You are on page 1of 11

GOLONGAN KATA

Golongan kata terbahagi kepada empat jenis kata iaitu kata nama, kata kerja, kata
adjektif dan kata tugas. Setiap golongan kata memainkan peranan yang tertentu dalam
sesebuah perkataan atau ayat. Kata nama, kata kerja, dan kata adjektif boleh disebut
golongan kata utama kerana menjadi inti bagi frasa utama ayat, iaitu frasa nama, frasa
kerja, dan frasa adjektif. Manakala perkataan-perkataan selain tiga golongan kata nama
itu dikelompokkan dalam satu golongan kata secara kolektif, disebut kata tugas.

Golongan kata nama merangkumi sejumlah perkataan yang boleh menjadi unsur inti
dam binaan frasa nama. Golongan ini dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu kata
nama khas, kata nama am, dan kata ganti nama. Kata nama khas ialah kata nama yang
merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan terbahagi kepada dua iaitu, kata nama
khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia. Bagi kata nama am
ialah sesuatu perkataan yang bersifat umum. Kata nama am terbahagi kepada dua iaitu
kata nama am konkrit dan kata nama am abstrak. Kata ganti nama juga terbahagi
kepada dua iaitu, kata ganti nama tunjuk umum dan kata ganti tunjuk tempat. Manakala
kata ganti diri dipecahkan kepada tiga iaitu kata ganti diri pertama, kata ganti diri kedua,
dan kata ganti diri ketiga.

Golongan kata kerja juga dapat menjadi unsur inti dalam binaan frasa kerja. Golongan
kata kerja terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu kata kerja tak transitif dan kata kerja
transitif. Kata kerja tak transitif dibahagi kepada kata kerja tak transitif tak berpelengkap
dan kata kerja tak transitif berpelengkap. Kata kerja transitif dipecahkan kepada kata
kerja transitif dalam ayat aktif dan kata kerja transitif dalam ayat pasif.

Golongan kata adjektif boleh menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Kata
adjektif dapat dibahagikan kepada Sembilan kumpulan iaitu, kata adjektif sifatan, kata
adjektif warna, kata adjektif ukuran, kata adjektif bentuk, kata adjektif pancaindera, kata
adjektif waktu, kata adjektif cara, kata adjektif perasaan, dan kata adjektif jarak.

Manakala golongan kata tugas ialah golongan kata yang bersifat pelbagai jenis dan
tidak boleh menjadi unsur inti bagi frasa-frasa endosentrik, iaitu frasa nama, frasa kerja,
dan frasa adjektif. Kata tugas boleh dikenal pasti sebagai kata-kata seperti kata
hubung, kata seru, kata Tanya, kata perintah, kata pangkal ayat, kata bantu, kata
penguat, kata penegas, kata nafi, kata pemeri, kata sendi nama, kata pembenar, kata
bilangan, kata arah, kata adverba, kata pembenda, dan kata penekan.

KATA NAMA

Sebagaimana diterangkan di dalam golongan kata, kata nama ialah perkataan yang
boleh menjadi unsur inti bagi binaan frasa nama, dan kebiasaannya perkataan itu
menamakan orang, haiwan, tempat, benda, atau konsep. Kata nama boleh
dikelompokkan berdasarkan ciri-ciri makna perkataan kepada tiga kumpulan iaitu kata
nama khas, kata nama am, kata ganti nama.

Kata nama khas


Kata nama khas adalah rujukan khusus sesuatu nama orang, haiwan, benda,
perbadanan (institusi), undang-undang dan seumpamanya. Dalam kata nama khas,
huruf pertama perlu ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas terbahagi kepada dua
iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup
dipecahkan kepada kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan
manusia. Contoh kata nama khas hidup manusia ialah Norasekin, Doktor Carl Zafran,
Raja Ahmad dan lain-lain. Contoh ayat, Norasekin guru. Contoh kata nama khas hidup
bukan manusia ialah Jibrail, Belang, dan sebagainya. Contoh ayat, Jibrail adalah ketua
kepada malaikat-malaikat. Manakala bagi kata nama khas tak hidup seperti Melayu,
Proton Saga, dan lain-lain. Contoh ayat, Proton Saga adalah nama pertama kereta
buatan Malaysia.

