You are on page 1of 8

PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC

CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017


Proceeding of International Conference of Empowering Islamic Civilization
Editors: Rahimah Embong, Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad, Hanif Md Lateh @ Junid,
Fadzli Adam & Syed Hadzrullathfi Syed Omar
© Research Institute for Islamic Product and Malay Civilization (INSPIRE)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
ISBN 978-967-0899-70-1 (2017), http: //www.inspire.unisza.edu.my

Haji Abdullah Haji Idris Sebagai Tokoh Penggerak Tarekat Ahmadiyyah Di


Kelantan
Mokhtar Lotfi Mohamed1 & Syed Hadzrullathfi Syed Omar2
1
Calon Ph.D, Institut Penyelidikan Produk Dan Ketamadunan Islam,
Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu,
(lotfi_xpdc@yahoo.com)
2
Ph.D, Profesor Madya, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Dan
Ketamadunan Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu,
(sylutfi@unisza.edu.my)

Abstrak: Agamawan mempunyai saham dalam pembinaan Negara bangsa di Malaysia khususnya dalam
pembentukan kerohanian dan jati diri Melayu. Kajian ini adalah bertujuan untuk menjelaskan peranan
seorang tokoh intelektual agama kepada perkembangan tarekat Ahmadiyyah di negeri Kelantan. Beliau
merupakan seorang tokoh tarekat Ahmadiyyah sezaman dengan Haji Daud Bukit Abal. Beliau ialah Haji
Abdullah Haji Idris, beliau merupakan seorang tokoh tarekat Ahmadiyyah yang kurang diketengahkan dalam
kajian akademik. Oleh kerana itu kajian ini dilihat perlu diketengahkan. Kajian ini juga membincangkan
biodata, penglibatan beliau dalam dunia pentadbiran, penulisan dan perniagaan, seterusnya peranan beliau
kepada tarekat Ahmadiyyah di Kelantan. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah pengumpulan data dan
analisis data. Bagi memperolehi data yang tepat, kaedah temu bual telah digunakan. Kesemua data yang
diperolehi akan dianalisis berdasarkan metode induktif dan deduktif bagi menghasilkan dapatan
penyelidikan. Kajian mendapati beliau merupakan seorang agamawan, usahawan, tokoh pendidik dan
mempunyai saham dalam mengembangkan tarekat Ahmadiyyah di Kelantan. Semoga dengan pendedahan
tokoh ini dapat menyuntikkan inspirasi kepada para penuntut yang berminat mempelajari, menekuni dan
menyebarluaskan ilmu yang berkaitan kesufian dan tarekat.

Kata Kunci: Agamawan, Penggerak Tarekat Ahmadiyyah, Haji Abdullah Haji Idris, Intelektual,
Pembangunan Pendidikan, Kesufian.

PENGENALAN

Sejarah perkembangan tarekat Ahmadiyyah di Kelantan sudah dijadikan bahan kajian oleh ramai penyelidik.
Kebiasaannya tokoh yang sentiasa diperkatakan dan disebut-sebut nama mereka apabila menghuraikan
sejarah pertumbuhan tarekat Ahmadiyyah di Kelantan adalah Haji Abdul Samad bin Muhammad Saleh al-
Kelantani (Tuan Tabal, 1840-1894), Haji Muhammad Sa‘id bin Jamaluddm al-Linggi (1875-1926), Sidi
Sheikh Azahari (1935), Haji Wan Musa Tuan Tabal (1874-1939), Haji Yaakub bin Haji Ahmad Gajah Mati
(1895-1956), Haji Ahmad Mannan (1876-1938), Haji Abdus Salam Muhammad (1880-1962), Haji Abdul
Rahman Khatib cucu Tuan Tabal (1911-1968), Haji Daud Haji Omar Bukit Abal (1903-1976), Haji Wan
Adam bin Che Ali (1906-1975) dan Ustaz Mustafa al-Jiasi (1935-2016) (Ismail Che Daud 1988: isi
kandungan).
Kajian ini akan cuba mengetengahkan seorang lagi tokoh pengembang tarekat Ahmadiyyah di negeri
Kelantan yang kurang didedah dan di bincang selama ini. Keperibadiannya yang tidak begitu terserlah itu
menjadi daya tarikan utama kajian ini untuk membongkar dan menggali seluk belok kehidupan dan berbagai
sudut kegiatannya sedangkan beliau antara ahli tarekat sebaris dan seangkatan dengan Haji Daud Bukit Abal
(Pauzi Haji Awang: 86). Tokoh yang dimaksudkan disini ialah Haji Abdullah Haji Idris (1909-1996). Beliau
adalah salah sorang penggiat yang ikut mengembangkan tarekat Ahmadiyyah semasa dan selepas kamatian
Haji Daud Bukit Abal (Auni b. Haji Abdullah, temu bual).
Tiada kedapatan tesis, jurnal atau buku yang menyentuh tentang tokoh ini secara akademik. Setakat
ini hanya didapati Pauzi Haji Awang (Tariqah Ahmadiyyah: History and Development), Hamdan Hassan
(Tarekat Ahmadiyyah di Malaysia Suatu Analisis Fakta Secara Ilmiah), Mark J.R. Sedgwick (The Making
And Remaking Of The Rashidi Ahmad Sufi Order, 1799-2000), Che Zarina Sa’ari (Tarikat Ahmadiyyah:
Satu Kajian di Negeri Kelantan) dan Ismail Che Daud (Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu 1 dan 2),

