You are on page 1of 16

Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-6 (PASAK6 2021) – Dalam Talian

9 & 10 November 2021 (eISSN 2811-4051)

LEGASI DAENG PARANI DI KAMPUNG EKOR LUBUK, SIDAM KIRI, KEDAH,


MALAYSIA.

Jasni bin Ahmad


0174804551
Universiti Utara Malaysia
jasniahmad27@yahoo.com

Hashima binti Sulaiman (PhD)


0124100465
IPG Kampus Tuanku Bainun
14000 Bukit Mertajam
Pulau Pinang
hashima.sulaiman@yahoo.com

ABSTRAK

Kajian ini mengkaji masyarakat Bugis di Kampung Ekor Lubuk, Mukim Sidam Kiri, Kedah,
Malaysia. Kampung Ekor Lubuk mencatatkan sejarahnya yang terdiri apabila sebilangan ahli
masyarakatnya berketurunan Bugis Opu Daeng Parani. Catatan sejarah melakarkan bahawa
Opu Daeng Parani terkorban selepas bertempur dengan Raja Kechil Siak pada tahun 1724
dan jasadnya dikebumikan di Kampung Ekor Lubuk. Walaupun peristiwa sejarah tersebut
telah menjangkau hampir 300 tahun dahulu, namun masih ada waris keturunan Opu Daeng
Parani yang mempertahankan legasi warisan mereka sehingga ke hari ini. Objektif kajian ini
bagi meneliti legasi Bugis di Kampung Ekor Lubuk, Mukim Sidam Kiri, Kedah. Kajian
sejarah ini menggunakan rujukan kepustakaan dengan menganalisis sumber primer dan
sumber sekunder. Selain itu, instrumen kajian melibatkan temu bual dengan responden yang
merupakan warisan keturunan Bugis di Kampung Ekor Lubuk, Penaung dan Ahli
Jawatankuasa Persatuan Sejarah Negeri Kedah serta ahli akademik yang terlibat dalam forum
tentang kedudukan makam Daeng Parani. Dapatan kajian mendapati bahawa legasi sosio-
budaya Bugis di Kampung Ekor Lubuk kurang ditemui kerana lama terputus dengan budaya
asal mereka. Namun begitu banyak terdapat artifak Bugis yang ditemui di Kampung Ekor
Lubuk, Mukim Sidam Kiri yang mampu membuktikan jejak Bugis sejak 300 tahun dahulu.

Kata Kunci: Legasi Bugis, Waris Keturunan Opu Daeng Parani, Penemuan Artifak.

126
Pengenalan

Suku Bugis merujuk kepada masyarakat yang mendiami selatan Pulau Sulawesi. Bugis
berasal daripada perkataan To-Ugi yang merujuk kepada sebuah tempat, iaitu Pammana
dalam daerah Wajo. Masyarakat Bugis yang datang ke Tanah Melayu berasal daripada dua
kelompok yang besar iaitu kelompok To’ Ugi (Bugis) dan kelompok To’ Mengkasara
(Makassar).1 Perkataan ‘to’ merujuk kepada orang yang berkarekter tertentu seperti pelaut
yang handal.2 Kedatangan suku Bugis ke Tanah Melayu disebabkan keadaan politik yang
tidak stabil akibat perebutan kuasa, sifat orang Bugis yang suka merantau dan falsafah Siri’
na Pesse’.3 Hubungan Bugis dan Kedah bermula sebelum abad ke-16 lagi melalui
perdagangan rempah ratus dan bijih besi. Kebanyakan bahan hasil dari bumi Kedah
didagangkan oleh pedagang Bugis yang banyak memainkan peranan ketika itu. Akibat
kepentingan perdagangan tersebut, ada antara orang Bugis yang terus menetap di kawasan -
kawasan tertentu dalam negeri Kedah. Pada awal abad ke-18, ketika pemerintahan Sultan
Muhammad Jiwa II (1710-1778)4 berlaku konflik dengan adik ipar tirinya, iaitu Raja
Nambang (Raja Bakar). Hal ini disebabkan Raja Nambang mendakwa, bagindalah yang lebih
berhak menduduki takhta Kedah. Bagi merealisasikan hasratnya, Raja Nambang telah
mendapatkan bantuan Raja Kecil. Manakala Sultan Muhammad Jiwa II mendapatkan
bantuan Bugis Lima Bersaudara. Akhirnya, peperangan dapat ditamatkan dan kemenangan
memihak kepada Sultan Muhammad Jiwa II. Sultan Muhammad Jiwa II membayar tiga
bahara ringgit daripada 15 bahara yang telah dijanjikan kepada Bugis.5 Selain itu, Daeng
Parani dikahwinkan dengan adinda Sultan Muhammad Jiwa II, iaitu Tunku Aisyah. Hasil
perkahwinan tersebut, Daeng Parani memperoleh dua orang anak. Anak pertamanya
perempuan yang tidak dinyatakan namanya dalam Tuhfat Al-Nafis tetapi dalam teks
wawancara Tengku Kudin menyatakan anak perempuan Daeng Parani bernama Tengku
Bunga.6 Manakala anak keduanya lelaki bernama Wan Idris Bin Daeng Parani. Keturunan
Bugis bertebaran di negeri Kedah seperti di Kulim, Sungai Petani, Alor Setar, Pinang

