You are on page 1of 1

Penyelidikan tentang daya tahan pada mulanya tertumpu kepada kanak-kanak dan

belia remaja sahaja telah bermula dalam tahun 1970 (Wang et al., 2010). Namun
kemudiannya penyelidikan daya tahan telah diperkembangkan dengan mengkaji orang
dewasa iaitu pada sekitar 1980 dan 1990 (Wang et al., 2010). Salah satu kajian yang terkenal
dan berpengaruh terhadap daya tahan ialah Kajian Longitudinal Kauai yang dijalankan oleh
Werner (1989) yang melibatkan anak-anak yang dibesarkan dalam kondisi yang penuh
dengan tekanan. Kajian ini telah memantau perkembangan hidup yang melibatkan seramai
698 orang kanak-kanak dalam lingkungan umur dari kelahiran sehinggalah berumur 32 tahun
yang dilahirkan pada tahun 1955 di Kauai. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk
mengkaji kesan tekanan dan bagaimana faktor perlindungan terhasil akibat daripada tekanan
tersebut. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa dua pertiga daripada kanak-kanak yang
dilahirkan dalam kemiskinan dan hidup di dalam keadaan keluarga yang bermasalah ini
membangun menjadi golongan belia dewasa yang bermasalah, namun, satu per tiga daripada
informan kajian didapati telah membangun sebagai belia dewasa yang kompeten dan
penyayang. Hasil dapatan kajian juga mendapati bahawa faktor perlindungan seperti faktor
perlindungan individu, faktor perlindungan keluarga, serta faktor perlindungan komuniti
merupakan indikator penting yang menyumbang kepada pembentukan daya tahan (Werner &
E, 2005).

Selain itu, Mansfield et al. (2016) telah membangunkan kerangka daya tahan guru
empat dimensi yang meliputi aspek ketahanan profesional, ketahanan emosi, ketahanan
motivasi, dan ketahanan sosial berdasarkan perspektif guru novis. Seramai 200 orang guru
novis telah terlibat dalam kajian ini sebagai peserta kajian. Data yang dikumpulkan daripada
guru-guru novis telah digunakan untuk membentuk satu rangka kerja bagi memahami daya
tahan guru. Namun begitu, Mansfield et al. (2016) menyatakan bahawa kajian mengenai
strategi untuk meningkatkan daya tahan guru adalah masih agak terhad. Hal ini menunjukkan
perlunya kajian lanjutan dilaksanakan dalam bidang ini kerana daya tahan adalah elemen
penting yang diperlukan dalam diri setiap orang guru bagi memenuhi cabaran serta perubahan
yang mendatang untuk terus kekal dalam profesion keguruan.

You might also like