You are on page 1of 14

1.0 PENGENALAN Senario jual beli ini telah wujud berzaman lamanya.

Bermula dengan pengenalan sistem barter hingga Era globalisasi kini yang mula menunjukkan kuasanya. Era moden dengan kecanggihan teknologi yang mula mengambil alih pergerakan perdagangan hingga membawa kepada kejatuhan sempadan nasional akibat pergerakan modal, pekerja, komoditi, idea, komunikasi dan barang membuktikan bahana kuasa internet yang menjadikan semuanya semudah dihujung jari yang akhirnya berjaya merubah daripada sebuah masyarakat agraria menjadi masyarakat yang moden dan maju. Perkembangan teknologi yang pesat bersama dunia tanpa sempadan yang dibawa oleh internet ini menjadikan sesi jualan barang ini berlangsung dalam keadaan yang lebih kompleks dan rumit hasil daripada kecanggihan inovasi teknologi yang menjadikan dunia maya sebagai medium utama. Malaysia merupakan antara negara membangun yang tidak terkecuali untuk turut sama terjebak dalam kancah teknologi canggih ini hingga ianya membawa sesi jual beli ini dalam perspektif yang berbeza. Apabila berbicara mengenai jual beli. Terdapat beberapa unsur penting yang menjadi punca sesi jual beli berlangsug iaitu barang. Barang ialah setiap jenis harta alih selain daripada tuntutan dan wang dan termasuk stok dan saham, tanaman, rumput dan barang yang tercantum kepada tanah atau menjadi sebahagiannya yang dipersetujui akan dipisahkan sebelum dijual atau dipisahkan di bawah kontrak jualan. Berdasarkan pemberian makna ini, barang boleh dipermudahkan sebagai apa-apa jenis bahan yang boleh bergerak dan dipindahkan selain daripada wang adalah termasuk dalam kategori barang yang dimaksudkan. Satu situasi di alam realiti, seorang suri rumah yang merancang meraikan tarikh mereka dinikahkan membuat urusan jual beli di sebuah pasaraya terkemuka. Memilih barang dapur sebagai barang belian utama sementelah suaminya membeli sebuah kereta baru sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan mereka. Maka si suami bersama penjual kereta membuat perjanjian jual beli seminggu sebelum kereta idaman dijanji keluar menjelajah dunia. Berdasarkan situasi ini, perlu untuk diketahui bahawa terdapat dua jenis barang iaitu barang sedia ada dan barang masa depan. Seperti yang tertulis dalam seksyen 6 (1) dalam Akta Jualan Barang 1957, barang sedia ada ini adalah barang yang telah dimiliki atau disimpan oleh penjual iaitu barangan dapur yang dibeli oleh isteri. Manakala barang masa depan merupakan barang yang akan dibuat atau dihasilkan oleh penjual selepas kontrak jualan diwujudkan iaitu kereta yang dibeli oleh suami.

