You are on page 1of 19

Nilai Ekonomi Bahasa Melayu [Translate] Masih banyak orang khususnya dalam kalangan mereka yang berkecimpung dengan

dunia perniagaan percaya dongeng bahawa bahasa kebangsaan negara ini iaitu bahasa Melayu tidak mempunyai sebarang nilai ekonomi justeru tidak digunakan bagi tujuan iklan dan perhubungan rasmi dan tidak rasmi dalam urusan perniagaan atau perdagangan sekalipun di peringkat dalaman syarikat sahaja termasuk urusan domestik, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Benarkah kenyataan ini? Penulis telah membayangkan jawapannya dengan menggunakan perkataan dongeng. Sejarah kita sendiri telah membuktikan bahawa di alam Melayu atau kepulauan Melayu di nusantara ini, bahasa Melayu telah digunakan sejak berabad-abad dahulu lagi oleh semua pedagang yang berurusan di sini sama ada dari Eropah, China, Gujerat India, Portugis, Belanda dan lain-lain dalam perdagangan rempah-ratus, kain-baju, herba, ubat-ubatan, makanan dan sebagainya. Merenung Melaka sebagai sebuah empayar perdagangan pada suatu ketika dahulu bukanlah untuk tujuan nostalgia tetapi mengambil pengajaran mengapa Melaka maju sebagai pusat perdagangan dan bahasa Melayu berkembang dengan penggunaannya sebagai bahasa perdagangan di samping bahasa perhubungan diplomatik. Bagaimana sesuatu bahasa mendapat nilai yang tinggi? Tidak lain dan tidak bukan apabila penuturnya sendiri menggunakannya pada masa-masa tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Penuturnyalah yang menentukan ( atau undang-undang dan peraturan?) sama ada bahasa itu mahu digunakan di pasar ikan dan peniaga di kaki lima sahaja atau sebenarnya mahu digunakan sehingga di gedung- gedung ternama, di hotel-hotel, dalam mesyuarat, persidangan peringkat kebangsaan sahaja atau hatta peringkat antarabangsa, perniagaan runcit sahaja atau juga dalam urusan perbankan dan perdagangan luar negara. Mengambil contoh mudah, misalnya pada satu ketika dahulu, ulam-ulaman seperti ulam raja dan pegaga hanya tumbuh di bawah-bawah tangga rumah di kampung, tak banyak orang yang beria-ria mencari petai, jering, pucuk paku, air kelapa muda, buah mengkudu, buah durian belanda, kacip fatimah, tongkat ali, daun serapat, daun sirih dan seumpamanya. Tetapi kini segala ulaman tersebut telah memasuki hotel terkemuka. Kajian yang membuktikan khasiat tertentu seperti buah mengkudu, sirih dan lain-lain telah menyebabkan banyak orang bersedia membeli jus mengkudu sekalipun harganya mencecah puluhan malah ratusan ringgit di samping minuman herba tempatan yang sudah dikomersialkan dan menjadi industri yang sangat menguntungkan. Dahulunya orang mencari bahan atau ubatan import seperti kapsul import dari Eropah di gedung farmasi berbanding kapsul herba tempatan yang dipandang rendah. Orang lebih selesa dengan salad dan mayonis. Pernah pada satu ketika santan kelapa sukar dicari kerana buah kelapa tidak sempat menjadi tua kerana sejak mudanya telah diambil orang. Tetapi kini keadaan sudah berbeza. Jika kita sendiri yang menetapkan bahawa bahasa Melayu hanya boleh digunakan semasa makan di kafeteria atau di pondok pengawal dan tidak boleh digunakan dalam mesyuarat syarikat atau hanya bahasa Inggeris sahaja dalam brosur, iklan syarikat dan bungkusan produk maka kitalah yang sebenarnya merendahkan nilai atau tegasnya nilai ekonomi bahasa tersebut dan bukannya bahasa itu yang bernilai rendah atau tidak mampu dan dipersalahkan. Bahasa itu telah lengkap dengan laras dan istilahnya untuk digunakan. Kitalah sebenarnya yang bersalah kerana memandulkan

keupayaannya dengan menetapkan secara paksa akan had-had penggunaan bahasa tersebut begitu dan begini sedangkan keupayaan bahasa tersebut jauh menjangkau lebih daripada itu malah sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai bahasa ilmu dan sebagainya. Kitalah yang perlu menetapkan nilai ekonomi yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan dengan menunjukkan keutamaan penggunaan jenama produk, iklan, pembungkusan, pengumuman dan sebagainya. Dalam satu pertemuan berkaitan dengan pelaksanaan bahasa kebangsaan baru-baru ini, penulis dimaklumkan oleh pegawai kanan Bank Negara Malaysia bahawa sebuah bank perdagangan asing di Malaysia telah turut menggunakan bahasa Melayu dalam urusannya. Tentulah ini merupakan sesuatu yang amat dibanggakan berbanding cerita yang ironi tentang sebuah bank tempatan yang dikatakan enggan memberi nilai ekonomi yang lebih tinggi terhadap bahasa kebangsaan negaranya sendiri. Kita juga sebenarnya ingin bertanya, jika sesebuah gedung itu tidak bernama Midvalley Megamall, Lot Ten, Sunway Piramid, Berjaya Times Square, KB Mall, One Borneo Mall, Bangsar South, BBPark, akan berkurangkah penyewa atau pengunjungnya sekalipun barangan yang dijual berkualiti termasuk barangan yang diimport? Mungkin kita tidak perlu risau dan dapat menerima jika cuma beberapa kerat sahaja yang berjenama asing itu tetapi malangnya ketara sekali yang berjenama asing itu terlalu banyak jumlahnya sehingga menenggelamkan jati diri kebangsaan negara ini. Selain jenama produk yang sememangnya milik rangkaian antarabangsa, sepatutnya yang lain perlu memaparkan citra dan jati diri kebangsaan negara ini dan kita tidak perlu berkompromi lagi setelah usia negara melebihi lima-puluh tahun. Jika dibiarkan kita percaya status sedia ada akan berterusan sampai bila-bila. Justeru usaha secara lembut dan diplomasi perlu digantikan dengan penguatkuasaan undang-undang sahaja oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan dan Dewan Bahasa dan Pustaka misalnya. Bagi sektor awam mungkin tidak banyak masalah kerana keterikatannya dengan undangundang dan peraturan tetapi tetap ada ruang yang perlu ditambah baik. Pihak DBP juga misalnya perlu memastikan penguatkuasaan semula peraturan mengembalikan sebarang surat bagi urusan berkaitan dengan jabatan kerajaan dan kementerian yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu jika pengirimnya warganegara ini atau organisasi tempatan seperti yang pernah dilakukan semasa allahyarham Tun Syed Nasir Ismail mengepalai DBP pada satu ketika dahulu sebagai suatu pengajaran berterusan agar bahasa kebangsaan tetap dihormati, dulu, kini dan selamanya dan bukannya semasa perayaan Bulan Bahasa Kebangsaan sahaja. Kamal Shukri Abdullah Sani

Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional Date: Thursday, October 13 @ 09:31:23 MYT