Kata nama am
Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara, atau konsep yang bersifat
umum. Kata nama am dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil berdasarkan ciri
makna perkataan, iaitu hidup atau tak hidup, manusia atau bukan manusia, institusi
atau bukan institusi, konkrit atau abstrak, dan berbilang atau tak berbilang.
 Kata nama am hidup manusia – perkataan yang merujuk manusia, iaitu bersifat
hidup dan mendukung makna nama am. Contohnya: guru, ibu, jutawan, dan
seumpanya. Contoh ayat: Bapa budak itu guru.
 Kata nama am hidup bukan manusia – merujuk kepada benda-benda hidup jenis
bukan manusia. Contohnya: gajah, bunga, bidadari. Contoh ayat: Bunga itu
warna merah.
 Kata nama am tak hidup institusi – terdiri daripada perkataan yang merujuk
badan atau institusi yang bersifat tidak hidup tetapi mendukung makna nama am.
Kata nama institusi boleh dikenal pasti melalui kehadiran perkataan kepada dan
daripada sebelum kata nama institusi. Contoh ayat:
i) Sumbangan buku itu telah diserahkan kepada sekolah.
ii) Pengiktirafan daripada universiti diperlukan untuk jawatan itu.
 Kata nama am tak hidup bukan institusi konkrit – merujuk benda-benda yang
bukan institusi tetapi konkrit sifatnya dan lazimnya golongan ini merujuk tempat.
Perkataan ini didahului oleh kata sendi nama ke dan dari. Contoh ayat:
i) Rumahnya tidak jauh dari bandar.
 Kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak berbilang – jenis ini merujuk
benda atau perkara yang tidak hidup, bukan institusi dan bersifat abstrak tetapi
boleh dibilang, yakni boleh disertai oleh kata bilangan. Contoh ayat:
i) Segala rancangan telah dibuat dengan teliti.
 Kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak tak berbilang – merujuk benda
atau perkara yang bukan hidup, bukan institusi, bersifat abstrak, dan tidak dapat
dibilang. Contoh: angin, iklim, semangat, dan seumpamanya. Contoh ayat:
i) Angin bertiup kencang.

Kata ganti nama


kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata
nama am. Kata ganti nama dibahagikan kepada dua golongan kecil, iaitu kata ganti
nama tunjuk dan kata ganti nama diri.
 Kata ganti nama tunjuk – perkataan yang menjadi pengganti kata nama dan
mendukung makna menunjukkan benda atau perkara yang dirujuk itu.
 Kata ganti nama tunjuk umum ialah perkataan yang menunjukkan perkara
atau benda. Ada dua kata ganti tunjuk umum iaitu ini (menunjukkan pada
yang dekat), contoh ayat: Ini baju saya.; dan itu (menunjukkan pada yang
jauh), contoh ayat: Itu buku biografi A.Samad Said.
 Kata ganti nama tunjuk tempat ialah perkataan yang menunjukkan tempat.
Ada tiga kata ganti nama tunjuk tempat, iaitu sini (arah dekat), contoh
ayat: Sini tempat kita mengundi.; situ (arah agak jauh), contoh ayat: Situ
padang sekolah kita.; dan sana (arah jauh), contoh ayat: Sana medan
pertempuran askar kita dahulu.
 Kata ganti nama diri
 Kata ganti nama diri tanya – merujuk benda atau orang dalam bentuk
tanya. Contoh: apa, siapa dan mana. Contoh ayat:
i) Pendapat anda apa?
ii) Pengurus projek itu siapa?
iii) Buku baru itu mana?
 Kata ganti nama diri orang – merujuk diri orang tertentu, iaitu diri orang
pertama, diri orang kedua, dan diri orang ketiga. Contoh ayat:
i) Saya berasal dari Batu Pahat, Johor.
ii) Di mana rumah kamu?
iii) Mereka pergi ke sekolah dengan menaiki bas.

KATA KERJA

Pada dasarnya, kata kerja menyatakan makna perbuatan dan pada umumnya ditandai
imbuhan walaupun ada yang tidak ditandai apa-apa. Kata kerja menjadi inti bagi binaan
frasa kerja. Kata kerja dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kata kerja aktif
dan kata kerja pasif.

