You are on page 1of 9

KETAGIHAN PORNOGRAFI DALAM KALANGAN REMAJA

NAMA : NURUL IZZATI BT AZHAR

NO MATRIKS : A174216

FAKULTI : FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN

SET KURSUS : SKPX1013 SISTEM DAN TEORI PSIKOLOGI SET 1 SESI 2019/2020

NAMA PENSYARAH : 1. PUAN NORSHAFFIKA IZZATY BINTI ZAIEDY NOR

2. ENCIK ASMUNI BIN AB GHANI


PENDAHULUAN

Dalam mendepani era yang serba mencabar ini, negara kita sudah seringkali digemparkan
dengan pelbagai jenis isu masalah gejala sosial. Antara isu yang sedang hangat diperkatakan
adalah isu mengenai ketagihan pornografi yang bukan sahaja menjadi buah mulut dalam
masyarakat marhaen yang sudah berumur malah turun dibualkan dalam kalangan remaja yang
masih berada di bangku sekolah.

Merujuk pada keratan akhbar di atas, pada tanggal 24 Jun 2008, wartawan akhbar
Harian Metro telah pergi ke salah sebuah sekolah yang terletak di ibu kota untuk merungkai
gejala negatif yang dikatakan sedang hangat diperkatakan di kalangan pelajar sekolah tersebut.
Terbabit adalah dikalangan remaja berusia lingkungan umur 15 tahun hingga 17 tahun.
Wartawan tersebut menyoal selidik beberapa pelajar sekolah tersebut yang di mana mereka
mengaku bahawa mereka pernah menonton dan menyimpan klip video lucah di dalam telefon
bimbit masing masing.

Pelajar pelajar tersebut mendakwa bahawan penyebaran klip video mahupun gambar
lucah di kalangan rakan sebaya bukan lah perkara yang aneh lagi malah sudah menjadi rutin
dalam kalangan mereka. Seorang pelajar yang dikenali sebagai Haikal turut berkongsi bahawa
kebanyakkan rakan rakannya yang diberikan kepercayaan untuk mempunyai telefon bimbir
oleh ibu bapa mereka tidak sekadar menggunakan kemudahan telefon bimbit itu untuk
menghantar pesanan atau membuat panggilan namun turut menggunakannya ke jalan yang
salah seperti menyimpan koleksi klip klip lucah.Terdapat lebih daripada 50 jenis klip video
lucah di dalam telefon bimbitnya dan disimpan sebagai koleksi peribadi.

Pelaku juga menyamakan aktiviti penyimpanan klip video lucah itu sebagai hobi
kerana boleh bertukar tukar klip lucah sesama rakan sendiri.Terdapat juga klip video lucah
yang dikategorikan sebagai eksklusif sekiranya yang berada di dalam video itu pelajar
perempuan yang mempunyai wajah iras artis terkenal. Pelaku turut berkongsi bahawa klip
video lucah ini boleh dilihat di mana mana sahaja di sekolah,taman permainan,kafe siber
mahupun ketika kelas tuisyen. Perkara ini bukan setakat pelajar lelaki yang minat tetapi ada
juga pelajar perempuan yang pernah bersama sama melihat video lucah di dalam telefon bimbit
masing masing.Tinjauan selama tiga hari di sekitar Gombak,Sentul dan Ampang mendapati
kebanyakkan pelajar mengaku pernah menonton klip lucah sama ada melalui telefon sendiri
mahupun rakan sebaya.
TEORI DAN PERSPEKTIF

Rata rata masyarakat masa kini masih tidak peka akan keburukkan isu ini jika tidak dibendung
dari akar umbi Antara masalah yang boleh timbul akibat daripada ketagihan pornografi ini
adalah, seseorang itu berpotensi untuk menjadi seorang pemangsa, ketagihan pornografi juga
boleh menjurus kepada merosakkan perkahwinan, membawa kepada ketagihan seksual atau
tingkah laku tidak sihat lain, dan juga menggalakkan berlakunya pencerobohan seksual.

Menurut sekretariat persatuan Pertubuhan Wanita IKRAM Malaysia (Wanita IKRAM),


Dr Shamsuriani Md Jamal, golongan ibu bapa khuatir jika ahli keluarga mereka menjadi
mangsa rogol, sumbang mahram atau terbabit dengan seks bebas berikutan amalan menonton
pornografi.(2017). Namun dalam hal ini,kita tidak hanya boleh menyalahkan satu jantina
sahaja.Pelbagai kajian antarabangsa telah dilakukan dan telah meletakkan kadar ketagihan
pornografi pada 50 peratus hingga 99 peratus di kalangan lelaki, dan 30 peratus kepada 86
peratus di kalangan wanita (Gert Martin Hald). Oleh yang demikian, kedua dua jantina
mempunyai pemberat yang tersendiri dan kedua duanya harus dipersalahkan dan tidak boleh
dikhaskan kepada satu jantina sahaja.

