You are on page 1of 3

Memorandum

Kepada : Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan


Daripada : Pertubuhan Pencinta Seni
Tajuk : Bantahan Terhadap Lambakan Filem Seram, Tahyul dan Ganas di Negara Kita.

1.0 Pendahuluan
Akhir-akhir ini wujud satu trend baharu iaitu kita disogokkan dengan filem yang berunsur seram,
tahyul dan ganas. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan impak yang negatif terhadap
remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, golongan yang suka menonton filem yang
bercorak sedemikian ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah dipengaruhi oleh
unsur-unsur seram, tahyul dan ganas yang terdapat dalam adegan filem tersebut. Kerjasama dan
perhatian daripada pihak atau agensi yang bertanggungjawab amat penting untuk menangani
permasalahan ini.

2.0 Penyataan Masalah


Berhubung dengan masalah di atas, kami sebagai ibu bapa yang prihatin daripada Pertubuhan
Pencinta Seni ingin melahirkan rasa kebimbangan kami ini agar mendapat perhatian dan
pertimbangan yang wajar daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian,
Kebudayaan dan Warisan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana kesannya akan
mempengaruhi remaja yang akan menjadi pemimpin negara kita pada masa akan datang. Salah
satu punca yang dikenal pasti menyebabkan remaja menggemari filem yang bercorak sedemikian
ialah filem itu berupaya untuk menghiburkan dan memberikan kepuasan kepada mereka yang
menontonnya.

3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut


      3.1 Mempengaruhi emosi remaja
     Kami, ahli-ahli Pertubuhan Pencinta Seni bersepakat dan bersatu hati ingin menyatakan
bantahan kami terhadap filem-filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas yang sering disiarkan
di pawagam dan di televisyen. Perkara ini tentunya akan mempengaruhi emosi remaja yang
belum matang.  Emosi mereka akan terganggu dan menyebabkan masalah ketidakstabilan emosi
akibat pengaruh filem tersebut.
       3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan
       Filem-filem yang bercorak sedemikian juga boleh menjejaskan akidah dan kepercayaan
mereka terhadap agama. Kemungkinannya mereka akan mempercayai unsur-unsur yang terdapat
dalam filem itu melebihi kepercayaan mereka terhadap Allah. Perkara ini akan menghakis
keimanan dan kepercayaan mereka terhadap keesaan Tuhan. Kesan seterusnya, pegangan mereka
terhadap agama akan menjadi longgar dan mereka mungkin mempercayai kuasa lain yang
melebihi kekuasaan Allah.
       3.3 Tidak menyumbang ke arah kemajuan
    Unsur-unsur daripada filem yang bercorak sedemikian yang ditonton oleh remaja terutamanya
tidak menyumbang ke arah kemajuan. Hal ini demikian kerana, pengaruh daripada filem itu tidak
mendatangkan kesan atau impak yang baik untuk dicontohi, malahan mereka lebih cenderung
untuk mencuba perkara yang negatif. Mereka akan percaya dan menyebabkan mereka leka
dengan unsur-unsur yang terkandung dalam filem tersebut. Seterusnya, perkara ini mengundang
bahaya kerana mereka mempercayai perkara-perkara mistik dan keganasan dalam kehidupan
seharian.
      3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut
    Pengaruh daripada filem itu berupaya atau berpotensi untuk membentuk masyarakat yang
ganas dan mempercayai kepercayaan karut. Hal ini demikian kerana, para remaja mudah
terpengaruh oleh unsur-unsur yang terdapat dalam filem-filem tersebut. Mereka yang masih
belum matang akan meniru aksi, gaya, atau perlakuan pelakon-pelakon filem tersebut. Gaya atau
aksi ganas dalam filem itu akan diaplikasikan terhadap rakan-rakan di sekolah. Seterusnya
perkara ini akan berakar umbi dalam hati dan jiwa mereka hinggalah mereka dewasa.

4.0 Cadangan Tindakan


      4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat
         Dengan berdasarkan impak negatif yang banyak daripada filem-filem tersebut, kami
menyarankan pihak kementerian mengenakan syarat tapisan yang ketat terhadap produser filem.
Perkara ini dapat menghalang impak negatif tersebut daripada menular dalam jiwa para remaja
yang menontonnya. Pihak kementerian perlu menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi
oleh pihak pengeluar filem agar tidak menjejaskan emosi dan kepercayaan remaja. Syarat tapisan
yang ketat itu perlulah dikaji terlebih dahulu dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai
pihak yang berkaitan dengan filem.
      4.2 Mengenakan denda atau hukuman yang berat 
        Kami mencadangkan pihak kementerian mengenakan denda atau hukuman yang berat
kepada pengeluar filem yang gagal mematuhi garis panduan tersebut. Hal ini dirasakan penting
untuk mengelakkan para remaja kita daripada impak negatif filem-filem tersebut. Denda dan
hukuman yang berat itu sekurang-kurangnya akan menakutkan pengeluar filem yang lain untuk
melanggar garis panduan yang telah ditetapkan itu. Sebagai contohnya, pengeluar filem yang
melanggar peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori agar dia tidak
dapat mengeluarkan filem yang sama.

5.0 Penutup
Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin, kami perlu mencegah perkara ini
daripada menjadi lebih serius. Perkara ini penting kerana filem seram dan ganas itu memberikan
impak yang besar dalam pembentukan sahsiah, nilai-nilai murni dan jati diri para remaja. Oleh
itu, kami menggesa semua pihak yang bertanggungjawab agar mempertimbangkan permasalahan
ini dan bertindak dengan tegas terhadap pengeluar filem yang tidak mematuhi spesifikasi yang
telah digariskan. Unsur-unsur seram, tahyul, dan ganas yang berlebihan perlulah ditapis terlebih
dahulu oleh agensi yang bertanggungjawab dalam penapisan filem ini.

_____Mohamad Haziq____                                                   Tarikh : 20 Januari 2012           


(MOHD HAZIQ SYAKIR)
Pengerusi Pertubuhan Pencinta Seni
Teluk Intan, Perak                                                                        

You might also like