You are on page 1of 10

UCAPTAMA OLEH

YBHG. TAN SRI PROF. DATO’ DR. NORDIN BIN KARDI

NAIB CANSELOR
UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH

BAGI
SEMINAR PSIKOLOGI PASCA PANDEMIK KEBANGSAAN
TAHUN 2022

PADA
20 OKTOBER 2022 (KHAMIS)

DI
UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH (USAS)
PERAK SECARA ATAS TALIAN (ZOOM)

*NOTA
RAKAMAN DIADAKAN PADA
14 OKTOBER 2022 (JUMAAT) JAM 11.00 PAGI DI STUDIO USASTV

1
Assalamualaikum W.B.T, Salam sejahtera dan Salam Malaysia Perihatin

Terima kasih saudara Pengacara Majlis.

1. Ybhg. Dato’ Shaharuddin bin Ahmad Sohot


Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat

2. Yang Berusaha Puan Rosmahwati binti Ishak


Timbalan Ketua Pengarah Strategik, JKM

3. YBhg. Dato’ Khalid bin Ahmad


Pengerusi Lembaga Pengarah USAS BHD

4. YBhg. Prof. Madya Dr. Haji Anas bin Md. Yusof


Timbalan Naib Canselor Pentadbiran Dan Kewangan,
Universiti Sultan Azlan Shah

5. Ybhg. Dato’ Dr. Abd Halim bin Mohd Hussin


Presiden Perkama International

6. Yang Berusaha, Pengarah Seminar,


Ketua-ketua Jabatan,
serta hadirin dan hadirat dan yang saya kasihi sekalian.

2
Terlebih dahulu marilah kita merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T

kerana dengan limpah berkat dan keizinan daripada-Nya, dapat kita bersama-sama

menerajui Seminar Psikologi Pasca Pandemik Kebangsaan Tahun 2022 secara atas

talian yang diadakan buat kali kedua. Terima kasih juga diucapkan kepada Jabatan

Kebajikan Masyarakat atas kerjasama ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada

semua ahli jawatankuasa pelaksana yang berusaha menjayakan penganjuran program

ini yang sememangnya sangat signifikan dengan keperluan pengamal kaunseling pada

masa kini.

Pandemik COVID-19 yang menjadi wabak di Malaysia dan dunia telah mencatat

lebih daripada 42 juta kes di seluruh dunia dengan angka kematian sehingga kini

melebihi 1 juta orang. Di Malaysia, wabak COVID-19 telah memberi kesan yang amat

besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara.

Bahkan impaknya juga turut melibatkan aspek kesihatan mental. Ekoran daripada

wabak yang berlaku, kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Perintah

Kawalan Pergerakan (PKP) kepada rakyat bermula 18 Mac 2020, sekaligus mengubah

corak dan norma kehidupan mereka. Terjadinya outbreak COVID-19 sejak Disember

2019 telah menimbulkan pelbagai perubahan terhadap norma kehidupan

masyarakat sejagat.

Penularan wabak COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada

kelangsungan hidup, keselamatan dan kesihatan dalam komuniti. Kawalan pergerakan

dan limitasi yang dikuatkuasa dalam beberapa perkara bagi tujuan menjaga kesihatan

komuniti perlu dibuat bagi membendung sebaran wabak ini.

3
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan memberi kesedaran

penjarakan sosial di kalangan masyarakat agar dapat memutuskan rantaian wabak ini.

Namun begitu, ia berpotensi untuk menjejaskan kesihatan mental individu terlibat sama

ada tinggal berseorangan ataupun berkeluarga. Susulan daripada tekanan psikologi

yang muncul meliputi rasa takut (fear), cemas (panic), tertekan (stress), bimbang

(anxious) dan murung (depress). Kesan dan dampak pandemik COVID-19 secara

langsung telah mengganggu kesejahteraan psikologi seseorang. Justeru, melalui

pemahaman terhadap impak pasca pandemik COVID-19 ini, beberapa langkah

pencegahan telah dibina agar kesejahteraan manusia dapat ditingkatkan dan dipulihkan

bagi berdepan tekanan hidup besama dengan wabak COVID-19.