1
Norhalim Ibrahim, Sejarah Linggi: Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri Sembilan, Shah Alam: Fajar
Bakti Sdn. Bhd., 1998, hlm. 28.
2
Terance W. Bigalke (terjemahan M. Yuanda Zara), Sejarah Sosial Tana Toraja, Yogyakarta: Ombak, 2016,
hlm. 5.
3
Mochtar Naim, Merantau dan Pengaruhnya terhadap Pembangunan Daerah, Jakarta: Prisma, 1972, hlm. 36.
4
Sebelum dilantik menjadi sultan, Sultan Muhammad Jiwa II pernah merantau ke seluruh rantau Melayu dan
mengetahui kehebatan orang Bugis ketika berada di Pulau Sumatera dan Jawa lagi melalui cerita-cerita
hulubalang di sana. Rujuk Asmad, Kedah, Melaka: Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd, 1987,
hlm. 19.
5
Satu bahara Ringgit bersamaan 180 kilogram (300 kati) emas. Temu bual bersama Abdullah Zakaria pada 28
Ogos 2018 bertempat di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Rujuk juga penggunaan ringgit dalam, Mohd. Yusof
Md. Nor, Salasilah Melayu Dan Bugis, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1997, hlm. 20.

6
Bahagian Koleksi Sejarah Kedah, Keturunan Bugis Dalam Salasilah Kesultanan Kedah, Rekod bertulis temu
bual antara Kartika Shahreema Mohd Sab dengan YM Tengku Kudin b. Tengku Yaacob, Perbadanan
Perpustakaan Awam Kedah, 24 Mac 1996. Rujuk juga Kerajaan Negeri Kedah Darulaman, Alor Setar 250
Tahun (1735-1985), Kedah: Kerajaan Negeri Kedah, 1990, hlm. 24.

127
Tunggal dan Kuala Muda hingga ke Kampung Ekor Lubuk yang merupakan penempatan
keturunan Daeng Parani.
Metodologi

Kajian ini merupakan satu kajian sejarah yang menggunakan kaedah kualitatif dengan
pendekatan diskriptif analisis. Kajian dianalisis mengikut kronologi masa dan dibuat secara
tematik bagi mengelakkan pertindihan fakta serta pengulangan bukti. Penyelidikan ini
melibatkan kajian kepustakaan yang dijalankan di Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur,
Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Kedah, Muzium Negeri Kedah, Perpustakaan
Awam Negeri Kedah, Perpustakaan Universiti Sains Malaysia, Perpustakaan Universiti Utara
Malaysia, Perpustakaan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Galeri Persatuan Opu Daeng
Parani di Kampung Ekor Lubuk. Kajian kepustakaan menemukan sumber primer yang
diterbitkan seperti Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu
Bugis, dan Misa Melayu. Manakala sumber primer yang tidak diterbitkan seperti surat rasmi
Persatuan Keturunan Opu Daeng Parani, carta salasilah keturunan Daeng Parani di Kedah,
artifak peninggalan Bugis, sijil pendaftaran Persatuan Keturunan Opu Daeng Parani dan
rekod bertulis waris keturunan Daeng Parani. Bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian, temu
bual turut dijalankan bagi mengisi jurang kajian. Enam responden yang ditemui ialah Cik
Roshazliza bt Abdul Razak yang juga generasi kelapan keturunan Daeng Parani dan Ustaz
Wan Hizam Wan Abdullah Sabil iaitu bekas Pengerusi Persatuan Opu Keturunan Daeng
Parani yang juga generasi ketujuh keturunan Daeng Parani. Selain itu, responden kajian juga
melibatkan ahli panel forum perdebatan makan Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk iaitu
Dato’ Dr. Wan Shamsuddin Mohd Yusof (Penaung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan
Kedah) dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali. Temu bual turut
dijalankan dengan Hajjah Sopiah bt Ramli (setiausaha kehormat Persatuan Sejarah Malaysia
Cawangan Kedah (PSMCK) dan penolong setiausahanya iaitu Encik Mohd Jamil bin Haji
Ramli. Kajian kes turut dilaksanakan dengan turun ke lapangan seperti ke Kampung Ekor
Lubuk dan Muzium Kota Kuala Kedah. Maklumat yang diperoleh daripada sumber primer,
sekunder dan temu bual dapat mengukuhkan kesahan serta kebolehpercayaan kajian.

Perbincangan

Kampung Ekor Lubuk

Kampung Ekor Lubuk yang terletak dipinggir Sungai Muda dahulunya dikenali sebagai
Teluk Bagan yang bermaksud kawasan berteluk dan banyak ikan serta terdapat sebuah
pelantar kecil tempat memunggah barang dari sungai ke darat oleh pedagang dari Burma
(Myanmar). Sejarah Teluk Bagan, dikisahkan sebagai kawasan orang Bugis yang pernah
mengamuk dan membunuh ramai orang Melayu ketika perbalahan dengan penduduk
tempatan Kedah dalam siri serangan yang bermula pada tahun 1687 lagi. Lokasi kampung
tersebut yang terpencil dan hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai suatu ketika dahulu
menjadikanya tidak dikenali penduduk setempat. Kesan sejarah serangan Bugis dan
pandangan penduduk tempatan yang menakutkan serta menganggap kampung tersebut
didiami pembunuh orang Melayu menyebabkan nama Teluk Bagan ditukar kepada Pantai

128
Sepom (Sepom adalah nama lain bagi asam kumbang yang pohonnya banyak terdapat di situ
dan keadaan sungai yang berpantai). Nama tersebut dipilih oleh seorang guru yang mengajar
di Sekolah Kebangsaan Sidam pada tahun 1957. Namun berlaku kekeliruan apabila namanya
hampir sama dengan sebuah perkampungan di daerah Tikam Batu, iaitu Kampung Pulau
Sepom. Hal ini menyebabkan nama Kampung Pantai Sepom ditukar pula menjadi Kampung
Ekor Lubuk oleh salah seorang penduduk pada tahun 1970an kerana banyak terdapat ikan
dan lubuk di situ akibat aliran sungai yang bengkang bengkok. Lokasi Kampung Ekor Lubuk
terletak di pinggir sungai yang sangat penting suatu ketika dahulu. Sungai Muda menjadi
jalan perdagangan utama membawa barang dagangan dari China dan Siam. Barangan tersebut
dibawa ke pelabuhan utama di pantai barat Tanah Melayu termasuk pelabuhan Sungai Mas
(Sungai Batu) dan Lembah Bujang yang suatu ketika merupakan pelabuhan terkenal.

