You are on page 1of 3

LAPORAN TEMU BUAL BERSAMA CIKGU LIM KOK CHEONG

Pada 7 Februari 2019, saya telah menemu bual seorang guru Cina yang bernama Lim Kok
Cheong. Beliau merupakan guru bahasa Inggeris yang berkhidmat di SMK Sri Perhentian (SSP),
Pontian, Johor. Beliau telah bertugas menjadi seorang guru hampir 30 tahun dan sudah berada
di SSP hampir 15 tahun. Saya telah menemu bual beliau bagi menyempurnakan tugasan kerja
kursus EDUP3073 Budaya dan Pembelajaran yang memerlukan saya mendapatkan maklumat
daripada guru berpengalaman mengenai implikasi kepelbagaian sosiobudaya kepada murid.
Oleh itu, saya memilih Cikgu Lim untuk ditemu bual kerana beliau berpengalaman di sekolah
yang mempunyai murid-murid yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum seperti Cina, Melayu,
India, dan kaum orang Asli Semenanjung.

Hasil dapatan daripada temu bual yang telah dijalankan bersama Cikgu Lim, antara
implikasi kepelbagaian sosiobudaya kepada murid ialah murid lebih cakna mengenai sensitiviti
bangsa atau etnik yang lain. Contohnya, isu melibatkan binatang lembu yang dapat menimbulkan
konflik antara kaum Melayu dengan kaum India dan sebahagian kaum Cina kerana bagi orang
Melayu lembu adalah binatang yang halal dan boleh disembelih manakala bagi penganut Hindu
(kaum India dan kaum Cina) pula binatang lembu dilihat sebagai binatang yang suci dan tidak
boleh dimakan. Oleh kerana hal yang demikian, murid akan lebih berhati-hati dalam pertuturan
mereka bagi mengelakkan daripada membangkitkan isu sensitif kaum lain yang akan
menimbulkan rasa tidak puas hati dan konflik. Hal ini demikian kerana murid yang belajar di
sekolah atau persekitaran yang disertai pelbagai kaum etnik akan terdedah kepada amalan, adat
resam, pandangan dan cara berfikir kaum etnik yang berbeza. Oleh itu, perasaan saling
menerima dan menghormati antara satu sama lain akan dapat dipupuk melalui pergaulan murid
dengan murid berbangsa lain di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Menurut Bennett.
C. (1995), proses sosiolisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah
dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Hal ini dapat
disimpulkan bahawa murid yang membesar dalam kelompok masyarakat terbuka dan terdedah
dengan adat dan budaya kaum lain akan lebih mudah menerima perubahan atau pembaharuan.
Tuntasnya, kelas yang mempunyai murid pelbagai kaum dan sosiobudaya mestilah berupaya
untuk menanam perasaan saling menghormati antara satu sama lain supaya semangat kekitaan
yang terbina dapat meruntuhkan tembok perkauman dan secara tidak langsung perpaduan
antara kaum akan terjalin.

1
Seterusnya, implikasi terhadap kepelbagaian sosiobudaya termasuklah kemahiran dan
penguasaan bahasa yang berbeza. Menurut Cikgu Lim, kebanyakkan murid di dalam kelas beliau
merupakan murid yang aktif dan mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar. Mereka juga
mudah faham dan fasih bertutur. Hal ini demikian kerana negara Malaysia merupakan satu
platform yang memberi peluang keemasan kepada murid mempelajari pelbagai jenis bahasa
seperti bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Cikgu Lim melihat
peluang yang terdapat di negara Malaysia ini merupakan kurniaan yang sangat istimewa dan
memberi banyak kebaikan kepada murid kerana murid yang mahir dalam pelbagai bahasa akan
menjadi rebutan di pasaran pekerjaan pada masa akan datang. Hal ini turut dipersetujui oleh
Eggen P. & Kauchak D. (2007) yang berpendapat murid yang menguasai dua atau lebih bahasa
akan lebih mudah menguasai pembelajaran dan murid poliglot ini akan lebih cepat dan tangkas
dalam pemahaman konsep dan menjadi murid pintar dan cergas. Hal ini demikian kerana banyak
sinapsis telah terbentuk dalam otak murid tersebut. Justeru, saya juga bersetuju dengan
kenyataan ini kerana sesetengah murid yang hanya menguasai dialek, bahasa ibunda atau dialek
semata-mata berkemungkinan menghadapi masalah pembelajaran, kurang faham bahan yang
dibaca dan penerangan guru. Hal ini demikian kerana mereka tidak dapat menginterpretasikan
maksud dan isi yang diajar oleh guru. Menurut Zulkifli bin Yaakob (2007), murid yang mempunyai
masalah dalam pembelajaran hanya menguasai dialek atau bahasa ibunda semata-mata dan
mengakibatkan mereka lambat menguasai isi pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa pertembungan
bahasa menaikkan rasa inkuiri murid untuk mendalami bidang bahasa selain bahasa ibunda
sendiri dan dapat meluaskan pengetahuan murid.