Terminologi seperti well-being, happiness, psychological well-being, positive

affect sering digunakan untuk mengambarkan pandangan positif tentang kehidupan

Sehubungan dengan itu kesejahteraan psikologikal adalah suatu konsep yang bersifat

multi dimensi kerana terdapat banyak aspek-aspek istimewa iaitu seperti keyakinan,

kawalan kendiri, rasa kepentingan, bebas daripada kegagalan, keresahan dan

kesunyian. Sementara itu pula, kesejahteraan psikologikal dapat dikenalpasti dengan

memperolehi kebahagiaan, kepuasan hidup dan tidak menunjukkan gejala-gejala

kemurungan (Ryff, 1995). Kesejahteraan psikologi bersangkut paut dengan

kebahagiaan dan merupakan tujuan tertinggi yang ingin dicapai oleh setiap manusia.

4
Perbincangan isu kesejahteraan psikologi tidak dapat dipisahkan dengan isu

kesihatan mental. Secara umumnya, World Health Organization (WHO) mentakrifkan

kesihatan sebagai keadaan fizikal, mental dan emosi yang sejahtera dan bukan hanya

sekadar bebas dari penyakit. Manakala, Dasar Kesihatan Mental (2012) pula

mentakrifkan kesihatan mental sebagai kemampuan individu, kelompok dan

persekitaran untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi mempromosikan

kesejahteraan subjektif secara optimum dan penggunaan keupayaan kognitif, efektif

dan perhubungan ke arah pencapaian matlamat individu dan kumpulan. Kesihatan

mental boleh mempengaruhi cara berfikir, tingkahlaku dan perasaan seseorang.

Tahap kesejahteraan mental mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan dan

pilihan dalam hidup, menyelesaikan masalah serta berinteraksi dengan orang lain.

Apabila seseorang mempunyai tahap kesihatan mental yang memuaskan, tekanan

hidup seharian yang dilalui akan ditangani dengan berfikir secara positif, tenang dan

tidak membahayakan diri. Contohnya, sesuatu masalah dan kesilapan yang kita

lakukan dalam sesuatu pekerjaan boleh ditangani dengan baik melalui cara berfikir

yang positif. Individu akan mengubah atau reset minda mereka untuk mencari hikmah

dan cara-cara untuk memperbaiki kesilapan. Kesannya, seseorang itu akan menjadi

lebih tenang dan lebih berkeyakinan untuk menghadapi isu dan tekanan yang dihadapi

dalam hidup.

5
Sementara itu. sekiranya kesihatan mental seseorang terjejas, cara berfikir,

emosi dan perlakuan seseorang itu akan berhadapan dengan suatu keadaan yang

dipanggil tersalah suai atau maladaptif. Individu tersebut akan mengalami kesukaran

untuk berfikir secara rasional dan membuat keputusan yang mudah, cepat terasa dan

beremosi. Seterusnya mempengaruhi perlakuan sehariannya, seperti tidak

menghiraukan kesihatan dan penjagaan diri, mengalami gangguan tidur dan corak

pemakanan.

Memetik Laporan Tinjauan Kebangsaan Kebangsaan dan Morbiditi pada tahun

2019 menyatakan bahawa 2.3% golongan dewasa mengalami masalah kemurungan

manakala 7.9% kanak-kanak 5 hingga 15 tahun didapati mengalami masalah kesihatan

mental. Laporan ini juga mengatakan, satu daripada lapan remaja berusia 10 hingga 19

tahun mengalami masalah kesihatan mental.

Antara faktor risiko kesihatan mental yang lemah adalah pendedahan terhadap

keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial

yang berleluasa. Kesihatan mental yang lemah boleh memberi kesan mendalam

kepada kesihatan umum, kebolehan pembelajaran dan penyertaan kanak-kanak sekali

gus mengehadkan peluang mereka untuk mencapai potensi penuh mereka.

Pandemik COVID-19 juga menjejaskan keadaan kesihatan mental seseorang.

Hal ini kerana, penularan wabak COVID-19 telah memberikan impak negatif dalam

pelbagai aspek kehidupan termasuklah dalam isu kesihatan mental manusia. Aspek

6
kesihatan mental ini seringkali diabaikan dan dipandang enteng oleh masyarakat kita

kerana ia biasanya tidak terzahir secara fizikal. Namun, apabila masalah ini berlaku

secara terus menerus dalam tempoh masa yang lama, ia semestinya akan memberikan

kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental. Justeru, amatlah penting untuk

masyarakat sedar dan cakna dengan isu kesihatan mental ini agar ianya tidak

menjadi barah yang boleh memburukkan lagi ekoran wabak COVID-19 yang belum

tamat sepenuhnya.

