampel kajian (98.5%) menyatakan tahap persetujuan yang
sangat tinggi terhadap perlunya mewujudkan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC) di IPGKBM.

Jadual 2: Tahap Keperluan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)

Tahap Persetujuan Peratus (%)

Ya 98.5
Tidak 34.7

Persoalan Kajian 2: Apakah peranan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)?

Sampel kajian diminta untuk menyatakan tahap persetujuan terhadap peranan pusat sehenti
inovasi yang akan diwujudkan. Kesemua sampel kajian menyatakan tahap persetujuan yang
sangat tinggi terhadap sepuluh item peranan yang dikaji (98.2-99.7%). Peranan tertinggi dalam
pilihan sampel kajian adalah terhadap peranan pusat sehenti inovasi sebagai pusat pengumpulan
bahan bantu mengajar (99.7%). Manakala, peranan terendah antara pilihan peranan adalah pada
item pusat sehenti inovasi sebagai pusat penandaarasan (98.2%). Lain-lain peranan yang
dipersetujui termasuklah berperanan sebagai pusat penyimpanan BBM (99.6%), pusat
perkongsian ilmu (99.6%), pusat penyimpanan produk inovasi (99.3%), pusat penataran atau
penyebarluasan (99.3%), sebagai mercu tanda pusat kecemerlangan IPGKBM (99.2%), pusat
pengkomersialan produk inovasi (98.9%), pusat rujukan inovasi (98.9%), dan sebagai pusat
penandarasan (98.2%).

Jadual 3: Peranan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)

Peranan Peratus (%)

Pusat penyimpanan produk inovasi 99.3


Pusat pengumpulan BBM 99.7
Pusat pembangunan inovasi 98.5
Pusat rujukan inovasi 98.9
Pusat perkongsian ilmu 99.6
Pusat penandaarasan 98.2
Pusat penataran/penyebarluasan 99.3
Pusat penyimpanan BBM 99.6
Pusat pengkomersialan produk inovasi 98.9
Mercu tanda pusat kecemerlangan IPGK 99.2

Persoalan Kajian 3: Apakah produk inovasi yang perlu ada di pusat sehenti?

Bagi menjawab persoalan kajian 3, sampel kajian menyatakan tahap persetujuan yang sangat
tinggi terhadap produk inovasi yang perlu ada di pusat sehenti (Jadual 4). Antara respon sampel
kajian adalah produk bahan pengajaran dan pembelajaran (99.6%), sistem dan prosedur
(98.9%), kaedah dan cara bekerja (98.9%), dasar dan polisi (98.9%) serta produk inovasi
teknologi (98.5%).

Jadual 4: Produk Inovasi Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)

Produk Peratus (%)

Bahan PdP 99.6


Teknologi 98.5
Sistem dan prosedur 98.9
Kaedah dan cara bekerja 98.9
Dasar dan polisi 98.9

Persoalan Kajian 4: Apakah bentuk-bentuk produk inovasi yang perlu ada di Pusat
Sehenti Inovasi (OSIC)?

Jadual 5 menunjukkan dapatan kajian tentang bentuk-bentuk produk inovasi yang perlu ada di
pusat sehenti inovasi. Kesemua sampel kajian menyatakan tahap persetujuan yang tinggi (98.2-
98.9%). Bentuk-bentuk inovasi yang diperlukan termasuklah bahan maujud (98.9%), manual
penggunaan (98.9%), multimedia (98.5%), laporan inovasi (98.5%) dan slaid pembentangan
(98.2%).

Jadual 5: Bentuk-bentuk Produk Inovasi Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)

Bentuk-bentuk Produk Peratus (%)

Bahan maujud 98.9


Manual penggunaan 98.9
Laporan inovasi 98.5
Slaid pembentangan 98.2
Multimedia 98.5
Persoalan Kajian 5: Apakah pandangan sampel tentang keberkesanan Pusat Sehenti
Inovasi (OSIC) di IPGKBM, sekiranya diwujudkan?

Bagi menjawab persoalan kajian 5, Jadual 6 mempamerkan dapatan keberkesanan pusat sehenti
inovasi, sekiranya diwujudkan di IGKBM. Sampel kajian menyatakan tahap persetujuan yang
sangat tinggi (98.2 - 99.6%). Antara keberkesanan yang dipersetujui adalah membantu
meningkatkan kecekapan pengurusan inovasi (99.6%), meningkatkan kualiti penyebarluasan
dan perkongsian ilmu (99.3%), meningkatkan penghasilan produk inovasi dalam kalangan
warga IPGKBM (99.3%), meningkatkan kesedaran warga IPGKBM dan komuniti sekitar
terhadap keperluan inovasi (99.3%), mencetuskan idea yang kreatif dan inovatif dalam kalangan
warga IPKBM dan komuniti sekitar (99.3%), meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam
pengajaran dan pembelajaran (99.3%), menggalakkan budaya penyelidikan dan inovasi
(99.3%), meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem pendidikan (98.9%),
menggalakkan daya pengkomersilan melalui pengurangan kos (98.5%), memberikan solusi
masalah pendidikan (98.5%) dan meningkatkan keberkesanan urusan pengendalian produk
inovasi (98.2%).