Topic: Fokus Isu Oleh PROF DR AWANG SARIYAN

Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun bangsa dan negara untuk waktu mendatang memerlukan waktu dan kaedah yang serapi-rapinya. Perlu ada sesi khas untuk sumbang saran pelbagai pihak dan perlu ada pendokumentasian strategi perancangan itu, sebagai pelan tindakan yang menerjemahkan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Namun, dalam syarahan ini saya sekadar mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan dapat membantu sedikit banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh setengah abad mendatang. 1. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu i. Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Jika Kerajaan bersedia meminda atau memperluas Akta DBP dalam hal pemberian kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang salah di tempat awam, maka tindakan yang sama hendaklah dikenakan kepada sesiapa jua yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan dipandang serius oleh semua pihak, sama dengan seriusnya tindakan kepada orang yang melanggar undang-undang negara yang lain. Amatlah ironis halnya apabila penguatkuasaan undang-undang pembuangan sampah yang tidak menentu dan kesalahan lalu lintas, misalnya, diberi perhatian, tidak pula undang-undang melanggar peruntukan Perlembagaan negara yang berkaitan dengan dasar bahasa atau akta pendidikan yang memperuntukkan

bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama tidak diberi perhatian sama sekali. ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah penggunaannya. Mana-mana pengecualian yang tidak munasabah tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi (termasuk perdagangan). Beberapa undang-undang yang berkaitan dengan bidang perdagangan yang selama ini menyekat penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu disebabkan akta yang berkaitan telah luput tarikh (sebilangannya diaktakan sebelum atau pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan unsur penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta pindaan itu. iii. Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1) Akta Pendidikan 1996 hendaklah dikuatkuasakan dalam sistem pendidikan negara. Langkah mengembalikan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dan subjek teknikal dalam bahasa Melayu baru-baru ini hendaklah disusuli dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat tingkatan enam, matrikulasi dan pengajian tinggi. Bahasa Melayu sebagai salah subjek wajib, termasuk di IPTS sebagaimana yang ditetapkan dalam akta tersebut hendaklah dilaksanakan. iv. Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai lapisan khalayak perlu dijadikan agenda negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Berhad, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badanbadan lain hendaklah digerakkan agar benar-benar memenuhi tanggungjawab sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok dewasa, remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun elektronik. Perlu ada dana yang khusus untuk menjayakan agenda memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu. v. Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang pentadbiran. Jabatan ini boleh ditempatkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab memastikan mutu perkhidmatan yang baik. vi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan perancangan bahasa dan sastera kebangsaan hendaklah diberi wewenang sebagaimana yang seharusnya. Gangguan terhadap pelaksanaan badan tersebut sebagai badan yang diberi amanah memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan, khususnya oleh pemimpin negara tidak seharusnya wujud. Bidang kuasa dan tujuan DBP ditubuhkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak harus terganggu oleh arahan semasa yang bertentangan dengan Akta DBP sendiri. Usahlah diletakkan pimpinan dan karyawaan DBP dalam dilema, antara melaksanakan misi negara dengan memenuhi arahan yang tidak menepati misi tersebut. Dalam pada itu, kepemimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka pula perlu berusaha memenuhi tujuan-tujuan badan itu ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan kehendak semasa pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan DBP. DBP perlu terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya, bukan mengurangkan atau menghentikan kegiatan dan projek. Penghematan berbelanja dalam pelaksanaan projek bererti halus dan teliti dalam cara berbelanja, dan hal itu pasti disokong penuh, tetapi tidak harus sampai tidak berbelanja untuk projekprojek yang penting untuk kemajuan bahasa, sastera dan ilmu semata-mata kerana hendak memberikan kesan kepada tuan politik bahawa pemimpin DBP pandah berhemat (tetapi sebenarnya tidak memenuhi amanah menjayakan misi memajukan dan mengembangkan bahasa dan persuratan negara. 2. Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu tinggi i. Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta perlu dirancang untuk membudayakan atau memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi. Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan langkah positif yang dapat dimanfaatkan untuk turut membudayakan penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mudahmudahan komponen bahasa Melayu tinggi dapat diintegrasikan dalam pelaksanaan kempen tersebut. Konsep bahasa sebagai warisan tidak tampak atau warisan tidak ketara sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat. ii. Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu meningkatkan peranannya dalam

pembudayaan bahasa Melayu tinggi. Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti sosial yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian program-program yang dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi. Dengan demikian tidaklah menular fenomena sekerat ular sekerat belut (seperti yang diistilahkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim) dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang sungguhsungguh kita bimbangi ialah kegagalan masyarakat menempatkan ragam bahasa yang betul pada konteks dan situasinya. Sebagaimana kita tidak mengharapkan bahasa yang baku digunakan dalam komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita terima penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan ilmiah. 3. Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu yang gemilang dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu ialah bahasa yang tidak terikat oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam upaya memperkuat bahasa Melayu di peringkat negara, segala upaya memadukan kerjasama dengan negara-negara berbahasa Melayu yang lain dan mana-mana sahaja pihak yang dapat membantu melonjakkan citra dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan. Sekali lagi kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita yang mempunyai rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa. Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres Dunia Melayu Dunia Islam perlu disemarakkan terus. Dewan Bahasa dan Pustaka yang memperoleh kelulusan Kabinet pada tahun 1997 untuk menggerakkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) perlu mengaktifkan semula badan antarabangsa itu. Sesungguhnya banyak manfaat yang diperoleh daripada kegiatan pengantarabangsaan bahasa dan sastera Melayu, termasuk dalam upaya meningkatkan keyakinan orang di dalam negara sendiri. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya. Pada masa ini bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana halnya dengan bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica, Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana (Fishman et al., 1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana, Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India, Lesotho, Liberia, Malawai, Malta, Mauritius, Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe, Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania, Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991). Dengan kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai antara bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi, perbincangan tentang pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur asing menjadi tema yang mendapat perhatian besar sehingga perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan. Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada penutur asing meskipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Fakta mutakhir yang cukup memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd dalam jurnal The Future of Language (27 Februari 2004) bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang amat pesat berkembang. Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya. Yang penting ialah bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada dan dipelajari oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memenuhi keperluan tersebut. Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain di negara berdaulat ini hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua warganegara. Yang paling utama ialah ketekalan sikap dan pendirian para pemimpin negara agar peranan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang pembinaan negara bangsa terus ditingkatkan dan diperkukuh. Iltizam dan sokongan para penjawat awam sebagai pelaksana dasar negara pula membantu menggerakkannya dengan

lancar. Bahasa kebangsaan, yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera sebagai roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan, kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa dan landasan budaya kita sendiri.

