You are on page 1of 6

Contents

PRINSIP DAN ETIKA ISLAM DALAM PEMUIHARAAN ALAM SEKITAR......................................................2


PENDAHULUAN.................................................................................................................................2
TEORI TAUHIDIK TERHADAP ALAM SEKITAR......................................................................................2
KONSEP MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH DI BUMI...............................................................................3
ALAM SEKITAR ITU DICIPTA DENGAN KESEIMBANGAN (TAWAZUN).................................................3
PRINSIP ISLAM DALAM PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR...................................................................4
ISLAM DAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR..........................................................................................5
KESIMPULAN.....................................................................................................................................6

1
PRINSIP DAN ETIKA ISLAM DALAM PEMUIHARAAN ALAM
SEKITAR

PENDAHULUAN
Penciptaan manusia di muka bumi bertujuan menjalankan dua tugasan utama yang telah
ditaklifkan oleh Allah kepada mereka iaitu tugasan pengabdian dan tugasan pengimarahan.
Bagi membolehkan mereka melaksanakan kedua-dua tugasan ini secara efektif, manusia
telah dibekalkan dengan aset akal dan nafsu sebagai pengimbang dan pemandu mereka
dalam melaksanakan sesuatu peranan. Alam bumi merupakan salah satu daripada alam-
alam lain yang telah diciptakan oleh Allah sebagai tanda kekuasaanNya. Manusia adalah
sebahagian daripada ciptaan penting yang wujud di bumi dan mempunyai hubungan yang
rapat dengan persekitarannya. Bumi yang dijadikan dengan penuh keindahan dan
keseimbangan ini memerlukan pentadbir yang berkualiti bagi memastikan
kesinambungannya terpelihara. Oleh itu, manusia perlu memberikan perhatian dan tumpuan
yang serius terhadap amanah yang telah diberikan oleh Allah dengan memastikan mereka
mampu melaksanakan kedua-dua tugasan ini secara sempurna tanpa mengabaikan salah
satu daripadanya.
Hubungan antara manusia dengan alam sekitar merupakan antara perkara yang diberikan
penekanan yang utama oleh Islam. Setiap individu dalam masyarakat perlu menguruskan
sumber alam dengan berhemah dan teliti bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber
alam secara tidak terkawal. Segala keputusan yang direncanakan melibatkan penerokaan
alam sekitar perlu diperhalusi secara mendalam dan mendapat pertimbangan yang
sewajarnya bagi membolehkan khazanah alam yang berharga ini dapat dikekalkan
keseimbangannya. Kesejahteraan kehidupan manusia di dunia ini bergantung kepada
sejauh mana kesedaran mereka dalam memastikan alam sekitar tidak berhadapan dengan
pencemaran dan kehabisan sumber alam. Hal ini kerana kedua-dua fenomena ini boleh
mengakibatkan malapetaka yang bukan sahaja menimpa generasi kini bahkan turut
melibatkan generasi yang seterusnya. Maka, inisiatif yang bersesuaian perlu diusahakan
bagi memastikan kelestarian alam sekitar mampu dipertahankan.

TEORI TAUHIDIK TERHADAP ALAM SEKITAR


Dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, aspek penting yang paling ditekankan
ialah konsep tauhid. Ini kerana ia merupakan keperluan asas dalam Islam. Dalam
pandangan tauhid, manusia hanya takut pada satu kuasa dan dipertanggungjawabkan
dihadapan seorang hakim sahaja, mengadap pada satu kiblat dan menumpukan harapan
dan kehendak pada satu sumber sahaja. Berdasarkan artikel yang telah diberi,Tauhid
adalah suatu matirks pemikiran umat Islam dan aspek yang menyerap kedalam kehidupan
manusia dari segi agama, etika, politik, sosial, dan sains.Tauhid dapat memberikan
kebebasan dan kehormatan atas pemikiran dan gaya hidup manusia dan sekaligus dapat
menjauhkan manusia dari sifat takut dan sifat tamak yang sangat dibenci sang pencipta.
Alam Sekitar berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan yang
menggabungkan manusia, alam dan tuhan. Agama Islam menjadikan akhlak sebagai teras
hubungan antara manusia, alam dan tuhan.

