You are on page 1of 9

TUGASAN 1 : Penulisan laporan PBS

Secara individu, setiap pelajar perlu:


1. Mengakses maklumat daripada pelbagai sumber mengenai perbezaan
individu dan pembelajaran.
2. Temu bual seorang guru tentang kepentingan perbezaan individu di dalam
bilik darjah dan bagaimana guru dapat berhadapan dengan situasi tersebut.
Lampirkan transkrip temu bual sebagai bukti
3. Tulis laporan dengan jumlah 500 perkataan mengenai analisis isu ini
berdasarkan penemuan temu bual dan daripada bacaan anda.

Khairul Yusuri (2007) menyatakan bahawa perbezaan individu adalah dari segi
ketidaksamaan aspek perkembangan secara fizikal, mental, sosial dan emosi dalam
kalangan murid. Oleh itu, guru berperanan memastikan aspek perbezaan dalam
kalangan murid dengan jelas untuk memberikan layanan yang adil dalam proses
penyampaian ilmu.

Menurut Ahmad Susanto (2011), kognitif merupakan suatu proses berfikir, iaitu
kemampuan individu untuk menghubungkan, menilai, dan mempertimbangkan suatu
kejadian atau peristiwa. Pn. Lim berpendapat bahawa tahap kognitif setiap murid
adalah berbeza. Murid yang cerdik akan lebih cekap dan pantas mengikuti
pengajaran guru. Memandangkan perbezaan kognitif dalam satu kelas, seseorang
guru haruslah memahami dan merangka objektif pengajaran dan pembelajaran yang
sesuai. Bagi Pn. Lim, beliau akan membahagikan murid kepada beberapa kumpulan
kecil dengan mengasingkan murid yang pandai dan lemah dalam menjalani aktiviti
berkumpulan. Hal ini adalah untuk menyediakan latihan atau aktiviti yang berbeza
untuk kumpulan yang berbeza keupayaan. Dengan ini, murid yang lambat tidak terus
tertinggal dan murid yang pandai tidak berasa bosan. Berdasarkan model gaya
pembelajaran Dunn dan Dunn (1978), salah satu faktor yang merangsang gaya
pembelajaran murid ialah emosi. Motivasi merupakan daya penggerak utama dalam
faktor emosi yang menjamin kejayaan seseorang. Jadi, aktiviti berkumpulan yang
dirancang oleh Pn. Lim adalah berkesan kerana belajar bersama-sama rakan akan
membentuk suasana pembelajaran secara kolaboratif yang boleh meningkatkan
motivasi pembelajaran intrinsik (Van Meter & Stevens, 2000).

Sosioemosi dan personaliti introvert dan ekstrovert adalah saling berkait


sebagaimana yang diutarakan dalam teori Jung (1976). Jung berpendapat bahawa
seseorang introvert cenderung menjadi malu atau antisosial manakala seseorang
ekstrovert bersifat sosial dan memiliki kepercayaan diri yang baik. Pn. Lim telah
menemui personaliti introvert dan ekstrovert dalam kalangan murid semasa dia
mengajar. Hal ini perlu dikesan oleh seseorang guru semasa mengajar untuk
menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang sesuai. Bagi menangani masalah
murid yang bersifat introvert, Pn. Lim akan memastikan penglibatan murid yang
optimum di dalam bilik darjah. Misalnya, beliau akan memilih beberapa murid
terutamanya yang mempunyai ciri-ciri introvert untuk memberi pendapat dan
berkongsi ilmu di depan kelas. Hal ini akan mendorong murid untuk mempunyai
tahap keyakinan yang tinggi semasa berkomunikasi dengan orang lain. Bagi murid
yang bersifat ekstrovert pula, beliau memerhatikan bahawa murid ini kebanyakannya
terdiri daripada golongan yang aktif dan nakal di dalam kelas. Seseorang guru
perlulah bersabar melayani sikap murid seperti ini dengan mempertimbangkan setiap
murid adalah unik dan berbeza. Bagi Pn. Lim, beliau akan melantik murid tersebut
sebagai ketua kumpulan atau ketua kelas untuk memupuk sikap tanggungjawab
murid tersebut dan menjadi seorang yang berdisiplin.