Kampung Ekor Lubuk terletak dalam Mukim Sidam Kiri bersempadan dengan Mukim Sidam
Kanan dan Teloi Kanan di bahagian Timur dan bahagian baratnya disempadani dengan
Mukim Pinang Tunggal. Bahagian utaranya pula, disempadani dengan Mukim Sungai Petani
dan Teloi Kiri. Manakala bahagian selatannya disempadani dengan mukim Sidam Kanan dan
Seberang Prai (U) Pulau Pinang. Jarak Kampung Ekor Lubuk dari pekan Sungai Petani ialah
16 kilometer dan 10 kilometer ke pekan Padang Serai. Kampung Ekor Lubuk terletak di
tebing Sungai Muda yang memisahkan Seberang Prai (U) dan Kedah. Orang Bugis tinggal di
kuala-kuala sungai dan sepanjang sungai di Kedah supaya dapat mengawal laluan keluar
masuk ke Kedah demi mempertahankan Kedah daripada serangan pihak luar. Di Kampung
Ekor Lubuk terdapat dua batang pokok binjai sebesar tiga pemeluk ditepi sungai yang dibina
tambak, dikatakan berusia lebih 300 tahun. Pohon binjai dikatakan sebagai tempat mengikat
perahu dan kapal askar Bugis selepas pulang dari medan perang. Pokok binjai ini tidak
ditebang bagi merakamkan sejarah kedatangan Bugis di Kedah. Manakala di seberang sungai
terdapat runtuhan rumah akibat banjir. Terdapat kesan mendapan dan keadaan tebing sungai
berteluk-teluk menggambarkan struktur sungai yang dalam pada suatu ketika dulu. Kesan-
kesan sungai masih kelihatan walaupun sungai tersebut ditambak untuk tebatan banjir.

Penduduk Kampung Ekor Lubuk dianggarkan melebihi 500 orang jika diunjurkan dari Loji
Air Pinang Tunggal memanjang tebing Sungai Muda hingga ke kampung Ekor Lubuk.
Sejarah tanah penempatan di Kampung Ekor Lubuk dianugerahkan oleh Sultan Muhammad
Jiwa II, iaitu Sultan Kedah yang ke-19 (1710-1778).7 Tanah yang berkeluasan hampir 10
hektar yang mengunjur dari Bakar Arang hingga ke Kampung Ekor Lubuk. Terdapat
segelintir pemilik tanah yang menjual tanah mereka terutamanya di kawasan Bakar Arang
yang mempunyai nilai yang tinggi kerana berdekatan kawasan industri.

Keturunan Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk

7
Sultan Muhammad jiwa II pernah mengarahkan anakanda baginda iaitu Tunku Long Putera untuk menjaga
tanah yakni membuat geran untuk setiap tanah dan mengagihkan tanah kepada rakyat untuk dibuat sawah yang
mana pada ketika itu hasil padi merupakan satu hasil pendapatan yang utama di negeri Kedah. Rujuk Ahmad
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Sejarah Kedah Dua Millenia, Sintok: UUM, 2016, hlm. 109.

129
Perkahwinan Opu Daeng Parani dengan Tunku Aisyah telah melahirkan seorang anak lelaki
bernama Wan Idris. Keturunan Daeng Parani antaranya ialah Wan Idris dan Wan Chik
Abdullah iaitu generasi ketiga keturunan Daeng Parani. Manakala generasi keempat ialah
Wan Jaafar, Wan Jusoh, Wan Kassim, Wan Hanafi dan Wan Saad. Salasilah generasi keenam
Daeng Parani di Kedah ialah Wan Osman Bin Wan Daud, Siti Hawa Binti Shu’aib dan
Roshidah Binti Shu’aib. Cik Roshasliza Binti Abdul Razak merupakan generasi kelapan
keturunan Daeng Parani dan telah tiada pangkal nama ‘wan’ di hadapan nama mereka kerana
keturunan Daeng Parani telah bercampur baur dengan masyarakat setempat. Kesan tinggalan
Bugis banyak terdapat di Kampung Ekor Lubuk seperti pinggan mangkuk, batil tembaga,
tempayan, mata keris Sumatera, mata lembing, batu giling, tepak sirih, senduk dan talam
berkaki. Semua artifak ini ada yang masih tersimpan di rumah Cik Roshazliza Abdul Razak
yang turut dijadikan sebagai galeri pameran yang menyimpan gambar, surat menyurat dan
segala dokumen yang berkaitan dengan Bugis di Kampung Ekor Lubuk.

Rajah 1 di bawah menunjukkan keadaan rumah yang serba sederhana ini dijadikan sebagai
galeri menyimpan khazanah Bugis yang tersisa. Catatan dan gambar ditampal pada papan
kayu dan disandarkan di dinding rumah. Segala usaha ini dibuat bersendirian oleh saudari
Roshazliza Abdul Razak sebagai satu usahanya untuk memberi maklumat kepada pengunjung
bahawa mereka merupakan legasi keturunan Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk.

