You are on page 1of 4

http://www.islam.gov.

my/muamalat/

Portal rasmi Muamalat dan Kewangan Islam JAKIM

Konsep Akad dan Jenisnya dalam


Muamalat Islam
Oleh: Abdul Muhaimin Mahmood
Penolong Pengarah
Cawangan Muamalat dan Sosio Ekonomi (CMSE)
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim
 
Akad dari sudut penggunaan bahasa Arab mempunyai makna yang pelbagai
antaranya, janji, jaminan, kepercayaan dan ikatan (sama ada ikatan sebenar seperti
mengikat tali atau ikatan simbolik seperti ikatan ijab dan qabul dalam akad jual-beli).
Manakala Kamus Dewan pula memberikan pengertian akad sebagai janji dan
perjanjian. Perkataan akad merupakan perkataan yang sinonim dengan perkataan
kontrak.
 
Akad dari istilah fiqh ialah ikatan di antara ijab dan qabul yang dibuat mengikut cara
yang disyariatkan yang sabit kesannya pada barang berkenaan. Dengan perkataan lain
akad melibatkan pergantungan cakapan salah satu pihak yang berakad dengan
cakapan pihak yang satu lagi, mengikut ketentuan syarak yang akan melahirkan kesan
pada barang yang diakadkan. (al-Zuhaily,Wahbah, 2002, Fiqh & perundangan Islam,
pent. Md. Akhir Haji Yaacob, Dewan Bahasa dan Pustaka, jld.4, hlm.83). Dari aspek
undang-undang pula, kontrak didefinisikan sebagai semua perjanjian adalah kontrak
jika dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak membuat kontrak, untuk
sesuatu balasan yang sah, dan dengan sesuatu tujuan yang sah (Akta Kontrak, seksyen
10 (1)).
 
Akad terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut perbezaan sudut pandangan.
Antaranya ialah pembahagian akad mengikut sifatnya dari aspek syarak, dan dari
aspek ada atau tidak ada kesannya kepada akad yang dimenterai.
 

1. Pembahagian akad mengikut sifatnya dari aspek syarak, terbahagi kepada


beberapa jenis iaitu sahih (‫ )صحيح‬, batil (‫)باطل‬, nafiz (‫)نافذ‬, mauquf  (‫)موقوف‬, lazim (
‫ )الزم‬dan ja’iz (‫)جائز‬.

 Akad sahih ialah kontrak yang sempurna semua rukun dan syarat yang
ditetapkan syarak dan tidak ada sebarang unsur dan sifat meragukan yang
boleh mengeluarkannya dari dikira sah dari segi pensyariatannya. Hukum
kontrak ini ialah sah dan sabit kesannya serta-merta sebaik sahaja selesai ijab
dan qabul jika tidak ada khiyar dalam jual beli.
  Akad batil ialah kontrak yang tidak sempurna (cacat) syarat dan rukunnya.
Hukum kontrak seperti ini ialah tidak sah dan tidak melahirkan sebarang kesan
sedikit pun.
 Akad nafiz ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai
kelayakan dan kuasa untuk melakukannya. Hukumnya ialah kontrak seperti ini
menerbitkan kesan segera sebaik sahaja ia dibuat, tanpa tertakluk kepada
kelulusan dan keizinan seseorang.
 Akad mauquf ialah kontrak yang terbit dari seseorang yang mempunyai
kelayakan untuk berkontrak, tetapi dia tidak mempunyai kuasa untuk
melakukannya seperti kontrak yang dilakukan oleh kanak-kanak yang
mumaiyiz bagi kontrak yang ada risiko untung dan rugi. Hukumnya ialah
kontrak ini tidak boleh melahirkan sebarang kesan melainkan setelah
mendapat kelulusan dan persetujuan oleh pemilik hak yang berkuasa
melakukannya. Jika pemilik hak tidak mempersetujui atau meluluskannya
maka kontrak itu menjadi batal.
 Akad lazim ialah kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak yang
memeterai kontak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang lagi satu
seperti kontrak sewa dan jual beli.
 Akad jaiz ialah kontrak yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak
membatalkannya tanpa sebarang persetujuan pihak yang lagi satu seperti
kontrak wakalah.

