You are on page 1of 3

Negara China merupakan Negara yang mengamalkan raja atau monarki mutlak pada abad ke 16 sehingga

akhir abad ke 20. Sistem maharaja yang diamalkan ini memperlihatkan pemerintahan beraja mengikut
amalan yang diguna pakai oleh masyarakat China. Dalam masyarakat China, sistem maharaja menduduki
hierarki teratas dalam struktur sosial dan merupakan kuasa penentu dalam pentadbiran kerajaan.

Institusi beraja memperlihatkan kedudukan maharaja sangat penting dalam masyarakat China,
mempunyai kuasa yang cukup besar serta merupakan perlambangan kedudukan kerajaan. Pegangan
konsep beraja ini menjadi penentu kepada maharaja dalam mempertahankan pemerintahannya.

Kedudukan politik maharaja dilegitimasikan berdasarkan konsep mandate of heaven atau mandat dari
syurga. Maharaja dikatakan sebagai wakil dari syurga atau ‘anak syurga’ dan mendapat kuasa spiritual
yang tidak terhingga. Konsep ini juga menjelaskan bahawa maharaja dianugerahkan kuasa memerintah
oleh Tuhan. Melalui konsep mandat dari syurga, maharaja menduduki hierarki teratas dalam susunan
masyarakat dan merupakan individu yang paling berkuasa dalam kerajaan. Maharaja juga dianggap
sebagai anak syurga yang diberi mandat untuk memerintah di atas muka bumi.

Dalam bidang eksekutif, maharaja mempunyai kuasa untuk memutuskan dasar kerajaan, melantik dan
melucutkan jawatan pegawai-pegawai kerajaan serta mengurniakan gelaran. Maharaja China berkuasa
mutlak dalam melantik pegawai-pegawai mentadbir wilayah dan daerah yang menjalankan tugas di
bawah arahannya. Pentadbiran dan pemerintahan maharaja dilaksanakan melalui sistem berpusat, iaitu
kuasa pentadbiran pusat berada di tangan maharaja yang seterusnya dipecahkan kepada beberapa unit,
iaitu Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi (6 Badan Menteri) dan Censorate (Lembaga Penapis).

Bagi melicinkan pemerintahan, maharaja membahagikan pentadbiran kepda tiga fasa, iaitu pentadbiran
awam, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran tempatan di bawah badan pengawas. Maharaja
dibantu oleh Majlis Tertinggi yang menjadi badan penasihat utama dan terbahagi kepada enam
kementerian iaitu Kementerian Personal, Kementerian Kewangan, Kementerian Adat, Kementerian
Perang, Kementerian Keadilan, dan Kementerian Kerja Raya. Selain itu, demi memastikan amanah dan
kesetiaan pembesar, maharaja turut menubuhkan Lembaga Penapis yang bertindak sebagai mata dan
telinga kepada maharaja bagi memaklumkan segala aktiviti-aktiviti pembesar China.

Seterusnya, pada peringkat wilayah pula, maharaja Ming membahagikan empayarnya kepada 15 wilayah
yang seterusnya dipecahkan kepada unit-unit tempatan yang lebih kecil. Struktur organisasi pentadbiran
pada peringkat wilayah ini diketuai oleh seorang pesuruhjaya yang dibantu oleh dua orang pegawai, iaitu
hakim dan komander tentera wilayah. Maharaja Ming juga menyerahkan urusan pemerintahan
wilayahnya kepada pegawai awam, pegawai tentera dan pegawai pengawas. Selain itu, pentadbiran
pegawai awam di daerah pula ditadbir urus oleh enam orang menteri yang terdiri daripada Menteri
Personal, Menteri Kewangan, Menteri Adat, Menteri Perang, Menteri Keadilan dan Menteri Kerja-kerja
Awam. Menteri tersebut akan dibantu oleh gabenor bagi setiap daerah,penyelia wilayah dan pegawai-
pegawai tempatan.

Namun begitu, Dinasti Ch’ing memperlihatkan pentadbiran wilayah diketuai oleh gabenor dan dibantu
oleh pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja. Pentadbiran ketenteraan berada di bawah lima ketua
suruhanjaya tentera yang mempunyai kuasa kawalan ke atas wilayah tertentu. Malah, maharaja turut
berperanan sebagai ketua tentera bagi seluruh empayarnya. Hal ini dibuktikan melalui usaha maharaja
untuk mempertahankan Negara dari serangan luar dan meluaskan empayar pada awal kemunculan
Dinasti Ming.

Seterusnya, pemerintahan maharaja China adalah berkuasa mutlak dalam bidang perundangan. Antara
tugas maharaja ialah menggubal undang-undang, mengendalikan kes rayuan serta memberi
pengampunan kepada seseorang yang didapati bersalah. Sistem perundangan China melaksanakan
hukuman secara kolektif dan seseorang itu dianggap bersalah sehingga terbukti dia tidak bersalah.

Di samping itu juga, maharaja China menguasai segala sumber ekonomi Negara seperti pungutan cukai,
hasil bumi, perdagangan dan sebagainya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan pengiktirafan tanah sebagai
hak maharaja. Maharaja memainkan peranan penting dalam urusan dasar luar Negara. Dasar
pemerintahan maharaja ini membawa kepada peluasan perdagangan dan perkembangan ilmu Barat di
China. Ini dapat dilihat melalui dasar keterbukaan semasa Dinasti Ming yang membenarkan kuasa Barat
masuk berdagang di China. Semasa pemerintahan Dinasti Ch’ing iaitu pada abad ke 19 dan awal abad ke
20, Maharaja China telah menjalankan dasar tutup pintu atau konsep pengasingan. Hal ini jelas
menunjukkan peranan maharaja dalam menentukan urusan dasar luar Negara.

Maharaja juga berkuasa dalam bidang keagamaan. Dalam bidang keagamaan, maharaja merupakan
ketua agama dan melantik ketua-ketua agama bagi mengendalikan hal ehwal keagamaan di China.
Baginda juga mengetuai semua upacara pemujaan yang diadakan di dalam Negara.

Peranan maharaja dalam bidang intelektual pula adalah penaung dalam bidang pembelajaran dan
memberi bantuan kewangan kepada golongan intelektual yang terlibat dalam menyelenggarakan serta
menerbitkan kitab dan ensiklopedia. Baginda turut terlibat dalam perkembangan ilmu pengetahuan
dengan memberi ceramah kepada pelajar-pelajar yang menuntut di Kolej Imperial. Malah, maharaja juga
mengarahkan pengendalian peperiksaan awam serta terlibat dalam pemilihan calon dalam peperiksaan
awam di peringkat kebangsaan.

Kesimpulannya, Maharaja China berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemerintah yang berkuasa
sehinggalah kepada Perang Candu Pertama yang menyaksikan kekalahan pihak China dengan British.
Keterpaksaan menandatangani perjanjian-perjanjian telah membawa padah kepada sistem
kemaharajaan China. Segala pembaharuan yang dilakukan untuk menaikkan semula imej kemaharajaan
hanya menemui kegagalan dan akhirnya sistem beraja China selama 267 tahun ditumbangkan dalam
Revolusi 1911 di China.

You might also like