You are on page 1of 3

CHINA & NEGARA-NEGARA ASEAN : RETAK MENANTI BELAH?

1. Beberapa maklum balas telah diterima berikutan penerbitan Peta Standard China Edisi
2023. Antaranya ialah wujud kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia yang merasakan
bahawa tindakan China ini perlu dikritik demi menjaga kestabilan di rantau Asia
Tenggara. Selain itu, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, Presiden Indonesia, Joko
Widodo telah menyatakan bahawa hubungan ASEAN dan China hendaklah terbina
melalui aspek kepercayaan. Kerjasama sebenar hanya akan terwujud jika China dan
ASEAN mempercayai satu sama lain.

2. Jiran ASEAN Malaysia, iaitu Filipina menjadi mangsa dan sasaran kepada China
beberapa hari lepas apabila Pengawal Pantai China menghalang Pengawal Pantai Filipina
untuk menghantar bekalan kepada BRP Sierra Madre yang mengawal Beting Ayugin.
China menghantar 10 buah kapal untuk mengepung dan menghalang Pengawal Pantai
Filipina. Keadaan ini baru berlaku semalam dan berdasarkan video yang tular di laman X
dan Facebook, jarak dan lokasi antara kapal Pengawal Pantai China dan Filipina sangat
dekat dan boleh menyebabkan pertempuran berlaku. Perkara ini amat merisaukan dan
meningkatkan lagi ketegangan antara negara ASEAN dan China. Senario seperti ini
lambat laun akan menghadirkan konflik senjata di rantau Asia.

3. Perkara ini bertentangan dengan visi Premier Republik Rakyat China, Li Qiang yang
menyatakan keamanan dan kestabilan di rantau Asia akan terjamin. Li Qiang juga
menyatakan bahawa ASEAN dan China akan mampu menangani sebarang permasalahan
dengan adanya kerjasama yang kukuh. Persoalan yang timbul ialah bagaimana bentuk
kerjasama yang diharapkan oleh China? Adakah China ingin negara-negara ASEAN
mengiktiraf China sebagai ‘abang besar’ di rantau Asia? Sekiranya benar, maka ianya
lebih kepada penjajahan bentuk baharu dan bukannya kerjasama antara negara yang
berdaulat.

4. China juga perlu menjadi ‘sahabat akrab’ kepada negara-negara ASEAN dan bukannya
menjadi ‘musuh ketat’ kepada semua. Tindakan China yang mengancam kapal perang
Canada di perairan Taiwan menunjukkan bahawa China akan bermusuh dengan sesiapa
sahaja. Tidak kira dengan negara Asia mahu pun Barat. Hal ini menjadi polemik juga
kepada negara-negara ASEAN yang telah bersetuju untuk menjadi negara yang
berkecuali untuk mengelakkan konflik yang bakal berlaku. China dilihat akan melakukan
apa-apa sahaja perkara yang boleh menunjukkan kekuatan mereka. Malah, pengaruh
‘Nine Dash Line’ China turut melebar hingga ke filem Barbie yang menampilkan peta
membenarkan tuntutan China terhadap kawasan perairan di Filipina. Hal ini
menyebabkan Filipina mengharamkan tayangan filem tersebut di sana.

5. Malaysia juga perlu menyedari bahawa Premier China, Li Qiang pada Sidang Kemuncak
ASEAN telah memberi amaran mengenai risiko berlakunya Perang Dingin Baharu
sekiranya dilihat tidak sehaluan dalam membuat keputusan. Sekiranya dicermati dengan
sebaiknya, amaran China ini bersifat provokatif dan pertunjukkan kuasa kepada negara-
negara ASEAN. Oleh itu, pemimpin kanan negara perlu bersedia dan tidak hanya retorik
ucapan semata-mata. Sekiranya benar pertikaian ini hendak diselesaikan dengan undang-
undang antarabangsa, maka Malaysia perlu menjadi negara pertama yang membawa
China ke meja rundingan. Malaysia juga perlu bersama-sama negara-negara ASEAN
untuk menyerahkan nota bantahan kolektif kepada China.

6. Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, Malaysia melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim
telah menyatakan bahawa pertikaian di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara
aman mengikut undang-undang antarabangsa. Perkara ini difahami kerana China
merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Oleh itu, penyelesaian yang lebih aman amat
diperlukan tanpa membuatkan mana-mana pihak bertindak lebih provokatif. Namun
demikian, Kerajaan juga perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Pengukuhan
kepada aset ketenteraan perlu dilakukan. Hal ini demikian kerana, aset ketenteraan yang
kukuh khususnya aset maritim merupakan blok penghalang kepada pencerobohan.
Malaysia misalnya merupakan negara yang dikelilingi oleh lautan. Jarak persisiran pantai
Malaysia ialah seluas 4,492 km iaitu 1737 km bagi Semenanjung Malaysia dan 2,755 km
bagi Sabah Sarawak. Hal ini memerlukan kepada pengawalan pesisiran pantai
menggunakan aset maritim yang mempunyai teknologi yang terbaharu dan lebih
mampan.
7. Bagi memastikan kedaulatan negara, ucapan retorik yang menyakinkan rakyat tidak
cukup. Kementerian Pertahanan perlu memastikan aset ketenteraan kita cukup dan
mampu berfungsi dengan efektif. Kapal Tempur Pesisir Pantai perlu disegerakan
pembuatannya bagi membantu memperkukuh pengawalan pesisir pantai negara kita.
Selain itu, kerjasama antara negara jiran juga amat diperlukan bagi memastikan
pencerobohan tidak berlaku dalam Zon Eksklusif Ekonomi milik negara. Hanya dengan
tindakan yang proaktif dan pengukuhan aset ketenteraan, Kerajaan akan dapat
meminimakan impak yang bakal diperoleh disebabkan oleh konflik tuntutan di Laut
China Selatan. Apa-apa pun, Kerajaan seharusnya bersedia dengan segala kemungkinan
yang berlaku dan tidak hanya duduk berdiam diri seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi.

You might also like