Apa yang mbezakan kedua-dua bentuk barang ini adalah si isteri dapat melihat, membau dan merasai sendiri barang yang ingin dibeli sedangkan si suami hanya mampu membuat pilihan berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan oleh penjual. Apabila sesi perbincangan ini bergerak dengan lebih mendalam, perkara utama yang perlu untuk difahami adalah kewujudan kontrak dalam setiap sesi jual beli yang berlangsung. Kontrak merupakan persetujuan daripada penjual untuk memindah alih barang kepada pembeli dengan harga yang tertentu yang telah ditetapkan. Kontrak ini akan dibezakan dengan jenis barang yang terlibat. Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, terdapat dua jenis barang iaiatu barang sedia ada dan barang masa depan. Sekiranya sesi jual beli ini berlangsung dengan melibatkan barang sedia ada maka ianya akan digelar kontrak jualan. Namun sekiranya barang yang terlibat adalah barang masa depan, kontrak ini akan lebih dikenali sebagai perjanjian untuk jualan dan perjanjian jualan ini akan digelar jualan setelah masa yang dipersetujui tiba dan syarat yang ditetapkan telah dipenuhi. Hal ini adalah kerana barang yang dipersetujui untuk dijual beli akan diberikan setelah beberapa perkara yang dpersetujui dalam perjanjian dipenuhi selari dengan apa yang dinyatakan dalam seksyen 4 (4) Akta Jualan Barang 1957. 2.0 PRINSIP JUALAN BARANG DI MALAYSIA Di dalam kehidupan seharian kita kini, keterlibatan dalam pembentukan kontrak merupakan satu keadaan yang tidak dapat untuk dipisahkan. Jika dahulu aktiviti jual beli tidak berlangsung dalam bentuk formal dan hanya dijalankan dalam bentuk sistem barter iaitu pertukaran barang sahaja. Namun kini, aktiviti jual beli yang sudah menjadi lumrah abadi manusia sejak zaman sistem barter lagi sudah diangkat dan dimasukkan dalam konsep kontrak yang dinyatakan dalam Akta Jualan Barang 1957. Bahkan sebelum terbentuknya Akta Jualan Barang 1957, aktiviti jual beli ini sudah terikat dengan undang-undang sivil menerusi Akta Kontrak 1950. Tawaran dan penerimaan merupakan elemen terpenting dalam pembentukan dan permulaan sesuatu kontrak jualan. Kegagalan dalam memenuhi elemen-elemen ini boleh mengakibatkan suatu kontrak jualan terbatal dan tidak sah. Secara dasarnya, pembentukan kontrak jual beli di Malaysia adalah disandarkan kepada Akta Jualan Barang 1957. Sandaran

pada Akta ini memungkinkan setiap kontrak yang dibuat dan dipersetujui oleh penjual dan pembeli dilindungi undang-undang. Menurut Salleh Buang & Nordin Torji, 1992, dalam menjadikan sesebuah kontrak jualan itu sah dan boleh dikuatkuasakan disisi undang-undang sivil adalah: 1.wujud suatu tawaran atau perjanjian yang dibuat oleh seseorang dan ditujukan kepada individu tertentu ataupun ditujukan kepada orang ramai 2.terdapat penerimaan atas tawaran yang dibuat dan penerima tawaran bersetuju untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan 3.ada balasan daripada perjanjian tersebut dan balsan itu haruslah bernilai dan sah di sisi undang-undang 4.pihak-pihak yang terbabit perlulah berkeupayaan untuk memasuki sesbuah kontrak 5.ada niat diantara pihak-pihak yang terbabit untuk menjadikan sesebuah perjanjian tersebut mengikat di sisi undang-undang 6.semua butiran di dalam sesebuah kontrak perlu jelas dan tentu maksudnya. Jika diteliti kandungan yang terdapat dalam Akta Jualan Barang 1957, perkara yang dinyatakan oleh Salleh Buang & Nordn Torji diatas merupakan antara perkara yang digaris dan ditekankan dalam pembentukan sesebuah kontrak jualan. Maka kerana itulah dalam setiap pembentukan kontrak jualan, terdapat beberapa prinsip utama yang perlu dipenuhi dahulu sebelum kontrak itu sahih dan boleh diguna pakai. Prinsip pertama adalah tawaran. Umum sedia maklum akan asas jual beli iaitu perlu wujud tawaran dan penerimaan. Bahkan dalam hampir semua sistem undang-undang

mengatakan bahawa mekanisme tawaran dan penerimaan digunakan untuk mencari kepakatan iaitu asas kepada pembentukan sesebuah kontrak jualan barang (S.M Noor Alam, 1995). Maka, dalam pembentukan kontrak jualan, seperti yang telah termaktub dalam Seksyen 5 Akta Jualan Barang 1957 menyatakan bahawa perihal tawaran perlulah dinyatakan dengan jelas. Ianya perlulah merangkumi penerangan yang terperinci mengenai apa yang ditawarkan. Syarat serta