Rajah 1. Rumah Pusaka dijadikan Galeri Bugis dan saudari Roshazliza Abdul Razak sentiasa
bersedia memberi penerangan kepada pengunjung yang datang ke Kampung Ekor Lubuk.

Persatuan Keturunan Opu Daeng Parani

Persatuan Keturunan Opu Daeng Parani didaftarkan sebagai suatu pertubuhan di bawah
Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dengan nombor pendaftaran 2253-07-KDH pada 21
November 2007. Sebelum persatuan ditubuhkan secara rasmi, waris keturunan Daeng Parani
telah berusaha dan berjaya mengesahkan kedudukan makam Daeng Parani di Kampung Ekor
Lubuk. Berikut merupakan kronologi peristiwa detik mula pengisytiharan makam Daeng
Parani dan aktiviti persatuan adalah seperti berikut:
i. 3 Julai 1997- Penemuan nisan kayu oleh Tuan Haji Husin bin Awang semasa
gotong royong membersihkan pokok sena yang tumbang di Kampung Ekor
Lubuk. Ketika itulah ditemukan tanda asal makam yang berupa nisan kayu.

130
ii. 6 Julai 1998 – makam tersebut dikunjungi buat kali pertamanya oleh Yang
Amat Mulia Tengku Izuddin Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Idris Shah
Afifullah SPCM Raja Kecil Besar Negeri Perak. Usaha baik pulih makam
telah dilakukan.
iii. 4 hingga 5 Ogos 2006 - Rombongan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan
Selangor dan 20 orang ahli PERZARA (Persatuan Zuriat Anak Raja Abdullah)
melawat makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk.
iv. 25 Februari 2007 – Satu pameran bertajuk ‘Menjejaki Daeng Lima
Bersaudara’ yang disertai 12 orang ahli PERZARA.
v. 10 hingga 11 Mac 2007 - Diadakan Majlis Pertemuan Daeng Lima Bersaudara
bertempat di Kampung Ekor Lubuk.
vi. 16 Mac 2007 - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor
memaklumkan mereka telah menerima manuskrip salasilah Opu Daeng Parani
yang disimpan oleh Persatuan Keturunan Daeng Parani.
vii. 27 April 2007 – Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah
menghantar surat jemputan kepada waris keturunan Daeng Parani untuk
menghadiri forum perdebatan tentang makam.
viii. 13 Mei 2007 – Penganjuran forum tentang kedudukan makam Daeng Parani.
ix. 19 Jun 2007 – Surat pengesahan makam Daeng Parani dikeluarkan oleh
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.
x. 21 Jun 2007 - Sepucuk surat daripada Persatuan Opu Daeng Parani kepada
Persatuan Sejarah Malaysia bagi memaklumkannya tarikh pengisytiharan
makam.
xi. 1 Julai 2007 – Surat daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri
Kedah tentang persetujuan tarikh untuk mengisytiharkan letak sebenar makam
Daeng Parani.
xii. 11 Julai 2007 – Sepucuk surat diterima daripada Pejabat Menteri Kebudayaan
Kesenian dan Warisan Malaysia menyatakan Yang Berhormat Datuk Seri
Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia
tidak dapat hadir ke Majlis Pengisytiharaan Makam Opu Daeng Parani kerana
dijadualkan menghadiri majlis sempena Ulangtahun Keputeraan KDYMM
Paduka Seri Baginda Sultan Brunei.
xiii. 14 Julai 2007 – Pengisytiharan makam Daeng Parani.
xiv. 16 November 2007 - Jabatan Warisan Negara menjalankan penyelidikan bagi
menentukan kebenaran dari aspek arkeologi mahupun artifak yang terdapat di
Kampung Ekor Lubuk. 8
xv. Pada 19 Disember 2007, satu pertemuan diatur oleh pengerusi Persatuan
Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dengan Yang DiPertua Persatuan Kerabat
DiRaja Kedah (PKDK) iaitu Tengku Zainal Rashid Bin Tengku Yahya
bersama penolong setiausaha pihak tersebut iaitu Syed Zaki Bin Syed Mohd
Bakhir bagi membincangkan dan memaklumkan bahawa Makam Pahlawan
Opu Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk, Kulim telah disahkan.9

8
Surat. JWN600/1, Penyelidikan Makam Opu Daeng Parani, 2007.
9
Pihak Persatuan Kerabat DiRaja bersetuju menerima pengesahan tersebut dan mencadangkan agar semua
zuriat Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk menjadi ahli Persatuan Kerabat DiRaja Kedah. Penaung bagi
majlis ini adalah Datuk Dr Ismail Ibrahim. Manakala Professor Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Y.B.
Mohammad Radzhi Bin Salleh dan Tunku Zamil Bin General Tan Sri Dato Tunku Osman iaitu Timbalan Yang
DiPertua Persatuan Kerabat DiRaja Kedah bersama isteri turut terlibat dalam perbincangan. Pada akhir majlis
turut dikunjungi Yang DiPertua Persatuan Bugis Negeri Johor bersama ahli keluarga.