Di sini saya ingin mengupas beberapa isu,teori dan perspektif mengenai ketagihan
pornografi dalam kalangan remaja daripada beberapa sudut dan seterusnya menerangkan punca
punca yang mungkin telah mendorong seseorang itu untuk cenderung melakukan gejala sosial
yang tidak sihat ini. Saya juga akan menerangkan langkah langkah yang boleh diambil
sekiranya seseorang itu mahu berhenti daripada melakukan perkara sebegini ataupun langkah
berjaga jaga ya boleh diambil oleh masyarakat sekiranya ingin membendung isu ini sebelum
merebak menjadi satu isu yang serius di kemudian hari.

Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, rata rata pelajar yang terlibat dengan kes
penyebaran klip video lucah ini masih di dalam usia remaja. Hal ini dapat kita lihat bahawa
pada lingkungan umur tersebut, remaja mempunyai sifat ingin cuba dan sifat ingin tahu yang
sangat mendalam sehinggakan mereka sendiri tidak sedar akan apa yang mereka lakukan itu
salah ataupun tidak, baik lelaki mahupun perempuan. Hal ini telah sedikit sebanyak
menyebabkan pergaulan sosial yang bebas dan hubungan seks tanpa nikah semakin menular
dikalangan masyarakat Malaysia. (Roslee Ahmad dan rakan-rakan, 2008). Dari sudut
pandangan psikoanalisis Sigmund Freud, Freud mengelompokkan naluri ke dalam dua
kategori, iaitu naluri hidup dan naluri mati. Naluri hidup merupakan motif dasar manusia yang
mendorongnya untuk bertingkah laku secara positif atau kontruktif. Ia berfungsi untuk
melayani tujuan manusia agar tetap hidup. Naluri ini meliputi dorongan-dorongan jasmaniah,
seperti keperluan seks, lapar, dan haus. Tenaga yang bertanggungjawab bagi naluri hidup
adalah libido.

Menurut persepsi psikoanalisis juga, adanya fantasi seksual yang wujud dalam
pemikiran manusia. Fantasi seksual adalah cerita seksual yang dibayangi oleh diri kita sendiri
yang melibatkan perbuatan seksual (Money and Ehrhardt, 1972). Fantasi ini seringkali dialami
semasa seseorang itu melakukan masturbasi dan digerakkan oleh pornografi dan banyak lagi
rangsangan lain dalam kehidupan seharian (Freund et al., 1974; Masters dan Johnson, 1966;
Paredes dan Baum, 1997; Stoller, 1979).

Terdapat pelbagai punca yang menjurus seseorang itu untuk melakukan hal
sebegini,antaranya pengaruh rakan sebaya, teman lelaki atau wanita, ibu bapa, kurang didikan
agama, media massa, persekitaran dan akhir sekali internet. Bagi aspek pengaruh rakan sebaya,
Rasulullah SAW pernah bersabda, "Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh
dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan
tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada
membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau
kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap". (HR Bukhari No: 1959).

Daripada hadis ini dapat kita lihat bahawa seseorang rakan sebaya itu mampu
mempengaruhi akhlak kita, baiknya akhlak rakan kita itu baiklah akhlak kita. Kebanyakkan
remaja sebenarnya mereka pada awalnya tidak berminat untuk melibatkan diri dengan gejala
negatif menonton klip video lucah ini namun didorong oleh rakan sebaya mereka. Bagi mereka
yang mengelak ajakan negatif tersebut akan dipulaukan oleh rakan tersebut. Untuk
mengelakkan diri daripada dipinggirkan dan dipulaukan, seseorang individu itu terpaksa
mengikut kehendak negatif rakannya itu.

Seterusnya ialah teman wanita atau teman lelaki. Aktiviti menonton klip video lucah
melalui telefon bimbit dibimbangi boleh menyebabkan sesorang pelajar sekolah itu terangsang
untuk melakukan gangguan seksual serta mencabul dan seterusnya membawa kepada jenayah
rogol. Hal ini seringkali terjadi kepada pasangan pelajar yang sedang hangat bercinta dimana
mereka pada awalnya hanya ingin melakukan perkara yang ‘ringan- ringan’ sahaja seperti
sentuhan dan pandangan yang berahi namun terlanjur hingga mengandungkan anak luar nikah.
Berdasarkan perangkaan bagi tahun 2007, ada remaja seawal usia 13 tahun diberkas polis
kerana jenayah rogol di Kuala Lumpur dan statistik belum membabitkan seluruh negara
(Kamal Affendi Hashim). Bercinta itu tidak salah selagi kedua dua pihak pandai manjaga batas
dalam pergaulan.

