You are on page 1of 14

CATATAN @ GURU BESAR

Halaman Utama

Home

Wednesday, November 4, 2015

BUDAYA SEKOLAH

1. Pengenalan

Sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang memainkan peranan yang amat penting
dalam merubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu
kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah tempat kita menuju wawasan. Di sini
jugalah tempat kita membina bangsa kita. Negara tidak akan maju tanpa sistem pendidikan yang
berkesan. Jikalau sistem pendidikan dan carta organisasi sahaja yang berkesan tetapi pengurusannya
lembab, maka cita-cita negara, dan perbelanjaan yang begitu besar diperuntukkan oleh kerajaan hilang
begitu sahaja dan cita-cita serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan hanya tinggal terukir di pejabat atau
bilik pengetua dan menjadi rujukan serta kajian ilmiah semata-mata.

Sekolah seringkali diungkapkan sebagai sebuah institusi yang menyeluruh bagi segolongan
manusia berkumpul dan bekerja bersama-sama untuk sesuatu tempoh masa yang tertentu. Organisasi
seperti ini ditadbirkan secara formal. Oleh sebab sekolah merupakan sebuah organisasi, maka wujudlah
suatu budaya yang tersendiri dan berkembang di sekolah.

Budaya secara ringkasnya merujuk kepada cirri-ciri dan hasilan tingkah laku yang dipelajari
oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya. Tylor (1871) menyatakan budaya sebagai
“keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral,
undang-undang, adat dan sebarang bentuk keupayaan dan kebiasaan yang diperolehi oleh seseorang
sebagai ahli masyarakat”.
Budaya merupakan apa yang terkandung dalam diri individu hasil daripada pengalaman
interaksi sosial dengan masyarakat di sekeliling kita. Menurut T.Marimuthu (1990;96) budaya sekolah
terdiri daripada “… nilai-nilai, kepercayaan, pengetahuan dan tradisi, cara berfikir dan tingkah laku yang
semuanya berbeza daripada institusi sosial yang lain”.

Ringkasnya , sekolah mempunyai suatu budaya yang tersendiri yang sememangnya berbeza
daripada budaya institusi yang lain seperti institusi penjara atau hospital sakit jiwa. Ini kerana sekolah
merupakan sebuah institusi sosial yang wujud dengan adanya para guru dan pelajar. Guru dan pelajar
berinteraksi dalam menyampai, menyumbang dan menimba ilmu pengetahuan. Proses pengajaran dan
pembelajaran tersebut telah melahirkan suatu budaya sekolah. Dalam erti kata lain, budaya sekolah
sebahagian besarnya adalah hasil daripada interaksi di antara guru-guru dan pelajar-pelajarnya.

2. Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kewujudan Budaya Sekolah

Budaya sekolah selalunya kekal untuk satu tempoh yang tertentu. Budaya sekolah biasanya
wujud melalui lima faktor:

2.1 Faktor pertama:

Faktor pertama yang mempengaruhi kewujudan budaya sekolah ialah sekolah sebagai
sebuah institusi formal, sekolah mewujudkan objektif dan peringkat tingkah laku tertentu di kalangan
pelajar mengikut rangkaian peraturan dan undang-undang.

2.2 Faktor kedua:

Sekolah merupakan sebuah organisasi berdasarkan waktu . Sekolah bermula dan tamat pada
waktu yang telah ditetapkan . Oleh sebab itu pelajar yang datang lewat akan dikenakan tindakan disiplin
atau didenda.

2.3 Faktor Ketiga:

Sekolah juga merupakan institusi yang digred mengikut umur pelajar. Pelajar diasingkan
mengikut umur dan sesetengahnya mengikut kebolehan dan keupayaan. Pelajar yang lebih umur tidak
dibenarkan mengulang kelas. Di negara kita , seseorang pelajar hanya dibenarkan mengulang sekali
sahaja dalam tempoh sembilan tahun persekolahan.

2.4 Faktor Keempat:


Upacara dan keramaian yang diadakan di sekolah seperti perhimpunan sekolah , upacara
menaikkan bendera dan menyanyi lagu kebangsaan , lagu negeri dan lagu sekolah memberi pelbagai
makna atau simbol kepada pelajar. Upacara lain ialah seperti hari ucapan dan penyampaian hadiah, hari
sukan tahunan, pameran tahunan, lumba jalan kaki, pesta dan persembahan pentas. Semua upacara dan
perayaan ini mengembangkan budaya sekolah yang membawa kepada stabiliti sekolah sebagai sebuah
sistem sosial . Perkara lain yang telah menjadi simbol atau lambang budaya sekolah ialah seperti pakaian
seragam sekolah, lencana, tali leher, warna sekolah dan sebagainya.