131
xvi. 21 November 2007 – Persatuan Keturunan Opu Daeng Parani didaftarkan
secara rasmi di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dan nombor
pendaftarannya ialah 2253-07-KDH pada 21 November 2007. Surat daripada
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan negeri Kedah bertarikh 21 November 2007
yang memberi kebenaran bergerak sementara juga dikeluarkan.
xvii. 24 November 2007 – Surat Permohonan daripada Persatuan Keturunan Opu
Daeng Parani kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kedah untuk
Lawatan Kedutaan Indonesia dan lawatan KEKWA serta jabatan kerajaan
yang berkaitan ke Kampung Ekor Lubuk.
xviii. 19 Disember 2007 – Pertemuan antara Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan
Negeri Kedah dengan Persatuan Kerabat Diraja Kedah tentang pemakluman
makam Daeng Parani.
xix. 15 April 2008 – Perjumpaan antara wakil negara Malaysia dan Indonesia bagi
membincangkan sejarah Daeng parani.
xx. 12 Julai 2008 – Majlis Perhimpunan Keluarga Opu Daeng Parani. Satu Majlis
Perhimpunan Waris Opu Daeng Lima Bersaudara berhimpun di Kampung
Ekor Lubuk. Majlis dinaungi oleh Tan Sri Dato’ Dr. Ismail b. Ibrahim. Tujuan
majlis diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara waris Opu Daeng Lima
Bersaudara. Antara pengisian sepanjang majlis perjumpaan itu ialah bacaan
tahlil, syarahan tentang Bugis di Malaysia dan luar negara, pameran artifak
Bugis, sukaneka dan pendaftaran ahli persatuan.
xxi. 14 Jun 2010 – Surat penghargaan daripada Persatuan Sejarah Malaysia
Cawangan Negeri Kedah kepada Persatuan Keturunan Opu Daeng Parani.
xxii. 24 Januari 2011 – Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman mengeluarkan surat
pengesahan makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk.
xxiii. 14 Mac 2011 – Keberangkatan Tuanku Panglima Besar Kedah, Dato’ Seri
Tunku Puteri Intan Safinaz binti KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim
Mu’adzam Shah ke Makam Daeng Parani di kampung Ekor Lubuk.
xxiv. 3 Disember 2012 – Keberangkatan Y.A.M Tengku Shakarinal Shah ke
Makam Opu Daeng Parani.

Tujuan penubuhan persatuan untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan waris keturunan
Bugis. Pelbagai program diatur selepas pengesahan Makam Daeng Parani. Sejumlah
peruntukan dipohon daripada Jabatan Warisan Negara yang bertujuan untuk membaik pulih
dan membina semula Makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk. Cik Roshasliza Binti
Abdul Razak adalah salah seorang pewaris keturunan Daeng Parani yang bertanggungjawab
dalam penubuhan Persatuan Opu Daeng Parani dan telah berusaha mengumpulkan semula
zuriat dan kerabat-kerabat keturunan ini bagi menyatukan semula waris-waris Opu Daeng
Parani dan Tunku Aisyah di seluruh tanah air.

Penemuan Nisan Lama di Kampung Ekor Lubuk

Zaman dahulu batu nisan dibuat daripada batu sungai atau batang pokok yang kukuh. Jarang
sekali diletakkan nama dan tarikh kematian jika ada sekalipun hanya torehan pada batu atau
kayu yang lama kelamaan akan luput dimakan usia. Kisahnya di Kampung Ekor Lubuk juga
ditemui sebatang nisan kayu yang diperbuat daripada bahagian perdu kayu cengal yang sudah
mereput dan kelihatan seperti tunggul. Nisan kayu ini ditemui pada 3 Julai 1997 oleh Tuan

132
Haji Husin bin Awang semasa gotong royong pembersihan pokok sena yang tumpang di
kawasan perkuburan di Kampung Ekor Lubuk. Kayu nisan lama ini berukuran 80 cm tinggi
dan ukur lilit bahagian bawah 50 cm manakala ukur lilit bahagian atas 54 cm. Kayu nisan
tersebut berlubang-lubang dimakan usia dan terdapat juga kesan belahan pada kayu nisan
tersebut. Kajian yang pernah dibuat oleh pakar dari Muzium Selangor, iaitu Intan Salina bt
Idrus, Mohd Asruddin b. Selmat, Mohd Noor Hisham b. Ibrahim dan Arbayah bt Zaini
menunjukkan nisan yang ditemui dibuat daripada kayu pokok sena atau cengal. Menurut Cik
Roshazliza bt Abdul Razak, nisan kayu itu kemudiannya dipinjam oleh waris keturunan
Daeng Parani dari Sabak Bernam. Pada 31 Ogos 2006, pihak Roshazliza bt Abdul Razak
cuba mendapatkan kembali nisan kayu tersebut namun telah hilang kerana dipotong-potong
kecil dan dijadikan tangkal azimat dalam aktiviti perbomohan.

Makam Daeng Parani

Kedudukan makam Daeng Parani sering diperdebatkan seperti dinyatakan berada di Alor
Setar, di Kepulauan Riau dan di Kampung Ekor Lubuk. Perdebatan tersebut lebih memihak
bahawa makam Daeng Parani berada di Kampung Ekor Lubuk. Pengesahan makam Daeng
Parani terletak di Kampung Ekor Lubuk bertitik tolak daripada penemuan bahan bukti, iaitu
separuh kayu nisan yang berkembar tertanam di dalam pangkal (perdu) pokok sena besar
yang telah tumbang. Sebelum penemuan kayu nisan itu, terdapat waris keturunan Daeng
Parani yang mendapat mimpi menemui makam. Berdasarkan kayu nisan yang ditemui pada
tahun 1997 itu membuktikan bahawa terdapat sebuah makam lama dan yang dimaksudkan
ialah makam Daeng Parani. Maka satu upacara meletak batu asas di atas makam almarhum
Daeng Parani telah diadakan pada 6 Julai 1998 pada hari sempena menyambut pertemuan
mesra anak cucu cicit ‘Mallom Basi Juak Matawang Upu Dahing Perani.’ Majlis tersebut
disempurnakan oleh Raja Kecil Besar Negeri Perak, Yang Teramat Mulia Tengku Izuddin
Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Idris Shah Afifullah (keturunan salasilah Bugis).

