You are on page 1of 31

1.

0 PENGENALAN

Dalam meniti arus pemodenan dan globalisasi ini, bidang keusahawanan kini

menjadi salah satu bidang kerjaya yang menjadi peneraju pembangunan sistem

ekonomi yang mapan selari dengan perkembangan teknologi maklumat. Bidang

keusahawanan tidak asing lagi dalam konteks masyarakat moden kerana sebahagian

besar individu di setiap negara menjadikan aktiviti perniagaan sebagai punca mata

pencarian demi meneruskan kehidupan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa bidang

keusahawanan semakin berkembang di seluruh dunia apabila prospek kerjaya tersebut

semakin dikenali dan diminati oleh setiap individu. Kemampuan negara Amerika

Syarikat melahirkan perniagaan baharu pada setiap 11 saat menunjukkan bahawa

bidang keusahawanan memberi manfaat yang pelbagai terutamanya dalam sektor

ekonomi.

Secara umumnya, usahawan merupakan individu yang sentiasa berusaha untuk

mengenal pasti peluang yang wujud dalam lingkungan persekitaran serta

menghasilkan idea-idea perniagaan untuk memaksimumkan keuntungan (Mastura

Jaafar, 2018). Usahawan juga dapat ditakrifkan sebagai individu yang membentuk

perniagaan baharu serta sanggup mengambil risiko untuk melaksanakan pembaharuan

dan inovasi terhadap organisasi yang dibangunkan. Bidang keusahawanan pula

didefinisikan sebagai proses menggabungkan sumber-sumber ekonomi menerusi

penggabungan kemahiran modal insan dan pengurusan kewangan yang sistematik

untuk menggerakkan operasi sesebuah organisasi. Menurut Kao (1995),

keusahawanan ialah proses mencipta sesuatu yang kreatif dan berbeza daripada hasil

individu yang lain bagi tujuan mencapai kekayaan atau mendapat tempat dalam

kalangan masyarakat.
Bidang keusahawanan kini menjadi pemacu pembangunan sistem ekonomi yang

pesat apabila bidang perniagaan berdasarkan industri memberi manfaat ekonomi dan

sosial kepada individu, masyarakat dan negara. Kemahiran keusahawanan seharusnya

didedahkan kepada setiap golongan muda khususnya dalam kalangan pelajar untuk

melahirkan lebih ramai generasi muda yang boleh bergiat aktif dalam bidang

perniagaan. Pendedahan kemahiran keusahawanan boleh dilaksananakan melalui

penerapan budaya keusahawanan kepada para pelajar bermula dari peringkat

pengajian rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Pelaksanaan langkah ini

boleh memupuk minat para pelajar untuk memberi tindak balas yang positif terhadap

bidang keusahawanan.

Kemahiran keusahawanan merupakan model yang dirancang untuk

meningkatkan kemahiran dan pengalaman individu untuk mengendalikan sesebuah

organisasi pada usia muda yang akan mengurangkan risiko kegagalan dalam

perniagaan. Setiap pelajar perlu menguasai kemahiran tambahan ini sebagai ilmu

yang boleh digunakan bersama-sama dengan kemahiran yang diperoleh menerusi

proses pembelajaran pada setiap peringkat pendidikan. Semua graduan daripada setiap

universiti di negara ini perlulah menguasai segala kemahiran yang boleh membentuk

individu yang kompetitif terutamanya dalam dunia perniagaan. Oleh itu, kemahiran

keusahawanan perlu didedahkan kepada para pelajar susulan manfaatnya boleh

menjadi pemangkin pembangunan ekonomi yang pesat menjurus kepada negara yang

maju. Persoalannya, apakah kepentingan pendedahan kemahiran keusahawanan

kepada seseorang pelajar?


2.0 KEPENTINGAN KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN KEPADA SESEORANG

PELAJAR

2.1 Mengasah Kemahiran Insaniah dalam Kalangan Pelajar

Pendedahan kemahiran keusahawanan dapat mengasah kemahiran insaniah

dalam kalangan pelajar. Kemahiran keusahawanan merupakan salah satu

kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh para pelajar dalam

kemahiran-kemahiran insaniah sama ada di peringkat pengajian rendah mahupun

di peringkat pengajian tinggi (Norasmah Hj. Othman, Zaidatol Akmaliah Lope

Pihie, Mohd Ibrahim Nazri dan Rohani Ahmad Tarmizi, 2003). Kemahiran

insaniah merujuk kepada ciri-ciri keperibadian seseorang yang meliputi

kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah serta berfikiran

secara kritis, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan, kemahiran

menjaga perhubungan dan etika profesional, kemahiran pengurusan maklumat

dan sebagainya. Penguasaan kemahiran-kemahiran insaniah ini dapat membantu

seseorang dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih berkesan

mengikut kemahiran-kemahiran khusus yang dimiliki. Penguasaan kemahiran

insaniah melalui bidang keusahawanan ini dianggap berupaya untuk melahirkan

modal insan yang mampu memelihara kestabilan ekonomi negara dalam usaha

mencapai objektif untuk melahirkan masyarakat usahawan yang berdaya saing

pada era globalisasi ini.


Pendedahan kemahiran keusahawanan dalam proses pendidikan melibatkan

aspek penerapan kemahiran melihat dan merebut peluang perniagaan, kemahiran

konseptual iaitu kemampuan berpandangan jauh dalam menentukan hala tuju

perniagaan, kemahiran membuat perancangan dengan sistematik, kemahiran

kepimpinan dalam mengetuai sesebuah organisasi dan sebagainya. Kemahiran

yang diperoleh melalui bidang keusahawanan ini dapat mendorong seseorang

pelajar agar berfikiran secara kritis dalam menyelesaikan sesuatu masalah dengan

berbekalkan kemahiran insaniah yang sedia ada. Dalam konteks ini,

kemahiran-kemahiran khusus yang diterapkan dalam bidang keusahawanan

mampu melahirkan seorang pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam aspek

akademik malah turut dilengkapi dengan ciri-ciri keperibadian yang unggul

sebagai salah satu persediaan untuk menghadapi alam pekerjaan yang kian

mencabar selari dengan arus pemodenan kini.

