You are on page 1of 5

Aku + Kau = Kita

Syafawani

Dua tiga kapal belayar di samudera


Ayuh sahabatku kita bergembira
Bermain bernyanyi bersama menikmati indahnya dunia
Kerna
Sahabat untuk selamanya
Bersama untuk selamanya
Kau dan aku sahabat
Untuk selamanya setia
Oh oh
Oh oh
Oh oh
Berakit-rakit kita ke hulu
Berenang-renang kita ke tepian
Kita berbeda untuk saling mengisi segala kekurangan kita
Menjadi
Sahabat untuk selamanya
Atasi semua perbedaan
Kau dan aku sahabat
Untuk selamanya
Selama-lamanya
Setia

Terkumat-kamit mulut aku mengulangi korus lagu “Sahabat Selamanya” yang dinyanyikan
oleh kumpulan Padi. Lagu ini pernah popular sekitar tahun 2010 kerana menjadi OST bagi
cerita Upin dan Ipin. Liriknya menusuk jiwa biarpun melodinya rancak bergema. Bukan
sekadar budak-budak tahu akan lagu ini, remaja dan orang dewasa juga turut menghafal lagu
ini. Sambil menyanyi terkenang pada mereka yang jauh dimata tapi dekat dihati dan selalu
dalam doa. Mereka yang digelar SAHABAT. Mempunyai maksud yang mendalam bagi yang
benar-benar menghayati erti sebuah persahabatan. Teringat akan susah senang hidup bersama
di perantauan. Terkenang kembali kisah persahabatan kami 10 tahun yang lepas.
Perkenalan antara aku dan Aimi bermula ketika di tahun pertama alam universiti.
Walaupun begitu, perkenalan itu hanya sekadar teman sekuliah sahaja kerana aku tinggal di
asrama sementara Aimi menetap di rumah sewa. Pertemuan kami hanya ketika dalam bilik
kuliah sahaja kerana aku dan Aimi berlainan kelas. Aku tertarik untuk berkawan dengan Aimi
disebabkan sifat ramah dan cerianya dengan semua rakan kuliah. Paling menarik loghat
Utaranya tidak ditinggalkan. Setia menggunakan loghatnya sewaktu berbual dan
membentangkan hasil pembentangannya. Gelagatnya yang ‘sempoi’ membuatkan semua
orang tertarik untuk berkawan dengannya. Walaupun tidak selalu berjumpa, adakalanya aku
selalu ditugaskan bersama dengannya untuk aktiviti memasak ketika aktiviti persatuan
berlangsung. Aku tukang tolong potong barang sahaja, selebihnya dia yang memasak. Air
tangannya memang ‘superb’ dan sedap. Air tangan ‘campak-campak jadi ni’ memang
memikat hati ramai orang. Aimi juga suka masak dan bagi kawan-kawan sekuliahnya
makanan yang dimasak. Di sini aku boleh simpulkan yang Aimi adalah orang yang suka
memberi dan berkongsi apa yang dimilikinya.

Persahabatan aku dengan Aimi bermula saat aku berpindah masuk ke rumah sewanya
setelah tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda. Aku menyambung pelajaranku di Universiti
Kebangsaan Malaysia sementara dia menyambung Ijazah Sarjana di Universiti Sains Islam
Malaysia. Ketika semester yang kedua aku tidak berjaya untuk tinggal di asrama dan
kebetulan pada waktu itu Aimi mencari rakan rumah sewa yang baru. Mungkin sudah tertulis
yang aku akan menjadi ‘housemate’nya yang baru. Disitulah bermulanya kisah persahabatan
kami. Semasa mula tinggal bersama dengannya, perasaan kekok itu tidak timbul disebabkan
sudah mengenali dan bergelar rakan sekuliah selama 4 tahun. Perhubungan yang ada
dikukuhkan lagi apabila tinggal serumah.

