You are on page 1of 1

Main semula

OCD : Personaliti atau penyakit?


Dr Firdaus Abdul Gani
April 25, 2019 12:28 MYT

Penyakit Obsessif Kompulsif adalah sejenis penyakit


mental dan mempunyai dua komponen utama iaitu
obsesif (pemikiran) dan kompulsif (tindakan). - Gambar
hiasan

SERINGKALI ramai yang keliru dengan terma


obsessif kompulsif malah ramai yang mengguna
pakai terma ini pada tempat yang salah.

Contohnya, jika ada di antara rakan-rakan kita yang


dilihat amat teliti serta mementingkan kesempurnaan
atau 'perfectionist', maka terus dilabel sebagai OCD
atau Obsessive Compulsive Disorder.

Ketahui lagi

Sedangkan hakikatnya penyakit Obsessive Kompulsif


(OCD) membawa maksud serta gejala yang berbeza.

Jadi apakah pula terma yang digunakan untuk


mereka yang mempunyai ciri-ciri seorang yang amat
teliti, terancang dan sentiasa inginkan kesempurnaan
dalam melakukan sesuatu?

Mereka ini sebenarnya mempunyai personaliti


Obsessif Kompulsif atau 'Obssessive Compulsive
Personality Disorder (OCPD)'.

Apakah Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD)?

Personaliti Obsessif Kompulsif, sejenis kecelaruan


personaliti yang dicirikan oleh sifat individu yang amat
mementingkan ketelitian, kesempurnaan serta
keinginan untuk mengawal persekitaran serta
hubungan.

Ia biasanya bermula pada peringkat awal dewasa


serta lebih banyak dialami oleh lelaki berbanding
wanita.

Ini agak mengejutkan kerana kita sentiasa


beranggapan bahawa wanita lebih mementingkan
ketelitian, perinician serta kesempurnaan.

Dari segi statistik, dianggarkan bahawa di antara 2.1


sehingga 7.9 peratus daripada populasi mengalami
masalah ini menjadikan ianya sebagai jenis
kecelaruan personaliti yang paling kerap ditemui.

Adakah anda mempunyai kecelaruan personaliti


Obsessif Kompulsif?

Ya. Jika anda adalah seseorang yang sentiasa


mempunyai keinginan untuk mencapai
kesempurnaan serta cenderung mengawal
persekitaran dan hubungan dengan orang lain secara
berterusan.

Anda juga perlu mempunyai lebih dari empat ciri-ciri


yang disenaraikan di bawah :

• Terlalu fokus tentang perincian, peraturan, senarai


dan susunan sehinggakan terlepas pandang kepada
objektif utama dalam sesuatu aktiviti.

• Terlalu berusaha untuk mencapai kesempurnaan


sehingga lambat menyiapkan sesuatu tugasan.

• Terlalu mementingkan pekerjaan dan produktiviti


sehinggakan mengabaikan masa untuk diri sendiri,
keluarga atau teman-teman.

• Sukar untuk membahagikan tugas kepada orang


lain kerana bimbang orang lain tidak mampu
mencapai tahap yang kita inginkan. Sekiranya tugas
diberikan kepada orang lain, anda turut
menyenaraikan secara terperinci apa yang anda
harapkan mereka lakukan.

• Terlampau berpegang kepada moral dan etika serta


patuh kepada peraturan tanpa pengecualian.

• Sukar untuk membuang barangan yang tidak lagi


digunakan kerana memikirkan bahawa ia mungkin
berguna di suatu hari.

• Sukar untuk membelanjakan wang untuk diri sendiri


atau orang lain kerana bimbang wang tersebut
diperlukan untuk masa hadapan.

• Tidak fleksibel

Tetapi jika anda cuma mempunyai satu atau dua ciri


sahaja, ini tidak dikira sebagai Kecelaruan Personaliti
Obsessif Kompulsif, tetapi cuma mempunyai ciri-ciri
(traits) personaliti tersebut.

Adakah ini satu masalah? Tidak jika ia tidak


menjejaskan fungsi harian anda, malah ia dapat
membantu menguruskan aktiviti harian dengan
lancar.

Bagaimana pula jika anda memenuhi kriteria


diagnosa tersebut? Terdapat rawatan seperti
psikoterapi dan ubatan yang dapat membantu jika
anda merasakan bahawa kecelaruan personaliti anda
menjejaskan fungsi harian serta hubungan anda
dengan orang lain.