2.5 Faktor kelima:

Dalam konteks yang lebih luas, budaya sekolah ditentukan oleh matlamat institusi
berkenaan. Matlamat pendidikan ialah pemindahan budaya , sosialisasi golongan muda, menyerapkan
pengetahuan dan kemahiran serta mengembangkan kebolehan pelajar. Sekiranya sekolah hanya
memberikan perhatian kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran dengan tujuan lulus dalam
peperiksaan, akan wujudlah subbudayanya yang berorientasikan akademik. Sebahagian besar sekolah di
negara kita mempunyai budaya akademik yang amat kuat di samping subbudaya yang lain seperti
olahraga, sukan, permainan dan persatuan.

Menurut Bantock (1973) pula budaya yang wujud di sekolah adalah akibat daripada dua
faktor yang besar. Faktor yang pertama ialah masalah disiplin di sekolah. Semenjak dahulu lagi , pelajar
yang nakal dan melanggar peraturan sekolah akan didenda manakala yang baik dan patuh kepada
peraturan akan diberi ganjaran seperti puji-pujian dan sebagainya. Maka timbullah satu bentuk budaya
yang dikenali sebagai budaya informal di sekolah berkenaan.

Faktor kedua yang mempengaruhi kewujudan budaya sekolah ialah peranan peperiksaan. Peperiksaan
mendorong persaingan yang sihat di kalangan pelajar. Mereka berlumba-lumba untuk mencapai
kecemerlangan , dan akhirnya mewujudkan suatu budaya sekolah yang formal . Pelajar mempunyai nilai
dan persepsi yang positif, tetapi dalam proses bersaing dan berlumba-lumba menimba ilmu , terdapat
pelajar yang lemah, dan ketinggalan dalam pelajaran mereka. Maka wujudlah segolongan pelajar yang
mempunyai nilai yang negatif. Mereka menimbulkan ‘budaya pelajar’ yang tidak sihat di sekolah .

3. Jenis Budaya Sekolah

Budaya sekolah di Malaysia bolehlah diklasifikasikan kepada tiga jenis. Tiga jenis budaya
yang menunjukkan corak kehidupan dalam budaya sekolah ialah :

a) Budaya Instrumental

b) Budaya Ekspresif

c) Budaya Moral
3.1 Budaya Instrumental:

Tujuannya ialah pengumpulan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk
lulus di dalam peperiksaan di samping menghasilkan pelajar dan warganegara yang baik dan sempurna.
Dalam erti kata yang lain ialah, budaya ini mengutamakan matlamat masa hadapan para pelajar.

3.2 Budaya Ekspresif:

Tujuannya ialah untuk memuaskan kehendak kreatif dan seni para pelajar . Aktiviti
diadakan untuk mereka menghilangkan ketegangan , serta meluahkan tenaga tanpa sebarang kawalan
daripada kakitangan sekolah.Contoh aktiviti ialah seperti menari, melukis, atau bermain muzik mengikut
kecenderungan dan minat masing-masing. Tidak terdapat sebarang sekolah di Malaysia yang
menekankan budaya ekspresif ini, tetapi terdapat beberapa buah sekolah di Britain dan Amerika
Syarikat yang mengamalkannya.

3.3 Budaya Moral:

Tujuannya ialah untuk melahirkan pelajar bermoral yang berkemampuan membuat


pertimbangan tentang beberapa tindakan atau tingkah laku yang betul atau salah. Sekolah menghukum
setiap kesalahan dan memberikan ganjaran seperti hadiah kepada yang betul atau baik.

4. Aspek Budaya Sekolah

Dahlke(1958) membezakan tiga aspek yang luas dalam budaya sekolah. Tiga aspek
tersebut ialah Peralatan (Instrumental) Dari aspek ini manusia membuat pilihan terhadap teknik
melakukan sesuatu. Ia adalah alat untuk memperoleh objektifnya.