59
PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC
CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017
mereka ini adalah tokoh pengkaji tempatan yang menyoroti sejarah pertumbuhan tarekat Ahmadiyyah di
Malaysia termasuklah di Kelantan. Semua maklumat oleh para penyelidik ini hanya menyentuh beberapa
cebisan maklumat dari perjalanan hidup Haji Abdullah Idris tanpa menyentuh langsung tentang sebarang
penglibatan beliau dalam arena kesufian dan tarekat. Kaedah pengumpulan data melalui perpustakaan dan
temu bual khusus dengan kaum keluarga dan tokoh penyelidik terdahulu dilakukan bagi mendapat maklumat
yang benar tentang biografi tokoh dan penglibatan beliau selaku tokoh penggerak tarekat Ahmadiyyah di
Kelantan.
Dalam penyelidikan sejarah pertumbuhan tarekat Ahmadiyyah di Kelantan, susuk peribadi Haji
Abdullah Idris adalah tokoh yang sewajar dan sudah sampai masanya dijadikan fokus penelitian kerana
kehidupan dan kegiatan keilmuannya agak lama tersorok dalam lipatan sejarah (Ismail Che Daud, temu bual).

KELAHIRAN DAN PERKAHWINAN

Nama penuh beliau ialah Haji Abdullah bin Haji Idris bin Haji Noh dilahirkan di Kampung Gajah Mati, Kota
Bahru Kelantan pada tahun 1909 bersamaan 1327 Hijrah. Mengikut buku catatan ayahnya, Haji Idris bin
Noh (1876-1938), beliau dilahirkan pada malam Ahad 24 Zulhijjah 1327. Beliau merupakan anak ketiga dari
enam adik beradik (Auni b. Haji Abdullah, temu bual). Beliau dibesarkan dalam persekitaran kediaman yang
ikut membentuk keperibadiannya kerana kampung Gajah Mati yang terletak di pinggiran Sungai Kelantan
ialah sebuah kampung terletak berhampiran Medan Tuan Padang (Bulatan Tuan Padang) yang merupakan
salah sebuah pusat kegiatan perekonomian orang Melayu dan pusat kegiatan pendidikan Islam di sekitar Kota
Bharu. Medan Tuan Padang ialah salah sebuah perkampungan keilmuan Islam terawal yang diasaskan oleh
keluarga Syeikh Abdul Halim al-Yunani (Mohamad Kamil Haji Ab. Majid 2003: 81).
Adapun bapa tokoh kajian, Haji Idris adalah berketurunan Wan berasal dari kawasan sekitar
Palekbang dan Pasir Pekan Tumpat Kelantan. Masih terdapat ramai anggota keluarganya yang menetap di
kawasan itu. Haji Idris pernah mendapat pendidikan agama dari tokoh ulama zamannya termasuklah dari
Haji Wan Mahmud bin Wan Ahmad (Tok Mesir 1909), seorang guru tersohor di dalam bidang ilmu qiraat
(Anisah bt. Abdullah, temu bual). Beliau adalah seorang usahawan kecilan menjual kain dan alat keperluan
dapur. Sementara ibunya, Wook binti Muhammad Amin (1881-1970) adalah berketurunan dari keluarga
pelarian Patani semasa peristiwa perang “Musuh Siam” pada tahun 1830 yang menyebabkan ramai penduduk
Islam Patani lari berlindung di bumi Kelantan dan Terengganu. Wook berdarah Patani dari sebelah bapanya
yang berasal dari keturunan Tok Faqih Beraol, seorang tokoh setempat ternama pada awal abad ke 19. Wook
dikenali sebagai seorang guru mengaji al-Qur’an yang amat ramai muridnya yang datang dari sekitar
Kampung Gajah Mati dan Kapung Sirih. Wook dibesarkan dalam keluarga ternama dan dihormati kerana
bapanya, Mohammad Amin yang lebih dikenali dengan panggilan “Pak Mat Hassan” sempena nama anak
lelaki sulungnya, Hassan adalah seorang tokoh setempat yang disegani di sekitar masyarakat Melayu Kota
Bharu (Anisah bt. Abdullah, temu bual).
Haji Abdullah Idris dipertemukan jodoh pada 1934 dengan Aisyah bt. Haji Abdus Salam pada tahun
1934. Majlis akad pernikahan ini diberkati dengan kehadiran guru kesayangan, Haji Yaakub Gajah mati dan
teman rapatnya, Haji Nik Muhammad Sidqi Haji Wan Musa (Haji Nik Muhammad Nazir, cucu Tuan Tabal)
sebagai dua orang saksi yang diperlukan. Aisyah yang dilahirkan pada 1919 berdarah keturunan Cina
peranakan Kelantan berasal dari Ketereh dari sebelah ibunya. Dari sebelah bapanya berketurunan Patani yang
berasal dari Bengnara (Narathiwat). Aisyah ialah dari tiga orang anak yang hidup. Nama Aisyah ini
diberikan oleh Tok Kenali yang berkebetulan singgah ziarah di rumah Haji Abdus Salam (Auni b. Haji
Abdullah, temu bual).
Hasil perkahwinan dengan Aisyah, Haji Abdullah Idris telah dikurniakan 15 orang cahaya mata iaitu 6
orang lelaki dan 5 orang perempuan. Empat orang lagi anaknya meninggal dunia semasa kecil. Dalam
kehidupan berkeluarga ini beliau telah dikurniakan kesempatan berbesan dengan seorang tokoh ulama, Haji
Mukhtar Haji Ahmad yang pernah menetap di Pekan, Pahang menyandang jawatan kadi. Besannya ini adalah
adik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payung (1897-1961). Haji Abdullah Idris kembali ke rahmatullah
pada 1994 dan isterinya, Aisyah yang menyusulinya pada 2005 (Karimah bt. Haji Abdullah,temu bual).