Rajah 2 di bawah dipercayai kedudukan asal makam Daeng Parani yang terletak antara dua
pohon sena di Kampung Ekor Lubuk. Nisan kayu lama ditemui di antara celah perdu pokok
sena yang tumbang.

Rajah 2. Makam asal Daeng Parani ditemui di Kampung Ekor Lubuk.

133
Makam Daeng Parani telah dibaik pulih oleh zuriat keturunannya dari Selangor dan Perak
bersesuaian dengan sumbangan beliau terhadap kerajaan Kedah pada masa dahulu. Kos
keseluruhan pembinaan semula makam berjumlah RM5000 telah disumbangkan oleh Yang
Amat Mulia Tengku Izuddin Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Idris Shah Afifullah SPCM
Raja Kecil Besar Negeri Perak. Diletakkan papan tanda di hadapan pintu masuk kawasan
perkuburan makam Daeng Parani yang memberi sedikit keterangan mengenai tokoh Bugis
dan saudaranya.

Rajah 3. Papan Tanda Makam Daeng Parani di Pintu Pagar Makam.

Papan tanda bertulis Makam Opu Daeng Parani (Dahing Paroni) yang meninggal pada tahun
1724. Daeng Parani ialah anakanda Opu Tendriburang Daeng Rilakka (Rilaga), iaitu Raja
Bugis di negeri Luwuk. Daeng Rilakka mempunya lima orang anak, iaitu Daeng Parani,
Daeng Merewah, Daeng Celak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi. Selain itu, batu nisan
makam telah digantikan dengan yang lebih baik. Tinggi batu nisan di bahagian kepala (atas)
ialah 27 inci, manakala ukur lilit batu nisan yang berbentuk segiempat ialah 8 inci x 7 inci di
bahagian kepala dan 7 inci x 7 inci bagi batu nisan di bahagian kaki. Marmar putih dibina
atas makam Daeng Parani, bagi tingkat bawah, berkeluasan 138.5 inci panjang dan 71 inci
lebar manakala tingkat atasnya berkeluasan 99 inci panjang dan 44 inci lebar. Di sekeliling
makam juga dibina bumbung berlantai simen dan tiang berwarna kuning. Ketinggian
bumbung tersebut ialah 10 kaki. Nisan bertulisan jawi tertera nama dan tahun kemangkatan
baginda ‘Al-Fatihah Makam Persatuan Opu Daeng Parani Daeng Parani mangkat 1724’.

134
Rajah 4. Batu Nisan Makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk.

Rajah 5. Batu Catatan yang Terdapat di Makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk.
Setelah lokasi makam diisytiharkan di Kampung Ekor Lubuk, maka pelbagai pihak sering
berkunjung ke sini untuk melihat sendiri keadaan makam. Pada 12 Julai 2008, seramai 1000
orang keturunan Opu Daeng Lima Bersaudara dari seluruh Malaysia berhimpun di Kampung
Ekor Lubuk, Sidam Kiri bagi menyaksikan pemasyhuran Makam Opu Daeng Parani. Pada 3
Januari 2012, Kampung Ekor Lubuk dikunjungi lagi oleh kerabat diraja. Kali ini ialah
keberangkatan Y.A.M Tengku Shakarinal Shah ke Makam Opu Daeng Parani. Kehadiran
Tengku Shakarinal mengukuhkan lokasi makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk
kerana aura baginda kuat menyatakan bahawa inilah makam nenek moyang baginda.

Penemuan Artifak Bugis di Kampung Ekor Lubuk

Kajian Yunus Sauman Sabin, iaitu sarjana arkeologis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris
mendapati terdapat banyak tempat persinggahan pedagang dahulu kala dan ada antaranya
menjadi pusat pertukaran barang antara penduduk setempat. Beberapa bukti ditemui seperti
tembikar lama zaman dinasti Ming dan pinggan mangkuk lama dari negeri China. Barangan
tersebut bukan sahaja ditemui di Kampung Ekor Lubuk tetapi di beberapa tempat sepanjang
sungai tersebut seperti di Baling dan Gerik. Kesan tinggalan Bugis banyak terdapat di
Kampung Ekor Lubuk seperti pinggan mangkuk, batil tembaga, tempayan, mata keris
Sumatera, mata lembing, batu giling, tepak sirih, senduk dan talam berkaki. Semua artifak ini
ada yang masih tersimpan di rumah Cik Roshazliza Abdul Razak yang turut dijadikan
sebagai galeri pameran yang menyimpan gambar, surat menyurat dan segala dokumen yang
berkaitan dengan Bugis di Kampung Ekor Lubuk. Di Kampung Ekor Lubuk juga terdapat
panduan pelayaran Bugis yang berusia lebih 300 tahun dipercayai digunakan oleh Daeng

135
Parani ketika menjelajah ke Tanah Melayu. Manuskrip ini dahulunya disimpan oleh waris
keturunan Daeng Parani, iaitu Wan Jaafar bin Wan Chik Abdullah bin Wan Idris bin Daeng
Parani. Panduan pelayaran Bugis seperti dalam rajah 6 berikut:

Rajah 6. Panduan Pelayaran Daeng Parani yang disimpan oleh waris Daeng Parani di
Kampung Ekor Lubuk.