Antara punca lain ialah ibu bapa sendiri dan kurangnya didikan agama. Sebagai contoh,
ibu bapa yang sibuk bekerja sehingga tidak mempunyai masa langsung untuk duduk bersama
berkongsi masalah bersama anak-anak. Anak-anak mereka akan berasa sunyi dan
menggunakan jalan negatif iaitu menonton klip video lucah untuk mengisi masa lapang
mereka.Seterusnya, kebanyakkan ibu bapa juga tidak menekankan pendidikan agama dalam
jiwa anak anak mereka. Mereka tidak mementingkan batas pergaulan dan tidak
menitikberatkan aurat antara lelaki dan perempuan. Ibu bapa seringkali lepas tangan terhadap
perkara ini kerana merasakan bahawa anak anak sudah mendapat didikan agama dan moral
yang cukup di sekolah namun tanpa mereka sedar guru yang sebenar benarnya bagi anak anak
mereka adalah mereka sendiri. Anak anak akan mengikut perilaku ibu bapa sendiri.

Akhir sekali ialah media massa, persekitaran dan internet. Dalam dunia yang teknologi
semakin meningkat ini, penggunaan media massa haruslah dikawal agar tidak disalah gunakan
oleh pelajar. Media massa dan internet adalah yang banyak menyumbang kepada gejala negatif
pornografi ini. Remaja banyak melihat klip video lucah ini di laman sesawang internet yang
dimana boleh di akses hanyalah dengan menaip apa yang diingini. Media massa juga kini
seringkali menyiarkan isu-isu yang melibatkan kes hangat yang berlaku di antara artis-artis,
gambar-gambar yang tidak senonoh dan seangkatan dengannya. Pada pendapat saya sangat
bagus tindakan Malaysia yang menyekat semua jenis bentuk sesawang yang menyiarkan klip-
klip video lucah di internet sama ada tempatan mahupun luar negara. Hal ini kerana perkara ini
sedikit sebanyak dapat mengurangkan peratusan ketagihan pornografi di negara ini.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini sebelum
menjadi lebih teruk adalah yang pertama, ibu bapa haruslah tegas dalam mengawasi
penggunaan alat komunikasi anak anak mereka secara intensif. Pada usia remaja inilah mereka
dikatakan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Dengan adanya pengawasan dan bimbingan
dari ibu bapa, mereka akan berasa takut untuk melakukan gejala sosial yang negatif.

Selain itu ialah kasih sayang. Antara faktor terbesar yang menyumbang kepada
ketagihan pornografi dalam kalangan pelajar adalah kurangnya perhatian dan kasih sayang
daripada ibu bapa . Manusia sebagai makhluk yang mempunyai sifat ego yang tinggi mudah
terpengaruh dengan pelbagai perkara yang mampu memberikan kepuasan. Sebagai contoh
remaja yang tiada tempat untuk meluahkan perasaan mereka dan kurang kasih sayang daripada
keluarga akan mencari jalan lain untuk mengisi kekosongan mereka itu dan salah satu jalan
adalah dengan memuaskan nafsu syahwat melalui pornografi. Oleh hal yang demikian,
pentingnya mempunyai keterbukaan komunikasi di antara ibu bapa dan anak seperti menjadi
tempat luahan dan mengadu anak anak mahupun menjadi pemberi semnagat dan motivasi.

Akhir sekali, pihak sekolah atau badan badan sukarelawan di luar sana boleh
mengadakan ceramah mengenai keburukkan pornografi dikalangan masyarakat terutamanya
golongan remaja dan risiko - risiko yang mungkin dihadapi oleh seseorang itu sekiranya suka
melakukan aktiviti melancap. Para pelajar juga boleh diberikan ceramah mengenai pendidikan
seks dimana mungkin masih ada pelajar yang tidak tahu akan batas dalam pergaulan.
Contohnya terdapat bahagian- bahagian sensitif yang tidak boleh disentuh oleh orang lain yang
berlainan jantina. Hal ini boleh membuka minda anak - anak muda mengenai apa itu yang
dimaksudkan dengan seks.
PENUTUP