2
KONSEP MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH DI BUMI
Kita sebagai muslim perlulah berperanan sebagai khalifah Allah dengan menyangjungkan
Al Quran sebagai sumber utama dalam rujukan harian.Sebagai contohnya, kita perlulah
berusaha untuk memahami tafsir Al quran kerana isi yang terkandung di dalamnya adalah
sesuatu aset terpenting dalam kehidupan seseorang muslim yang inginkan kejayaan di
dunia dan di akhirat. Allah s.w.t telah memberi amanah kepada manusia untuk memastikan
agar mentadbir alam ini sewajarnya.Maka kita sebagai hamba-Nya hendaklah melakukan
tugasan dan amanah tersebut dengan jujur dan baik untuk mengelakkan kemurkaan Allah
s.w.t kepada umat manusia.
Manusia diberikan 2 tugas utama di bumi iaitu kuasa untuk mentadbir alam dan tuntutan
ibadah sebagai bukti ketaatan dan kesetiaan seorang hamba kepada penciptanya.Apabila
kedua-dua tugas ini dilakukan dengan sempurna oleh umat manusia,ianya akan menjadikan
proses pentadbiran dan pengurusan alam sekitar menjadi murni, lebih lancar, mengikut
syariat islam dan beretika tinggi.
Dalam konsep mengurus alam sekitar, konsep manusia sebagai khalifah ini amat penting
untuk manusia menjaga alam sekitar. Apabila mereka sedar diri mereka sebagai seorang
khalifah, maka mereka tidak akan melakukan kerosakan kepada alam sekitar malah akan
menjaga dengan sebaik mungkin. Manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat
dengan alam sekitar kerana manusia dijadikan daripada unsur-unsur alam dan akhirnya
akan kembali seperti asal kejadiannya. Unsur alam juga mempunyai hubungan yang sangat
rapat dengan manusia kerana ia membina pertumbuhan dan kesihatan manusia disamping
kesejahteraan manusia. Dengan ini, betapa kompleksnya kejadian manusia dihubungkan
terus dengan unsur-unsur bumi dan manusia mestilah memakmur, mentadbir, mengurus
dan membangunkan alam ini mengikut syariat dan hukum Allah s.w.t serta melaksanakan
amar makruf dan nahi mungkar.

ALAM SEKITAR ITU DICIPTA DENGAN KESEIMBANGAN (TAWAZUN)


Alam sekitar telah pun dicipta mengikut aturan yang telah sempurna unsur-unsurnya, di
mana setiap unsur tidak memiliki kekurangan di dalamnya, dan setiap satu unsur
mempunyai tugas yang telah ditentukan pula. Keseimbangan alam sekitar itu telah nampak
dengan gambaran yang indah dengan bentuk proses terhadap unsur-unsur yang sedia ada.
Islam mengajar umatnya yakin terhadap fitrah alam ciptaan Allah. Allah berfirman,
mafhumnya:
“Dan Kami tumbuhkan padanya setiap sesuatu itu mengikut kadarnya (yang seimbang)”
(Al-Hijr : 19)
Malah konsep kesederhanaan juga merupakan satu anjuran Islam dalam semua aspek
kehidupan membuktikan fitrah ciptaan Allah ini bersifat sederhana dan sentiasa seimbang
mengikut kadarnya. Maka Islam akan sentiasa mengawal penganutnya agar terus menjaga
alam sekitamya dalam keadaan seimbang, baik dari segi kegimaannya (istiskhar) ataupun
ekosistemnya.