beberapa terma jaminan yang terkandung sama perlu terang, jelas dan difahami dan akhirnya perlu untuk diterima (Cheshire, 1986). Terma syarat dan jaminan ini termasuklah syarat serta waranti yang didefinisikan dibawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Barang sebagai perkara-perkara yang dipersetujui pihakpihak yang terlibat dalam kontak. Kedua-dua terma ini merupakan stipulasi utama kontrak dan sekiranya berlaku perlanggaran pada mana-mana bahagian yang dinyatakan dalam syarat dan waranti maka kontrak akan terbatal dan pihak yang tidak bersalah mempunyai hak untuk membatal dan menolak kontrak tersebut. Syarat dan waranti ini yang akan membawa kepada pelbagai bentuk pelaksanaan kontrak. Hal ini adalah kerana, setiap tawaran adalah berbeza. Maka kontrak juga boleh berlangsung dalam bentuk yang tidak sama. Misalnya, kontrak boleh berlangsung bertulis mahupun lisan, atau sebahagian bertulis dan sebahagian lisan, bergantung kepada budi bicara kedua pihak yang terlibat sama. Tambahan, kontrak juga dibezakan melalui penyerahan barang yang berlangsung juga masa yang ditetapkan. Ada kontrak yang mendahulukan penyerahan barang dan bayaran dilakukan kemudian atau bayaran yang perlu dilangsaikan dahulu baru diikuti dengan penyerahan barang mahupun kedua duanya berlangsung seiring iaitu bayaran dilakukan dan penyerahan turut disempurnakan dalam masa yang sama dan yang terakhir, penyerahan

dilakukan dan bayaran dilakukan secara ansuran. Kesemua keadaan ini sebenarnya boleh dan dibenarkan seperti yang telah digariskan dibawah seksyen 5 (1) Akta Jualan 1957. Bentuk kontrak yang berbeza ini dibuktikan juga melalui beberapa terma tersirat yang terkandung dalam setiap kontrak yang terbentuk dalam usaha untuk memberi perlindungan kepada kedua-dua pihak yang membentuk kontrak jualan. Terma tersirat ini hadir dalam empat bentuk. Pertama syarat tersirat mengenai hak milik. Kedua, syarat tersirat mengenai penerangan manakala syarat tersirat yang ketiga adalah syarat tersirat mengenai kesesuaian barangan dan kualiti yang boleh diperdagangkan. Syarat tersirat yang akhir sekali merupakan syarat tersirat untuk menjual melalui sampel. Melalui syarat tersirat yang pertama iaitu mengenai hak milik, Seksyen 14 Akta Jualan Barang 1957 menggariskan bahawa dalam proses jualan barang, penjual adalah dikehendaki