Kata kerja aktif


Kata kerja aktif ialah kata kerja yang hadir dalam ayat aktif, iaitu ayat yang
mengutamakan subjek asal sebagai judul atau yang diterangkan.
 Kata kerja aktif tak transitif – tidak memerlukan penyambut atau objek
sesudahnya. Kata kerja aktif tak transitif dibahagi kepada dua subgolongan iaitu:
 Kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap – kata kerja yang boleh
berdiri tanpa objek. Contoh ayat:
i) Semua orang pulang.
ii) Mereka asyik berbual di kedai kopi itu.(ditambah unsur keterangan)
 Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap – mesti diikuti dengan pelengkap
untuk menyempurnakan makna ayat. Pelengkap hadir selepas kata kerja
tak transitif untuk menyempurnakan ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak
transitif yang ada pelengkap tidak boleh dipasifkan. Contoh ayat:
i) Keadaan ibunya beransur baik.
ii) Dia menjadi guru.
 Kata kerja aktif transitif – kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri
daripada frasa nama untuk melengkapkan maksud. Contoh kata kerja transitif:
mencipta lagu, membersihkan kawasan, membaiki kereta, dan seumpamanya.
Contoh ayat:
i) Murid-murid sedang membersihkan kawasan sekolah.
ii) Kami membaiki kereta kesayangan ayah.

Kata kerja pasif


Kata kerja pasif ialah kata kerja hasil daripada proses perubahan ayat aktif menjadi ayat
pasif. Contoh ayat pasif berdasarkan contoh ayat aktif di atas:
i) Kawasan sekolah sedang dibersihkan oleh murid-murid.
ii) Kereta kesayangan ayah kami baiki.

KATA ADJEKTIF

Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat. Kata adjektif ialah perkataan yang boleh
menjadi penerang dalam kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Kata adjektif
dipecahkan kepada sembilan jenis kata iaitu:
 Kata adjektif sifatan atau keadaan – menerangkan sifat sesuatu perkara.
Contohnya baik, takut, sihat, dan seumpamanya. Contoh ayat:
i) Orang baik selalu dipuji.
ii) Pelatih-pelatih baharu itu cukup sihat.
 Kata adjektif warna – menerangkan warna sebagai unsur keterangannya.
Contohnya, biru, hijau, hitam dan lain-lain. Contoh ayat:
i) Daun-daun hijau tiada lagi pada pokok itu.
ii) Ayam jantan itu berbulu hitam.
 Kata adjektif ukuran – menerangkan ukuran sebagai unsur keterangannya
seperti panjang, renek, tebal, dan seumpamanya. Contoh ayat:
i) Buku baru itu tebal.
ii) Pokok itu renek kerana kekurangan baja.
 Kata adjektif bentuk – menerangkan rupa bentuk sebagai unsur keterangannya
seperti buncit, kempis, bulat, dan seumpamanya. Contoh ayat:
i) Perut Pak Mat buncit.
ii) Tayar kempis itu segera ditukarnya.
 Kata adjektif waktu – menerangkan konsep masa sebagai unsur penerang.
Contohnya, segera, suntuk, silam, dan lain-lain. Contoh ayat:
i) Kakak suka makan makanan segera.
ii) Tiada penggunaan telefon pada zaman silam.
 Kata adjektif jarak – menerangkan konsep ruang di antara dua perkara sebagai
penerang seperti jauh, dekat, rapat, dan seumpamanya. Contoh ayat:
i) Rumah Alia sungguh jauh.
ii) Teman rapat saya bekerja di luar negara.
 Kata adjektif cara – menerangkan keadaan kelakuan sebagai penerang kata
nama. Contoh: cepat, selalu, lincah, dan lain-lain. Contoh ayat:
i) Tindak balas orang tua itu sungguh cepat.
ii) Orang itu selalu benar datang ke sini.
 Kata adjektif perasaan – menerangkan perasaan sebagai unsur keterangannya
seperti ragu, marah, benci, dan seumpamanya. Contoh ayat:
i) Saya sungguh benci dengan lelaki itu.
ii) Ketua itu marah terhadap kecuaian pembantunya.
 Kata adjektif pancaindera – menerangkan konsep deria sebagai penerang kata
nama dan ia terbahagi kepada enam deria, iaitu deria rasa, deria pandang, deria
dengar, deria bau, deria sentuh, dan gabungan deria. Contoh ayat:
i) Masakan kakak terlalu masin.
ii) Pondok buruk itu sudah roboh.
iii) Bunyi bising itu dating dari biliknya.
iv) Minyak tengik itu jangan digunakan.
v) Jangan suka memakai pakaian lembap.
vi) Rumah baru Haiqal itu selesa benar.

