You are on page 1of 3

KOLEJ TEKNOLOGI ANTARABANGSA CYBERNETIKCS

Diploma Eksekutif Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DEPAK) – Group A

Nama : Umi Kalsum Khamis

No. Matrik : EX2302070

Tugasan Kedua:

Dalam pendidikan awal kanak-kanak, projek boleh ditakrifkan sebagai kajian terbuka topik harian yang layak
dimasukkan dalam program pendidikan. Cadangkan SATU (1) aktiviti untuk pendekatan projek berdasarkan
fasa di bawah:

• Permulaan projek

• Perkembangan projek

• Kesimpulan projek

___________________________________________________________________________________

Pengenalan

Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-based Learning) (PBP) merupakan kaedah pembelajaran yang
sangat membantu kanak-kanak cepat memahami dan memperolehi pengetahuan/pengalaman dunia
sebenar melalui perlaksanaan projek dalam tempoh waktu tertentu. Ia juga menggalakkan kanak-kanak
untuk menjadi lebih kreatif kerana projek yang dijalankan memerlukan mereka berfikir, melaksanakan,
membuat keputusan dan mencari jalan penyelesaian untuk memastikan projek mereka berjaya. Guru akan
menjadi penyelia memantau perkembangan projek dan menjadi pemudah cara sekiranya kanak-kanak
memerlukan bantuan dan tunjuk ajar sepanjang tempoh projek. Kebiasaannya PBP lebih kepada projek
berasaskan Sains dan Sains Sosial.

Isi Kandungan

Terdapat tiga (3) fasa dalam melaksanakan PBP iaitu Fasa Sebelum Projek, Fasa Semasa Projek dan Fasa
Selepas Projek. Berikut penjelasan tentang tiga fasa perlaksaaan projek berkenaan bersama contoh Projek
Menanam Pokok Bunga Ros Jepun di sekolah yang mengambil masa lebih kurang 2 minggu (dari proses
menanam benih sehingga pokok berbunga).

Fasa Pertama: Sebelum Projek

Sebelum projek dijalankan, guru dan kanak-kanak berbincang tentang idea projek yang hendak dijalankan.
Guru boleh memberi beberapa cadangan atau meminta kanak-kanak untuk mengemukakan cadangan
mereka. Keputusan akhir projek yang akan dijalankan boleh dibuat melalui undian. Di sini kanak-kanak

Page 1 of 3
akan belajar untuk membuat keputusan dan membuat pilihan serta bertolak ansur dan bersetuju secara
berkumpulan.

Tujuan dan objektif projek juga perlu dijelaskan kepada kanak-kanak dalam bahasa yang mudah difahami.
Masukkan elemen keseronokan seperti menanam pokok bunga sambil menikmati keindahan alam di luar
bilik darjah. Ia akan meningkatkan keterujaan kanak-kanak yang sememangnya suka bermain di luar bilik
darjah.

Guru dan kanak-kanak berkerjasama membuat perancangan dan jadual perlaksanaan projek. Mereka
dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan melantik ketua untuk mewakili kumpulan masing-
masing. Jadual perancangan ditampal di satu sudut kelas bagi memudahkan mereka memantau
perkembangan projek. Antara perkara yang perlu dimasukkan di dalam jadual perancangan tersebut ialah

i. Nama kumpulan dan senarai nama ahli kumpulan;


ii. Warna bunga pilihan;
iii. Tarikh mula projek dan Tarikh tamat projek;
iv. Senarai pembahagian tugas dan lain-lain

Melalui jadual perancangan tersebut kanak-kanak dapat mula memikirkan tindakan seterusnya yang perlu
dilakukan. Ini akan merangsang minda mereka untuk terus berfikir, bertanya dan mencari jawapan.

Bagi memastikan kanak-kanak turut mendapat sokongan dari pihak ibu bapa, guru perlu memaklumkan
aktiviti berkaitan projek kepada pihak ibu bapa melalui platform media sosial atau memo pengumuman.

Persediaan bahan-bahan asas untuk projek boleh disediakan oleh pihak sekolah seperti tanah, pasu,
penyodok tanah, penyiram pokok, sarung tangan, benih pokok dan lain-lain. Pihak guru juga boleh
bekerjasama dengan pihak ibu bapa sekiranya mereka bersetuju.

