You are on page 1of 3

LAPORAN TEMUBUAL

Pada 8 Februari 2019, saya telah menjalankan satu temu bual bersama seorang pensyarah
berbangsa Cina yang bernama Puan Tan Yoke Peng. Beliau merupakan seorang pensyarah
yang berkhidmat di IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor dan berada di Jabatan Ilmu
Pendidikan. Sebelum bergelar sebagai seorang pensyarah, beliau pernah berkhidmat sebagai
seorang guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, kemudian berpindah ke sekolah
menengah di Terengganu dan menjadi kaunselor di sekolah menengah di Puchong yang terdiri
daripada pelbagai kaum. Saya telah menemu bual beliau bagi melengkapkan tugasan kerja
kursus EDUP3073 Budaya dan Pembelajaran. Temubual ini adalah bagi membolehkan saya
mendapat maklumat daripada guru berpengalaman yang mengamalkan budaya berlainan. Fokus
temubual ini adalah berkaitan dengan kesan dan implikasi kepelbagaian sosiobudaya kepada
murid.

Hasil daripada perkongsian melalui temubual bersama Puan Tan, antara implikasi
kepelbagaian sosiobudaya kepada murid ialah murid yang berlainan bangsa mempunyai gaya
komunikasi yang berbeza. Walaupun mempunyai gaya komunikasi yang berbeza, namun murid
masih dapat berkomunikasi dengan baik. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu telah dipilih
sebagai bahasa kebangsaan berdasarkan majoriti kaum di Malaysia, iaitu bangsa Melayu.
Tambahan pula, bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa pengantar di sekolah jenis
kebangsaan seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan 1996. Oleh itu, bahasa ini wajib
diketahui oleh setiap kaum dan bahasa ini telah menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan
antara kaum. Menurut Puan Tan, walaupun murid mempunyai perbezaan bahasa ibunda tetapi
mereka dapat berkomunikasi dengan baik kerana telah mengaplikasikan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar. Justeru, saya juga bersetuju dengan penetapan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di sekolah kerana penggunaan bahasa yang sama dapat memudahkan murid
berbincang dan memahami konteks yang ingin disampaikan. Pengaplikasian bahasa standard
dalam berkomunikasi juga sangat penting bagi mengelakkan kesalahfahaman dan pencetusan
konflik yang memudaratkan. Menurut Mardlina (2006), seperti di negara lain, setiap negara
mempunyai bahasa sendiri sebagai bahasa standard mereka, sebagai contoh negara Jepun
dengan bahasa Jepunnya, negara Jerman dengan bahasa Jermannya dan negara Perancis
dengan bahasa Perancisnya. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sangat penting untuk
dikuasai oleh semua murid bagi memastikan setiap murid berlainan kaum dapat meneruskan sesi
komunikasi dengan menggunakan bahasa yang difahami dan jelas, di samping dapat memelihara
semangat perpaduan.

1
Selain itu, dalam temubual bersama Puan Tan, beliau juga mengatakan bahawa
kebanyakan murid lelaki berbangsa India agak nakal dan sukar untuk dikawal. Hal ini demikian
kerana corak pemikiran antara lelaki dan perempuan adalah berbeza. Menurut Mahmud (1992),
murid perempuan lebih tekun dalam memberikan perhatian dalam pembelajaran, mematuhi
peraturan bilik darjah dan sekolah manakala, murid lelaki selalunya dianggap sebagai murid
‘bermasalah’ kerana mereka sering membuat masalah di dalam bilik darjah. Oleh itu, saya
berpendapat bahawa perbezaan melalui aspek jantina perlu dilihat dari sudut pandang positif
yang perlu difahami oleh seorang guru ketika berada di dalam bilik darjah. Faktor jantina
umumnya mempengaruhi iklim pembelajaran murid, namun perbezaan ini harus digunakan guru
dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan di bilik darjah. Bertepatan
dengan kenyataan Puan Tan, beliau turut berpendapat walaupun murid lelaki kaum India tidak
dapat dikawal dengan baik namun guru masih mempunyai cara yang efektif bagi menyelesaikan
masalah tersebut. Justeru, dapat disimpulkan bahawa setiap individu mengamalkan gaya berfikir
dan gaya belajar yang berbeza yang dipengaruhi oleh perbezaan gender murid.

Seterusnya, Puan Tan turut menambah, murid yang berbilang bangsa mempunyai cara
pembelajaran yang berbeza. Menurut Puan Tan murid yang berbangsa Cina merupakan seorang
murid yang rajin dan lebih bersedia sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Manakala,
beliau juga ada menyatakan bahawa murid berbangsa Melayu merupakan murid yang patuh dan
mudah untuk dikendalikan di dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana, seperti yang dikatakan
oleh Puan Tan bangsa Cina ini mempunyai prinsip mereka tersendiri yang ditekan sejak mereka
kecil bahawa jika ingin lebih berjaya daripada orang lain, tidak ada pilihan lain selain daripada
bekerja keras dan rajin. Hal ini secara tidak langsung, membuatkan murid berbangsa Cina lebih
tekun dalam melakukan sesuatu perkara. Namun, jika dinilai dari segi akademik, prestasi murid
tiada menunjukkan perbezaan menurut beliau. Hal ini kerana, beliau merupakan seorang guru
kaunselor di sekolah dan beliau lebih menitikberatkan dari segi personaliti dan hubungan antara
sesama murid.

Akhir sekali, hasil daripada temu bual bersama Puan Tan, beliau berkata bahawa beliau
melihat implikasi kepelbagaian sosiobudaya ini lebih terarah kepada kesan positif kerana murid
dapat belajar untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, konflik yang
timbul antara murid jarang berlaku kerana murid-murid saling menghormati. Hal ini demikian
kerana pada pendapat saya, murid yang belajar di sekolah dan persekitaran yang disertai
pelbagai kaum etnik akan terdedah kepada amalan, adat resam, pandangan dan cara berfikir
yang berlainan. Justeru, perasaan saling menerima dan menghormati budaya kaum lain dapat

2
dipupuk dalam diri murid. Lantaran itu, dengan sikap saling hormat-menghormati antara satu
sama lain dapat membina persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Menurut Zulkifli (2007),
bilik darjah mesra budaya ialah bilik darjah yang kondusif, menjalankan pengajaran dan
pembelajaran tanpa menafikan hak-hak kesamarataan dan murid dapat bergaul mesra tanpa
mengira perbezaan mereka. Tuntasnya, hasil daripada pembelajaran dalam persekitaran bilik
darjah yang mesra budaya ini, lahirnya murid-murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani, intelektual dan sosial, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tanpa mengira
latar belakang sosiobudaya.

Sebagai kesimpulannya, temubual ini telah membuka minda saya terhadap dunia sebenar
pendidikan. Oleh itu, sebagai seorang bakal guru, saya harus menitikberatkan perkara-perkara
yang melibatkan pelbagai bangsa ini.

You might also like