PENDIDIKAN KEROHANIAN

Haji Abdullah Idris mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Garong selama tiga tahun.
Kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Agama Madrasah Muhammadiah Majlis Agama Islam
Kelantan yang terletak di bangunan Majlis Agama berhampiran Padang Merdeka Kota Baharu. Di samping
belajar di Madrasah Muhammadiah, beliau juga mengikuti kelas pengajian di pondok-pondok sekitar Kota
Bharu. Bermula dengan pondok Tok Khatib Haji Nik Abdullah bin Haji Abdul Samad, putera ketiga Tuan
Tabal, kemudian Pondok Haji Ahmad Hakim bin Abdul Manan yang dikenali sebagai Haji Ahmad Manan di

60
PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC
CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017

Kubang Pasu dan akhirnya di Pondok Haji Yaakub Haji Ahmad di Lorong Gajah Mati Kota Bahru Kelantan
(Karimah bt. Haji Abdullah, temu bual).
Di pondok-pondok inilah beliau memperdalami ilmu agama seperti Nahu, Saraf, Fiqah, Tauhid,
Tafsir, Tasawuf. Beliau mempelajari ilmu Nahu Saraf dengan Tok Khatib Nik Abdullah sehingga terkenal
sebagai seorang murid yang mahir dalam bidang itu dan dengan gurunya itulah beliau mendapat pendedahan
terawal tentang tasawuf dan tarekat Ahmadiyyah. Dengan Haji Ahmad Manan beliau mempelajari ilmu fiqah
dan tauhid. Sementara Tuan Guru Haji Yaakob Gajah Mati beliau berkesempatan mempelajari dan
memperdalami ilmu tasawuf dan tarekat Ahmadiyyah (Karimah bt. Haji Abdullah, temu bual). Antara
sahabat baik beliau semasa berada dalam dunia perpondokan ialah Haji Daud Bukit Abal, Haji Nik Abdul
Rahman Haji Nik Abdullah (cucu Tuan Tabal), Haji Hassan Abu Bakar (bekas Mufti Melaka), Haji Ahmad
Mahir (bekas mufti kerajaan Kelantan), Haji Nik Muhammad Sidqi bin Haji Wan Musa (lebih dikenali
dengan panggilan Haji Nik Mat Nazir), Haji Muhammad Ta’, bekas kadi Bachok (anak saudara Haji Ahmad
Mannan), Haji Hassan Ismail Ketereh (seorang pengasas pengajian pondok di Ketereh) dan Haji Wan Ahmad
Wan Ali, pengarang terkenal buku-buku sekolah agama di bawah Majlis Agama Dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan (Auni b. Haji Abdullah, temu bual).
Dalam menggali dan menyelongkar berbagai sudut ilmu tasawuf, beliau banyak bergantung kepada
bimbingan Haji Yaakub Ahmad Gajah Mati terutamanya selepas pemergian Tok Khatib Haji Nik Abdullah
pada 1926 dan berikutnya Haji Ahmad Mannan pada 1938. Kehilangan kedua-dua guru itu amat dirasai
beliau tetapi kegundahan ini dapat diredakan apabila beliau bermentuakan Haji Abdus Salam pada 1934 yang
ternyata telah bergerak aktif menempuhi perjuangan memperkasakan jati diri (mujahadat al-nafs) dengan
menerjunkan diri secara langsung sebagai penggerak sekumpulan pengikut tarekat Ahmadiyyah (Auni b. Haji
Abdullah, temu bual). Dalam kesempatan mendampingi mertuanya ini, beliau telah dipertemukan dengan
Haji Che Muhammad Amin bin Che Wan (Haji Che Min Bechah Keranji), guru kerohanian Haji Abdus
Salam yang memperkenalkan dan membimbingnya ke alam tarekat dan kesufian. Haji Che Min yang
mempunyai pondoknya sendiri sebagai pusat kegiatan tarekatnya di kampung Bechah Keranji, Peringat Kota
Bharu. Beliau telah menerima ijazah tarekat dari Sidi al-Azahari tokoh pengembang tarekat seperguruan
dengan Tuan Tabal.
Haji Che Min sering juga menghadirkan diri dalam majlis-majlis zikir dan haul (Majlis memperingati
kematian guru-guru tarekat Ahmadiyyah) yang dianjurkan oleh muridnya Haji Abdus Salam di Kubang Pasu.
Apabila Haji Che Min meninggal dunia sebelum Perang Dunia Kedua, kegiatan pergerakan tarekat
Ahmadiyyah di Bechah Keranji dibimbing oleh menantu yang juga anak saudaranya, Haji Yaakub bin Saat
(Rahimah bt. Che Ibrahim, temu bual).
Gabungan pendidikan tasawuf dan latihan amalan tarekat secara berterusan yang diterima bermula
dengan bimbingan Tok Khatib Haji Nik Abdullah yang disusuli dengan Haji Ahmad Mannan dan berakhir
dengan Haji Yaakub Ahmad Gajah Mati yang disambung pertalian dengan Haji Abdus Salam dan Haji Che
Min telah memantapkan perjalanan kerohanian Haji Abdullah Idris dalam memahami dan menghayati rahsia-
rahsia serta hikmah dari ajaran tasawuf dan amalan-amalan zikir dan wirid tarekat Ahmadiyyah.

