You are on page 1of 1

JALUR GEMILANG, BENDERA KEBANGGAN RAKYAT MALAYSIA.

Bendera adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara dan berkait
rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah, bangsa,
agama dan negara. Bendera juga merupakan lambang kepimpinan, simbol
penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara.
Jalur Gemilang pada hari ini merupakan hasil reka bentuk seorang arkitek
Jabatan Kerja Raya Negeri Johor iaitu Encik Mohamed bin Hamzah pada tahun
1950. Jalur Gemilang pada masa kini mempunyai 14 belas jalur yang
melambangkan 13 buah negeri dan satu Wilayah Persekutuan dalam Malaysia.
Warna kuning melambangkan kesetiaan kepada Raja dan negara
manakala warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan. Warna merah
pula melambangkan keberanian, kesanggupan, kegagahan dan kegigihan
dalam menghadapi cabaran dan warna biru melambangkan perpaduan rakyat
yang hidup dalam rukun dan damai.
Antara kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang ialah sebagai tanda kita
sayang dan berbangga akan negara. Kita boleh lihat semasa sambutan Bulan dan
Hari Kemerdekaan baru-baru ini, semua orang begitu berkobar-kobar
mengibarkan Jalur Gemilang. Ini sebagai cara mereka menunjukkan perasaan
bangga dan cinta akan Malaysia. Kepentingan lain ialah sebagai simbol
perpaduan antara kaum. Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian
kaum, agama dan bangsa maka tidak mustahil jika kita boleh lihat semua bangsa
bersama-sama mengibarkan bendera di rumah, sekolah, premis-premis
perniagaan dan banyak lagi.
Selain daripada itu, tujuan kita mengibarkan Jalur Gemilang adalah untuk
menunjukkan semangat patriotik dalam diri keluarga Malaysia. Kita mengibarkan
bendera sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik, satu perasaan berbangga dan
hormat kepada bendera akan terlahir dalam jiwa kita. Malahan juga, tindakan
mengibarkan bendera adalah sebagai satu lambang maruah bangsa dan
negara. Kedaulatan sesebuah negara terletak pada kemegahan bendera dikibar
oleh semua rakyat. Oleh sebab itu, tidak ada negara luar yang akan berani
mencabar kedaulatan negara.
Kesimpulannya, sebagai seorang warganegara Malaysia, kita mestilah
menghormati Jalur Gemilang setiap masa dan bukan semasa Hari Kemerdekaan
sahaja. Tindakan ini boleh dipupuk sejak kecil lagi, bak kata pepatah, “Melentur
buluh biarlah dari rebungnya”.

You might also like