You are on page 1of 4

Sistem pendidikan di Malaysia bermatlamat untuk mencapai perpaduan dalam kalangan

masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan etnik. Hasil daripada
kepelbagaian kaum dan etnik ini, maka wujudlah kepelbagaian budaya, agama, bahasa serta
adat resam. Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, perpaduan
merupakan komponen penting dalam konteks sosial Malaysia yang unik dan menjadi faktor
utama merealisasikan masyarakat yang terdiri daripada individu seimbang dan harmoni
seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, sekolah
merupakan ruang yang mempunyai potensi yang unik untuk memupuk perpaduan. Sesebuah
bilik darjah yang mesra budaya bukan sekadar melibatkan unsur-unsur fizikal yang dapat
dilihat dengan pancaindera tetapi ia turut melibatkan unsur-unsur emosi dan hubungan
kemanusiaan (Noriati, Boon, Sharifah & Zuraidah, 2014). Oleh itu, guru memainkan peranan
yang penting dalam menghasilkan perancangan langkah-langkah pengurusan bilik darjah
yang mesra budaya serta sesuai dengan latar sosiobudaya masyarakat di Malaysia. Terdapat
tiga aspek yang perlu diambil kira iaitu aspek pengurusan, pedagogi relevan budaya dan
pentaksiran berasaskan mesra budaya.

Aspek pengurusan terbahagi kepada empat jenis iaitu fizikal, emosi, sosial dan
sosiolinguistik. Aspek pengurusan fizikal merupakan satu aspek yang penting untuk
mengekalkan persekitaran yang positif dan produktif (Woolfolk, 2001). Guru haruslah
mewujud, melaksana serta mengekalkan persekitaran bilik darjah yang kondusif serta mesra
budaya. Menurut Steele (1973) dalam Haliza & Joy (2016), penyusunan fizikal mempunyai
enam fungsi iaitu keselamatan, hubungan sosial, identiti simbolik, perkembangan dan
ketenangan. Justeru langkah pengurusan bilik darjah yang mesra budaya ialah susun atur
meja dan kerusi murid secara berkumpulan (Rujuk Lampiran 1). Murid harus diletakkan
dalam kumpulan yang terdiri daripada etnik yang berbeza. Menyusun atur tempat duduk murid
dalam bilik darjah adalah penting supaya terdapat kesamarataan taburan di antara murid-
murid dari pelbagai kumpulan etnik dan tidak hanya satu kumpulan etnik dikelompokkan
dalam satu kumpulan. Apabila ada perbincangan kumpulan atau aktiviti-aktiviti kumpulan,
ahli-ahli kumpulan akan terdiri daripada pelbagai kaum etnik. Secara tidak langsungnya,
kepelbagaian kumpulan etnik dalam satu kumpulan akan dapat diwujudkan serta memupuk
satu suasana mesra budaya. Pembelajaran dalam persekitaran fizikal yang mesra budaya
akan merangsang pelajar untuk menimba ilmu secara berkesan.

Seterusnya, aspek pengurusan emosi juga merupakan satu aspek yang penting dalam
mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya. Menurut Bee & Boyd (2010), perkembangan
emosi seseorang bukan sahaja melibatkan ekpresi perasaan tetapi juga kemahiran individu
menjalinkan hubungan dan berinteraksi dengan orang lain. Sekiranya emosi murid tidak
terkawal, ia akan menyebabkan suasana pembelajaran bilik darjah yang tidak kondusif.

1
Woolfolk (1990) dalam Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013), turut berpendapat bahawa
motivasi atau kuasa dalaman akan membangkitkan, mengarah dan mengawal minat dan
tingkah laku murid. Pada pendapat saya, emosi murid dipengaruhi oleh cara pengajaran
seseorang guru dan persekitarannya. Contohnya, seseorang murid akan berada dalam emosi
yang sedih atau kecewa sekiranya guru bersikap berat sebelah dan tidak adil terhadap
kepelbagaian kaum dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, guru perlu sentiasa menunjukkan
dan mengamalkan emosi yang positif serta bersikap demokratik dalam melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran (PdP). Misalnya, memberi peluang pendidikan yang sama rata
kepada murid tanpa mengira kaum dan etnik. Hal ini demikian kerana murid mudah
dipengaruhi oleh emosi dan sikap yang ditunjukkan oleh guru itu sendiri.

Tambahan pula, aspek pengurusan sosial turut mempengaruhi kewujudan sesebuah


bilik darjah yang mesra budaya. Bagi mewujudkan perkembangan sosial murid yang mesra
budaya, pembelajaran secara koperatif adalah sangat digalakkan. Menurut Johnson &
Johnson (2003), pembelajaran secara koperatif ini berfokus kepada perkembangan sosial dan
emosi serta interaksi kumpulan dengan aktiviti ditumpukan kepada perbincangan dan
pembinaan sesebuah pasukan. Melalui kaedah ini, guru berfungsi sebagai pemantau dan
fasilitator kepada murid dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Murid
dapat disatukan dalam tugasan dan dapat menjalani proses pembelajaran secara bersama
tanpa mengira latar belakang, bangsa dan budaya. Hal ini dapat mengurangkan jurang
perbezaan antara murid yang berlainan bangsa dan budaya. Pembelajaran secara koperatif
boleh dipupuk melalui kaedah projek. Mengikut Poh (2003), projek ditakrifkan sebagai tugas,
pembinaan atau siasatan yang teratur yang akan menjurus kepada matlamat yang spesifik.
PdP berasaskan projek boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan di bawah
bimbingan yang minima oleh guru. Kaedah pengajaran ini amat berkesan kepada
perkembangan nilai murni, perpaduan dan kerjasama antara murid tanpa mengira bangsa.

