You are on page 1of 3

Faedah kokurikulum (Karangan cemerlang SPM) Posted by minda Anak-anak yang masih muda khususnya mereka yang masih

berada di bangku sekolah merupakan harapan bangsa dan negara pada masa hadapan. Justeru, menyedari akan hakikat ini sistem pendidikan negara kita tidak hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tetapi juga pencapaian dalam bidang kokurikulum. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada semua pelajar di seluruh negara. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama mendatangkan pelbagai kebaikan kepada negara. Kegiatan kokurikulum sememangnya mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar. Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan dan mencergaskan tubuh badan pelajar. Dalam hal ini, para pelajar berkemungkinan bebas daripada masalah obesiti yang dialami oleh sesetengah rakyat. Kanak-kanak akan menghadapi masalah perut yang gendut kerana kurang bersenam. Melalui kegiatan kokurikulum yang dijalankan, pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan fizikal. Sebagai contoh, aktiviti merentas desa dan ekspidisi mendaki gunung boleh meningkatkan daya tahan dan stamina pelajar. Dalam masa yang sama juga, peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya akan dibuang. Di samping itu, daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit juga meningkat. Oleh itu, berbekalkan tubuh badan yang sihat, mereka akan dapat menumpukan perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran, bak kata pepatah otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Oleh itu,jelas bahawa kegiatan kokurikulum mampu menjamin kesihatan serta mencerdaskan otak pelajar sekali gus membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Seterusnya, kegiatan kokurikulum telah dijadikan salah satu syarat untuk melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah drastik dengan menetapkan sepuluh peratus daripada syarat untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi melalui penglibatan dan pencapaian yang baik dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Ini kerana kerajaan mahu melahirkan graduan yang serba boleh dalam pelbagai bidang. Berdasarkan keputusan itu, para pelajar diwajibkan menyertai pelbagai badan kokurikulum yang terdapat di sekolah. Hal ini juga mewujudkan dasar 1 Murid 1 Sukan. Oleh itu, para pelajar

tidak lagi boleh memandang remeh terhadap aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Selain itu, murid-murid dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah melalui penglibatan dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini kerana dengan menyertai pelbagai kegiatan kokurikulum penglibatan pelajar dalam gejala sosial dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Dalam masa yang sama juga, pelajar akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang dan sentiasa berpegang kepada kata-kata bahawa masa itu emas. Sebagai contoh, sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi dengan alam. Mereka akan ditanamkan dengan perasaan cinta akan alam sekitar, di samping mengamalkan sikap bagai aur dengan tebing dengan peserta perkhemahan yang lain. Dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang berfaedah remaja akan kurang berhadapan dengan risiko dipengaruhi oleh gejala yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat timur seperti budaya punk, merempit, lepak, vandalisme dan lain-lain lagi. Pada masa yang sama, pelajar tidak akan mudah kehilangan arah atau petunjuk hidup sekiranya masa yang terluang diuruskan secara efektif dan efisien. Justeru itu, murid-murid akan lebih bersikap positif dan cenderung untuk melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan pelbagai faedah kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Seterusnya, kegiatan kokurikulum yang dijalankan dapat menjalin hubungan silaturahim serta menyemai nilai-nilai murni dalam diri para pelajar. Hal ini kerana melalui sesuatu aktiviti, mereka akan berganding bahu melaksanakan tugasan yang diberikan. Mereka akan bergaul mesra dan mengenali pelajar-pelajar lain yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Para pelajar juga berpeluang memahami adat resam dan kepercayaan kaum-kaum lain. Dengan ini perpaduan dapat diwujudkan dan impian Malaysia untuk mempunyai masyarakat 1 Malaysia akan dapat dicapai. Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga merupakan satu alat untuk menyemai nilai-nilai murni dalam sanubari pelajar supaya menjadi insan yang kamil dan soleh. Melalui aktiviti kokurikulum, nilainilai murni seperti bekerjasama, hormat-menghormati, kesopanan dan sebagainya dapat diterapkan dan disebatikan dalam diri murid-murid. Dalam masa yang sama, mereka juga didedahkan untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung, mereka juga turut melalui proses pembentukan peribadi yang sempurna seperti peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air.

Selain itu, mungkin tidak pernah terlintas dalam kotak fikiran para pelajar bahawa penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mengharumkan nama sekolah dan negara. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum merupakan titik permulaan untuk para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Sebagai contoh, atlit-atlit negara seperti Nicol David, Shalin Zulkifli dan Lim Keng Liat dicungkil dan digilap melaui aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah. Bermula dengan bakat yang semakin terserlah kebolehan mereka seterusnya digilap oleh jurulatih-jurulatih yang berpengalaman. Oleh itu, untuk membolehkan negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sukan, maka lebih banyak bakat harus dicungkil bagi mengharumkan nama Malaysia. Sebagai kesimpulannya, tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa aktiviti kokurikulum tidak membawa kebaikan dan membuang masa sahaja haruslah dikikis. Demi mencapai Wawasan 2020, Malaysia memerlukan generasi penggerak wawasan yang sihat, berkaliber, berwibawa dan berintelek selari dengan modal insan yang memiliki minda kelas pertama. Amalan peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna haruslah dihayati dan direnungi bersama. Justeru, sama-samalah kita menyertai aktiviti kokurikulum kerana ia membawa banyak kebaikan.

You might also like