3
PRINSIP ISLAM DALAM PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR
Prinsip Islam dalam Pemuliharaan Alam Sekitar Perundangan Islam telah menetapkan
prinsip-prinsip pemuliharaan alam sekitar dan menjadi kewajipan setiap individu,
masyarakat, kerajaan melalui agensi-agensi terlibat dan masyarakat sejagat. Kewajipan
individu yang mesti dilakukan terhadap Tuhannya, begitu pula dengan kewajipan
pertubuhan, kerana manusia itu mempunyai hak untuk memanfaatkan sumber-sumber alam
sekitar itu. Manfaat ini merupakan hak bersama antara individu dalam masyarakat
berkenaan. Setiap individu itu berhak untuk mengambil manfaat sumber-sumber alam yang
boleh memenuhi keperluannya tanpa mengetepikan hak orang lain. Apabila individu tersebut
melakukan kerosakan terhadap sumber-sumber tadi, maka wajib baginya menghilangkan
kerosakan tadi demi menjaga kemaslahatan (kebaikan), kerana yang demikian boleh
menjadi penghalang bagi hak orang lain.
Termasuk juga kewajipan setiap individu dalam masyarakat adalah tidak membazir dan
melampau dalam mengguna sumber alam, dan tidak merosakkan apa jua sumber tanpa
kepentingan tertentu atau manfaat bersama yang diperolehi daripadanya. Antara kewajipan
mereka juga ialah tidak membuat kerosakan bagi alam semula jadi secara umum dan tidak
merosakkannya dengan apa cara sekalipun. Setiap individu juga mesti memelihara alam
sekitar, tanah, air, udara dan lain-lain. Mereka mestilah bergotong-royong
melaksanakannya, iaitu dengan mengawal setiap individu agar tidak membuat kerosakan
terhadap alam sekitar berdasarkan kepada kehancuran suatu masyarakat akan meluas jika
tiada seorang pun yang menghalangnya.
Dalam menghubungkan adab dengan keseimbangan alam ataupun ekologi, Ziauddin Sardar
telah menggariskan beberapa prinsip utama iaitu:
1. Kesedaran betapa setiap organisma dalam kosmik ini adalah sumber kehidupan manusia
dan ekosistem sebegini perlulah sentiasa terpelihara untuk kelangsungan kehidupan
manusia.
2. Kesedaran tentang konsep dan peranan kitar semula (recycling) oleh setiap objek dalam
persekitaran kita akan menyebabkan manusia tidak akan berlagak angkuh dengan
kekuasaan dan kehidupan yang dimiliki.
3. Kesedaran berkaitan interaksi inter-spesis dalam satu ekosistem. Keperluan alam untuk
hidup secara bersama dan saling berinteraksi dalam pelbagai bentuk yang berbeza seperti
interaksi fizikal, biologikal mahupun menerusi proses kimia. Analogi Bangau Oh Bangau
dalam budaya Melayu umpamanya mencerminkan gambaran pertautan interaksi ekosistem
ini.
4. Kesedaran kemampuan sesetengah ahli ekosistem yang saling sokong menyokong
proses pembiakan satu sama lain. Contohnya di Amerika Syarikat satu ketika, anjing hutan
dibunuh untuk memelihara spesies biri-biri. Akhirnya, kekurangan dalam bilangan anjing
hutan menyebabkan bertambahnya spesies tikus mondok dan burung yang akhirnya
menyebabkan kehabisan bijirin untuk diberi makan kepada biri-biri.
5. Kesedaran 'kemampuan membendung' iaitu kemampuan setiap ekosistem untuk
menghalang kepupusan atau mengekalkan sebahagian spesis yang lain juga akan
mengakibatkan tindak balas manusia untuk memelihara entiti kosmos yang lain agar

4
kepupusan spesies mereka tidak berlaku. Contohnya, dengan kemusnahan ozon ataupun
pokok-pokok sebagai sumber oksigen bakal memusnahkan kehidupan manusia itu sendiri.