PARA GURU DAN MURID

Semasa Semasa belajar di Sekolah Padang Garong, teman sekelas beliau ialah Wan Ibrahim Mustafa, seorang
guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim yang kemudiannya pernah ditahan penjajah
Inggeris kerana terlibat dalam pergerakan politik Melayu kiri, Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Persahabatan antara mereka berterusan sehingga ke hari tua. Antara
guru yang pernah mengajar beliau di Sekolah Padang Garong dan Pondok adalah (Auni b. Haji Abdullah,
temu bual):
1. Tok Khatib Haji Nik Abdullah bin Haji Abdul Samad
2. Haji Ahmad Manan
3. Haji Yakub Haji Ahmad Gajah Mati
4. Haji Abdul Salam Muhammad
5. Haji Che Min, Bechah Keranji
Haji Abdullah Idris adalah tokoh penggerak yang tersembunyi menyukarkan untuk menjejaki anak
murid beliau, walau bagaimanapun menurut ahli keluarga beliau rumah beliau sentiasa dihadiri oleh
pengamal tarekat sama ada sezaman dengan beliau yang merupakan kenalan lama dan para pengamal tarekat
dari kalangan pengikut mertuanya, Haji Abdus Salam dan dari kalangan keluarga Haji Muhammad Amin
Bechah Keranji atau mereka dari kalangan generasi baru yang dapat mengesan ketokohan beliau sebagai
seorang penggerak dan guru tarekat (Karimah bt. Haji Abdullah, temu bual). Di celah-celah itu juga beliau
dikunjungi oleh tokoh-tokoh ulama yang tidak dapat dikenal pasti. Tetapi setakat yang dapat dikesani ada
beberapa nama yang dapat disebut di bawah ini:

61
PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC
CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017

1. Haji Syu’aib Haji Daud, Kampung Menuang, Kota Bharu.


2. Haji Wan Abdul Razak (Wan Jak), Kampung Laut.
3. Haji ‘Uthman, Kampung Laut .
4. Haji Nik Mat Jakan, Selatan Thailand.
5. Nik Sulaiman, Kampung Laut.
6. Haji ‘Umar Janggut, Kula Krai.
7. Ustaz Haji Yahya Abdus Salam.
Semua mereka di atas ialah murid yang menjadi pengikut tarekat Ahmadiyyah. Semasa remaja Haji
Abdullah Idris pernah diberi kepercayaan oleh dua orang gurunya, Haji Yaakub Ahmad Gajah Mati dan Haji
Ahmad Mannan untuk mengajar dalam beberapa mata pelajaran bukan tasawwuf. Di antara mereka yang
pernah menjadi muridnya pada saat itu ialah Datuk Haji Ismail Yusuf, mantan mufti Kelantan yang terus
memelihara hubungan dengan beliau di hari tuanya (Karimah bt. Haji Abdullah, temu bual).

PENGALAMAN MENDAMPINGI PEMBESAR NEGERI

Beliau telah melalui satu lagi pengalaman baru dalam hidupnya apabila dipilih bertugas dengan Menteri
Besar Kelantan iaitu Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, Nik Mahmud Ismail (1880-1964) pada tahun
1928. Beliau ditugaskan sebagai pembantu dalam kerja-kerja penyuntingan dan penyemakan buku-buku yang
dihasilkan oleh Datuk Perdana sendiri (Ismail Che Daud, temu bual). Pengalaman bekerja dengan seorang
pembesar negeri yang amat terkenal dalam sejarah Kelantan, telah mendedahkan Haji Abdullah Idris dengan
pengalaman yang berharga mengenai berbagai selok-belok pemerintahan dan hal ehwal sejarah kesultanan
Kelantan yang menjadi minat kajian Datuk Perdana selain memahami serta menyelami sepak terajang politik
Datuk Perdana berdepan penasihat Inggeris. Beliau juga dapat mendengar kupasan dan analisis Datuk
Perdana tentang percaturan politik antarabangsa di masa itu. Semasa bertugas di rumah dan di pejabat Datuk
Perdana beliau berpeluang mengenali dari dekat para pembesar, ulama dan cendekiawan yang rapat dan
sering datang mengunjungi rumah dan pejabat Datuk Perdana. Lagi pun rumah Datuk Perdana sendiri sering
menjadi pusat berbagai kegiatan keagamaan dan keintelektualan di Kelantan (Auni b. Haji Abdullah, temu
bual).
Semasa berseorangan dengan Datuk Perdana di rumah dan semasa berkereta menemaninya melawat
daerah-daerah Kelantan, beliau banyak mendengar curahan ilmu dan pengetahuan tentang politik negeri-
negeri Semenanjung, tipu-helah penjajah Inggeris, tokoh-tokoh pembesar negeri Melayu, hal ehwal dalaman
istana Kelantan dan tokoh-tokoh ulama Melayu (Auni b. Haji Abdullah, temu bual). Haji Abdullah Idris juga
didedahkan dengan keunggulan dan kehebatan Syeikh Wan Ahmad Zain al-Fatani, seorang tokoh ulama
Alam Melayu diaspora (penyebaran) amat terbilang yang dikenali dengan panggilan “al-hakim” (polymath)
kerana menguasai berbagai bidang ilmu sains dan politik selain berbagai dimensi ilmu agama. Beliau ialah
guru Datuk Perdana dan juga guru Tok Kenali semasa sama-sama menuntut di Mekah. (Ismail Che Daud
1988: 72-73)
Sesungguhnya diri Haji Abdullah Idris dapat mengecap berbagai aspek ilmu sains politik dari
perdampingan ini. Peluang ini disambut dengan penuh gembira oleh beliau yang memang meminati
mengikuti perkembangan politik dunia terutamanya pergolakan politik di dunia Arab, Indonesia dan India.
Selain itu antara pengalaman manis beliau bersama Datuk Perdana ialah menghasilkan sebuah buku yang
berjudul “Citra Kelantan” dalam tahun 1933, yang menjadi sukatan pembelajaran di Sekolah-Sekolah
Kelantan (Auni b. Haji Abdullah, temu bual). Buku ini amat penting bagi anak-anak Kelantan untuk
mengetahui salsilah Raja Kelantan (Citra Kelantan). Dengan berlatar belakangkan berbagai pengalaman
tersebut, Haji Abdullah Idris telah tekad berundur dari bekerja dengan tokoh pembesar negeri Kelantan ini
pada tahun 1932. Pengunduran beliau diterima dengan berat hati oleh Datuk Perdana yang masih
memerlukan sumbangan tenaga seorang remaja berkebolehan dan memiliki keterampilan seorang pengarang
yang berdedikasi seumpama beliau (Anisah bt. Haji Abdullah, temu bual).