Peraturan (Regulative) Aspek ini merujuk kepada tindakan manusia dan penggunaan
peralatan yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Mereka akan memberitahu apa yang
harus dilakukan atu mesti dilakukan.Peraturan sekolah adalah ketentuan atau garis panduan yang
dikenakan oleh pihak sekolah untuk mewujudkan disiplin di kalangan pelajar. Sejak 1956, Kementerian
Pendidikan telah mengeluarkan surat pekeliling mengenai peraturan yang perlu dilaksanakan di sekolah
yang meliputi peraturan pakaian seragam, potongan rambut, larangan merokok, lawatan sekolah,
pembuangan murid daripada sekolah, penyalahgunaan dadah, peraturan tatatertib sekolah dan
peraturan am.
Arahan (Directive). Daripada aspek arahan, para individu memperoleh nilai-nilai semerta,
interpretasi mereka tentang hidup, dan matlamat yang mereka kerjakan.

Budaya sekolah seperti ini telah digunakan untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan
bertingkah laku mulia. Sebenarnya seluruh budaya sekolah dikuasai oleh nilai domain sekolah, yang
berorientasikan akademik, sehinggakan anak-anak digolongkan kepada dua kategori yang luas, iaitu
akademik dan bukan akademik.

5. Budaya Sekolah Yang Formal dan Informal

Dalam membicarakan tentang budaya sekolah, Brembeck (1966), Ivan Reid (1978),
Waller(1932), Sugarman (1967), dan beberapa orang ahli sosiologi yang lain telah mengenal pasti dua
bentuk budaya yang dominan di sekolah, iaitu budaya formal dan budaya informal.

Brembeck(1966:247) menghubungkaitkan budaya formal yang wujud di sekolah dengan


perlakuan pelajar yang positif, iaitu ....culture may be defined as learned and shared behaviour. Sekolah
dipercayai akan dapat menyampaikan nilai budaya sesuatu masyarakat kepada pelajarnya . Nilai
tersebut ialah seperti kepercayaan terhadap negara , bahasa dan kesusasteraan, sejarah, tradisi, muzik
dan seni, kepercayaan dan perhubungan antara manusia yang sopan dan hormat (1966:247)

Walaupun sekolah mewujudkan nilai yang bertentangan , namun Brembeck percaya nilai
yang baik dan positif boleh disemai dan dipupuk, misalnya pelajar boleh diajar dan dilatih bekerjasama,
sama ada mereka bertanding dalam sukan, ataupun bersaing dalam sesebuah kelab. Pendapat
Brembeck ini disokong oleh Ivan Reid (1978:50) yang mengatakan, <The objective of the formal culture
of school is to produce seccessful (achieving), well-behaved pupils. Common sense tells us that schools
and teachers spend most of their time attempting to get pupils to behave in fairly closely prescribed
ways (the ideal pupil role) in order to achieve. >

Dalam perkataan lain , Ivan Reid juga bersetuju bahawa budaya formal sekolah akan
dapat menghasilkan pelajar yang berjaya serta berkelakuan baik. Guru akan sentiasa berusaha ke arah
mencapai matlamat tersebut. Sebaliknya , menurut Ivan Reid (1978:45) budaya sekolah yang tidak
formal akan menghasilkan pelajar yang berbakat lain daripada academic ability, iaitu mereka akan
menyerlah dalam fighting/sporting ability. Maksudnya ialah mereka lebih cenderung dalam bidang yang
bukan akademik seperti sukan, permainan, persatuan, atau kerja amal. Mereka dikatakan mempunyai
budaya sendiri yang dikenali sebagai pupil culture( Waller, 1932) atau sebagai youth culture (Parsons,
1942). Mereka selalu menimbulkan masalah disiplin di sekolah seperti merokok, ponteng sekolah, atau
bergaduh. Oleh sebab itulah, mereka sering digelarsebagai pengacau ataupun ‘samseng’ di negara kita.
Golongan pelajar ini seringkali mempunyai klik sendiri, iaitu kumpulan-kumpulan sebaya yang suka
melepak, meminati lagu-lagu pop dan rock, ponteng sekolah dan sebagainya. Pada keseluruhannya
mereka ini lemah dalam bidang akademik.
6. Kesan Budaya Sekolah

Budaya sekolah yang terlalu menekankan pencapaian akademik telah menimbulkan


beberapa masalah di kalangan remaja. Masalah remaja bolehlah dikategorikan ke dalam tiga golongan
iaitu;

a) Aktiviti akademik (pencapaian yang tinggi dan murid yang lembap),

b) Pelanggaran peraturan tatatertib (perosak akhlak dan pengacau),

c) Masalah emosi ( takut dan menarik diri).