Sudah terang lagi bersuluh, ketagihan pornografi dikalangan remaja tidak dapat disangkal lagi
kesahihannya. Pornografi dilihat dapat mendatangkan kesan negatif kepada semua peringkat
umur sama ada dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Dr. Victor Cline (2008), pakar
psikoterapi dan juga Professor Emeritus dalam bidang Psikologi di University Utah, Salt Lake
City, dalam menangani masalah ketagihan seks menyatakan, jika penggunaan pornografi
dilakukan secara berterusan dan sekiranya dibiarkan akan membawa kepada ketagihan yang
lebih teruk. Ianya bermula daripada soft pornography kepada hard core pornography.
Pornografi juga boleh menjuruskan seseorang kepada tingkah laku seksual yang buruk dan
tidak normal. Hal ini kerana seperti yang telah saya katakan sebelum ini menggunakan
pendekatan psikoanalisis Sigmund Freud di mana pelajar yang menonton pornografi akan cuba
beraksi berdasarkan pada apa yang dilihat, berfantasi. Menurut Cline juga, masalah ketagihan
pornografi ini sukar untuk dikesan dan sukar juga untuk disembuhkan sekiranya masalah ini
tidak diatasi terutamanya kepada golongan lelaki.

Menurut Siti Fatimah Abdul Ghani (2008), Pegawai Psikologi Kanan Bahagian
Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), pornografi turut membawa kesan buruk kepada
kesihatan manusia, antaranya ialah kerosakan saraf otak jangka panjang dan menjejaskan
ingatan seseorang. Ketagihan bahan lucah mengakibatkan bahagian tengah depan otak yang
dikenali sebagai Ventral Tegmental Area (VTA) secara fizikalnya akan mengecil. Kerosakan
otak akibat ketagih pornografi adalah yang paling teruk, lebih teruk daripada ketagihan kokain
(dadah). Oleh hal yang demikian, kesan ketagihan pornografi terhadap remaja terutamanya
pelajar sekolah amatlah kritikal kerana ia dapat menjejaskan pemikiran dan minda seseorang
itu. Justeru, semua pihak haruslah memainkan peranan yang penting dalam membendung
perkara ini sebelum nasi menjadi bubur.
RUJUKAN .

 Mohd. Jamilul Anbia Md Denin. 2008. Pelajar kemaruk klip video lucah. Harian
Metro, 24 Jun: 14
 Dr Shamsuriani Md. Jamal. 2017. Ketagihan Pornografi Cetuskan Pemangsa Seksual.
Temu bual, 22 Oktober.
 Roslee Ahmad, Mohamed Sharif Mustaffa, Sulaiman Shakib Mohd Noor, Ahmad
Jazimin Jusoh & Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, 2008. Punca, Kesan dan
Langkah untuk Menangani Tingkah Laku Seksual Pelajar Mengikut Pendekatan
Kaunseling Islam. Kertas kerja.Konvensyen Pendidikan Nasional 2008. UPSI.
 Money, J., and Ehrhardt, A. 1972. Man and Woman: Boy and Girl. Baltimore: John
Hopkins University Press.
 Freund, K., Langevin, R., Chamberlayne, R., Deosoran, A., & Zajac, Y. 1974. The
Phobic Theory of Male Homosexuality. Archives of General Psychiatry. 31: 495–499
 Masters, W. H., & Johnson, V. E. 1966. Human Sexual Response. Boston: Little,
Brown.
 Paredes, R. G., & Baum, M. J. 1997. Role of The Medial Preoptic Area/Anterior
Hypothalamus In The Control of Masculine Sexual Behavior. Annu. Rev. Sex Res.
VIII: 68–102
 Stoller, R. 1979. Sexual Excitement: Dynamics of Erotic Life. New York: Pantheon
Books.
 Danish Yusrie Mohd. Khairul & Mohammad Rahim Kamaluddin. 2017. Psikologi
Tingkah Laku Seks yang Berbahaya Dalam kalangan Lelaki Dewasa Malaysia yang
Belum Berkahwin. Journal Of Social Sciences And Humanities 3(1): 1-15.
 Masroah, I., Gamelia, E., & Hariyadi, B. 2015. Perilaku Seksual Remaja Akibat
Paparan Media Pornografi. Kesmas Indonesia: Jurnal Ilmiah Kesehatan Masyarakat
7(3): 244 - 255.
 De Alarcón, R., de la Iglesia, J., Casado, N., & Montejo, A. 2019. Online Porn
Addiction: What We Know and What We Don’t. A Systematic Review. Journal of
Clinical Medicine, 8(1): 91
 Kamal Affendi Hashim. 2008. Rangsang lakukan gangguan seks. Temu bual, 24 Jun.
 Siti Fatimah Abdul Ghani. 2008. Ketagihan pornografi rosakkan otak. Temu bual, 1
April

You might also like