KATA TUGAS

Kata tugas ialah perkataan yang tergolong dalam golongan kata yang bersifat pelbagai
jenis iaitu tidak berfungsi sebagai unsur inti dalam ayat, sebaliknya mendukung sesuatu
tugas sintaksis. Kata tugas dapat dikelompokkan kepada empat subgolongan, iaitu kata
penyambung ayat, kata praklausa, kata prafrasa dan pascafrasa, dan kata pascakata.
Setiap kelompok mengandungi jenis-jenis kata tugas tertentu.

Kata penyambung ayat


Kata penyambung ayat ialah kata hubung, iaitu sejumlah perkataan yang bertugas
menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat berlapis
(ayat majmuk).
 Kata hubung gabungan – kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang
sama tara sifatnya (ayat majmuk gabungan). Contohnya, dan, atau, sambil.
Contoh ayat:
i) Imran dan Insyirah adalah pasangan kembar.
ii) Mereka mungkin ke Johor atau ke Melaka.
iii) Ia berkata-kata sambil merenung wajah temannya.
 Kata hubung pancangan – menyambung klausa tak setara atau klausa
pancangan pada klausa utama atau induk.
 Kata hubung pancangan relatif – berfungsi menghubungkan klausa utama
dengan klausa kecil. Bentuk kata hubung jenis ini ialah yang. Contoh ayat:
i) Yang indah itu bahasa.
ii) Puan Sarimah guru yang berdedikasi.
 Kata hubung pancangan komplemen – menghubungkan klausa yang
menjadi pelengkap pada klausa utama. Dua contoh kata ini ialah bahawa
dan untuk. Contoh ayat:
i) Kita harus ingat bahawa hidup di dunia ini sementara sahaja.
ii) Untuk memaksa dia hadir adalah tidak wajar.
 Kata hubung pancangan keterangan – menghubungkan klausa yang
menjadi penerang pada klausa utama seperti kerana, agar, sekiranya, dan
seumpamanya. Contoh ayat:
i) Pegawai itu sering dipuji kerana rajin bekerja.
ii) Pameran itu akan ditangguhkan sekiranya tiada sambutan
iii) Pertahanan Negara perlu diperkuat agar keamanan terjamin.

Kata praklausa
Kata praklausa ialah perkataan yang terletak di hadapan klausa, iaitu terdiri daripada
kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar, dan kata pangkal ayat.
 Kata seru – berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam
ayat seruan, seperti aduh, cis, oh, dan lain-lain. Contoh ayat:
i) Aduh, sakitnya kakiku!
ii) Cis, terimalah tikamanku!
iii) Oh, Tuhanku, selamatkanlah mereka!
 Kata tanya – digunakan untuk menanyakan atau menyoal sesuatu, contohnya
berapa, mengapa, bila, dan bagaimana. Contoh ayat:
i) Harga bakul itu berapa?
ii) Bilakah mereka sampai?
iii) Kesihatannya sekarang bagaimana?
 Kata perintah – bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah,
arahan, larangan, silaan, atau permintaan. Contohnya, jangan, sila, tolong, usah,
jemput, minta, dan harap. Contoh ayat:
i) Jangan buang sampah di sini.
ii) Sila ambil makanan di sana
iii) Tolong temankan adik saya ini.
 Kata pembenar – perkataan yang mengesahkan sesuatu pernyataan, contohnya,
ya, benar, dan betul. Contoh ayat:
i) Ya, itulah orangnya.
ii) Betul, tanyalah dia.
iii) Benar, itulah pegawai daerah yang baharu.
 Kata pangkal ayat – hadir di hadapan ayat yang menjadi penanda
kesinambungan ayat dalam wacana. Contohnya, hatta, maka, syahadan, dan
seumpamanya. Contoh ayat:
i) Hatta istana itu pun siaplah.
ii) Maka baginda pun bertitah kepada Laksamana Bentan.
iii) Syahadan baginda pun berangkat meninggalkan Melaka.