memastikan bahawa dia mempunyai hak untuk menjual. Frasa hak untuk menjual yang diperkatakan ini tidak didefinisikan dengan jelas, maka Scrutton LJ mendefinisikannya sebagai jika seseorang penjual itu boleh dihalang daripada menjual barang oleh mana-mana proses undang-undang maka dia akan dianggap sebagai tidak mempunyai hak untuk menjual walau hakikatnya penjual itu merupakan empunya yang sah. Penafian untuk menjual ini berlaku sekiranya melanggar hak cipta yang dipelihara. Sebagai contoh, penjual yang menjual susu berlabel Nissly dianggap melanggar Seksyen 14 ini walaupun beliau merupakan empun ya sah kepada susu yang dijual. Hal ini adalah kerana penjualan susu berlabelkan Nissly ini melanggar tanda niaga syarikat Nestleyang telah mendapat injuksi penahanan penjualan susu tersebut. Bagi syarat tersirat kedua yang digariskan dibawah Seksyen 15 pula metakrifkan bahawa penjual juga perlu untuk memastikan barang yang dijual samada menerusi penerangan mahupun sampel adalah mengikut penerangan juga spesifikasi yang telah mereka berikan pada pengguna Lord Diplock dalam Ashington Piggeries Ltd. & Anor. v. Christopher Hill Ltd mengatakan bahawa perkataan perihal atau penerangan ini adalah terhad kepada perkataan dalam kontrak yang diniatkan oleh pihak-pihak untuk mengenalpasti jenis barang yang akan dibekalkan. Makna kata, identifikasi perlu menjadi kunci utama kepada pembeli untuk mengenalpasti bahawa barang yang diterima adalah memenuhi spesifikasi yang telah dpersetujui bersama. Bagi terma yang ketiga, terma ini menekankan aspek kualiti barang yang dijual. Seksyen 16(1)b menekankan perihal kualiti boleh dagang. Kualti boleh dagang ini boleh dinilai melalui aspek kegunaan iaitu boleh digunakan sekurang-kurangnya untuk satu kegunaan. Maka dengan itu Seksyen 17 mengangkat perihal kualiti ini sekali lagi dengan mengenakan syarat tersirat keempat bahawa barang yang diserah hendaklah bersamaan dengan contoh dalam aspek kualiti. Terma-terma syarat serta waranti yang diberikan ini yang akan membawa kepada keyakinan pengguna seterusnya mempengaruhi prinsip yang kedua iaitu penerimaan. Hal ini adalah kerana, keperluan utama sesuatu kontrak adalah perjanjian. Bagi mewujudkan perjanjian ini, ianya tidak boleh untuk berlaku dengan hanya satu entiti sahaja yang terlibat. Hal ini adalah kerana, satu pihak sahaja tidak boleh membuat perjanjian dengan diri sendiri ( Mohamad Sabri & Shapiai Abd Rahman, 1996) maka, apabila berlaku sesuatu tawaran, ianya perlulah disambut dengan penerimaan terhadap kandungan kontrak itu sendiri. Menurut Felthouse V. Bindley (1862) penerimaan ini adalah tindak balas terhadap tawaran yang berlangsung dan penerima

tawaran mengkomunikasikan penerimaan kepada pembuat tawaran. Oleh kerana itu, Sinnadurai, V. 1991 mengatakan bahawa penerimaan boleh berlaku dalam tiga bentuk iaitu : I. Penerimaan dalam bentuk perjanjian penerimaan bentuk ini merujuk kepada kontrak bilateral iaitu kontrak yang dibuat dengan melibatkan samada dua atau lebih pihak yang telah dikenalpasti dan dapat dipastikan. II. Penerimaan dalam bentuk pelaksanaan penerima tawaran perlu untuk menunjukkan kepada pembuat tawaran bahawa tawaran yang diberikan tersebut diterima dan kontrak tersebut terbentuk apabila pelaksanaan dilakukan oleh penerima tawaran. III. Penerimaan dalam bentuk tiada reaksi penerimaan bentuk ketiga ini hanya dalam keadan tertentu sahaja boleh untuk diguna pakai. Apabila perbincangan bergerak kepada prinsip yang ketiga iaitu perihal yang berkait dengan harga, harga ini sering dikaitkan dan disimbolikkan dengan wang. Dalam seksyen 9 Akta Jualan Barang mengatakan bahawa harga boleh ditetapkan secara spesifik didalam kontrak. Harga juga boleh ditentukan berdasarkan persetujuan kontrak yang memungkinkan penglibatan oleh pihak ketiga, perbincangan dan persetujuan kedua pihak dan terakhir sekiranya harga tidak tetap maka pembeli perlu untuk membayar dengan kadar yang bersesuaian. Sebagai contoh, tawaran yang berlangsung dalam bentuk jualan lelongan. Dalam situasi ini, tawaran yang dilakukan adalah secara terbuka. Penjual akan menunjukkan dahulu barang apa yang ditawarkan kemudian meletakkan harga asas kepada pembeli. Sesi lelong dan jual beli akan berlangsung mengikut rentak juga permintaan pembeli. Dalam hal ini, harga merupakan indikator yang bergerak balas dan tidak tetap. Maknanya harga adalah tidak tetap. Kontrak akan menjadi sahih dan bertukar menjadi bentuk kontrak jualan apabila pembeli menerima harga terakhir yang ditetapkan dan bersetuju dengan tawaran terakhir yang dikemukakan oleh penjual. Sesi unjuran harga yang berlangsung tidakbertulis dan hanya dari mulut ke mulut dengan para hadirin lain menjadi saksi. Contoh kedua adalah situasi ketika pembentukan kontrak perjanjian pembelian rumah. Dalam pembelian rumah, penjual yang biasanya terdiri daripada pemaju ini memberikan tawaran