Usaha menterjemahkan jadual pelayaran itu telah dilakukan oleh Encik Nor Azam bin Mat
Nor yang juga zuriat keturunan Daeng Parani. Manuskrip ini dikatakan dibawa bersama
dengan barang-barang yang lain seperti keris panjang, tempayan, batil, lesung, dulang dan
lain-lain kepunyaan Daeng Parani Lima Bersaudara. Manuskrip bersimbol zodiak bintang
dua belas astrologi mempunyai unsur pedoman arah perjalanan dan pelayaran. Lukisan
burung merak disebut ‘merak kayangan’ dan pada halaman kedua terpapar lukisan ‘singa
buana’. Lambang merak kayangan dan singa buana menjadi lambang keturunan Opu Bugis
Lima Bersaudara dan lambang pengenalan kepada keturunan Bugis. Pengetahuan orang
Bugis terhadap astronomi disebut ilmu nujum dan disebut juga toboto atau pa’kita-kita.
Dahulunya orang yang mahir tentang hal tersebut diberi jawatan khas di istana untuk
menentukan hari perasmian, menanam padi, perkahwinan dan sebagainya.

Selain barangan yang tersimpan dalam galeri di Kampung Ekor Lubuk, artifak Bugis juga
disimpan di Muzium Selangor untuk tujuan pemuliharaan dan pameran. Mangkuk hijau
terdapat dalam rajah merupakan artifak yang ditemui sekitar Kampung Ekor Lubuk dan
dikatakan mangkuk pada zaman Dinasti Ming iaitu, sekitar tahun 1600. Keterangan ini
merujuk rajah 7 berikut:

Rajah 7. Batil Tembaga Milik Keturunan Daeng Parani dan Mangkuk Zaman Dinasti Ming.

136
Rajah 8 menunjukkan serpihan artifak yang ditemui sekitar kawasan makam Daeng Parani di
Kampung Ekor Lubuk. Serpihan ini ditemui tertimbus dan tidak lengkap sebagai satu objek
alatan dan tidak dapat dikenal pasti jenisnya.

Rajah 8. Serpihan Tembikar yang Ditemui Sekitar Kawasan Makam Daeng Parani.

Banyak artifak antik ditemui di Kampung Ekor Lubuk seperti dulang, mangkok, bekas kapur,
sudu, guri dan batil yang kesemuanya berwarna keemasan dan diperbuat daripada loyang
(brass).

Rajah 9. Artifak Antik diperbuat dripada Loyang (brass).

137
Rajah 10 pula menunjukkan gambar tempayan yang dikatakan berusia lebih 300 tahun dan
berasal dari zaman Dinasti Ming Selatan (1644-1661) di China. Tempayan ini masih
tersimpan di rumah keluarga Roshazliza Abdul Razak. Menurutnya lagi, ada pihak cuba
membeli dengan harga RM100,000.00 malahan pasaran gelap turut menawarkan harga
sehingga RM1,000,000.00 namun warisan nenek moyang mereka masih dipertahankan.

Rajah 10. Tempayan Berusia 300 Tahun Buatan Kerajaan China.

Manakala rajah 11 pula menunjukkan keris dan lembing yang mempunyai tulisan Bugis.
Senjata ini masih disimpan oleh waris Daeng Parani di kampung Ekor Lubuk, iaitu oleh
keluarga Cik Roshasliza Abdul Razak. Keris dan lembing ini merupakan senjata yang
digunakan ketika Daeng Parani mempertahankan diri dan didakwa mempunyai kesan darah
di mata senjata berkenaan.

Rajah 11. Keris Pusaka dan Mata Lembing Warisan Bugis.

Berikutan pengisytiharaan makam Daeng Parani pada tahun 2007, satu lawatan serta majlis
pelancaran barang-barang artifak peninggalan Almarhum Daeng Parani telah disempurnakan
oleh YTM Tunku Panglima Besar Kedah, Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz binti
KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah telah diadakan di makam
tersebut pada 14 Mac 2011.

Rumusan

Selepas kemangkatan Daeng Parani, waris-warisnya terpaksa bersembunyi dan identiti


mereka dirahsiakan. Hal ini kerana, pihak musuh iaitu Raja Siak dan pengikutnya bersumpah
akan menghapuskan keturunan Daeng Parani di Kedah selama tujuh keturunan. Oleh sebab
itu, waris-waris Daeng Parani mengangkat sumpah antara mereka, melafazkan ungkapan
138
“biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.” Akibatnya, sejarah kampung Daeng Parani dan
makam pahlawan Daeng Parani terbiar selama beratus-ratus tahun. Kehadiran dan campur
tangan Bugis di Kedah meninggalkan banyak artifak sehingga masih disimpan oleh keluarga
Cik Roshasliza Binti Abdul Razak dan ada yang diserah pada pihak muzium untuk tujuan
pameran serta pemuliharaan. Rumah pusaka Cik Roshazliza binti Abdul Razak turut
dijadikan sebagai tempat menerima tetamu atau galeri kepada mereka yang ingin
mendapatkan maklumat tentang Opu Daeng Parani. Penglibatan dan sokongan golongan
istana Selangor, Perak dan Kedah lebih menguatkan semangat ahli Persatuan Opu Daeng
Parani untuk memulihara khazanah mereka. Penemuan nisan kayu lama di Kampung Ekor
Lubuk pada tahun 1997 telah mengundang banyak pihak mengkaji tentang sejarah kampung
itu dan mengaitkan dengan Daeng Parani yang meninggal di Kedah pada tahun 1724. Selain
itu, penemuan artifak daripada pasukan carigali Universiti Pendidikan Sultan Idris juga
menyokong dakwaan bahawa Kampung Ekor Lubuk mempunyai kaitan dengan Daeng Parani.