2. Pembahagian akad dari aspek ada atau tidak ada kesannya terhadap akad
yang dibuat pula terbahagi kepada munjiz (‫)منجز‬, muallaq (‫ )معلق‬dan mustaqbali (
‫)مستقبلى‬.

 Akad munjiz ialah kontrak yang dibuat dengan lafaz yang tidak digantungkan
dengan sebatang syarat dan tidak disandarkan pelaksanaannya pada masa
hadapan. Kontrak seumpama ini menerbitkan kesan segera ke atas kontrak
sebaik sahaja ia dibentuk.
 Akad muallaq ialah kontrak yang dikaitkan kewujudannya dengan wujudnya
sesuatu yang lain. Sekiranya wujud perkara tersebut maka wujudlah kontrak,
jika sebaliknya maka tidak berlakulah kontrak. Sebagai contoh si polan A
berkata kepada si polan B, “jika aku jadi keluar negara maka engkaulah
menjadi wakil ku”. Kontrak seumpama ini tidak akan terbentuk melainkan
adanya syarat yang dikaitkan itu.
 Akad mustaqbali ialah kontrak yang dibuat dengan lafaz penerimaan
disandarkan pada masa yang akan datang. Hukum kontrak ini ia akan berlaku
atau terbentuk segera, tetapi kesannya tidak ada kecuali pada waktu yang
ditetapkan itu, iaitu waktu yang disandarkan berlaku. (al-Zuhaily,Wahbah,
Fiqh & perundangan Islam, jld.4, hlm.235-248 dan al-Banhawi, Mohd Abdul
Fatah, 1999, Fiqh al-Muamalat Dirasah Muqaranah, Jamiah al-Azhar, Tanta,
hlm.11-14.)

Akad jual beli dan jenis-jenisnya

Perkataan al-bai’ (jual beli) dari aspek bahasa bermaksud menukar suatu barang
dengan suatu barang yang lain. Dari sudut istilah syarak pula, al-bai’ mempunyai
banyak pengertian yang diberikan para ulama. Menurut Mazhab Hanafi, jual beli ialah
pertukaran suatu harta dengan suatu harta yang lain mengikut cara yang tertentu. Atau
menukar sesuatu yang disukai dengan sesuatu yang lain yang juga disukai dengan
dengan cara tertentu yang berfaedah iaitu dengan tawaran atau unjuk-mengunjuk.
Menurut mazhab Syafie, jual beli ialah pertukaran sesuatu harta benda dengan harta
benda yang lain, yang keduanya boleh ditasharrufkan (dikendalikan), dengan ijab dan
qabul menurut cara yang diizinkan oleh syarak (al-Husaini, Abi Bakr ibn Muhammad,
2005, Kifayatul akhyar fi halli ghayat al-ikhtisar, Dar al-Salam, al-Qahirah, Misr,
hlm.305). Al-Bai’ juga adalah kontrak pertukaran harta benda yang memberikan
seseorang hak memiliki sesuatu benda atau manfaat untuk selama-lamanya, bukan
dengan tujuan al-qurbah (mendampingi diri kepada Allah) (Mughni al-muhtaj, jld.3,
hlm.2).

Pensyariatan jual beli ini telah sabit dengan nas al-Quran, hadis dan juga ijmak.
Terdapat lebih daripada sepuluh jenis akad jual beli dalam Islam yang boleh berlaku
dalam bentuk dan gambaran yang berbeza. Antara jenis-jenis akad jual beli tersebut
ialah:

 Bai’ al-sil’ah bi al-naqd (‫)بيع السلعة بالنقد‬: iaitu jual beli sesuatu barang dengan
mata wang. Jenis ini adalah yang paling meluas berlaku dikalangan manusia.
Contonya ialah membeli sehelai baju dengan Ringgit Malaysia atau US Dollar
dan seumpamanya.
 Bai’ al-muqayadhah (‫)بيع المقايضة‬: iaitu jual beli sesuatu barang dengan barang,
seperti menjual baju dengan beg atau menjual binatang ternakan dengan beras
dan sebagainya.
 Bai’ al-salam (‫)بيع السلم‬: ialah jual beli sesuatu barangan secara tangguh dengan
bayaran harga secara tunai, seperti menjual barangan yang telah disifatkan
butiran bentuk, spesifikasi, kualiti dan kuantiti secara terperinci dengan
bayaran harganya dibuat secara tunai, manakala penyerahan barang
ditangguhkan pada suatu masa yang ditetapkan.
 Bai’ al-sharf (‫)بيع الصرف‬: iaitu jual beli mata wang dengan mata wang yang
sama atau berbeza jenis, seperti menjual emas dengan emas, perak dengan
perak atau emas dengan perak, ringgit Malaysia dengan rial Saudi dan
sebagainya.
 Bai’ al-murabahah (‫)بيع المرابحة‬: iaitu jual beli sesuatu barangan pada harga
kos bersama tambahan margin keuntungan, seperti menjual sesuatu barangan
berharga RM100 dengan harga kos dan ditambah pula margin keuntungan
sebanyak RM10 yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
 Bai’ al-wadhiah (‫)بيع الوضيعة‬: ia adalah lawan kepada jual beli secara
murabahah, iaitu jaul-beli yang dibuat atas sesuatu barangan dengan harga
yang lebih murah dari harga kos, seperti harga barangan adalah RM10 dan
dijual dengan harga RM9 atau lebih rendah.
 Bai’ al-tauliah (‫)بيع التولية‬: ialah jual beli sesuatu barangan dengan harga kos
tanpa ada lebih mahupun kurang dari harganya. Seperti barangan berharga
RM100 dijual dengan RM100.
 Bai’ al-urbun (‫)بيع العربون‬: iaitu satu bentuk jual beli dimana pembeli
membayar sejumlah wang pendahuluan. Sekiranya jual beli diteruskan maka
wang pendahuluan ini akan menjadi sebahagian daripada harga barangan. Jika
tidak, maka wang yang ini tidak akan dikembalikan kepadanya.
 Bai’ al-talji’ah (‫)بيع التلجئة‬: ialah suatu bentuk jual beli yang dibuat oleh penjual
yang dalam kesempitan (terpaksa) kerana kuatir dan takut hartanya diambil
oleh orang lain. Bagi menyelamatkan hartanya, ia bersepakat dengan
seseoarang bagi menzahirkan akad jual beli dan menyembunyikan tujuannya
yang sebenar. Seperti menjual rumah untuk mengelak dari dilelong oleh bank
atau permiutang.
 Bai’ al-wafa’ (‫)بيع الوفاء‬: iaitu jual beli barangan dengan syarat apabila penjual
membayar semula harga barangan yang dijual maka pembeli akan
mengembalikan semula barangan yang dijual kepada penjual.
 Bai’ al-istishna’ (‫)بيع االستصناع‬: iaitu jual beli dalam bentuk tempahan
perbuatan barang tertentu dengan spesifikasi yang tertentu yang menghendaki
penjual, pemaju, pengilan atau orang lain membuatkan barangan yang
ditempah tersebut untuk pembeli. 
 Bai’ al-inah (‫)بيع العينة‬: iaitu jual beli yang berlaku antara penjual dan pembeli,
di mana penjual menjual asetnya kepada pembeli dengan harga tangguh lebih
tinggi, kemudian penjual membeli semula aset tersebut daripada pembeli
dengan harga tunai yang lebih rendah. Keadaan sebaliknya boleh berlaku.

Kesimpulannya, kepelbagaian bentuk dan jenis-jenis akad, khususnya akad jual beli
menunjukkan keunikan sistem muamalat dalam Islam. Kepelbagaian bentuk dan jenis
ini tidak lain adalah untuk memenuhi hajat dan maslahah yang diperlukan oleh
manusia dalam kehidupan didunia ini. Semoga tulisan ini memberikan manfaat dan
panduan kepada kita ke arah memahami akad dan kontrak dalam syariat Islam.

You might also like