PENGLIBATAN DALAM DUNIA PERNIAGAAN

Selepas berundur dari dunia pentadbiran dan politik beliau, telah masuk berkecimpung di bidang perniagaan
sebagai menjejaki langkah abangnya, Abdur Rahman dan ayahnya sendiri, Haji Idris yang pernah berniaga
dan berulang-alik ke Singapura. Beliau menceburi perniagaan barang-barang keperluan dapur, masakan dan
membuat kuih muih dari bahan-bahan kayu, besi, tembaga, kaca dan logam. Beliau berniaga di sebuah
rumah kedai yang terletak bersebelahan Pasar Besar Kota Bharu. Kegiatan perniagaan telah berubah haluan
selepas mendirikan rumah tangga pada 1934 dengan Aisyah Haji Abdus Salam (Karimah bt. Haji Abdullah,
temu bual).

62
PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC
CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017

Pembabitan beliau dalam bidang perniagaan telah meningkat apabila beliau telah beralih kepada
bidang penjualan kayu-kayan dengan bantuan mertuanya, Haji Abdus Salam, seorang hartawan yang
mempunyai ladang getah di daerah Machang dan memiliki banyak hartanah serta rumah kedai di sekitar
Bandar Kota Bharu. Haji Abdullah Idris telah mencipta kemajuan dalam perniagaan kayu di sebuah kilang
kayu terletak di tepi Sungai Kelantan berhampiran dengan ibu pejabat Kastam dan Tambatan di Raja yang
tidak berjauhan dari Padang Merdeka. Kilang kayu beliau terletak dalam kawasan Kampung Atas Paloh ini
yang bermula dengan sebuah bangunan telah berkembang menjadi tiga buah bangunan kilang yang
berderetan. Beliau telah dikenali dengan panggilan saudagar kayu yang kerap menjadi tumpuan ramai untuk
mendapatkan derma bantuan dan sering mendapat undangan ke majlis-majlis keraian rasmi di sekitar Kota
Bharu (Karimah bt. Haji Abdullah, Temu bual).
Justeru itu dalam kesibukan mengurus bidang perniagaannya, beliau dalam kesempatan yang ada
sering mengunjungi dua orang guru kerohaniannya, Haji Ahmad Mannan dan Haji Yaakub Haji Ahmad.
Biasanya Haji Yaakub akan membekalkan beliau dengan bahan bacaan kitab tasawuf yang banyak dalam
simpanan gurunya itu (Auni b. Haji Abdullah, temu bual). Sementara itu dengan kehendak Ilahi pencapaian
beliau dalam dunia perniagaan telah mengalami kerugian besar ekoran dari kebakaran besar yang
memusnahkan tiga buah kilang kayunya.
Akhirnya beliau, memutuskan untuk menutup perniagaannya pada 1948 dan berazam untuk
menjauhkan diri dari kesibukan mencari rezeki. Dalam usianya 39 tahun beliau telah menanamkan tekad
untuk mengabdikan diri kepada perjuangan (jihad al-nafs) dengan mempertajamkan amalan-amalan zikir
tarekat dan amalan kekerapan membaca wirid-wirid peninggalan Sidi Ahmad ibn Idris (1755-1837), Ibrahim
al-Rasyid (1813-1874), Ahmad al-Dandrawi (1839-1909) dan Abu al-Hassan al-Azahari (meninggal 1939).
Di samping itu beliau terus terlibat sebagai orang kanan mertuanya dalam menganjurkan halakah zikir,
menguruskan majlis jamuan haul tarekat yang dihadiri oleh para pengikut tarekat selain membantu
membimbing pengikut yang memerlukan petunjuk dalam mengamalkan zikir-zikir dan wirid tarekat
Ahmadiyyah (Auni b. Haji Abdullah, temu bual).