Jadual 6: Keberkesanan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC)

Item Peratus (%)


Kecekapan dalam pengurusan inovasi 99.6
Kualiti penyebarluasan dan perkongsian 99.3
ilmu
Peningkatan penghasilan produk inovasi 99.3
dalam kalangan warga IPGKBM
Kesedaran warga IPGKBM dan komuniti 99.3
sekitar terhadap keperluan inovasi
Cetusan idea yang kreatif dan inovatif dalam 99.3
kalangan warga IPKBM dan komuniti
sekitar
Kualiti dan produktiviti dalam pengajaran 99.3
dan pembelajaran
Budaya penyelidikan dan inovasi 99.3
Kecekapan dan keberkesanan sistem 98.9
Pendidikan
Daya pengkomersialan melalui pengurangan 98.5
kos
Solusi masalah pendidikan 98.5
Keberkesanan urusan pengendalian produk 98.2
inovasi

Perbincangan

Kajian ini telah meneroka tahap keperluan pembangunan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC) sebagai
Hub Pendidikan di IPGKBM. Majoriti sampel kajian menyatakan tahap persetujuan yang
sangat tinggi terhadap perlunya Pusat Sehenti Inovasi dibangunkan di IPGKBM. Rata-rata
bersetuju bahawa OSIC akan berperanan sebagai pusat pengumpulan bahan bantu mengajar,
sebagai pusat penandaarasan, sebagai pusat penyimpanan BBM, sebagai pusat perkongsian
ilmu, sebagai pusat penyimpanan produk inovasi, sebagai pusat penataran atau penyebarluasan
inovasi, sebagai mercu tanda pusat kecemerlangan IPGKBM, sebagai pusat pengkomersialan
produk inovasi, sebagai pusat rujukan inovasi dan sebagai pusat penandarasan. Antara produk
yang dipersetujui untuk ditempatkan di OSIC pula ialah produk berbentuk bahan pengajaran
dan pembelajaran, sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja, dasar dan polisi, serta produk
inovasi teknologi. Bentuk-bentuk produk inovasi yang perlu ada di OSIC pula termasuklah
bahan maujud, manual penggunaan, multimedia, laporan inovasi, dan slaid pembentangan.

Dapatan juga menunjukkan kebanyakkan sampel bersetuju mengatakan bahawa OSIC berkesan
untuk membantu meningkatkan kecekapan pengurusan inovasi, meningkatkan kualiti
penyebarluasan dan perkongsian ilmu, meningkatkan penghasilan produk inovasi dalam
kalangan warga IPGKBM, meningkatkan kesedaran warga IPGKBM dan komuniti sekitar
terhadap keperluan inovasi, mencetuskan idea yang kreatif dan inovatif dalam kalangan warga
IPKBM dan komuniti sekitar, meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam pengajaran dan
pembelajaran, menggalakkan budaya penyelidikan dan inovasi, meningkatkan kecekapan dan
keberkesanan sistem pendidikan, menggalakkan daya pengkomersilan melalui pengurangan
kos, memberikan solusi masalah pendidikan, dan meningkatkan keberkesanan urusan
pengendalian produk inovasi. Kajian ini selari dengan kajian-kajian terdahulu yang mengatakan
bahawa institusi pendidikan merupakan tempat terpenting untuk menyuburkan bakat dan
kebolehan kreatif pelajar (Mohd Azhar, 2005; Cropley, 2001; Buzan, 2002; Amabile &
Hennessey,1992).
Kesimpulan

