You are on page 1of 3

KAJIAN SAJAK “AYAH” KARYA A.

S ISMA
HASIL KAJIAN : CIKGU ROSYATI BiNTI HAJI YAHYA, CIKGU HAJI AZAMAIN BIN HAJI AHMAD,
CIKGU LAILAWATI BINTI HJ. DURAMAN
SEKOLAH MENENGAH MENGLAIT, GADONG

HURAIAN MAKSUD
Rangkap 1:
Penyajak menceritakan tentang seorang ayah yang berumur tujuh puluh tiga tahun. Si ayah akhirnya telah meninggal
dunia untuk menemui Ilahi dalam keadaan yang beriman dan telah melaksanakan tugasnya di dunia ini.

Rangkap 2:
Anak-anak si ayah tadi merelakan kepergian ayah mereka. Mereka meredhai kepergian ayah mereka kerana mereka
mengetahui bahawa ajal merupakan kuasa Allah dan telahpun ditentukan olehNya.

Rangkap 3:
Anak lelaki si ayah yang telah diajarkan tentang kesukaran kehidupan dan ketakwaan, si ayah juga telah mengajar
anak lelakinya untuk mengenal erti belas kasihan dan kekuatan dalam diri sendiri ketika ditimpa masalah.

MEMPROSA
Setelah engkau hidup selama tujuh puluh tiga tahun, akhirnya engkau pun kembali ke tempat asalmu bersama
hidayat dan cinta Tuhan bagaikan nakhoda dengan kapal yang meninggalkan perlabuhan sementara dan terus
menuju ke dunia kekal.

Kami anak-anakmu pun rela melepaskan engkau pergi. Keluarga yang engkau tinggalkan ini tidak merasa kesal atau
marah dengan kuasa Tuhan kerana kami mengetahui nasibmu telah ditentukan.

Aku ialah puteramu yang telah engkau didik untuk mengenal erti kesukaran dan ketakwaan. Engkau lembutkan
hatiku ketika dalam kedegilan dan engkau keraskan pula hatiku ketika dalam kelemahan.

PERSOALAN
1. Kematian dan kerinduan. Seorang anak mengingat dan merindui ayahnya yang berumur 73 tahun yang
telah meninggal dunia dalam keadaan yang beriman.

2. Keredhaan. Buktinya anak-anak si ayah meredhakan pemergian ayah mereka, kerana mereka mengetahui
hidup dan mati merupakan kuasa Ilahi.

3. Pendidikan dan kerinduan. Buktinya si ayah telah berjaya mendidik anak-anaknya hingga menjadi anak
yang berguna dan mengenal erti kehidupan sebenar. Walaupun si ayah sudah tiada, anak lelakinya sentiasa
merinduinya.

TEMA
Tema bagi sajak ‘Ayah’ ialah kasih sayang/kerinduan terhadap seorang ayah. Buktinya, anak-anak sentiasa
mengingat akan jasa dan didikan yang diberikan oleh seorang ayah walaupun ayah mereka telah meninggal dunia.

PERUTUSAN
1. Setiap anak hendaklah sentiasa mengingati jasa ayah sampai bila-bila masa kerana jasanya membesarkan
hingga menjadi anak yang berguna di dunia dan akhirat. Contohnya, seperti penyajak yang tetap
mengenang jasa bakti si ayah mendidiknya ketika kecil walaupun ayahnya kini sudah meninggal dunia.

2. Pemergian seorang ayah hendaklah disertai dengan doa dan redha dengan segala yang berlaku dan
bukannya dengan ratapan tangisan dan kekesalan. Contohnya, keluarga si ayah tidak pernah menyesal
dengan pemergian ayahnya. Mereka sebaliknya redha dengan pemergian si ayah kerana mereka mengetahui
bahawa nasib si ayah telah ditentukan terlebih awal.

1
3. Dengan jasa seorang ayah akan menjadikan seorang itu menjadi anak yang berguna dan berjaya dalam
kehidupannya. Contohnya, si ayah telah berjaya mendidik si anak menjadi seorang anak yang baik,
bertimbang rasa, cekal, tabah dan tidak berputus asa dalam mengharungi suka duka/susah senang
kehidupan di dunia ini.

NILAI
1. Menunjukkan seorang ayah yang telah berjaya mendidik anak tentang ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.

2. Kebaikan yang diperlihatkan oleh ayah ini menjadi tauladan yang baik kepada semua kerana dapat mendidik
anak-anaknya hingga berjaya.

3. Anak-anak yang telah dididik dengan baik dan sempurna oleh ibu bapa mereka akan sentiasa mengenang
didikan yang diberikan.

PENGAJARAN
1. Setiap anak mesti sentiasa mengingati jasa dan didikan kedua ibu bapa walaupun mereka sudah tiada lagi di
dunia ini.

2. Kita haruslah merelakan pemergian orang tua dengan hati yang ikhlas dan sentiasa berdoa untuk mereka.

3. Kita mestilah sentiasa ingat bahawa kematian adalah suatu yang pasti akan berlaku kepada setiap manusia di
dunia ini.

CORAK
Ode yang bermaksud sanjungan terhadap tokoh. Buktinya seorang anak yang mengingati dan menyanjung ayahnya
yang telah meninggal dunia kerana telah berjaya menjalankan tanggungjawapnya sebagai ayah semasa hidupnya.