berdasarkan contoh binaan yang dibuat melalui model rumah. Tawaran yang dilakukan akan disertakan sekali bersama penerangan yang terperinci mengenai saiz dan keluasan rumah, harga, masa yang ditetapkan bagi jangkaan rumah siap dan boleh didiami, syarat dan bentuk pembayaran yang perlu diselesaikan oleh pembeli. Dalam situasi ini, harga yang dinyatakan telah ditetapkan dalam syarat perjanjian. Jika dianalisis dengan lebih mendalam, sebarang perkara yang telah tertulis dalam Akta Jualan Barang ternyata cuba untuk menjaga kebajikan juga hak pengikat kontrak. Samada pihak yang membuat tawaran mahupun pihak yang menerima tawaran tersebut. Segala apa yang telah kita bincangkan adalah lebih kepada kontrak yang berlangsung secara nyata. 3.0 PERUNDANGAN DALAM JUALAN BARANG MENERUSI MEDIUM INTERNET Namun satu perkara yang pasti dan tidak mampu dinafi kini adalah perihal

perkembangan ekonomi global yang telah membawa proses jualan barang keperingkat yang lebih terbuka dan mudah. Dengan menjadikan dunia maya sebagai medium utama, kini sesi jual beli boleh berlangsung dengan hanya wujudnya jaringan internet. Alaf ini, dengan penaklukan teknologi digital di persada perdagangan tempatan dan antarabangsa, disertai oleh kecanggihan sistem komputer, komunikasi dan teknologi maklumat menyaksikan wujudnya satu pasaran elektronik baru dan berevolusi di seluruh dunia. (Furmstone 1999) Ternyata kepesatan perkembangan ekonomi global berjaya membawa faedah yang besar kepada pengguna dengan keterbukaan barangan serta perkhidmatan yang seterusnya memperkasa hak pengguna dalam membuat pilihan berasaskan kepada keperluan dan kuasa membeli. Internet kini dijadikan platform kepada entiti perniagaan untuk menjalankan sebarang aktiviti pernigaan tanpa halangan kos, masa dan tempat. Hal ini adalah kerana, dengan internet, semua elemen transaksi komersial boleh dikendalikan secara interaktif dengan seorang mahupun ramai orang, disamping tidak ditekan oleh masa juga sempadan, dalam persekitaran multimedia dengan bunyi, imej dan transmisi teks, dan kos yang secara relatifnya adalah rendah (World Trade Organization 1998).