Budaya sekolah yang formal yang terlalu berorientasikan akademik. Ramai pelajar yang
berasal daripada keluarga yang taraf sosioekonominya rendah tidak berupaya memenuhi permintaan
yang tinggi daripada budaya akademik ini. Seluruh struktur dan organisasi sekolah dibentuk ke arah
membantu pelajar agar lulus dalam peperiksaan dengan kelulusan yang baik.

Untuk meninggikan taraf dan mutu usaha akademik, pelajar dibahagikan ke dalam jurusan
mengikut kebolehan. Guru yang paling berpengalaman ditempatkan dalam jurusan yang pelajarnya
berkebolehan lebih tinggi. Akibatnya , pelajar yang lemah diabaikan. Apabila membahagikan jurusan
mengikut kebolehan pelajar (dinilai daripada ujian kelas) di peringkat sekolah rendah, pelajar daripada
keluarga yang berada yang telah menghadiri pelajaran prasekolah akan diasingkan dan mereka akan
terus memperoleh kejayaan yang membanggakan, manakala mereka yang daripada keluarga miskin
akan menjadi semakin lemahtahun demi tahun. Inilah salah satu daripada sebab mengapa sekumpulan
murid masih belum dapat mengikuti pelajarannya setelah enam tahun bersekolah.

7. Kesimpulan

Secara simplistik, ciri-ciri yang saya anggap tergolong di bawah budaya sekolah ialah
budaya ilmu, budaya insan yang kamil seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
budaya kepimpinan, budaya kerja, budaya komunikasi dan seterusnya budaya bilik darjah.Budaya
sekolah yang sihat itu ialah ciri-ciri budaya dan sub-budaya yang dapat menyumbangkan kepada
perwujudan dan pertumbuhan sekolah sebagai institusi pendidkan dengan erti kata yang sebenarnya,
yang mana dapat membantu merealisasikan segala yang tersurat dan yang tersirat di dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
KAJIAN

Pengurusan Kepelbagaian Budaya Dalam Konteks Pencapaian Sekolah Terintang.

Beberapa konsep penting

 Sekolah Terintang - . Pihak penganjur telah mendefinisikannya sebagai sekolah murid Orang
Asli, Penan, Sekolah Kurang Murid, Sekolah Kecil, Sekolah Terpencil dan Sekolah Pedalaman.

 Ada tiga kategori sekolah jenis ini: Pertama, sekolah yang pelajarnya daripada etnik Asli dan
Penan. Kedua, bilangan pelajar kecil, dan Ketiga sekolah terintang ditentukan oleh lokasi – pedalaman.

 Pencapaian sekolah ini biasanya rendah, tapi mungkin isu yang dihadapi sekolah itu berbeza

 Sekolah ini juga berhadapan dengan kadar ponteng serta berlakunya keciciran pelajar yang
tinggi.

 Kurangnya kemudahan infrastruktur pendidikan dan peruntukkan kewangan.

 Barangkali juga kurang guru, malah mungkin juga terdapat guru-guru yang tiada minat
berkhidmat disini, dan mengambil ringan sahaja tentang tugas yang diamanahkan.

 Murid-murid tidak berminat kepada pelajaran serta ibu-bapa yang lemah komitmennya
terhadap memastikan anak-anaknya cemerlang.

Sedikit Gambaran Sekolah Orang Asli

 Jumlahnya: 98 buah

 Lokasinya : Kebanyakannya dipedalaman

 Sejarahnya: Mula ditubuhkan oleh JHEOA pada tahun 1954, sebagai usaha mengenalkan
persekolahan kepada Orang Asli dan juga sebagai langkah memastikan mereka tidak lagi berpindah
randah.

 Kakitangan sekolah : Staf JHEOA – Tiada latihan guru.


 1996 – Sekolah Orang Asli diambil alih pengurusannya oleh KPM.

 BAGAIMANA PENCAPAIAN PELAJARNYA?