Kata prafrasa dan kata pascafrasa


Kata prafrasa dan kata pascafrasa ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum dan
sesudah frasa sama ada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama.
 Kata bantu
 Kata bantu aspek – menunjukkan suasana perbezaan masa, iaitu sama
asa masa lampau, masa kini, atau masa hadapan, contohnya, telah,
belum, masih, dan seumpamanya. Contoh ayat:
i) Murid itu telah pulang.
ii) Buah itu belum masak lagi.
 Kata bantu ragam – menerangkan ragam perasaan yang berkait dengan
perbuatan, seperti hendak, mesti, boleh, dan lain-lain. Contoh ayat:
i) Mereka mesti pulang segera.
ii) Kita boleh ke Johor Bahru dengan bas.
 Kata penguat – perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata
adjektif.
 Kata penguat hadapan. Contoh ayat: Pokok itu terlalu tinggi.
 Kata penguat belakang. Contoh ayat: Indah nian istana itu.
 Kata penguat bebas. Contoh ayat: Fatiha terbeli baju yang sangat besar.
 Kata penegas – memberi penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam
ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu yang menegaskan hanya frasa
predikat seperti -kah, -tah, dan -lah, dan yang menegaskan subjek dan predikat
seperti juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang. Contoh ayat:
i) Itulah rumah idamanku.
ii) Mereka ada pun di sini.
 Kata nafi – hanya hadir sebelum frasa yang menjadi unsur nafi frasa predikat,
frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama. Ada dua iaitu
bukan dan tidak. Contoh ayat:
i) Kasut itu bukan kepunyaan saya.
ii) Saya tidak akan datang lagi.
 Kata pemeri – unsur yang menjadi pemeri hal antara subjek dengan frasa-frasa
utama dalam predikat. Ada dua kata pemeri iaitu ialah (hadir di hadapan frasa
nama) dan adalah (hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama).
Contoh ayat:
i) Bahasa Melayu ialah salah satu bahasa yang tergolong dalam
keluarga Austronesia.
ii) Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan.
 Kata sendi nama – perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Contoh kata
sendi nama: di, ke, dari, daripada, kepada, pada, bagi, demi, tentang, seperti,
bagai, umpama, laksana, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, antara, untuk,
dengan, dalam, dan sampai. Contoh ayat:
i) Bapa saya bekerja di ladang.
ii) Mereka akan ke Sabah esok.
iii) Anda datang dari mana?
 Kata arah – hadir sebelum frasa nama dan kebiasaannya sesudah kata sendi
nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Contoh kata arah ialah atas, tepi,
belakang, utara, barat, selatan, timur, sudut, dan sebagainya. Contoh ayat:
i) Pensil itu ada di atas meja.
ii) Kami mendirikan khemah di belakang rumah.
 Kata bilangan – menerangkan jumlah pada frasa nama dan hadir sebelum frasa
tersebut. Ada beberapa jenis kata bilangan iaitu:
 Kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya, seperti dua,
dua puluh, dua ratus, dan sebagainya. Contoh ayat:
i) Harga beg itu tiga puluh ringgit.
 Kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu, seperti semua,
segala, beberapa, dan sebagainya. Contoh ayat:
i) Semua penjawat awam tidak dibenarkan bercuti esok.
 Kata bilangan yang membawa makna himpunan, seperti ketiga-tiga,
berabad-abad, berguni-guni, dan lain-lain. Contoh ayat:
i) Ketiga-tiga orang pesalah itu akan dipenjarakan.
 Kata bilangan yang membawa maksud pisahan, contohnya masing-
masing, tiap-tiap, setiap, dan sebagainya. Contoh ayat:
i) Saya bagun pada pukul enam pagi tiap-tiap hari.
 Kata bilangan yang membawa maksud pecahan, seperti setengah, dua
per tiga, separuh, dan sebagainya. Contoh ayat:
i) Separuh hartanya akan diserahkan kepada rumah anak yatim.
 Kata adverba – menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa
sendi nama dari segi cara, masa dan tempat. Ada empat bentuk kata adverba
iaitu kata adverba jati (semalam, esok), kata adverba yang asalnya kata adjektif
(ketawa besar), kata adverba yang asalnya kata kerja (putih berseri), dan kata
adverba bentuk gandaan (betul-betul, sekali-kali, mati-matian). Contoh ayat:
i) Kulit tuan puteri itu putih berseri.
ii) Rombongan itu akan tiba esok dari Kuala Lumpur.
iii) Para perajurit berjuang mati-matian mempertahankan tanah air.

Kata pascakata
Bentuk kata yang hadir selepas perkataan. Bentuk itu ialah -nya yang berfungsi sebagai
penekan dan pembenda. Contoh ayat:
i) Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. (kata penekan)
ii) Dia berhujah dengan lantangnya. (kata pembenda)

You might also like