You are on page 1of 5

iCitra 192

KETERLIBATAN INDUSTRI DALAM PEMBELAJARAN


BERASASKAN KERJA (WBL) BAGI PROGRAM SARJANA
MUDA SAINS CITRA

ROZITA IBRAHIM*, WAHIZA WAHI & AZMI OMAR

*Pusat Pengajian Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi,
Selangor, eta@ukm.edu.my

ABSTRAK

Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) tersulam di dalam reka bentuk program Sarjana Muda
Sains Citra (SmSn Citra). Program SmSn Citra yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Citra
Universiti (PPCU) bersifat bukan konvensional, rentas disiplin dan boleh lentur. Pelajar bebas
memilih bidang penumpuan diminati mengikut matlamat kendiri dan kerjaya; serta menjalani
WBL melalui mod 2u2i (2 tahun di universiti dan 2 tahun di industri) atau 3u1i (3 tahun di
universiti dan 1 tahun di industri). WBL bertujuan memberi pendedahan pengalaman dunia
pekerjaan sebenar kepada pelajar. Kertas ini membincangkan kepentingan keterlibatan industri di
dalam pelaksanaan SmSn Citra; khususnya berkaitan penempatan WBL. Analisis dan pemetaan
penempatan pelajar bersama industri yang ada dan tiada menandatangani MoA bersama PPCU
dibincangkan. Ini memberikan gambaran tentang ke(tidak)sepadanan antara keperluan dan
jangkaan pihak industri dan pelajar. Akhirnya, beberapa cadangan dikemukakan bagi
penambahbaikan pelaksanaan keterlibatan industri untuk SmSn Citra.

Kata kunci: Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning) (WBL); Kurikulum


bukan konvensional; Pendidikan tersedia masa hadapan (future ready); Universiti awam;
Keterlibatan industri

PENGENALAN

Program Sarjana Muda Sains Citra (SmSn Citra) yang mula ditawarkan oleh Pusat Pengajian Citra
Universiti (PPCU), UKM pada sesi 2018/2019 merupakan sebuah program akademik bukan
konvensional. Struktur pengajian bersifat fleksibel, personalised dan rentas disiplin; di mana
pelajar membina penumpuan dalam bidang yang bersesuaian dengan matlamat kendiri dan
matlamat kerjaya masing-masing. Program SmSn Citra menggunakan mod 2u2i (2 tahun di
universiti dan 2 tahun di industri) atau 3u1i (3 tahun di universiti dan 1 tahun di industri). Mod
2u2i atau 3u1i merujuk kepada reka bentuk dan penyampaian program akademik yang
menggabungkan pembelajaran di dalam kampus dan di luar kampus, iaitu di industri (MQA 2016).
‘Industri’ didefinisikan sebagai ‘sekumpulan organisasi atau firma yang terlibat dalam sesuatu
aktiviti sosial atau ekonomi, manakala pihak industri bermaksud individu atau firma yang terlibat
dalam sesuatu aktiviti pengeluaran atau penyediaan perkhidmatan’ (Jabatan Pendidikan Tinggi
2017, 6). Sewaktu berada di industri, pelajar menjalani WBL. Istilah WBL meliputi pelbagai
maksud dan situasi; di mana domain atau lokasi utama pembelajaran berlaku di tempat kerja
iCitra 193

(Abdul Murad Ahmad 2014; MQA 2016). WBL menyokong kurikulum berpusatkan pelajar di
mana pengalaman yang diperolehi akan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan akademik
berkaitan persekitaran kerja. Pelajar akan dibimbing oleh mentor dalam kalangan ahli akademik
dengan disokong oleh pakar bidang dan jurulatih industri.

Penglibatan industri dalam program SmSn Citra sememangnya bermula sejak peringkat
penggubalan sehingga kepada pelaksanaan. Perbincangan di dalam kertas ini tertumpu kepada
keterlibatan industri pada peringkat pelaksanaan SmSn Citra. Wakil pihak industri dilantik sebagai
ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik Pelajar (JKPAP) yang berperanan memberikan pandangan
serta cadangan dalam mesyuarat JKPAP bersama ahli akademik yang merupakan mentor pelajar
dan pakar bidang penumpuan. Selain JKPAP, pemain industri juga dijemput berkongsi
pengalaman dan keperluan industri masa kini bersama para pelajar dan warga PPCU dalam siri
‘CEO Talk @ Citra’ dan ‘Industry Talk @ Citra’. Sesi perkongsian begini bukan hanya
memberikan maklumbalas penambahbaikan SmSn Citra, malah memberi peluang langsung
kepada pelajar berinteraksi dengan wakil industri secara lebih dekat selain meluaskan jaringan
kerjasama PPCU. Seterusnya, PPCU juga melantik pemain industri tersohor sebagai Profesor
Adjung dan ahli Lembaga Penasihat. Akhirnya, industri yang berminat dipelawa untuk
menandatangani Memorandum Kerjasama (MoA) dengan memfokuskan kepada pelaksanaan
WBL. Sejumlah 23 rakan industri telah menandatangani MoA pada tahun 2020 dan 2021. Setakat
ini 4 orang pelajar yang memilih mod 2u2i telah menjalani WBL pada sesi 2020/2021 manakala
81 orang lagi memulakan WBL pada Ogos atau September 2021, iaitu untuk sesi 2021/2022.