Peranan Bahasa dan Sastera oleh Siti Khariah Mohd Zubir


Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5, Tahun 2007 Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu Siti Khariah Mohd Zubir Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris Pengenalan Apabila memperkatakan bahasa dan Kesusasteraan Melayu, akan mengajak kita bersedia bersepadu tenaga membina, memupuk dan mengembangkannya. A. Aziz Deraman (2006: 4) dipetik daripada kertas kerja yang bertajuk Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020 menyatakan bahawa kegemilangan, bukan sahaja terserlah di kalangan 200 juta orang umat berbahasa Melayu di rantau ini, bahkan dalam perspektif yang lebih luas meletakkannya di pentas dunia. Bahasa pada makhluk yang bernama manusia merupakan unsur yang menjadi ciri penting bagi sifat kemanusiaan manusia sejak munculnya manusia di dunia, iaitu Nabi Adam a.s. Awang Sariyan (206: 5) memetik daripada kata-kata Abdullah Yusuf Ali (1983: 24) menyatakan bahawa Nabi Adam a.s. sebagai manusia pertama yang diciptakan Allah s.w.t. telah diberikan ilmu bahasa oleh Allah dalam bentuk pengenalan tentang nama sekelian kejadian alam. Namun itu, bukan sekadar kata-kata yang merujuk kepada bentuk konkrit kejadian alam, bahkan tersirat di dalam keterangan tentang sifat dan kualiti setiap kejadian itu. Mohd Yusof Haji Othman (206: 31) pula menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan daripada amalan hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh daripada itu, bahasa ialah pembina budaya dan pandangan alam seseorang. Seseorang yang mengabaikan bahasanya, bermakna ia mengabaikan budaya hidup diri dan masyarakatnya. Seseorang yang mengagungkan bahasa juga harus mengagungkan budaya atau sastera bangsanya. Lebih tinggi taraf kebahasan yang digunakan dalam kehidupan lebih tinggi nilai kebudayan atau sasteranya dan lebih besar pula sumbangan yang dapat diberikannya untuk membangunkan diri, keluarga dan negara. Bahasa Melayu mempunyai nilai sastera, budaya dan agama yang tinggi. Semangat dan nilai yang terdapat dalam bahasa Melayu boleh menjadi pendorong yang kuat kepada pengamalnya untuk menggerakkan perkembangan ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu, sastera dan budaya akan hidup bersama untuk membangunkan masyarakat. Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) menjelaskan bahawa kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagi bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera. Oleh itu, bahasa dan sastera tidak boleh dipisahkan. Peranan Bahasa Bahasa Melayu adalah bahasa negara. Ianya berfungsi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, maka statusnya menjadi amat penting sebagai bahasa pengantar system pendidikan kebangsaan. Fungsi bahasa

Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Lebih tiga dekad telah berlalu, sejak 1971 dan pelbagai kajian telah dibuat terhadap kesan sistem pendidikan tersebut. Hasil yang diperoleh agak membanggakan. Bahasa Melayu terbukti dapat menjadi bahasa pengantar pendidikansetanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu telah berjaya diangkat dan bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu digunakan di peringkat sekolah rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian di peringkat tinggi. Di Malaysia mulai tahun 1983 semua institusi pengajian tinggi awam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sesudah 13 tahun Dasar Bahasa Kebangsan ditegaskan semula dalam Sistem Pendidikan Kebangsan. Perkembangan sejarah peradaban manusia cukup penting dan perlu diberi perhatian kerana kewujudan sesebuah Negara bergantung pada kekuatan bahasa yang membina peradabnnya. Menurut A. Aziz Deraman (206: 288) kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Kebangsaan ialah pemersatu dan alat komunikasi rakyat yang sangat utama. Rancangan Malaysia Ke-9 telah menetapkan agenda nasional yang mesti didukung dengan cita-cita pembangunan tamadun dan modal insan Malaysia, sesuatu keseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah sebagaimana harapan asal daripada matlamat kewujudan sesebuah kebudayan kebangsan Malaysia. Peranan bahasa Melayu yang lain ialah digunapakai sebagai beberapa undang-undang dan digunakan juga dalam peraturan-peraturan pejabat. Dengan demikian, ternyatalah bahawa Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara. Secara ringkas undang-undang Malaysia menetapkan tiga undang-undang yang berkaitan dengan bahasa. Pertama, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsan bagi negara Malaysia. Kedua, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketiga, rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain. Sesebuah Negara tentulah memerlukan satu bahasa negara yang menjadi alat bagi semua tujuan pembangunan dan citra keperidian nusa. Peranan bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara sebagaimana yang ditakrifkan daripada kehendak undang-undang bermakna bahasa Melayu menjadi bahaasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan, bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah, bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri, bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua maksud rasmi kerajaan, memenuhi fungsi komunikasi perkhidmatan awam, yakni komunikasi dalam jabatan dan antara sesama jabatan sektor awam, antara jabatan sektor awam dengan sektor swasta dan korporat atau sebaliknya dan komunikasi antara jabatan sektor awam dengan orang awam atau sebaliknya. Kita juga harus melihat peranan utama dan peranan komunikatif bahasa kebangsaan kerana sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu ditakrifkan mempunyai peranan utama, yang antara lainnya menjadi lambang atau citra Malaysia. Ia dibuktikan dengan penggunaannya di tempat awam, penggunaan nama khas dan melalui media massa berstatus negara, menjadi wahana pemersatuan warganegara dan rakyatnya dengan konsep satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu menjadi wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara kelompok masyarakat penutur bahasa dan kegunaan umum antara individu berlainan etnik. Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa dan budaya yang menggerakkan perkembangan Kesusasteran Melayu di rantau ini. Bahasa dan sastera tidak boleh dikesampingkan kerana ianya umpama irama dan lagu, sekiranya salah satu daripadanya tiada maka yang satu lagi akan pincang. Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai alat komunikasi antara kerajaan dengan orang ramai, antara sektor awam dengan swasta dan korporat. Begitu juga sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya. Bahasa Melayu tidak ketinggalan digunakan dalam penyampaian maklumat bagi segala bentuk iklan, nama khas, pengumuman, arahan dan seumpamanya dipamerkan di tempat awam atau di khalayak ramai atau siaran melalui media massa. A. Aziz Deraman (2006) dalam kertas kerjanya bertajuk Kebudayaan, Pendidikan dan Bahasa Melayu menyatakan bahawa bahasa Melayu sudah mengambil tempat yang sewajarnya dan dimartabatkan sebagai bahasa nasional Negara-negara serumpun selepas kemerdekaan Indonesia (1945), Malaysia (1957) dan Berunai Darussalam (1984). Bahasa Melayu berjaya dalam banyak lapangan kehidupan sebagi bahasa ilmu, alat komunikasi dan pemersatuan rakyat.

Dalam tempuh relatifnya singkat, baik di Malaysia atau Indonesia, bahasa Melayu dengan cepat mengambil alih bahasa Inggeris atau bahasa Belanda sebagi alat pemersatu bangsa dan bahasa yang begitu terbuka berkembang maju mengikut keperluan negara. Bahasa Melayu juga berpengaruh dan berperanan yang besar dalam memupuk kesenian bangsa dengan penghayatan dan penyertaan yang menyeluruh. Tamadun silam seperti yang pernah dilalui oleh orang Yunani-Romawi, tamadun Islam, tamadun India dan tamadun Cina banyak mengekalkan fikiran dan perasan kesenian bangsanya melalui bahasa. Peranan kesusasteraan, yakni persuratan dan penulisan, terletak di sini. Bahasa memupuk resam, nilai dan norma sesuatu bangsa. Dalam situasi politik-ekonomi dan sosial yang berubah, bahasa tetap mampu mengisi keperluan sesebuah tamadun. Peranan Sastera Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya sastera dan menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu. Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina modal insan yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, berjati diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan manusia yang hilang pertimbangan ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan manyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera. Di peringkat sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan sebagi satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan. Selain itu, sastera juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanh ilmu dan persuratan bahasa Melayu wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajarn. Dengan cara ini, proses pembentukan jati diri dan cinta akan khazanah negara dapat diatur, dilentur, dibentuk dengan sebaik-baik mungkin. Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama dasar pentadbiran negara. Shahnon Ahmad (1997: 25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997: 41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama kita hanya akan lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa. Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu Dari segi sejarah sumbangan Kerajaan Inggeris dalam bidang bahasa dan sastera dapat dikesan melalui kegiatan Pejabat Karang Mengarang yang diasaskan oleh O.T. Dussek dan Zaaba di Maktab Perguruan

