You are on page 1of 7

KARANGAN UMUM SPM - PERANAN IBU BAPA MENGAWAL PENGGUNAAN TELEFON PINTAR DALAM KALANGAN ANAK MEREKA

          Pada zaman globalisasi ini , isu pengguna telefon pintar semakin meningkat dan tidak pernah menyusut malah kian membimbangkan. Menurut sumber
daripada akhbar Utusan Malaysia, pengguna telefon pintar di Malaysia ialah 26 juta orang pada tahun 2016 kerana telefon pintar mempunyai banyak fungsi yang
memudahkan kita. Walau bagaimanapun, statistik menunjukkan 80 peratus remaja menyalahgunakan telefon pintar. Dalam kalangan remaja ini, terdapat 90
peratus remaja menggunakan telefon pintar kerana perasaan mereka yang ingin cuba yang ada pada diri mereka. Antaranya, 70 peratus daripada mereka
disebabkan oleh masalah gagal dikawal oleh ibu bapa mereka. Penyalahgunaan telefon pintar dalam kalangan remaja menyebabkan mereka mengabaikan tugasan
harian dan tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Sehubungan dengan itu, prestasi mereka dalam pelajaran akan terjejas dan masalah ini
semakin hari semakin serius. Fenomena ini bagai bisul menjadi nanah jika dibiarkan oleh ibu bapa yang gagal mengawal anak mereka Oleh sebab itu, masalah
yang serius ini perlu diatasi sebelum nasi sudah menjadi bubur. Persoalan yang perlu kita bincangkan ialah apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa
untuk mengawal penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak mereka?

          Peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon pintar dalam anak mereka ialah ibu bapa mestilah mengajar anak mereka cara betul menggunakan
telefon pintar. Hal ini kerana anak-anak dapat dielakkan daripada menyalahgunakan telefon pintar yang dimiliki oleh mereka. Ibu bapa boleh memberikan
pengetahuan kepada anak-anak tentang kes penyalahgunaan telefon pintar dan memastikan anak-anak mempunyai ilmu penggunaan telefon pintar yang betul. Ibu
bapa mestilah mengajar dan mendidik anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sebagai contohnya, ibu bapa haruslah mengajar
anak cara yang betul pada hari pertama anak mereka dibelikan telefon pintar. Sumber daripada akhbar Berita Harian melaporkan 55% remaja mendedahkan
maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali , termasuk memberikan gambar dan gambaran fizikal diri mereka. Oleh itu, anak tidak akan menjadi
golongan nomofobia, iaitu fenomena yang menyebabkan seseorang terasa fobia tanpa telefon pintar. Sebaliknya, anak-anak mampu memanfaatkan telefon pintar
untuk mencari maklumat yang penting dan berguna. Tambahan pula, anak-anak dapat membaca bahan-bahan yang berkualiti yang tidak menjejaskan pelajaran
mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya dalam hal ini. Hal ini sudah jelas membuktikan bahawa anak-anak mestilah diajar oleh
ibu bapa cara menggunakan telefon pintar mereka.

          Di samping itu, ibu bapa mestilah mendedahkan anak mereka kepada isu penyalahgunaan telefon pintar. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak
remaja akan hilang kawalan terhadap telefon pintar dan mula ketagihan penggunaan telefon pintar. 29% remaja hari ini menjadi mangsa dihubungi dan dihendap
oleh individu yang tidak dikenali oleh mereka. Lebih -lebih lagi, 29% remaja memuat naik maklumat yang salah dan palsu, gambar yang memalukan dan
menyebarkan lawak tidak baik mengenai seseorang dalam media sosial. Perbuatan remaja ini akan terkena kembali kepada diri sendiri bagai menepuk air di
dulang, terpercik ke muka sendiri. Misal kata, ibu bapa harus membincangkan penyalahgunaan telefon pintar dengan anak-anak. Menurut Akhbar Berita Harian,
laporan menunjukkan bahawa 24% ibu bapa memeriksa kandungan telefon pintar anak mereka. Akibatnya, anak-anak mereka tidak akan mengabaikan pelajaran
walaupun memiliki telefon pintar sebaliknya mereka akan memanfaatkan telefon pintar untuk menyimpan nota dan maklumat peperiksaan. Anak-anak juga hanya
menggunakan telefon pintar sekiranya selesai menjalankan tugas harian. Oleh itu, remaja begitu tidak akan membazirkan masa kerana bagi mereka masa itu emas.
Tuntasnya, anak mestilah didedahkan oleh ibu bapa tentang penyalahgunaan telefon pintar agar dapat mengawal anak-anak daripada menyalahgunakan telefon
bimbit.