Hari pertama masuk ke rumah itu, kami bertukar cerita sampai jam 4 pagi.
Maklumlah sudah lama tidak berjumpa kerana semasa waktu praktikal aku berhijrah ke
Terengganu sementara Aimi pula masih di Nilai. Aimi meneruskan praktikalnya sebagai
seorang guru di sebuah sekolah disana dan aku memilih untuk berkhidmat sebagai NGO di
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Terengganu. Aku dengan Aimi juga kerap
kali berbincang tentang tesis yang akan ditulis semasa tahun akhir pengajian. Walaupun
berlainan bidang, itu tidak menjadi masalah kerana kami dapat bertukar maklumat antara satu
sama lain.
Semasa di semester ketiga, kami mempunyai banyak masa terluang kerana sudah bermulanya
semester yang memerlukan kajian bagi tesis kami. Kami bersepakat untuk menambahkan
pendapatan dan mengisi waktu terluang. Kebetulan pada ketika itu, rakan serumah kami ada
membuka sebuah kiosk yang menjual Takoyaki dan memerlukan pekerja untuk menjaganya.
Kami bersetuju untuk bekerja dengannya. Bermulalah perjalanan kami sebagai seorang
pekerja dan juga pelajar pada masa yang sama. Kami bekerja bermula jam 3 petang sehingga
10 malam. Berpanas, berhujan, melayani ragam pelanggan bersama-sama. Mungkin kami
sudah lama mengenali, ‘chemistry’ yang ada semakin kuat. Susah dan senang bersama-sama.
Kadang-kadang selepas balik jam 10 malam, sempat lagi kami singgah untuk beli burger
disimpang jalan masuk ke rumah. Kadang-kadang bila datangnya ‘mood’ rajin jam 11 malam
pun masih menggoreng cucur bawang. Adat biasa orang bujang yang tinggal berjauhan dari
keluarga.

Selain dari Aimi, aku juga ada lagi tiga orang sahabat yang lain yang tinggal serumah.
Aku tidak tinggal sebilik dengan Aimi. Alasannya ialah kami akan bersembang sampai ke
pagi sehingga tidak dapat tidur. Jadi aku tinggal sebelah bilik Aimi bersama lagi dua orang
rakan bilikku iaitu Hani dan Sal. Mereka juga baru masuk menyewa dirumah itu. Kebetulan,
mereka juga tengah menyambung pelajaran pada waktu itu di universiti yang sama dengan
Aimi tetapi berlainan fakulti. Aimi pula berkongsi bilik bersama Jue pada ketika itu. Umur
kami semua adalah sebaya menyebabkan kami semakin rapat. Setiap minggu ada sahaja
rancangan untuk pergi berjalan ke tempat baru dan hari Ahad adalah harinya.

Kata orang kalau hendak mengenal hati budinya, hiduplah dahulu bersama
dengannya. Aku juga melalui proses mengenal hati budi dan menerima seadanya. Menerima
seadanya dalam erti kata lain menerima kelebihan dan keburukkan orang tersebut.
Persahabatan aku dengan mereka benar-benar memberi satu ilmu baru iaitu menghargai saat
susah dan senang bersama. Hidup sebagai pelajar juga bekerja pada masa yang sama perlu
bijak mengendalikan masa dan juga kewangan. Jujur aku ceritakan sepanjang aku bersama
dengan mereka, tidak pernah lagi merasakan kelaparan walaupun sesak menanti gaji yang
akan masuk. Sepanjang mengenali mereka, boleh dibilang beberapa kali makan tengahari
diluar. Makan tengahari selalunya kami makan bersama-sama di rumah. Antara yang kerap
memasak adalah Aimi dan Hani. Masakan mereka memang sedap. Perbelanjaan dapur kami
kongsi berlima dan kutipan sebanyak RM20 setiap 2 minggu sekali. Kami hanya perlu
menyediakan RM40 setiap bulan untuk makan.
Rumah kami antara yang paling kerap dikunjungi tetamu. Saban minggu ada sahaja
tetamu yang datang untuk berkampung di rumah sewa kami. Tetamu tidak pernah putus-
putus. Adakalanya penuh satu rumah dengan kawan-kawan yang datang. Siapa tetamu yang
ramai-ramai ini? Mereka adalah kawan-kawan aku, Aimi, Hani, Jue dan Sal. Sejujurnya, pada
permulaannya aku agak janggal disebabkan ‘privasi’ terganggu kerana perlu berkongsi bilik
tidur, tandas dan juga makanan dengan tetamu yang datang. Tetapi, aku belajar satu perkara
baru yang mana kita perlu menerima keaadaan tersebut seadanya jika hendak hidup aman dan
bahagia. Hikmah yang aku perolehi daripada itu adalah mereka yang datang juga menjadi
kawan aku dan rezeki rumah kami semakin bertambah dari hari- ke hari. Benarlah sabda
Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:

“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah
keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambah dengan
kemulian. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan
keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya”.