Sultan Idris (MPSI), Tanjong Malim pada tahun 1924. Pejabat ini telah dibiayai oleh kerajaan NegeriNegeri Selat dan Negeri-Negeri Bersekutu melalui peruntukan MPSI. Tujuan utama pejabat ini untuk mengeluarkan sebanyak mungkin buku-buku sekolah dan mengeluarkan bahan-bahan bacaan yang berunsur sastera untuk masyarakat Melayu amnya. Karya-karya dari Barat diterjemah di samping menerbitkan karya asli hasil daripada Peraduan Karang Mengarang anjuran Pejabat Pelajaran, umpamanya Cincin Rahsia, Pahlawan Berkaki Kayu, Hidup Bujang dan Cerita Rekaan. Sumbangan Pejabat Karang Mengarang dalam bidang bahasa dan sastera terbatas kepada anak-anak sekolah dan guru-guru sekolah Melayu. Buku-buku untuk bacaan umum, seperti cerita mata-mata gelap dan pengembaraan, sedikit sebanyak berjaya memperkenalkan karya popular dari Barat kepada masyarakat Melayu dan membuka mata mereka kepada hasil kesusasteraan dunia yang berbeza daripada hikayathikayat lama yang diwarisi daripada datuk nenek mereka. Kesedaran terhadap hal ini penting dalam proses meningkatkan pengetahuan orang Melayu untuk mengekalkan kesinambungan tradisi bangsanya. Bahasa dan sastera umpama irama dan lagu, kedua-duanya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mula bergerak seiring jalan apabila Jepun mengambil alih tampuk pemerintahan sama ada di Tanah Melayu ataupun di Singapura. Kekalahan Kerajaan Inggeris dan kekejaman pemerintahan Jepun telah menyalakan semangat kebangsaan. Mestipun tempuhnya amat singkat, namun zaman itu telah berhasil mendorong dan mendesak orang Melayu melancarkan perjuangan politik ke arah kemerdekaan sama ada melalui parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan yang bersifat bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan. Pusat Penerbitan Akhbar dan majalah yang penting pada waktu itu ialah di Singapura. Di sini berkumpulnya tenaga-tenaga penulis muda yang bercita-cita tinggal untuk memajukan dan memodenkan bahasa dan sastera Melayu agar sesuai dengan keperluan perkembangan fikiran, ilmu pengetahuan, pergolakan politik sosial dan ekonomi. Shamsudin Othman (2006: 301) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Wahana Pendidikan Nasional, menyatakan bahawa hubungan bahasa Melayu dengan Kesusasteraan Melayu wujud sejak ratusan tahun dahulu. Hubungan ini dibentuk melalui media tulisan seperti yang terakam dalam ribuan nafkah karya kesusasteraan tradisional Melayu khususnya yang dipelajari oleh Munsyi Abdullah Bin Abdul Kadir melalui Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan Hikayat Abdullah pada pertengahan kurun ke-19. Warisan bahasa Melayu ialah yang dimantapkan dan diperkayakan melalui proses yang disebut pensetaraan perkembangan ilmu dan kemajuan fikiran manusia yang menuntut supaya bahasa Melayu memiliki kuasa mutlak linguistik dan korpus sastera tinggi untuk dijadikan wahana kemajuan bangsa. Ilmu sastera tidak boleh disampaikan melalui ragam bahasa rendah (bertaraf dialek atau kedaerahan). Oleh itu, secara memahami, mempelajari dan mentelaah karya sastera memerlukan ilmu bantu, iaitu bahasa yang merangkumi semantik, mantik, psikologi, linguistik dan sebagainya. Peranan bahasa dan sastera tidak boleh dipisahkan umpama irama dan lagu. Literasi dalam sesuatu bahasa tulisan mempersiapkan atau menyediakan seseorang itu untuk hidup dalam kebudayaan setempat, bukan sahaja untuk pandai membaca, menulis dan mengira, tetapi juga untuk mengetahui sejarah masa silam yang tidak dialaminya, mengetahui cerita-cerita rakyat yang turun temurun, memahami dan menghayati nilai dan norma. Selain itu, memahami perasaan orang dan mencanai cara berbudi bahasa dan bertegur sapa. Seseorang yang tidak pernah membesar dalam keluarga berbahasa Melayu dan dalam dunia kebudayaannya sejak kecil tentunya sukar untuk memahami sebenarnya perasaan yang disebut sebagai besar hati, hati batu dan air tangan misalnya. Demikianlah pentingnya bahasa yang merujuk kepada makna yang tersirat untuk memperkatakan sesuatu secara tidak langsung. Begitu juga dengan sastera, perkembangannya di tangan bahasa. Awang Sariyan (2006: 184) dalam kertas kerjanya bertajuk Penerapan Tatabahasa Dalam Karya Kreatif menerangkan bahawa adanya hubungan antara ilmu bahasa dengan penghasilan karya kreatif. Sebagaimana kita maklum bahasa ialah alat pengucapan atau sebagai alat penyampaian karya sastera. Biar dengan gaya bahasa yang indah atau kaku, bahasa tetap dipergunakan sebagai alat untuk berkarya. Ilmu bahasa sebenarnya mempunyai pertalian yang amat erat dengan penghasilan karya kreatif dan oleh sebab itu tidak harus dianggap sebagai batu penghalang dalam usaha menonjolkan gaya bahasa yang indah. Penulis atau sasterawan amat beruntung jika memiliki ilmu tersebut sebagai asas berkarya. Sebagai seorang penulis perlu menguasai beberapa aspek bahasa seperti morfologi, sintaksis, fonologi dan