          Seterusnya, ibu bapa mestilah memantau penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak. Hal ini berpunca daripada ibu bapa dapat mendisiplinkan anak-
anak sebelum mereka terlibat dalam gejala sosial. Ibu bapa boleh mengehadkan jadual anak hanya menggunakan telefon pintar apabila mereka memerlukan
fungsinya. Hal inilah dapat memastikan anak-anak tidak bergaul dengan mana-mana individu di luar sana. Remaja yang pintar dikatakan jauhari jua yang
mengenal manikam dalam isu ini. Sebagaimana yang kita sedia maklum, penggunaan telefon pintar yang terlalu lama akan menjejaskan kesihatan remaja. Sebagai
contohnya, mata remaja akan menjadi kering, penat dan mengalami kesakitan di batu dan di leher. Oleh hal yang demikian, anak tidak akan mengalami masalah
kesihatan mata jika dipantau oleh ibu bapa. Dengan usaha yang diambil ini anak-anak dapat mengimbangi masa antara pelajaran dengan aktiviti bersosial. Anak
juga akan menjadi lebih rapat dengan ibu bapa daripada rapat dengan telefon. Anak-anak akan menghargai ibu bapa yang menjaga mereka bagai menatang minyak
yang penuh. Anak-anak mestilah dipantau oleh ibu bapa dalam penggunaan telefon pintar supaya mereka tidak akan bermanja-manja dan bermain-main dengan
telefon pintar sehingga melupakan pelajaran.

          Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan anak mereka telefon pintar sekiranya anak matang. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak ibu bapa
membelikan telefon pintar kepada anak mereka sewaktu usia anak belum matang lagi. Anak-anak akan mendapat gantian kasih sayang ibu bapa yang membeli
telefon pintar yang mahal. Anak pula menyalahgunakan telefon pintar untuk menunjuk-nunjuk kepada kawan. Anak yang umur baru setahun jagung, darah baru
setampuk pinang perlu dijaga kerana mereka masih sangat muda dan belum berpengalaman. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mendapatkan pandangan daripada
kawan dan pakar dalam hal ini. Dalam temu ramah baru-baru ini dengan The Mirror, Bill Gates mengatakan bahawa remaja berusia 14 tahun baru sesuai memiliki
telefon pintar sendiri. Impaknya, anak remaja itu dapat berfikir dengan matang dan membuat keputusan yang baik. Mereka tidak akan membazirkan masa
bersembang kosong dengan aplikasi media sosial dan memanfaatkan telefon pintar secara optimum dalam pelajaran dan kehidupan. Anak remaja ini dapat
membuat perbezaan yang mana kaca, yang mana permata. Sudah terang lagi bersuluh, telefon pintar mampu dibeli oleh ibu bapa jika anak cukup matang untuk
menggunakannya agar kawasan dapat dilakukan terhadap anak-anak daripada terjerumus dalam ketagihan telefon pintar sehingga pelajaran terabai.

          Konklusinya, semua ibu bapa mestilah memainkan semua peranan di atas agar anak remaja tidak menyalahgunakan telefon pintar sehingga menjejaskan
pelajaran yang lebih penting. Pada pendapat saya, ibu bapa harus menghadiri kursus keibubapaan dan peranannya dari masa ke masa. Ibu bapa juga mestilah
memahami dan mengetahui kelemahan serta kekuatan anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu prihatin dan cakna dalam hal yang berkaitan dengan telefon pintar
yang boleh menjejaskan pelajaran anak mereka. Ibu bapa moden haruslah ingat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Jangan sekali-kali
membiarkan anak-anak remaja menyalahgunakan telefon pintar. Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka supaya anak remaja tidak akan mengabaikan pelajaran
dan tugasan yang diamanahkan dan anak remaja akan membahagikan masa antara pelajaran dengan kehidupan. Anak remaja juga akan menggunakan telefon
pintar dengan bijaksana dan penuh manfaat. Remaja ialah harapan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja kini akan menjadi bakal
pemimpin yang bijak memanfaatkan telefon pintar dalam kehidupan. Peranan yang penting mesti dimainkan oleh ibu bapa agar anak-anak tidak menyalahgunakan
telefon pintar hingga mengabaikan tugasan dan prestasi mereka.
KARANGAN PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK AMALAN MEMBACA .