Menurut Guilford (1959), perbezaan sosial adalah berasaskan ciri-ciri semula


jadi, iaitu trait yang boleh ditentukan sama ada individu itu pemalu, pendiam,
mengasingkan diri, guhap, gelisah ataupun impulsif. Pn. Lim telah salah faham
aspek fizikal yang saya persoalkan dalam menentukan perbezaan individu. Apa-apa
yang dijelaskan oleh beliau adalah berkaitan dengan aspek sosial. Pn, Lim
berpendapat bahawa perbezaan sosial bergantung kepada status sosioekonomi
(SSE). Hal ini jelas diperlihatkan dalam aspek fizikal murid iaitu paras muka,
pemakaian, rambut dan kasut. Sebagai contoh, murid daripada SSE yang rendah
tidak menjaga keadaan fizikal dengan rapi seperti berpakaian tidak kemas dan
berkasut kotor. Kajian Orr (2003) membuktikan bahawa murid daripada SSE tinggi
mendapat pencapaian akademik yang lebih baik berbanding dengan murid daripada
SSE yang rendah dan sederhana. Hal ini demikian kerana, murid daripada SSE
tinggi mempunyai peluang-peluang yang lebih untuk membeli bahan pendidikan atau
mengadakan kelas bimbingan tambahan. Justeru, guru perlulah faham pengaruh
latar belakang keluarga dan menyesuaikan pedagogi mereka untuk memaksimakan
pembelajaran dalam kalangan murid (Mohamad Johdi Salleh et al., 2009). Pn. Lim
tidak memberitahu saya tentang implikasi perbezaan sosial dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Beliau hanya menjelaskan bahawa guru berperanan menjaga
kebersihan dan penampilan murid seperti menyuruh murid perempuan memikat
rambut yang panjang untuk meninggalkan tanggapan yang positif terhadap orang
lain. Pada pendapat saya, kanak-kanak yang berasal daripada SSE rendah lebih
bersifat introvert sehingga kurang bergaul dengan rakan sebaya. Jadi, guru boleh
mengadakan aktiviti interaksi dan komunikasi seperti Gallery Walk untuk
mempertingkat tahap keyakinan murid-murid tersebut.

Kesimpulannya, perbezaan individu penting dan perlu diambil kira dalam bidang
psikologi pembelajaran kalangan murid sekolah (Suppiah Nachippaden et al., 2008).
Maka, guru haruslah menggunakan strategi dan pendekatan yang sesuai seperti
aktiviti berkumpulan untuk melayan murid-murid yang berbeza dalam pelbagai
aspek.
Bibliografi

Ahmad, Susanto. (2011). Perkembangan Anak Usia Dini: Pengantar dalam Berbagai
Aspek. Kencana Prenada Media Group.

Dunn, R. dan Dunn, K. (1978). Teaching Students Through Their Individual Learning
Styles: A Practical Approach. Reston Publishing.

Guilford, J. P. (1959). Personality. McGraw-Hill Book Company.

Jung, C. (1967). Collected Works. Princeton University Press.

Mohamad Johdi Salleh, Che Noraini Hashim, Ismael Hassanaen, & Amir Hasan
Dawi. (2009, May 21-24). Status Sosio Ekonomi dan Komitmen Ibu Bapa terhadap
Pencapaian Pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah, Malaysia [Paper
presentation]. International Conference on Education, Brunei.
http://irep.iium.edu.my/13004/1/Procedng_-_SES_Ibubapa_%26_Pencapaian_P
MR_-_14th_ICE_Brunei_2009.pdf

Noriati A. Rashid, Ying, B.P., & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). SPG: Murid
dan Pembelajaran. Oxford Fajar Sdn Bhd.

Orr, A. J. (2003). Black-White Differences in Achievement: The Importance of Wealth.


Sociology of Education, 76(4), 281-304. https://www.jstor.org/stable/1519867?
seq=1

Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor. (2008). SPG:
Psikologi pendidikan. Oxford Fajar Sdn Bhd.

Van Meter, P., & Stevens, R. J. (2000). The Role of Theory in the Study of Peer
Collaboration. The Journal of Experimental Education, 69(1), 113–127.
https://www.jstor.org/stable/20152652?seq=1
Lampiran

Selamat sejahtera, cikgu. Bolehkah saya tahu berapa lama cikgu telah berkhidmat di
sini?

Saya telah mengajar sepanjang lima tahun sebagai guru BNK.

Baiklah, cikgu. Soalan pertama saya ialah apakah kepentingan perbezaan individu di
sekolah pada pandangan anda?

Kalau dilihat daripada aspek fizikal, saya akan memerhatikan paras muka, rambut,
pemakaian, kasut dan kebersihan murid-murid apabila memulakan sesi pengajaran.
Kita boleh mengenal pasti situasi keluarga berdasarkan aspek ini. Sebagai contoh,
untuk murid yang tidak kemas dan bersih dari segi pemakaian dan rambut,
kebanyakan mereka berasal dari keluarga yang tidak mengambil berat anak mereka.
Jadi, kita sebagai guru hendaklah lebih peka dan membetulkan mereka untuk
menonjolkan keterampilan diri yang baik.

Apakah kesan terhadap murid kalau mereka dibetulkan?

Ada sesetengah murid tidak akan mendengar nasihat saya. Ada sesetengah murid
akan berubah sekurang-kurangnya boleh memikat rambut yang panjang. Namun
begitu, kebersihan pakaian tidak boleh kita kawalkan kerana hal ini berpunca
daripada kemiskinan keluarga. Mereka tidak mampu membeli pakaian sekolah yang
lebih atau adik-beradik yang ramai.