Selepas sudah biasa dengan keadaan itu aku mula rasa meriah dan seronok jika tetamu
datang. Setiap kali tetamu datang, kami akan buat jamuan makan besar-besaran. Kami
berkongsi duit untuk meraikan kawan-kawan dan tetamu yang hadir. Ukhuwah antara kami
dan juga tetamu-tetamu yang ada semakin bertambah baik. Sehinggakan ada kawan-kawan
kami yang datang berkongsi cerita di media sosial mengenai rumah sewa kami. Selain
daripada kawan-kawan, ahli keluarga aku, Aimi, Wani, Jue dan Sal turut datang bermalam di
situ. Keluarga mereka sudah menjadi keluarga aku. Keluarga aku juga sudah menjadi
keluarga mereka. Begitulah akrabnya perhubungan kami.

Mesti ada yang tertanya- tanya “Takkanlah tak pernah bergaduh? Sepanjang hidup
bersama tidak pernah bergaduh?” Mustahil tidak pernah bergaduh dan tidak terasa hati.
Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kami serumah. Adat kehidupan ada pasang surutnya.
Tetapi kami lebih mengambil sikap berterus terang sesama sendiri supaya hubungan
persahabatan dapat dipulihkan. Sejujurnya, bila sudah berterus terang kita perlu belajar
menerima teguran dengan lebih terbuka. Pada pendapat aku ketika tengah bergaduh atau rasa
tidak suka sesama sendiri, kenangkan semula kebaikkan yang pernah mereka lakukan untuk
kita.
Aku ingat lagi antara kebaikkan yang pernah mereka hulurkan kepadaku. Saat itu aku
diuji dengan kereta yang selalu dinaiki rosak. Kos membaikinya agak mahal dan aku perlu
mendahulukan wang yang ada untuk membayar yuran pengajianku. Betul lah kata orang,
“Sahabat syurga itu wujud”. Pertolongan daripada mereka benar-benar membuktikan bahawa
sahabat yang baik memang ada ketika susah dan senang. Mereka berkongsi duit untuk
menolong aku membayar dahulu kos membaiki kereta supaya mudah untuk aku berulang-alik
ke tempat kerja walaupun mereka juga kesempitan wang pada ketika itu. Pertolongan mereka
sangat aku hargai dan akan ku kenang sampai akhir hayat.

Ukhuwah kami berterusan sehinggalah ke hari ini biarpun masing-masing sudah


mempunyai haluan sendiri. Ukhuwah persahabatan yang ada dikekalkan walaupun sudah
mempunyai kerjaya sendiri. Hubungan yang ada terus dibajai dengan kasih sayang dan saling
bertukar khabar walaupun jauh di mata. Suka untuk aku kongsikan bahawa hubungan
persahabatan ini memerlukan banyak kepercayaan dan pengorbanan untuk saling menerima
antara satu sama lain. Antara tips yang boleh aku kongsikan dalam mencari sahabat adalah:

1) Bersedia menerima persamaan dan perbezaan sikap juga pendapat sahabat anda.
2) Saling bantu membantu antara satu sama lain.
3) Didik diri untuk menjadi lebih baik agar kita dapat memperolehi sahabat yang baik.
4) Bijak memilih sahabat dalam kehidupan seharian. Pilih lah sahabat yang membawa
ke arah kebaikkan. Bak kata pepatah Arab:
“ Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi, dan jika
berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya”.
5) Amalkan sikap berbaik sangka (husnuzon) sesama sahabat.
6) Berkongsi rezeki yang ada dengan sahabat.

Oleh itu, belajarlah menghargai sahabat anda. Walaupun jauh di mata, tetapi dekat dalam hati
dan selalu dalam doa. Benarlah kata hikmah “kawan boleh ada beribu-ribu tetapi sahabat
hanya satu”.

You might also like