Masa bergerak pantas kerana pejam celik sahaja kita sudah berada pada alaf millennium di samping menelusuri ,meniti abad yang mendatang. Abad
ke-21 telah menyaksikan pelabgai cetusan idea dan percubaan yang membanggakan telah dilaksanakan supaya negara Malaysia dapat mendabik dada kerana
berjaya duduk setaraf,sebaris dan standing dengan negara atas angin yang moden bak kata pepatah,duduk sama rendah,berdiri sama tinggi. Sayang dan malang
sekali, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini,terdapat lakaran suram yang membayangi tamadun dan peradapan masyarakat kita. Pada realitinya,tabiat
atau budaya membaca dalam kalngan masyarakat masih berada pada takuk lama bagai hidup segan mati tak mahu malahan bilangan buku yang dibaca oleh
mereka boleh dikira dengan menggunakan jari. Angka-angka dan data-data yang sahih lagi tepat telah didedahkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia amat
memeranjatkan kerana rakyat Malaysia hanya membaca purata satu halaman daripada sebuah buku dalam masa setahun. Siapakah yang harus dipersalahkan ?
pada hemat saya,sikap menuding jari tidak akan menguntungkan mana-mana pihak malahan menambahkanburukkan situasi yang semakin parah ini. Oleh hal
yang demikian,saya berpendapat bahawa seluruh strata masyarakat harus memerah otak dan keringat untuk merungkai kemelut ini. Memang tidak disangkalkan
bahawa ibu bapa harus memainkan peranan vital untuk mengindoktrinasikan amalan membaca dalam lubuk hati anak-anak. Cepu kepala dan otak terus
bersipongan dengan tanda Tanya,apakah peranan yang pragmatik dan dogmatik yang perlu dilakukan oleh ibu bapa membentuk budaya membaca dalam
kalangan anak-anak di rumah ?

Setelah meneliti dan mengkaji sehingga akar umbi,ibu bapa perlu menjadi uswah hasanah yang syumul kepada anak-anak dalam menerapkan budaya
membaca kepada anak-anak di rumah.Dalam konteks ini.ibu bapa wajar menunjukkan contoh yang baik dan menjadikan diri mereka sebagai idola kepada anak-
anak. Hal ini kerana segala tindakan ibu bapa yang positif lazimnya menjadi ikutan anak-anak .Ibu bapa yang menakhodai bahtera rumah tangga hendaklah
mempraktikkan amalan mulia ini di rumah agar anak-anak akan meneladani sikap mahmudah ibu bapa .Ibu bapa pada zaman digital yang berlumba-lumba untuk
mencari kebendaan demi masa depan ahli keluarga seharusnya bijak mengatur masa untuk membudayakan amalan membaca di rumah mereka setiap hari di
sebalik kesibukan mereka. Anak-anak yang berumur setahun jagung nescaya akan mengikut langkah positif ibu bapa mereka seperti bunyi peribahsa melayu air
cucuran atap sudah tentunya jatuh ke atas pelimbahan.sebaliknyajika ibu bapa sendiri tidak mempraktikkan amalan ini malah selalu mewajibakan anak mereka
membaca,senario ini bertepatan dengan peribahasa melayu seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Jadi ,ibu bapa harus menjadi suri teladan yang
sempurna kepada ank-anak agar modal insan yang berketerampilan,berilmu pengetahuan,berdaya saing dan berminda kelas pertama dapat dilahirkan.

