You are on page 1of 3

-Biografi Imam Muhammad Abduh-

Beliau bernama Muhammad Abduh bin Hasan KhairAllah, berasal daripada keluarga Aal
atTurkumani. Berketurunan Turki daripada sebelah bapanya, sementara ibunya seorang
warganegara Mesir. Beliau merupakan Mufti Mesir pada zamannya, terkenal dengan
perannya selaku tokoh Islah dan Tajdid (Pemulihan dan Reformasi) bagi Islam. Salah seorang
yang menulis berkenaan beliau pernah mengatakan, “Misi hidup beliau adalah dua perkara ;
Seruan kepada Pembebasan Pemikiran daripada belenggu Taqlid, dan, Membezakan antara
hak ketaatan yang wajar diberikan masyarakat kepada pemerintah, dan hak keadilan yang
wajar diberikan pemerintah kepada masyarakat.”

Beliau dilahirkan di Kampung Syinra di Bani Suef, Mesir. Dan dibesarkan di Mahallah Nasr
di alBuhairiah, Mesir. Beliau semenjak kecil lagi menggemari ekuestrianisme (berkuda),
sukan memanah dan berenang. Beliau memulakan pengajiannya di Jami‟ alAhmadi di Tanta,
kemudian menyambung pengajiannya ke alAzhar asSyarif.

Beliau terkenal sebagai seorang yang gemar bertasawuf, yakni zuhud dalam kehidupan dunia,
dan juga suka berfalsafah. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai guru, dan juga menulis
artikel makalah untuk surat khabar, khasnya surat khabar „alWaqa‟ie alMisriyah‟, yang
akhirnya dipimpin beliau sebagai ketua redaksinya. Beliau memahiri bahasa Perancis sesudah
beliau berusia 40 tahun!

Apabila kuasa Inggeris menjajah Mesir, beliau bangkit menentang mereka. Beliau turut
terlibat sama dalam menyokong gerakan Revolusi Urabi (1879M-1882M). Demikian itu
membawa kepada pemenjaraan beliau selama tiga bulan untuk tujuan siasatan. Beliau
akhirnya dibuang negeri ke Syam pada tahun 1299H/1881M. Beliau berkelana ke Paris
sesudah itu, dan bersama sahabat dan gurunya Jamaluddin alAfghani, mereka menerbitkan
surat khabar „al‟Urwah alWutsqa‟. Beliau kembali sesudah itu ke Beirut, Lubnan, dan bergiat
dengan karier sebagai pendidik dan penulis.

Beliau diberikan izin untuk kembali semula ke Mesir. Beliau pulang pada tahun
1306H/1888M, dan menggalas jawatan sebagai hakim, dan sesudah itu pula menggalas
tanggungjawab sebagai Penasihat di Mahkamah Rayuan Mesir. Beliau dilantik sebagai Mufti
Mesir pada tahun 1317H, dan memegang jawatan tersebut hinggalah ke hari kewafatan beliau
pada tahun 1323H/1905M, di Iskandariyah (Alexandria). Beliau dikebumikan di Kaherah.

Beliau telah meninggalkan pelbagai karya yang bermanfaat, dan memuatkan seluruh gagasan
ideanya yang menyahut cabaran sezaman. Kita nyatakan di sini sebahagiannya ;