semantik. Keempat-empat aspek tersebut sebenarnya digunakan oleh para penulis setiap kali mereka berkarya. Secara ringkas, morfologi ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan kata, sintaksis ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan ayat. Manakala fonologi pula ialah bidang yang berhubung dengan sistem bunyi sesuatu bahasa dan yang akhir ialah semantik bidang yang berhubung dengan makna. Dalam ilmu bahasa, morfologi ialah ilmu tentang pembentukan kata. Dalam setiap bahasa, ada dua unit morfologi, iaiatu morfen dan kata. Morfen pula terbahagi dua, iaitu morfen bebas dan morfen terikat. Morfen bebas ialah morfen yang dapat berdiri sendiri. Morfen terikat pula ialah morfen yang tidak dapat wujud sendiri dan hanya dapat berfungsi jika digabungkan dengan morfen bebas. Kata pula terbentuk daripada satu morfen atau lebih. Kata yang terdiri darpada satu morfen sahaja dapatlah dianggap morfen bebas, contohnya: pandang, besar, lari dan sebagainya. Contoh kata yang terdiri daripada lebih satu morfen ialah memandang, berlari dan membesar dan sebagainya. Tiga proses bahasa yang berlaku dalam morfologi ialah pengimbuhan, penggandaan dan penggabungan. Proses pengimbuhan menghasilkan kata terbitan. Perhatikanlah bagaimana proses tersebut diterapkan dalam penulisan dengan meneliti contoh yang berikut: Dia tersentak cemas apabila mendengar ratapan dan raungan yang melengking ngeri tiba-tiba. Serta merta, matanya meliar mencari suara pengait yang sombong dan bongkak. Dipelupuh isterinya hingga bergulingan dan akhirnya terhenti dilopak berhampiran kebun asparagus. (Azmah Nordin, Syumul: 2004-2005) Awalan meN digunakan oleh Azmah Nordin sebagai penanda kata kerja aktif mendengar. Tanpa awalan tersebut, kata dengar menjadi kata kerja pasif untuk pelaku pertama dan kedua yang ternyata tidak boleh digunakan untuk pelaku ketiga dia seperti dalam ayat di atas. Dengan menggunakan awalan meN pula, kata kerja kait dapat dibentuk menjadi nama (pelaku), iaitu pengait. Akhirnya awalan di pada kata kerja dipelupuh ialah bentuk kerja fasih yang terbit daripada kata pelupuh (mempelupuh). Contoh penggandaan dan penggabungan dapat diperhatikan pada petikan di bawah ini: Tiga orang kanak-kanak lagi dicampakkan oleh sebuah kenderaan yang entah datang dari mana. Tiba-tiba saja pada suatu pagi mereka melihat ada sebuah van berwarna putih berhenti di luar pintu pagar. Sekejap sahaja van itu terus berlalu menuju ke Lebuh Raya Timur Barat, cuba memecut dan terhinggut-hinggut di atas jalan lori balak yang berlekuk-lekak. Di luar pintu pagar, tiga orang kanak-kanak yang comot terintairintai hendak masuk. Pintu pagar pun dibuka. Semuanya tidak menangis. Bagaikan mereka sudah biasa dengan keadaan begitu. (Fatimah Busu, Salam Maria: 388) Dengan menerapkan kata ganda kanak-kanak, terhinggut-hinggut, berlekak-lekuk dan terintai-rintai, terhasil satu kesinambungan antara frasa-frasa yang menjadi predikat, iaitu memecut dan terhinggut-hinggut: jalan lori balak dan berlekak-lekuk, comot dan terintai-intai. Sintaksis merupakan satu lagi aspek bahasa. Sintaksis digunakan dalam penghasilan karya. Sintaksis berhubung dengan pembentukan ayat. Dalam hierarki tatabahasa, sintaksis menduduki tempat tertinggi. Ayat mengandungi fikiran yang lengkap. Perkara yang paling penting dalam sintaksis yang dapat membantu penulis menggunakan bahasa yang baik, lancar dan berkesan ialah pola-pola ayat. Pola bererti acuan. Pola atau acuan ayat terbentuk daripada dua unsur utama, iaitu subjek dan predikat. Dengan berpegang kepada dasar ini, penulis tidak akan menghasilkan ayat-ayat yang tergantung. Pola ayat boleh dibahagikan kepada ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait dan ayat bercampur. Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas subjek dan predikatnya. Maksud subjek ayat itu tidak mempunyai penerangan atau tidak bergabung dengan subjek lain dan predikatnya pun tidak berpenerangan, berpelengkap atau berklausa. Perhatikan beberapa contoh di bawah ini: i. Maria Zaitun/kelam kabut (Fatimah Busu, Salam maria: 104) ii. (tiba-tiba) Erika Bacia/tersentak (Azmah Nordin, Syumul: 10)

iii. Siti Salina tersenyum (A. Samad Said, Salina: 147) Ayat-ayat di atas tergolong ke dalam ayat inti. Ayat-ayat inti ini dapat pula digunakan untuk mengelakkan kebosanan orang membaca ayat yang panjang-panjang dan kompleks. Malahan ayat-ayat inti dapat juga digunakan untuk maksud penekanan atau untuk mempercepatkan jalan cerita. Ayat transformasi pula terbahagi kepada ayat transformasi satu dasar, ayat transformasi dua dasar dan ayat trasformasi berdasarkan banyak. Dalam ayat transformasi satu dasar, para penulis dapat memanfaatkan ayat negatif, ayat berita songsang, ayat tanya biasa, ayat tanya songsang, ayat berita pasif biasa, ayat berita pasif songsang, ayat tanya pasif biasa, ayat tanya pasif songsang, ayat perintah aktif, ayat perintah pasif, ayat penggalan, ayat penegas dan lain-lain lagi. Manakala ayat trasformasi dua dasar ada pula yang disebut ayat gabungan dan ayat pancangan. Awang Sariyan (2006: 184) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk Penerapan Tatabahasa Dalam Karya Kreatif menyatakan penulis yang dapat menguasai pelbagai pola ayat amat beruntung. Kepelbagaian struktur ayat merupakan satu cara yang paling penting untuk menimbulkan kesan kepada pembaca. Sesungguhnya hal tersebut adalah suatu ujian kejayaan terhadap penulis dalam hal penggunaan bahasa. Penerapan semantik dalam penghasilan karya juga tidak kurang pentingnya. Gaya bahasa semantik, dapat membantu penulis dalam hal diksi, metafora, simili, hiperbola dan personifikasi. Diksi ialah pemilihan kata yang betul atau tepat dan berkesan. Kesukaran untuk membuat pemilihan kata yang tepat timbul kerana banyak sekali kata yang menunjukkan hal atau keadaan yang hampir sama tetapi konotasinya yang berlainan. Misalnya, kata kacak, tampan, macho dan sebagainya masing-masing menunjukkan erti yang hampir-hampir sama tetapi secara konotatif, masing-masing kata itu mempunyai erti yang lebih khusus. Contoh lain, kata rumah, istana, mahligai, pondok dan teratak memanglah mempunyai erti yang sama, iaitu tempat kediaman, maka itu ia dikatakan bersinonim. Tetapi masing-masing kata itu sebenarnya mempunyai erti khusus yang tidak menunjukkan kata reference yang sama. Maka dalam hal seperti ini bersinonim tidak semestinya mempunyai erti yang benar-benar sama. Penggunaan metafora juga amat penting dalam penulisan kreatif. Metafora bolehlah ditakrifkan sebagai ungkapan atau simpulan bahasa bermakna bandingan atau analogi. Metafora dapat berdiri sendiri sebagai unit sendiri mengambil tempat dan fungsi sendiri dalam struktur sintaksis. Contoh: i. berkepak putih di sayap zaman (Ahmad Sarju, Sajak Burung-Burung Di Puncak Gunung) ii. sambil membina jambatan kasih (Zaitun Ajmain, Sajak Erti Persahabatan) iii. Ada lagi yang lebih pahit daripada itu, Kataku, cuba menyingkap tirai sejarah yang tersembunyi 1001 rahsia. (Hasidah Bisan, Cerpen Pesona: 58) iv. Di sinilah desa kelahiran, padang perjuangan yang mengajarnya erti kehidupan sejak dibesarkan hingga ditinggalkan ibu bapanya. (Osman Ayob, Cerpen Detik Yang Tergugat: 77) Selain itu, gaya bahasa yang digunakan oleh pengkarya ialah simili. Simili didefinisikan sebagai perbandingan sesuatu objek dengan sesuatu objek dengan menggunkan kata sebagai, umpama, seperti, laksana dan sebagainya. Contoh: i. Merompak kemanusiaan seperti dihalalkan (Borhan Md Zain, Sajak Bila Matahari Berlabuh) ii. Bagai kilat senja memecah sinar (Ahmad Sarju, Sajak Burung-Burung Di Puncak Gunung) iii. Bunyi injin menderu-deru bagai angin kencang yang boleh mengoncangkan tangkai- tangkai padi