UPSR 2006 HINGGA 2011

TAHUN BILANGAN HADIR BILANGAN LULUS % LULUS PELAJAR CEMERLANG

(4A & 5A)

BIL %

2006 2,884 1,807 62.66 19 1.05

2007 2,846 1,706 59.94 20 1.17

2008 2,884 1,807 62.66 34 1.88

2009 3,107 1,789 57.58 46 2.57

2010 3,018 1,852 61.37 45 2.43

2011 3,091 2,154 72.40 **44 1.42


ANALISA UPSR 2011

NEGERI BIL CALON BIL HADIR BIL LULUS

( ABC) %

LULUS

(ABC) BIL LULUS

( ABCD) %

LULUS

(ABCD) BIL

GAGAL %

GAGAL

JOHOR 292 233 193 82.8 218 93.6 15 6.4

N NEGERI SEMBILAN DAN

MELAKA 241 193 155 80.0 176 91.2 21 9.0

KELANTAN DAN

TERENGGANU 462 345 195 56.5 256 74.2 61 17.7

PAHANG 1,569 1,128 832 73.8 982 87.1 150 15.3

PERAK DAN KEDAH 1,160 957 592 61.9 779 81.4 187 19.5

SELANGOR 312 235 187 79.6 212 90.2 25 11.8

JUMLAH 4,036 3,091 2,154 72.4 2,623 84.8 469 15.2

Senario ini menunjukkan ada masalah dalam sistem persekolahan, masalah membangunkan dan
memajukan serta menguruskan pendidikan di sekolah terintang. Ramai penulis telah mengupas
persoalan dan membahas isu ini. Ada yang mengatakan bahawa pendidikan yang dibekalkan itu tidak
menarik pelajar untuk menimba pengetahuan; pendidikan yang disediakan itu tidak memberi makna
kepada kehidupan orang asli.

Bersekolah ataupun tidak, tidak mengubah atau memberi kesan kepada mereka. bahawa
persekolahan itu kurang berguna kepada mereka, kerana budaya pendidikan yang disogokkan tidak
selari dengan budaya sosialisasi dan nilai yang mereka warisi. Ilmu yang dibekalkan disekolah dirasakan
tidak serasi dengan budaya dan kehidupan yang mereka lalui. Justeru untuk menangani masalah yang
dihadapi, ada yang mencadangkan supaya dibangunkan pedagogi pribumi, supaya pedagogi ini selaras
dengan citarasa dan kebiasaan kanak-kanak Orang Asli. Cuma yang ingin kita tanyakan sejauh manakah
ia telah diaplikasikan dalam P & P di sekolah. Adakah kajian menilai kesan pedagogi pribumi telah
dilakukan. Jika telah dilaksanakan apakah dapatannya?

Konsep: Pengurusan Kepelbagaian Budaya

Terdapat dua istilah yang perlu saya perjelaskan maksudnya dalam konsep di atas. Pertama
ialah istilah Pengurusan dan kedua Budaya.

Secara mudah Pengurusan boleh sahaja bermaksud mentadbir atau mengawal ataupun
mengusahakan sesuatu pekerjaan, atau pengurusan juga boleh bermaksud sekumpulan orang atau entiti
yang berfungsi menyelaras dan mengharmonikan sesuatu kumpulan untuk mencapai sesuatu matlamat.
Dalam konteks sekolah, pengurusan ini boleh sahaja bermaksud sesiapa sahaja yang menjalankan
pentadbiran dan proses pengajaran dan pembelajaran.

Manakala budaya atau kebudayaan pula secara mudah sering dimaksudkan sebagai cara
hidup yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat ataupun oleh sekelompok manusia

Kami memilih definisi yang telah digunapakai oleh Robert H. Lowie. Kata beliau
kebudayaan adalah segala sesuatu yang di peroleh individu dari masyarakat, mencakup kepercayaan,
adat istiadat, norma-norma artistik, kebiasaan makan, kebolehan yang di peroleh bukan dari
kreatifitasnya sendiri melainkan merupakan warisan masa lampau yang di dapat melalui pendidikan
formal atau informal.

Lantas pengurusan kepelbagaian budaya dalam konteks persekolahan boleh sahaja kita
maksudkan sebagai bagaimana pihak pengurusan sekolah mentadbir atau mengusahakan pengajaran
dan pembelajaran untuk tujuan mengharmonikan kumpulan-lumpulan atau kelompok-kelompok yang
memiliki kebiasaan-kebiasaan yang diwarisi dari masa lampau dan disesuaikan dengan persekitaran dan
nilai-nilai sesebuah sekolah bagi mencapai sesuatu matlamat iaitu kecemerlangan pelajar-pelajarnya

Konsep: Pencapaian Sekolah


Selalunya pencapaian sekolah diukur dari peratusan pelajar yang lulus dan lulus dengan
cemerlang dalam peperiksaan.