Tuhan mahu akan manusia berusaha dengan rajin untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dan bukan sewenang-wenangnya menadah tangan
ke langit untuk mengaharapkan sesuatu hasil. Jadi amat jelas usaha yang gigih perlu untuk mengecapi kejayaan dalam hidup seperti peribahasa melayu’yang
bulat tidak datang bergolek,yang pipih tidak datang melayang.Rentetan itu,untuk menggapai kejayaan dalam hidup ,amalan membaca menjadi pemangkin
utama yang wajar dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak. Ibu bapa mestilah menyedikan jadual membaca kepada anak-anak dan ahli keluarga. Ibu bapa perlu
memperuntukkan masa yang tetap untuk melakukan pembacaan bersama-sama dengan ahli keluarga seperti pada hujung minggu. Peruntukkan masa ini amat
vital bagi membolehkan ahli keluarga melibatkan diri dalam aktiviti membaca. Dengan menyediakan jadual membaca yang teratur,maka ibu bapa boleh
berkongsi ilmu dan membudayakan amalan membaca dengan anak-anak mereka.Misalnya,ibu bapa boleh meluangkan masa bersama ahli keluarga untuk
membaca bahan bacaan seperti kitab agama,majalah,buku-buku cerita dan surat khabar.Ironinya,amalan membaca menjadi kebiasaan kepada anak-anak yang
mempraktikkan amalan ini dalam rutin harian seperti bunyi peribahasa alah bisa tegal biasa. Selaras dengan kata-kata Yang amat berhormat dato Sri
Hishammudin bin Tun Hussein’iaitu untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang sentiasa berfikiran kreatif dan berdaya saing dalam era
komunikasi dan teknologi maklumat ( ICT ).amalan membaca seharusnya dijadikan asas yang kukuh dalam masyarakat. Tanpa ilmu dan maklumat,masyarakat
Malaysia akan terus ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan di dunia yang semakin sengit persaingannya . Tegasnya,ibu bapa perlulah merangka jadual
membaca yang fleksibel agar dapat memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak.

Sebelum retak belah,sebelum bisul menjadi nanah dan sebelum nasi menjadi bubur,jika kita bersedia memerah otak dan keringat serta berikhtiar
berhempas pulas,tentu ada formula penyelesaian dan nescaya bukanlah satu sahaja kerana di mana ada kemahuan,di situ ada jalan. Huraian di atas akan
didalami dan dibugarkan dari perspektif pendirian sudut bacaan di rumah. Demi memahat amalan membaca dalam jiwa anak-anak,ibu bapa perlu menyediakan
perpustakaan mini atau ruang bacaan di rumah. Suasana yang kondusif dan selesa perlu diambil kira oleh ibu bapa sewaktu menyediakan sudut bacaan di
rumah. Dengan penyediaan perpustakaan mini,anak-anak tidak perlu bersusah payah keluar dari rumah untuk mendapatkan bahan bacaan dan mencari tempat
yang selesa untuk membuat rujukan.Malah ,anak-anak lebih mudah mendapatkan bahan bacaan dengan hanya mencarinya di tempat yang telah
disediakan.Perpustakaan mini di rumah dapat member peluang kepada anak-anak menghabiskan masa senggang dengan membaca buku dan sekali gus
menghindarkan diri mereka daripada sebarang kebejatan sosial.Neville black,seorang ahli falsafah barat berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah alat
serta asset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman moden yang menuntut kemajuan.Oleh itu,anak-anak perlu
mendahagakan ilmu dan sentiasa berusaha untuk menimba ilmu agar tidak diibaratkan seperti katak di bawah tempurung.Memandangkan penyataan di
atas,jelaslah ibu bapa bertanggungjawab menyediakan persekitaran membaca yang kondusif sebagai usaha memupuk minat membaca dalam diri anak-anak.