Hal ini kerana, umum sedia maklum bahawa rumus mudah ekonomi dan perniagaan adalah berkait rapat dengan tawaran dan juga permintaan. Tawaran ini akan bergerak langsung dengan permintaan juga penerimaan yang ada. Kini, permintaan barangan secara online ini ternyata tinggi maka ramai pihak yang cuba untuk memanfaatkan keadaan ini sekaligus mampu menawarkan lebih banyak pilihan serta kemudahan tambahan kepada pengguna. Menyedari hal ini, maka timbul satu persoalan tentang transaksi yang dijalankan. Adakah kontrak jualan yang berlangsung dialam maya ini memberikan satu jaminan keselamatan kepada pembuat tawaran dan juga kepada penerima tawaran. Sejauh manakah undang-undang sedia ada yang ada dalam negara ini mampu mengekang masalah yang mungkin timbul ekoran perkembangan medium alternatif baru ini. Hal ini adalah kerana, walaupun fenomena ini dilihat seiringan dengan pendapat Adam Smith bahawa kepenggunaan adalah matlamat utama bagi setiap pengeluaran namun senario yang berlangsung dalam kancah dunia maya setakat ini tetap menimbulkan tanda tanya mengenai tahap perlindungan terhadap pengguna dalam hubungan kontraktual yang mereka lakukan dalan urusan jual beli secara online. Bahkan jika merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan pembelian barangan menerusi internet merupakan antara enam jenis jenayah komersial yang jumlahnya semakin meningkat saban tahaun, bahkan menurut Timbalan Ketua polis Kelantan, Datuk Mazlam Lazim, di Kelantan sahaja, lebih 30 kes dengan jumlah kerugian RM42,989 dilaporkan apabila pemesan barang melalui internet tidak menerima barang yang telah mereka bayar. Melalui BERNAMA, polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dalam membuat transaksi bagi pembelian barangan melalui internet berikutan meningkatnya kes penipuan cara itu sejak tiga tahun kebelakangan ini. Menurut Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2011 sebanyak 1,424 kes dilaporkan berbanding 1,114 kes sepanjang tahun 2010 dan 551 kes pada 2009. Kes ini mengakibatkan jumlah kerugian untuk tahun 2011 ialah RM3.519 juta, RM3.124 juta sepanjang tahun 2010 dan RM786,000 bagi 2009. Tambah beliau lagi, sepanjang tempoh 2009-2011, tahun 2011 mencatatkan, kes paling banyak membabitkan 'mudah.my' dengan 1,009 transaksi melibatkan kerugian RM1.7 juta, diikuti transaksi lain-lain sebanyak 415 kes dengan kerugian RM1.84 juta.

Melalui statistik yang telah dinyatakan menunjukkan bahawa kadar penipuan serta ketidakefisienan sistem untuk mengangkat nilai kepenggunaan itu adalah masih rendah. Kes barang yang tidak mematuhi beberapa etika dalam syarat yang tersirat seperti yang telah digariskan dibawah Akta Jualan barang 1957merupakan antara perkara major yang menjadi topik hangat yang diperjuangkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia. Maka, dalam kita bergelut dalam era teknologi komputer ini, pengguna memerlukan lebih perlindungan terutamanya apabila terbabit dalam urusan jualan yang menjadikan internet ini sebagai medium utama. Undang-undang perlindungan pengguna di Malaysia pada masa kini adalah perlu memandangkan barang yang dibekalkan oleh penjual menjadi lebih rumit dan kompleks hasil daripada inovasi teknologi yang ada. Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah digubal bagi memenuhi tiga tujuan utama yakni mengadakan peruntukan bagi pelindungan pengguna, penubuhan Majlis Penasihat Pengguna Negara dan Penubuhan Tribunal Tuntutan Pengguna yang mana penguatkuasaannya pada 15 november 1999 akan membentuk sebahagian daripada undang-undang jualan di Malaysia. Dalam usahanya untuk mempertingkat perlindungan pengguna sedia ada, bahagian V Akta Perlindungan Pengguna telah memperuntukkan 7 waranti tersirat. Antaranya pengguran terma waranti kepada gerenti yang selaras dengan peruntukan remedi yang terkandung dalam Bahagian VI APP 1999 yang menampakkan kecenderungan kepada pendekatan moden. Selain itu, obligasi bagi memastikan barang mematuhi perihal juga terkandung dalam Akta Perlindungan Pengguna. Didalam Seksyen 34, sekiranya barang yang dibekalkan menggunakan perihal penerangan kepada pengguna maka hendaklah tersirat satu gerenti bahawa yang yang ditaksirkan adalah sama dengan barang yang diperihalkan, dan sekiranya barang itu diperihalkan melalui sampel maka ianya tertakluk bawah Seksyen 35 akta yang sama. Selain daripada gerenti tersirat yang hampir menyamai Akta Jualan Branag 1957, Akta Perlindungan Pengguna juga membentuk satu obligasi yang yang memperuntukkan bahawa pengguna tidak akan dikenakan bayaran yang lebih daripada harga yang munasabah bagi barang itu. Persoalannya, harga munasabah bagaimana yang di katakan? sedangkan kini, dalam pembelian barang secara online juga mengenakan tarif harga penghantaran yang berbeza bagi setiap barang juga tempat. Bagaimana penentuan harga munasabah ini untuk diselaraskan agar