Kemahiran keusahawanan yang didedahkan kepada para pelajar sama ada di

peringkat pengajian rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi memerlukan

para pelajar untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti yang

berorientasikan perniagaan. Menurut Norfadhilah Nasharudin dan Halimah Harun

(2010), kursus keusahawanan ini dianggap berupaya dan berkebolehan untuk

merangsang motivasi dan mengubah minda pelajar untuk menguasai pengetahuan

dan kemahiran dalam menguruskan sesebuah perniagaan. Sebagai contoh,

seseorang pelajar yang pernah terlibat dalam bengkel keusahawanan akan

didedahkan dengan kemahiran komunikasi. Dalam sesebuah perniagaan,

seseorang perlu menguasai kemahiran berkomunkasi iaitu kebolehan bertutur

secara lisan atau bukan lisan secara berkesan agar mesej yang hendak
disampaikan dapat diterima dengan jelas oleh pendengar. Para pelajar boleh

mempraktikkan kemahiran tersebut dalam proses pembelajaran terutamanya

dalam aktiviti pembentangan yang melibatkan bilangan audiens yang ramai.

Kemahiran komunikasi yang didedahkan ini memberi manfaat kepada para

pelajar sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat alam pekerjaan

kelak.

Dalam perbahasan ini, kemahiran insaniah yang diperoleh melalui kemahiran

keusahawanan dapat dipraktikkan oleh golongan pelajar dalam kehidupan

seharian. Ciri-ciri kepimpinan yang berjaya diterapkan melalui kemahiran

keusahawanan membolehkan seseorang pelajar dapat melaksanakan sesuatu

pekerjaan dengan jayanya khususnya aktiviti yang melibatkan kerja berpasukan.

Menurut Mohd Syahrir et al (2017), kemahiran keusahawanan menekankan aspek

pemupukan ciri-ciri seperti kreativiti dan daya inovasi, pengetahuan dalam

pengurusan risiko, keupayaan menjadi mentor kepada ahli kumpulan, dan

semangat seorang pemimpin yang terlibat sepenuhnya dalam setiap aktiviti yang

dilaksanakan demi membangunkan subordinatnya. Secara tidak langsung,

penerapan unsur-unsur tersebut dapat mengasah kemahiran kepimpinan dalam

kalangan pelajar. Seseorang pelajar mampu menjadi seorang pemimpin yang

dapat mempengaruhi ahli kumpulan yang terlibat dalam usaha untuk mencapai

objektif yang telah ditetapkan. Kemahiran ini turut membantu seseorang pelajar

untuk mempersiapkan diri mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang

memerlukan seseorang untuk bertindak sebagai pemimpin yang boleh mengetuai

sesebuah organisasi menuju ke arah kecemerlangan.


Seseorang pelajar yang pernah terlibat dalam aktiviti perniagaan dalam

proses pembelajaran bagi kemahiran keusahawanan juga dapat meningkatkan

pengetahuan dalam kemahiran pengurusan maklumat serta kemampuan berfikiran

secara kritis. Dalam sesebuah perniagaan, seseorang individu perlu berpandangan

jauh dalam menentukan hala tuju perniagaan untuk membangunkan organisasi

tersebut ke arah kejayaan. Melalui pendedahan ini, para pelajar akan dilatih untuk

berfikiran secara menyeluruh di luar daripada konteks yang sebenar dalam

menguruskan sesebuah perniagaan terutamanya aspek pengurusan maklumat dan

langkah penyelesaian masalah secara berkesan. Kemahiran-kemahiran yang

diterapkan dalam bidang keusahawanan ini boleh mengasah kemahiran insaniah

para pelajar khususnya dalam proses pembelajaran yang memerlukan seseorang

untuk menganalisis masalah yang telah dikenalpasti seterusnya mencari jalan

penyelesaian yang terbaik.

Secara keseluruhannya, pendedahan kemahiran keusahawanan dalam

kalangan pelajar melalui pelbagai aspek seperti pengenalan modul keusahawanan

seperti Pengajian Perniagaan di peringkat sekolah menengah serta kewujudan

bengkel-bengkel keusahawanan di peringkat pengajian tinggi sememangnya

melengkapkan para pelajar dengan kemahiran-kemahiran insaniah yang menjadi

teras kecemerlangan seseorang individu. Kemahiran insaniah yang diperoleh

melalui bidang keusahawanan ini memberi manfaat kepada para pelajar untuk

meningkatkan lagi keberkesananan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan

khususnya dalam proses pembelajaran yang melibatkan penilaian kemahiran

interpersonal. Kemahiran ini juga mampu membina seorang pelajar yang berdaya

saing sebagai persediaan menuju ke alam pekerjaan apabila kemahiran insaniah


menjadi asas pertimbangan dalam proses pengrekrutan pekerja selain daripada

aspek akademik dalam kalangan graduan muda pada masa ini. Oleh hal yang

demikian, pendedahan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar

sememangnya wajar dilaksanakan sama ada di peringkat pengajian rendah

mahupun di peringkat pengajian tinggi dalam usaha mencapai objektif untuk

melahirkan golongan pelajar yang dilengkapi dengan kemahiran insaniah.


2.2 Kebolehan Bekerja Sendiri

Pendedahan kemahiran keusahawanan juga penting untuk membantu

seseorang pelajar membina kerjaya sendiri. Menurut Sarimah Che Hassan,

Norlizah Che Hassan, dan Prof Madya Dr Nor Aisyah Buang (2010), kemahiran

keusahawanan dapat membantu seseorang pelajar untuk bekerja sendiri. Hal ini

kerana, pekerjaan merupakan fokus utama para pelajar yang telah menamatkan

pengajiannya di peringkat universiti. Sudah pastinya para pelajar menginginkan

kerjaya yang bersesuain dengan kelayakan dan kemahiran yang dimiliki. Menurut

pendapat Tolbert ( 1974 ), beliau mengatakan bahawa kerjaya seseorang adalah

penting dan kehidupan pada masa hadapan seseorang itu akan ditentukan

berdasarkan kerjaya yang dipilihnya kelak. Cita-cita yang diimpikan oleh

seseorang pula menjadi pendorong kepada seseorang untuk mengejar ke arah

sesuatu bidang kerjaya yang diinginkan.

Kini, Malaysia ingin mengubah kehidupan rakyat khususnya para pelajar

daripada masyarakat yang bergantung kepada pekerjaan dalam sektor kerajaan

kepada masyarakat yang mampu bekerja sendiri. Kerajaan menggalakkan para

pelajar untuk melaksanakan pekerjaan secara individu agar mereka dapat

menyara diri dan keluarga dengan hasil titik peluh sendiri tanpa mengharapkan

bantuan daripada orang lain. Hal ini bermakna pihak kerajaan mendorong para

pelajar yang telah menamatkan pengajiannya untuk menjalankan sesebuah

perniagaan seterusnya menjadi usahawan yang berjaya pada masa hadapan.

Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan pelajar

graduan universiti untuk menceburi bidang keusahawanan. Namun, kerjaya


keusahawanan tidak mendapat sambutan yang hangat apabila para pelajar lebih

berminat untuk bekerja dalam sektor kerajaan.

Menurut Norasmah dan Salmah (2011), beliau mendapati bahawa pelajar

pada masa ini meletakkan bidang keusahawanan ini sebagai kerjaya pilihan

kedua atau pilihan ketiga dalam kehidupan mereka. Laporan Pengesanan Graduan

daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati bahawa 90 peratus

graduan di Malaysia cenderung untuk bekerja di agensi kerajaan, syarikat

multinasional, syarikat tempatan, atau badan bukan kerajaan. Laporan

Pengesanan Graduan tersebut juga menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar di

negara ini tidak gemar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan untuk

mencipta peluang pekerjaan sendiri sebaliknya mereka hanya ingin menjadi

individu yang mencari pekerjaan.

Pelajar yang mempunyai kemahiran keusahawanan merupakan pelajar yang

beruntung apabila mereka mampu membina pekerjaan setelah berjaya

menamatkan pengajian di peringkat universiti. Pelajar yang memiliki kemahiran

keusahawanan kebiasaannya akan memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Terdapat pelbagai jenis perniagaan yang boleh diceburi oleh seseorang pelajar

graduan universiti yang mempunyai kelayakan dalam bidang keusahawanan.

Antara contoh perniagaan tersebut ialah perniagaan secara atas talian, perniagaan

secara fizikal, perniagaan berdasarkan milikan tunggal atau perkongsian dan

sebagainya. Sekiranya seseorang pelajar itu berasal daripada golongan keluarga

yang berpendapatan rendah, pelajar tersebut boleh menggunakan jumlah modal

yang rendah mengikut kemampuan atau membuat permohonan pinjaman


kewangan daripada pihak bank sebagai modal permulaan untuk berniaga. Oleh itu,

jumlah modal tidak membataskan seseorang itu untuk memulakan sesuatu

perniagaan asalkan mereka berminat untuk berniaga sudah cukup memadai.

Menerusi sebuah artikel Nurain binti Daud (2012), seorang bekas pelajar dari

Universiti Malaysia daripada Jurusan Kesusasteraan yang bernama Siti Abidah

Hussien, beliau memilih dan berminat untuk bekerja sendiri daripada makan gaji.

Beliau mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dan memilih kerjaya

usahawan kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan.

Beliau telah menjalankan perniagaan berasaskan makanan iaitu produk biskut dan

kek secara kecil-kecilan di rumahnya. Walaupun pada awalnya beliau mendapat

tentangan daripada ahli keluarganya untuk menceburi bidang perniagaan ini

namun kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan pada waktu itu telah mendorong

beliau berjinak-jinak dalam perniagaan tersebut.

Pada peringkat institusi pengajian tinggi, pelajar telah didedahkan dengan

pelbagai maklumat berkenaan bidang perniagaan. Mereka telah didedahkan oleh

pensyarah tentang kaedah memulakan perniagaan, strategi untuk meningkatkan

keuntungan, cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan, cara

mengendalikan sebuah perniagaan dan sebagainya. Pelajar yang mempunyai

kemahiran keusahawanan dan berminat untuk menceburi bidang perniagaan

untuk menjadi usahawan yang berjaya boleh terus menubuhkan perniagaannya

sendiri. Secara tidak langsung, pelajar tersebut akan memilih untuk bekerja

sendiri dan bukannya makan gaji. Bekerja sendiri adalah lebih baik berbanding

makan gaji kerana usahawan tersebut tidak perlu terikat dengan arahan seseorang
iaitu majikan atau pihak atasan. Bekerja sendiri dengan memulakan perniagaan

dapat memberi peluang kepada seseorang khususnya golongan pelajar yang ingin

menjadi usahawan atau pemilik kepada syarikat sendiri. Berbekalkan

pengetahuan tentang kemahiran keusahawanan semasa berada di alam universiti,

seseorang pelajar boleh mempraktikkannya semasa mengendalikan perniagaan

yang diusahakannya itu. Pelajar tersebut juga boleh mengaplikasikan strategi

promosi yang dipelajari untuk meningkatkan kadar jualan bagi memperoleh

keuntungan.

Selain itu, kebolehan bekerja sendiri dengan memulakan perniagaan dapat

membuka lebih banyak peluang pekerjaaan kepada masyarakat tempatan.

Sesebuah perniagaan bukan sahaja membantu diri seseorang pelajar untuk

memiliki kerjaya yang baik, malahan juga dapat membantu pihak-pihak lain.

Pemilik perniagaan berhak memilih sesiapa sahaja untuk diambil sebagai pekerja.

Kemampuan bekerja sendiri juga membolehkan seseorang pelajar itu memiliki

sepenuhnya keuntungan yang diperolehi tanpa perlu berkongsi dengan orang lain.

Oleh itu, keuntungan yang diperoleh hasil daripada aktiviti berniaga adalah

miliknya secara mutlak. Jumlah keuntungan yang diperoleh bergantung kepada

kemahiran seseorang untuk merancang dan merangka strategi perniagaan yang

sistematik. Jelaslah bahawa kemahiran keusahawanan ini amat penting bagi

melahirkan seseorang pelajar yang boleh bekerja sendiri dengan memulakan

perniagaan secara kecil-kecilan selepas menamatkan zaman persekolahan.


2.3 Kebolehan Merebut Peluang Pekerjaan

Kemahiran keusahawanan merupakan salah satu kemahiran insaniah yang

perlu dikuasai oleh seseorang pelajar sama ada di peringkat sekolah menengah

mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi. Para pelajar yang menguasai

kemahiran keusahawanan dapat membentuk sahsiah diri yang menyeluruh. Oleh

itu, kemahiran keusahawanan perlu diterapkan dalam diri para pelajar dari

bangku sekolah lagi agar mereka mempunyai kemahiran asas untuk menceburi

bidang usahawan. Selain itu, ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk

mempelajari dan menceburi bidang keusahawanan pada masa hadapan kelak.