1- Tafsir alQuran alKarim ; sebahagiannya bercetak (termasuklah apa yang telah kita
terjemahkan ini), dan beliau tidak sempat menyempurnakannya.
2- Risalah atTauhid : berkenaan akidah Islam. Sebahagian pengkaji menilai karya ini
sebagai sandaran utama dalam mengisbatkan Neo-Muktazilisme kepada beliau,
meskipun beliau sendiri tidaklah menyatakan keterlibatan beliau secara langsung
dengan aliran Muktazilah. Perkembangan pemikiran Imam sewajarnya dibanding
antara risalah ini dengan risalah 2.1 – alAqidah alMuhammadiyah, matan akidah
ringkas yang dikarang sewaktu beliau menetap di alBuhairiyah. Beliau jelas
menyatakan bahawa beliau berpegang dengan akidah Ahli Sunnah dan menukil kata-
kata Imam asSanusi di dalam karangannya ini.
3- arRadd ‘ala Hanutu : Bantahan beliau kepada Gabriel Hanotaux, salah seorang
sejarawan dan negarawan Perancis.
4- Risalah alWaridah : berkenaan Falsafah dan Tasawuf.
5- Hasyiah ‘ala Syarh adDawani lil Aqaid alAdhudiyah : Syarahan beliau kepada
Aqidah Adhudiyah, matan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.
6- Syarh Nahj alBalaghah : Syarahan beliau kepada Nahj alBalaghah, yang
menghimpunkan kata-kata dan risalah-risalah yang pernah diujar dan ditulis oleh
Saidina Ali bin Abi Talib radiAllah anhu. Salah sebuah kitab penting dalam aliran
Syiah.
7- Syarh Maqamat Badi’ alHamezani : Syarahan kepada Maqamat (Himpunan Prosa
Arab) yang dikarang oleh Badi‟ alHamezani.
8- alIslam wa arRadd ‘ala Muntaqidih : Berkenaan penerangan am mengenai Islam,
dan bantahan kepada pengkritik Islam, yang merupakan himpunan makalah beliau.
9- alIslam wa anNasraniyah ma’a alIlm wa alMadaniyah : Kajian komparatif antara
Islam dan Kristian, serta respon keduanya kepada kemajuan Ilmu Sains dan
Kemodenan, himpunan makalah beliau juga.
10- atsTsaurah al’Urabiyah : Karya yang belum diselesaikan beliau, merujuk tajuknya,
ia berkenaan peristiwa Revolusi Urabi yang pernah disertai beliau.
Terdapat pelbagai usaha yang digembleng para pengkagum beliau dalam mengabadikan
gagasan pemikirannya ini agar kekal dan mampu dinikmati oleh generasi seterusnya.
Misalnya, Sayyid Rasyid Ridha telah mengarangkan sebuah buku yang menghimpunkan
karya-karya Imam, yang dijudulkan sebagai „Tarikh alUstadz alImam’, dalam tiga jilid besar.
Begitu juga yang telah dilaksanakan Dr. Muhammad Immarah et.al, dalam himpunan seluruh
karya Imam yang dijudulkan, „alA’mal alKamilah li Syeikh Muhammad Abduh’, dalam lima
jilid tebal juga. Sementara biografi beliau dikarang oleh ramai pengarang, di antaranya ialah
Utsman Amin, Ahmad asSyaib, Mustafa Abd arRaziq, dan Abd alMun‟im Hammadah.

Gagasan beliau ini juga ternyata telah memberi kesan langsung kepada pemikiran aliran
Kaum Muda di nusantara kita ini. Seruan beliau kepada Islah dan Tajdid (Pemulihan dan
Reformasi) telah dibawa dan dijuangkan oleh ramai pemikir kita yang wajar kita banggakan.
Di antaranya ialah Syed Syeikh bin Ahmad alHadi, Za‟ba, Buya Hamka, dan pemikir lain
lagi, apatah lagi gerakan Muhammadiyah, yang kesemuanya berkongsi idea yang sama ;
ingin melepaskan umat nusantara daripada belenggu taqlid buta dan mengembalikan umat
kepada pencerahan Islami.

Karya-karya khas berkenaan beliau di dalam bahasa Melayu dinihari jarang diketahui.
Terdapat tiga buku kajian am berkenaan beliau yang telah diterbitkan ;

1- Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh, karangan Dr. Muhammad „Immarah,


diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia oleh Muhammad Thufail Sayuti (IRF, 2017)
2- Sumbangan Imam Muhammad Abduh kepada Sains dan Teknologi, karangan
Dr. Ahmad Nabil Amir, merupakan terjemahan ringkasan tesis PhD beliau di Jerman
yang diterbitkan dengan judul asal “Muhammad Abduh‟s Contribution to Science and
Technology”. (IRF, 2017)
3- Muhammad Abduh: Riwayat Hidup dan Pemikiran, karangan Khairul Anam Che
Mentri dan 'Ammar Ghazali. (Konrad Adenauer Stiftung, 2007).

Sementara terjemahan Tafsir Surah alAsr ini, menurut pengetahuan kita yang singkat,
merupakan terjemahan pertama teks Imam sendiri ke dalam bahasa Melayu. Demikian itu
bertujuan mendekatkan masyarakat kepada turats Imam, dan memperkenalkan beliau kepada
kalangan yang belum mengenalinya.

Semoga Allah merahmati beliau atas usaha beliau menghidupkan semula pencerahan Islami
yang amat didambakan umat, khasnya di saat gentingnya, dan mengembalikan semangat
berdikari dalam umat, agar mereka kembali menjadi cemerlang seperti semula.

*Biografi ini dipetik daripada A’lam karangan azZirikli, dengan olahan, daripada
penterjemahnya yang berdosa dan empunya kesalahan, Syafiq atTauhidi.

You might also like