ISLAM DAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR


Keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi oleh manusia antaranya adalah disebabkan
perhubungan lestari antara manusia dan alam. Menurut Kamus Dewan, lestari bermaksud
tidak berubah-ubah, kekal atau tetap. Maka, melestarikan alam sekitar bermaksud, kita
membiarkan atau memelihara alam sekitar supaya kekal seperti sediakala. Konsep
kelestarian alam sekitar bermatlamat memastikan alam sekitar dan segala komponennya
tidak berubah atau kekal terpelihara seperti asal, ataupun hanya berlaku perubahan yang
minimum sahaja terhadap keadaan alam sekitar tersebut tanpa menjejaskan fungsi dan
kesejahteraannya.

Alam sekitar adalah anugerah Allah yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan
manusia dan makhluk seluruhnya. Hampir kesemua makhluk, amat bergantung kepada
sumber-sumber semula jadi di muka bumi ini terutamanya manusia. Apa yang jelas, Allah
telah mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran manusia. Bumi yang luas dijadikan
tempat tinggal manusia, gunung-ganang sebagai pasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai
sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis
haiwan dan hidupan di lautan.
Allah turut mencipta bumi dalam keadaan seimbang kekerasan dan kelembutannya. Kalau
permukaan bumi dijadikan keras berbatu, sudah tentu tidak dapat menjadi satu daripada
sumber utama kehidupan manusia. Bangunan juga tidak dapat didirikan diatasnya. Keadaan
tanah yang lembut jelas memberi manfaat yang besar kepada manusia. Selain dapat
bercucuk tanam, tanah yang lembut dapat menampung dan menyimpan air hujan manakala
akar pokok dapat mencengkam kuat ke dalam tanah sehingga dahan-dahannya menjadi
tegap dan kukuh. Manusia juga dapat menggali perigi bagi mendapatkan air yang bersih dari
dalam tanah. Hikmah lain daripada tanah yang lembut adalah manusia mudah berjalan dan
melakukan kerja di atasnya selain dapat didirikan pelbagai bentuk bangunan di atasnya.
Rumusannya, keadaan bumi yang ada ini memang sengaja Allah cipta sesuai dengan
keperluan manusia.
Penciptaan alam sekitar di sekeliling manusia adalah bertujuan untuk memudahkan dan
dapat dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT yang
bermaksud:
“Dialah (Allah) yang telah menciptakan bagi kamu sekalian yang ada di bumi ini semuanya”.
(Surah al-Baqarah: 29)
Hal ini bermakna alam sekitar ini diciptakan oleh Allah s.w.t. untuk dimanfaatkan oleh semua
manusia dalam semua generasi. Jika manusia pada generasi sekarang telah melakukan
kemusnahan terhadap alam sekitar untuk membangun, bermakna generasi akan datang dan
seterusnya tidak lagi dapat mewarisi alam sekitar pada masa hadapan untuk dimanfaatkan.
Keadaan ini sama sekali bercanggah dengan kehendak Allah SWT.

5
KESIMPULAN
Manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan alam sekitar kerana manusia
dijadikan daripada unsur-unsur alam dan akhirnya akan kembali seperti asal kejadiannya.
Unsur alam juga mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan manusia kerana ia
membina pertumbuhan dan kesihatan manusia di samping kesejahteraan manusia. Selaras
dengan itu, kesejahteraan alam ini perlu dipelihara sebagai tanda kesyukuran dan
keagungan Allah SWT.
Islam adalah agama yang syumul iaitu lengkap serta menyeluruh yang mencakupi setiap
aspek kehidupan termasuk dalam aspek penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar. Sebagai
manusia yang beriman, perlakuan manusia ketika berinteraksi dengan alam sekitar mestilah
dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana ianya merupakan suatu ibadah kepada Allah SWT.
Ini termasuklah usaha-usaha untuk memakmurkan alam, menjaga dan memuliharan alam
sekitar. Justeru, penyebab utama masalah alam sekitar adalah akibat sikap manusia yang
menolak amalan beragama, yang mana kegagalan manusia melaksanakan tanggungjawab
sebagai khalifah merupakan punca utama kepada berlakunya pelbagai kerosakan terhadap
alam sekitar.

You might also like