Antara kepentingan kemahiran keusahawanan kepada seseorang pelajar ialah

mereka berupaya untuk merebut peluang pekerjaan. Sering kali kita lihat pada

hari ini para pelajar dan juga graduan sukar untuk mendapatkan peluang

pekerjaan terutamanya dalam sektor perkhidmatan awam. Sebahagian besar

daripada golongan graduan berandaian bahawa hanya dengan segulung ijazah

mereka mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Tanggapan ini adalah

salah sama sekali kerana kebanyakan majikan di sektor perkhidmatan awam dan

swasta menginginkan para pekerjanya memiliki kemahiran insaniah dan salah

satunya ialah kemahiran keusahawanan. Dalam pada itu, sesebuah organisasi juga

tidak akan mengambil para pekerja yang hanya sekadar memiliki ilmu

pengetahuan tetapi tidak mempunyai kemahiran dalam menghasilkan sesuatu

produk yang berkualiti.


Para pelajar perlu mengambil inisiatif untuk membentuk kemahiran insaniah

dalam diri masing-masing. Berdasarkan konteks ini, kemahiran insaniah

membuka peluang yang lebih cerah kepada para pelajar untuk mendapatkan

peluang pekerjaan. Penguasaan kemahiran keusahawanan membolehkan para

pelajar menjadi lebih kreatif untuk memulakan sesebuah perniagaan. Selain itu,

kadar pengangguran juga dapat dikurangkan apabila sektor perkhidmatan awam

dan swasta tidak dapat menawarkan sebarang peluang kerjaya kerana pelajar

tersebut mempunyai punca pendapatan sendiri hasil daripada aktiviti perniagaan.

Para pelajar yang berjaya menceburi bidang keusahawanan ini juga berupaya

mengubah kehidupannya ke arah yang lebih sempurna apabila mereka mampu

memperoleh pendapatan yang lumayan dalam masa yang singkat.

Pada era globalisasi ini, para graduan sedang berlumba-lumba untuk

merebut peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta. Namun,

bagi pelajar-pelajar yang sudah mempunyai kemahiran keusahawanan, mereka

berupaya merebut peluang pekerjaan dengan membuka perniagaan sendiri.

Kemahiran keusahawanan ini memberikan peluang yang lebih cerah kepada para

graduan dalam sektor pekerjaan berbanding individu yang hanya menguasai

bidang akademik semata-mata. Sebagai contoh, pelajar yang memiliki kemahiran

keusahawanan boleh membuka perniagaan yang sedang mendapat permintaan

tinggi daripada masyarakat seperti perniagaan kek dan bakeri, pakaian, aksesori

telefon dan sebagainya. Kebiasaannya pelajar-pelajar yang memperoleh

keputusan yang cemerlang di universiti menjadi orang bawahan kepada pelajar

yang memiliki kemahiran keusahawanan kerana mereka tidak dapat merebut


peluang pekerjaan dengan baik sebagaimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar

yang memiliki kemahiran keusahawanan.

Di samping itu, para pelajar yang mempunyai kemahiran keusahawanan juga

menjadi tumpuan kepada syarikat-syarikat besar kerana yang lebih berfokuskan

kepada pekerja yang mempunyai kemahiran dalam menguruskan hal-hal yang

berkaitan syarikat. Pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran keusahawanan

mampu mengeluarkan idea yang bernas dan kreatif dalam menghasilkan sesuatu

produk untuk dijual ke pasaran. Kemahiran-kemahiran tersebut membolehkan

sesebuah organisasi dapat menggunakan sumber-sumber pengeluaran secara

optimum untuk meningkatkan jumlah keuntungan syarikat. Sesebuah syarikat

yang berjaya memasarkan produknya sehingga ke peringkat antarabangsa akan

mengalami kerugian sekiranya melepaskan tenaga kerja yang memiliki

kemahiran keusahawanan .

Seterusnya, kemahiran keuasahawanan yang dimiliki oleh para pelajar juga

dapat dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar yang lain.

Pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kemahiran keusahawanan boleh

menjadikan seseorang pelajar yang dilengkapi dengan kemahiran keusahawanan

untuk memulakan sesebuah perniagaan. Oleh hal yang demikian, kemahiran

keusahawanan mampu melahirkan para pelajar yang sentiasa melihat dan mencari

peluang pekerjaan yang sedia ada. Selain itu, kemahiran keusahawanan juga

membentuk individu yang tidak mudah berputus asa untuk mencari peluang

pekerjaan kerana insah yang sentiasa berusaha akan membawa pulangan yang

lumayan.
Sebagai contoh, usahawan yang bijak dan sentiasa merebut peluang

pekerjaan iaitu Mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew merupakan pemilik

kepada syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd. Kegigihan beliau yang sentiasa

berusaha dalam merebut peluang pekerjaan dengan membuka perniagaan kedai

motosikal setelah menyedari akan kelebihan motosikal Honda yang lebih kecil

dan ringan jika dibandingkan dengan motosikal keluaran negara Eropah. Usaha

beliau yang sentiasa mencari peluang-peluang perniagaan telah membuahkan

hasil yang lumayan apabila beliau mampu menjadi sebagai seorang pengeluara

motosikal yang ternama.

Secara keseluruhannya, situasi ini jelas menunjukkan bahawa kemahiran

keusahawanan mampu melahirkan para pelajar yang cekap dan berdaya saing

dalam merebut peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan di negara ini.

Kemahiran keusahawanan adalah sangat penting bagi pelajar khususnya para

graduan yang sedang berusaha untuk mengisi segala kekosongan dalam pelbagai

sektor pekerjaan selari dengan pembangunan ekonomi negara Malaysia menuju

ke arah aplikasi negara maju. Kemahiran keusahawanan yang didedahkan kepada

para pelajar bermula dari bangku sekolah lagi mampu mempersiapkan pelajar

dari segi pemikiran untuk melihat realiti kerjaya pada masa ini agar lebih bijak

memilih bidang pekerjaan yang boleh membantu mereka untuk meneruskan

kehidupan pada era yang lebih mencabar.


2.4 Kebolehan Merancang Peluang Perniagaan Pada Masa Hadapan

Kemahiran keusahawanan merupakan kemahiran yang perlu dicungkil dalam

diri seseorang pelajar. Kebolehan untuk merancang peluang perniagaan pada

masa hadapan merupakan manfaat yang dapat diperolehi daripada kemahiran

keusahawanan yang dipelajari oleh seseorang pelajar. Peluang merupakan suatu

keadaan yang dapat memberi manfaat atau membawa kejayaan kepada individu.

Kebiasaannya peluang datang kepada seseorang itu dalam keadaan yang tidak

pasti. Hanya seseorang yang mempunyai kemahiran keusahawanan sahaja

mampu untuk merebut peluang perniagaan yang wujud sebelum terlambat.