Rujukan

Sumber Primer

a. Tidak diterbitkan

KK 959.5112. KET. (April 1996). Keturunan Bugis dalam Salasilah Kesultanan Kedah,
Laporan temu bual Kartica Shahreema bt. Mohd Sab bersama YM Temuramah dengan
Tengku Kudin bin Tunku Yaacob, Bahagian Koleksi Sejarah Kedah: Perpustakaan Awam
Kedah.
Sp 18/9B/1140. The Bugis Traders Sought Refuge in Singapore.
Surat. PMCK-P/08/07. Tarikh Perisytiharaan Secara Rasmi Makam Opu Daeng Parani, 21
Jun 2007.
Surat. Bil. (037) dlm. MNK. KD. PP 045 JLD 5, Program Lawatan Ke Makam Opu Daeng
Parani dan Pelancaran Artifak Lama Peninggalan Daeng Parani, 25 Januari 2011.
Surat. Bil. (22). dalam PSMCS 19/07. Salasilah Opu Daeng Parani. 2007.
Surat. JWN600/1, Penyelidikan Makam Opu Daeng Parani, 2007.
Surat. PSMCK-(P)/010/09, Pengesahan Mengenai Makam Pahlawan Bugis, Upu Daeng
Parani dan Wujudnya Persatuan Zuriat Daeng Parani, Persatuan Sejarah Malaysia
Cawangan Kedah.
Surat. PSMCK-(P)-23/07, Memohon Kerjasama Menjayakan Majlis Pertemuan Muhibah Di
Makam Pahlawan Bugis. 2007.
Surat. Dokumen Persatuan Kebenaran Bergerak Sementara Persatuan Keturunan Opu
Dahing Parani. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kedah. 2007.
Surat. PPP/KDH0106/07 (8). Pendaftaran Persatuan Keturunan Opu Dahing Parani. Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kedah.
Surat. Persatuan Kerabat DiRaja Kedah, Keturunan Opu Daeng Parani, 23 November 2009.
Surat. PTPB/KED1002/10/2010, Persilaan YTM Tunku Panglima Besar, Kedah Ke Lawatan
dan Pelancaran Artifak Lama Peningggalan Almarhum Opu Daeng Parani Ibni
Almarhum Opu Tendri Burang, 6 Januari 2011.
Surat. (P/1/08), Surat Memohon Peruntukan Makam Daeng Parani, Jabatan Warisan Negara,
Januari 2008.
2013/0016940W Salasilah Keturunan Bugis. Arkib Negara Malaysia.

139
b. Diterbitkan

A. Samad Ahmad. (1979). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Al’ Ilmu fadil, Raja Ali Haji, Engku Ahmad, Al Hajji. (terjemahan Muhammad Thaib).
(1986). Silsilah Melayu & Bugis, Riau: Tiada Penerbit.
Mohd Yusof Md. Nor (diusahakan). (1997). Salasilah Melayu dan Bugis. Shah Alam: Fajar
Bakti Sdn. Bhd.
Muhammad Hassan To’ Kerani Mohd Arshad. (1968). Al- Tarikh Salasilah Negeri Kedah.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hassan To’ Kerani Mohd Arshad. (penyelenggara Ibrahim Bakar Langkawi).
(2018). Al- Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Kedah: Persatuan Sejarah Malaysia
Cawangan Kedah.
Muhammad Yusof Hashim (peny). (2017). Hikayat Siak Legasi Tradisi Kegemilangan
Kesultanan Melayu Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raja Ali Haji. (Disusun dan dikaji oleh Arena Wati). (1973). Silsilah Melayu dan Bugis,
Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji. (Virginia Matheson, editor). (1997). Tuhfat Al-Nafis.
Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Raja Chulan. (1962). Misa Melayu. Singapura: Malaysia Printers Limited.

Sumber Sekunder

a. Buku

Abdul Halim Nasir. (1997). Warisan Seni Bina Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Abdul Latif Abu Bakar (penyelenggara). (2013). Bugis dalam Perabadan Melayu. Tanjung
Malim: Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abdul Latif Abu Bakar (penyelenggara). (2014). Warisan Bugis di Rumpun Melayu. Tanjung
Malim: Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris
Abu Hamid, Zainal Abidin Farid, Mattulada, Baharuddin Lopa dan C. Salombe. (2007). Siri’
& Psse’ Harga Diri Manusia Bugis Makassar Mandar Toraja. Makassar: Pustaka
Refleksi.
Ahmad, A. Samad (ed.) (1985). Kerajaan Johor – Riau, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. (2016). Sejarah Kedah Dua Millenia. Sintok: UUM
Press.
Andaya, L. Y. (terjemahan Shamsuddin Jaafar). (1987). Kerajaan Johor 1641-1728. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Andi Ima Kesuma. (2004). Migrasi dan Orang Bugis. Yogjakarta: Ombak.
Andi Zainal Abidin. (1983). Persepsi Orang Bugis, Makassar Tentang Hukum, Negara dan
Dunia Luar. Bandung: Alumni Press.
Arba’iyah Mohd. Noor dan Mohd. Hanafi Ibrahim. (ed). (2015). Raja Ali Haji: Pemikir
Ulung Alam Melayu Abad Ke 19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

140
Asmad. (1987). Kedah. Melaka: Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd.
Barbara, W. A. dan Andaya, L. Y. (1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya Selangor:
Macmillan Publisher.
Bobby, E. H. G. (1982). Asia Tenggara Edisi 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bonney, R. (1974). ‘Kedah 1771-1821’ The Search for Society and Independence, (Cetakan
Kedua). Oxford University Press.
Bonney, R. (1990). The Lease of Kuala Kedah, dalam Alor Setar 250 tahun 1735-1985.
Kedah: Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

141

You might also like