setiap pembeli dan pengguna terjaga haknya dari aspek harga yang menjadi salah satu prinsip penting dalam jualan barang. Harapan yang dijangka cerah apabila Akta Perlindungan Pengguna 1999 digubal ternyata masih kelam apabila dibawah seksyen 2(2)g, Akta Perlindungan Pengguna tidak termasuk transaksi yang elektronik melainkan jika ditetapkan oleh Menteri Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Bahkan ketika hal ini dibahaskan, perdagangan elektronik akan dikawal selia oleh undang-undang siber yang lain. Makna kata, perlindungan pengguna hanya tertakluk dibawah undang-undang sedia ada yang digubal dibawah Akta Kontrak 1950 dan Akta Jualan Barang 1957. Demi kemaslahatan pengguna Malaysia, terdapat beberapa perkara yang perlu untuk dinilai dan dibaik pulih. Hal ini adalah kerana, walaupun kes yang dilaporkan mengenai penipuan jualan barang di internet ini diletakkan dibawah Akta Jenayah Komputer 1997, dimana menurut Seksyen 3, Akta Jenayah Kompuetr 1997mengatakan bahawa sesuatu kesalahan dikatakan berlaku apabila sesorang individu menyebabkan sebuah komputer menjalankan apaapa fungsi dengan niat untuk mendapat capaian kepada mana-mana ataur cara mahupun data yang disimpan dalam mana-mana komputer. Seksyen ini hanya mengutamakan niat pelaku untuk mendapatkan capaian. Maka, samada berjaya atau tidak, pelaku tetap boleh didakwa. Sehingga tarikh 31 march 2010, masih belum ada kes yang dilaporkan oleh jurnal undangundang dibawah seksyen ini namun namun rujukan boleh dibuat kepada kes Inggeris iaitu R lwn Cropp,apabila tertuduh didakwa di bawah seksyen 2(1) computer Misuse Act 1990 United Kingdom yang bersamaan dengan peruntukan seksyen 3 Akta Jenayah Komputer 1997. Dalam kes ini, tertuduh telah melawat premis bekas majikannya. Dia mengambil suatu barangan dan jurujual memasukkan item barangan tersebut dalam komputer. kemudian, komputer tersebut dibiarkan sementara oleh jurujual dan tertuduh telah memasukkan diskaun sebanyak 70% ke atas barangan yang dibelinya. tertuduh hanya membayar $204.60 pound yang sepatutnya harga barangann tersebut ialah $710.96 pound. Di mahkamah bicara, tertuduh dilepaskan daripada bertanggungan kerana peruntukan menyebut sesuatu perbuatan yang bertentangan "haruslah daripada komputer yang lain". Namun di peringkat rayuan, mahkamah menyatakan bahawa ia termasuk juga dalam perbuatan menggodam sekiranya dilakukan pada komputer yang sama.

Kita dapat lihat bahawa pelbagai pindaan dilakukan, beberapa perundangan digubal, namun bilangan kes yang berlaku semakin meningkat saban tahun dan jumlah kerugian juga semakin besar nilainya. 4.0 CADANGAN PINDAAN TERHADAP PERUNDANGAN MALAYSIA Jika kita lihat bagi setiap perkara yang telah digariskan dibawah Akta Jenayah Komputer ini juga perundangan yang lain, Akta-akta dan perundangan ini tidak lepadsdari limitasi juga kelemahan. Yang jelas, perundangan ini hanya memberatkan aspek punitif dan pencegahan semata-mata dan tidak mengadakan satu mekanisme tebusrugi bahkan hanya lebih kepada bentuk menghukum kepada pesalah laku. Bagaimana dengan hak pengguna dalam menghadapi kerugian yang telah berlaku? Maka, dalam usaha untuk cuba mengangkat hak pengguna ke tahap lebih tinggi serta memberi satu jaminan keselamatan bagi setiap transaksi yang dijalankan menerusi internet, undang-undang yang tegar membela pengikat kontrak iaitu Akta Jualan Barang perlulah dimantapkan terutama dalam aspek waranti dan gerenti yang diperkatakan. Hal ini mungkin akan menjadi pasti apabila digariskan satu terma tebus rugi yang membolehkan pembeli ini mendapat tebusrugi terhadap kerugian yang berlaku. Selain itu perihal harga munasabah yang ditekankan dalam Akta Perlindungan Pengguna juga perlu diperjelaskan bahkan perlu untuk satu sistem juga mekanisme yang bersesuaian dicadangkan agar harga tambahan yang sering dicas oleh penjual kepada pengguna ini dikawal selia. Mungkin perletakan harga siling yang tertentu juga boleh dilaksanakan agar pengguna tidak mudah tertipu dengan harga yang tidak munasabah bagi sesuatu barang yang dibeli melalui internet.