Tujuan kertas ini adalah melaporkan hasil analisis ringkas mengenai kesepadanan di antara
senarai rakan industri PPCU sedia ada dengan industri yang menempatkan pelajar WBL. Analisis
ini memberikan gambaran tentang kesepadanan antara kesediaan rakan industri PPCU dengan
keperluan akademik pelajar SmSn Citra, serta sebaliknya. Hasil analisis ini berperanan
mengenalpasti cabaran dalam penempatan WBL pelajar dan membantu perancangan keterlibatan
industri dan penambahbaikan pelaksanaan SmSn Citra pada masa akan datang.

METODOLOGI

Kertas ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sebagai ahli akademik dan pegawai yang
terlibat langsung dalam urusan jaringan industri dan pementoran pelajar SmSn Citra. Catatan
perbincangan bersama pihak industri dan pelajar dijadikan rujukan. Selain itu, senarai nama rakan
industri PPCU dan senarai nama industri yang dipohon pelajar bagi penempatan WBL telah
dikumpulkan dan dianalisis. Pemetaan dilakukan di antara senarai rakan industri PPCU dengan
senarai industri bagi penempatan WBL pelajar. Industri-industri ini dibahagikan mengikut saiz,
samada (1) besar atau tersohor, dan (2) sederhana dan kecil; dan juga mengikut tahap keterlibatan
dengan PPCU, sama ada (1) telah menandatangani MoA, atau (2) belum menandatangani MoA.
Hasil analisis dan pemetaan memberikan gambaran tentang kesepadanan atau ketidaksepadanan
antara (i) kesediaan pelajar SmSn Citra dengan keperluan rakan industri PPCU, dan (ii) kesediaan
rakan industri PPCU dengan keperluan akademik pelajar SmSn Citra.
iCitra 194

HASIL DAN PERBINCANGAN

Jumlah pelajar kohort pertama yang sedang dan bakal menjalani WBL adalah seramai 85 orang.
Daripada jumlah tersebut, 65 orang (76.5%) telah mendapat penempatan manakala 20 orang
(23.5%) lagi masih mencari penempatan. Jadual 1 menunjukkan bahawa jumlah industri yang
terlibat menempatkan pelajar WBL SmSn Citra adalah sebanyak 33 buah; di mana 9 telah
menandatangani MoA manakala 24 lagi belum atau tiada MoA. Industri yang tiada atau belum
menandatangangi MoA ini dihubungi sendiri oleh pelajar atau dikenalpasti oleh mentor serta
pensyarah dan pakar bidang. Ini adalah peluang bagi PPCU untuk menambah jaringan rakan
industri dan seterusnya menandatangani MoA dengan industri yang berpotensi.

Jadual 1 Jumlah penempatan WBL bersama industri yang telah dan belum MoA

Bil. Status MoA Industri Bilangan Industri Peratus

1. Ada MoA 9 27%

2. Tiada MoA 24 73%

JUMLAH 33 100%

Jadual 1 di atas juga menunjukkan bahawa hanya 9 berbanding 23 MoA bersama rakan
industri PPCU berjaya direalisasikan kepada penempatan WBL pelajar. Sebanyak 14 rakan
industri yang lain tidak atau belum terlibat dalam penempatan WBL kali ini. Penempatan WBL
sebenarnya bermaksud komitmen jangka panjang selama setahun atau dua tahun. Sesetengah
industri tidak dapat memberikan komitmen tersebut kerana: (1) kekurangan tenaga kerja yang
boleh menjadi jurulatih WBL dalam tempoh yang panjang; (2) bidang penumpuan pelajar tidak
cukup mendalam bagi menepati keperluan tugasan di industri; dan (3) perubahan perancangan
kerana terkesan oleh pandemik Covid-19. Jika dilihat dari sudut pelajar pula, pemilihan
penempatan adalah berdasarkan: (1) kesesuaian tugasan disediakan industri dengan minat dan
penumpuan pelajar; (2) kesediaan elaun dan kemudahan lain; (3) lokasi industri yang dekat UKM
atau kampung halaman pelajar; dan (4) mengikut rakan yang memilih industri lain.