Kebolehan untuk merancang perniagaan merupakan suatu aspek yang terpenting

dalam sesebuah perniagaan kerana perkara ini akan menentukan kejayaan

sesebuah perniagaan untuk mencapai matlamat yang ingin dikecapi.

Rancangan perniagaan terdiri daripada dokumen bertulis yang menjelaskan

tentang hala tuju perniagaan secara lebih mendalam. Dokumen perniagaan ini

merupakan rancangan awal perniagaan yang menjelaskan pelbagai bentuk kajian

yang telah dilakukan dan usaha-usaha yang akan dilaksanakan pada masa akan

datang untuk membangunkan perniagaan agar dapat berkembang maju.

Sehubungan dengan itu, ramalan dan jangkaan terhadap keadaan yang akan

berlaku pada masa hadapan serta strategi perniagaan yang akan dilakukan perlu

dititikberatkan untuk meningkatkan mutu perniagaan berbanding pesaing-pesaing

sedia ada. Sesebuah perniagaan yang dibangunkan akan bermula daripada

peluang-peluang yang telah dikenalpasti untuk memajukan perniagaan. Matlamat

utama seseorang usahawan adalah untuk memaksimumkan keuntungan dan

meminimumkan kerugian di samping sentiasa berusaha untuk mengembangkan


perniagaan. Oleh itu, pendedahan kemahiran keusahawanan kepada para pelajar

amat penting dalam era perubahan dunia keusahawanan pada masa ini.

Seseorang usahawan seharusnya menguasai kemahiran-kemahiran tertentu

agar dapat menghasilkan idea-idea perniagaan kepada peluang perniagaan yang

lebih berkembang maju. Kemahiran keusahawanan penting untuk para pelajar

agar dapat bertahan dalam dunia perniagaan. Menurut Van Gelderen (2007),

kemahiran keusahawanan ialah suatu kebolehan atau kemampuan yang

diterjemahkan dalam kelakukan atau tindakan seseorang usahawan. Kemahiran

keusahawanan mencakupi kemampuan untuk merancang perniagaan baharu pada

masa hadapan.

Menurut Madura pada tahun 2007 dan Zimmerer & Scarborough pada tahun

2005 menetapkan bahawa strategi untuk merancang perniagaan memerlukan

kemahiran asas dalam perniagaan yang meliputi aspek-aspek utama seperti

kemahiran mencari maklumat tentang produk atau perkhidmatan yang akan

dipasarkan kepada orang ramai. Seseorang usahawan perlu menyatakan

maklumat berkenaan suatu jenis produk atau perkhidmatan secara terperinci

sebelum ditawarkan kepada pelanggan. Usahawan juga harus menerangkan

kaedah atau bentuk pengeluaran produk dan perkhidmatan serta teknologi yang

akan digunakan dalam proses penyediannya. Selain itu, kuantiti pengeluaran

produk juga akan mempengaruhi kos operasi yang lain. Sebagai contoh, kos

pengeluaran sesuatu produk merangkumi kos penyediaan bahan mentah dan kos

pembayaran gaji sumber modal insan.


Seterusnya, kebolehan merancang perniagaan juga melibatkan sasaran

pengguna yang akan menggunakan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Usahawan harus mengenalpasti terlebih dahulu ciri-ciri pengguna yang akan

disasarkan contohnya pembukaan gerai burger di tempat tumpuan ramai dalam

kalangan pelajar universiti. Perancangannya tidak berakhir pada tahap itu sahaja

sebaliknya seseorang usahawan perlu merancang untuk jangka masa yang lama

sehingga ke tahun yang seterusnya. Pembukaan gerai burger ini juga memerlukan

perancangan yang rapi untuk mengembangkan lagi perniagannya agar terus maju

ke hadapan dan mengurangkan risiko kerugian. Oleh hal yang demikian,

usahawan tersebut boleh merancang untuk menambahkan lagi menu-menu lain

yang memenuhi cita rasa pelanggan dalam kalangan pelajar universiti.

Di samping itu, seseorang pelajar yang menguasai kemahiran keusahawanan

juga perlu menitikberatkan aspek persaingan yang wujud dalam pasaran.

Sekiranya produk yang dipasarkan mempunyai kadar persaingan yang tinggi,

maka usahawan perlu mencari dan dan merangka strategi pemasaran yang ingin

dikeluarkan agar ciri-cirinya berbeza misalnya dari segi pembungkusan,

pengiklanan, rasa dan warna yang unik agar dapat menarik minat pelanggan

untuk membeli. Strategi pemasaran merupakan aspek yang penting dalam

perniagaan. Strategi ini yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan produk

yang bakal dipasarkan. Jika perancangan pemasaran yang dilaksanakan idak

mampu menarik perhatian pembeli, maka usahawan hendaklah memikirkan

strategi lain yang lebih menarik. Sehubungan dengan itu, usahawan perlu

menyatakan strategi promosi yang ingin digunakan sama ada menggunakan cara

pengiklanan melalui media massa atau sebagainya. Selain itu, strategi dalam
peletakan harga perlu diterangkan dengan jelas untuk membina keyakinan dalam

kalangan pengguna terhadap produk yang ditawarkan. Setelah perniagaan yang

dijalankan semakin maju, usahawan boleh mengembangkan lagi perniagannya di

tempat yang lain dengan membuka cawangan baru.

Akhir sekali, perancangan perniagaan turut merangkumi aspek pengurusan

dan kewangan. Aspek ini lebih tertumpu kepada kemahiran tenaga pekerja yang

akan digunakan sepanjang proses pengeluaran dilaksanakan Sebagai contoh

aspek pengurusan ini melibatkan kemahiran dan kelulusan akademik yang

dimiliki oleh pekerja, perbelanjaan yang melibatkan pembayaran gaji, kos bahan

mentah dan sebagainya. Kesemua aspek pengurusan ini perlu disatukan dalam

dokumen rancangan perniagaan yang akan dibentuk. Selain itu, usahawan perlu

membuat anggaran keuntungan yang akan diperolehi dalam suatu tempoh masa

yang tertentu. Anggaran ini boleh menentukan kejayaan seseorang usahawan

terhadap pelaburan yang dilakukan untuk menjayakan sesebuah organisasi.

Kesimpulannya, kemahiran keusahawanan penting untuk disemai dalam diri para

pelajar pada usia yang muda lantaran kemahiran ini boleh melahirkan individu

yang berkebolehan untuk merancang perniagaan mereka pada masa hadapan agar

dapat bertahan dalam jangka masa yang lama.