Fasa Kedua: Semasa Projek

Fasa kedua adalah fasa perlaksanaan projek di mana kanak-kanak akan memulakan aktiviti mengikut jadual
perancangan yang telah disusun. Di dalam fasa ini tugas guru lebih kepada menjadi pemudah cara
manakala kanak-kanak perlu menjalankan aktiviti bersama-sama ahli kumpulan langkah demi langkah.
Guru akan membimbing ketua kumpulan untuk aktiviti pembahagian tugas dan mereka akan
melaksanakannya di dalam kumpulan masing-masing. Antara tugasan yang perlu dilaksanakan ialah
mengambil bahan-bahan asas projek, mengisi tanah ke dalam pasu, menanam benih, menyusun pasu,
membaja dan menyiram pokok.

Dari keseluruhan proses semasa projek dijalankan, kanak-kanak belajar memahami tugas dan
tanggungjawab masing-masing. Guru akan menjelaskan implikasi sekiranya tanggungjawab tidak dijalankan
dengan baik contoh; sekiranya pokok tidak disiram dan dibaja mengikut jadual pokok berkemungkinan tidak
akan hidup subur dan akan mati. Ini akan membentuk kanak-kanak untuk lebih bertanggungjawab dan
berusaha melaksanakan tugas dengan lebih baik.

Selepas selesai proses menyemai benih, kanak-kanak akan memantau pertumbuhan benih pokok bunga
yang ditanam dengan menulis rekod dan mengambil gambar dengan bantuan guru. Proses membaja dan
menyiram pokok terus dijalankan secara bergilir-gilir di kalangan ahli kumpulan sehingga pokok berbunga.

Page 2 of 3
Setiap aktiviti yang dibuat oleh kanak-kanak, guru perlu memberikan maklum balas sebaiknya. Kanak-kanak
digalakkan untuk memberi idea bagi aktiviti seterusnya demi melengkapkan projek.

Setelah pokok berbunga, setiap kumpulan memiliki pokok bunga yang berlainan warna. Guru boleh
meminta setiap kumpulan berkongsi dengan rakan-rakan mengenai ciri-ciri pokok bunga mereka seperti
warna bunga, bentuk daun, cara pokok hidup dan lain-lain sambil bertanyakan apakah warna kegemaran
kanak-kanak. Dari sini mereka akan saling mempelajari kepelbagaian jenis tumbuhan yang memberi
keindahan kepada alam dan menghargai ciptaan tuhan.

Fasa Ketiga: Selepas Projek

Selepas selesai projek, guru perlu memastikan objektif pembelajaran tercapai dan projek memberi impak
positif kepada kanak-kanak. Sebagai pemudah cara dan pemantau projek, guru perlu terus memberi
motivasi kepada kanak-kanak dan memuji pencapaian yang mereka perolehi. Penilaian terhadap semua
aspek pembelajaran penting untuk mengetahui kekuatan, kelemahan, kemahiran dan potensi setiap kanak-
kanak dan direkodkan di dalam kad kemajuan pembelajaran mereka. Rekod projek boleh difailkan dalam
bentuk video, buku atau carta yang boleh dipamerkan semasa hari terbuka sekolah. Guru juga boleh
memberi galakan kepada kanak-kanak agar terus menjaga pokok-pokok bunga untuk mencantikkan
kawasan sekolah dengan meruskan aktiviti menyiram dan membaja pokok. Ini akan meningkatkan
semangat bekerjasama dan cintakan sekolah.

Kesimpulan

Memberi kebebasan dan kepercayaan kepada kanak-kanak sepanjang pembelajaran melalui projek ini
dapat membantu kanak-kanak untuk memiliki keyakinan diri, membuat keputusan, memahami implikasi
dari setiap keputusan yang dibuat dan berkomunikasi dengan lebih baik di samping membentuk mereka
menjadi individu yang lebih kreatif. Secara keseluruhannya, peranan guru sebagai penyelia dan pemudah
cara sangat penting untuk membimbing kanak-kanak menjayakan projek mengikut aturan dan masa yang
ditetapkan manakala sokongan ibu bapa dan penjaga juga menjadi pendorong untuk menghasilkan projek
yang terbaik.

Rujukan:

1. Nota kuliah Miss Aisyah


2. https://ahaslides.com/blog/project-based-learning-examples-ideas/
3. https://study.com/academy/lesson/project-based-learning-for-kindergarten.html
4. https://learnobots.com/examples-of-project-based-learning-for-kids/

Page 3 of 3

You might also like