Jadual 2 Jumlah penempatan pelajar mengikut peringkat keterlibatan dan saiz industri

Bil. Saiz Industri Peringkat Bilangan Industri Jumlah


Keterlibatan Terlibat Penempatan
Pelajar
1. Besar / tersohor Ada MoA 5 20
2. Belum ada MoA 5 8
3. Sederhana dan kecil Ada MoA 4 6
4. Belum ada MoA 19 31
JUMLAH 33 65
iCitra 195

Jadual 2 pula menunjukkan pemetaan antara saiz industri, peringkat keterlibatan industri
dan jumlah pelajar yang ditempatkan. Daripada jumlah 33 industri yang menempatkan pelajar, 10
adalah industri besar atau tersohor manakala 23 adalah industri kecil dan sederhana. Dari segi
jumlah pelajar, 28 pelajar ditempatkan dalam industri besar atau tersohor; dan 37 pelajar mendapat
tempat dalam industri kecil dan sederhana. Ini bermaksud, daripada 65 pelajar yang telah mendapat
penempatan WBL, 43.1% ditempatkan di industri besar atau tersohor manakala 56.9% memilih
industri kecil atau sederhana. Hal ini menggambarkan tiada perbezaan ketara dalam pemilihan
antara industri besar dan tersohor dengan industri kecil dan sederhana. Apa yang lebih penting
nampaknya bukanlah saiz industri, tetapi (1) kesepadanan antara bidang penumpuan pelajar
dengan keperluan industri tersebut, dan (2) keterbukaan industri menerima kepelbagaian bidang
penumpuan pelajar.

KESIMPULAN

Kertas ini telah membincangkan peranan keterlibatan industri dalam pelaksanaan program
akademik bukan konvensional iaitu SmSn Citra. Hasil analisis menunjukkan sedikit sebanyak
terdapat ketidaksepadanan antara kesediaan pihak industri yang telah menandatangani MoA
dengan keperluan pelajar SmSn Citra. Demikian juga sebaliknya terdapat ketidaksepadanan dalam
kesediaan pelajar dan keperluan industri berkenaan. Meskipun ketidaksepadanan ini berjaya
ditampung oleh industri lain yang tiada atau belum menandatangani MoA bersama PPCU, dapatan
analisis menunjukkan terdapat peluang penambahbaikan. Ini bagi memastikan perjanjian di dalam
MoA ada kesinambungannya dan bukan hanya tinggal di dalam dokumen semata-mata. Oleh yang
demikian, adalah dicadangkan supaya pemilihan rakan industri diatur secara lebih strategik dengan
mengambil kira kesesuaian bidang penumpuan pelajar dengan keperluan industri berkenaan.
Industri lain yang belum menandatangani MoA namun telah menempatkan pelajar SmSn Citra
pastinya dijadikan fokus bagi MoA berikutnya pada tahun akan datang. Selain itu, kesinambungan
aktiviti bersama antara PPCU dan rakan industri boleh dilakukan melalui pembinaan kursus
industri dalam bidang penumpuan yang kurang atau tiada ditawarkan di UKM. Juga, pihak industri
boleh diberikan latihan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penilaian dan pentaksiran WBL
bagi menyokong keperluan akademik pelajar dan memudahkan jurulatih industri menjalankan
peranannya. Akhirnya, persediaan WBL untuk pelajar juga perlu dimantapkan lagi. Biasanya
persediaan pelajar meliputi hal berkaitan penyediaan resume, pemantapan soft skills dan
perkongsian pengalaman serta jangkaan melalui siri webinar bersama industri. Bagi tujuan
memantapkan lagi persediaan pelajar, pihak PPCU wajar memberikan penekanan terhadap aspek
penguasaan ilmu dan kemahiran dalam bidang penumpuan dengan memastikan kursus-kursus
yang diambil adalah tepat dan terkini. Ringkasnya, langkah penambahbaikan dan pemantapan
pelaksanaan WBL pada masa akan datang diharapkan dapat membawa hasil yang menang-menang
untuk ketiga-tiga pihak yang terlibat iaitu pelajar, PPCU dan industri.

PENGHARGAAN

Penulis merakamkan ribuan terima kasih kepada UKM di atas Dana Penyelidikan Pengajaran
dan Pembelajaran (Dana PdP) UKM 2021 kod PDI-2021-041.
iCitra 196

RUJUKAN

Abdul Murad Ahmad. 2014. Work Based Learning is a new dimension in Malaysia tertiary
education. International Journal of Accounting and Business Management Vol. 2 (1): 17-
27.

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). 2016. Garis Panduan Amalan Baik: Pembelajaran
Berasaskan Kerja. www.mqa.gov.my.

Jabatan Pendidikan Tinggi. 2017. Garis Panduan Pelaksanaan Mod Pengajian 2u2i.

You might also like