Baiklah, maksudnya cikgu ialah disiplin murid akan ditingkatkan dan membawa
kesan yang baik untuk masa depan mereka.

Betul, apabila mereka pergi ke mana-mana kawasan atau majlis, mereka dapat
mengutamakan kekemasan dan kebersihan diri untuk meninggalkan tanggapan yang
baik terhadap orang lain.

Baiklah, cikgu. Bolehkah anda menerangkan perbezaan individu dari segi


sosioemosi?
Boleh. Dalam sesi pengajaran, kita akan berjumpa dengan murid yang ekstrovert
dan introvert. Bagi saya, saya akan lebih peka terhadap murid yang introvert. Saya
akan melakukan aktiviti berkumpulan yang melibatkan semua murid. Selepas aktiviti
berkumpulan, saya akan meminta murid-murid bergerak ke depan untuk berkongsi
pandangan dan ilmu yang didiapati.

Memberi peluang kepada murid-murid yang introvert untuk berkongsi pendapat


mereka.

Ya, walaupun murid tersebut hanya dia bercakap satu ayat atau tidak bercakap
langsung, itu tak penting. Yang penting sekali ialah mereka boleh memupuk sikap
yakin diri semasa berada di depan kelas. Lama-kelamaan, mereka akan berani untuk
berkongsi pendapat mereka. Jadi, kita sebagai guru berperanan penting untuk
memberi galakan kepada semua murid supaya mereka boleh melibatkan diri dalam
aktiviti yang diadakan.

Bagaimanakah murid yang ekstrovert terutamanya untuk murid yang sering


mengangkat tangan?

Saya akan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pandangan dulu
sebelum kepada murid yang interovert. Mereka akan berdiam diri selepas memberi
pandangan. Kadang kala di dalam kelas, ada murid yang nakal. Bagi murid yang
nakal, saya akan melantikkannya sebagai pembantu saya untuk mengawal suasana
kelas dan membawa buku-buku ke meja saya di bilik guru. Hal ini penting untuk
memupuk tanggungjawab dan disiplin murid sendiri. Apabila murid tidak mampu
melaksanakan amanah yang telah saya sampaikan, saya akan memarahinya dan
mengharapkannya boleh melakukan dengan baik lain kali. Saya akan bersikap sabar
untuk memupuk sifat keperibadian yang baik pada diri murid tersebut kerana perkara
ini mengambil beberapa bulan.

Selain murid yang introvert, murid juga berbeza dari segi gaya pembelajaran sama
ada belajar cepat atau lambat. Jadi, guru hendaklah bijak merancang sesi
pengajaran mereka dengan mempelbagaikan cara mengajar. Untuk murid yang
faham apa yang dipelajari, kita hanyalah memberi latihan kepada mereka

Faham, bagaimanakah pelaksanaan kepelbagaian aktiviti pengajaran?


Bagi saya, saya akan memberitahu kepada murid apakah objektif yang hendak
dicapai oleh murid-murid. Selepas itu, saya mengambil 10 hingga 15 minit untuk
menjalankan sesi pengajaran saya. Aktiviti ini adalah bersifat kumpulan dan
bergantung kepada tahap pembelajaran mereka. Maksudnya, untuk kumpulan yang
mempunyai tahap pembelajaran yang baik, saya akan merancang pelbagai aktiviti
untuk mereka.

Saya anggap setiap kumpulan akan melibatkan murid yang cerdik dan lemah.

Tidak. Untuk kumpulan murid yang lemah, saya akan sendiri memberi bimbingan
dan pengajaran. Contohnya, dalam mata pelajaran bahasa Melayu, saya akan
meminta kumpulan murid untuk menyebut suku kata yang dipelajari untuk mengenal
pasti adakah mereka mencapai objektif yang telah saya tetapkan. Untuk kumpulan
murid yang cerdik pula, mereka akan belajar antara satu sama lain untuk
mengukuhkan ilmu yang sedia ada. Kadang kala murid yang cerdik ini akan saya
agihkan ke dalam kumpulan murid yang lemah untuk mengajar mereka ataupun
dikatakan sebagai guru kecil.

Apakah kesan pelaksaanaan aktiviti sebegini ?

Dengan ini, tahap kecerdasan murid yang tinggi dalam bidang tertentu akan
diperkukuh lagi manakala murid yang lemah tidak akan diabaikan. Murid yang lemah
masih dapat belajar tetapi gaya pembelajaran mereka adalah lambat. Saya akan
menentukan objektif pembelajaran yang mudah dicapai untuk murid yang lemah
tersebut. Maksudnya di sini ialah objektif yang ditentukan hendaklah bergantung
kepada tahap kognitif murid

Faham, cikgu, terima kasih.

Sama-sama.

You might also like