5.0 KESIMPULAN Secara keseluruhannya, perihal dagangan dan jualan barang di Malaysia antara perkara yang dititik berat dan dijaga kebajikannya. Arena kontrak juga liabiliti kontraktual antara pembuat tawaran juga penerima tawaran yakni penjual dan pembeli yang disandarkan kepada beberapa perundangan seperti Akta Kontak 1950, Akta Jualan Barang 1957, Akta Perlindungan Pengguna 1990 dan Akta Keselamatan Komputer menunjukkan keprihatinan negara dalam cuba mengangkat perdagangan ke tingakat yang tinggi agar persaingan juga perkembangan ekonomi berlangsung selari dengan kemjuan teknologi dan arus globalisasi. Namun kita bukan hidup dalam dunia yang sempurna maka terdapat beberapa aspek yang masih lemah penilaiannya namun itu bukan faktor utama untuk menolak keupayaan jualan secara online. Apa yang perlu menjadi pegangan dan kepercayaan adalah keupayaan kita dalam memperbaiki keadaan sedia ada dan pemantapan perundangan yang menjadi tembok pertahanan yang kukuh.

BIBLIOGRAFI Akta Kontrak 1950 (Akta 136) Akta Jualan Barang 1957 (Akta 382) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) Ahmad shamsul Abd Aziz, 2003. Elemen Tawaran Dan Penerimaan Dalam Pembentukan Kontrak Jual Beli Dari Perspektif Undang-Undang Sivil Dan Undang-Undang Syariah. Ulum Islamiah. Furmston. 1999. The Law of Contract. London: Butterworths. Lord Diploek. 1973. Ashington Piggeries Ltd. & Anor. v. Christopher Hill Ltd,3 Mohamad Sabri Yusoh, Shapiai Abd Rahman. (1996). Asas Undang-Undang Perniagaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Paul J Omar. 1999. Common Law And Civil Law Approaches to Sale of Goods Comparison. Malayan Law Journal Articles,4. Salleh Buang, Nordin Torji, (1992). Undang-Undang Kontrak di Malaysia. Kuala Lumpur: Central Law Book Company. Shaik Mohd Noor Alam S .M. Hussain. 1998. Kontrak & Kewajipan Undang-undang di beberapa negara ASEAN Yang dipilih. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Sinnadurai, V. 1987. Law of contract in Malaysia and Singapore:Cases and commentary. Singapore: Butterworths. S. M Noor Alam. (1995). Undang-Undang Komersil di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Contracts: a

World Trade Organisation.1998. Electronic Commerce and the Role of the WTO. Zeti Zuryani Mohd Zakuan, Sakina Shaik Ahmad Yusoff. (2011). Implied Guarantees Under The Customer Protection Act 1999: Improvements to the Implied Conditions Under the Sale of Goods Act 1957?): UUM.

RUJUKAN LAMAN WEB http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ter kini&pg=bt_21.htm http://drdogol.blogspot.com/2011/12/penipuan-transaksi-beli-barang-melalui.html http://bloglegalliability.blogspot.com/2010/03/jenayah-komputer-2.html

You might also like