2.5 Meningkatkan Kebolehpasaran Pelajar

Faktor kebolehpasaran pelajar merupakan salah satu aspek yang berkait rapat

dengan isu kadar pengangguran negara. Persekitaran pasaran pekerjaan yang kian

mencabar dengan persaingan yang sengit antara rakyat tempatan menyebabkan

sebahagian besar graduan universiti gagal bersaing untuk mendapatkan pekerjaan.

Kemahiran keusahawanan penting bagi para pelajar kerana kemahiran ini mampu

meningkatkan kebolehpasaran pelajar setelah menamatkan pengajian pada

peringkat universiti dan melangkah ke alam pekerjaan. Kebolehpasaran yang

dimaksudkan dalam konteks ini ialah kebolehpasaran graduan atau pelajar

universiti. Kebolehpasaran tidak mempunyai suatu definisi yang tunggal namun

menurut definisi dalam bidang literasi, kebolehpasaran secara umumnya

bermaksud kebolehan ataupun ciri seseorang invidu untuk memperolehi

pekerjaan. Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih komprehensif, Knight dan

Yorke (2004) mendefinisikan kebolehpasaran ‘employability’ sebagai ‘A set of

achievements, understandings and personal attributes that make individuals more

likely to gain employment and to be successful in their chosen occupations.’.

Perkara ini memperlihatkan bahawa kebolehpasaran pelajar tidak hanya

bergantung dengan pencapaian akademik semata-mata tetapi juga perlu melihat

kepada aspek pengalaman, pengetahuan serta perwatakan peribadi pelajar.

Para pelajar yang bergiat aktif dalam bidang keusahawanan memperolehi

pelbagai jenis kemahiran kerjaya dan perwatakan yang membuatkan mereka lebih

menonjol sebagai seorang graduan universiti. Berdasarkan suatu tinjauan

mengenai nilai kebolehpasaran belia Malaysia dalam sektor antarabangsa, antara

ciri-ciri yang perlu ada dalam graduan universiti selain daripada berkemahiran
berbahasa Inggeris, ialah kemahiran berkomunikasi, berkepimpinan tinggi,

mempunyai personaliti yang unggul, bersikap positif, kemahiran menyelesaikan

masalah atau kemahiran bekerja berpasukan dan berciri serba boleh (Azizah

Yaacob, Hazita Azman, Norizan Abdul Razak, Sallehudin Abdul Aziz dan Wong

Fook Fei, 2005). Kemahiran berbahasa Inggeris dapat diperkasa melalui sesi

pembelajaran di institusi pengajian pelajar itu tersendiri, namun ciri-ciri lain yang

tersenarai agak sukar untuk dibentuk dalam keperibadian pelajar jika hanya

bergantung dari segi penglibatan akademik sahaja. Oleh itu, para pelajar wajar

bergiat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan mengasah kemahiran

keusahawanan mereka agar dapat membentuk perwatakan yang telah disebutkan

dalam tinjauan tersebut.

Dalam perbahasan ini, kemahiran keusahawanan boleh melahirkan seseorang

pelajar yang mampu menyelesaikan masalah secara efektif kerana sesebuah

perniagaan yang dibangunkan akan menghadapi pelbagai rintangan dan

permasalahan yang perlu diselesaikan. Selari dengan persekitaran yang mencabar

ini, pelajar mampu melatih minda mereka untuk berfikiran secara rasional dan

kritikal bagi menyelesaikan masalah dengan berkesan. Pada masa yang sama,

pelajar boleh mengasah kemahiran kepimpinan melalui pengalaman penyelesaian

masalah kerana mereka dapat mempertimbangkan pilihan dan pelan tindakan

yang perlu diambil untuk memberikan hasil ataupun senario terbaik ketika

berhadapan dengan pilihan yang sukar. Selain itu, komunikasi yang berkesan

sentiasa dipraktikan dalam bidang keusahawanan secara berterusan bagi

memastikan pertumbuhan sesebuah perniagaan. Hal ini bermakna pelajar dapat

mengasah kemahiran berkomunikasi secara dua hala melalui interaksi bersama


pelanggan atau rakan kongsi perniagaan. Lantaran itu, kolaborasi antara rakan

kongsi dapat memupuk kemahiran bekerja secara berpasukan dalam diri

seseorang pelajar.

Selain itu, pelajar juga dapat merasai sendiri pengalaman bekerja dan

mempraktikan nilai-nilai toleransi serta aspek professionalisme antara sesama

rakan kongsi dalam sesebuah organisasi. Aspek tersebut adalah penting untuk

diterapkan dalam diri seseorang pelajar memandangkan sesebuah syarikat atau

organisasi terdiri daripada barisan kakitangan yang mempunyai latar belakang

yang berbeza. Natijahnya, segala isu dan perbezaan pendapat yang dilontarkan

oleh rakan kongsi mampu diselesaikan melalui toleransi yang baik serta

kerjasama bagi mencapai objektif organisasi. Justeru, pengalaman yang diperoleh

sepanjang kegiatan dalam bidang keusahawanan tersebut mampu membentuk

pelajar menjadi individu yang serba boleh dan mempunyai personaliti yang

unggul.

Seterusnya, kemahiran keusahawanan membantu pelajar untuk sentiasa peka

dengan tren terkini pasaran semasa. Semua aspek ini meliputi corak dominan

pasaran serta permintaan dan perlakuan pengguna berdasarkan realiti dunia kini

yang lebih beralih kepada alam siber. Dengan adanya pengetahuan mengenai

aspek-aspek tersebut, pelajar dapat melakukan analisis tren pasaran semasa dan

mampu meramal potensi pertumbuhan perniagaan untuk merancang langkah yang

seterusnya bagi memperluas peluang perniagaan. Sebagai contoh, seseorang

graduan universiti yang mempunyai kemahiran keusahawanan mampu melihat

potensi yang besar bagi sesuatu produk untuk mencapai pasaran luar negara
melalui platform media sosial dengan menggunakan strategi pemasaran secara

atas talian terutama sekali dalam keadaan pandemik kini.

Kemahiran keusahawanan ini boleh melahirkan graduan yang kreatif dan

inovatif serta bijak mengadaptasikan tindakan serta pemikirannya berdasarkan

situasi semasa. Hal ini membolehkan graduan tersebut lebih menonjol pada

pandangan para majikan berbanding dengan graduan-graduan yang lain.

Perkembangan industri perniagaan yang selari dengan perkembangan teknologi

maklumat menyebabkan sesetengah majikan memilih untuk merekrut pekerja

yang berkemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dalam

tempoh yang singkat agar perbelanjaan untuk memberi latihan kepada para

pekerja dapat dikurangkan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pemupukan

kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar dapat meningkatkan daya

kemampuan graduan untuk mengadaptasikan diri dengan persekitaran pekerjaan

kelak.