Kerana indikator yang sedemikianlah pernah kita terbaca di akhbar-akhbar terdapat pihak
pengurusan sekolah yang menghalang pelajar-pelajar lemah daripada menduduki peperiksaan, kerana
khuatir tahap pencapaian sekolah mereka menurun.

Tetapi mengapakah kita tidak mengukur pencapaian sekolah itu dari sudut keupayaannya
memenuhi falsafah pendidikan negara.

Falsafah Pendidikan Negara

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi


potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan
kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan Negara.”

Ertinya pihak sekolah perlu menterjemahkan nilai-nilai ini dalam P&Pnya supaya pelajar
yang dididik menjadi seimbang intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kerana itulah bagi pendapat saya
tugas guru tidak terhad kepada mengajar tetapi mendidik.

Mendidik ini satu budaya kerja atau budaya tugas yang belum pasti berupaya dihayati oleh
semua guru.

Kita ingin bertanya apakah budaya mendidik ini telah berjaya disemaikan kepada guru-guru
yang dilatih?

Bentuk Kepelbagaian Yang Terdapat Di Sekolah Orang Asli

Secara kasar kita boleh bahagikan kepelbagaian disekolah kepada dua kelompok. Pertama
ialah kelompok yang membekalkan perkhidmatan dan kelompok yang kedua ialah kelompok yang
menjadi klien.

Kelompok yang membekalkan perkhidmatan ini terikat kepada budaya Eurocentrik


persekolahan, budaya bangsa/etniknya sendiri serta nilai-nilai semasa yang telah diperolehi melalui
proses-proses sosial yang dilaluinya. (Budaya moden) Kelompok ini juga memiliki kuasa yang disahkan
oleh sistem pendidikan itu sendiri.

Kelompok kedua atau kelompok klien adalah terdiri daripada murid-murid, juga ibu-bapa
dan masyarakat setempat.Kelompok ini juga memiliki tatacara, keinginan dan harapan mereka sendiri
yang berpaksikan oleh kepada adat dan tradisi yang mereka warisi.
Pandang dunia mereka sangat dipengaruh oleh adat dan tradisi yang telah diwarisi.
Mereka memang merasa selesa dan sebati dengan keadaan kehidupan tradisi ini, yang diselubungi
kemiskinan material. Mereka sedar bahawa mereka sangat berbeza dengan kelompok dominan yang
moden. Lantaran itu mereka menjadi kelompok yang sangat sensitif, mudah merasa terhina dan kecil
hati.

Jurang perbezaan inilah yang memisahkan kedua-dua kelompok ini. Semakin lebar jurang
ini mereka rasakan, maka semakin sukarlah kelompok klien ini berminat menerima perkhidmatan yang
disediakan dan ini menjadikan mereka sebagai klien yang pasif.

Lantas apakah cara yang telah dilakukan oleh kelompok dominan untuk mengubah
keadaan ini. Di sinilah fungsi pengurusan kepelbagaian kebudayaan menjadi amat penting, kerana
dengannya jurang itu boleh dirapatkan

Andainya komponen-komponen ini gagal diurus-tadbir dengan baik dan masing-masing


mengekalkan kebiasaan, sikap dan nilai masing-masing, maka matlamat kecemerlangan yang ingin
dicapai akan tinggal sebagai harapan sahaja dan tidak mungkin akan menjadi realiti.

Setelah sekian lama sekolah terintang ini beroperasi, mari kita tanya diri kita mengapa
kecemerlangan itu menjadi sesuatu yang begitu sukar dicapai di sekolah jenis ini? Saya pasti setiap
komponen yang saya sebutkan tadi ada jawapan mereka sendiri. Dan jari mereka akan ditudingkan
kepada elemen-elemen lain yang biasanya berada di luar kawalan masing-masing yang dianggap sebagai
penyebab.

Langkah Mengatasi

Pemahaman yang mendalam tentang pelajar atau klien serta masyarakat setempat menjadi
sangat penting. Pemahaman ini akan jadi lebih mudah jika wujudkan hubungan yang mesra antara
kedua-dua kelompok ini. Hubungan mesra ini akan melahirkan rasa percaya serta rasa hormat dan
menghormati antara satu sama lain.