Satu lagi obligasi ibu bapa dalam menerapkan amalan membaca kepada anak-anak muda ini ialah ibu bapa mestilah menjadikan aktiviti mengunjung I
perpustakaan,kedai buku dan pesta buku sebagai salah satu aktiviti utama keluarga.Apabila mereka berada di perpustakaan atau di kedai buku,mereka
berpeluang untuk memilih buku-buku yang diminati untuk dibeli atau dibaca.langkah proaktif ini akan membolehkan anak-anak lebih terdedah kepada bahan
bacaan yang berkualiti dan baharu di pasaran. Pada masa yang sama juga ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mendaftar sebagai ahli di perpustakaan di
sekolah atau perpustakaan awam agar dapat meminjam buku pada waktu senggang.Ketika mengunjungi kompleks beli belah,ibu bapa hendaklah membawa
anak-anak mengunjungi kedai buku dan membantu mereka dalam membuat pemilihan bahan bacaan yang digemari dan mengikut kesesuaian. Umum
mengetahui bahawa setiap tahun pihak kerajaan akan mengadakan karnival buku yang merangkumi pameran buku dan jualan buku di mana-mana sahaja di
negara kita. Ibu bapa seharusnya memanfaatkan peluang keemasan seperti ini untuk membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak mereka dengan
harga yang berpatutan.Natijahnya,anak-anak akan didedahkan secara terus tentang buku-buku terkini yang ada di pasaran dan juga dapat memantapkan
hubungan kekeluargaan bak kata peribahasa melayu sambil menyelam minum air.Ibu bapa perlu membelikan bahan bacaan yang kualiti kepada anak-anak
kerana’pembacaan yang baik menjadi makanan otak,mendengar muzik menjadi makanan jiwa”.Oleh itu,jelaslah bahawa ibu bapa haruslah membawa anak-anak
mereka ke ekspo dan jualan buku yang diadakan agar dapat menyemai amalan membaca dalam kalngan anak-anak mereka.

Konklusinya ,amalan membaca mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada anak-anak yang bakal menerajui pucuk kepimpinan negara pada masa
depan. Ibu bapa sebagai jentera pentadbiran setiap institusi keluarga perlu menyemai ,memupuk dan menerapkan amalan mulia ini dalam kalbu anak-anak
sejak kecil lagi agar menjadi budaya anak-anak.Golongan remaja seharusnya dilengkapkan dengan ilmu yang akan menjadi senjata paling ampuh untuk
diaplikasikan dalam kehidupan pada zaman globalisasi yang sangat mencabar ini. Usaha yang berterusan untuk membentuk anak-anak suka membaca perlu
dibuat agar mereka dapat menjadi pelapis dan pemimpin yang berwibawa serta menjulang nama negara di persada antarabangsa. Anak watan Malaysia
mestilah membina azam dan iltizam tinggi untuk menanam amalan membaca dalam jiwa mereka supaya mengecapi kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Biarlah pepohon terus menghijau,biarlah sang matahari terus bersinar dan biarlah Malaysia terus gemilang,cemerlang dan terbilang di jagatraya.
PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBENTUKAN DISIPLIN ANAK-ANAK AMAT PENTING DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT YANG
CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG.
BINCANGKAN.

Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya.
Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita
dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa
depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat
bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.
Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulukala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap
dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman
yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan
mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak
akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.
Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang
diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan
sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan
perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan
diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.
Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang
ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan
kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai
contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan
tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika
dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga.
Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang
waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa
berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga
kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang
menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat
bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan
kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa
menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial.
Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk
menggapai impian Wawasan 2020.
KARANGAN PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK SAHSIAH ANAK-ANAK