Perasaan takut, risau, bimbang dan stres adalah reaksi normal dalam manusia

menghadapi ancaman apatah lagi dalam keadaan kemelut yang belum tahu punca dan

kesudahannya seperti wabak COVID-19 ini. Malah, fenomena yang berubah serta

merta dalam kehidupan seharian masyarakat disebabkan oleh kerisauan terhadap

pandemik ini menyebabkan pergerakan dibatasi bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Menurut WHO, aspek kesihatan mental perlu diberi perhatian ketika COVID-19

melanda kerana wabak ini telah memberi kesan perubahan yang drastik dalam

kehidupan seseorang seperti pemberhentian kerja.

Kajian yang dijalankan oleh Holmes et al., (2020) & Gunnell et al., (2020)

mendapati bahawa pandemik COVID-19 telah memberikan kesan kepada kesihatan

mental dan fizikal sekaligus memberi impak tekanan dan trauma, kemurungan serta

kembimbangan pada diri seseorang sama ada yang telah dijangkiti atau yang belum

dijangkiti. Dapatan kajian ini juga selari dengan dapatan kajian yang dilakukan oleh

American Pyschological Association (APA) di Amerika Syarikat yang mendapati 78

7
peratus rakyat dilaporkan mengalami rasa tertekan dalam hidup susulan wabak COVID-

19, manakala 67 peratus menyatakan peningkatan rasa stres apabila tercetusnya

wabak COVID-19.

Kita masih lagi belum bebas daripada COVID-19 dan berkemungkinan besar kita

akan terus hidup bersama dengan COVID-19 seperti mana kita hidup bersama dengan

denggi. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab kaunselor secara

langsung untuk membantu dan memberi khidmat bantuan kepada masyarakat dalam

berhadapan dengan perkara ini.

Kaunseling merupakan profesion yang berkaitan dengan kebajikan,

pembangunan dan membantu orang yang kurang berfungsi. Menurut Governing

Council of the American Counseling Association (ACA), amalan profesion kaunseling

adalah berkaitan dengan kesihatan mental, psikologikal dan prinsip pembangunan

manusia melalui kognitif, intervensi, strategi menyediakan kebajikan, pertumbuhan

personal atau pembangunan dalam pekerjaan dan juga patologi.

Peranan kaunselor dan pelaksanaan perkhidmatan kaunseling perlu

diperluaskan di semua peringkat dan tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Sebagai contoh perkhidmatan kaunseling juga diperluaskan dan mudah dicapai oleh

masyarakat luar bandar. Ini kerana perkhidmatan yang ada sekarang lebih tertumpu di

kawasan bandar atau pekan utama sahaja menyebabkan masyarakat yang tinggal jauh

8
di pedalaman sukar mendapatkan akses perkhidmatan mahupun pendidikan tentang

kesihatan mental.

Bilangan kaunselor juga perlu ditambah daripada masa ke semasa bagi

memenuhi keperluan yang mendatang. Bilangan kaunselor berdaftar setakat 31 Ogos

2022 adalah seramai 10136 bersamaan dengan nisbah seorang kaunselor berdaftar

bagi 3327 orang penduduk. Nisbah ini masih lagi jauh dengan sasaran Lembaga

Kaunselor Kaunselor Malaysia yang menyasarkan seorang berdaftar bagi 500 orang

penduduk.

Kaunselor juga adalah manusia biasa yang terdedah kepada risiko kesihatan,

kehibaan, kestabilan ekonomi, isu peribadi dan keluarga. Sehubungan dengan itu,

kaunselor perlu mempersiapkan diri mereka supaya dapat memberi perkhidmatan yang

terbaik kepada masyarakat. Analogi yang sesuai untuk digunakan bagi

menggambarkan keadaan ini adalah sebagai contoh, pengumuman keselamatan yang

dilakukan oleh pramugara sebelum seuatu penerbangan. Antara isu kandungan

pengumuman tersebut adalah menerangkan bahawa sekiranya berlaku kecemasan,

seseorang perlu memakai jaket keselamatan dan topeng oksigen untuk dirinya sendiri

terlebih dahulu sebelum membantu orang lain. Secara kesimpulannya, adalah penting

sesuatu maklumat itu disampaikan dengan lengkap dan sempurna agar ia sampai tepat

kepada penerima dengan berkesan sekaligus mampu memberi manfaat kepada

masyarakat secara umumnya.

9
Sebagai penutup, saya berharap seminar ini dapat meberi manfaat yang

menyeluruh kepada kaunselor dan masyarakat dalam mengharungi cabaran kehidupan

pasca pandemik.

Sekian, terima kasih.

Wasalammualaikum w.b.t.

10

You might also like