Di samping itu, pedagogi relevan budaya juga merupakan salah satu cara yang
membantu murid mempertahankan identiti budaya di samping mencapai kecemerlangan
akademik. Terdapat tiga jenis pedagogi relevan budaya iaitu kelas bercantum, aliran perdana
dan pribumi. Pedagogi kelas bercantum masih mengamalkan pengajaran biasa tanpa
mengabaikan kepelbagaian murid dengan membahagikan murid ke dalam kumpulan kecil
mengikut prinsip-prinsip seperti kumpulan sama kebolehan, kumpulan sosial dan sebagainya
(Noriati, Boon, Sharifah & Zuraidah, 2014). Bagi aspek kelas bercantum, guru haruslah bijak
membuat perancangan seperti menghasilkan satu jadual pelaksanaan dengan mengambil
kira perbezaan setiap murid dari segi umur, bangsa, budaya dan sebagainya. Contohnya,
sekiranya bilik darjah tersebut terdiri daripada murid yang berbeza umur, guru boleh
melaksanakan PdP berasaskan pendekatan projek dan membahagikan semua murid kepada

2
kumpulan yang seimbang. Murid yang lebih berumur akan dilantik sebagai ketua kumpulan
manakala yang selebihnya akan menjadi ahlinya. Dengan ini, murid dapat berinteraksi serta
bekerjasama dengan ahli yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya serta tahap umur
untuk mencapai sesuatu matlamat.

Akhir sekali, pentaksiran berasaskan mesra budaya merupakan langkah terakhir yang
perlu dititik beratkan sebagai langkah pengurusan bilik darjah yang mesra budaya. Proses
penilaian dan pentaksiran adalah satu proses wajib selepas setiap PdP telah dilaksanakan.
Menurut Boon, Lee & Lawrence (2017), pentaksiran merupakan satu proses sistematik
pengumpulan dan interpretasi maklumat mengenai kurikulum dalam aspek seperti murid, guru,
strategi PdP dan bahan pengajaran. Contohnya, strategi, teknik serta bahan bantu mengajar
yang digunakan haruslah mengambil kira aspek kepelbagaian murid seperti budaya dan
bangsa seseorang. Semasa melaksanakan penilaian dan pentaksiran, guru haruslah bersikap
adil dan saksama tanpa mengira agama dan bangsa murid. Hal ini demikian kerana
pentaksiran yang dilakukan menggambarkan perkembangan seseorang murid secara
menyeluruh. Sekiranya guru bersikap bias, maka penilaian serta pentaksiran yang dilakukan
adalah tidak sahih. Tahap kebolehpercayaan maklumat serta data yang dikumpul dan
diperhatikan adalah tinggi jika seseorang guru melaksanakan tanggungjawabnya dengan
penuh dedikasi.

Kesimpulannya, guru merupakan tunggak utama di dalam bilik darjah dengan


menerima bantuan daripada murid-murid. Bilik darjah merupakan sebuah komuniti kecil dan
menjadi tempat di mana guru dan murid berinteraksi. Oleh itu, menjadi lumrah seorang guru
untuk menguruskan bilik darjah dengan bantuan murid-murid. Dalam usaha ke arah
mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya, maka langkah-langkah yang
dinyatakan perlu direalisasikan terlebih dahulu. Guru perlulah mengambil kira ciri fizikal
sesebuah bilik darjah, faktor emosi dan sosial. Melalui persekitaran bilik darjah yang kondusif
ini, guru dapat melahirkan pelajar yang lebih berdisiplin dan suasana harmoni dalam bilik
darjah dapat diwujudkan. Pengurusan bilik darjah yang berkesan mampu meningkatkan kualiti
pelajar yang akan dilahirkan oleh institusi pendidikan, sekaligus dapat mengurangkan
masalah sosial yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

3
Bee, H., & Boyd, D. (2010). The developing child. (12th Ed.). Boston: Allyn & Bacon.
Boon P., Y., Lee L., H., & Lawrence, A., A. (2017). Pentaksiran dalam pendidikan. Selangor
Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku.
Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Johnson, D., W. & Johnson, R. (2003). Learning together and alone: Cooperative, competitive
and individualistic learning. (5th Ed.). Massachusetts: Allyn & Bacon.
Noriati A. Rashid, Boon, P., Y., Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid. (2014).
Budaya dan pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Kementerian Pendidikan Malaysia
2013.
Poh, S. (2003). Project-based e-Learning in higher education: The model and the method, the
practice and the portal. Studies in Communication, New Media in Education.
Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon. (2013). Budaya dan pembelajaran.
Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Woolfolk. (2001). Educational psychology. (8th Ed). Boston: Allyn & Bacon.

You might also like