Dewasa ini, dalam era globalisasi yang kian mencabar, gejala sosia semakin berleluasa dan merunsingkan. Acap kali. Kita melihat kes-kes gejala sosial
terpampang di dada akhbar mala disiarkan di kaca televisyen. Perkara ini, tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi lebih parah apabila kebanyakan pelaku gejala
sosial tersebut terdiri daripada golongan remaja. Memetik kata-kata Profesor Dr. Tun Abdullah Hassa, seorang profesor yang melakukan kajian Peradaban
Manusia, beliau sangat kecewa apabila setiap pagi melihat ramai anak muda ditangkap secara kasar oleh pihak polis kerana dituduh melakukan gejala sosial dalam
berita semasa. Menyedari hakikat kata-kta itulah pihak kerajaan telah bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian untuk merungkai permasalahan gejala sosial
ini. Sungguh malang apabila segala usaha kerajaan terkubur dan hampa “seperti membunag garam ke laut” kerana gejala sosial langsung tidak berganjak dari zon
selesanya. Namun persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak-anak mereka dalam usaha mengelakkan mereka daripada gejala sosial?
Sememangnya terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka. Antaranya, ibu bapa perlulah
memantapkan fizikal atau jasmani serta tubuh anak-anak mereka. Jasman merupakan satu elemen yang prima bagi membentuk sahsiah anak-anak. Hal ini kerana
anak –anak akan dapat membina keyakinan diri dalam menjaga tubuh badan mereka sendiri. Apakah pula peranan ibu bapa untuk memastikan kesihatan fizikal
anak-anak mereka dalam usaha membentuk sahsiah mereka yang sempurna? Terdapat pelbagai aktiviti jasmani yang boleh dilakukan anak-anak mereka bersama-
sama ibu bapa mereka. Sebagai contoh, ibu bapa perlulaj membawa anak-anak mereka untuk bersenam dan bersukan bersama-sama. Sebaik-baiknya, bawalah
anak-anak keluar tiga kali seminggu hanya untuk beriadah kerana bak kata pepatah “badan cergas minda cerdas”. Selain itu, ibu bapa perlulah menghantar anak-
anak mereka untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah seperti kelab dan persatuan serta unit beruniform. Hal-hal sebegini membolehkan mereka untuk
menjauhi diri daripada terjebak dalam gejala sosial.
Selain itu, ibu bapa berperanan penting dalam mengawal dan memberi perhatian terhadap emosi anak-anak mereka. Secara amnya, emosi manusia kian
berubah mengikut perkembangan diri masing –masing. Perubahan emosi anak-anak sentiasa berubah terutamanya apabila mereka sudah mencapai usia
keremajaan. Perubahan emosi juga jelas ditunjukkan oleh emaja perempuan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa perlu memahami emosi anak-anak
mereka sekiranya mereka mengalami perubahan emosi. Hal ini menyebabkan anak-anak akan biasa kerana “alah bisa tegal biasa” untuk meluahkan isi hati mereka
kepada ibu bapa mereka. Selain itu, ibu bapa perlulah memahami emosi anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa tidak memahami mengapa mereka berubah emosi
maka anak-anak mereka akan mudah tersinggung dan kecewa terhadap ibu bapa mereka. Tambahan pula, ibu bapa perlulah meminta nasihat daripada pakar
supaya mengetahui cara mengenali emosi anak-anak mereka. Akhirnya, anak-anak mereka tidak akan melepaskan emosi dengan melibatkan diri dengan gejala
sosial kerana mempunyai ibu bapa yang memahami emosi mereka.
Seterusnya, ibu bapa juga berperanan untuk menyediakan sumber rohani yang kuat kepada anak-anak. Hal ini sedemikian kerana faktor terbesar yang
menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja ialah kurangnya atau rapuhnya rohani tersebut. Hal ini membuktikan rohani merupakan aspek yang
tidak kurang pentingnya dalam usaha membentuk sahsiah anak-anak sekaligus mengelakkan mereka daripada melakukan aktiviti gejala sosial. Agama pula
meruapakan pilihan individu tetapi semua agama menginginkan yang terbaik daripada penganutnya. Oleh itu, apakah peranan ibu bapa dalam menyediakan