KEPERIBADIAN

Amalan kehidupan sebagai seorang sufi telah banyak mempengaruhi perwatakan dan kehidupannya.
Sehingga ke saat menyahut panggilan Ilahi, beliau didoakan dalam keadaan sentiasa dengan Allah SWT iaitu
satu harapan besar yang sempat diungkapkan kepada anaknya di hari-hari akhir hayatnya dan meminta
anaknya mendoakan supaya hasrat mulianya ini dimakbulkan Allah SWT (Anisah bt. Haji Abdullah, temu
bual). Sepanjang perjalanan hidupnya itu beberapa sifat mulia telah dapat diselami sebagaimana berikut:
1) Sikap tawakal kepada kekuasaan Allah SWT amat kental. Pendirian ini jarang disuarakan secara
terbuka tetapi ia amat jelas di segi tindakan dan amalan beliau dalam menangani berbagai masalah
peribadi beliau, keluarga yang dipimpinnya dan tarekat Ahmadiyyah.
2) Sikap menerima ketentuan Ilahi dalam bentuk kesukaran dan kegagalan dengan berlapang dada. Ini
kerana sikap syukur kepada kemurahan Ilahi amat mengcekam dalam dirinya dan lidah beliau tidak
pernah sunyi dari menyuarakan rasa terhutang budinya kepada Ilahi.
3) Sikap baik sangkap terhadap manusia. Ini adalah pancaran dari baik sangkanya terhadap kekuasaan
Ilahi. Beliau sentiasa meyakinkan setiap apa yang ditakdirkan terhadap diri dan keluarganya adalah
ujian Ilahi yang mempunyai hikmah dan tujuan baik. Oleh itu sesuatu kehampaan dan kekecewaan
diterima dengan harapan bahawa Allah SWT bermaksud baik di sebaliknya.
4) Sikap penyayang dan prihatin terhadap golongan miskin. Beliau tidak menghampakan hajat dan
keperluan mereka ini. Sepanjang perjalanan hidup beliau boleh dikatakan tidak putus-putus
dikunjungi oleh mereka yang berhajat ini. Mereka ini menjadi pelanggan tetap beliau. Apa yang
menakjubkan ialah kemunculan mereka ini berlaku silih berganti dan segala hajat mereka ditunaikan
mengikut kadar yang termampu.
5) Meminta kepada orang-orang yang rapat dengan dirinya mendoakan supaya diri beliau diletakkan
sentiasa dengan Allah SWT dan dilanjutkan usia supaya dapat melihat para zuriat serta mendoakan
kesejahteraan mereka. Beliau tidak pernah meminta didoakan supaya dimurahkan rezeki ataupun
lain-lain tuntutan kebendaan.
6) Sikap zuhud, beliau diketahui bahawa mempunyai kecenderungan untuk menikmati sesuatu yang
baik di segi makanan dan pakaian kerana beliau pernah didedahkan kemewahan hidup hasil dari
kejayaan sebagai seorang usahawan berjaya, dan dari pengalaman bekerja dengan Menteri Besar
Kelantan. Tetapi beliau berupaya membendung runtunan-runtunan materialistik ini dari menjadi
pegangan hidup beliau dan runtunan-runtunan materialistik ini tidak menghanyutkan beliau,
malahan beliau tidak pernah menyuarakan rasa kekesalan dengan kemewahan yang telah pergi
darinya itu.

63
PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC
CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017

7) Sikap Qana’ah rasa cukup dengan segala pemberian Ilahi lebih menjadi panduan hidupnya. Bahkan
beliau merasa lebih selesa dan tenteram dengan kelazatan bermunajat dan bertahajud semasa
berkomunikasi dengan Pencipta Yang Maha Lembut dan Maha Mengasihani.

PERANAN SEBAGAI PENGGERAK TAREKAT AHMADIYYAH

Beliau mula berjinak-jinak dengan tarekat Ahmadiyyah sewaktu masih muda remaja belajar dan hidup dalam
dunia perpondokan. Berkebetulan ketiga-tiga pondok yang dipelajari beliau merupakan pusat kegiatan tarekat
Ahmadiyyah di sekitar bandar Kota Baharu. Beliau sendiri di masa usia remaja berumur 16 tahun sempat
menerima ijazah tarekat dari seorang pemimpin tarekat yang boleh menyinari kalbu setiap pengikut
(mursyid) iaitu Sidi Abu al-Hassan al-Azahari (Auni b. Haji Abdullah, temu bual).
Pengalaman peribadinya dihadiahkan dengan sehelai jubah peribadi oleh Sidi Hassan al-Azahari dan
diberikan panggilan seorang lelaki sejati dan berjiwa mulia (anta rijal) semasa pertemuan tersebut banyak
meninggalkan kesan peribadi yang mendalam pada dirinya yang masih remaja itu dan mempengaruhi
pendirian hidup serta menanam iltizam untuk terus berpegang setia kepada kehidupan bertarekat dan pergi
lebih jauh lagi dalam menempuhi tahap-tahap perjalanan sebagai salah seorang peneroka ilmu kerohanian
(al-salikin) dan menghayati ilmu ketuhanan yang hakiki (ihsan al-din) (Auni b. Haji Abdullah, temu bual).
Pendedahan Haji Abdullah Idris dengan kegiatan tarekat ini semakin mantap dengan pemergian
menemani bapanya ke kota suci Mekah menunaikan ibadat Haji dalam tahun 1927. Walaupun beliau tidak
sempat menetap dan belajar lama di sana tetapi selama 6 bulan berada di sana beliau berpeluang mengikuti
kegiatan tarekat ini dengan menyertai majlis-majlis pengajaran dan zikir Haji Syafie bin Haji Salleh (1862-
1945) Yang dikenali Tok Syafie Kedah, seorang tokoh penggerak tarekat Ahmadiyyah yang dihormati dan
menjadi tumpuan kalangan masyarakat Melayu di kota suci Mekah (Karimah bt. Haji Abdullah, temu bual).
Penglibatan beliau terawal sebagai seorang penggerak tarekat Ahmadiyyah hanya dapat dikesani
dengan jelas apabila beliau bertindak di belakang tabir selepas berumah tangga pada 1934 apabila beliau
sanggup merelakan dirinya membantu mertuanya, Haji Abdus Salam Muhammad yang sudah mula bergiat
mengetuai sekumpulan pengikut dan pengamal tarekat yang kebanyakannya datang dari sekitar, Kota Bahru,
Kampung Laut selain mereka dari Kuala Krai dan Selatan Thailand (Auni b. Haji Abdullah, temu bual).
Beliau banyak bertindak meringankan bebanan mertuanya selaku ketua sekumpulan pengikut tarekat. Beliau
kerap berperanan bagi pihak mertuanya dalam mengurus berbagai masalah dalaman kumpulan dan
melicinkan perjalanan majlis-majlis zikir tarekat, majlis perkumpulan tarekat selain majlis jamuan haul
mengenangi kematian tokoh-tokoh pengasas tarekat (Auni b. Haji Abdullah, temu bual).
Selepas kematian bapa mertuanya pada 1962 dan semakin beransur suramnya kegiatan perkumpulan
dalam melakukan amalan tarekat di kalangan ikhwan, beliau lebih banyak hidup beribadat dan mengamalkan
zikir dan wirid tarekat secara bersendirian. Ini berlaku kerana beliau sendiri amat keberatan untuk mengambil
alih tugas sebagai penggerak di barisan depan. Ini banyak dipengaruhi oleh pendirian beliau yang tidak mahu
menzahirkan sebagai ketua walaupun ramai ikhwan cuba memujuknya, ia juga berkaitan dengan sikapnya
yang lebih bahagia berada di belakang sebagai pembantu utama mertuanya yang amat dihormati. Namun
begitu beliau sampai ke akhir hayat melayani para ikhwan yang datang menemui sebagai kunjungan hormat
atau membawa hajat bertanyakan kemusykilan tentang dunia tasawwuf dan tarekat, dan tidak ketinggalan
mereka yang datang untuk mendapat ijazah tarekat Ahmadiyyah (Hisyamuddin b. Yahya, temu bual).
Di atas permintaan para pengikut tarekat, beliau dengan bantuan adik ipar yang amat akrab dengan
beliau, Ustaz Yahya Haji Abdus Salam, seorang guru di Maahad Muhammadi telah berusaha menyusun
sebuah risalah kecil, “Awrad al-Awlia”. Risalah dengan terjemahan bahasa Melayu dalam bentuk stensilan
telah dikeluarkan dengan menggunakan nama adik ipar sebagai penyusun (Auni b. Abdullah, temu bual).
Risalah ini kemudiannya telah diterbitkan pada tahun 1988 dan diedarkan dengan percuma oleh pihak
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dengan pengesahan semakan oleh Timbalan Mufti Kelantan, Haji
Ismail Yusuf. Ustaz Yahya Haji Abdus Salam kerap menjadi pembantu terdekat beliau dalam melayani
berbagai kemahuan dan hasrat para pengikut tarekat yang datang menemuinya.
Bagi pendatang baru yang berhajatkan pengenalan dan mahu memulakan penerokaan dalam amalan
tarekat dan tasawwuf, biasanya beliau akan menyuntik beberapa pesanan pembukaan sebelum menganjurkan
mereka supaya pergi mengikuti perkumpulan tarekat rakan seperguruannya, Haji Daud di Bukit Abal atau
teman serta muridnya juga Haji Ya’akub di kampung Bechah Keranji atau dengan temannya, Haji Ghazali di
Pulau Chondong (Auni b. Haji Abdullah, temu bual). Beliau juga sering dikunjungi oleh para anggota
keluarga, jiran-jiran, kenalan serta pengikut tarekat yang ingin berubat berbagai jenis penyakit termasuk sihir
buatan orang dan juga mendapatkan air penawar supaya anak-anak mudah belajar selain di kunjung mereka
yang memerlukan berbagai bantuan termasuklah santapan rohani (Anisah bt. Haji Abdullah, temu bual).