Epigram iaitu nasihat kepada kita agar sentiasa mengenang jasa/bakti si ayah dalam mendidik dan membersarkan
kita sehingga kita menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara tidak kira sama ada si ayah itu masih
hidup ataupun telah meninggal dunia.

ALIRAN
Realisme yang bererti kehidupan sebenar. Buktinya sajak ini mengungkapkan kebenaran tentang seorang ayah yang
telah mendidik anaknya sehingga anak-anaknya berjaya.

Didaktisisme yang bererti didikan atau pengajaran. Buktinya sajak ini mendidik dan mengajar kita supaya menerima
segala ketentuanNya dengan redha tanpa rasa kesal atau menyalahkan orang lain.

NADA
Sedih kerana kehilangan seorang ayah yang telah berjasa mendidik anak-anaknya untuk mengenal erti kehidupan.

Sajak ‘Ayah’ juga bernada semangat dan harapan kerana anak-anak yang ditinggalkan oleh si ayah diharap akan
menjalani kehidupan dengan lebih baik melalui didikan yang telah diberikan.

BENTUK
Sajak ini mengandungi 3 rangkap. Rangkap 1 ada enam baris (sekstet), rangkap 2 ada empat baris (quatrain),
manakala rangkap 3 ada lima baris (quint).

Jumlah sukukata dalam satu baris tidak menentu. Sukukata paling pendek ialah 6 sukukata. Contohnya, ‘a/ku/
pu/te/ra/mu’(R3:B1). Manakala, jumlah sukukata paling banyak ialah 18 sukukata. Contohnya, ‘ka/mi/
me/nge/ta/hu/i/na/sib/mu/te/lah/du/lu/di/ten/tu/kan’.(R2:B4)

Rima akhir sajak juga tidak tetap. Rima akhir rangkap 1 ialah a/a/b/b/c/b, rangkap 2 a/b/b/b dan rangkap rangkap 3
ialah a/b/c/c/c.

2
Kesimpulannya, bentuk sajak ini bebas dan tidak terikat dengan puisi lama sama ada dari segi jumlah baris, jumlah
sukukata dan rima akhir.

GAYA BAHASA
1. Asonansi ialah perulangan bunyi huruf vokal.Contoh:
(a) Asonansi ‘a’ (sebanyak 7 kali) - bersama hidayat dan cinta Tuhan (R1:B2)
(b) Asonani ‘u’ (sebanyak 7 kali ) - Setelah kau hidup tujuh puluh tiga tahun(R1:B1)

2. Aliterasi bermaksud perulangan huruf konsonan.Contoh:


(a) Aliterasi ‘k’ (sebanyak 3 kali) - tanpa kesal atau marahkan kuasa Tuhan (R2:B3)
(b) Aliterasi ‘n’ (sebanyak 5 kali) - mengenal kesukaran dan ketakwaan (R3:B3)

3. Repitasi bererti perulangan kata di mana-mana (tidak tersusun) dalam sebuah sajak.
Contoh :
(a) Perulangan perkataan ‘kau’ (R1:B3),(R1:B3)
(b) Perulangan perkataan ‘dan’ (R1:B2), (R3:B3)
(c) Perulangan perkataan ‘Tuhan’ (R1:B2), (R2:B3)
(d) perulangan perkataan ‘pun’(RA1:B3), (R2:B1)
(e) Perulangan perkataan ‘kami’(R2:B1), (R2:B4)
(f) Perulangan perkataan ‘telah’(R2:B4), (R3:B2)
(g) Perulangan perkataan ‘hatiku’(R3:B4), (R3:B5)
(h) Perulangan perkataan ‘dalam’(R3:B4), (R3:B5)

4. Anafora bererti perulangan kata atau frasa pada awal baris ayat.Contoh :
(a) Kau lembutkan hatiku dalam kedegilan. (R3:B4)
Kau keraskan hatiku dalam kelemahaan (R3:B5)

5. Responsi bererti perulangan perkataan pada tengah baris ayat.Contoh :


(a) Kau lembutkan hatiku dalam kedegilan (R3:B4)
Kau keraskan hatiku dalam kelemahan (R3:B5)

6. Simile bererti membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan perkataan bagai,
seperti, bak, umpama dan sebagainya.
Contoh : ‘bagai nakhoda dengan kapal’ (R1:B4)

7. Paradoks bererti perkataan yang berlawanan.


Contoh : kau lembutkan hatiku dalam kedegilan (R3:B4)
Kau keraskan hatiku dalam kelemahan (R3:B5)

8. Bahasa asing bererti bahasa yang dipinjam dari bahasa lain, selain bahasa Melayu seperti bahasa Inggeris,
Arab dan lain-lain.
Contoh : ‘hidayat’ (R1:B2)
ketaqwaan’ (R3:B3)

9. Simbol bererti biasanya merujuk kepada kata-kata yang dipilih memberi erti yang lain disebaliknya.
Simbol juga disebut sebagai lambang. Simbol yang biasa atau universal amat mudah difahami berbanding
dengan simbol yang dinamik atau yang sengaja dicipta baharu oleh penyajak.Contoh :
(a) ‘Pelabuhan sementara’ yang bermaksud hidup di dunia yang sementara (R1:B5)
(b) nakhoda dengan kapal’ yang bermaksud ketua yang berjaya (R1:B4)

You might also like