sumber rohani yang kukuh dan kental kepada anak-anak mereka? Sebagai permulaan, ibu bapa perlulah menguatkan iman anak-anak mereka, hal ini kerana iman
yang kuat menjadi bekalan kepada anak-anak mereka untuk menghindari diri daripada gejala sosial. Selain itu, ibu bapa perlulah kerap membawa anak-anak
mereka ke tempat ibadat. Hal ini membolehkan anak-anak untuk sentiasa dekat dengan agamanya. Sememangnya peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah
anak-anak adalah untuk menyediakan sumber rohani yang kukuh kepada anak-anak mereka sekaligus menjauhkan mereka daripada gejala sosial.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting untuk memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka dalam usaha
membentuk sahsiah bahkan juga menghindari mereka daripada gejala sosial. Ilmu pengetahuan amat penting kepada anak-anak mereka melalui ilmu, anak-anak
akan dapat membezakan perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan secukupnya ilmu pengetahuan yang sedia ada
dalam membentuk sahsiah anak-anak. Cara yang paling mudah adalah dengan menghantar anak-anak ke sekolah. Hal ini amat wajib kepada ibu bapa agar anak-
anak mereka dicurahkan ilmu yang berguna kepada mereka satu hari nanti. Selain itu, ibu bapa perlu mengikuti perkembangan akademik anak-anak mereka. Oleh
itu, ibu bapa haruslah sentiasa berhubung dengan guru-guru di sekolah untuk pengetahuan lanjut. Cara yang lain boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan
membawa mereka ke pameran buku. Melalui pendekatan ini, anak-anak mampu belajar dengan kondusif bersama-sama ibu bapa mereka. Semestinya, ibu bapa
berperanan menyediakan sumber intelek kepada anak-anak mereka dalam membentuk sahsiah anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan memantapkan kemahiran sosial anak-anak mereka. Kemahiran sosial dalam konteks ini sangat
diperlukan dalam membentuk sahsiah anak-anak. Hal ini sedemikian kerana melalui kemahiran sosial, anak-anak dapat mengetahui betapa buruknya kesan
melakukan gejala sosial melalui pemerhatian dan peninjauan. Oleh itu, apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam usaha memantapkan kemahiran sosial
anak-anak mereka? Kaedah yang paling asas adalah dengan mengajar anak-anak mereka nilai-nilai murni. Sebagai contoh, nilai hormat-menghormati dan
kerajinan. Melalui nilai-nilai ini, sahsiah anak –anak akan dapat dibentuk dengan sempurna. Selain itu, anak-anak juga akan dapat membuat refleksi diri sendiri
dan membentuk peribadi yang lebih baik. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada
rebungnya”. Tambahan pula, ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka mengenai pantang larang seperti membongkok apabila melalui orang yang lebih tua.
Hal-hal ini mengajar anak-anak muda untuk beradab sopan lantas menjadikan mereka sebagai remaja yang berbudi pekerti tinggi.
Konklusinya, Malaysia yang merupakan negara yang indah di mata duia serta mempunyai masyarakat yang berbilang kaum akan kelihatan buruk sekiranya
gejala sosial dalam kalangan masyarakat masih belum dibendung, bak kata pepatah Melayu “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, peranan semua
pihak harus dimainkan terutamanya peranan ibu bapa kerana merekalah yang mencorak keperibadian golongan muda kotemporari ini kerana “ bagaimana acuan
begitulah kuihnya”. Anak-anak diibaratkan kain putih yang perlu dicorakkan dengan sempurna agar kelihatan cantik dan elok dipandang mata. Kita janganlah
menuding jari dan bersikpa pasif dalam hal ini kerana semua pihak turut serta dalam membentuk sahsiah anak-anak muda. Mahukah kita melihat dunia ini sarat
dengan kemusnahan dan kegelapan akibat ketidakprihatinan kita? Semestinya “tidak” jawapan kita. Maka, bersama-sama lah kita berganding bahu menyahut
cabaran dengan mengemblengkan tenaga membentuk sahsiah anak-anak muda agar mereka membawa kegemilangan negara di mata dunia satu hari nanti.
PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET

            Marcapada, Internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan pada masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap
individu. Hal ini kerana hanya Internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan
hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan Internet bukanlah suatu isu baharu.
Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan Internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat
dan menyebarkan berita palsu. Maka tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan
kelebihan, keburukan dan cara mengakses Internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan Internet manakala
sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan Internet.
Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ Internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari Internet dan secara tidak langsung,
ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan Internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak
memanfaatkan Internet pada hari ini?

            Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegelapan
namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk
merealisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama
merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan
dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan
melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-
anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan Internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam
masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan Internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-
anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng
pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan Internet dengan baik dan bijak.       

        Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan Internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak
dengan segala maklumat berkaitan dengan Internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan Internet sebelum mereka
didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan Internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati
dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan Internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh
biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan Internet dari
kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan Internet terhadap
anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 

            Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu Internet
ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan
pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil
yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di Internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga
terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang
termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet dapat
mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan Internet.

            Jika dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan Internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal Internet dengan
menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna Internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang
sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan
Internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan
sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan Internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada
mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa
masa ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah
yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya
mengawal penggunaan Internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan Internet secara lebih bijak.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan Internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada
mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi Internet. Seperti yang ditegaskan, Internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari
segi pendidikan. Hari ini, kemajuan Internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini
merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari Internet. Oleh hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau
aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti
pembelajaran menggunakan kemudahan Internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna Internet masa kini. Sebaik-baiknya
anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangnya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan Internet serta bijak menggunakannya. Ibu
bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari Internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya
peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa
tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui Internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan
penggunaan Internet.

            Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh anak-anak memanfaatkan penggunaan Internet. Perkhidmatan
Internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini
bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan Internet dalam kehidupan seharian.
Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan
mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar
membuktikan bahawa Internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut
dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun padang membantu
kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau semua pihak mula
bertindak dari awal, masalah penyalahgunaan Internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah diungkai, dan secara tidak langsung matlamat
negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia pada tahun 2020 tidak akan kesampaian.
PERANAN ANAK-ANAK UNTUK MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN KELUARGA

Pelbagai masalah mula menekan keluarga seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan
itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk membantu meringankan
beban kewangan keluarga.

KARANGAN:

Semua pihak telah maklum bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir.
Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu
dunia, bencana alam dan krisis bahan makanan cukup menakutkan pelbagai pihak. Hingga hari ini, ekonomi dunia masih dalam
suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat
menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada
keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500.00. Beban kewangan adalah antara
fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami susah payah ibu
bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarsa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka.

Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh untuk meringankan beban kewangan keluarga. Anak-anak
diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan
hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama
tenaga elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya
mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat
cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap.
Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah paras RM20.00, justeru penggunaan
domestik tersebut adalah percuma. Langkah bijak ini sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Sejajar dengan itu, langkah lain yang wajar dilakukan oleh anak-anak adalah mengamalkan sikap bersederhana dalam
kehidupan seharian. Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan
kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja
mencari rezeki. Fahamilah beratnya tanggungan ibu bapa, bak kata peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan
berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Mereka tidak harus menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Misalnya,
mereka tidak harus meminta-minta sesuatu di luar kemampuan ibu bapa seperti ingin memiliki pakaian yang berjenama dan
berselera untuk makan di tempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh
dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sama enggang masakan dapat terbang bersama.

Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sesebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk
memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara
kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara
melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah
mereka harus mengetepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor
seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi
usahawan yang berjaya dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh sebab itu, langkah yang terpenting ialah setiap anak
perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di
bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

Prakarsa seterusnya untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan ekonomi ialah anak-anak harus
membudayakan amalan menabung. Hal ini demikian kerana mereka dapat membantu keluarga untuk menampung perbelanjaan
luar jangkaan apabila mengalami kesempitan wang. Menurut Datuk Dr Hassan Ali, wang yang disimpan di bank boleh menjadi
penyelamat pada masa gawat. Dalam konteks ini , wang pemberian ibu bapa yang tidak dibelanjakan harus disimpan kerana sehari
selembar benang lama-lama menjadi kain. Tamsilannya, tabungan tersebut dapat digunakan oleh ibu bapa untuk membiayai kos
sara hidup yang kian meningkat yang sedang melanda negara kita kini. Malahan, anak-anak dapat menggunakan tabungan untuk
menampung perbelanjaan persekolahan mereka. Natijahnya, jika anak-anak mengamalkan budaya yang mulia ini, maka mereka
mampu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.

Sebagai penutup wacana, anak-anak memainkan peranan yang amat penting dalam membantu meringankan beban
kewangan ibu bapa. Ketika berdepan dengan pelbagai cabaran akibat krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Oleh
hal yang demikian, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan
tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk
menzahirkan impian pembentukan keluarga bahagia. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga
akhirnya ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

You might also like