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa pelajar yang menguasai

kemahiran keusahawanan dapat membina prospek kerjaya yang cerah kerana

mereka mempunyai ciri-ciri personaliti yang berkualiti serta mampu berdaya

saing dalam pasaran pekerjaan. Kemahiran keusahawanan juga memberi ruang

kepada pelajar yang bakal bergelar graduan universiti untuk membina perwatakan

unggul yang membolehkan individu tersebut lebih menonjol berbanding

graduan-graduan yang lain. Maka, jelaslah bahawa kemahiran keusahawanan

wajar didedahkan kepada para pelajar.


2.6 Penyesuaian dan Perkembangan Generasi akan Datang

Sepertimana yang kita tahu, ia merupakan hukum alam bahawa segalanya

akan diperbaiki, berkembang, dinaiktarafkan, serta mempunyai asas baharu dari

masa ke masa. Keusahawanan juga tidak berbeza. Dunia telah berkembang pesat

terutama dalam 50 tahun kebelakangan ini dan begitu juga makna usahawanan.

Pengalaman keusahawanan atau bantuan pendidikan belia mengembangkan

kemahiran baru yang dapat diterapkan cabaran lain dalam hidup. Kemahiran

bukan kognitif, seperti kebolehan untuk mengiktirafkan peluang, berinovasi,

kemahiran untuk memupunyai fikiran kritikal, ketahanan, membuat keputusan,

kerja berpasukan, dan kepimpinan akan memberi manfaat kepada semua belia

sama ada atau tidak mereka berhasrat untuk menjadi atau meneruskan sebagai

usahawan

Seorang yang berjaya adalah seorang yang mampu melihat apa yang sedang

berlaku serta menjangka semua kemungkinan yang boleh berlaku, dan bertindak

dengan berani untuk menghadapi apa-apa cabaran dan risiko yang mungkin hadir

dengan sendirinya. Sebagai contoh, ahli perniaga yang berniaga secara

pemborong dan peruncit melawan ahli perniaga yang berniaga di atas talian

secara “dropshippers” semasa waktu pandemik Covid-19 yang telah merebak ke

seluruh dunia tanpa diduga. Pada suatu masa, di mana orang masih lebih suka

membeli-belah secara fizikal, kerana peristiwa Covid-19 yang tidak dijangka, ia

telah mengubah pemikiran semua orang dan mempengaruhi mereka untuk melihat

ke arah membeli-belah di atas talian. Melalui kejadian ini, perniagaan-perniagaan

yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan perdagangan dapat

mempertahankan bisnis mereka sementara mereka yang tidak dapat mengatasi


terpaksa menutup operasi mereka. Malah, individu-individu yang kehilangan

pekerjaan ataupun mempunyai keinginan untuk memperoleh pendapatan

tambahan juga dapat mengembangkan diri mereka dalam cara perdagangan di

atas talian mengikut keadaan.

Pekerjaan tradisional untuk kehidupan kerjaya telah menjadi jarang akibat

populasi manusia lebihan telah mengurangkan peluang pekerjaan yang dapat

ditawarkan dan keusahawanan belia perlu ada dilihat sebagai kaedah tambahan

untuk membenarkan golongan muda ke pasaran buruh dan mempromosikan

penciptaan pekerjaan. Organisasi dan inisiatif seperti ILO20, Pertubuhan

Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan YBI menekankan sejumlah kelebihan

positif tambahan untuk merangsang keusahawanan belia kerana orang muda lebih

inovatif dan kerap mencipta bentuk kerja bebas yang baru disebabkan oleh

teknologi yang turut kembang dari masa ke masa.

Pelajar perlu belajar bagaimana mengenal pasti masalah sebelum mereka

belajar menyelesaikannya. Penyelesaian masalah telah diajar di sekolah selama

beberapa dekad - tetapi perkara yang sama tidak dapat dikatakan untuk mengenal

pasti masalah. Secara tradisinya, penyelesaian masalah diajarkan dengan

menghadirkan pelajar dengan masalah yang sudah ditentukan dengan jelas oleh

orang lain. Di dunia nyata, masalah hanya dapat diselesaikan apabila mereka telah

dikenalpasti dan dijelaskan dengan betul. Pendidikan keusahawanan mengajar

anak-anak untuk mengenal pasti masalah yang belum pernah mereka hadapi

sebelumnya - suatu kemahiran yang akan sangat berguna di dunia esok.


Dalam buku terlarisnya "Grit : The Power of Passion and Perseverance"

penyelidik dan profesor psikologi di University of Pennsylvania, Angela

Duckworth menyatakan bahawa "grit" ataupun dalam perkataan yang lebih

mudah difahami, keazaman seseorang, mungkin merupakan satu-satunya faktor

terpenting dalam kejayaan jangka panjang seseorang. Menurut Duckworth, grit

terdiri dari semangat dan ketekunan berterusan yang diterapkan ke arah

pencapaian jangka panjang.

Penyelidikannya menunjukkan bahawa nilai, kecerdasan, dan status

sosioekonomi tidak sesuai dengan ciri yang dia definisikan sebagai "grit."

ataupun keazaman seseorang. Perjalanan keusahawanan yang menuntut dan tidak

menentu memerlukan lebih banyak semangat dan ketekunan yang berterusan

daripada kebanyakan aktiviti lain. Ini menjadikan program yang berfokus kepada

keusahawanan sesuai untuk mengembangkan kepujian pada pelajar anda.

Kita hidup dalam era transformasi global dan teknologi yang belum pernah

terjadi sebelumnya. Pelajar hari ini menghadapi masa depan yang tidak menentu

yang penuh dengan masalah global, sosial, dan persekitaran yang kompleks.

Menurut tinjauan Future of Jobs World Economic Forum, separuh daripada

aktiviti kerja hari ini dapat automatik pada tahun 2055, mewujudkan peranan,

tanggungjawab, dan tantangan baru bagi tenaga kerja masa depan.

Oleh itu, kita tidak dapat meramalkan dengan tepat apa yang perlu diketahui

oleh pelajar kita setelah mereka menamatkan pengajian. Program yang

memfokuskan keusahawanan mengajar pelajar kemahiran hidup penting yang


akan membantu mereka menjalani masa depan yang tidak menentu ini.

Kemahiran ini merangkumi penyelesaian masalah, kerja berpasukan, empati, serta

belajar menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada proses pertumbuhan.