(Osman Ayob, Cerpen Detik Yang Tergugat: 73) Personifikasi juga merupakan salah satu gaya bahasa yang banyak digunakan dalam penulisan kreatif. Personifikasi ialah gaya bahasa yang memberikan sifat kemanusiaan kepada objek-objek bukan manusia. Contoh: i. Jan berasa sangat bosan pada pagi itu, udara di luar cukup sejuk. Tambahan pula Wind Child menggigit kulit. Rakan-rakan lain, penghuni rumah orang tua yang kebanyakkannya perempuan telah keluar menyertai acara Walden Walkers di side walk sekitar kawasan Walden Place. (Abdullah Tahir, Cerpen penantian di Walden Place:40) ii. Lalu dengan cepat ia merayu (Jasni Mat Lani, Sajak Sebatang Pohon.) Penutup Apabila berbicara tentang bahasa dan Kesusasteran Melayu akan mengajak kita bersedia berpadu tenaga membina, memupuk dan mengembangkannya. Oleh itu, peranan bahasa dan sastera, umpama irama dan lagu. Kata sepakat antara bahasa dan sastera akan mampu menunjukkan fikiran, kreativiti dan aktiviti. Bahasa ialah alat komunikasi utama dan asas pembinaan sesebuah tamadun. Tamadun menjadi kekal dan bertahn melalui tradisi ilmu. Jadi bahasa Melayu dan Kesusasteran Melayu berperanan membawa dan menggerakkan kehidupan kebudayan bangsanya meliputi akal fikiran dan daya ciptaan dalam segala tuntutan dan keperluan. Bahasa Melayu sudah sedia mampu dan oleh sebab itu mesti digerakkan untuk mengisi fikiran dan pemikiran dalam bidang pencapaian ilmu pengetahuan tinggi, kesusasteraan, falsafah dan imej warisan tamadun. Bibliografi Abdullah Yusof Ali, 1983. The Holy Quran, Text Translation and Commentaries. Lahore: Sy. Muhammad Ashraf. A. Aziz Deraman, 2006. Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020 dlm. Sastera Kebangsan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan, 2006. Persuratan dan Peradaban Nasional Abad Ke-21: Gagasan dan Krangka Strategi Untuk Peradaban Melayudlm.Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan, 2006. Penerapan Tata Bahasa Dalam Karya Kreatif dlm. Sastera Kebangsaan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hamzah Hamdani, 2006. Sastera Kebangsaan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Yusof Haji Othman, 2006. Persuratan dan Peradaban Nasional Penjana Sains dan Teknologi dlm.Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Shamsudin Othman, 2006. Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dlm. Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dicatat oleh PENYELIDIKAN IPMdi 7:28 PTG

PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM KONTEKS NEGARA BANGSA-Norlia bt Kiflie [diselenggarakan oleh Rozali Rajab] AbstrakSeperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahasa telah dimartabatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dan asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Semestinya sebagai warga Malaysia yang merdeka kita harus bangga kerana memiliki bahasa kita sendiri sebagai identiti jati diri yang unggul sejajar dengan tuntutan Wawasan 2020. Kertas kerja ini dihasilkan melalui pembacaan bukubuku ilmiah, artikel, memetik pandangan para tokoh, rujukan perpustakaan dan sumber Internet. Hasil kajian ini juga menjelaskan dan membincangkan bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai bahasa kebangsaan malahan menjadi wadah warga Malaysia dari semua aspek dalam menjalankan ranah dan agenda negara dalam konteks Negara Bangsa. Oleh yang demikian, peranan bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan oleh warga Malaysia jika mahu melihat negara kita maju seiring dengan negara lain khususnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa.PENDAHULUANStatus atau kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tercabar di negara kita kerana sikap sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Malah kedudukan bahasa kini mula mengalami perubahan ketara apabila bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengajaran dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menafikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pelbagai usaha telah, sedang, dan akan dijalankan bagi mempertahan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman. Seperti kata Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad ketika membentangkan kertas kerja Masalah Bahasa Atau Masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap dan Persepsi Manusia Terhadap Bahasa Melayu, di DBP di Kuala Lumpur.Kita tidak mahu negara ini menjadi negara maju dalam tahun 2020 tetapi bangsa Melayu hilang martabat dan kuasa sebagai bangsa yang cemerlang dan maju disebabkan bahasanya tidak dijadikan alat utama dalam proses itu. Ini kerana penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pentadbiran kerajaan tidak dianggap sebagai agenda penting dalam perancangan bahasa Melayu di negara ini,Pada beliau, jika dilihat dari segi fungsinya bahasa Melayu sudah maju sebagai bahasa pembentuk tamadun tinggi di rantau ini yang dapat merentas sempadan geografi dan etnik bahasa. Namun beliau tidak mahu bahasa yang sudah maju itu dimusnahkan oleh persepsi, sikap dan kejahilan rakyat Malaysia terhadap keupayaan bahasa tersebut untuk mencapai kemajuan negara dalam era globalisasi ini. Ketika membentang kertas kerja Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setengah Abad Mendatang: Upaya Pemerkasaannya, Prof. Dr. Awang Sariyan menyatakan :Secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa Pengucapan intelektual akan terhakis sehingga tidak mustahil bahasa Melayu hanya dikenali sebagai bahasa komunikasi sehari-hariSituasi itu berlaku kerana kurangnya pengertian terhadap peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah pun dinobatkan dalamPerkara 152 Perlembagaan Persekutuan.Titik tolak daripada pandangan dua tokoh bahasa di atas, kita perlu mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi agenda penting dalam membentuk dan membina negara bangsa. Seperti yang

kita maklum, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik, jati diri bangsa dan perpaduan negara.Oleh yang demikian, kita sewajarnya akur dan bangga kerana dengan adanya kekuatan bahasa Melayu maka terbentuklah kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai pandangan sarwa dalam kalangan warga Malaysia. Justeru, berbanggalah menjadi warga negara Malaysia karena memiliki bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu mampu mendukung budaya bangsa, berkembang seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan. Objektif kajian kertas kerja ini adalah untuk membincangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Ia merangkumi pelbagai peranan atau fungsi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang tanpa meminggirkan bahasa lain sebagai wadah alternatif untuk memajukan warga Malaysia di persada dunia. Skop kertas kerja ini memfokuskan konsep bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, negara bangsa dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Kertas kerja ini juga akan menjelaskan peranan bahasa dalam pelbagai agenda negara dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa. Kertas kerja ini akan memperlihatkan peranan bahasa sebagai asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat, lambang jati diri, bahasa perpaduan, bahasa pengantar ilmu pengetahuan, menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia, menampilkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesantunan berbahasa, dan wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsa.PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DALAM KONTEKS NEGARA BANGSAAsas Pembinaan Negara Dan Kebudayaan MasyarakatRanah pembinaan suatu bangsa Malaysia merupakan persoalan paling penting dan menjadi agenda utama negara dalam pelaksanaan sistem pentadbiran di negara ini. Usaha membina negara dan kebudayaan masyarakat juga merupakan strategi bagi memupuk jati diri dan perasaan muhibah serta persefahaman dalam kalangan rakyat. Ia juga lanjutan dari pelbagai masalah yang melanda rakyat di negara kita yang dikatakan kurangnya integrasi antara kaum dan tumbuhnya perasaan curiga dan wujudnya bibit-bibit perpecahan kaum. Oleh yang demikian, menjadi satu kepentingan bahawa negara Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai alat perpaduan. Bahasa Melayu harus difahami oleh setiap kaum. Hal ini sejajar dengan penduduk asal di Malaysia iaitu orang Melayu yang memonopoli lebih daripada 50 peratus penduduknya. Justeru, dengan termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara. (Awang Sariyan, 2006) Pembentukan sebuah kebudayaan sepunya yang diasaskan pada nilai-nilai akhlak yang murni dan ketamadunan manusiawi yang sejagat adalah keperluan supaya selaras dengan tujuan membina sebuah negara bangsa yang beradab dan maju. Kemajmukan rakyat di Malaysia menjadikan pembentukan kebudayaan kebangsaan ini satu persoalan yang rumit. Persoalan rumit atau tidak, pembentukan dan pengembangan falsafah sepunya, sebuah kebudayaan sepunya yang kita namakan kebudayaan kebangsaan yang bercirikan Malaysia dan berdiri atas prinsip-prinsip budi, akhlak dan etika hendaklah dilakukan secepat mungkin serta dengan perancangan yang tersusun (Ahmat Adam, 1997). Justeru, berbanggalah karena tidak semua bangsa di dunia ini mempunyai bahasa kebangsaan yang dipakai secara luas dan dijunjung tinggi. Adanya bahasa kebangsaan yang dapat menyatukan perbagai suku bangsa yang berbeza merupakan suatu kebanggaan bagi bangsa Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bangsa Malaysia sanggup mengatasi perbezaan yang ada. Selain itu, kepercayaan diri yang kuat dapat dibangunkan dan identiti sebuah bangsa boleh diwujudkan melalui bahasanya.Bahasa Sebagai Lambang Jati Diri Negara Bangsa MalaysiaBahasa Melayu adalah lambang bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu negara Malaysia. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya

sendiri. Contohnya negara Jepun dengan bahasa Jepunnya, negara Jerman dengan bahasa Jermannya dan negara Perancis dengan bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia. Sekali gus, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020. Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah wahana utama dan medium satu-satunya yang perlu digunakan oleh warga Malaysia untuk menerus dan mengekalkan peradaban nasional dalam pelbagai bidang, menyampai dan menyebarkan peradaban nasional kepada generasi mendatang seperti yang diamalkan oleh mereka semenjak turun-temurun. Dalam hal ini, bahasa Melayu memang berkeupayaan dalam memajukan warganya sekali gus negara Malaysia berteraskan kapasitinya sebagai bahasa rasmi yang merangkumi fungsi selaku bahasa ilmu. Selain itu keupayaan bahasa Melayu yang terpenting ialah ia memiliki modal linguistik yang cukup agam, selain mampu berkembang ke tahap status sebagai bahasa moden. Jelas sekali bahawa peranan bahasa Melayu dalam mencorakkan jati diri warga Malaysia begitu besar cabarannya. Justeru, aspirasi dan misi nasional dalam membentuk negara bangsa Malaysia yakni menyatupadukan warganya dan membentuk jati diri sepunya dalam kalangan warganya tidak akan tercapai jika warganya tidak menampilkan semangat waja untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara kita. Tuntasnya, negara bangsa dan jati diri boleh dibentuk melalui pelbagai cara, dan antaranya ialah bahasa, khususnya melalui promosi bahasa kebangsaan.Bahasa Sebagai Wadah Perpaduan Rakyat Negara Malaysia Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan adalah tunggak penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Di Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Selaras dengan itu, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu pilihan bijak dan mampu serta terbukti menjadi wadah perpaduan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Penggunaan dan penguasaan bahasa Malaysia secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan. Peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan ini tidak harus sekadar bersifat simbolis dalam pentadbiran tetapi seharusnya berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam segala aspek dan peringkat kehidupan sosial dan kehidupan berbangsa di negara ini (Rustam Sani, 1993). Tuntasnya, bahasa Melayu menjadi titik penentu untuk berkongsi identiti nasional yang tersendiri. Kesediaan dan penerimaan warga Malaysia untuk menggunakan bahasa kebangsaan ini juga mampu menjadi penghubung yang berkesan dan wadah membentuk perpaduan antara kaum yang lebih utuh.Bahasa Sebagai Pengantar Ilmu Pengetahuan Dan Budaya Ilmu Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Laporan Razak pada tahun 1957 dan Laporan Rahman Talib tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi

bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Bahasa Melayu kemudiannya memikul tugas sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah (Nik Safiah Karim 1986: 1). Abdullah Hassan (1987: 25) dalam Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia beliau menyatakan:selepas 1969 kerajaan dengan lebih tegas menjadikan pembelajaran bahasa Malaysia lebih teratur. Langkah tersebut ialah dengan melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah- sekolah secara berperingkat-peringkatDalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ini ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya (Abu Hassan Othman, 1997). Oleh itu, penubuhan sekolah wawasan atau apa sahaja penubuhan sekolah yang dapat menyatukan tiga kaum utama ini adalah menjadi isu penting dalam pendidikan yang dapat mempercepatkan proses pembinaan negara bangsa Malaysia jika masalah perpaduan dapat ditangani dengan baik dan berhemah. Dalam usaha memperkasakan Bahasa Kebangsaan, peranan guru amat mustahak kerana melalui pendidikan murid-murid perlu disedarkan mengenai kepentingan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi di Malaysia. Selain itu, tanggungjawab pemimpin institusi pendidikan, pensyarah dan guru adalah untuk menyemai semangat cintakan bahasa Malaysia kepada generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Melayu, menghormati dan berbangga dengan bahasa Melayu sebagai identiti rakyat Malaysia.Menjadi Bahasa Yang Cemerlang Dalam Pembinaan Negara Bangsa MalaysiaBahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi dengan cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati daripada bahasa yang dipinjam semata-mata untuk menunjukkan status penutur, dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendiri. Oleh hal demikian, penduduk di negara Malaysia ini perlulah dengan penuh keyakinan apabila menggunakan bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa. Dalam konteks negara bangsa, keseluruhan rakyatnya sudah menerima satu pandangan dunia (Weltanschauung) politik yang sama. Manakala institusi perlembagaan, ideologi negara, bahasa, agama, budaya dan unsur-unsur sosial lain pula merupakan simbol-simbol yang dapat digunakan bagi membentuk kesepaduan dan jati diri dalam kalangan rakyat di dalam negara-bangsa itu. Jelaslah bahawa pembinaan negara bangsa sangatlah kompleks untuk dilaksanakan tetapi tidaklah mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia. Penghayatan, pemahaman dan kepekaan dalam bahasa Melayu harus diperjuangkan sebagai bahasa kebangsaan yang moden dan bahasa ilmu dalam usaha pembinaan negara bangsa menjadi arus yang selaras dengan arus globalisasi itu sendiri. Kerjasama seluruh lapisan masyarakat amat diperlukan bagi menjaya dan mewujudkan negara bangsa yang unggul ini. Bahasa Menampakkan Penggunaannya Dalam Pelbagai Perisian Dan Kesantunan Berbahasa Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang mencerminkan penggunaannya dalam pelbagai perisiannya dan kesantunannya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika keluwesan bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesantunan. Bahasa yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan tidak perlu rasa terpinggir dalam perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat.

