You are on page 1of 3

KEGUNAAN ALAT SEMBURAN HIDUNG

Alat semburan hidung (nasal spray) mungkin bukanlah bentuk sediaan ubat yang sering
digunakan oleh kebanyakan orang. Namun, alat ini sangat membantu sesetengah
individu yang mengalami masalah hidung tersumbat atau gejala alergi. Alat semburan
hidung mengandungi bahan aktif yang telah diformulasi dalam bentuk cecair yang
mudah meresap ke dalam salur darah pada permukaan dalam hidung.

(https://my-doc.com/wp-content/uploads/2020/06/5-nasal-spray-singapore-nose-
1024x760.jpg)
Dalam situasi tertentu, alat semburan hidung lebih menjadi pilihan kerana bahan
aktifnya dapat diserap lebih cepat berbanding ubat yang diambil secara oral.
Penyerapan yang pantas ini membolehkan pengguna mendapat kelegaan yang lebih
cepat. Oleh sebab itu, cara penggunaan yang betul harus dititikberatkan agar
penyerapan bahan aktif dapat dioptimumkan dan seterusnya memberi kesan yang
dikehendaki.
Kegunaan alat semburan hidung
Alat semburan hidung biasanya digunakan dalam beberapa keadaan yang secara
umumnya bergantung kepada bahan aktif utama di dalam alat tersebut. Pengguna
hendaklah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan alat
semburan hidung untuk memastikan alat yang betul digunakan bagi merawat masalah
yang dialami. Terdapat tiga kegunaan utama alat semburan hidung, iaitu:
(a) sebagai dekongestan bagi hidung tersumbat
Antara bahan aktif yang digunakan dalam alat semburan hidung jenis
dekongestan ialah oxymetazoline dan phenylephrine. Bahan-bahan aktif ini melegakan
rasa tersumbat dengan cara menyempitkan saluran darah dan sekali gus mengecilkan
tisu hidung yang membengkak. Alat semburan hidung dekongestan sesuai digunakan
sekiranya pengguna memerlukan kelegaan pantas. Contohnya, ketika pengguna
mengalami selesema ataupun alergi yang agak serius.
Walau bagaimanapun, alat semburan hidung dekongestan tidak boleh digunakan
lebih daripada tiga hari. Penggunaan berpanjangan berisiko menyebabkan
penggunanya menjadi terlalu bergantung kepada bahan aktif dan kemudiannya
mengakibatkan pesakit mengalami kesan rebound (simptom muncul kembali selepas
rawatan tamat).
(b) mengurangkan keradangan akibat serangan alergi
Gejala keradangan seperti bengkak pada bahagian dalam hidung, hingus yang
banyak dan kerap bersin boleh dirawat dengan alat semburan hidung yang
mengandungi bahan aktif daripada kumpulan steroid. Oleh sebab itu, alat semburan
hidung jenis ini sesuai digunakan untuk merawat rinitis, sinusitis dan polip hidung (nasal
polyp). Antara contoh ubat yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah budesonide,
fluticasone, mometasone dan triamcinolone.
Secara umumnya, alat semburan hidung ini tidak menyebabkan kesan
sampingan yang serius sekiranya digunakan dengan cara atau pada dos yang betul.
Namun begitu, pengguna perlu berhati-hati apabila menggunakan alat semburan
hidung yang mengandungi steroid dan sentiasa cakna akan gejala kesan sampingan
seperti hidung berasa pedih, rasa kering dan sakit pada tekak serta hidung berdarah.
(c) mencairkan mukus dalam hidung
Alat semburan hidung yang mengandungi saline (cecair garam) pula berfungsi
untuk mencairkan mukus dan mengelakkannya daripada menjadi keras. Fungsi ini
dapat membantu pengguna mengekalkan hidung dalam keadaan lembap. Di samping
itu, cecair garam sebagai bahan aktif juga dapat membantu mengeluarkan bendasing
yang mungkin terperangkap pada bahagian dalam hidung. Namun begitu, alat
semburan hidung jenis ini tidak boleh mengubati keadaan hidung tersumbat.
(d) menghasilkan kesan secara sistemik bagi beberapa penyakit tertentu
Selain merawat gejala yang berkaitan dengan hidung secara langsung,
sesetengah alat semburan hidung digunakan untuk memberi kesan secara sistemik.
Contohnya, pesakit diabetes insipidus biasanya menggunakan alat semburan hidung
yang mengandungi desmopressin sebagai salah satu rawatan. Pendarahan hidung akut
pula dapat dihentikan dengan menggunakan alat semburan hidung dengan bahan aktif
gabungan lignocaine dan phenylephrine. Alat semburan hidung yang sama juga boleh
digunakan sebagai anestetik topikal sebelum sesuatu prosedur perubatan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau
orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National
Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8
pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
Rujukan:
1. Garis Panduan Kaunseling Ubat-ubatan Edisi ke-3
2. www.myhealth.com
3. www.hellodoktor.comhttps://www.drugs.com/cdi/nasal-decongestant-spray.html
4. https://www.webmd.com/allergies/decongestants
5. https://www.nhs.uk/conditions/steroid-nasal-sprays/
6. https://www.webmd.com/allergies/saline-spray

Penulis : Penyemak :
Mariyanti binti Abd Rani Raihanah binti Ahmad
Pegawai Farmasi UF48 Pegawai Farmasi UF52
Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu Klinik Kesihatan Laka Temin
yan.abd90@gmail.com raihanah3@gmail.com

You might also like