Selain itu, antara implikasi kepelbagaian sosiobudaya kepada murid ialah murid
mempunyai perbezaan dalam gaya menyelesaikan tugasan dan sikap yang dimiliki oleh murid.
Menurut Cikgu Lim, murid yang berlainan bangsa mempunyai sikap yang berlainan. Sebagai
contoh, murid berbangsa Cina lebih bersungguh-sungguh dalam menyiapkan tugasan yang
diberikan dan murid berbangsa Melayu pula lebih cenderung kepada kemahiran bertutur iaitu
mereka lebih petah bercakap dan sentiasa akur dengan arahan guru. Beliau berpendapat bahawa
sikap yang terbentuk ini adalah kesan daripada latar belakang keluarga atau budaya setiap
individu itu sendiri. Saya juga berpendapat bahawa setiap murid sememangnya berasal daripada
pelbagai latar belakang yang berbeza, oleh itu wujudlah sikap yang berbeza dalam diri murid.
Murid berbangsa Cina sudah terlatih dengan gaya pembelajaran yang aktif dan rajin menyiapkan
tugasan kerana dipupuk sejak sekolah rendah. Murid berbangsa Melayu pula petah bercakap
kerana mereka menguasai bahasa Melayu dengan baik dan murid dipupuk dengan sikap akur
dan menghormati guru yang telah memberi ilmu pengetahuan. Menurut Rustam A. Sani. (1993),

2
budaya merupakan pengaruh yang paling berkesan ke atas perkembangan individu. Justeru,
jelaslah bahawa budaya dan latar belakang yang berbeza mempengaruhi cara berfikir, bertindak
dan mempengaruhi pandangan serta perasaan seseorang. Setiap individu membesar dan
terbentuk hasil interaksi dalam persekitaran masing-masing.

Di samping itu, walaupun sistem persekolahan aliran kebangsaan mewajibkan murid


menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti mana termaktub dalam Akta
Pendidikan 1996 namun menurut Cikgu Lim, terdapat segelintir murid yang lebih cenderung
bergaul dengan kelompok mereka sendiri sahaja kerana mereka dapat berkomunikasi
menggunakan bahasa ibunda mereka. Kepelbagaiaan latar sosiobudaya murid ini telah
menyebabkan gaya komunikasi mereka mempunyai perbezaan. Beliau juga mengatakan bahawa
murid-murid Cina dan India di SSP datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, oleh
itu mereka agak lemah dalam penguasaan bahasa Melayu sebaliknya mereka banyak
menggunakan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian mereka. Mereka juga lebih
senang menggunakan bahasa ibunda kerana dengan penggunaan bahasa itu akan memudahkan
pengajaran mereka dalam memahamkan mereka dalam mata pelajaran–mata pelajaran di
sekolah. Hal ini sememangnya tidak wajar berlaku di sekolah kerana pada pendapat saya murid
di sekolah aliran kebangsaan yang bukan berbangsa Melayu seperti bangsa Cina dan bangsa
India perlu menguasai bahasa Melayu supaya memudahkan dan melancarkan proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Walaupun tersebut berlainan latar belakang
budaya dan berlainan bahasa ibunda, mereka perlu berusaha untuk menguasai bahasa Melayu
supaya mereka mudah berbincang di dalam bilik darjah dan mudah berkomunikasi. Di samping
itu, menurut Mahzan Arshad (2008), penggunaan satu bahasa standard juga dilihat sebagai satu
usaha dalam meningkatkan semangat perpaduan dalam negara dan dilihat sebagai lambang
kedaulatan negara. Tuntasnya, penetapan bahasa standard dan penggunaan bahasa
kebangsaan di sekolah sangat perlu bagi menghindari sebarang masalah antara individu yang
berpunca daripada salah faham gaya komunikasi.

Kesimpulannya, kewujudan pelbagai kaum di Malaysia secara langsung telah


mewujudkan kepelbagaian sosiobudaya dalam masyarakat kita. Kepelbagaian sosiobudaya
sememangnya memberi implikasi kepada murid. Justeru, pengajaran kepelbagaian budaya dan
pengajaran kepelbagaian murid harus menjadi amalan dan pegangan guru supaya dapat
memenuhi keperluan murid yang berbeza-beza.

You might also like