Secara keseluruhannya kajian ini telah memenuhi objektif kajian dan menjawab semua
persoalan kajian tentang keperluan pembangunan Pusat Sehenti Inovasi (OSIC) sebagai Hub
Pendidikan di IPGKBM. Dapatan kajian menunjukkan empat peranan utama OSICi, iaitu
sebagai pusat penyimpanan BBM, sebagai pusat perkongsian ilmu, sebagai pusat penyimpanan
produk inovasi, sebagai pusat penataran atau penyebarluasan inovasi. Antara produk yang
diperlukan oleh pelajar di OSIC ialah bahan pengajaran dan pembelajaran, sistem dan prosedur,
kaedah dan cara bekerja, dasar dan polisi, serta produk inovasi teknologi. Secara keseluruhan
tiga bentuk utama bahan yang diperlukan oleh pelajar ialah bahan maujud, manual penggunaan
dan bahan multimedia. Peningkatan kecekapan pengurusan inovasi, peningkatan kualiti
penyebarluasan dan perkongsian ilmu, peningkatan penghasilan produk inovasi, peningkatan
kesedaran warga IPGKBM dan komuniti sekitar terhadap keperluan inovasi, pencetus idea yang
kreatif dan inovatif dalam kalangan warga IPKBM dan komuniti sekitar, peningkatan kualiti
dan produktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran serta penggalak budaya penyelidikan dan
inovasi dalam kalangan warga IPGKBM dalam kalangan pelajar, staf akademik dan guru-guru
dalam perkhidmatan merupakan keberkesanan yang menjadi aspirasi Pusat Sehenti Inovasi
yang bakal diwujudkan dalam sistem pendidikan bagi merealisasikan dasar pendidikan nasional.

Rujukan

Amabile, T. M., & Hennessey, B. A. (1992). The motivation for creativity in children.
Achievement and motivation: A social-developmental perspective, 54-74.

Buzan, Tony. (2001). The Power of Creative Intelligence. London: Thorsons.


Chew Eng Sun & Ahmad Rizal Madar. (2016). Pola dan Trenda dalam Penyelidikan Berkaitan
dengan Kreativiti atau Pemikiran Kreatif pada Peringkat Pasca Ijazah di Malaysia. Jurnal
Pemikir Pendidikan, 7:73-88.
Chua, Y. P. (2006). Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan. Kuala Lumpur:
McGraw Hill.
Cropley. J. A. (2001). Creativity in Education & Learning. London: Kogan Page.
Kamus Dewan Edisi ke Empat. (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Krejcie, R.V. & Morgan, D. W. (1970). Determining sample size for research activities.
Educational and Psychological Measurement. 30, 608.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.
Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mc Killip. J. (1997). Need Analysis: Tools for the Human Services and Education. Sage
Publications.
Mohd Azhar Abd. Hamid. (2004). Kreativiti Konsep Teori & Praktis. Johor: Universiti
Teknologi Malaysia.
Mohd Azhar Abd. Hamid. (2005). Pemupukan Kreativiti di Kalangan Pelajar Sekolah:Suatu
Pandangan Awal Terhadap Peranan Guru. The Fourth International Literacy Conference
(LITCON 2005), Sekolah kemanusiaan, USM (15 – 17 Aug 2005).
Mohd Azhar Abd. Hamid, Kassim Thukiman, Muhammed Fauzi Othman, Mohd Koharuddin
Balwi, Mohd Nasir Markom, Azizul Alias, Mohd Khairul Anuar Bohro & Mohd Farid
Mohd Zin. (2017). Pembangunan Modal Insan yang Kreatif & Inovatif dalam
Perkhidmatan Awam. Seminar Kelestarian Perkhidmatan Awam Bersempena dengan 60
Tahun Malaysia Merdeka di Intan, Kampus Kluang, September 2017.
Rhoades, L. & Eisenberger, R. (2002). Perceived Organizational Support: A Review of the
Literature. Journal of Applied Psychology, 87, 698-714.
Roffe, I. (1999). Innovation and Creativity in Organisations: A Review of the Implications for
Training and Development. Journal of European Industrial Training, 23(4), 224-241.
Pallant, J. (2011). SPSS: Survival Manual. Ed. 4. Sydney: Allen & Unwin.
Teece, D. T. (2010). Business Models, Business Strategy and Innovation. Long Range Planning,
43: 172-194.
Temel, S., Mention, A. L. & Torkkeli, M. (2013). The Impact of Cooperation on Firms’
Innovation Propensity in Emerging Economies. J. Technol. Manag. Innov.8(1): 54-64.
Witkin, H. A., Moore, C. A., Goodenough, D., & Cox, P. W. (1977). Field-Dependent and
Field-Independent Cognitive Styles and Their Educational Implications. Review of
Educational Research, 47(1), 1–64.
Yahaya Buntat & Noor Sharliana Mat Nasir. (2011). Faktor-Faktor yang Mendorong Kreativiti
di Kalangan Pelajar, Universiti Teknologi Malaysia. Journal of Educational Psychology
and Counseling, 2:175-208.
Zaini Ujang. (2010). Budaya Inovasi: Prasyarat Model Baru Ekonomi. Skudai, Johor: Penerbit
UTM Press.
Zuraidah Ahmad & Shamsuri Abdullah. (2014). Memperkasa Budaya Inovasi di Politeknik.
Persidangan Perancangan Teknikal Politeknik Bil. 1/2014. Nilai Spring Golf Resort,
Nilai, Negeri Sembilan, 11 November.

You might also like