Walaupun setiap pelajar boleh mendapat manfaat daripada pendidikan yang

memfokuskan keusahawanan, kanak-kanak perempuan berdiri untuk memperoleh

yang terbaik daripadanya, terutamanya kanak-kanak sekolah menengah dan bagi

mereka yang menjalani pendidikan di universiti. Kekurangan perwakilan wanita

yang berkelayakan dalam kedudukan kepemimpinan telah mewujudkan jurang

gender yang wujud di hampir setiap industri. Pendidikan keusahawanan

membolehkan gadis mengembangkan kemahiran kepemimpinan mereka,

merangkul sisi kompetitif mereka, dan belajar untuk mengambil lebih banyak

risiko. Ia sangat berkesan apabila dipraktikkan dalam suasana kelas satu seks,

yang membolehkan kanak-kanak perempuan meneroka minat dan minat mereka

dalam persekitaran yang bebas dari stereotaip gender dan tekanan sosial.
3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, bidang keusahawanan merupakan salah satu bidang yang

semakin diminati dari semasa ke semasa oleh masyarakat khususnya para pelajar yang

telah menamatkan pengajiannya pada peringkat universiti. Manfaat yang diperoleh

melalui bidang keusahawanan ini telah membuka minda masyarakat bahawa bidang

peniagaan merupakan bidang pekerjaan yang mampu menjana pendapatan yang

lumayan kepada pihak yang terlibat. Malah, para pelajar juga dapat melihat bahawa

sebahagian besar daripada golongan muda yang berjaya pada hari ini terdiri daripada

golongan yang menceburi bidang keusahawanan. Kejayaan para usahawan muda

dalam bidang perniagaan menjadi sumber inspirasi yang mendorong masyarakat

untuk mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Momentum dan semangat

keusahawanan yang wujud dalam kalangan masyarakat ini seharusnya dikekalkan

memandangkan bidang perniagaan mampu melahirkan individu yang boleh

menyumbang sumber pendapatan negara melalui cukai pendapatan.

Kepesatan pembangunan dari segi kecanggihan teknologi pada era globalisasi

ini dapat membantu merancakkan lagi sektor perniagaan di negara kita. Kini,

seseorang usahawan boleh menjalankan perniagaan secara atas talian tanpa perlu

menyewa lokasi untuk berniaga. Terdapat pelbagai platform yang boleh digunakan

oleh masyarakat untuk memulakan dan mempromosikan produk serta perkhidmatan

mereka iaitu melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Shopee, Lazada dan

sebagainya. Kemahiran keusahawanan yang didedahkan kepada seseorang pelajar

sama ada di peringkat pengajian rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi boleh

dijadikan sebagai kemahiran asas yang dapat membantu pelajar untuk mengendalikan

perniagaaan dengan baik pada masa hadapan kelak. Kemudahan teknologi perniagaan
secara atas talian yang terdapat pada era pemodenan ini perlu digunakan sebaiknya

sebagai satu strategi pemasaran yang efektif bagi pelajar yang baru menceburi bidang

keusahawanan ini. Setiap pelajar perlu diberi pendedahan awal berkaitan kemahiran

keusahawanan bermula dari bangku sekolah lagi untuk memupuk minat mereka dalam

bidang perniagaan agar usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang

berjaya dapat direalisasikan ke arah mencapai status negara maju.


RUJUKAN

Ahmad, K. (2015). Kemahiran Keusahawanan: Satu Kajian Analisis Kandungan

Buku-Buku Teks. Diakses daripada : https://core.ac.uk/reader/12005580.

Azizah Yaacob, Hazita Azman, Norizan Abdul Razak, Sallehudin Abdul Aziz dan

Wong Fook Fei, (2005). Nilai Kebolehparan Belia Malaysia Di sektor Syarikat

Antarabangsa : Satu Tinjauan Awal .

Kao J. (1995). Entrepreneurship: A Wealth-Creation and Valueadding Process.

Singapore: Prentice Hall.

Knight, P. dan Yorke, M. (2004). Learning, Curriculum and Employability in Higher

Education London : RoutledgeFalmer.

Mastura Jaafar @ Mustapha. (2018). Merealisasikan Keusahawanan: Pelaksanaan

dan Cabaran. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia.

Muhammad Haron Husaini dan Khairul Anuar Ahmad. (2008). Kemahiran

Keusahawanan. Diakses daripada : http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/129/1/m

uhammad_haron_husaini.pdf.

Mohd Syahrir Rahim, Ahmad Zamil Abd. Khalid, Sahadah Hj. Abdullah, Syahrina

Abdullah, Saudah Ahmad, Norria Zakaria, … Donny Abdul Latief Poespowidjojo

(2017). Asas Keusahawanan: Ke Arah Pengukuhan Minda dan Kemahiran

Keusahawanan. Kedah : Universiti Utara Malaysia.


Norasmah Hj. Othman, Zaidatol Akmaliah Lope Pihie, Mohd Ibrahim Nazri dan

Rohani Ahmad Tarmizi. (2003). Aplikasi Model Kolb dalam Program

Keusahawanan Remaja. Jurnal Teknologi, 38(E), 49-64.

Norfadhilah Nasharudin & Halimah Harun (2010). Aspirasi Kerjaya Keusahawanan

dalam Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam. Jurnal Pendidikan

Malaysia, 35(1), 11-17.

Norasmah, H. O., & Salmah, I. (2011). Kecenderungan terhadap pemilihan kerjaya

keusahawanan mengikut persepsi skim usahawan siswa. Jurnal Teknologi, 56,

47-63.

Nurain binti Daud. (2012). Graduan Bekerja Sendiri Vs Graduan Makan Gaji.

diakses daripada : http://www.ukm.my/monline/graduan-bekerja-sendiri-vs-

graduan-makan-gaji.html

Rahman, N. (2017). Topik 4 : MENGENAL PASTI PELUANG PERNIAGAAN.

Diakses daripada : https://tlkm2001.tripod.com/lpk/sem1tjk4.htm.

Sarimah Che Hassan, Norlizah Che Hassan, dan Prof Madya Dr Nor Aisyah Buang.

(2010). Penguasaan Kemahiran Insaniah (Kemahiran Keusahawanan) Dalam

Kalangan Guru Sekolah Di Malaysia. Jurnal Pendidikan, 4, 1-12.

Syed zakaria, S. A. (2007). Rancangan Perniagaan. Diakses daripada :

https://books.google.com.my/books?hl=en.

Tolbert. (1974). Counseling for Career Development. Jurnal Of Education, A, 1-24.

You might also like