64
PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC
CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017

KEMATIAN

Sehingga di saat menyahut panggilan Ilahi pada 4 Oktober 1994, beliau terus melayani mereka yang
mengunjunginya untuk mendapat bimbingan kerohanian dari beliau dan bertanyakan berbagai kemusykilan.
Beliau juga kerap dikunjungi para penyelidik dan sarjana yang ingin menyelidiki sejarah perkembangan
tarekat Ahmadiyyah dan selok-belok amalan tarekat. Bagi mereka yang mengunjunginya, beliau kerap
meminta agar didoakan supaya dirinya sentiasa berada di dalam keadaan dekat serta hampir (al-Qurbah)
dengan Allah SWT (Anisah bt. Haji Abdullah, temu bual).
Sebagai hamba Allah yang tinggi baik sangkanya dengan Allah SWT dan sentiasa yakin dengan
limpah kemurahan-Nya, beliau telah melalui saat-saat keuzuran dengan penuh ketenangan tanpa sebarang
keresahan apatah lagi keluhan demi hendak bertemu dan mengadap Pencipta. Begitulah berakhirnya
perjalanan hidup Haji Abdullah Idris yang banyak liku-likunya sejak beliau muda remaja. Berbagai cubaan
dan ujian dalam bentuk godaan-godaan kebesaran duniawi semua ujian keduniaan itu berkesudahan dengan
membawa natijah yang amat bermakna dalam pembentukan peribadinya di hari semakin tua serta membantu
keberkesanan curahan bimbingan dan nasihat beliau kepada setiap pengunjung yang memerlukan santapan
kerohanian dari beliau.

KESIMPULAN

Jika di selusuri latar belakang Haji Abdullah Haji Idris maka didapati beliau adalah salah seorang ulama yang
disegani oleh masyarakat ketika itu. Ketokohan Haji Abdullah Haji Idris dalam pelbagai bidang menerusi
sumbangan beliau kepada masyarakat dan dunia kesufian. Kehidupan sebagai seorang ahli sufi diwarnai
sejak remaja lagi sehinggalah beliau menjadi salah seorang watak penting dalam menggerakkan tarekat
Ahmadiyyah di negeri Kelantan. Pemergian Haji Abdullah Idris merupakan satu kehilangan besar kepada
umat Islam khususnya kaum keluarga, anak-anak murid dan sahabat beliau. Walaupun jasad dan roh beliau
telah kembali ke rahmatullah namun segala jasa dan sumbangan mutiara ilmu yang telah digilap tetap
menyinar di bumi Kelantan.
Sememangnya sumbangan beliau wajar dikaji agar boleh dijadikan panduan dan motivasi kepada
generasi muda pada hari ini. Justeru itu, pendedahan dan pendokumentasian sumbangan para ulama Melayu
secara intensif mestilah sentiasa diteruskan dan diberi penekanan agar jasa bakti mereka tidak dilupakan
sekaligus dapat diabadikan sebagai nilai sejarah yang amat berharga bagi dunia Islam di Alam Melayu.