Penyakit Obsessif Kompulsif (OCD)

Penyakit Obsessif Kompulsif pula adalah sejenis


penyakit mental dan mempunyai dua komponen
utama iaitu obsesif (pemikiran) dan kompulsif
(tindakan).

Masyarakat umum mengenalinya sebagai penyakit


was-was kerana biasanya mereka yang mengalami
penyakit tersebut seringkali mempunyai perasaan
ragu-ragu sehinggakan melakukan tindakan yang
sama berulang kali.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan


bahawa kadar sepanjang hayat (lifetime prevalence)
untuk penyakit ini adalah dua atau tiga peratus dari
populasi.

Kebanyakkanya berlaku pada usia muda di mana dua


per tiga daripadanya bermula sebelum usia 25 tahun
manakala cuma 15 peratus sahaja yang bermula
selepas usia 35 tahun.

Lelaki dan wanita mempunyai kadar yang sama untuk


mendapat penyakit ini. Bagaimanapun, lelaki
biasanya mendapat penyakit ini pada usia yang lebih
muda serta mempunyai gejala yang lebih teruk
berbanding wanita.

Pemikiran Obsessif dicirikan oleh kriteria


tertentu, iaitu :

• Pemikiran yang tidak rasional, imej atau idea yang


berulang, tidak diingini serta mendatangkan rasa
resah pada diri.

• Individu mengenal pasti bahawa perkara tersebut


adalah berasal dari fikirannya, tetapi tidak mampu
mengawalnya.

• Pemikiran ini adalah sangat menganggu


sehinggakan individu tersebut melakukan tindakan
kompulsif sebagai satu langkah untuk mengalihkan
perhatian dari pemikiran tersebut.

Kompulsif secara ringkasnya adalah desakan untuk


melakukan sesuatu yang akan meringankan rasa
tidak selesa akibat pemikiran obsesif.

Contoh perlakuan kompulsif adalah seperti mencuci


tangan berulang kali kerana beranggapan ia kotor
atau memeriksa selak pintu berulang kali bagi
memastikan ianya berada dalam keadaan terkunci.

Ada juga yang mengira sesuatu nombor berulang-


ulang untuk memastikan bahawa bilangan yang
dikehendaki adalah tepat dan menyimpan barang-
barang yang tidak terpakai seperti surat khabar,
bekas makanan atau baju-baju yang sudah buruk.

Ramai juga yang mengambil wuduk berulang kali


kerana berasakan bahawa masih belum sempurna.

Penyakit Obsessif Kompulsif boleh menjejaskan


mempunyai fungsi harian individu. Ini disebabkan
individu tersebut didominasi oleh pemikiran atau
obsessi yang mengganggu diikuti perbuatan
kompulsif secara berulang-ulang untuk
mengurangkan keresahan yang dialami.

Namun, perbuatan itu hanya berkesan untuk


sementara waktu kerana obsesi ini akan kembali dan
dia terpaksa mengulangi perbuatan yang
menghilangkan keresahannya.

Disebabkan itu, ramai yang mengalami penyakit ini


juga mempunyai kemurungan.

Penyebab

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi untuk


seseorang itu mendapat Penyakit Obsessif Kompulsif
(OCD):

1. Genetik atau keturunan: Mereka yang mempunyai


sejarah keluarga mempunyai penyakit ini adalah lebih
berisiko.

2. Organik: Keabnormalan pada struktur otak serta


fungsi otak atau jangkitan pada bahagian otak
tertentu boleh mencetuskan gejala penyakit ini.

3. Personaliti: Mereka yang mempunyai Personaliti


Obessi Kompulsif mempunyai risiko yang lebih tinggi.

4. Trauma: Pengalaman trauma pada masa lampau


seperti penderaan fizikal atau seksual.

5. Konflik atau tekanan: Mereka yang mengalami


konflik atau tekanan yang berteusan dalam hidup.

Terdapat rawatan psikoterapi, terapi tingkah laku


serta ubatan yang dapat membantu untuk merawat
penyakit ini.

Jika anda mengalami gejala-gejala penyakit ini, anda


boleh mendapatkan rawatan di hospital yang
menawarkan perkhidmatan psikiatri.

Rujukan kepada perkhidmatan psikiatri boleh dibuat


oleh mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta
yang berhampiran. Rawatan serta pengesanan awal
dapat membantu merawat penyakit ini dengan lebih
berkesan.

* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha


Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah


pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya
mencerminkan pandangan Astro AWANI

#Kemurungan #obsessi

#Obssessive Compulsive Personality Disorder

#OCD #ocpd

Emel Anda DAFTAR

© 2022 AstroAwani.com

You might also like