Peranan kumpulan dominan/ guru bukan hanya berfokus kepada P & P yang terikat kepada silibus
sahaja, malah pemerhatian yang teliti perlu diberikan kepada budaya pelajar, agama, latar belakang
keluarga, dan sosioekonomi

Latihan Guru ada menyediakan kursus untuk memperkenalkan bakal-bakal guru kepada
budaya masyarakat Orang Asli. Tetapi sejauh manakah maklumat ini, berjaya mereka terjemahkan
dalam melaksanakan peranan mereka di sekolah-sekolah terintang ini.

Maklumat yang diperoleh itu tidak akan memberi apa-apa kesan jika personaliti atau
sahsiah guru itu bermasalah. (sikap bekerja untuk gaji / dihukum). Individu-individu atau guru-guru atau
orang yang terlibat perlu membetulkan sikap mereka terlebih dahulu
Salah satu pendekatan dalam konteks memahami budaya Orang Asli (klien), perlu sekali
guru-guru yang berkhidmat di sekolah berkenaan berupaya bertutur dalam bahasa penduduk setempat.
Ini akan memudahkan guru diterima oleh masyarakat setempat, dan lebih penting lagi murid-murid akan
merasa wujud kaitan dengan guru itu, -- ada perkara yang mereka miliki bersama. Murid-murid juga
merasakan guru itu adalah sebahagian daripada mereka.

Apabila murid-murid faham mereka akan berminat dengan guru itu dan sekali gus akan
berminat kepada mata pelajaran yang diajarkannya. Pelajaran yang diajarkan akan jadi lebih menarik
jika guru itu dapat mengolahnya dengan baik dan menarik. Ini akan diterjemahkan oleh murid-murid
dalam bentuk suka kepada guru tersebut, sayang, hormat dan patuh kepadanya. Guru-guru juga perlu
mengetahui keadaan kehidupan setiap keluarga muridnya, tahu adat resam dan pantang-larang yang
mereka amalkan.

Guru-guru perlu selami akal budi mereka. Akal budi setiap individu itu berbeza. Ini perlu
kerana dengannya guru akan mudah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat dan juga
menyesuaikan diri dengan murid-muridnya dan dengan mudah juga dapat menyelesaikan masalah-
masalah yang wujud. Bergaul, bermesra, prihatin dan terbuka dengan ibu-bapa murid dan masyarakat
setempat adalah elemen atau langkah dalam pengurusan kebudayaan di sekolah terintang. Jika ini telah
dilakukan oleh semua guru bermakna telah bermulalah usaha sekolah menguruskan kepelbagaian
budaya di sekolah itu.

Kesannya, bila hubungan sekolah dengan masyarakat akrab dan mesra akan zahirlah rasa
tanggung-jawab oleh semua pihak, dengan itu kualiti produk perkdimatan disekolah akan meningkat dan
masalah P & P di sekolah terintang mampu dikurangkan. Guru boleh kaitkan kandungan pelajaran
dengan elemen budaya, kehidupan dan persekitaran yang biasa dengan murid-murid. Ini pasti akan
menjadikan pelajaran itu bermakna dan menyeronokkan kepada mereka. Untuk menjadikan mereka
faham, guru wajar mampu memberi banyak contoh, dan contoh ini juga harus sesuatu yang dekat dan
biasa dengan mereka. Gunakan bahasa yang mudah atau bahasa yang mereka gunakan untuk
memberikan penerangan. Di sinilah pentingnya guru menguasai bahasa murid-murid atau bahasa
setempat.

Bibliografi / Rujukan

1. Amir Hasan Dawi, 2002. Penteorian sosiologi dan pendidikan edisi kedua. Tanjung Malim:
Quantum Books.
2. Fatimah Daud, 1992. Pengenalan teori-teori sosiologi.Kuala Lumpur : Fajar Bakti

3. Kamaruddin Haji Husin, 1995. Dinamika sekolah dan bilik darjah.Kuala Lumpur: Utusan
Publication & Distributions Sdn.Bhd.

4. Omar Mohd. Hashim, 1991. Pengisian misi pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

5. Sharifah Alwiah Alsagoff, 1985. Sosiologi pendidikan. Petaling Jaya: Longman.

MYY at 1:16 AM

Share

No comments:

Post a Comment

Pendapat @ Cadangan

Home

View web version

Powered by Blogger.

You might also like