You are on page 1of 2

3. Kucari Damai di Sini (A.

Hamid Jemain)
Maksud
Rangkap 1
Penyajak menyatakan bahawa dia mencari kedamaian
di negaranya yang makmur dan merdeka. Kemerdekaan
tersebut dianggap berada antara kenyataan dan impian.
Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya perasaan
ketidakpuasan hati antara rakyat. Namun demikian,
penyajak menyatakan bahawa perasaan negatif itu perlu
diubati dengan bersangka baik, iaitu dengan menjadikan
sejarah persaudaraan untuk membina rasa kemanusiaan.
Rangkap 2
Penyajak menyatakan bahawa kedamaian juga dicari
dengan rasa kasih sayang dan dengan keperibadian mulia
rakyat Malaysia. Perasaan kasih-mengasihi yang tulen perlu
disemaikan dalam sanubari.
Rangkap 3
Penyajak menyatakan bahawa walaupun negara kita ada
masalah, tetapi kita masih boleh berdamai dan hidup dengan
aman di negara ini. Penyajak berharap agar kemerdekaan
yang dicapai akan berkekalan. Segala masalah perlulah
diatasi dengan bijak supaya kejayaan yang tercipta menjadi
kebanggaan generasi akan datang.

Tema
Penghargaan terhadap kedamaian dan kesejahteraan negara.
Persoalan
(a) Kedamaian hendaklah diusahakan kerana kedamaian tidak
akan datang dengan sendirinya.
(b) Negara kita ialah negara yang aman dan makmur.
(c) Kemerdekaan hendaklah diperjuangkan agar beroleh
kemajuan.
(d) Kedamaian akan wujud dengan adanya nilai kasih sayang.
(e) Harapan agar kemerdekaan negara kita akan menjadi
kebanggaan generasi akan datang.
Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada tiga rangkap.
(b) Rangkap pertama mempunyai enam baris, rangkap kedua
mempunyai lima baris, dan rangkap ketiga mempunyai
empat baris.
(c) Bilangan katanya tiga hingga lapan patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada enam hingga lapan belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya bebas.
Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Paradoks. Contohnya, antara realiti dan mimpi.
(b) Hiperbola. Contohnya, membebat perasaan kehidupan.
(c) Metafora. Contohnya, laman sukma.
(d) Repetisi. Contohnya, (perulangan frasa Kucari damai di sini
dalam rangkap 1, baris 1 dan rangkap 2, baris 1).
(e) Asonansi. Contohnya, dengan sejarah persaudaraan
(perulangan vokal a).
(f) Aliterasi. Contohnya, Kucari damai di sini (perulangan
konsonan d).
(g) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abaccc dan rima
akhir bagi rangkap kedua aabca, dan rima akhir bagi rangkap
ketiga abbb.
Nada
Patriotik.
Nilai
(a) Kesyukuran.
(b) Hormat-menghormati.
(c) Patriotisme.
(d) Keinsafan.

01 SS LITERASI BM TG2-NOTA LENGKAP KOMSAS-LzF.indd 5 12/26/17 9:59 AM


Pengajaran
(a) Kita mestilah berusaha mendapatkan dan mengekalkan
kedamaian.
(b) Kita hendaklah menghargai kemerdekaan negara.
(c) Kita hendaklah memastikan kedamaian negara terus
berkekalan.
(d) Kita hendaklah menyelesaikan sebarang krisis dengan bijaksana.
(e) Kita perlulah menjaga negara kita dengan baik untuk
diwariskan kepada generasi akan datang.

4. Pada Sekuntum Mawar (Mahwa Mohamed)


Maksud
Rangkap 1
Penyajak mengumpamakan bunga mawar sebagai gadis. Jika
maruah seorang gadis tercemar, maka ibunya akan berasa
amat sedih dalam menghadapi hari tua.
Rangkap 2
Jika maruah anak gadisnya tercemar, maka ibu akan berasa
segala-galanya telah musnah. Dia berasa hidupnya sia-sia atau
tidak bemakna lagi. Dia juga berasa segala-galanya telah musnah,
dan tidak ada lagi jalan untuk memperbaik keadaan tersebut.
Rangkap 3
Penyajak berpesan agar gadis-gadis tidak membiarkan maruah
mereka tercemar dalam menghadapi kehidupan yang serba
mencabar ini tetapi sebaliknya hendaklah menjaga diri supaya
menjadi gadis yang beriman dan dihormati masyarakat.

Tema
Anak gadis mestilah menjaga martabat atau maruah mereka
sebagai gadis.
Persoalan
(a) Ibu akan berasa sedih jika maruah anak gadisnya tercemar.
(b) Kesedihan menyebabkan seseorang ibu akan merasakan
hidupnya sudah tidak bermakna lagi.
(c) Kehilangan maruah seorang gadis merupakan satu
kemusnahan yang tidak sanggup diterima oleh seseorang ibu.
(d) Seorang gadis hendaklah menjaga diri dengan memiliki
pegangan agama yang kukuh, iaitu sebagai gadis yang beriman.
Bentuk dan Ciri-ciri Sajak
(a) Terdiri daripada tiga rangkap.
(b) Rangkap pertama mempunyai tiga baris, rangkap kedua
mempunyai enam baris, dan rangkap ketiga mempunyai
lima baris.
(c) Bilangan katanya dua hingga enam patah kata sebaris.
(d) Terdiri daripada lima hingga empat belas suku kata sebaris.
(e) Bentuknya bebas.
Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
(a) Metafora. Contohnya, lipatan usia; pintu kehidupan.
(b) Imej alam. Contohnya, malam; angin; laut; ombak; mawar;
lembah.
(c) Simile. Contohnya, seperti telah menutup.
(d) Sinkope. Contohnya, tak.
(e) Asonansi. Contohnya, bukan melontar harum indahmu
(perulangan vokal u)
(f) Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abb, rima akhir bagi
rangkap kedua abcdee, dan rima akhir bagi rangkap ketiga
abcbd.
Nada
Melankolik.
Nilai
(a) Hemah tinggi.
(b) Kasih sayang.
(c) Waspada.
(d) Kesedaran.
(e) Rasional.
(f) Keimanan.
Pengajaran
(a) Kita hendaklah menjaga maruah diri dengan baik agar tidak
tercemar.
(b) Kita hendaklah menjaga hati ibu agar ibu tidak menderita.
(c) Kita hendaklah mengelakkan diri daripada terlibat dalam
masalah sosial.
(d) Kita mestilah mengukuhkan iman dalam diri supaya maruah
diri akan terjaga.

01 SS LITERASI BM TG2-NOTA LENGKAP KOMSAS-LzF.indd 6 12/26/17 9:59 AM

You might also like