Perkembangan kurikulum di Malaysia ke arah melahirkan warganegara global, selaras dengan perkembangan jaringan informasi. Sementara, dalam budaya Melayu kesantunan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala santun dan peraturan yang dipersetujui dalam menggunakan bahasa tersebut. Umpamanya dalam kata alu-aluan, kata silaan, ketika berundur diri dan sebagainya seharusnya menggunakan bahasa beradab dan berperaturan yang tetap, tidak boleh diubah sesuka hati. Kemahiran dalam peringkat tertinggi seperti begini boleh menghasilkan pertukangan yang bermutu boleh mencapai tahap seni , budi yang diidamkan. Oleh itu budi bahasa pun adalah suatu seni. Dalam memperkukuh peradaban Melayu dan supaya peradaban Melayu berkuasa di dunia kini, berbagai macam senjata moden perlu dibuat dan dicipta. Untuk mencapai tahap ketinggian, keindahan bahasa sebagai lambang estetika dalam berbahasa memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni bahasa itu atau perasaan cinta terhadap seni bahasa tersebut. Sejajar dengan wawasan ini, kita harus bersedia menguasai bahasa Melayu dan senjata bahasa-bahasa lain dalam menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini.Wahana Politik Dalam Menentukan Kualiti Penggunaan Bahasa Negara BangsanyaBahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berperanan sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina negara bangsanya seharusnya dapat juga melahirkan pengguna bahasa yang berkualiti, berkuasa dan berketerampilan. Maka, lebih banyak kumpulan penutur yang berkuasa dalam penggunaan bahasa Melayu perlu dipupuk. Mereka ialah yang terdiri daripada ahli politik, ahli korporat, golongan profesional, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah, dan ahli masyarakat. Kehadiran kumpulan ini dapat mengembangkan bahasa itu dengan terancang, meliputi pelbagai bidang. Contohnya, jika ahli politik dan ahli profesional mempunyai daya ungkapan yang tinggi dan bermutu melalui bahasa Melayu, bahasa itu akan dilihat sebagai berkuasa dalam arenanya. Ditinjau sejarah lampau, sejak merdeka penggunaan Bahasa Melayu dikembangluaskan dengan kemunculan beberapa institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya. Sehingga kini, Bahasa Melayu sudah diguna pakai di dalam pelbagai sektor awam dan swasta. Sekian banyak wang, usaha dan tenaga pemikiran dicurah dan digemblengkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di dalam sebuah negara yang merdeka ini. Malanglah sekiranya setelah hampir setengah abad kita membina cita-cita memartabatkan bahasa sendiri, kini kita mulai merungkai kembali binaan ini. Justeru, sesebuah bangsa harus dimajukan dengan meningkatkan tahap pemikiran bangsa tersebut. Sesebuah bangsa itu berfikir menerusi bahasa ibundanya kerana bahasa adalah saluran atau wahana pemikiran. Sesebuah bangsa berbicara dan menanggapi sesuatu pemikiran dengan bahasa mereka sendiri. Oleh yang demikian, untuk memajukan sesebuah bangsa, ia mesti dilakukan menerusi bahasa bangsa tersebut. Maknanya, memajukan bangsa Melayu mesti dilakukan dengan membangunkan pemikiran Melayu menerusi bahasa Melayu. Dengan ini, bahasa Melayu perlu terus diperkaya. Ia mesti terus diguna pakai di segenap sektor ekonomi dan sistem pentadbiran tanpa ada rasa prejudis dalam kalangan para elit, intelektual dan pemimpin terhadap penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah dimartabatkan penggunaannya dalam tamadun Melayu yang kemudiannya telah memajukan pemikiran bangsa Melayu dari kelesuan masyarakat feudal yang tahunya menyerah tanpa soal. Natijahnya, bahasa Melayu menjadi bahasa yang dinamik dan dapat diterima oleh warga Malaysia masa kini. Bangsa Jepun sendiri dimajukan dengan mengembalikan bangsanya kepada akar budaya bangsa tersebut. Oleh yang demikian, kita berpandangan bahawa tidak mungkin sesebuah bangsa dapat dimajukan dengan meminjam bahasa yang bukan bahasa ibunda bangsa tersebut. Kerana mereka tidak berfikir menerusi bahasa bangsa lain. Wadah politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsa memerlukan pemimpin yang benar-benar menegakkan bahasa kerana agenda politik dan bahasa itu adalah sinonim

adanya. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai tunjang negara bangsa dapat diperlihatkan dalam agenda politik melalui teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu meletakkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai strategi utama. Dalam mengorak langkah ke alaf 21, bahasa Melayu kini perlu diperkasa. Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat. Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Kita sebagai warga Malaysia perlu optimis bahawa sekiranya usaha yang kuat dan seluruh tenaga digembleng maka tidak mustahil bahasa Melayu boleh menjadi bahasa dunia. Masyarakat luar akan berlumba-lumba untuk belajar bahasa Melayu. Pada waktu itu, tidakkah kita berasa bangga dengan bahasa kita? Ini kerana bahasa Melayu kaya dengan nilai sosio budaya yang secocok dengan budaya rakyat Malaysia. Justeru, generasi muda hari ini perlu berperanan dalam mempertahankan bahasa Melayu. Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Untuk menggalas tanggungjawab seberat ini, semua pihak perlu bekerjasama dengan dukungan kuat daripada para pemimpin negara.PENUTUPBerdasarkan keterangan di atas, jelas menggambarkan peri penting peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan, maka Bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik serta diguna pakai dalam sistem pendidikan, pentadbiran malahan dalam semua agenda negara. Kita juga harus ingat bahawa bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan kira-kira 53 tahun yang lalu. Ini kerana peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah jelas termaktub dalam perlembagaan negara Malaysia dan telah disepakati bersama oleh para ilmuwan sewaktu berlangsungnya Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Resolusi daripada kongres tersebut telah digubal menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dan ini telah mengukuhkan lagi peranan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita. Sebagai rumusannya, bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi atau jijik hingga sanggup menganaktirikan bahasa sendiri. Ini telah terbukti yang mana Korea, dan Jepun disertai oleh China yang sangat mendaulatkan bahasanya mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Jelas sekali bahawa sesuatu bahasa tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh yang demikian bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.BIBLOGRAFIAbdullah Hassan. (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abu Hassan Othman. (1997). Tranformasi Masyarakat dalam Konteks Pembinaan Negara bangsa Malaysia. Dalam M. Yaakob Johari. (ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).Ahmat Adam. (1997). Budaya Popular dan Sepunya Dalam Konteks Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. DalamM. Yaakob Johari.(ed). Agenda Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia dalam Era Kebangkitan Asia. Kota Kinabalu: Institut Kajian Pembangunan (Sabah).Awang Sariyan. (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar BaktiFaizal Othman. (1993). Pendekatan Bina Bangsa dalam Pengukuhan Tenaga Manusia bagi Wawasan 2020. Dalam Kamaruddin Jaafar & Hazami Habib.(ed). Wawasan 2020. Kuala Lumpur:Institut Kajian Dasar. Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010,http://www.moe.govKerajaan Malaysia. (1999). Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000. Kuala Lumpur : Percetakan Nasional Malaysia Berhad Nik Safiah Karim. (1986). Bahasa Melayu Persoalan & Pergolakan. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House Sdn Bhd. Rustam A. Sani. (1993). Melayu Baru dan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Disributors

Sdn.Bhd. Sumber Internet : http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/11/peranan- bahasamalaysia-sebagai-bahasa.html v.my/tayang.php?laman=lihat_ info&info=pengumuman&id=292&bhs=my. Diakses pada 30 Januari 2010 (http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu#Sejarah_Bahasa_Melayu). Diakses

You might also like