RUJUKAN

Al-Qur’an al-Karim
Sunan Sittah
Abd. Jalil bin Borham (1996), Sumbangan Ulama dalam Perkembangan Islam di Alam Melayu Jurnal
Syariah, j.4, bil. 2, Jul. 1996, Kuala Lumpur:Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.
Abdul Rashid b. Mohd Sa’id. 2005. Aurad Tariqah Ahmadiah-Idrisiyyah. (t.tp.t.pt).
Abdul Halim Ahmad (1982), “Pendidikan Islam di Kelantan,” dalam Khoo Kay Kim, (ed), Beberapa
Aspek Warisan Kelantan, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Abdul Razak Mahmud (2000), Persuratan Islam di Kelantan, Terengganu dan Fatani Sehingga Awal
Abad Ke-20, Pengasuh, bil. 566, Rejab-Sya’ban-Oktober-Nov. 2000, Kota Bharu: MAIK.
Abdul Razak Mahmud (2001), Haji Wan Daud Khatib (1860-1936), dalam Ismail Che Daud, (ed), Tokoh-
Tokoh Ulama’ Semenajung Melayu (1), Majlis Agama Islam Kelantan
Abdul Rahman al-Ahmadi (2004) Abdul Kadir dan Asaad Shukri :Suatu Perbandingan, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.
Abdul Razak Mahmud (2002), Ikhtisar Sejarah Kelantan, Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Auni bin Haji Abdullah (2015), Pemikiran Politik Islam Dalam Sejarah Persuratan Melayu, Penerbit
Universiti Malaya
Che Zarina Sa’ari (2002), Haji Muhammad Sa’id Bin Jamaluddin al-Linggi: Amalan dan Sumbangan Dalam
Perkembangan Tarekat Ahmadiah DiMalaysia. Jurnal Usuluddin. Bil. 15. Hlm. 23-24.
Selangor:Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya.
Chua Yan Piaw, Kaedah dan Statistik Penyelidikan (Kaedah Penyelidikan),( Selangor: Mcgraw Hill,
2006).
Ismail Che Daud (1991), Sekolah Pondok di Negeri Kelantan: Satu TinjauanUmum, Warisan
Kelantanbil.X, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

65
PROCEEDING OF INTERNATIONAL CONFERENCE ON EMPOWERING ISLAMIC
CIVILIZATION, 7-8 OKTOBER 2017
Mohd Murtadza b. Haji Ahmad & Mahmood Saedon Awang Othman.(t.th). Mengenal At-Tarekat Al-
Ahmadiyyah. Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Mohammad Redzuan Othman (2001), Masjid al-Haram dan Peranannya Dalam Perkembangan
Intelektualisme Masyarakat Melayu,” Jurnal Usuluddin,bil.13, Jul. 2001, Kuala Lumpur: Bahagian
Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Nik Abdul Aziz Nik Hassan (1977), Sejarah Perkembangan Ulama’ Kelantan: Sejarah Gerakan dan
Perkembangan Alam Pemikiran Islam di Jajahan Kota Bharu 1900 1940, Pustaka Aman Press
Sdn. Bhd. Kota Bahru Kelantan.
Pauzi Haji Awang (2001), Tariqah Ahmadiyyah: History and Development, Intel Multi Media and
Publication, Petaling Jaya.
Peter R. Senn (1971), Social Science and Its Methods, Boston: Holbrook, h.4
Sedgwick, Mark J.R. (1998), The Heirs of Ahmad IbnIdris: The Spread and Normalization of A Sufi
Order, 1799-1996 University of Bergen
Wan Mohd Shaghir Abdullah (2000), Penyebaran Thariqat-Thariqat Sufiyah Mu’tabarah di Dunia
Melayu, Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah, ,Kuala
Lumpur.
Yahya Muhammad Ibrahim (1993), Madrasah Ahmad ibn Idris al-Maghribi w Atharuha fi al-Sudan, Dar
al-Jil, Beirut.
Zakaria Stapa. 2001. Institusi Tarekat Dalam Ilmu Tasawuf Satu Pengenalan. Perak: Majlis Agama
Islam Dan Adat Melayu Perak.
Auni Haji Abdullah, anak kepada Haji Abdullah Idris, Temu bual pada 17hb. Ogos 2016, di Rumah Kg.
Lundang, Kota Bharu, jam 10.00 pm.- 12.00 pm.
Anisah bt. Haji Abdullah, anak kepada Haji Abdullah Idris, Temu bual pada 06hb. Mei 2017, di Rumah
Kg. Kubang Pasu, Kota Bharu, jam 09.30 pm.- 12.00 pm.
Karimah bt. Haji Abdullah, anak kepada Haji Abdullah Idris, Temu bual pada 31hb. Januari 2017, di
Rumah Kg. Kubang Pasu, Kota Bharu, jam 05.00 pm.- 07.00pm.
Ismail Che Daud, Penulis Buku Tokoh Ulama Semenanjung, Temu bual pada 17hb. Ogos 2016, di Rumah
Kg. Dusun Muda, Kota Bharu, jam 08.30 am.- 11.00 am.
Rahimah bt. Ibrahim, Cucu Haji Che Min b. Che Wan, Temu bual pada 10hb. Mac 2017, di Rumah Kg.
Bechah Keranji, Kota Bharu, jam 10.00 am.- 12.00 am.

66

You might also like